April 29th, 2016

Khutbah Jumaat : “Awas! Jangan Anda Terjebak”

Petikan Khutbah Jumaat 29 April 2016: JAIS

“Awas! Jangan Anda Terjebak”

Isu ajaran sesat sering mendapat perhatian masyarakat hari ini. Ia sering didedahkan di dada-dada akhbar dan menjadi viral di media maya sosial.

Hal ini berlaku kerana sejarah ajaran sesat itu sendiri telah mula tumbuh di zaman Rasululah SAW.

Musailamatul Kazzab telah mengaku sebagai nabi hingga Saidina Abu Bakar memerintahkan agar beliau diperangi habis-habisan.

Di Malaysia ajaran sesat dikatakan mula bertapak di Kampung Seronok, Pulau Pinang dengan nama ajaran Taslim yang diketuai oleh Hj Ahmad Matahari.

Manakala di Selangor pula ajaran Qadiani yang merupakan ajaran sesat zaman kolonial dan dikatakan mula bertapak di Jeram, Kuala Selangor sejak zaman British lagi.

Menurut JAKIM, definisi ajaran sesat ialah sebarang ajaran,fahaman atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran, fahaman atau amalan tersebut adalah ajaran Islam walaupun hakikatnya ia bertentangan daripada ajaran Islam berdasarkan Al Quran dan As Sunnah serta bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perlu diketahui bahawa ajaran sesat boleh dikesan dalam beberapa ciri, antaranya;

1. Bentuk ajaran. Seseorang guru itu membawa atau mencipta ajaran baru yang bertentangan dengan akidah, syariah dan akhlak. Contohnya mengerjakan haji tidak perlu ke Mekah dan mengerjakan solat fardhu dengan niat sahaja.

2. Berselindung atas nama Tariqat. Pengasas atau guru biasanya menggunakan nama tariqat yang masyhur tetapi amalan mereka bertentangan dengan ajaran tariqat yang sebenarnya.

3. Bentuk dan kepercayaan. Ia berkaitan fahaman atau amalan mistik dan ilmu-ilmu sihir yang sebahagiannya berakar umbi sejak dahulu kala seperti pemujaan tempat atau kubur keramat wali-wali yang kononnya mempunyai kelebihan. Ia juga berbentuk kepercayaan kepada kuasa sakti seperti dalam amalan seni persilatan melayu dan ilmu mempertahankan diri. Mempercayai bomoh yang mendapat ilmu melalui mimpi atau jin dengan amalan menurun dan pembedahan batin.

Marilah kita hindari diri kita dari terjebak dengan ajaran-ajaran sesat tersebut kerana ia akan membawa kesan yang cukup besar dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim iaitu:

1. Terkeluar daripada Islam;

Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada Anas Bin Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; إِنَّ الرِّسالَةَ والنبوةَ قَد انقَضت فَلاَ نبِي ولاَ رسولَ بعدي “Sesungguhnya risalah kenabian itu telah habis, maka tidak ada nabi dan rasul la sesudahku”. (Riwayat Imam Ahmad).

2. Putus hubungan dengan ahli keluarga dan masyarakat di kalangan orang Islam;

3. Berlaku zalim dan menganiaya orang lain kerana patuh dengan arahan dan ajaran guru;

4. Mengancam keselamatan negara

Sebelum ajaran sesat ini menjadi barah yang sukar untuk dibenteras, marilah sama-sama kita mengambil sikap lebih prihatin untuk mengelak dari terjebak dengan 37 kumpulan ajaran sesat yang telah difatwakan sesat di negeri ini. 22 kumpulan masih bergerak aktif dan 6 kumpulan merupakan yang paling aktif iaitu Syiah, Qadiani, Milah Abraham, Hizbut Tahrir, Liberalisme, dan Islamic State, maka usaha pengembelingan tenaga secara jamaie diperlukan oleh seluruh umat Islam dinegeri Selangor ini dalam memastikan akidah umat Islam terus terpelihara berdasarkan panduan alQuran dan as-Sunnah.

Hadis daripada Malik Bin Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; تركْت فيكُم أَمرينِ لَن تضلُّوا ما تمسكْتم بِهِما كتاب اللَّه وسنةَ نبِيه “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi”. (Riwayat Imam Malik).

Marilah kita mengambil pengajaran dan penghayatan dari khutbah ini iaitu;

1. Umat Islam hendaklah menjauhkan diri dari terjebak dengan ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah, memusnahkan syariah dan menghancurkan akhlak dan menggugurkan segala amalan yang dilakukan di atas dunia ini hingga boleh menjerumuskan diri kita ke dalam neraka.

