April 15th, 2016

Khutbah Jumaat ~ “Rumahku Syurgaku”

Petikan Khutbah Jumaat 15 April 2016: JAIS

“Rumahku Syurgaku”

Berkahwin dan hidup berkeluarga dengan bahagia adalah satu sunnah yang amat dituntut dalam syariat Islam. Istilah “Rumahku Syurgaku” boleh difahami sebagai sebuah kehidupan keluarga yang bahagia dengan setiap ahli keluarga memainkan peranan di samping menjaga hubungan dengan Allah SWT agar keluarga itu mendapat rahmat dan keredhaan-Nya.

Rumahku Syurgaku itu mempunyai ciri-ciri seperti berikut;

i. Keluarga yang dibina dengan asas akidah yang benar.

Akidah adalah akar tunjang utama dalam membina keluarga yang bahagia. Akidah yang benar melalui pengakuan hati bahawa Allah SWT adalah Tuhan yang Esa dan Nabi Muhammad SAW adalah nabi-Nya akan menjadikan setiap ahli keluarga berusaha menjadi hamba-Nya yang benar benar taat dalam melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya, ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah Azzariat ayat 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia itu melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”

ii. Keluarga yang menghidupkan suasana ibadah secara istiqamah.

Melaksanakan ibadah sama ada yang wajib atau sunat dalam kehidupan berkeluarga amat penting. Ini adalah kerana ibadah yang dilakukan dengan ikhlas akan menjadikan seseorang mempunyai jiwa yang tenang, sentiasa redha dengan ketentuan-Nya dan terus istiqamah dalam menjadikan rumahtangga yang dibina diberkati Allah SWT. Hadis daripada Sufian Bin Abdullah As-Thaqafi bahawa Rasulullah SAW bersabda; قُلْ: آمنت بِاللَّه ثُم استقم “Katakanlah; “aku beriman kepada Allah, kemudian hendaklah engkau beristiqamah (dengan Islam)”.

iii. Keluarga yang sentiasa bertanggungjawab dan berakhlak mulia.

Setiap ahli keluarga sama ada ibubapa dan anak-anak hendaklah sentiasa berakhlak mulia. Seorang bapa sentiasa mencari nafkah yang halal, memimpin keluarga dengan adil, tegas dalam mendisplinkan anak-anak. Seorang ibu pula hendaklah sentiasa berlemah lembut dengan anak-anak, membantu suami dalam pengurusan keluarga dan mendidik anak-anak berakhlak dengan akhlak yang mulia. Seorang anak pula hendaklah sentiasa mengasihi dan menghormati ibubapa, janganlah melakukan perbuatan derhaka terhadap mereka, sebaliknya hendaklah sentiasa mendoakan kebaikan dan kesejahteraan untuk mereka di dunia dan akhirat. Hadis daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sesungguhnya lelaki mukmin yang sempurna imannya ialah mereka yang baik tingkah lakunya dan lemah lembut terhadap isteri dan anaknya”. (Riwayat at- Tirmizi)

iv. Keluarga yang sentiasa menjaga hubungan baik dengan masyarakat.

Menjaga hubungan baik dengan masyarakat juga perlu diambil kira kerana tidak mungkin seseorang itu akan selamanya hidup bersendirian. Setiap keluarga hendaklah sentiasa bermuasyarah dan bermuamalah dengan ahli masyarakat sekeliling seperti saling kenal mengenali, saling hormat menghormati, tolong menolong, menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan perpecahan dikalangan masyarakat atau pun jiran. Yakinlah semua itu akan memberikan kesan yang lebih baik dalam kehidupan kita berkeluarga.

Firman Allah SWT dalam Surah ali-Imran ayat 112;
“Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintahperintah-Nya), dan mereka membunuh Nabi-nabi Dengan tiada alasan Yang benar. semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah)”.

v. Keluarga yang bijak menyelesaikan permasalahan yang berlaku.

Lumrah kehidupan manusia, suka dan duka, ketawa dan gembira, berduka cita, pasti akan dilalui oleh setiap manusia dalam melayari kehidupan berkeluarga, namun setiap manusia hendaklah menerimanya dengan hati yang terbuka sebagai ujian daripada Allah SWT. Ahli keluarga sewajarnya mengadakan perbincangan untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku dengan baik kerana tanpa penyelesaian segera, ianya pasti akan menyebabkan permasalahan yang berterusan. Ini sudah tentu menyukarkan suasana bagi mewujudkan keluarga yang bahagia.

Firman Allah SWT dalam surah ali-Imran ayat 159; “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabatmu), Kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka akan menjauhkan diri daripada engkau. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadap engkau), dan mohonkanlah keampunan bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan permasalahan keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya”.

Sebagai kesimpulannya, mimbar jumaat ingin menjelaskan sekali lagi, pembinaan keluarga yang dikatakan Rumahku Syurgaku hendaklah melalui beberapa perkara seperti berikut;

1. Umat Islam hendaklah memastikan perkahwinan yang ingin ditempuhi oleh setiap pasangan hendaklah diniatkan kerana Allah SWT dan mengikut Sunnah Nabi Muhamad SAW agar ianya dikira sebagai ibadah.

2. Setiap ahli keluarga iaitu suami (bapa) isteri (ibu) dan anak hendaklah memahami dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan sebaiknya agar wujud rasa tanggungjawab dan kasih sayang yang mendalam di kalangan ahli keluarga.

3. Setiap anggota keluarga hendaklah menghidupkan suasana agama dalam kehidupan seharian dengan memelihara akidah, syariat dan akhlak Islam agar Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya ke dalam keluarga kita.

4. Anggota keluarga perlu sentiasa bergaul mesra dengan masyarakat sama ada Islam atau pun bukan dengan mengukuhkan rasa saling hormat menghormati, saling berziarah ketika sihat ataupun sakit, bergotong royong dan sebagainya agar perasaan kasih sayang dengan masyarakat dapat diterapkan ke dalam jiwa setiap ahli keluarga.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Surah ali-Imran: 31)

Wallahualam.

