May 4th, 2016

Ibadah umrah

UMRAH merupakan antara ibadah yang disyariatkan Allah SWT kepada setiap hamba-Nya. Pelaksanaannya adalah manifestasi ketaatan seorang hamba dalam usaha mendekatkan diri kepada-Nya.

Ia berasal daripada perkataan Arab i’tamara yang bererti ziarah atau berkunjung. Menurut istilah syarak ia merujuk kepada perbuatan mengunjungi Baitullah (Kaabah) untuk mengerjakan ibadah umrah dengan niat dan syarat-syarat yang tertentu.

Manifestasi ketaatan seorang hamba kepada Allah

PELAKSANAAN umrah merupakan manifestasi ketaatan seorang hamba dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. - GAMBAR HIASAN

Mengikut mazhab Syafie, hukum mengerjakan umrah adalah wajib dan ia hendaklah dikerjakan oleh setiap orang Islam sekali seumur hidup. Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah,” - Surah al-Baqarah:196.

Dalam ayat ini, suruhan mengerjakan haji itu disekalikan dengan suruhan mengerjakan umrah, iaitu diperintahkan mengerjakan haji dan umrah hingga sempurna. Dengan itu, suruhan mengerjakan umrah itu samalah hukumnya dengan menunaikan haji, iaitu wajib bagi setiap orang Islam.

Sementara itu dalam hadis, “Daripada Zaid bin Thabit r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Mengerjakan haji dan umrah itu dua fardu cuma sekali sahaja dan bolehlah dikerjakan mana satu dahulu (sama ada haji ataupun umrah).”

Ibadah ini boleh dilakukan sepanjang tahun selain daripada masa seseorang itu berada dalam ihram haji sehingga dia selesai melakukan kerja-kerja haji tersebut.

Mengikut Mazhab Syafie, ibadat umrah boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dalam kehidupan seorang Muslim. Seseorang itu tidak dikira berdosa jika menangguhkan kewajipan umrah apabila sudah cukup syarat kemampuan selama mana dia dapat melakukannya sebelum dia meninggal dunia.

Namun begitu, adalah afdal menyegerakan kewajipan umrah ini untuk melepaskan tanggungan kewajipan ini atas diri seseorang Muslim.

-

Terus jadi pengguna jika gagal kuasai sains

KETIKA zaman kegemilang­an ilmuwan Islam sekitar tahun 8 hingga 16 Masihi, tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi dan Al-Biruni begitu dihormati dengan penemuan dalam bidang sains dan teknologi. Dengan berpegang kepada al-Quran dan hadis, kajian dan ciptaan mereka bukan sahaja diiktiraf oleh orang Islam tetapi juga dikagumi golongan bukan Islam.

Bagaimanapun, hari ini bidang sains dilihat bukan lagi ‘milik’ umat Islam sebaliknya saintis Barat lebih ke hadapan dalam membuat kajian dan penyelidikan serta menghasilkan rekaan baharu serta moden.

Ironinya, sebahagian besar pe­nemuan mereka itu sama ada sudah diteroka oleh sarjana Islam terdahulu atau sememangnya terkan­dung di dalam al-Quran namun berjaya ditemukan hasil kesungguhan me­reka mengkaji kitab itu.

Bagi Ketua Kluster Sains dan Matematik Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Mohd. Sahar Yahya, kurangnya penglibatan orang Islam dalam bidang sains merugikan mereka kerana ini menyebabkan mereka gagal mempelajari dan memahami ilmu baharu.

Jelas beliau, dengan penemuan sains dan teknologi berlaku saban hari, umat Islam akan ketinggalan dan hanya menjadi golongan pengguna yang berharap kepada hasil ciptaan orang lain.

“Kalau kita tidak mampu me­nguasai bidang sains, kita tidak akan berupaya membuat rekaan sendiri. Maka, kita akan sentiasa menjadi pengguna dan diperkotak-katikkan oleh mereka yang lebih maju.

“Ilmu sains sentiasa bergerak dan berubah. Kalau dalam kalangan 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia cuma ada kurang 10 peratus menguasai sains, bermakna orang Islam gagal untuk memahami apa yang terkan­dung di dalam al-Quran,” katanya.

