April 27th, 2016

Umat Islam menolak sains?

SAINS dan teknologi pemang­kin kekuatan ekonomi sesebuah negara. Kedua-duanya juga menjadi indikator kemajuan pembangunan dunia masa kini. Namun, di manakah letaknya sains dan teknologi dalam kalangan umat Islam?

Contohnya, Nobel Laureates ada­­lah anugerah berprestij yang mengiktiraf sumbangan signifikan di peringkat dunia. Bagaimanapun, sejak diperkenalkan pada tahun 1901 sehingga kini, hanya 12 penerima Muslim daripada 900 orang yang menerima anugerah. Antaranya pe­ne­rima anugerah itu dalam bidang Fizik pada 1979, Muhammad Abdussalam dari Pakistan, Aziz Sancar dari Turki (Kimia) pada 2015 dan penerima Anugerah Nobel Keamanan termuda berumur 17 tahun, Malala Yousafzai dari Pakistan.

Ke manakah perginya cendekia­wan Islam? Tidak adakah sumbangan mereka yang signifikan kepada dunia yang layak diiktiraf dengan Hadiah Nobel?

Jurang sains dan teknologi antara negara Islam dan negara maju begitu ketara. Sumbangan 57 buah negara Islam di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sebuah badan antarabangsa mewakili 1/4 populasi dunia, hanyalah 2.4% daripada perbelanjaan dunia untuk penyelidikan dan pembangunan(R&D). Jumlah penyelidik dalam kalangan umat Islam juga secara puratanya masih rendah iaitu 457 orang bagi setiap sejuta penduduk berbanding purata dunia 1,549.

Jelas negara-negara Islam begitu jauh ketinggalan dalam penguasaan sains dan teknologi dengan hasil saintifik yang sangat minimum. Mungkinkah kerana umat Islam masih skeptikal dan menolak sains atas alasan tidak selari dengan kehendak agama? Sains adalah ilmu duniawi dari barat yang tidak perlu diberikan keutamaan sebagaimana ilmu agama?

Jika kita sorot kembali sejarah per­kembangan ilmu dalam Islam bermula daripada Nabi Adam lagi seperti yang dijelaskan dalam al-Quran,: Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!” (Surah Al-Baqarah ayat 31 )

Jelas, apabila Allah SWT mengutus­kan umat manusia ke bumi sebagai khalifah, Allah menganugerahkan ilmu pengetahuan yang lengkap termasuk ilmu pertanian, pengiraan, ke­­mahiran pelbagai bahasa serta keimanan yang kemudian tersebar ke seluruh dunia dalam kalangan Bani Adam.

Nabi Adam ialah pelopor dan pe­rin­tis kewujudan ilmu sains dan teknologi. Nabi Idris pula dianugerahkan dengan ilmu astronomi, matematik dan perubatan. Menurut Ibnu Abi Usaibia’ah dan Ibnu Nadim, Nabi Idris yang pertama membina piramid di Mesir. Nabi Nuh juga dibekalkan de­ngan ilmu fizik dan matematik serta mahir dalam teknologi pembuatan kapal. Nabi Daud contohnya diajar ilmu mengenai besi.

Kemuncak kegemilangan sains dan teknologi adalah pada abad kelapan hingga ke-12 yang dikenali sebagai Era Emas Tamadun Islam. Ilmuwan Islam ketika itu ialah tokoh-tokoh yang mempunyai kesepaduan ilmu naqli (sains wahyu) dan ilmu aqli (sains tabii) sehingga dipanggil kesepaduan itu sebagai ilmu (al-ulum) tanpa dipisahkan ilmu agama dan ilmu sains. Atas gabungan dan kesepaduan ilmu naqli dan aqli dalam diri seorang ilmuwan maka umat Islam ketika itu menjadi pene­raju kemajuan sains dan teknologi serta pemikiran falsafah dan saintifik.