Friday Sermon Text ~ Confusion Of Identity

Friday Sermon Text 15 April 2016AD / 7 Rejab 1437H JAKIM

Confusion Of Identity

The Identity Card is the identification of a citizen. A foreigner is identified through a passport. But, what about our identity as Muslims? Does the word “Islam’, which is recorded in our Identity Card, immediately qualifies us as a Muslim in the eyes of Allah SWT? It is not that simple. Allah SWT has dictated certain criteria to identify us as true Muslims

First: Identity of Faith. Basically, Allah SWT created humans, by nature to be with religious faith, as Allah SWT declared in Surah Ar-Rum verse 30, which was read at the introduction of the sermon just now, which means: “So set your face steadily and truly to the Faith: (Establish) Allah's handiwork according to the pattern on which He has made mankind: no change (let there be) in the work (wrought) by Allah: that is the standard Religion: but most among mankind understand not.”

Second: The Identity of Worship. Worship in Islam is the culmination of a sense of servitude to Allah SWT as a Supreme Being, and devotion towards Him. Worship is also a bridge that connects and links the Creator to His creations. Therefore, Muslims are identified and recognised through their acts of worship, such as prayers, fasting, charity, pilgrimage, remembrance (zikir) and others, as exemplified by Rasulullah SAW.

Third: The Identity of Morality. It is not just faith and worship that is emphasized in Islam. What makes it even more complete is the emphasis on Islamic morals. Islam is recognized and acknowledged as a religion of impeccable morals, in terms of actions, speech, and even when being silent.

Fourth: The Identity of the Family and the Muslim community. Islam is not just about yourself. In fact, its identity should be propagated widely to the entire community. Therefore, the first step is to convey in advance the identity of Islam to our close family members.

Allah SWT emphasizes this in Surah AtTahrim, verse 6:  Which means: “O, you who believe! Save yourselves and your families from the Fire of Hell whose fuel is Men and Stones, over which are (appointed) angels stern (and) severe, who flinch not (from executing) the Commands they receive from Allah SWT, but do (precisely) what they are commanded.”

In short, most Muslims no longer possess real Islamic identity, to the point of displaying visible gaps and weaknesses of themselves. Let us ponder and reflect for a moment, what are the causes?

First: Knowledge and Education. Let us ask ourselves, what are we imparting to our children from childhood to adolescence? Have we forsaken our responsibility as parents to provide knowledge and religious teachings of Islam, which encompasses faith, worship and morals, to them?

Second: Upholding the Right, Preventing the Wrong (or Amar Makruf, Nahi Mungkar). Although we witness upholding the right, preventing wrongdoing by the authorities, non-governmental organizations, religious leaders and so on, but it is still a great concern to the public because the influence of western ideas and culture is strongly affecting the current generation through multiple forms of new media. It is like a tsunami that destroys faith built over the years.

As reminded by Rasulullah SAW in a hadith narrated by Ibn Umar and recorded by Abu Daud RHM: ُْ َّ. )رواية أبي داود( وَمِْنه ُ مَنْ تَشََّب هَ بِقَوٍْم فَُ Which means: "Whoever imitates a group of people, then he is of them."

Third: Wisdom and discretion. The main loss of the current ummah is the loss of wisdom and discretion. As a result of desire, fanaticism and an environment that does not assist in the expansion of the mind, these people are weakened through a variety of things that distract and harm them.

Fellow Muslims blessed by Allah, To conclude this week’s sermon, the mimbar would like to summarise some of the key points, as a guide to us all:

First: Realise that the confusion of identity is increasingly plaguing the Muslims during these final days. Muslims are increasingly seen to be astray from the true teachings of Islam.

Second: The effect of the confusion of identity affects our environment, our future generations and the worldviews of the Muslims themselves.

Third: Let us reinforce faith, worship, morals, family values and the Muslim community in order for us to address the confusion of identity within our society.

Be reminded of Allah SWT's threat to the generation that eliminates their Islamic identity through Surah Al-An'am, verse 6: Which means: “Have they not seen many of those before them We did destroy? Generations We had established on the earth, in strength such as We have not given to you - for whom We poured out rain from the skies in abundance, and gave (fertile) streams flowing beneath their (feet): yet for their sins We destroyed them, and raised in their wake fresh generations (to succeed them).

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ “Angkara Lidah

Petikan khutbah Jumaat 15 April 2016 / 7 Rejab 1437 JAKIM

Angkara Lidah

Syariat Islam telah meletakkan prinsip-prinsip bermuzakarah, berdailog dan berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan mestilah berasaskan akal yang sihat, disiplin ilmu, sumber hukum syariat dan bukan secara agakan, sentimen, kepentingan sesuatu dan mengikut emosi. Ini sekaligus dapat mengekalkan kesatuan dan permuafakatan serta menghalang perpecahan dan perselisihan pendapat.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Israk ayat 53: Maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hambaKu (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.

Apa yang boleh dinyatakan ialah kita mendapati bahawa setiap insan dilahirkan dengan pelbagai karakter dan perbezaan sifat fizikal diri, termasuklah pasangan kembar seiras. Mereka ini mungkin mempunyai genetik, kromosom dan raut fizikal yang sama tetapi bukan keseluruhannya benar-benar sama. Apatah lagi akal dan fikirannya, yang sememangnya lebih berbeza. Itulah manusia. Perbezaan pemikiran, pendapat atau pandangan merupakan satu fenomena semula jadi manusia yang menunjukkan bahawa kemampuan akal ini adalah terbatas, namun ia menjadikan manusia saling melengkapi antara satu sama lain.

Hal ini telah diperakui di dalam al-Quran, menerusi surah Hud ayat 118 hingga 119: Maksudnya: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam ugama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia. Dan dengan yang demikian sempurnalah janji Tuhanmu: “Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahanam dengan sekalian jin dan manusia (yang berdosa).”

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan di dalam sebuah hadis bahawa baginda SAW berpesan kepada para sahabat r.anhum, Mafhumnya: “Rasulullah SAW telah bersabda kepada kami sewaktu pulang dari perang Ahzab. Sabdanya: Janganlah kamu mendirikan solat Asar sehingga kamu tiba di perkampungan Bani Quraizah.”

