April 13th, 2016

Hilang lazat ibadah 
kerana mata?

BAYANGKAN apa akan terjadi jika nikmat pandangan mata kita ditarik Allah buat seketika. Usah lama! Katakanlah dalam lima minit sahaja. Kita langsung tidak mampu untuk berjalan tanpa melanggar atau tergelincir. Itulah hakikat kelemahan manusia yang sering terlupa nikmat mata dipinjamkan Allah kepada mereka di dunia ini. Apa yang pasti, nikmat mata pasti akan diaudit pada hari kiamat kelak:

“Selain daripada itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya),” (al-Takathur[102:8]).

Manusia sering alpa terhadap nikmat sementara itu


MAKSIAT yang masuk melalui mata akan menggelapkan hati sekali gus menghilangkan rasa lazat beribadat. - GAMBAR HIASAN

Pernah seorang teman saya bercerita: “Sepulangnya saya dari Mekah, ibadat terasa sangat lazat. Solat sangat khusyuk. Bila mata meneliti baris al-Quran jiwa berasa tenang. Solat Dhuha dan solat malam terasa ringan dilakukan. Pada suatu hari, segala rasa lazat itu menjadi tumpul. Solat dan ibadah lain terasa tawar. Puas dicari rasa lazat dahulu tetapi tidak ditemukan. Setelah lama berfikir, saya perasan rasa lazat itu hilang selepas menonton adegan romantik melampau dalam sebuah rancangan televisyen.”

Memang mata adalah pintu utama kebahagiaan dan kesengsaraan. Rasulullah SAW ketika menziarahi jenazah Abu Salamah r.a. menyebut bahawa mata mengikut keluarnya roh manusia:

“Ummu Salamah menceritakan Rasulullah SAW masuk menziarahi Abu Salamah yang baru meninggal dunia sedang matanya terbeliak. Rasulullah kemudiannya menutup mata beliau dan bersabda: Apabila roh manusia meninggalkan jasadnya, ia akan diikuti oleh mata,” - Sahih Muslim dan Sunan Ibn Majah.

Maksiat yang masuk melalui mata akan mengaburkan jiwa dan menggelapkan hati. Hati yang kelabu dek titik dosa daripada pandangan mata akan menghilangkan rasa lazat ibadat. Jika mata dijaga rapi daripada melihat yang terlarang, jiwa akan terang dan tenang. Inilah sebabnya Allah menyuruh agar kita menjaga sebahagian pandangan mata:

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki beriman supaya mereka menyekat sebahagian daripada pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara (seluruh) kemaluan mereka. Yang demikian itu 
lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan,” (al-Nur[24:30]).

Asal pandangan mata manusia adalah halal melainkan sebahagian yang terlarang. Ayat di atas menuntut agar kita menjaga sebahagian pandangan terlarang itu kerana faedahnya akan kembali kepada kita iaitu membantu proses penyucian hati. Ia disebut dalam ungkapan ayat “yang demikian itu lebih suci bagi mereka.” Kisah teman saya yang tumpul rasa lazat ibadatnya memang berpunca dari mata. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya pandangan mata (kepada sesuatu yang haram) adalah satu panah Iblis yang beracun. Sesiapa yang meninggalkannya kerana takutkan Aku (Allah), maka Aku akan “menggantikannya dengan iman yang dirasai kemanisan dalam hatinya,” - Mu’jam al-Kabir Imam al-Tabrani.

Dalam hadis lain Rasulullah SAW berpesan kepada Sayidina Ali k.w. agar racun pandangan sekilas tidak dipanjangkan kerana ia akan merosakkan hati. Bagai dikata, sakit digigit seekor tebuan mudah hilang, tetapi jika berterusan disengat ratusan tebuan, kelak boleh pendek umur! Sabda Rasulullah SAW:

“Rasulullah SAW bersabda kepada Ali (bin Abi Talib): Janganlah diikuti satu pandangan (yang haram) dengan pandangan lain, kerana pandangan (tanpa sengaja) pada kali pertama adalah milikmu (tanpa tanggungan dosa) dan tidak pula (halal) bagimu pandangan berikutnya,” - Musnad Ahmad, Sunan Abu Dawud dan Tirmizi.