Maka lahirlah tokoh ilmuwan seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Ibnu Haitham, Jabbair Ibnu Hayyan, Al-Jazari, Ibnu Nafis dan Ibnu Firnas yang merupakan perintis pelbagai ilmu asas dalam matematik, kejuruteraan, biologi, fizik, kimia, perubatan dan sebagainya.

Persoalannya, apakah yang berlaku selepas kegemilangan tersebut? Kenapa umat Islam begitu ter­corot dalam sains dan teknologi masa kini walhal banyaknya ilmu sains moden ini berasaskan penemuan-penemuan fundamental orang Islam terdahulu?

Menurut Abdussalam, penerima Muslim pertama Hadiah Nobel Fizik dari Pakistan, beliau mendapat banyak inspirasi daripada al-Quran dalam memahami hukum alam contohnya, fenomena kosmologi, biologi dan perubatan. Jelas Islam tidak memisahkan ilmu agama dan ilmu sains. Justeru apakah langkah yang patut diambil oleh umat Islam bagi menguasai semula sains dan teknologi dalam era globalisasi ini?

Kita lihat kini budaya Korea dan Jepun, tersebar di seluruh dunia se­iring dengan teknologi yang dikembangkan. Siapa tidak tahu Samsung, Hyundai, Kia mahupun K-Pop, Gangnam Style dan Running Man, bahkan artis-artis Korea menjadi kegilaan remaja? Penguasaan sains dan teknologi memberikan impak kepada nilai sosial dan intelektual yang mempengaruhi gaya hidup masyarakat global.

Dalam hal ini, usaha gigih adalah perlu agar lebih besar takungan kelompok saintifik terdiri daripada penyelidik, tenaga pakar dan profesional dalam sains dan teknologi dilahirkan. Ini bukan sahaja meliputi modal insan tetapi juga dasar pembangunan sains dan teknologi yang mampan sebagai tulang belakang yang akan menyokong pelbagai inisiatif dan insentif.

Semua negara Islam harus bersatu untuk menyediakan satu sumber ilmu berpusat yang bertanggungjawab menterjemah dan mengolah buku-buku ini kepada bahasa ibunda setempat. Sudah sampai masanya saintis Muslim bekerjasama untuk membina jaringan penyelidikan contohnya dengan menggalakkan program mobiliti agar berlaku pemindahan ilmu dan kemahiran.

Akhir sekali, halangan terbesar yang menyumbang kepada jurang sains dan teknologi dalam kalangan umat Islam adalah sikap. Sikap prejudis dan skeptikal terhadap ilmu sains harus dibuang. Salah faham ini menyebabkan lahirnya ahli saintis Islam yang tidak arif ilmu agama atau ahli agama yang tidak arif mengenai ilmu sains, sedangkan kedua-duanya perlu berjalan seiring untuk kemaslahatan ummah.

Menginsafi perkara ini, maka USIM bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Saintis Muslim Malaysia aktif menganjurkan program jangkauan bagi memberi inspirasi dan membangkitkan motivasi generasi muda terhadap ilmu sains dan teknologi atau sekarang dikenali sebagai STREAM (Science, Technology, Religion, Engineering, Arts and Mathematics), satu peningkatan nilai kepada STEM (Science, Technology, Enginee­ring and Mathematics).

Sokongan agensi lain di dalam negara seperti Akademi Sains Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Pusat Sains Negara, serta dari luar negara seperti OIC mampu meningkatkan keyakinan pelbagai pihak terhadap tenaga profesional yang dilatih dengan kesepaduan ilmu naqli dan aqli yang sebati. Pihak berwajib dalam membina polisi pendidikan harus menilai dan melihat semula pedagogi pengajaran sains dan matematik agar menarik minat generasi muda dan tidak dimomokkan dengan kesukaran subjek mahupun konotasi bahawa subjek yang diajar tiada relevan dengan dunia realiti. Islam tidak menolak ilmu sains. Peranannya cukup penting seperti tercatat dalam sejarah para nabi serta ramai ilmuwan Islam.