Namun, sekumpulan sahabat telah mendirikan solat Asar apabila masuk waktunya walaupun belum sampai ke Bani Quraizah kerana bimbang akan terluput waktu untuk mengerjakan solat dalam waktunya, manakala sekumpulan yang lain pula tidak mendirikan solat Asar sehinggalah mereka benar-benar tiba di Bani Quraizah, sedangkan ketika itu masa telah lewat sehingga matahari sudah terbenam. Apabila diajukan masalah ini kepada baginda SAW, baginda tidak menyalahkan mana-mana pihak dan memahami bahawa mereka telah mentafsirkan arahan baginda SAW mengikut kefahaman masing-masing.

Jika dahulu manusia hanya bertelagah dalam konflik politik, namun hari ini situasi menjadi lebih menyedihkan apabila umat Islam boleh berkelahi dalam konteks agama dan penyebaran dakwah. Sepatutnya sikap para pendakwah bukan seperti orang politik konvensional meskipun dalam perkara-perkara ijtihadi. Jauhilah daripada bertikam lidah, berburuk sangka dan saling menuduh antara satu sama lain lebih-lebih lagi menerusi alam siber, gajet dan media sosial. Sentiasalah bersangka baik (husnuzzan) dan elakkanlah daripada berdebat kerana Islam tidak menggalakkan umatnya berdebat, dikhuatiri ia membawa kepada perpecahan dan permusuhan yang sia-sia.

Mari kita hayati dan renungkan pengajaran daripada firman Allah SWT di dalam surah al-Hujurat ayat 10 ini,
Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”


Sebagai langkah untuk meningkatkan nilai diri, mimbar mengajak sidang Jumaat sekalian, marilah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh ke arah perkara-perkara berikut iaitu pertama, berlapang dada meraikan perbezaan. Ingatlah, hanya apabila kita menjadi manusia berjiwa besar dan bersedia mengakui kelemahan diri dan mencintai perdamaian, maka diri kita akan lebih mudah bertolak ansur dan membuang ego masing-masing demi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mencari keredhaan-Nya. Dengan kematangan minda dan kehebatan ilmu pada diri, bersama-samalah kita meraikan perbezaan pada setiap insan agar tidak berlaku pertelingkahan dan pergaduhan yang tidak menguntungkan. Jangan sampai “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan dan umat binasa”.

Kedua, jauhkan diri daripada perkara yang sia-sia. Ambillah peluang keemasan pada hari yang barakah ini dengan menjauhkan diri daripada segala perkara yang tidak berfaedah sama ada perbuatan atau perkataan. Jagalah lidah dari perkara yang sia-sia, tutuplah mata dari pandangan dosa, pekakkan telinga dari perkara tercela dan jagalah hati dari perasaan kotor dan buruk sangka. Jangan sampai pahala yang dicita, tetapi dosa yang dicipta.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Seseorang Muslim adalah orang yang menjaga lidah dan tangannya daripada menyakiti Muslim yang lain, dan seorang Muhajir (orang yang berhijrah) pula adalah orang yang meninggalkan segala larangan Allah.”

Mengakhiri khutbah minggu ini beberapa perkara yang boleh disimpulkan ialah:

Pertama: Islam adalah agama yang menganjurkan perdamaian dan kasih sayang;

Kedua: Jagalah lidah kita daripada berkata perkara yang sia-sia dan dimurkai Allah; dan

Ketiga: Umat Islam adalah seumpama satu badan; jika salah satu anggota sakit, maka seluruh badan akan turut merasai sakitnya.

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada ditepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali Imran:103)

Wallahualam.

Setiap detik kehidupan tak terlepas kurniaan nikmat

REALITINYA hari ini, ramai yang lalai untuk bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Sedar atau tidak, nikmat itu sangat banyak dan pelbagai bentuk.

Setiap detik kehidupan kita tidak terlepas daripada kurniaan nikmat pemberian Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nahl, ayat 16) Syukur adalah ucapan, sikap dan perbuatan untuk berterima kasih kepada Allah SWT terhadap kurniaan yang diberikan-Nya.

Darjat syukur lebih tinggi


ORANG yang rajin berusaha dan sentiasa berdoa akan menerima limpah kurnia daripada Allah SWT. - Foto hiasan
Menurut Imam Al-Ghazali, darjat syukur lebih tinggi daripada darjat sabar serta takut kepada Allah SWT. Kesyukuran itu adalah darjat paling mulia dan tertinggi.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) dari apa yang dikurniakan Allah SWT kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah SWT, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." (Surah an-Nahl, ayat 114)

Mengapa masih ramai antara kita yang sombong untuk bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan Allah SWT? Pernahkah kita berfikir setiap kekayaan yang dimiliki adalah milik mutlak Allah SWT? Kekayaan itu bersifat sementara dan tidak kekal. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun), sedang kamu semua orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal)." (Surah Muhammad, ayat 38)

Nikmat berkekalan, bertambah

Manfaat bersyukur sebenarnya dapat kita rasakan seperti kekalnya nikmat yang dimiliki atau bertambahnya nikmat itu. Melihat kepada kesenangan orang lain tidak sepatutnya menjadikan kita iri hati sebaliknya reda dan syukur dengan pemberian Allah SWT.

Allah SWT berpesan yang bermaksud: "Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah SWT berikan kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah SWT akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah an-Nisa, ayat 32)

Sesiapa yang berusaha lebih, pasti akan mendapat lebih.

Mengapa masih ada yang tidak mahu meredai hasil usaha lebih orang lain sedangkan kita masih bersikap malas untuk berusaha?

Janji Allah SWT itu pasti. Sesiapa yang berusaha pasti akan mendapat lebih atas usaha sendiri. Rasulullah SAW bersabda: "Pekerjaan terbaik adalah seseorang yang berusaha dengan tangannya sendiri dan berbuat sehabis baik." (Riwayat Imam Ahmad)

Bersyukur dengan lima perkara

Seorang Mukmin yang taat dan mengaku beriman kepada Allah SWT seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan. Bersyukurlah dengan lima perkara sebelum terlepas nikmat daripada lima perkara iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sakit dan hidup sebelum mati.

