April 26th, 2016

Apa ada dengan surah al-Waqi’ah?

RAMAI runsing apabila makan tak cukup atau harta berkurang, tapi sedikit yang risau jika bekal tidak cukup untuk ke akhirat. Sekiranya makan tidak cukup, tubuh mungkin menyusut tapi hidup masih boleh diteruskan kerana Allah tidak pernah mengenakan bil oksigen, matahari, bulan, sendi badan dan sebagainya.

Tapi awas! Jika amalan atau bekal rohani tidak cukup untuk menghadap Allah kelak, kita akan lapar dan dahaga di alam sana. Lapar dan dahaga akhirat sungguh luar biasa kerana ia bersulam azab yang sangat pedih. Menu makanannya adalah buah Zaqqum, minumnya pula air panas menggelegak dan ‘jus nanah’ yang meleleh daripada luka ahli neraka. Ini yang diulang sebut Allah dalam banyak surah termasuklah dalam surah al-Waqi’ah.

Murah rezeki dunia atau cukup bekal akhirat

KIAMAT amat dahsyat hinggakan gunung-ganang yang besar dan teguh boleh hancur menjadi debu berterbangan, bencana alam yang berlaku di dunia hanya sekelumit sahaja daripada contoh kekuasaan Allah. - GAMBAR HIASAN

HADIS DAIF?

Sebut sahaja surah al-Waqi’ah, langsung terlintas ia adalah surah amalan yang bagus untuk dimurahkan rezeki. Benarkah begitu? Kelebihan itu disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. ketika beliau hampir meninggal. Beliau ditanya khalifah Uthman bin Affan r.a. tentang kerunsingan beliau. Abdullah berkata dia tidak risau kefakiran kepada anak-anaknya kerana sabda Rasulullah SAW:“Sesiapa yang membaca surah al-Waqi’ah setiap malam tidak akan ditimpa kefakiran selamanya,” (Imam al-Baihaqi meriwayatkannya dalam Sa’b al-Iman)

Walaupun begitu, hadis ini dihukum sebagai daif oleh ramai para ulama Hadis seperti Imam Ahmad, Imam Abu Hatim, Imam al-Daruqutni, Imam al-Baihaqi dan sebagainya. Pun begitu, atas umumnya kelebihan membaca al-Quran, surah ini boleh dibaca sebagai amalan bersama surah lain untuk mendapat hidayah daripada isinya dan ganjaran pahala pada setiap hurufnya. Sabda Rasulullah: “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran, kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti dua tompok awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah, kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan serta pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan) oleh ahli sihir,” - Sahih Muslim.

KEDAHSYATAN KIAMAT

Dalam hadis yang lebih sahih, surah al-Waqi’ah membawa sudut pandang yang lebih ‘kena atau tepat’ dengan isinya yang berkait rapat dengan kegemparan kiamat.

Rasulullah SAW beruban memikirkan kegemparan isi surah al-Waqi’ah bersama surah yang lain.

“Ibn ‘Abbas menyebut, pada suatu hari Abu Bakar r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, engkau sudah beruban?” Baginda menjawab: “(Kedahsyatan isi kandungan) surah Hud, al-Waqi’ah, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menjadikan aku beruban,” - Sunan al-Tirmizi, Mustadrak al-Hakim.

Surah al-Waqi’ah bukan surah biasa kerana bayangan kiamat yang digambarkannya amat dahsyat sehingga boleh melumpuhkan sendi lutut. Gunung digegarkan kuat sehingga menjadi debu berterbangan! Jika rumah kita bersebelahan dengan kawasan industri kuari, dentuman dinamit yang menggegar bukit bagi menghancurkan batunya pasti membuatkan kita tidak senang duduk.

Bayangkan pula jika makhluk Allah seteguh gunung Everest dileburkan menjadi debu. Pastinya tubuh kita sudah tidak berjasad pada waktu itu. Inilah gambaran surah al-Waqi’ah: “(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur-leburkan dengan selebur-leburnya, lalu jadilah ia debu yang bertebaran,” (al-Waqi’ah [56:4-6]).

Benar apa yang dirunsingkan Rasulullah SAW, kegemparan kiamat sangat dahsyat kerana bukan sahaja yang berusia boleh beruban, kanak-kanak pun tidak terkecuali. Firman Allah:“(Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu - kalau kamu kufur ingkar - (daripada azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?,” (al-Muzzammil [73:17]).

Setelah berlaku kiamat, Allah dengan kuasa-Nya yang mutlak akan ‘mengangkat-mulia’ dan ‘menjatuh-hinakan’ beberapa kumpulan manusia dalam Surah al-Waqi’ah (ayat 3 dan 7-9). Manusia yang mulia terdiri daripada dua golongan iaitu golongan istimewa (VVIP) (ayat 10 – 26) dan golongan kanan (ayat 27 – 40). Manusia hina pula dihumban dan diseksa dengan dahsyat dalam neraka (ayat 41 – 57).

