May 2nd, 2016

Penilaian amalan bulan Rejab

REJAB antara bulan yang termasuk dalam bulan suci. Dinamakan Rejab bersempena penghormatan terhadapnya di zaman jahiliah kerana tidak berlaku peperangan di bulan ini. (Al-Razi, Mukhtar Al-Sihah (Bierut: Muassah al-Risalah, 2001), m/s 215)

Rejab juga menjadi bulan menambahkan amalan umat Islam. Persoalannya, adakah amalan tersebut dilakukan dengan ikhlas dan menepati sunah Rasulullah SAW?

Menyentuh persoalan ikhlas, kemungkinan semua memilikinya, tetapi adakah amalan tersebut bertepatan dengan syariat dan sunnah Rasulullah SAW? Menjadi kewajipan kita untuk menyemak dan memastikan segala amalan dilakukan bertepatan dengan syariat dan cara dilakukan Rasulullah SAW.

Antara amalan di bulan Rejab yang tidak menepati sunnah Rasulullah SAW ialah:-

1) Menghidupkan malam ke 27, dan dinamakan dengan malam al-Isra' wa al-Mikraj.

Tersebar luas dalam kalangan umat Islam peristiwa agung yang berlaku pada malam 27 Rejab. Sebahagian umat Islam menyambut dan menghidupkan malam ini dengan amalan yang khusus dengan mengharapkan fadilat tertentu. Tetapi pendapat ini tidak tepat sepertimana disebut Syeikh Abdullah bin Abd Al-Aziz bin Baz: "Malam ini (27 Rejab) dikatakan berlaku padanya peristiwa al-Israk wa al-Mikraj, tidak ada satu hadis sahih pun mengenai tarikh peristiwa ini secara khusus. Di sisi ulama hadis, semua pendapat menyebut perihal tarikh berlakunya peristiwa ini secara khusus adalah tidak benar daripada Rasulullah SAW. Kepada ALLAH jua diserahkan segala hikmah di sebalik kerahsiaan ini kepada manusia.

Sekiranya terdapat hadis sahih yang menjelaskan perkara ini, tetap juga tidak dibenarkan umat Islam untuk menghidupkan malam ini dengan amalan yang khusus. Tidak harus juga untuk menghidupkannya dengan sebarang perayaan kerana Rasulullah SAW dan sahabat tidak pernah merayakannya dan tidak melakukan sebarang amalan khusus.

Sekiranya merayakan malam ke 27 ini amalan disyariatkan, semestinya Nabi SAW menunjukkan panduannya sama ada dengan kata-kata atau perbuatannya. Sekiranya amalan ini pernah dilakukan Baginda SAW, semestinya diketahui dan masyhur serta akan disampaikan sahabat kepada kita." (Abdullah bin Abd Al-Aziz bin Baz, Al-Tahzir min Al-Bida', cetakan ke-3, Uni. Islam Madinah, m/s 7)

Jadi, tidak ada amalan ibadat khusus disunatkan pada malam 27 Rejab. Tetapi, kebiasaannya pada bulan Rejab akan ada program seperti ceramah, kuliah dan forum yang membincangkan secara khusus berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj. Program sebegini diharuskan dengan tujuan menyampaikan ilmu dan kesedaran kepada masyarakat.

2) Solat Raghaib

Solat ini dilakukan berdasarkan kepada satu hadis mauduk (palsu) diriwayatkan Anas bin Malik, katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Rejab bulan ALLAH, Syaaban bulan-ku, dan Ramadan bulan umat-ku... dan tidak ada seorang pun berpuasa pada hari Khamis pertama dalam bulan Rejab kemudian melakukan solat antara waktu Maghrib dan 'Atamah (waktu sepertiga awal malam), iaitu dilakukan pada malam Jumaat sebanyak dua belas rakaat, dibaca pada setiap rakaat Surah Al-Fatihah sekali dan Surah Al-Qadr tiga kali, dan Surah Al-Ikhlas sebanyak 12 kali, dan diselangi setiap dua rakaat dengan salam ... (sehingga akhir hadis)." (Diriwayatkan Ibn Al-Jauzi, dalam kitabnya Al-Maudhu'at, jilid 2, m/s 124-125).

Seterusnya Ibn Al-Jauzi menyebut: "Hadis ini palsu dan dusta ke atas Rasulullah SAW. Dalamnya terdapat seorang rawi bernama Ibn Jahdham yang terkenal dengan dusta, dan aku mendengar guru-ku; Abd Al-Wahab berkata: "Rawinya majhul (tidak dikenali) dan disemak peribadi mereka ini dalam semua kitab tetapi tidak-ku temui perihal mereka."

Imam Al-Syaukani juga menyebut dalam kitabnya Al-Fawaid Al-Majmu'ah fi Al-Ahadith Al-Maudhu'ah: "Hadis ini adalah palsu dan perawinya adalah majhul (tidak dikenali), dan solat Raghaib yang masyhur ini disepakati ulama, ia palsu."

Imam Al-Nawawi (wafat 676H) berkata: "Sesungguhnya ia adalah bidaah yang ditegah di antara bidaah yang sesat. Padanya terdapat pelbagai percanggahan yang jelas, ALLAH memerangi mereka yang mencipta dan mereka-reka solat ini. Golongan imam menulis pelbagai penulisan yang bernilai dan bermutu menyebut mengenai keburukannya, kesesatan orang yang mengerjakan sembahyang ini, dan yang melakukan bidaah ini.

Dalil perihal kejelikan, kebatilan dan kesesatan orang yang mengamalkannya adalah terlalu banyak dan tidak terhitung." (Al-Nawawi, Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, (Bierut: Dar al-Ma’rifah, cetakan ke-7, 2000), jilid 8, m/s 262.

Menurut Al-Hafiz Ibn Rejab pula: "Solat ini adalah bidaah di sisi jumhur ulama, dan di antara mereka yang menyebut perkara ini adalah dalam kalangan ulama yang terkemudian seperti Abu Ismail Al-Haruwi, Abu Bakar ibn Al-Sam'aniy, Abu Al-Fadhl ibn Nasir, Abu Al-Farj ibn Al-Jawzi dan yang lain lagi. Perkara ini tidak disebut ulama yang awal disebabkan ia hanya muncul selepas zaman mereka, dan yang terawal timbulnya perkara ini ialah selepas 400 tahun. Sebab itulah golongan ulama yang awal dan terdahulu tidak mengetahuinya dan tidak membincangkannya." (Ibn Rejab, Lataif al-Ma ‘arif, m/s 228)

Terdapat ramai lagi dalam kalangan ulama yang membincangkan mengenai hukum solat Raghaib ini.

Kesimpulannya, semua menafikan kewujudan solat ini dan menganggap ia sebagai salah satu bidaah (ibadat yang direka-reka) yang amat ditegah dan tidak boleh mengamalkannya kerana ia tidak benar daripada Rasulullah SAW mahupun sahabat dan tabi'in.

3) Berpuasa penuh di bulan Rejab atau sebahagiannya dengan menganggap ia mempunyai fadilat khas.