Bersyukurlah dengan segala yang dikurniakan supaya kita terhindar daripada sifat kufur dan mendapat keredaan Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan Allah SWT mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur." (Surah an-Nahl, ayat 78)

Takut hukuman maksiat

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang menguji hamba-Nya dengan musibah agar mereka bertaubat kepada-Nya. Hendaklah kita bertakwa kepada ALLAH dan berwaspada terhadap azab-Nya.

Sungguh azab-Nya pedih. Jangan kita salah ertikan sifat ALLAH yang Maha Penyantun lagi Maha Penyabar. ALLAH menangguhkan buat kita untuk memberi ruang dan peluang. Sama sekali bukan kerana ALLAH lalai dan lupa.

Ketahuilah manusia ditimpakan musibah kerana dosa dan noda mereka serta dibalas dengan pahala dan ganjaran atas amalan soleh mereka.

Firman ALLAH: "Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan-perbuatan salah dan berdosa); dan ALLAH memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu." (Surah As-Syuura: 30)

Azab umat terdahulu

Betapa ramainya umat terdahulu dimusnahkan, betapa banyak negara musnah manakala nikmat dicabut dan diganti dengan azab disebabkan dosa maksiat.

Firman ALLAH: "Ini kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang dikurniakan-Nya kepada sesebuah kaum melainkan apabila mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri; dan (ingatlah) sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah Al-Anfaal: 53)

Kesusahan dan musibah yang menimpa kita secara individu sewajarnya menjadi teguran dan peringatan yang keras buat kita. ALLAH mengingatkan hamba-Nya supaya mengambil iktibar dengan apa yang menimpa mereka agar menilai kembali amal perbuatan dan memperbetulkan kesalahan-kesalahan mereka. Jika tidak, maka hukuman dan bala bencana yang menimpa orang lain akan turun menimpa diri mereka.

Firman ALLAH: "Tidakkah mereka memerhati dan memikirkan berapa banyak umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Padahal (umat itu) telah Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (dengan kekuasaan dan kemewahan) yang tidak Kami berikan kepada kamu, dan Kami turunkan hujan atas mereka dengan lebatnya, dan Kami jadikan sungai-sungai mengalir di bawah mereka, kemudian Kami binasakan mereka dengan sebab dosa mereka, dan Kami ciptakan sesudah mereka umat yang lain." (Surah Al-An'am: 6)

Ternyata sebelum kedatangan kita, telah wujud umat terdahulu yang ALLAH berikan mereka kekuatan dan tenaga di samping kekayaan dan kekuasaan. Tetapi apabila mereka menderhakai perintah ALLAH dan berpaling daripada suruhan-Nya, ALLAH timpakan atas mereka azab-Nya.

Firman ALLAH: "Kesudahannya rumah-rumah mereka runtuh ranap dengan sebab kezaliman mereka." (Surah An-Naml: 52)

Turun azab ALLAH

Azab ALLAH turun dalam pelbagai bentuk. Barangkali dalam skala besar sampai meranapkan sebuah negeri atau negara sebagaimana yang menimpa umat kafir dahulu dalam kalangan kaum Nabi Nuh AS dan kaum yang datang selepas mereka. Kisah mereka diceritakan dalam al-Quran.

Atau barangkali dalam bentuk skala kecil yang turun atas sebuah kabilah, keluarga atau orang perseorangan sebagaimana yang kita saksikan berlaku di sekeliling kita di mana kemalangan dan kecelakaan berlaku secara dahsyat dan mengejut.

Seperti gempa bumi yang memusnahkan sebuah bandar atau perkampungan yang menyebabkan ratusan atau ribuan nyawa hilang manakala yang lain hilang tempat tinggal tanpa makanan dan minuman. Akhirnya bangunan-bangunan tempat tinggal yang hancur roboh tinggal sunyi sepi tanpa penghuni.

Begitu juga peperangan yang melanda sesebuah tempat yang mengorbankan nyawa, tanaman dan binatang ternak, menjandakan wanita dan menyebabkan anak-anak menjadi yatim piatu manakala kehidupan seharian diselubungi ketakutan dan rasa cemas. 

Ataupun banjir besar yang meranapkan tempat tinggal, ladang tanaman dan hasil ternak. Kebakaran yang memusnahkan barangan berharga dan harta benda. Kemalangan kenderaan di jalan raya, udara atau di lautan yang mengorbankan penumpangnya.

Ataupun rumah tempat tinggal yang tak semena-mena roboh tanpa ada yang selamat kecuali sedikit. Barangkali mereka berhimpun di rumah tersebut untuk upacara tertentu bagi menyambut sesuatu yang menggembirakan mereka.

Tetapi dengan adanya maksiat yang dilakukan dalam upacara tersebut, perbuatan mereka mengundang azab ALLAH atas mereka. Akhirnya kegembiraan bertukar menjadi sedih manakala perhimpunan mereka pula berubah menjadi perpisahan.

Kesemua bentuk bala bencana ini ALLAH turunkan sebagai hukuman atas orangnya. Ia juga menjadi peringatan dan pengajaran buat mereka yang lain. Pepatah Arab menyebut: "Orang yang beruntung adalah orang yang mengambil pengajaran atas apa yang menimpa orang lain."

Dengan itu, wajib atas kita untuk menghindari perbuatan maksiat dalam upacara keramaian seperti majlis perkahwinan dan selainnya. Ia mengundang banyak mudarat seperti keluarnya wanita dari rumah mereka dalam keadaan tabarruj (menzahirkan segala kecantikan mereka sehingga mengundang fitnah kaum lelaki), berlakunya pergaulan bebas lelaki perempuan bukan mahram, di samping perkara-perkara lagha (perbuatan sia-sia yang melalaikan), yang menyebabkan solat tidak dijaga dan kemungkaran yang lain. Barangkali majlis tersebut diiringi alunan muzik dan nyanyian yang tidak diredai ALLAH. Perbuatan ini semua menyebabkan kerosakan akhlak dan tingkah laku.