Marilah kita sama-sama menjaga amanah mata pinjaman Allah, kerana ganjaran orang yang menjaga mata sangat banyak seperti kelazatan ibadah, kesucian jiwa dan satu daripadanya adalah kurniaan bidadari syurga yang bermata cantik!

“Mereka memakai pakaian daripada kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing). Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya,” (al-Dukhan [44:53]).

-

Antara mas kahwin (mahar) dan hantaran

BARU-BARU ini kita digemparkan dengan cerita pasangan yang tidak jadi bernikah kerana wang hantaran tidak mencukupi. Ia menjadi viral dan amat penting untuk diselesaikan kerana wujud kekeliruan antara mahar dan hantaran.

Perkahwinan adalah sunnah nabi dan merupakan satu ibadah. Ia sepatutnya dilangsungkan dalam suasana meriah, gembira dan penuh kasih sayang kerana ia membuka jalan silaturahim antara dua keluarga.

Hari ini isu hantaran yang terlalu tinggi dan tabiat suka membanding-banding semakin menjadi-jadi. Peranan media dalam menggembar-gemburkan cerita majlis perkahwinan orang tertentu juga antara punca perkara ini berlaku sehingga sukar dikawal. Anak-anak kita mesti memahami apa mahar dan hantaran?

PENGERTIAN MAHAR

Mahar atau selalu disebut sebagai mas kahwin merupakan pemberian oleh seorang lelaki kepada seorang wanita atas sebab berlakunya akad nikah. Al-Quran menyebutnya sebagai saduq, nihlah, faridah, hiba’ dan ajr. Namun, semua istilah tersebut membawa maksud dan pengertian yang hampir sama iaitu pemberian berlandaskan kejujuran, tanda persetujuan dan pemberian wajib yang tidak mengharapkan imbalan dan balasan.

Al-Quran menyebut mengenai mahar dalam surah Al-Nisa ayat 24 yang bermaksud: “Maka, isteri-isteri yang telah kamu nikmati (setubuhi) dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka maharnya (yang sempurna) sebagai suatu kewajipan.”


HANTARAN merupakan adat masyarakat Melayu dan ia perlu dibezakan dengan mahar yang diwajibkan Islam dalam sesebuah perkahwinan. - GAMBAR HIASAN

Dalam ayat ini mahar dikaitkan dengan persetubuhan suami isteri. Ini kerana, Allah SWT memerintahkan kepada para suami yang telah mencampuri isteri mereka agar memberikan mahar sebagai satu pemberian yang wajib. Terdapat juga hadis yang menceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW melarang Ali Bin Abi Talib k.w. daripada menggauli isterinya, Fatimah sebelum menunaikan hak mahar Fatimah. Ditambah pula dengan sebahagian fuqaha yang menggambarkan mahar seolah-olah hanya sebagai imbalan dan upah kepada istimta‘, iaitu persetubuhan yang dinikmati oleh suami dan isteri.

* Ulama Hanafiyyah - sejumlah harta yang menjadi hak isteri kerana akad perkahwinan atau terjadinya hubungan kelamin suami isteri.

* Ulama Malikiyyah - sesuatu yang menjadikan isteri halal untuk disetubuhi.

* Ulama Shafi‘iyyah - sesuatu yang wajib diberi disebabkan akad nikah atau persetubuhan.

* Ulama Hanabilah - balasan daripada suatu perkahwinan, termasuk dengan sebab persetubuhan.