Sesetengah umat Islam akan berpuasa di bulan ini sepenuhnya atau sebahagiannya dan mereka menganggap puasa ini mempunyai kelebihan dan fadilat yang khusus. Tetapi malangnya, ganjaran yang khas tersebut tidak bersumberkan al-Quran atau hadis yang sahih. Bahkan ia diambil daripada hadis-hadis palsu. Antara hadis palsu yang tersebar luas mengenai fadilat khusus puasa di bulan Rejab ini ialah:

Ibnu Al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu Bakr Muhamad bin Al-Hassan Al-Naqqasy, dari Abu Said RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Rejab adalah bulan ALLAH, Syaaban bulan-ku dan Ramadan bulan umat-ku, siapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari ALLAH, dia wajib mendapat keredaan ALLAH Yang Maha Agung dan ditempatkannya di syurga Al-Firdaus yang tertinggi.

Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit di dunia. Siapa berpuasa tiga hari dari bulan Rejab, ALLAH menjadikan antaranya dan neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Siapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka dia diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur...." Ibnu Al-Jawzi menyatakan hadis ini palsu.

Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali RA dari Harun bin 'Antarah, Rasulullah  SAW bersabda: "Sesungguhnya bulan Rejab adalah bulan yang agung, sesiapa yang berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya ALLAH menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka ALLAH menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka ALLAH menulis baginya puasa tiga ribu tahun...."

Menurut Ibnu 'Arraq: Hadis ini palsu tanpa syak lagi. Harun bin 'Antarah pula di sisi Ibnu Hibban adalah pereka hadis.

Demikian antara contoh hadis palsu yang tersebar dalam kalangan masyarakat Islam mengenai fadilat puasa di bulan Rejab. Terdapat banyak lagi hadis palsu lain mengenai fadilat khusus puasa di bulan ini. Sesetengah daripada fadilat tersebut tidak dapat diterima oleh akal, apatah lagi bercanggah dengan kaedah dan prinsip asas agama.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam menyentuh perkara ini berkata: "Tidak terdapat hadis yang boleh dijadikan hujah yang menyebut mengenai fadilat khusus bulan Rejab, atau fadilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus." (Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23)

Tetapi, bagi mereka yang ingin berpuasa sunat lain di bulan Rejab seperti Isnin dan Khamis dan sebagainya, ia dibolehkan dan ada ganjarannya kerana disebutkan dalam hadis sahih. Cuma, yang tidak ada asal sumbernya ialah berpuasa sunat khusus sempena bulan Rejab dengan ganjaran pahala yang khusus.

Selain daripada amalan yang disebutkan ini, terdapat lagi amalan khusus lain disebarkan seperti amalan membaca Istighfar Rejab.

Disebutkan antara fadilatnya ialah sesiapa yang menulis atau menggantung atau membawa atau membaca istighfar Rejab maka dia akan mendapat pahala sebanyak 80,000 pahala golongan nabi.

Terdapat juga sesetengah umat Islam yang menunaikan umrah pada bulan ini dengan menganggap ia mempunyai fadilat khusus jika dilakukan pada bulan Rejab.

Demikian amalan yang biasa dilakukan sesetengah umat Islam dalam bulan ini dan apabila disemak semula tidak bersumberkan Rasulullah SAW.

Islah: Damaikan dua pihak bertelagah

SEGALA puji bagi ALLAH SWT yang memberikan pahala berganda bagi individu berbuat kebaikan. Kita disuruh bertakwa kepada ALLAH dan menggolongkan diri dalam kalangan orang yang menyeru kepada kebaikan dan islah, serta menjauh diri daripada melakukan apa juga bentuk kerosakan.

Ternyata sebahagian manusia menjadi kunci ke arah kebaikan dan menutup pintu kejahatan. Terdapat yang lain pula, mereka adalah kunci kejahatan dan menutup pula pintu kebaikan.

Di akhirat kelak, setiap orang akan dibalas sejajar dengan perbuatannya. Jika baik dibalas baik dan sekiranya sebaliknya, maka jangan dia salahkan kecuali dirinya sendiri.

JALAN MELAKUKAN ISLAH

Hakikatnya jalan melakukan islah banyak dan setiap Muslim diperintahkan untuk menyumbang ke arahnya mengikut apa yang dia mampu. Mengajak orang lain membuat kebaikan, amar makruf nahi mungkar dan mengajar ilmu yang bermanfaat adalah antara jalan islah yang besar nilainya. Bahkan kewujudan mereka yang melaksanakan kerja ini adalah jaminan keselamatan daripada ditimpa azab ALLAH.

Firman ALLAH: "Maka sepatutnya ada di antara umat yang telah dibinasakan dahulu daripada kamu itu, orang-orang yang berkelebihan akal fikiran yang melarang kaumnya daripada perbuatan-perbuatan jahat di muka bumi tetapi sayang! Tidak ada yang melarang melainkan sedikit sahaja; iaitu orang-orang yang Kami telah selamatkan di antara mereka. Dan orang-orang yang tidak melarang itu telah mengutamakan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka lalu menjadilah mereka orang-orang yang berdosa. Dan Tuhanmu sekali-kali tidak akan membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mana mereka sentiasa memperbaiki keadaan mereka sesama sendiri." (Surah Huud: 116 -117)

Ayat al-Quran di atas menjelaskan, golongan yang membuat islah hanya sedikit dan ALLAH telah menyelamatkan mereka sebelum kemurkaan-Nya menimpa. Kebanyakan mereka terus menerus bergelumang dalam maksiat dan kemungkaran tanpa mempedulikan pengingkaran yang dilakukan golongan yang inginkan islah itu.

Akhirnya, azab ALLAH menimpa mereka secara mengejut dan membinasakan mereka. Selanjutnya, ALLAH menjelaskan Dia tidak akan memusnahkan sebuah negeri melainkan di kala penduduknya menzalimi diri mereka. Sama sekali ALLAH tidak pernah memusnahkan penduduk negeri yang melakukan islah kebaikan.

Justeru, ALLAH memerintahkan atas umat ini hendaklah ada dalam kalangan mereka golongan yang mengajak kepada apa yang makruf dan mencegah apa yang mungkar.

Firman-Nya: "Hendaklah ada di antara kamu golongan yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah; dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya." (Surah Al-Maa'idah: 104)

Ini adalah jaminan supaya mereka tidak menjadi seperti umat yang terdahulu yang mengabaikan aspek ini. Golongan yang berpegang dengan kitab ALLAH dan menunaikan apa yang ALLAH wajibkan dinamakan sebagai orang yang melakukan islah.

Firman ALLAH: "Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan kitab ALLAH dan mendirikan solat, sesungguhnya Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang melakukan islah (kebaikan)." (Surah Al-A'raaf: 170)

Dunia ini akan makmur sekiranya diimarahkan dengan ketaatan kepada ALLAH, kebaikan akan melimpah ruah dan golongan yang melakukan islah akan menjadi contoh teladan yang baik buat orang lain.