Beliau berkongsi pendapat itu ketika menjadi ahli panel dalam Program Advokasi Ilmuwan bertajuk ‘Umat Islam Menolak Sains?’ di Dewan Tuanku Canselor di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Program anjuran MPN bersama Utusan Malaysia dan Radio Televi­syen Malaysia itu dikendalikan oleh Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Mengulas lanjut topik tersebut, Mohd. Sahar berkata, amat mengecewakan apabila bidang sains tidak menjadi keutamaan di negara-negara Islam walaupun saintis Islam yang paling awal menemukan dan menghasilkan ciptaan baharu sejak ratusan tahun dahulu.

“Negara-negara Islam yang kaya tidak memberi fokus kepada sains dan ini terbukti apabila tidak ada universiti besar untuk penyeli­dikan walaupun mereka banyak duit. Sebagai contoh di Arab Saudi tiada balai cerap yang setanding dengan kemudahan yang terdapat di New Zealand,” katanya.

Sebagai perbandingan, katanya, di Jepun setiap kali ada jurnal sains diterbitkan dalam bahasa asing, ia diterjemah ke dalam bahasa ibunda mereka sekali gus memudahkan ma­syarakat memahami pengetahuan baharu di dalam jurnal berkenaan.

“Dia negara kita, tidak ada badan penterjemah yang menjalankan tugas itu menyebabkan masyarakat tidak sedar dan enggan mempelajarinya kerana ia terlalu susah untuk difahami,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad, hasrat untuk melahirkan pemenang anugerah Nobel yang boleh dibanggakan dalam kalangan umat Islam ter­utama dari negara ini boleh dicapai.

Beliau memberitahu, penubuhan USIM sendiri adalah bertujuan melahirkan golongan saintis yang mampu mengangkat nama Islam melalui integrasi ilmu Naqli (bersumberkan al-Quran) dan Aqli (bersumberkan akal).

Jelasnya, universiti tersebut berperanan membina sahsiah pelajar yang seimbang dalam bidang agama dan sains bermula dari peringkat kanak-kanak menerusi program Permata Insan sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah (Ph.D).

Jelasnya, melalui program itu hanya kanak-kanak yang memiliki IQ mele­bihi 150 ke atas akan di­pilih untuk digilap potensi mereka di universiti itu.

“Ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina hafal al-Quran pada umur 10 tahun dan menguasai pelbagai cabang ilmu seperti perubatan dan kimia kerana beliau memahami al-Quran dengan mendalam. Itu adalah resi­pinya yang perlu diikuti.

“Sebab itu, di USIM, kita sudah memiliki pelajar aliran sains tetapi boleh menjadi imam dan boleh membaca al-Quran dengan begitu baik,” katanya yang merupakan salah seorang ahli panel program itu.

Seorang lagi ahli panel iaitu ­Pe­ngarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Othman berkata, masih ramai umat Islam yang gagal memahami kaitan antara sains dan ajaran agama itu sehingga mereka berfikir secara jumud.

Katanya, disebabkan itu, ramai yang cepat melabel dan meng­haramkan sesuatu perkara dan rekaan baharu yang dihasilkan oleh saintis tanpa berlandaskan hujah dan pengetahuan mendalam.

“Sebagai contoh, ada yang meng­anggap muzik itu negatif dan dikaitkan dengan pergaulan bebas, dadah dan maksiat sedangkan yang salah adalah perlakuan dan perbuatan itu bukannya muzik.

“Hakikatnya, ramai yang tidak tahu bahawa ilmuwan Islam, Al-Farabi memperkenalkan muzik sebagai salah satu kaedah terapi emosi bagi mengatasi masalah susah tidur dan tekanan,” jelas pakar fizik itu.

Tegasnya, umat Islam sebenar­nya sangat dekat dengan sains kerana penentuan arah kiblat untuk solat sendiri memerlukan kita mempelajari dan mengetahui tentang ilmu berkaitan sains dan alam.

Beliau turut menekankan sains dan agama perlu ber­jalan se­iring kerana ia akan melengkapkan kehidupan manusia yang dicipta Allah untuk memakmurkan muka bumi.

“Manusia adalah khalifah yang dijadikan bukan sekadar berpe­ranan untuk beramal tetapi juga membangunkan alam melalui ilmu pengetahuan,” ujarnya.

Mengulas mengenai pembelajaran sains di negara ini, beliau menegur dasar pendidikan sains yang kerap berubah-ubah sehingga menimbulkan masalah kepada pelajar dan guru.