Pelihara agama, maruah dan harta

Adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk memelihara agama, maruah dan harta bendanya. Sekiranya diadakan sebuah majlis perkahwinan, cukup ia dilakukan di rumah pengantin lelaki atau perempuan dengan di undang saudara mara dan jiran tetangga sekeliling sahaja. Tiada keperluan untuk berlebih-lebihan. Majlis tersebut pula hendaklah bebas daripada maksiat atau apa sahaja yang bertentangan dengan agama. Ini bagi menjamin masyarakat Islam dapat berhimpun sesama mereka dalam suasana aman tenteram penuh keharmonian.

Terdapat sebahagian kelompok yang mentafsirkan kejadian bala musibah yang menimpa menerusi kaca mata zahir semata-mata. Mereka tidak menganggapnya sebagai hukuman daripada ALLAH yang menimpa akibat perbuatan dosa dan maksiat.

Sebaliknya mereka akan berkata: "Musim kemarau ini disebabkan oleh fenomena itu dan ini." "Kemalangan tersebut berpunca daripada cuaca buruk." "Kebakaran itu berlaku akibat litar pintas" dan seumpamanya.

Mereka sedaya upaya mendatangkan sebabnya yang boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Dalam masa yang sama mereka gagal melihat lebih jauh daripada itu di mana ia adalah takdir ALLAH yang berbentuk hukuman atas perbuatan menyalahi perintah-Nya atau melakukan apa yang dilarang-Nya.

Dengan sikap tersebut, ramai yang tidak mengambil pengajaran atas bala musibah yang menimpa. Sedangkan ALLAH berfirman: "Tidaklah Kami mengutus dalam sesebuah negeri seorang nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan dan penderitaan, supaya mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).

Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan sehingga mereka pulih kembali dan berkata (dengan angkuhnya): "Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah berasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)"; Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut dan mereka tidak menyedarinya." (Surah Al-A'raaf: 94-95)

ALLAH uji mereka dengan kesusahan dan kesenangan supaya mereka tunduk dan sedar. Ternyata mereka tidak mengambil pengajaran daripada kesusahan mahu pun kesenangan yang ALLAH timpakan atas mereka. Bahkan mereka beralasan kesusahan dan kesenangan yang menimpa mereka telah pun menimpa atas nenek moyang mereka dahulu.

Dengan erti kata lain, ia adalah suatu kebiasaan dan lumrah alam. Mereka tidak sedar bahawa ALLAH sedang menguji mereka. Akhirnya ALLAH mengatakan: "Lalu Kami timpakan mereka azab seksa secara mengejut tanpa mereka menyedarinya."

Ambil pengajaran

Tidak dinafikan, setiap sesuatu ada sebabnya yang boleh difahami menurut 'sains' dan seumpamanya. Tetapi hendaklah kita lihat juga kepada penyebab segala sebab iaitu ALLAH. Sekiranya ALLAH menghendaki sesuatu, Dia akan aturkan sebab musababnya yang mungkin sahaja zahir atau pun tersembunyi. Akhirnya segala sebab musabab itu tidak akan berlaku kecuali dengan izin dan takdir ALLAH.

Semoga kita terdiri dalam kalangan mereka yang mengambil pengajaran dan peringatan di samping bergegas bertaubat kepada ALLAH.

Islam larang hina agama lain

KEWUJUDAN pelbagai bangsa dan agama tidak dapat dielakkan lagi. Bahkan telah wujud sejak sebelum kedatangan Islam. Apabila Islam diturunkan, syariat Islam memberikan garis panduan jelas bagaimana mengatur kehidupan dalam kepelbagaian ini.

Selari dengan seruan Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam, maka umat Islam dididik dan diasuh dengan nilai suci bagi mewujudkan keharmonian dalam menguruskan perbezaan ini.

Berbeza untuk saling berkenalan

Antara kunci utama yang diajar Islam dalam mewujudkan keharmonian dalam masyarakat ialah saling berkenal-kenalan. Berbeza bangsa dan pegangan kepercayaan bukan disuruh untuk mencetuskan perbalahan dan permusuhan.

Tetapi, Islam mengajak untuk jalinkan hubungan persahabatan. Masih banyak nilai persamaan yang boleh dikongsi bersama atas nama manusia. Bermula dengan berkenalan, lalu diikuti dengan saling faham memahami.

Jelas dalam ayat berikut, ALLAH SWT berfirman:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLAH ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Surah Al-Hujurat: 13)

Ajak dengan bijak

Kita mengakui ALLAH Maha Pencipta sekalian makhluk. Justeru, kita juga mengakui hanya ALLAH yang layak disembah dan hanya Islam agama yang benar. Tidak ada agama lain yang diiktiraf ALLAH seperti yang dinyatakan dalam ayat berikut:

"Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi ALLAH ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan ALLAH, maka Sesungguhnya ALLAH amat segera hitungan hisab-Nya." (Surah Ali Imran: 19)

Keyakinan kita terhadap kebenaran Islam tidak pernah goyah. Kita hidup di atas jalan Islam dan mati juga di atas nama Islam. Justeru, kita disuruh untuk sampaikan kebenaran Islam ini kepada penganut agama lain. Di situlah adanya dakwah.

Dakwah Islam pula didasari dengan satu prinsip yang sangat harmoni iaitu hikmah. Al-Quran mengajar kita supaya sampaikan kebenaran Islam dengan penuh hikmah. Jika perlu kepada perbahasan dan perdebatan sekali pun, ia tetap berjalan dalam suasana yang baik. Perhatikan satu persatu pesanan ALLAH dalam ayat berikut:

"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik..." (Surah Al-Nahl: 125)

Larang hina agama lain

Sekali pun kita berdiri teguh di atas keyakinan hanya Islam agama yang diterima, Islam tetap tidak membenarkan kita mencerca dan memperlekehkan kepercayaan agama lain. Ia bukan bererti kita mengiktiraf kebenaran kepercayaan agama lain. Tetapi, inilah adab yang Islam didik.

Pendakwah Islam harus berpegang kepada adab mulia ini. Dalam keghairahan ingin mengajak orang lain memahami dan menerima Islam, jangan dihina kepercayaan mereka.