DAMAIKAN DUA PIHAK BERBALAH

Termasuk dalam erti islah adalah mendamaikan antara dua kumpulan yang bertelagah dan berselisih.

Firman-Nya: "Bertakwalah kamu kepada ALLAH dan perbaikilah perselisihan yang berlaku antara kamu." (Surah Al-Anfaal: 1)

Daripada Abu Ad-Dardaa' RA, Nabi Muhamm SAW bersabda: "Mahukah kalian aku khabarkan amalan yang lebih banyak pahalanya daripada pahala puasa, solat dan sedekah?" Jawab sahabat: "Tentu sahaja." Kata Baginda SAW: "Mendamaikan antara dua pihak yang berbalah. Sesungguhnya rosaknya hubungan antara mereka itulah yang memutuskan hubungan silaturahim." (Riwayat Abu Daud, sahih)

Dalam sebuah ayat, ALLAH berfirman lagi: "Tidak ada kebaikan pada kebanyakan perbualan mereka, kecuali (perbualan) orang yang menyuruh bersedekah, berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan ALLAH, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar." (Surah An-Nisaa': 114)

Ayat di atas menuntut supaya perbualan dan pertemuan antara dua orang atau lebih tidak akan dikira baik melainkan sekiranya ia menjurus kepada menyuruh bersedekah, berbuat kebaikan, mendamaikan di antara pihak bertelagah atau hal-hal kebaikan yang lain.

GOLONGAN PEROSAK

Bagaimana pula keadaan mereka yang melakukan sebaliknya apabila dalam mana-mana kesempatan sama ada ketika berbual dengan rakan-rakan dan kenalan di restoran, pejabat, masjid dan seumpamanya, mereka memilih untuk mengumpat, mengadu domba, menceritakan keburukan orang, membuka aib, membuat fitnah dan seumpamanya?

Sesungguhnya mereka golongan yang melakukan kerosakan di atas muka bumi yang diancam ALLAH.

Oleh itu, hendaklah tumpuan sentiasa diberikan ke arah penyatuan umat Islam, mendamaikan antara pihak yang bersengketa, menceritakan kebaikan dan menutup aib kelemahan. Bagi mereka yang dapat melaksanakan tuntutan ini dan menyeru orang lain untuk turut sama sepertinya, sesungguhnya dia akan mendapat balasan pahala yang sangat besar di sisi ALLAH.

Syariat Islam menekankan tuntutan melaksanakan islah antara manusia sehingga dibolehkan bagi berbohong sekiranya terdapat maslahat di sebaliknya.

Sabda Nabi SAW: "Tidaklah dikira berbohong orang yang cuba mengislahkan antara manusia dengan menyebarkan kebaikan atau dengan berkata baik." (Riwayat Bukhari & Muslim). Erti 'menyebarkan kebaikan' dalam hadis ini ialah menyebarkan berita baik perihal orang lain.

Mendamaikan antara suami isteri yang bertelagah juga termasuk dalam erti islah. Firman-Nya: "Dan jika kamu islah memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan zalim), maka sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah An-Nisaa': 129)

Damainya hubungan antara suami isteri adalah asas kebahagiaan rumah tangga dan ikatan kekeluargaan yang menjadi asas tertegaknya sebuah masyarakat.

Sebahagian orang berasa berat untuk melaksanakan tanggungjawab islah. Mereka memilih untuk membiarkan perselisihan terus merosakkan hubungan dalam masyarakat sedangkan mereka mampu untuk berbuat sesuatu bagi mengubah keadaan. Malangnya, akibat bisikan syaitan akhirnya dia mengabaikan apa yang diwajibkan ALLAH atasnya.

Lebih parah lagi, sebahagian yang lain pula memilih untuk menyemarakkan api fitnah perselisihan dalam masyarakat dengan menyebarkan kebencian, permusuhan, berburuk sangka dan berita-berita palsu. Hendaklah kita menjauhi golongan ini dan tidak tergolong dalam kalangan mereka. Merekalah yang ALLAH sebutkan dalam firman-Nya: "Merekalah kumpulan pengikut syaitan; sesungguhnya pengikut syaitan itu adalah orang-orang yang rugi." (Surah Al-Mujadalah: 19)

Al-Quran sebagai pelaris?

"ACAP kali juga aku singgah makan kat restoran ni. Macam-macam ada, masakan panas, lauk campur. Teh tariknya dan kopi O nya pun sungguh kaw. Layanan yang diberikan memang terbaik. Tambahan pula aku rasa restoran ni memang mementingkan halalan toyyiban dan kelihatan islamik, sebab aku tengok kat dindingnya penuh dengan ayat suci al-Quran," Cadang Samad kepada kawannya, jika ada yang bertanyakan tempat makan manakah yang paling best.

Komen sedemikian sering kita dengar. Nampak sahaja tulisan ayat Quran dan doa-doa tergantung elok di dinding kedai makan terus kita terjah. Makannya bukan main berselera sampai order dua tiga pinggan nasi tambah. Kenapa begitu? kerana kedai itu menerapkan ciri-ciri Islamnya. Itu stigma sesetengah pelanggan. Ada juga pelanggan yang jenis tidak kisah, ada ke tidak ayat Quran yang tergantung di dinding atau pintu masuk tidak jadi soal, yang penting kenyang!.

Hari ini, makin ramai pula pengusaha restoran dan kedai makan yang tega menggunakan ayat suci dipetik dalam al-Quran lalu digantung dan ditampalnya di dinding kedai dan restoran. Adakah itu pelaris atau tarikan? dengan menggunakan firman-firman ALLAH SWT? Bukankah ayat Quran itu perlu dibaca, dihafal dan ditadabur maksudnya bukan ditampal di dinding.

Rehal mendapatkan pandangan daripada Timbalan Mufti Selangor, Sahibus Samahah, Dr Anhar Opir berkenaan situasi kedai makan yang menjadikan al-Quran sebagai pelaris dan tarikan pelanggan datang menjamu selera di kedai.

Berliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pernah mengeluarkan garis panduan tetapi masyarakat yakni pengusaha kedai makan dan restoran tetap melakukannya kerana kemungkinan besar  mereka masih yakin dengan ayat tersebut mampu membantu melariskan jualan mereka.

"Tambahan pula pelaris yang mereka gunakan adalah ayat al-Quran dan semua tahu yang ayat al-Quran itu adalah firman-firman ALLAH yang pastinya mempunyai khasiat tertentu. Lagi pun mereka mendakwa ia bukan pelaris yang dilarang secara pasti dalam Islam. Pengusaha makanan yang beragama Islam pastinya tahu pelaris yang dilarang seperti tangkal, azimat dan bermacam lagi, jatuh syirik jika digunakan.