Definisi-definisi mahar yang dikemukakan tersebut tidak menggambarkan konsep dan objektif di sebalik pensyariatan mahar secara keseluruhannya, sebaliknya diertikan dalam skop yang sempit. Ia bukan sahaja memberi implikasi terhadap status wanita dalam kehidupan berumahtangga, bahkan memberi kesan negatif terhadap peranan mahar itu sendiri seolah-olah ia hanya sebagai bayaran untuk hubungan kelamin semata-mata seperti mana amalan dan tradisi masyarakat Jahiliah.

PENGIKTIRAFAN ISLAM

Islam mengiktiraf bahawa mahar merupakan hak eksklusif seorang isteri. Justeru, selagi hak mendapatkan mahar belum ditunaikan oleh suami seperti yang dijanjikan dan dipersetujui bersama, maka isteri berhak untuk menafikan hak dan tanggungjawabnya kepada suami.

Ini bermakna, isteri bukan sahaja berhak menahan diri daripada persetubuhan bersama suaminya, malahan dalam konteks hak dan tanggungjawab rumahtangga yang lain, seperti tanggungjawab mentaati suami atau menguruskan keperluan rumahtangga yang lain. Walau bagaimanapun, sekiranya mahar belum diberikan kepada isteri, hubungan kelamin suami isteri tidaklah menjadi haram atas keredaan dan pelepasan hak yang diberikan oleh isteri, kerana mahar tersebut akan menjadi hutang suami kelak.

Tetapi ia mesti dibayar sebelum perceraian atau kematian. Dalam surah al-Baqarah ayat 237, Allah berfirman yang bermaksud : “Sekiranya kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu bercampur dengan mereka, padahal sesungguhnya kamu telah menentukan maharnya, maka berilah separuh daripada mahar yang telah kamu tentukan itu, kecuali jika isteri-isterimu memaafkan atau dimaafkan oleh orang yang memegang ikatan nikah, dan kemaafan kamu itu lebih dekat kepada takwa. Dan janganlah kamu melupakan keutamaan antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Melihat segala apa yang kamu kerjakan.”

Nas ini menunjukkan yang mahar jika berhutang perlu dilunaskan dan ia juga menyebut kepentingan mahar yang mudah atau tidak menyusahkan pasangan. Ini bukan bermakna, mahar tidak perlu tinggi atau mahal. Dalam Surah al-Nisa, ayat 20, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu ingin menggantikan isterimu dengan isteri yang lain, sedang kamu telah memberikan seorang di antara mereka harta yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikit pun daripadanya.”

Ayat ini, penggunaan lafaz (qintar) yang membawa maksud harta yang banyak bukan sahaja menunjukkan bahawa mahar boleh diberikan dalam kadar yang tinggi, bahkan membuktikan bahawa mahar pada dasarnya merupakan pemberian berharga dan bernilai tinggi yang dapat memberi manfaat dan maslahah kepada wanita.

KEMASLAHATAN KEPADA MANUSIA

Secara umumnya, tujuan pensyariatan sesuatu hukum adalah untuk memberi kemaslahatan kepada manusia. Justeru, di antara hikmah pensyariatan mahar dalam Islam adalah untuk memberi hak pemilikan harta kepada wanita, memberi perlindungan sosio-ekonomi dan memberi kemuliaan kepada wanita.

Dalam masyarakat Melayu, amalan adat memberi hantaran atau belanja hangus perlu dibezakan dengan mahar. Apa itu hantaran? Hantaran adalah pemberian atau hadiah oleh seorang lelaki kepada wanita semasa majlis akad nikah. Ia tiada kaitan dengan akad nikah malah tidak disebut dalam akad dan jika tidak diberi tidak menjejas akad nikah. Biasanya hantaran dipersetujui semasa majlis meminang atau bertunang.

Di Malaysia, mahar ditetapkan oleh Majlis Agama Islam negeri-negeri tetapi wang hantaran ditetapkan oleh keluarga. Adat ini diamalkan berkurun lamanya sehinggakan sukar untuk dihakiskan. Amalan memberi hantaran tinggi juga menjadi-jadi sehingga timbul isu penggredan hantaran mengikut kelulusan atau pencapaian akademik pengantin perempuan atau jawatan yang dipegangnya.