Katanya, bahasa Melayu juga bu­kan penghalang untuk pelajar ­cemerlang dalam bidang sains kerana ilmu tersebut lebih mudah dikuasai dengan menggunakan bahasa ibunda pelajar. - Haradiah Shah Hamdan Utusan Malaysia Rencana 02 Mei 2016 6:15 PM

Islam tolak sekularisasi

Dalam masyarakat Barat, agama telah semakin hilang peranannya dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, dan kalau ada pun sedikit peranannya kini ia dihadkan kepada kehidupan peribadi (private sphere) semata-mata. Tidak boleh dipaksakan ke atas orang lain. Untuk menjamin itu berlaku, maka tempat awam (public spaces) dan jawatan awam hendaklah dipastikan bebas daripada pengaruh agama.

Maka seringkali kita dapati timbul kontroversi dan bantahan terhadap apa yang dianggap campur tangan kerajaan dalam perkara-perkara yang dianggap sebagai hak peribadi, seperti amalan keagamaan dan akhlak, Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT), homoseksualiti, perkahwinan sejenis, dan pendidikan agama di sekolah kerajaan.

Negara sekular adalah negara yang memisahkan negara dari gereja. Maka ia hendaklah mengambil pendirian rasional dan humanistik dalam membuat dasar dan tindakan, serta tidak cenderung kepada sebarang agama, walaupun pada masa sama, ia menjamin kebebasan mengamalkan sebarang agama. Itulah yang dipercayai oleh sesetengah pemikir sebagai jalan terbaik ke hadapan bagi sesebuah negara yang memiliki kepelbagaian budaya (multicultural society) dan agama, dan dalam dunia tanpa sempadan.

Kaum Muslimin juga tidak terkecuali dari dilanda oleh arus sekularisasi ini sehingga menimbulkan berbagai-bagai masalah dan konflik dalam kalangan mereka. Walaupun masalah yang dihadapi itu mungkin tidak sama dengan apa yang dihadapi di Barat, apa yang pasti adalah kekeliruan yang telah ditimbulkan olehnya.

Sekularisasi adalah suatu proses yang pada akhirnya membawa kepada ‘terhapusnya dari akal dan bahasa kawalan agama dan metafizik’. Proses inilah yang dialami oleh kebudayaan dan tamadun Barat dalam sejarahnya. Dan inilah yang membawa kepada teori sekularisasi dalam sosiologi yang mengatakan dengan kedatangan zaman moden agama semakin ke belakang.

Menurut teori ini, selaras dengan kemajuan sains dan teknologi, asas-asas kepada pemikiran keagamaan seperti tuhan, roh, dan perkara-perkara ghaib sudah tidak lagi di­terima, diragui, atau dipandang dengan rasa curiga. Lama-kelamaan agama akan kehilangan makna dan ditinggalkan

Ramai yang masih tidak mengetahui bahawa sekularisasi itu adalah suatu agenda falsafah dan ideologi yang bermatlamat menghapuskan dasar-dasar agama, dengan menafikan makna-makna kerohanian dari alam semesta, menolak ­peranan agama dalam kehidupan politik dan kemasyarakatan. Dalam masyarakat Barat sekularisasi itu kini sudah dianggap sebagai nasib sejarah yang tidak dapat dielakkan lagi.

Bahkan golongan pemikir dan ahli teologi Kristian sendiri turut memberikan justifikasi terhadap sekularisasi itu dengan mengatakan ia adalah berakar umbikan ajaran kitab Injil sendiri. Tidak seperti Barat, yang dalam pengalaman sejarah keagamaannya melihat dunia secara terpisah dari akhirat, Islam tidak pernah memisahkan dunia dari akhirat, dan tidak memandang hina kepada kehidupan duniawi. Maka dalam Islam tiada istilah yang boleh membawa maksud yang sama.

Istilah yang terdekat adalah al-hayat al-dunya yang bererti ‘kehidupan duniawi’ seperti yang disebut dalam al-Quran. Perkataan dunya, dari kata dana yang bererti sesuatu yang dibawa dekat, dan ia bermaksud bahawa dunia dan kehidupan dunia itu amat dekat dan kuat mempengaruhi kesedaran kebanyakan manusia sehingga mereka lupa kepada nasib terakhir, iaitu akhirat.