"Ramai yang bertanyakan saya adakah salah menggunakan ayat Quran sebagai daya penarik pelanggan datang ke kedai. Jawapannya, kita kena lihat kepada niatnya, kenapa dia gunakan al-Quran? Jika niatnya sebagai tarikan, maka tarikan bagaimana yang dimaksudkan? Sekiranya untuk menarik orang Islam supaya datang ke kedainya atas keyakinan bahawa ia adalah kedai milik orang Islam yang makanannya halal, tidak mengapa. Tetapi kalau untuk menipu dan mengaburi mata pelanggan agar masuk ke kedainya sedangkan makanannya tidak bersih dan tidak halal maka ia tidak boleh," katanya.

Menurutnya, setiap pengusaha kedai makanan sepatutnya peka dengan keadaan itu. Junjungan besar, Nabi Muhammad SAW melarang umatnya bersifat menipu khususnya dalam bab perniagaan. Mereka (peniaga dan pengusaha kedai makan) seharusnya menjalankan perniagaan secara bersungguh-sungguh dengan melakukan pelbagai penambahbaikan yang dituntut syariat dan bukannya berbuat perkara mengundang kesan buruk.

Rosak akidah jika niatnya salah

ADAKAH ia akan merosakkan akidah seseorang Muslim itu? Beliau menjelaskan, jika sampai ke tahap yakin bahawa pelaris ayat al-Quran itu yang menjadikan jualannya laku, maka ia telah merosakkan akidah umat Islam. Kerana dalam hal ini, ia dianggap percaya kepada selain daripada ALLAH maknanya kebergantungan pengusaha kedai makan itu sepenuhnya pada ayat berkenaan bukannya kepada pencipta ayat tersebut.

"Menariknya, antara ayat al-Quran yang selalu dijadikan pelaris ialah ayat seribu dinar iaitu ayat dua dan tiga daripada Surah Ath-Talaq. Ayat itu sendiri menyatakan bahawa takwa adalah syarat untuk mendapat jalan keluar daripada masalah dan sebagai penyebab rezeki.

"Sedangkan tuan kedai yang menggantungkan ayat pelaris tersebut tidak ada ciri-ciri takwa, malah tidak faham langsung maksud ayat seribu dinar itu. Ayat al-Quran itu perlu dibaca dan difahami bukannya digantung tanpa sebarang kefahaman," ulas beliau lagi.

Bukankah lebih elok menggantungkan ayat al-Quran daripada menggunakan tangkal, azimat dan benda yang mendatangkan syirik. Menurutnya, dilihat seperti elok tetapi sebenarnya masih belum mengikut ajaran Islam yang sebenarnya. Bahkan ia boleh mengundang kepada sikap tidak menghormati ayat al-Quran dan merendahkannya.

Ayat al-Quran adalah kalamullah yang perlu dijaga adab-adabnya. Segala firman ALLAH adalah petunjuk kebenaran untuk dibaca dan diamalkan, bukan untuk pameran dan perhiasan semata-mata. Namun jika dijaga adab-adabnya seperti diletakkan di tempat yang tinggi dan sesuai, dan tuannya sendiri seorang yang bertakwa dan menjaga akhlak Islam, maka ia diharuskan.

ISLAM TIDAK GALAKKAN

Timbul persoalan apakah sebabnya Islam tidak menggalakkan umatnya yakni pengusaha kedai makanan mahupun restoran menggunakan ayat al-Quran sebagai pelaris.

"Islam tidak galakkan mereka berbuat demikian demi untuk mengelakkan perbuatan itu menjadi kebiasaan yang boleh membawa kepada kebergantungan kepada ayat pelaris tanpa sebarang usaha yang sepatutnya. Kenapa Islam berbuat sedemikian? Bagi mengelakkan tujuan yang tidak baik seperti penipuan dan mengaburi mata pelanggan. Kaedah ini dipanggil sadd al-zari'ah (menutup pintu mudarat). Namun jika kita menjaga adab-adabnya, maka ia adalah harus.

"Pelaris yang paling mujarab ialah menu dan masakan yang sedap dan memenuhi keperluan pelanggan. Inilah usaha yang sepatutnya digerakkan dengan bersungguh-sungguh, di samping tempat yang selesa dan bersih. Ini kerana makanan yang ALLAH perintahkan kita makan hendaklah halalan toiyiban, iaitu dua unsur; halal dan baik," tambah beliau lagi.

Anhar menjelaskan, selain itu, pengusaha kedai hendaklah sentiasa senyum dan manis muka. Ini bersesuaian dengan maksud hadis Nabi SAW: Janganlah memperkecilkan suatu kebaikan, walaupun kamu memandang wajah saudaramu dengan muka yang manis.

Ada yang bertanyakan mengenai doa khusus untuk menarik pelanggan datang ke kedai, jawapannya tiada ayat atau doa khusus untuk tarik pelanggan. Berdoalah agar perniagaan kita diberkati ALLAH. Dianjurkan juga berdoa kepada ALLAH agar dimurahkan rezeki agar dengan-Nya dapat tunaikan ibadah zakat dan sedekah.

Jika ingin digantung sebarang doa, gantunglah doa sebelum dan selepas makan (jika kedai makan) dengan tujuan memberikan peringatan kepada pelanggan agar tidak lupa membacanya.

BERDOSA JIKA NIAT SALAH

Apabila menjadikan ayat suci al-Quran sebagai pelaris atau tarikan, pengusaha kedai makan itu perlu berniat baik dengan menjaga adab-adabnya dan jika sebaliknya, boleh jatuh hukum berdosa seandainya mengabaikan adab-adab terhadap al-Quran.

"Terdapat dalil daripada perbuatan sahabat yang boleh dikaitkan dengan perkara ini, iaitu Abdullah bin Umar yang pernah menulis satu doa dan digantungkan di leher anaknya yang masih kecil dan belum baligh. Lalu sebahagian ulama berpendapat hukumnya harus, kerana yang dilarang adalah tangkal atau azimat yang selain daripada ayat al-Quran.

"Namun demikian sebahagian ulama lagi berpandangan hukumnya haram dan menolak hujah yang mengharuskan berdasarkan perbuatan Abdullah bin Umar dengan menyatakan anaknya pada waktu itu belum pandai menghafal atau membaca, sedangkan tidak begitu bagi orang dewasa," ulas Anhar.

Tambahan pula terdapat hadis Nabi SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Mas'ud RA yang menyebut: Sesungguhnya jampi, tangkal dan tiwalah itu adalah syirik.

Berdasarkan adanya larangan daripada Nabi SAW sebagaimana ayat di atas, maka ia berlaku pada zaman itu. Selain itu Uqbah bin 'Amir juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menggantungkan tamimah (tali yang digantung di leher kanak-kanak), maka dia telah melakukan syirik."

Kerana itu, setiap pengusaha kedai makan perlu bersikap bersungguh-sungguh dengan melakukan sesuatu yang positif dari sudut Islam. Usah mengeksploitasi agama demi untuk meraih keuntungan semata-mata. Gantunglah doa-doa makan, sebelum makan atau doa terlupa ketika makan dengan tujuan pelanggan yang datang akan berbuat demikian. Nescaya anda juga akan beroleh ganjaran pahala.