Perhatikan apa yang al-Quran ingatkan kepada kita, firman-Nya: "Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari ALLAH, kerana mereka kelak, akan mencerca ALLAH secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan." (Surah Al-An'am: 108)

Syeikh Abdul Rahman bin Naser Al-Sa'di ketika menghuraikan ayat ini menyebut: "ALLAH melarang orang beriman daripada perkara yang asalnya diharuskan bahkan bertepatan dengan syariat iaitu menghina tuhan sembahan orang musyrikin yang dijadikan sebagai berhala dan tuhan bersama dengan ALLAH, yang mereka jadikan untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dengan menghina dan mencercanya.

"Tetapi, disebabkan tindakan mencerca ini boleh menjadi punca kepada orang musyrikin pula mencerca Tuhan sekalian alam, iaitu Tuhan yang zatnya yang Maha Agung wajib disucikan dari segala kekurangan, kecelaan, pencercaan dan kejelikan, maka ALLAH melarang untuk mencerca sembahan orang musyrikin kerana mereka akan membela pegangan mereka dan bersikap taksub dengannya.

Ini kerana, bagi setiap umat, ALLAH hiaskan amalan yang mereka lakukan, maka mereka lihat ia sebagai baik dan akan pertahankannya. Mereka akan membela dengan segala cara sehingga mereka sanggup mencerca ALLAH, Tuhan sekalian alam, yang keagungan-Nya meresap mengalir ke dalam hati manusia yang baik dan juga jahat, sekiranya orang Islam mencerca tuhan sembahan mereka." (Al-Sa'di, Abdul Rahman bin Naser, Taysir Al-Karim Al-Rahman, (2005: Muassasah al-Risalah), m/s 268)

Dr Zakir Naik di Malaysia

Kedatangan tokoh pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik kali ini ke Malaysia, mencetuskan aura yang berbeza berbanding sebelum ini. Ada pihak yang tidak senang hati dengan kehadiran dan siri syarahan beliau yang diatur. Bahkan ada yang membuat laporan polis mendesak agar dibatalkan.

Antara yang menzahirkan bantahan ialah Hindraf, MIC dan juga ASWAJA. Bantahan Hindraf dan MIC, boleh difahami apakah faktor yang mendorong mereka lakukan demikian. Tetapi, apabila ASWAJA yang mendakwa mewakili Ahli Sunnah wal Jamaah, turut menyuarakan kritikan, ini yang agak pelik lagi aneh.

Dr Zakir Naik antara hadiah yang ALLAH kurniakan kepada umat pada zaman ini. Kepakaran dan kemahiran beliau menghurai dan menjawab isu-isu berkaitan perbandingan agama, tidak perlu diragui lagi.

Pelbagai pengiktirafan antarabangsa telah dikurniakan kepada beliau. Beliau bercakap bersandar kajian. Hujah demi hujah dibentangkan. Isi syarahannya mampu membuka mata dan mengajak minda untuk berfikir secara kritis.

Lebih menarik, cara beliau kendalikan syarahan dilakukan secara terbuka. Sesiapa sahaja boleh hadir bagi mendengar dan berdiskusi.

Justeru, mengapa sampai perlu ada bantahan dan desakan untuk dibatalkan sedangkan siri-siri syarahan beliau adalah sebahagian daripada budaya intelektual yang patut disuburkan lagi di Malaysia.

Tidak setuju dengan beliau, bukan dengan cara memfitnah dan mentohmah. Tetapi, hadirlah untuk mendengar terlebih dahulu dan saling berdiskusi bentangkan hujah. Majoriti rakyat Malaysia dahagakan perbincangan ilmiah, mengangkat kematangan cara berfikir dan berlangsung dalam keadaan harmoni.

Ia telah terbukti di negara lain. Bahkan, India yang bukan negara Islam, tidak ditadbir oleh orang Islam, memberikan ruang yang luas kepada budaya perbincangan ilmiah ini.

Malaysia, sebagai negara Islam, sepatutnya menjadikan budaya perbincangan ilmiah berkaitan perbandingan agama ini lebih lagi subur dan penuh harmoni. Insya-Allah, kebanyakan rakyat Malaysia telah bersedia ke arah itu. Jika ada yang tidak berpuas hati, jemput hadir terlebih dahulu. Anda akan diberi tempat VIP. Dengar, tanya, fikir dan pertimbangkan.

Integriti menuju gerbang perkahwinan

BARU-BARU ini kita digemparkan dengan berita yang dipaparkan di muka hadapan sebuah akhbar tempatan mengenai pergaduhan antara dua keluarga pengantin yang berlaku di dalam Masjid Jamek, Kampung Pantai Dalam, Kuala Lumpur kerana kegagalan pengantin lelaki membawa baki wang hantaran sebanyak RM5,000 daripada RM15,000 hantaran yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Apa yang dikesalkan kejadian itu bukan saja berlaku di dalam masjid iaitu sebuah institusi yang amat mulia yang disebut Allah sebanyak 27 kali di dalam al-Quran tetapi juga turut meleraikan ikatan dua hati yang sepatutnya disatukan dalam keadaan harmoni.


Ibu bapa hendaklah bertolak ansur dari segi penyediaan wang hantaran anak-anak kerana perkara itu bukan rukun dalam Islam. GAMBAR HIASAN/BERNAMA

Mahar atau dalam bahasa Melayunya disebut mas kahwin adalah satu pemberian yang wajib diberikan oleh pihak suami kepada isteri­nya apabila berlaku perkahwinan. Oleh yang demikian, mahar itu adalah hak pengantin perempuan.

Mahar boleh dibayar secara tunai mahu pun hutang atau gabung­an kedua-duanya seperti dalam insiden di atas. Walaupun mahar ini wajib dibayar tetapi ia bukanlah satu rukun yang menentukan terbentuknya sesuatu perkahwinan.

Dalam erti kata lain, sekiranya mahar tidak dibayar secara tunai semasa akad nikah berlangsung, maka perkara itu tidak akan menjejaskan kesahihan akad nikah ber­kenaan. Sebaliknya, pembayaran mahar itu akan tertangguh dan dianggap sebagai hutang yang perlu dijelaskan oleh suami pada masa akan datang.

Oleh itu, sekiranya seorang suami itu belum menjelaskan mahar kepada isterinya dan berlaku kematian, maka mahar itu dianggap sebagai hutang dan perlu dijelaskan oleh waris-waris si suami atau diambil daripada harta peninggalannya.