BEKALAN ROHANI

Surah al-Waqi’ah mengingatkan kita agar menyediakan bekal rohani sebanyak mungkin kerana apabila tiba di akhirat, wang ringgit dan emas permata tidak akan diterima sebagai mata wang. Hanya ‘mata wang pahala’ laku digunakan. Kunyah dan hadamlah surah ini sedaya mampu agar ia menjadi makanan berzat untuk rohani kita seiring kehendak Allah. Setelah rohani sihat dan segar bugar, kita mampu meraih tiket ke syurga sama ada sebagai VVIP atau golongan kanan.

Inilah rezeki sebenar yang wajib dikejar oleh semua yang mengaku beriman.

Ketawa keterlaluan bukan sifat Mukmin

Tertawa tabiat manusia. Binatang tidak dapat tertawa kerana tertawa itu datang selepas memahami dan mengetahui ucapan yang didengar atau sikap daripada gerakan dilihat sehingga membuatkan hati berasa lucu.

Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D'Zahra yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, jam 10.15 pagi berkata, indahnya Islam tidak melarang seseorang itu berseronok dengan bergelak ketawa.

Berseronok boleh tetapi hendaklah sederhana kerana apabila ketawa terlalu kuat, kita sering alpa dalam menghayati akhlak Islam yang sebenar.
Umat Islam mesti sentiasa menjaga batas kesopanan dan tidak berlebih-lebih ketika bergembira. - Gambar hiasan


Membicarakan topik 'Islam Anugerahkan Manusia Dengan Ketawa', Muhamad Abdullah berkata, ketawa juga ada kesannya.

Beliau berkata, ada tiga perkara tetap jatuh hukumnya walaupun dilakukan dalam keadaan berlawak.

Nabi SAW bersabda: "Tiga perkara yang mana diambil hukumnya sama ada dalam keadaan berlawak atau serius iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba." (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah - sanad hasan)

Orang Musyrikin dicela

Allah SWT telah mencela orang Musyrikin yang ketawa ketika mendengar bacaan al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Adakah kamu hai Musyrikin rasa hairan dengan ayat suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dengan keadaan lalai." (Surah an-Najm, ayat 59-61)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman. Janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik daripada orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita lain, kemungkinan wanita yang dihina lebih baik daripada wanita yang menghina." (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Bergelak tertawa ada kala menjadi tidak baik dan makruh hukumnya. Ibn Mas'ud meriwayatkan daripada Auf bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW tidak tertawa melainkan tersenyum simpul dan tidak suka menoleh kecuali dengan semua wajahnya.

Hadis itu menunjukkan bahawa senyum adalah sunat dan tertawa berbahak-bahak adalah makruh.

Maka dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat, orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga.

Menurut Yahya bin Muaadz ar-Razi, ada empat perkara yang menghilangkan tertawa seorang Mukmin iaitu kerana memikirkan akhirat, kesibukan mencari keperluan hidup, risau memikirkan dosa, tibanya musibah dan bala.

Banyak ketawa bukan sifat Mukmin

Jika seseorang sibuk memikirkan perkara itu, maka dia tidak banyak tertawa kerana banyak tertawa bukan sifat seorang Mukmin.

Diriwayatkan oleh Ibn Abbas, "Sesiapa yang tertawa ketika membuat dosa, maka dia akan menangis ketika akan masuk neraka."

Sabda Rasulullah SAW: "Dan siapa yang meninggalkan senda gurau diberi wibawa dan keindahan, dan siapa yang meninggalkan tertawa, maka ia berwibawa dan hebat, dan siapa yang tidak menginginkan kekayaan orang maka ia dicintai."

Islam juga melarang seseorang melakukan sesuatu atau berkata sesuatu untuk mentertawakan orang lain atau menyebabkan orang lain tertawa.

Contohnya, berlawak jenaka dengan mengeluarkan kalimah yang menyebabkan orang lain tertawa.

Menurut riwayat daripada Ibrahim Annakhari, katanya, "Adakalanya seseorang mengeluarkan satu kalimah untuk mentertawakan orang di sekitarnya, maka Allah SWT murka padanya lalu murka Allah SWT itu merata kepada orang yang di sekitarnya, yang tertawa bersamanya.

Jika seseorang yang berkata kalimah yang diredai oleh Allah SWT, maka ia mendapat rahmat dan rahmat Allah SWT itu diperoleh juga oleh orang di sekitarnya."

Sabda Rasulullah SAW: "Neraka wail itu buat orang yang bercakap dengan berdusta dan berolok-olok supaya menimbulkan tertawa pada orang ramai, dan neraka wail itu untuk dia."

Kalimah 'neraka wail itu untuk dia' diulang sebanyak dua kali, membuktikan tegas dan kuatnya amaran terhadap orang yang suka bergelak tertawa serta berjenaka.

Islam memberi peringatan semakin kuat hilai tawa seseorang itu, semakin hampir iblis dan syaitan menari-nari untuk melalaikan dia.

Sentiasa jaga  batas kesopanan

Muhamad Abdullah al-Amin menjelaskan, membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah SAW juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga serta sahabat Baginda.

Rasulullah SAW apabila ketawa hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai atau terkekeh-kekeh.

Justeru, hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam erti kata yang sepatutnya.

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana kerana kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.