Jalan pulang yang terbentang luas

ANTARA keistimewaan Islam yang agung ini adalah jalan pulang ke pangkuan agama ini amat luas terbuka dan tidak membebankan.

Peluang seorang insan kembali ke pangkuan keampunan dan keredaan ALLAH tidak pernah disekat oleh sebarang jarak waktu, latar diri, keturunan, atau harta.

Sesiapa yang ingin pulang ke pangkuan ALLAH tidak pernah dihalang oleh agama ini disebabkan jenis dosanya atau keturunan, usianya yang lanjut, atau apa sahaja.

Seseorang yang ingin kembali kepada ALLAH diterima oleh kerahmatan-Nya dengan syarat insan tersebut menyesali kesilapannya, benar-benar memohon keampunan dan berazam tidak mengulangi kesalahan lalu.

Jika kesalahan itu sesama insan lain, dia memohon maaf dari yang dizalimi. Jika tidak mampu, bimbang mudarat yang lebih besar jika permohonan maaf dibuat, serahkan sahaja urusannya itu kepada ALLAH dan ALLAH Maha Mengetahui kadar kemampuan hamba-hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah Ali ‘Imran 135-136:

(maksudnya) Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah – dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang- orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.

Tidak perlu pengakuan

Islam bukan seperti sesetengah ajaran yang menyuruh seseorang yang berdosa membuat pengakuan di hadapan orang agama, atau melakukan upacara yang menyeksa diri demi penghapusan dosa seperti melukakan diri atau berjalan atas bara api atau membuat bayaran penebusan.

Demikian perbuatan sesetengah pihak mencari rezeki dengan mengambil upah untuk pelupusan dosa solat atau puasa atau ibadah yang lain, bukan dari ajaran Islam.

Islam tidak pernah mengenal itu semua. Seperti Islam tidak pernah menerima sama sekalipun perbuatan sesetengah agama lain yang mengeluarkan surat berbayar untuk penghapusan dosa, demikian Islam tidak dapat menerima perbuatan penganutnya jika melakukan hal yang sama dengan mengeluarkan borang pahala yang dijual sempena Ramadan atau selainnya.

Keampunan bukan jualan

Keampunan dan rahmat ALLAH bukan dijual di jalanan. Ia sangat berkaitan dengan keluhuran jiwa yang ikhlas ingin kembali kepada Allah Yang Maha Pengampun. Jika keampunan hanyalah bayaran yang dibayar kepada pihak tertentu, tentulah semua orang kaya tempatnya di syurga.

Sementara si miskin yang tidak mapu memmbayar kepada golongan agama tiadalah habuan keampunan untuknya. Maka tidaklah perlu lagi seseorang berpegang dengan agama, cukuplah dengan membanyakkan ongkos, maka selamatlah dia di sisi Tuhan. Aduhai, tentu tidak demikian.

Firman ALLAH (maksudnya) Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan manfaat sesuatu apapun. Kecuali orang yang datang menghadap ALLAH dengan hati yang sejahtera. Dan (pada hari itu) didekatkan syurga bagi orang- orang yang bertakwa. Dan diperlihatkan neraka jelas nyata kepada orang-orang yang sesat. (surah al-Syu’ara 88-91).

Seseorang yang berdosa pula, tidak disuruh mendedahkan dosanya kepada orang lain sekalipun di hadapan ulama atau siapapun di kalangan manusia. Bahkan dia disuruh bertaubat antara dia dengan ALLAH dan menutup keburukan dirinya daripada orang lain.

Nabi s.a.w. bersabda: Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang Muslim, ALLAH tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat. (Riwayat Muslim).

Termasuk dalam perkataan Muslim itu diri insan yang berdosa itu sendiri, dia juga tentu seorang Muslim. Maka dia wajib menutup keaiban dirinya. Maka dalam Islam tidak ada ‘pengakuan dosa di hadapan paderi’. Sesiapa sahaja yang berasa berdosa dan ingin kembali kepada Allah, maka dia bertaubat di mana sahaja dia berada.

Sabda Nabi: Sesungguhnya ALLAH menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya. (Riwayat al- Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Luasnya rahmat

Aduhai luasnya rahmat ALLAH dalam agama ini. Bahkan dalam sebuah hadis kudsi,

ALLAH berfirman: Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli.

Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan. (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Bahkan kita dilarang kecewa dengan hidup disebabkan dosa yang lalu. Sebaliknya, disuruh agar sentiasa memohon keampunan daripada ALLAH dan jangan kecewa dari rahmat-Nya.

Firman ALLAH dengan penuh syahdu dalam surah al-Zumar ayat 53: (maksudnya), Katakanlah: Wahai hamba- hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya ALLAH mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) ketika mentafsirkan ayat ini menyebut: “Ayat yang mulia ini adalah panggilan untuk semua pembuat dosa dari kalangan yang kufur dan selain mereka agar bertaubat dan kembali kepada ALLAH. Ayat ini juga adalah pemberitahuan ALLAH Yang Maha Berkat Lagi Maha Tinggi bahawa Dia mengampunkan segala dosa untuk sesiapa yang bertaubat dan meninggalkannya, walau bagaimana besar dan banyak sekalipun dosa tersebut. Sekalipun bagaikan buih di lautan”. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/74, Beirut: Mussasah al-Rayyan).

Maka tidak ada kecewa bagi insan yang berdosa. Sekalipun kadangkala ada dosa yang tidak dapat dimaafkan oleh perasaan insan lain, namun ALLAH tidak pernah menutup pintunya selagi insan yang berdosa itu insaf, benar-benar kembali kepada-Nya.

Agama ini begitu lunak. Pintu untuk mendekati Tuhan tidak pernah hanya dikhususkan untuk orang tertentu semata. Bahkan sesiapa sahaja yang menerima Islam ini dan berusaha mendekatkan diri dengan jalan Rasulullah maka dia akan sampai ke dalam rahmat ALLAH

Tiada perbezaan antara mufti, ustaz, imam dan orang biasa. Tuhan tidak pernah menilai insan dengan gelaran-gelaran yang diberikan oleh sesama manusia. Dia melihat keluhuran jiwa dan kesahihan amalan. Entah berapa ramai orang biasa lebih mulia di sisi Tuhan dibandingkan mereka yang bersandar dengan berbagai-bagai gelaran dan pangkat. Jalan pulang ke pangkuan Tuhan tidak pernah mendiskriminasikan manusia.

Kadangkala amat menakutkan kita mendengar ucapan sesetengah orang. Saya pernah mendengar seseorang menyebut “dosa- dosa si polan tidak akan diampunkan ALLAH.” Ringan perkataan itu di lidah kita, amat berat kesalahannya di sisi ALLAH.

Sejak bilakah pula kita menjadikan wakil Tuhan dalam memutuskan rahmat atau kelaknatan di kalangan hamba-hamba-Nya. Kita menolak manusia ingin kembali dataran keampunan Allah hanya kerana emosi kita, sedangkan Allah sendiri mengisytiharkan keluasan rahmat-Nya untuk semua.