Ia juga menyebabkan orang tersalah tafsir dan keliru yang mana wajib dan mengikut sunnah dan yang mana adat yang boleh ditinggalkan. Jika hantaran dijadikan mahar, ia boleh menjamin masa depan pengantin perempuan sebagai hadiah perkahwinan itu sendiri. Wang hantaran dan segala pemberian bukan sesuatu yang wajib, namun jika ia dijanjikan semasa majlis pertunangan dan menjadi syarat kepada pernikahan maka ia boleh dituntut jika pasangan tidak jadi kahwin atau putus tunang.

Ia juga boleh dituntut berasaskan janji (kontrak) pertunangan jika pasangan bernikah. Apa pun jika pasangan yang ingin berkahwin mengikat janji dengan sepenuh keikhlasan dan amanah, isu wang hantaran tidak mencukupi atau tidak dipenuhi tidak timbul.

Manusia dipegang pada janjinya. Untuk berkahwin pasangan mesti selesaikan isu percaya mempercayai yang diikat dengan cinta keikhlasan serta kemampuan pasangan. Rumahtangga tidak dibina hanya dengan cinta tetapi dengan banyak faktor lain seperti isu ekonomi dan kewangan. Orang yang mampu berkahwin, mesti kahwin. Untuk berkahwin tentunya seorang lelaki mempunyai wang untuk dijadikan mahar tanda cinta dan penghormatannya kepada wanita. Berkahwinlah mengikut kemampuan masing-masing dan ukurlah baju di badan sendiri.

-

Gosip, dedah aib orang cetus permusuhan

RASULULLAH SAW menjelaskan tanda orang munafik ada tiga iaitu, jika ia berbicara ia berdusta, jika berjanji ia mengingkari dan jika diberi amanah ia khianat." (Riwayat Bukhari).

Abu Hurairah berkata, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda, bermaksud: "Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata yang diredai Allah tanpa dia menaruh perhatian padanya, maka Allah mengangkatnya lantaran ucapannya itu beberapa darjat. Dan sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa memikirkannya maka ia menjerumuskannya ke dalam neraka jahanam." (Riwayat Al-Bukhari).

Dua hadis ini disebut Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D' Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu, jam 10.15 pagi.

TINDAKAN menyebarkan cerita mengaibkan orang tidak selari dengan tuntutan Islam. - Gambar hiasan


Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin menyentuh perkara mengenai berita benar, tetapi bahaya yang terbahagi kepada lima.

Pertama, pandangan Islam terhadap kaedah muslihat dalam peperangan.

Dalam Islam, muslihat mempunyai kaedah yang dibenarkan sama ada bersifat strategi atau pun taktikal.

Semua itu bergantung kepada alternatif yang dibenarkan oleh syarak.

Di dalam al-Quran sendiri, terdapat banyak kalimah sinonim dengan muslihat atau makar, tipu daya atau pun merangka helah yang bukan sahaja dinisbahkan kepada musuh Islam, tetapi juga kepada Allah.

Hapus perkara mudarat

Begitupun maksud ayat berkenaan adalah Allah mengatur semua urusan hamba-Nya kerana Dia Pemilik Yang Mengurus dan tiada satu pun pengurus berada di luar pengurusan-Nya.

Kedua, perkara yang mudarat hendaklah dihapuskan.

Maksudnya, segala kemudaratan yang berlaku wajib dihapuskan. Kaedah ini menunjukkan bahawa apabila berlaku sesuatu kemudaratan yang menimpa mana-mana pihak, maka ia wajib dihilangkan daripada terus ditanggung.

Ketiga, yang boleh menyebabkan pergaduhan atau menjadi batu api. Sesiapa yang menjadi 'batu api' tidak masuk syurga.

Jika kita sentiasa melakukan sesuatu atau menyebut sesuatu semata-mata untuk menimbulkan kekacauan antara orang, maka kita menjadi batu api.