Dalam konteks ini Allah berfirman: “Berikanlah mas kahwin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makan makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya “ ( Surah An-Nisaa’4:4).

Mas kahwin itu tidak dihadkan oleh syarak banyak atau sedikitnya dan ia adalah berdasarkan persetujuan kedua belah pihak untuk menentukannya berdasarkan taraf atau darjat pengantin perempuan berkenaan.

Menurut para fuqaha Islam, mahar itu terbahagi kepada dua jenis iaitu Mahar Mithil dan Mahar Musamma.

Mahar Mithil ialah jumlah mas kahwin yang dinilai mengikut mas kahwin saudara-saudara perempuan lain yang telah berkahwin terlebih dahulu dan hendaklah dinilai sama dengan mas kahwin ahli keluarga yang paling dekat se­perti kakak, ibu saudara dan sebagainya di samping menilai ke­adaan perempuan itu sendiri dari segi kecantikan,kekayaan,pelajaran dan sebagainya. Ini boleh digunakan jika penetapan mahar tidak dinyatakan secara jelas sebelum sesuatu perkahwinan itu berlaku.

Mahar Musamma pula ialah jumlah mas kahwin yang ditetapkan dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak sebelum perkahwinan itu berlangsung dengan tidak mengambil kira nilai mas kahwin bagi saudara-saudara perempuan lain. Oleh itu, bakal suami wajib membayar sejumlah mas kahwin yang telah dipersetujui walaupun mas kahwinnya adalah lebih mahal daripada mas kahwin saudara-­saudara perempuannya yang lain.

Islam amat mengutamakan soal agama dalam setiap aspek kehidupan. Justeru dalam soal mencari jodoh pun aspek agama amat di­utamakan di samping Islam tidak meminggirkan kepentingan aspek-aspek lain. Ini adalah kerana sesebuah keluarga yang hendak dibentuk nanti bukanlah untuk satu jangka masa singkat tetapi biarlah ber­kekalan hingga ke anak cucu.

Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda “Sebaik-baik isteri adalah bila diberikan sesuatu dia bersyu­kur, bila tidak diberikan apa-apa dia bersabar,bila kamu memandang­nya menyenangkan hatimu, bila kamu menyuruhnya dia mentaatimu” (Hadis Riwayat Muslim).

Ahli falsafah Latin terkenal iaitu Plato bertanya kepada gurunya apakah maksudnya perkahwinan, lalu gurunya menjawab “Kamu ma­suklah ke hutan, dan bawalah balik satu pohon yang engkau fikir paling baik dan bawalah keluar dari hutan itu”.

Lalu masuklah Plato ke dalam hutan dan membawa keluar sebuah pohon yang tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu cantik. Lalu Plato memberitahu gurunya “ Saya bertemu banyak pohon yang indah daunnya, besar batangnya tetapi saya tidak dapat memotongnya dan pastinya tidak dapat membawa keluar pohon itu dari hutan tersebut. Kemudian saya temui pohon yang tidak terlalu buruk, tidak terlalu tinggi dan saya fikir mampu membawanya kerana mungkin saya tidak menemui lagi pohon seperti itu di hadapan sana, maka saya pilih pohon itu kerana saya yakin mampu merawatnya dan menjadikannya cantik”.

Lalu berkata gurunya ‘‘Itulah makna perkahwinan”. Maksudnya pilihlah calon yang terbaik mengikut pandangan dan keyakinan kita dan terimalah seadanya di samping berusaha menjadikan kehidupan berumahtangga itu yang terbaik bagi kita dengan saling faham memahami dan lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Mudah-mudahan peristiwa pergaduhan dua keluarga yang berlaku ini adalah yang terakhir berlaku dalam masyarakat kita. Sebagai ibu bapa, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengah­winkan anak-anak kita dan bertolak ansur dari segi penyediaan wang hantaran kerana ia bukanlah satu rukun yang akan mencacatkan perkahwinan tersebut. Ini juga sejajar dengan aspirasi besar negara ­sepertimana yang terkandung dalam Tekad Keempat Pelan Integriti Nasional iaitu memantapkan institusi ­keluarga dan komuniti.

Mudah-mudahan dengan per­kah­winan yang terjalin itu rezeki pasangan muda ini akan menjadi murah sepertimana yang dijanjikan Allah melalui Firman-Nya “Dan kahwinkanlah orang-orang bujang(lelaki dan perempuan) dan dalam kalangan kamu dan hamba-hambamu yang soleh, lelaki dan perempuan. Jika mereka itu miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dengan limpah Kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (Rahmat dan Limpah Kurnian-Nya ),lagi Maha Mengetahui”( Surah An-Nahl : 16 : 72).

Penulis ingin menutup bicara kali ini dengan merenung akan sepotong hadis Rasulullah yang bermaksud “Takuti Allah mengenai perempuan. Sesungguhnya kamu telah mengambil mereka atas keamanan Allah dan persetubuhan dengan mereka telah dihalalkan dengan kalimah Allah” ( Hadis Riwayat Muslim).

Sesungguhnya, isteri itu adalah amanah Allah yang wajib dijaga dengan penuh rasa tanggungjawab dan secara berintegriti oleh suami yang adalah ketua kepada sesebuah keluarga.

-

Sekularisme dan Wibawa Manusia

FAHAMAN sekularisme yang dianuti oleh masyarakat di negara Barat bukan sahaja boleh menyebabkan penganutnya memisahkan kehidupan mereka daripada nilai-nilai agama malah boleh juga menghapuskan fitrah penciptaan manusia. Kefahaman terhadap nilai-nilai agama dan jati diri sebagai makhluk Allah yang berwibawa kian hari semakin pupus. Masyarakat sekular lebih mementingkan kemewahan dan kemajuan material daripada pembentukan kerohanian dan keperibadian berunsurkan kepada perundangan dan nilai-nilai agama.