Oleh itu, al-Quran berulang kali memberi amaran perihal kehidupan dunia. Akan tetapi itu tidak pula bermakna dunia itu sendiri dipandang hina seperti mana yang dikandung dalam kata sekular. Sebaliknya dunia dan alam ini adalah tanda-tanda (ayat) Allah yang dibawa dekat kepada kita agar kita mengenali Penciptanya.

Jika demikianlah tujuan dan sifat dunia, maka tidak mungkin ia sesuatu yang hina. Walaupun demikian, dunia dan kehidupan duniawi itu ada penamatnya. Maka ­pem­­ba­ngunan duniawi hanyalah bermakna apabila ia diikat dengan matlamat akhir iaitu kejayaan yang datang selepasnya, yakni di akhirat. Demikianlah rapatnya hubungan dunia-akhirat dalam pemikiran dan kesedaran kaum Muslimin.

Maka masalah pertentangan negara Islam-negara sekular tidak sepatutnya timbul atau ditimbulkan. Apabila ditimbulkan juga maka ini bermaksud bahawa kaum Muslimin sudah keliru tentang hakikat dan sifat agamanya sendiri sehinggakan mereka telah menganggapnya satu masalah, sedangkan ia, tidak sepatutnya menjadi masalah. - Utusan Malaysia Rencana Pandangan IKIM 02 Mei 2016 6:20 PM

Penjagaan al-Quran dijamin Allah

SUDAH hampir 1,500 tahun, namun ia tetap kekal asli, tulen dan terjaga. Itulah kehebatan al-Quran yang mendapat jaminan khusus penjagaannya oleh Allah:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kamilah jua yang menjamin untuk menjaganya (daripada sebarang perubahan, penambahan atau pengurangan isinya),” (al-Hijr[15:9]).

Ayat ini bukan calang-calang sifatnya. Bagi yang mendalami Bahasa Arab, mereka akan faham aspek sastera dan tata bahasa yang digunakan Allah dalam ayat ini mengandungi maksud pengukuhan berganda (Taukid). Walaupun ringkas, ayat ini menegaskan secara tuntas bahawa Allah sendiri menjamin penjagaan al-Quran daripada sebarang penyelewengan manusia. Kitab lain seperti Taurat, Zabur dan Injil hanya kekal namanya sahaja dan tidak pada isinya. Al-Quran pula kekal pada nama dan isinya. 


Ketiga-tiga perkara di atas tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya digerakkan Allah yang menjamin sendiri penjagaan al-Quran. Berbeza dengan kitab Taurat atau Injil, penjagaannya diamanahkan kepada para ulama Yahudi dan Nasrani sebagaimana firman Allah:

Lebih 1,000 tahun, kekal asli, tulen, terjaga

AMAT beruntung orang Islam yang berbangga, mendalami dan mengamalkan al-Quran yang mendapat jaminan khusus penjagaannya oleh Allah. - GAMBAR HIASAN

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi dengan Kitab itu para nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan para pendetanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum daripada Kitab Allah (Taurat) itu dan mereka pula menjadi penjaga dan pengawasnya (daripada sebarang perubahan...,” (al-Ma’idah [5:44]).

Terbukti penjagaan makhluk seperti mereka gagal menjamin kesucian kedua-dua kitab tersebut. Banyak sekali para ulama mereka yang tidak amanah merosakkan isi kitab Allah itu. Inilah sebabnya Allah sendiri yang menjamin penjagaan al-Quran agar kekal seperti yang diturunkan kepada Rasulullah SAW.

KISAH LELAKI YAHUDI

Ketika mengulas ayat ke-9 surah al-Hijr ini, Imam al-Qurtubi membawa sebuah kisah hebat yang berlaku pada zaman Khalifah al-Ma’mun daripada kerajaan Bani ‘Abbasiyah. Khalifah al-Ma’mun selalu mengadakan majlis perbincangan pelbagai isu dengan rakyatnya. Pada suatu hari seorang lelaki Yahudi yang segak mewangi lagi penuh wibawa menyertai majlis tersebut. Cakap lelaki Yahudi ini juga penuh bijaksana dan mempesonakan semua yang hadir.

Setelah selesai majlis, Khalifah al-Ma’mun bertanya agama anutannya. Lelaki itu menyatakan dia beragama Yahudi. Al-Ma’mun mencadangkan agar dia memeluk Islam dan menjanjikan jawatan yang sesuai dengan kewibawaannya. Lelaki Yahudi itu menolak.