Jika kita menjadi penyebab berlakunya pertengkaran atau perbalahan, maka kita menempah kedudukan yang merugikan di akhirat kelak.

Keempat, sembunyikan aib orang. Apabila kita menutup air orang lain, Allah memberi jaminan akan menutup aib kita. Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang," (Surah Al-Hujuraat, ayat 12).

Ayat ini menjelaskan larangan umum untuk mencari keburukan orang lain, mencakupi pelbagai 'tajassus' (mencari kesalahan, mengintai, mencuri dengar, mencuri pandang dan seumpamanya).

Menurut ulama tafsir, tajassus adalah mencari aib kaum Muslimin. Bererti kita dilarang mencari aib saudara sesama Muslim, malah diperintah menutupinya. "Dan sesiapa yang menutupi aib seorang Muslim, Allah akan menutupi aibnya pada Hari Kiamat". (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Jika dilihat budaya di Malaysia hari ini, orang ramai mungkin lebih kenal perkataan gosip daripada aib. Sebabnya gosip sudah ada tempat tersendiri dalam dunia media.

Ia sudah diangkat menjadi rancangan televisyen, blog, kolum khas di surat khabar atau majalah.

Kelima, hal yang negatif dan boleh mendatangkan keburukan. Hakikatnya, seseorang digalakkan memberikan nasihat secara diam-diam, tidak terang-terangan di hadapan orang lain.

Manusia pada umumnya tidak mahu menerima nasihat di hadapan orang lain kerana hal itu memalukannya.

Matang cara berfikir

Kematangan bukan terletak pada umur, kematangan seseorang itu dapat dilihat daripada cara pemikiran, percakapan dan secara langsung adalah dengan cara perbuatannya iaitu akhlaknya.

Dari segi cara percakapan mereka juga amat berbeza, kerana kematangan seseorang ini juga mampu mengubah dari segi cara percakapannya yang mana mereka akan menggunakan bahasa lembut, pandai menyesuaikan diri dengan cara bercakap dalam keadaan hormat kepada orang lain.

Orang yang matang juga tidak akan bercakap dalam bahasa kasar malah mereka pandai menjaga hati dan perasaan orang lain.

Akhir sekali adalah dengan cara perbuatan mereka yang mana tindakan atau akhlak mereka sangat baik kerana orang yang matang adalah orang yang sangat menjaga akhlak dan sangat bijak dalam mengambil tindakan.

Kesimpulannya, Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai faktor membolehkan orang masuk syurga. Nabi menjawab, manusia perlu bertakwa kepada Allah dan sentiasa berakhlak mulia.

Nabi juga ditanya mengenai sebab yang mengakibatkan orang masuk neraka, maka Nabi menjawab, ia disebabkan mulut dan kemaluan. (Riwayat Tirmidzi).

Sebab itu kita lahir dengan dua mata, dua telinga tetapi hanya satu mulut supaya kita lebih banyak melihat dan mendengar daripada bercakap.

Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam program Pesona D'Zahra, menyentuh mengenai tindakan sesetengah pihak yang gemar membuat teguran secara terbuka sehingga mengaibkan orang lain.

Islam menggalakkan umatnya supaya memberi nasihat secara diam-diam dan tidak melakukannya secara terang-terangan kerana fitrah manusia yang tidak mahu menerima nasihat di hadapan orang lain kerana akan mengaibkan dirinya

Ikhlas rintis amalan baik demi kemaslahatan ummah

RASULULLAH SAW bersabda: "Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, maka dia mendapat ganjaran pahala amalan baiknya dan juga memperoleh pahala orang yang ikut melakukannya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun.

Dan sesiapa yang melakukan perbuatan buruk dalam Islam, maka dia akan mendapat dosa daripada perbuatannya itu dan juga dosa orang yang ikut melakukannya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun." (Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW mengungkapkan hadis itu tatkala melihat seorang lelaki Ansar membawa bungkusan dan disebabkan bungkusan itu berat hingga hampir-hampir dia tidak mampu memikulnya.