- Norita Md Norwawi Utusan Malaysia Rencana 26 April 2016 6:05 PM

Manfaat gam Arab terhadap kesihatan

RAMAI tidak tahu rahsia khasiat gam Arab Al Manna dari negara Sudan yang dihasilkan daripada getah pokok acacia, mampu mengubati pelbagai jenis penyakit dan memberi banyak manfaat terhadap kesihatan.

Malah kebaikan gam Arab itu disebut dalam surah al-Baqarah ayat 57: “Dan kami payungi kami dengan awan (panas matahari di padang pasir) dan kami turunkan kepada kamu ‘manna dan salwa’...”.


GAM Arab Al Manna dihasilkan daripada getah pokok acacia yang mengeras menjadi damar berupa kristal. IHSAN PEMBACA

Kajian membuktikan amalan pengambilan gam Arab mampu melindungi dan memulihkan buah pinggang daripada rosak akibat penyakit kencing manis, darah tinggi atau pengambilan ubat-ubatan terlalu lama, selain mencegah selesema serta merawat masalah usus dan darah tinggi.

Disebabkan gam Arab itu sendiri adalah 100 peratus prebiotik serta mengandungi fiber yang terlarut, maka ia menjadi pilihan pihak 
Hospital Pakar Kanak-Kanak di Sudan untuk merawat 
kanak-kanak mengalami masalah penghadaman dan sakit perut.

Selain itu, kandungan mineral dan kalsium tertinggi di dunia yang terdapat dalam gam Arab itu juga bagus untuk kesihatan tulang, sekali gus amat sesuai untuk pembesaran kanak-kanak. Seperkara menarik, tiada kesan ­sampingan buruk terhadap kesihatan ­biarpun pengambilannya dibuat tanpa sukatan.

Pemaaf, sabar buka pintu rahmat

Kehidupan ini tidak terlepas daripada menerima pelbagai dugaan termasuk dihina, dizalimi, difitnah dan dicaci.

Memiliki sifat manusia yang serba lemah, ada kala timbul rasa marah dan ingin membalas setiap perbuatan yang tidak menyenangkan hati itu.

Namun, tarbiah agama telah mengubah sikap dan perbuatan dilakukan pihak lain kepada kita.

Sabar dan pemaaf adalah dua perkataan sangat bernilai dan mahal harganya di sisi agama tetapi tidak dinafikan bukan mudah menjadi seorang pemaaf.

Kita juga boleh melakukan perbuatan yang sama iaitu menuduh dan menghina orang lain tanpa memikirkan natijah dosa dan pahala yang akan diterima nanti.

Perbuatan jahat yang dibalas jahat akan menambahkan lagi kejahatan, menyebabkan rasa dendam hingga menimbulkan permusuhan dan perpecahan.


Firman Allah SWT bermaksud: "Dan tidaklah sama kesannya dan hukumnya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan yang ditunjukkan kepadamu dengan cara yang lebih baik, apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah sahabat karibmu." (Surah Fuṣṣilat, ayat 34)

Dosa sesama manusia tak diampunkan Allah SWT

Ingatlah, dosa sesama manusia tidak akan diampunkan oleh Allah SWT kecuali setelah mendapat kemaafan daripada manusia itu.

Oleh itu, bersedialah memaafkan kesalahan orang lain dan semoga Allah SWT juga sentiasa membuka pintu rahmat-Nya dan pengampunan-Nya untuk kita semua.

Hanya dengan mengambil nikmat bersabar dapat menghindarkan manusia daripada membalas segala penghinaan dan fitnah yang dilemparkan secara tidak bertanggungjawab itu.

Jangan sesekali berundur hanya kerana cacian, hinaan, kutukan mahupun cercaan. Allah SWT membenarkan kita untuk membalas kejahatan dilakukan oleh pihak lain tanpa melakukannya secara berlebihan namun bersabar itu adalah jalan yang lebih baik.