2. Umat Islam hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada empat sumber hukum iaitu al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qias dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

3. Umat Islam hendaklah sama-sama berperanan dalam usaha membanteras ajaran sesat sebelum ianya menjadi barah kerana ia bukan sahaja membawa kerosakan kepada individu sahaja bahkan meruntuhkan institusi keluarga, masyarakat, agama dan Negara.

4. Umat Islam hendaklah sentiasa memelihara keharmonian dan kesejahteraan masyarakat supaya ajaran sesat tidak mampu berkembang dan boleh dibanteras.

“Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka Allah sekali-kali tidak akan dapat menerima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak tergolong dikalangan orang-orang yang rugi”. (Surah ali-Imran : ayat 85)

Wallahualam.

Khutbah Jumaat ~ “Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi ”

Petikan Khutbah Jumaat  (29 April 2016 / 21 Rejab 1437) JAKIM

“Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi ”

Setiap tahun negara meraikan Hari Pekerja sebagai satu manifestasi penghargaan kerajaan terhadap sumbangan warga pekerja dalam menjayakan agenda pembangunan negara.


Pembangunan sesebuah negara amat bergantung rapat dengan tenaga pekerjanya yang mahir dan bermutu menerusi perancangan strategik yang jitu berasaskan kepada sistem pendidikan yang rapi.

Namun begitu, kemahiran ini tidak juga memberi sebarang erti jika nilai jati diri pekerja terhakis. Situasi ini boleh mengubahnya menjadi perosak dan pengkhianat kepada negara. Tidak dapat tidak, kemahiran itu perlu digandingkan dengan ketinggian akhlak agar pekerja benar-benar menjadi pekerja yang kuat dan amanah.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Qasas ayat 26, Maksudnya: “Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah.”

Dalam agama Islam, kebaikan seseorang pekerja diukur dengan sejauh mana kemampuan dan kejujurannya dalam melaksanakan kerjanya serta kesempurnaan hasil kerja yang dilakukannya.

Dalam hubungan ini, kita dapati pekerja yang baik ialah seorang yang kuat (al-Qawiyy) dan beramanah (al-Amin).


Kerajaan telah mengenal pasti aspek pembangunan modal insan sebagai salah satu teras strategik Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK 11) dan mengunjurkan sebanyak 35 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2020. Tentunya, usaha ke arah ini memerlukan masa dan perancangan yang teliti terutamanya dalam aspek latihan.

Selaras dengan itu, sebanyak 60 peratus daripada 1.5 juta pekerjaan baharu yang akan diwujudkan memerlukan kemahiran berkaitan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Sudah pasti, ini menjadi antara faktor yang paling kritikal bagi menjana, mengekalkan dan memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi negara seperti yang dirancang.


Walau bagaimanapun, hasrat ini mungkin sukar dicapai seandainya ada segelintir kalangan kita enggan mengubah persepsi tentang aliran pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang sering dianggap sebagai pilihan kedua.

Pandangan ini adalah kurang tepat kerana hala tuju pembangunan ekonomi negara akan memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir daripada aliran tersebut. Bahkan pekerjaan dalam bidang ini mampu menjanjikan pendapatan tinggi.


Terdapat sebanyak 32 buah Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) bersedia menerima pelajar di samping sokongan dana peningkatan kemahiran melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Kemahiran (PTPK).

Ini sekaligus membuka peluang kepada golongan pekerja untuk meningkatkan lagi tahap kemahiran (upskilling), latihan semula untuk meningkatkan kemahiran sedia ada (reskilling) dan latihan baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada (multiskilling) yang dilaksanakan oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) bagi memenuhi tuntutan pekerjaan masa hadapan menerusi konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Kerja yang halal bermakna membawa rezeki yang berkat untuk menanggung kehidupan sendiri mahupun keluarga. Pekerjaan yang berunsurkan haram dan syubahat dilarang oleh Islam kerana menyebabkan pintu keberkatan rezeki tertutup.

Mimbar yakin, pekerja yang berkemahiran mampu menjadi penggerak dalam meningkatkan ekonomi untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, beberapa perkara yang boleh disimpulkan ialah:

Pertama: Pekerja berkemahiran adalah tulang belakang pembangunan sesebuah negara yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
Kedua: Sifat kuat (al-Qawiyy) dan amanah (al-Amin) yang ditempa di dalam diri pekerja akan menghasilkan pekerja yang bernilai etika dan integriti tinggi.
Ketiga: Allah SWT menyukai hamba-Nya yang bekerja serta membuka pintu keberkatan rezeki untuknya jika mereka menjauhi pekerjaan yang berunsurkan haram dan syubahat di dalam Islam.
Maksudnya: “(Apa yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita”. (Surah al-Baqarah: 112)

Wallahualam.