Lantas dia sedekahkan bungkusan itu kepada kaum Bani Mudhar yang datang ke Madinah dalam keadaan menyayat hati. Tindakan sahabat Ansar itu kemudian diikut oleh penduduk Madinah lainnya.

DIDIK anak menderma sejak kecil langkah melahirkan Mukmin bertakwa. - Foto hiasan


Mereka berduyun-duyun memberikan sebahagian harta mereka sehingga kelihatan satu longgokan makanan dan satu longgokan pakaian.

Merintis amalan baik

Walaupun pada zahirnya hadis itu membicarakan mengenai menginfakkan harta, pada hakikatnya ia mencakupi semua amalan sama ada yang baik atau buruk.

Tema utama hadis itu adalah merintis kepada melakukan amalan kebaikan.

Mereka atau perintis yang memulakan amalan kebaikan kebiasaannya membawa natijah cukup berkesan bagi dirinya dan orang lain.

Menariknya, amalan merintis kebaikan tidak hanya akan memperoleh ganjaran pahala untuk dirinya malah akan memperoleh ganjaran pahala daripada orang lain yang mencontohi tindakan itu.

Justeru, seorang Muslim sangat dianjurkan untuk merintis dan mempelopori amalan baik termasuk amalan sunah Rasulullah SAW yang mulai dilupai umat Islam.

Tidak ketinggalan, amalan berupa inovasi baharu dan terkini itu memberi faedah serta maslahah ummah selama mana ia tidak melanggar syariat Islam.

Amalan sunah dirintis Rasulullah SAW, sahabat

Perlu diinsafi bahawa merintis amalan kebaikan sewajibnya dilandaskan dengan keikhlasan dan mestilah dimulai daripada diri sendiri terlebih dahulu.

Rasulullah SAW dan sahabat adalah perintis kepada amalan kebaikan. Pelbagai amalan sunah yang diamalkan oleh umat Islam sekarang ini telah dirintis dan dimulai oleh Rasulullah SAW serta sahabat.

Mereka mengamalkan sunah terlebih dulu dan daripada contoh ditunjukkan amalan itu menjadi ikutan. Saidina Umar al-Khatab telah mempamerkan contoh teladan terbaik sewaktu beliau menjadi khalifah.

Diriwayatkan, Saidina Umar mengajak ahli keluarganya hidup dalam keadaan serba sederhana. Pernah Saidina Umar merenggut makanan yang segar daripada tangan mereka, bahkan dari mulut mereka.

Bumi seakan bergoyang kencang dan langit bergegar menyimbah bumi ketika Saidina Umar mengetahui seorang ahli keluarganya menuntut keistimewaan.

Apabila melaksanakan sesuatu undang-undang atau melarang suatu perkara, Saidina Umar terlebih dulu mengumpulkan ahli keluarga dan memberi peringatan keras dengan berkata: "Sesungguhnya aku telah melarang orang lain daripada perbuatan begitu dan begini kerana masyarakat melihat kalian seperti burung melihat daging.

Jika kalian terjerumus, maka mereka pun akan terjerumus; dan jika kalian takut, mereka pun akan takut.

Demi Allah, tidaklah aku mendengar seseorang pun daripada kalian yang melanggar laranganku terhadap masyarakat, melainkan akan ku lipat gandakan seksaan baginya kerana hubungan kerabatnya denganku. Oleh itu, sesiapa yang mengkehendaki di antara kalian, bolehlah dia maju dan sesiapa yang mengkehendaki, hendaklah dia mundur."

Merintis dan mempelopori amalan kebaikan menjadi keutamaan bagi seorang Muslim, bahkan semangat yang dianjurkan Islam adalah semangat untuk menjadi Muslim yang pertama dalam merintis amalan kebaikan.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada Hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Baqarah, ayat 148)