Cercaan yang dibalas dengan cercaan akan menjadikan suatu masalah semakin besar dan bertambah rumit. Alangkah baiknya jika orang yang mencemuh, mencerca dan menghina didoakan yang baik-baik supaya dibukakan mata, telinga serta pintu hatinya untuk melakukan kebaikan.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar." (Surah al-Nahl, ayat 126)

Sifat sabar menunjukkan seseorang itu memiliki keimanan yang tinggi kepada Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW: "Sangat mengagumkan keadaan seorang Mukmin sebab segala keadaan untuknya (dianggap) baik dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin. Jika mendapat nikmat dia bersyukur maka syukur itu lebih baik baginya. Dan bila menderita kesusahan dia sabar maka kesabaran itu lebih baik baginya." (Riwayat Imam Muslim)

Sentiasa nilai diri

Orang yang bersifat pemaaf selalu dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri untuk melakukan kebaikan.

Rentetan itu, orang yang pemaaf hatinya tidak mudah terbakar dengan provokasi yang menekan dirinya. Sikap berdendam merugikan kedua-dua pihak.

Paling tertekan ialah pihak yang lebih banyak berdendam. Hatinya tidak tenteram dan sentiasa ada perasaan buruk sangka.

Kadangkala, yang berdendam hanya sebelah pihak sahaja, sedangkan di pihak lain menganggap tiada persengketaan.

Perkara ini disebutkan dalam firman Allah SWT bermaksud: "Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara yang diambil berat melakukannya." (Surah al-Syuraa, ayat 43)

Mengimbas peristiwa yang berlaku ketika Ramadan tahun kelapan hijrah, Rasulullah SAW berjaya memasuki kota Makkah.

Orang Quraisy yang menjadi tawanan mempunyai pelbagai andaian dan pertanyaan apakah balasan yang akan dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada mereka setelah Baginda dan orang Islam menerima cercaan serta pelbagai seksaan daripada orang Quraisy Makkah.

Alangkah terkejutnya kaum Quraisy Makkah yang menjadi tawanan apabila mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Pergilah kamu, kerana kamu sekalian adalah bebas."

Baginda sedikit pun tidak menyimpan rasa dendam atau berniat untuk membalas kesakitan, kepedihan, cercaan, penghinaan, penderitaan dan seksa ditanggung oleh Baginda serta pengikutnya.

Rasulullah SAW juga memaafkan Hubur bin Aswad, seorang yang terkenal memusuhi Islam dan pernah menyakiti puteri Rasulullah SAW iaitu Zainab.

Pernah unta yang dinaiki Zainab dipanah Hubur hingga menyebabkan unta itu jatuh lalu mati. Zainab pada ketika itu sedang hamil dan terhumban dari atas unta menyebabkan kandungannya keguguran.

Sungguh pun demikian, setelah pembukaan Makkah Hubur menemui Rasulullah SAW memohon maaf daripada Baginda dan seterusnya menjadi pengikut agama Islam.  

Budaya di Jordan yang wajar dicontohi

RASULULLAH S.A.W bersabda yang bermaksud: "Solat pada awal waktu dari awalnya mendapat keredaan ALLAH dan di akhirnya mendapat keampunan ALLAH (Riwayat al-Termizi).

Berlandaskan hadis ini, Muslim disarankan agar menyegerakan solat ‎selaras dengan saranan Nabi kita, Muhammad SAW.

Namun, kadangkala kita sebagai manusia yang imannya ada turun naik tanpa sedar ada kalanya melengahkan waktu solat.

Moga ALLAH sentiasa memandu kita ke jalan yang lurus dan benar.

Sebagai satu muhasabah, baru-baru ini penulis berkesempatan ke bumi Syam, Jordan, sepanjang keberadaan di sana, penulis merasakan ada beberapa budaya di bumi tersebut yang perlu ditiru oleh masyarakat Islam kita, antaranya menyegerakan solat.