Selepas setahun, lelaki Yahudi itu memeluk Islam dan bertemu kembali dengan Khalifah al-Ma’mun. Bicaranya tentang ilmu fikah sungguh mempesona dan penuh wibawa. Khalifah agak terkejut dan bertanya apa rahsia pengislamannya. Lelaki Yahudi itu lantas menceritakan:

“Setelah aku keluar dari majlismu (wahai Khalifah) aku berhasrat menguji agama ini (Yahudi, Nasrani dan Islam). Aku pula memiliki tulisan tangan yang sungguh cantik sebagaimana yang kamu ketahui dan saksikan. Aku menyalin kitab Taurat dalam tiga salinan berasingan dan pada ketiga salinan itu aku tambah dan kurangkan isi asalnya. Selepas itu aku jual ketiga salinan kitab Taurat itu kepada rumah ibadat Yahudi. Mereka membeli ketiga salinan tersebut (tanpa soal).”

“Selepas itu aku lakukan perkara sama kepada kitab Injil. Ia juga diterima oleh pihak gereja tanpa soal. Kemudian aku tulis pula 3 salinan surah al-Quran bersama penambahan dan pengurangan serta cuba menjualnya kepada seorang tukang kertas (pencetak) untuk dicetak. Setelah melihat salinan al-Quran itu mengandungi penambahan serta pengurangan, dia lantas mencampakkannya jauh dan enggan membelinya.”

“Selepas peristiwa itu, aku sedar bahawa kitab ini (al-Quran) memang terjaga (daripada sebarang perubahan atau pengurangan). Itulah peristiwa yang membawa kepada pengislamanku.” (Tafsir al-Qurtubi ketika mentafsirkan ayat 9 surah al-Hijr).

Maha Suci Allah! Hebat sekali cara Allah menjaga kitab-Nya ini. Sungguh beruntung orang Islam yang berbangga, mendalami dan mengamalkan kitab yang sungguh istimewa ini. Jika kita masih jauh daripada kitab ini, berubahlah segera dan jangan hanya tahu berbangga dengan sesuatu yang jarang kita sentuh. Semoga Allah merahmati kita semua dengan iman yang sebenar kepada al-Quran.

-

Kerja itu ibadah

SABAN tahun kita menyambut 1 Mei sebagai Hari Pekerja. Ia merupakan pengiktirafan di atas segala jasa, sumbangan dan pengorbanan pekerja yang merupakan aset terpenting dalam membangunkan negara. Menghargai tanggungjawab yang dilaksanakan mereka, pelbagai insentif dan kemudahan telah dan akan dilaksanakan demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka.

Berkuatkuasa 1 Julai ini, gaji minimum negara dinaikkan daripada RM900 kepada RM1000 sebulan bagi Semenanjung dan daripada RM800 kepada RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Gaji minimum ini melibatkan semua sektor, kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.

Allah amat menyukai hamba-Nya yang tekun bekerja

SETIAP pekerjaan yang baik dan bermanfaat merupakan satu ibadah. - GAMBAR HIASAN

Baru-baru ini juga kerajaan mengumumkan penambahbaikan terhadap 252 skim perkhidmatan awam berkuatkuasa tarikh yang sama. Inisiatif itu memberi kesan kepada kenaikan gaji dan gred termasuk gaji permulaan minimum sebanyak RM1,200 dalam sektor awam. Ia melibatkan kenaikan tahunan kepada kesemua 1.6 juta penjawat awam, manakala penambahbaikan skim bermula dari gred 11 hingga 40 membabitkan 1.3 juta kakitangan kerajaan.

Ini merupakan khabar gembira untuk semua warga pekerja. Walaupun hasil negara pada tahun ini berkurangan disebabkan faktor seperti penurunan harga minyak dunia, kerajaan tetap menunaikan janjinya memberi kenaikan gaji seperti yang diumumkan dalam Bajet 2016. Diharapkan kesemua ini bakal meningkatkan produktiviti negara, ini yang amat penting.

BUKAN SEKADAR 
IMBUHAN

Menyentuh hal ini, kerja tidak semestinya dilihat dari segi imbuhan sahaja. Islam melihat pekerjaan yang baik dan bermanfaat sebagai satu ibadah. Rasulullah SAW bersabda bermaksud : “Sesiapa yang menghabiskan masa petangnya dalam keletihan akibat daripada pekerjaan yang dijalankan oleh tangannya sendiri, maka ia akan diberi keampunan,” - Riwayat Tabrani dan Baihaqi.