Dapatkan rahmat ALLAH

Marilah kita berkempen untuk manusia mendapatkan rahmat keampunan ALLAH ini. Bukan untuk orang masjid dan surau sahaja, tetapi juga semua muda-mudi di jalanan, artis di pentas, pemimpin di gelanggang politik dan seterusnya. Jangan menghukum seseorang itu sebagai tidak berpeluang menerima rahmat ALLAH sedangkan roh masih di jasadnya dan hukuman Allah belum pun kita tahu.

Nabi bersabda: Jika seseorang berkata: Binasalah manusia, maka dialah yang paling binasa. (Riwayat Muslim).

Hadis ini bermaksud apabila seseorang berkata dengan tujuan merendahkan orang lain dan membanggakan dirinya seakan orang lain tidak mendapat kerahmatan, maka dialah akan dibinasakan ALLAH. Dakwah agama hendaklah merentasi sempadan-sempadan yang dibikin oleh kita. Rahmat Allah mestilah disebarkan ke semua daerah hidup yang pelbagai. Sama ada yang berada di gelanggang sukan, di pentas filem, di medan politik atau apa sahaja.

Janganlah perbincangan agama hanya menggambarkan seakan semua manusia akan memasuki neraka semata, lalu kita lupa ALLAH ialah Tuhan Yang Maha Rahmat. Ungkapan-ungkapan agama ini adalah ungkapan memberikan harapan, bukan menimbulkan kekecewaan.

Sehingga dalam hadis Nabi bersabda: Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu ALLAH azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku.

Lalu ALLAH berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini bukanlah menggalakkan manusia melakukan dosa, tetapi menceritakan hal seorang hamba yang bertaubat bersungguh-sungguh namun gagal mengawal dirinya lalu tetap terjatuh ke dalam dosa. Setiap kali berdosa, dia ikhlas memohon keampunan dan dia tetap diampun oleh ALLAH s.w.t.

Hadis ini memberikan semangat kepada mereka yang telah bersalah berulang kali untuk terus bertaubat bukan berputus asa dan terus mengikut jejak langkah syaitan. Walaupun barangkali orang lain akan menyebut kepadanya “tidak guna kau bertaubat, sudah berapa kali kau tetap gagal kekal atas taubatmu”, namun Allah tidak berkata demikian. Dia Yang Maha Pengampun tetap membuka pintu selagi hamba-Nya itu jujur dan ikhlas merintih kepada-Nya.

Jika ALLAH menutup pintu, maka kekecewaan akan meliputi jiwa hamba yang seperti ini dan akhirnya dia akan terus tenggelam dalam kejahatan. Namun dengan dibuka seperti ini, insan akan terus berusaha kembali kepada ALLAH setiap kali tergelincir.

Sakit uji nilai takwa, keimanan Mukmin

Nikmat sihat antara nikmat terbesar yang Allah SWT kurniakan kepada manusia, malangnya masih ramai yang lalai untuk mensyukuri pemberian nikmat itu.

Disebabkan itu, apabila ditimpa sakit, mereka merasakan ia adalah bala Allah SWT atas perbuatan dosa yang dilakukan.

Sebenarnya sakit adalah ujian Allah SWT kepada kita untuk melihat sejauh mana ketakwaan dan keimanan seseorang kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar, (iaitu) orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, 'Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raajiun', mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Setiap perkara yang berlaku mempunyai hikmahnya. Seperti sakit, ia mendidik kita menjadi seorang yang sabar berdepan dengan penyakit dihadapi dan andai kita reda menghadapi ujian itu, akan gugur dosa telah kita lakukan. Allah SWT berfirman bermaksud: "Sesungguhnya orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." (Surah az-Zumar, ayat 10)

Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang Muslim ditimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosanya seperti pohon yang menggugurkan daunnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Nikmat kesihatan adalah tiket


Sakit ketentuan Allah SWT

Oleh itu, jangan mengeluh atau bersangka buruk kepada Allah SWT yang berkuasa mendatangkan kesakitan dan mengembalikan kesihatan.

Sebagai hamba yang beriman kepada Allah SWT, kita seharusnya mempercayai sakit itu juga adalah takdir daripada ketentuan Allah SWT dan bukannya bala.

Secara psikologinya, apabila seseorang ditimpa sakit barulah ia akan mengingati dan berdoa kepada Allah SWT supaya diringankan segala rasa sakit yang dialaminya. Sememangnya sikap manusia itu mudah lupa apabila berada dalam keadaan senang.

Ketika ditimpa musibah atau dugaan barulah ia sedar untuk kembali mencari dan sujud kepada Allah SWT untuk mengadu. Ketahuilah bahawa segala penyakit itu datangnya dengan izin Allah SWT.

Firman-Nya bermaksud: "Dan bagi-Nyalah (hak milik) segala yang ada di langit dan di bumi dan kepada-Nya sahaja tertentu ibadah dan ketaatan selama-lamanya; (sesudah kamu mengetahui yang demikian) maka tidaklah patut kamu takut kepada yang lain daripada Allah. Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia daripada Allah; kemudian, apabila kamu ditimpa kesusahan maka kepada-Nyalah kamu meminta pertolongan." (Surah an-Nahl, ayat 52-53)

Bersyukurlah selagi mana nikmat sihat masih dipinjamkan untuk kita beribadah dengan sempurna kepada Allah SWT.

Cuba lihat berapa ramai saudara kita yang ditarik nikmat sihatnya tidak mampu melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Hargailah nikmat kesihatan yang dikurniakan ini dan laksanakan ibadah kepada Allah SWT serta berdoa supaya diberi kesihatan yang baik.

Pada masa sama, amalkan gaya hidup sihat dalam usaha kita memelihara kesihatan tubuh badan.

Sakit bukan disebabkan oleh dosa yang dilakukan kerana diuji dengan penyakit juga adalah tanda Allah SWT sayang kepada hamba-Nya.

Selain menghapuskan dosa, sakit juga membuka peluang kepada hamba berdoa dan mendekatkan diri kepada Tuhannya.

Buka peluang bertaubat


Semua itu terpulang kepada bagaimana seseorang melihat ujian kesihatan yang diberikan kepadanya sama ada ia menerimanya dengan berlapang dada atau sebaliknya.

Maka bertuahlah mereka yang menerima ujian menghadapi penyakit dengan hati yang reda.

Sepanjang tempoh menahan kesakitan juga membuka peluang kepada kita untuk bertaubat di atas kesalahan dilakukan, meningkatkan ketakwaan dan mengeratkan lagi hubungan melalui permohonan doa supaya dikuatkan semangat untuk menghadapi ujian itu.

Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan bersegeralah menuju kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi, disediakan untuk orang yang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 133)

Hukum copy paste

Saya seorang pelajar universiti. Untuk menyiapkan tugasan, saya dan beberapa rakan sekadar melakukan copy and paste beberapa artikel. Kaedah ini menjimatkan masa. Adakah ia harus? JAWAPAN

Perlu insaf, amalan tidak amanah




Antara contoh copy and paste yang sering dilakukan oleh pelajar semasa menyiapkan tugasan. -

Tujuan tugasan adalah bagi memastikan para pelajar membaca dan membuat kajian. Contohnya dibincangkan tajuk sewa dalam fikah Islam, maka tugasan diberikan agar pelajar membanyakkan bahan bacaan dalam pelbagai buku, artikel, pendapat para ulama dan sebagainya.