Rakyat di Jordan sering mengutamakan solat tidak kira di mana mereka berada.

SOLAT DIMANA-MANA, SEUSAI AZAN

Pada pemerhatian penulis sepanjang 11 hari berada ‎di sana, penulis mendapati rata-rata umat Islam di sana menjadikan amalan menyegerakan solat sebagai satu kelaziman.

Sebab itulah, jika anda ke sana anda boleh melihat mereka menunaikan solat di mana-mana asal sahaja tempat itu bersih dan membolehkan mereka menunaikan solat selepas sahaja azan habis berkumandang.

Dalam pada itu, antara budaya yang boleh ditiru di Jordan adalah layanan kepada tetamu dan sapaan memberi salam kepada sesama muslim walaupun kita tidak mengenali mereka.

Jadi sepanjang keberadaan penulis di sana, penulis merasakan seperti berada di negara sendiri kerana mereka seolah-olah tidak meminggirkan orang luar seperti penulis.

MERAIKAN TETAMU  WALAUPUN 'TIDAK SEBERAPA'

Lagi satu budaya di sana adalah menganggap 'tetamu sebagai membawa rahmat daripada ALLAH'  maka ‎tidak hairanlah anda akan dijamu dengan sehabis baik oleh tuan rumah jika anda berkesempatan melawat mereka.

Kesempatan penulis melawat beberapa rumah Arab Jordan disana, budaya itu ternyata memberi kesan kepada penulis bahawa tuan rumah benar-benar mengalu-alukan kedatangan tetamu.

Makanan terlebih cukup, itu sahaja yang boleh dikatakan, walaupun kalau kita lihat dari segi luaran mereka sebenarnya tidaklah semampu mana.

RAMADAN YANG DINANTI

Sementara itu, ketika penulis menemui beberapa pelajar Malaysia yang menuntut di sana, mereka mendambakan ketibaan bulan Ramadan kerana bulan mulia itu dinantikan bukan sahaja penduduk di sana tetapi, rakan muslim dari negara lain.

"Bayangkan mereka akan memanggil kita berbuka sekali, walaupun ‎kita tidak kenal mereka, rezeki waktu bulan puasa sangat murah, saya sangat merindui bulan tersebut,".

"Ramadan bagai satu perayaan, majlis ilmu, ceramah agama 'membiak-biak, indahnya Ramadan," jelas Ahmad penuntut Malaysia Universiti Yarmouk ketika berbicara mengenai bumi Jordan.

Penulis bersama NGO Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Astro Prima memulakan misi ke kem pelarian Syria di Jordan yang mengambil masa selama 11 hari di bumi Jordan bermula 12 April lalu.

Ketiga-tiga agensi ini yang disatukan dalam satu tim, ke kem pelarian Syria di Jordan adalah bagi memberi sumbangan berbentuk ubat-ubatan, makanan dan sumbangan yang lain.

Kira-kira 10 orang krew yang terlibat dalam misi kemanusian tersebut iaitu terdiri daripada Penerbit Program Hajat Astro Prima, Azmee Mahmud; Pengarah Hajat Musim ke-5, Lokman Hakim Mustapha; Pengacara Hajat Musim ke-5 Pencetus Ummah, PU Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil dan Pengacara bersama, PU Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi.

Selain itu, dua orang doktor daripada NGO (Haluan) iaitu Ketua Biro Kemanusiaan Dr Baharuddin Suri; ‎Ketua Unit Latihan Biro Kemanusiaan Dr Mohtar Ibrahim; Aktivis Kemanusiaan Haluan, Muhammad Qawiem Abdul Baki dan ‎Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan Haluan Muhammad Shakir Sabarudin.

Turut bersama aktivis Kemanusiaan Haluan yang juga merangkap jurugambar, ‎Abdullah Afiq Nashiron dan wartawan Sinar Harian Muhammad Shamsul Abd Ghani.‎