Diriwayatkan pada suatu ketika, Saad bin Muaz al-Ansari menceritakan Nabi SAW baru kembali dari Perang Tabuk, baginda melihat tangan Saad yang melepuh, kulitnya terbakar dengan pancaran panas matahari. Rasulullah SAW bertanya : Mengapa tanganmu? Saad menjawab : Aku mencangkul tanah dengan cangkul ini untuk mencari nafkah keluarga yang menjadi tanggunganku. Kemudian Rasulullah SAW mengambil tangan Saad dan menciumnya seraya berkata : Inilah tangan yang tidak akan disentuh oleh api neraka,” - Riwayat Tabrani.

Islam menganggap setiap pekerjaan walaupun pangkat dan pendapatannya rendah merupakan satu kemuliaan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud :

“Seseorang di antara kamu yang keluar di waktu pagi lalu membawa kayu api untuk dijual dan berbelanja serta tidak menjadi beban kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta-minta kepada seseorang yang lain, sama ada orang itu memberikan kepadanya atau tidak. Yang demikian itu kerana tangan yang di atas itu lebih baik dari tangan yang di bawah,” - Riwayat Bukhari.

Islam meletakkan bekerja untuk mencari rezeki bagi keperluan diri dan keluarga dalam kategori sebagai amal jihad, seperti jihad berjuang dan mempertahankan agama Allah SWT. Firman-Nya: “Dan yang lain akan berpergian di muka bumi mencari sebahagian kurniaan Allah, manakala yang lain pula berjihad (berjuang) di jalan Allah,” (Surah al-Muzammil : 20)

Pekerjaan yang diterima sebagai suatu ibadah bukanlah sesuatu yang dilakukan sambil lewa demi mendapat keuntungan di dunia sahaja, sebaliknya sesuatu yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh untuk membangun dan memajukan diri serta organisasi dengan niat kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Kejayaan sesuatu pekerjaan itu tidak hanya pada usaha seseorang tetapi usaha bersama satu pasukan yang membawa keberkatan dan keredaan Allah SWT. Inilah wasatiyyahnya seorang pekerja yang melaksanakan tugas mengharapkan pahala daripada Allah SWT di samping menerima imbuhan yang ditetapkan.

Selamat Hari Pekerja 2016. Pekerja Berkemahiran Penggerak Ekonomi

-

Iktibar Israk dan Mikraj

PERISTIWA agung perja­lanan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW adalah kejadian luar biasa yang mencarik adat kebiasaan manusia. Memang jauh daripada keupayaan akal untuk memikirkan bagaimana Nabi Muhammad berkelana dalam satu malam dengan roh dan jasad dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid Al-Aqsa di Palestin seterusnya dibawa naik menembusi tujuh petala langit dan menghadap Allah Yang Maha Esa.

Namun bagi hamba Mukminin ini adalah peristiwa imaniyyah yang menunjukkan kekuasaan dan keagungan Allah SWT kepada seluruh makhluknya yang berkuasa mutlak mengatur perjalanan menakjubkan itu. Dengan itu manusia perlu beriman dan meyakini kewujudan Allah sebagai Tuhan Penguasa sekalian alam.


MASJID Al-AQSA menjadi saksi Israk Mikraj walaupun peristiwa itu telah berlaku hampir sekian lama, malah iktibarnya perlu diambil semua pihak bagi menghayati kisah yang terjadi di sebaliknya. GAMBAR HIASAN

Setiap hamba perlu sentiasa berusaha untuk membuktikan ke­imanan dan ketaatan melalui amal ibadah yang ikhlas dilakukan kerana-Nya. Kelalaian berbuat demikian tidak mengurangkan sedikit pun daripada keagungan dan kekuasaan Allah sebaliknya golongan yang ingkar bakal menerima balasan buruk dan seksaan yang amat pedih akibat kelakuan sendiri.

Justeru masyarakat Islam diingatkan supaya tidak mengabaikan perintah untuk mengerjakan solat lima waktu yang juga difardukan pada malam Israk dan Mikraj. Kepentingannya diperjelaskan lagi dengan kewajipan solat yang difardukan secara langsung ketika Nabi SAW menghadap Allah Rab al-Jalil.