Dengan kepelbagaian bahan bacaan yang luas, kefahaman pelajar akan bertambah matang. Bacaan ini pula akan ditulis dan diolah semula oleh pelajar hasil kefahaman dan rujukannya.

Matlamat ini tidak tercapai jika pelajar sekadar copy and paste. Oleh itu, kaedah ini bukanlah cara yang baik. Ia tidak menambahkan ilmu sebaliknya membodohkan kita sebagai pelajar.

Kaedah ini juga merupakan sesuatu yang tidak amanah. Kita mengutip tulisan insan lain dengan menyembunyikan penulis asal. Kita seolah-olah plagiat. Justeru, kepada para pelajar hendaklah insaf dan sedar tujuan belajar. Belajar bukan sekadar untuk mendapat markah sebaliknya mendapatkan ilmu. Dengan ilmu, ia akan membimbing diri menjadi insan yang lebih baik.

Martabatkan ilmu Islam, Khilafah Uthmaniah cuba diwujud semula?

Khilafah Uthmaniah cuba diwujud semula?

Sejak akhir akhir ini Turki sedang diasak oleh pelbagai serangan baik dari dalam negara luar. Baik berupa serangan fizikal mahupun diplomatik, termasuk daripada media. Serangan itu bukan saja datang berpunca dari Barat tetapi juga Timur.Apa yang dimaksudkan dengan Timur ialah Rusia. Serangan fizikal utama berbentuk letupan seorang pengganas bunuh diri pada Rabu lalu di Bursa yang mengakibatkan banyak kecederaan. Ia merupakan serangan dari dalam Turki sendiri.

Sehingga rencana ini ditulis siasatan masih dijalan dan tidak ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab. Tetapi tindakan keganasan bunuh diri sering dikaitkan dengan pengganas yang dikaitkan dengan al-Qaeda dan Islamic State, atau dipanggil sebagai Daesh. Sejak setahun ini Turki sudah mengalami tujuh serangan bom oleh pengganas bunuh diri mengakibatkan 200 kematian. Maka serangan ini dipercayai dilakukan oleh Daesh. Ini adalah kerana Turki dianggap sebagai musuh Daesh. Kumpulan pengganas menyifatkan Turki dan semua negara di dunia sebagai kafir yang perlu ditumpaskan. Ditambah pula Turki sedang berperang dengan Daesh di Syria.


SERA NGA N bom di Ankara yang mengorbankan 35 orang baru-baru ini dilihat sebagai usaha menganggugugat Turki dari luar dan dalam. – Reuters

Tetapi musuh Turki bukan saja Daesh. Republik sekular itu juga berdepan dengan gerakan pemisah Kurdis. Gerakan dari Parti Pekerja Kurdis ini mempunyai sayap bersenjata yang melakukan serangan di Turki dan memperjuang kemerdekaan wilayah Kurdis di Turki. Serangan diplomatik ke atas Turki pula daripada tekanan yang diterima dari negara-negara lain. Dari Barat, ia datang dari Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Kesatuan Eropah (EU) khususnya Jerman dan Perancis. AS dan sebahagian negara-negara EU adalah sekutu Turki dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). AS mahu Turki memainkan peranan utama dalam usaha menukar pemerintahan Syria di samping menumpaskan Daesh melalui sokongan dan bantuan kepada kumpulan kumpulan penentang al-Assad. Eropah pula mahu Turki memberi tempat kepada pelarian-pelarian Syria, termasuk kalangan mereka yang sudah terlepas ke negara lain khususnya Jerman.

Sementara dari Timur pula, khususnya Rusia yang mendokong dan membantu pemerintah Damsyek, tekanan jelas dilakukan Turki adalah musuh mereka dalam suasana persaingan ala Perang Dingin. Apabila berlaku pertempuran antara tentera Syria dan para pemberontak, maka ia juga menunjukkan pertembungan antara Rusia dan Turki. Ini kerana Moscow menyokong Damsyek, dan Ankara membantu para pemberontak.

Neo- Ottoman

Maka tidak hairanlah media yang disokong Russia, antaranya RT yang kini aktif disebarkan melalui Internet khususnya YouTube dan Facebook sering menyiarkan berita-berita yang memburukkan Turki, antaranya laporan Ankara secara bersembunyi membantu Daesh menjatuhkan al-Assad.RT memaparkan betapa Daesh meraih keuntungan daripada jualan minyak dari wilayah yang dikuasainya di Iraq melalui laluan Turki. Sementara pejuang-pejuang Daesh dapat masuk Syria dan Iraq melalui sempadan negara itu dengan Turki. Tetapi persoalannya ialah Turki juga jadi mangsa dan sasaran pengganas Daesh. Sementara jet-jet tentera Turki telah melancarkan serangan ke atas sasaran Daesh di Syria dan Turki.

Tetapi serangan persepsi ke atas Turki, dan khususnya Presiden Reccep Tayyip Erdogan bukan saja datang daripada Rusia, tetapi juga oleh media Barat. Sejak dua tahun kebelakangan ini, Erdogan digambarkan sebagai “sultan baharu” yang mahu mewujudkan semula Khilafah Uthmaniah, maka beliau dan usahanya dinamakan sebagai “neo-ottoman”. Istilah- istilah “sultan” dan “ottoman” bagi orang Barat mempunyai nada yang buruk. Ia adalah seolah-olah menggambarkan gejala kekolotan, mengkongkong dan lebih utama lagi ialah sebagai suatu yang berbahaya bagi Barat. Perasaan ini boleh dikatakan sebagai Turkifobia, yang juga adalah sebahagian daripada Islamofobia.

Gambaran ini menjadi lebih buruk terhadap Erdogan apabila beliau sendiri melakukan tekanan terhadap akhbar-akhbar Turki khususnya Zaman. Tetapi tekanan terhadap akhbar-akhbar ini adalah dalam konteks di mana beliau juga melakukan tindakan keras terhadap pihak pembangkang, yang kebanyakannya adalah golongan kiri. Kiri di sini bermaksud golongan yang mempunyai tradisi fahaman sosialisme. Secara tradisi juga di seluruh dunia, golongan kiri datang daripada kalangan kelas menengah, bandar dan intelektual. Maka tidak hairanlah seorang sasterawan dan juga pemenang Hadiah Nobel, Orhan Pamuk mengkritik pemerintah Turki menyekat kebebasan bersuara. Seperti di mana-mana di dunia, golongan ini mempunyai hubungan dengan media Barat. Tentu tindakan Erdogan mengundang kritikan daripada Barat. Rekod Erdogan sememangnya tegas. Sifatnya itu juga membolehkan beliau mampu mengawal pihak tentera yang sebelum ini menguasai politik Turki hingga menyukarkan negara itu melaksanakan proses demokrasi.