Matlamat kehidupan mereka adalah tertumpu kepada kemajuan berbentuk material di mana mereka begitu gigih membangun dan membina negara serta berjaya mencipta teknologi moden sehingga mereka mampu menguasai dunia dalam abad terkini. Kegigihan dan ketekunan mereka dalam urusan duniawi amat dikagumi jika dibandingkan dengan masyarakat Islam masa kini. Mereka mempunyai disiplin dalam urusan pekerjaan seharian di mana mereka mampu untuk mengendalikan pel­bagai permasalahan berkaitan dengan urusan duniawi. Kejayaan mereka dalam aspek ini tidak boleh ditandingi oleh kebanyakan masyarakat Islam masa kini.


PARA aktivis hak asasi manusia berpendapat kehidupan dan hubungan sejenis adalah hak individu yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja asalkan tidak menjejaskan orang lain. GAMBAR HIASAN

Kejayaan dan kecapaian mereka dalam mengendalikan urusan negara dan material sehingga dapat menguasai dunia bukan satu simbol kejayaan yang hakiki jika masyarakat dalam negara mereka mengenepikan nilai-nilai agama dan fitrah kejadian manusia. Tidak di­nafikan bahawa masyarakat sekular amat prihatin terhadap individu yang miskin dan kurang berkeupayaan di mana mereka memiliki institusi kebajikan yang sistematik dan boleh dijadikan contoh kepada masyarakat lain. Perkara berkaitan kemanusiaan dan kebajikan adalah salah satu agenda negara-negara sekular yang maju dan progresif.

Kelemahan dan kegagalan negara-negara sekular adalah berkaitan dengan pembentukan masyarakat dalam hal ehwal kerohanian dan keperibadian. Konsep individualistik berkaitan hal ehwal peribadi di mana hak individu untuk melakukan sesuatu secara bebas tidak boleh ditegur atau dicegah selama mana individu tersebut tidak melanggari undang-undang negara, menyebabkan ramai masyarakat dalam negara tersebut terumbang-ambing dalam arus hawa nafsu.

Konsep individualistik yang di­anuti oleh masyarakat sekular menafikan hak ibu bapa terhadap hal ehwal peribadi anak-anak apabila mereka apabila mencapai umur 18 tahun menyebabkan anak-anak memilih corak kehidupan sendiri tanpa pedoman daripada ibu bapa. Kebebasan yang sering menjadi pilihan mereka adalah lebih tertumpu kepada perkara berkaitan hawa nafsu dan corak hidup hedonistik yang bercanggah daripada kerohanian dan nilai-nilai keagamaan.

Dalam konteks kehidupan ­ma­­sya­rakat sekular tokoh-tokoh aga­ma tidak mempunyai hak untuk menghalang atau mencegah masyarakat daripada melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai dan budaya agama. Mereka hanya mampu menjelaskan perundangan agama sebagai panduan untuk masyarakat. Sejauh mana masyarakat menerima atau menolak panduan mereka bukan persoalan yang perlu dibahaskan. Misalnya, pada 1990-an terdapat gereja di Barat menjelaskan bahawa homoseks (hubungan sejenis jantina) adalah diharamkan oleh Tuhan kerana perkara tersebut dijelaskan di dalam kitab Injil.

Pengaruh sekularisme mengatasi pengaruh gereja kerana majoriti masyarakat Barat menganuti fahaman sekularisme maka kegiatan homoseksual menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat di mana akhirnya terdapat gereja di Barat menerima gay dan lesbian menjadi biskop. Kehidupan masyarakat yang berteraskan kepada material dan kepuasan hawa nafsu sering mendorong mereka melakukan sesuatu kegiatan berdasarkan kepada bisikan naluri tanpa menghiraukan nilai agama dan fitrah kejadian mereka.

Apabila agama tidak dijadikan sebagai panduan hidup maka manusia bebas melakukan sebarang kegiatan sehingga di luar batas fitrah kejadian. Bisikan naluri yang mendorong kepada perbuatan yang bertentangan dengan fitrah kejadian dianggap sebagai hak individu yang perlu dihormati. Kemajuan sains dan teknologi yang terlalu tinggi dan canggih sehingga ke tahap yang boleh mencipta sesuatu yang menakjubkan menjadikan manusia terlupa akan hakikat fitrah kejadian mereka.

Dalam era teknologi yang serba canggih dan maju penjualan benih lelaki dan wanita mudah didapati dalam dunia sekular. Keturunan dan pertalian kekeluargaan individu yang adalah asas penting sebagai pengiktirafan ahli keluarga luput daripada pemikiran masyarakat sekular. Mereka bebas mendapatkan benih daripada lelaki atau wanita untuk mendapat anak melalui proses di luar fitrah kejadian manusia. Seorang lelaki yang menjual benihnya mampu memberi ramai wanita anak dan pasangan suami isteri.

Islam amat prihatin terhadap pertalian keturunan dan darah kerana ia menentukan hak dan pengiktirafan ahli keluarga yang mempunyai hubung kait dengan harta warisan dan mahram. Bagi masyarakat sekular, kepuasan dalam kehidupan tidak berdasarkan kepada nilai dan perundangan agama.

Pemikiran dan konsep hidup begini semakin hari kian menjadikan masyarakat sekular hilang pedoman hidup sebagai manusia yang berwibawa. Setiap perbuatan janggal yang dilakukan oleh mereka perlu dianggap sebagai fitrah kejadian mereka walaupun perbuatan tersebut tidak dilakukan oleh masyarakat primitif. Peristiwa ibu atau bapa melakukan hubungan seks dengan anak-anak secara sukarela sudah tidak dianggap sebagai perbuatan terkutuk. Kejadian begini berlaku dalam masyarakat sekular kerana kepuasan dalam hidup sering dinilai dalam perspektif kepuasan hawa nafsu bukan pemikiran rasional yang berlandaskan kepada perundangan Tuhan.

Sebagai masyarakat Islam setiap kegiatan yang terkeluar daripada fitrah kejadian manusia atau hukum hakam Islam berkaitan keperibadian umat Islam perlu dicegah dan ditangani secara berhemah. Sikap membiarkan kejadian itu berleluasa dalam masyarakat boleh menjadikan umat Islam hilang kewibawaan sepertimana berlaku dalam masyarakat sekular di Barat. Takutilah Allah dalam berurusan dengan kehidupan di dunia ini.

-