Sesuatu yang sebelum itu sukar bagi golongan kiri melakukannya.

Usaha Erdogan menentang ihak tentera dahulu dialu-alukan oleh pihak Barat yang melihatnya sebagai proses pendemokrasian Turki. Mereka juga pada masa itu melihat Erdogan yang mempunyai latar belakang Islamis sebagai seorang demokrat. Istilah Islamis di sini bermaksud seseorang yang memperjuangkan pelaksanaan kehendak-kehendak agama Islam dalam kehidupan politik dan bernegara. Maka Erdogan dan partinya, Parti Keadilan dan Pembangunan membawa satu aliran politik Islam yang boleh diterima Barat, iaitu demokratik Islamisme.

Maka aliran ini memainkan peranan dalam Arab Spring. Kumpulan yang membawa aliran ini menang dalam pilihan raya di Tunisia dan Mesir. Tetapi kejayaan Mesir hanya separuh jalan. Sementara di Libya, Yaman dan Syria berlaku peperangan yang membawa pula kemunculan kumpulan pendokong teokrasi yang bukan saja melakukan keganasan tetapi juga diisytiharkan sebagai sesat oleh ulama arus perdana dunia. Keganasan di sini bermaksud terorisme iaitu membunuh orang awam. Kumpulan kumpulan ini adalah seperti al-Qaeda dan Daesh.

Pembabitan Turki di Syria juga menempatkan negara itu berseteru dengan jirannya iaitu Iran. Teheran bukan saja menyokong tetapi membantu Damsyik. Tetapi pesaing utama Teheran di Timur Tengah bukannya Turki tetapi Arab Saudi. Dalam hal ini Riyadh bersama dengan Ankara dalam usaha mengubah pemerintahan di Damsyek. Dalam pada itu minggu lalu, media Barat tidak ketinggalan untuk mengingatkan peristiwa pembunuhan penduduk Armenia oleh pemerintah Uthmaniah pada tahun 1915 dengan membayangkannya sebagai kesalahan Turki. Tetapi Ankara bukannya Istanbul. Republik Turki bukannya Khilafah Uthmaniah.


Martabatkan ilmu Islam

TURKI sebagai gerbang Eropah merupakan antara negara Islam progresif yang mempunyai sejarah dan kegemilangan tamadunnya yang tersendiri. Dalam pada itu, negara berkenaan juga turut mempunyai talian sejarah dengan Malaysia dalam bentuk hubungan dua hala.

Mengambil kira kelebihan itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini melancarkan Pusat Dunia Melayu - Uthmaniyah di Universiti Fatih Sultan Mahmet Vakif (UFSMV), Istanbul, Turki, iaitu projek ulung antara kedua-dua universiti terkenal itu.

RAIS YATIM (empat dari kanan) dan Ismail Gercek (empat dari kiri) memotong riben simbolik perasmian Pusat Dunia Melayu - Uthmaniyah yang berlangsung di UFSMV, Istanbul, Turki, baru-baru ini. Turut kelihatan, Amran Mohamed Zain (tiga dari kiri).

Matlamat utama penubuhan pusat berkenaan ialah untuk mewujudkan pengajian merangkumi sosio budaya, ekonomi rantau Nusantara dan Turki, perhubungan dalam perdagangan Islam, kebudayaan dan bahasa, perbankan serta kewangan Islam. Pada masa sama, ia juga akan terlibat dalam kajian tentang hal-hal berkaitan dengan industri dan teknologi halal.

Pusat itu yang bakal beroperasi di Kampus UIAM di Damansara, Kuala Lumpur dan di UFSMV di Turki akan menjadi hab antara dua negara dalam membantu menghasilkan dan menjalankan kajian secara menyeluruh serta terperinci berkenaan pengajian tersebut serta bakal menempatkan barisan tenaga pengajar yang mempunyai pelbagai bidang kepakaran.

Persetujuan penubuhannya terhasil setelah Presiden UIAM yang juga Penasihat Kerajaan Malaysia dalam Hal Ehwal Sosio Budaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan beberapa pengurusan tertinggi UIAM bersama dengan Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Amran Mohamed Zain pada Jun tahun lalu mengadakan kunjungan hormat serta perbincangan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

RAIS YATIM menerima Ijazah Doktor Kehormat Ketamadunan Islam dan Kebudayaan daripada Rektor UFSMV, Dr. Musa Duman.

Rais dalam ucapan sempena penubuhan pusat itu di Istanbul baru-baru ini melahirkan keyakinan bahawa pusat itu bakal melahirkan tenaga pengajar berlatar belakang disiplin penyelidikan dunia Islam yang meluas dan menyeluruh dengan mengambil kira fenomena kehidupan ummah di Timur Tengah, benua Cina, India dan wilayah-wilayah yang lain.

Katanya, ia juga bakal memartabatkan pusat itu sebagai platform menggalakkan kewujudan bakat kesarjanaan dalam pelbagai bidang pengajian sehingga mencapai mobiliti pengajar dan penyelidik dunia Melayu dan Uthmaniyah yang lebih meluas.

“Dengan mengambil kira kelebihan dimiliki Turki, rantau Melayu Nusantara khususnya Malaysia harus menyertai dan mengambil pelbagai peluang yang boleh dilihat untuk bekerjasama. Ia amat tepat dengan masanya apabila ketika ini umat Islam sekadar menjadi masyarakat pengguna kepada ‘hidangan’ ledakan Barat,” katanya.

Yang turut hadir pada majlis itu, Amran; Presiden dan Rektor UFSMV, Ismail Gercek dan Dr. Musa Duman; Pengarah Pusat Dunia Melayu-Uthmaniyah di Turki dan Malaysia, Prof. Madya Serdar Demirel serta Prof. Madya Dr. Hafiz Zakariya; Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri, Dr. Zaleha Kamarudin dan Timbalan Rektor UIAM (Pengantarabangsaan, Jaringan Industri dan Hubungan Komuniti), Prof. AbdelAziz Berghout.

Pada majlis sama, Rais turut menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari UFSMV dalam bidang Ketamadunan Islam dan Kebudayaan yang disampaikan oleh Ismail.

Anugerah itu diberikan atas usaha beliau yang selama ini menjadi pejuang dan pemulihara serta memelihara budaya, sejarah dan ketamadunan. Malah penubuhan Pusat Dunia Melayu – Uthmaniyah ini juga merupakan idea dan buah fikiran beliau.

Reaksi Rais sejurus menerima pengiktirafan itu: “Penganugerahan ini adalah sebagai satu batu loncatan untuk UIAM dan UFSMV bersama-sama melahirkan generasi intelektual dan berkarisma serta mempunyai nilai-nilai budi yang tinggi,”

“Kedua-dua universiti ini masing-masing mempunyai kelebihan dan kepakaran yang mana ia boleh disatukan melalui sistem pendidikan berteraskan integrasi dalam memartabatkan ilmu dan kedua-duanya juga adalah sebuah universiti yang ulung.”

-