Malah dalam perjalanan tersebut Nabi SAW ditunjukkan dengan perbuatan malaikat yang rukuk, sujud dan melakukan pergerakan solat yang lain kemudian dihimpunkan semuanya menjadi ibadah solat yang difardukan kepada umat Muslimin.

Perkara ini penting untuk diperhatikan kerana akhir-akhir ini terdapat masyarakat Islam yang langsung tidak mengendahkan solat apatah lagi solat Jumaat yang menjadi ibadah mingguan. Boleh jadi dengan sebab itu hilang keberkatan umur, keberkatan rezeki, perniagaan tidak menjadi malah keluarga porak-peranda dan anak-anak liar tanpa pedoman.

Selain itu, peristiwa Nabi Muhammad SAW menjadi imam kepada para anbia dan pertemuan dengan nabi terdahulu sebagaimana disebutkan dalam hadis Israk dan Mikraj menunjukkan Nabi SAW ialah penghulu segala nabi. Ajaran yang dibawa oleh baginda adalah kesinambungan daripada ajaran samawiy terdahulu yang tidak bercanggah satu sama lain dan semuanya mengajak manusia mentauhidkan Allah.

Sebagai nabi terakhir baginda mengingatkan manusia tentang peristiwa Hari Kiamat yang menghancurkan seluruh alam sekali gus membawa seruan untuk sentiasa bermuhasabah diri dan menyediakan bekalan secukupnya.

Beberapa bentuk seksaan diperlihatkan kepada Nabi SAW elok dijadikan iktibar dan pengajaran terutama ketika memperingati detik bersejarah Israk dan Mikraj. Antaranya disebutkan oleh al-Zahabi dalam Kitab al-Kabair, Sayyidina Ali meriwayatkan hadis Nabi SAW tentang kaum wanita yang diazab dengan beberapa bentuk seksaan.

Ada yang digantung dengan rambut sehingga menggelegak otaknya kerana tidak menutup rambut di hadapan lelaki bukan mahram, ada yang digantung dengan lidahnya dan dituangkan air yang panas meluap-luap ke kerongkong akibat menyakiti suami, ada yang ditarik kaki ke payu dara dan tangan ditarik ke kepala selain disengat oleh ular dan kala jengking kerana tidak membersihkan diri daripada janabah dan haid sehingga meremehkan solat, ada yang digantung dengan payu dara kerana menduakan suami, ada yang berkepala babi dan badannya keldai seraya diseksa dengan pelbagai azab yang lain ke­rana melaga-lagakan sesama manusia dan menjadi pendusta.

Digambarkan juga wanita seperti anjing, api dimasukkan ke dalam badan dan keluar melalui duburnya seraya malaikat memukul kepala­nya dengan cambuk daripada api kerana sering mengungkit-ungkit kebaikan dan bersifat hasad dengki.

Sehubungan itu kaum wanita diajak supaya sentiasa menjaga penam­pilan diri dengan memakai pakaian yang menutup aurat. Usah terikut-ikut dengan fesyen masa kini yang tidak bertepatan dengan syariat sehingga menjatuhkan maruah diri serta terdedah kepada kutukan Ilahi.

Pakaian yang jarang, ketat dan menampakkan bentuk tubuh badan adalah dilarang oleh syariat. Kaum wa­nita yang bersuami juga hendaklah sentiasa menjaga kehormatan suami dan rumah tangga dengan membatasi pergaulan terutama ketika di luar rumah dan tempat kerja. Dalam hal ini suami sebagai ketua keluarga bertanggungjawab memastikan isteri dan anak-anak sentiasa menutup aurat dan mematuhi kewajipan agama.

Selain itu Nabi Muhammad SAW ditunjukkan dengan seksaan lain seperti golongan yang bertindak memukul kepala sendiri sehingga pecah berulang-ulang kali sebagai balasan buruk mengabaikan dan meremehkan solat lima waktu. Ada pula yang hanya menutup kemaluan sahaja, memakan buah-buahan neraka yang busuk dan berduri serta memakan bara-bara batu api neraka, sebagai balasan ingkar mengeluarkan zakat yang difardukan.

Golongan yang memakan riba dan membenarkan pelaksanaannya juga terdedah kepada balasan seksa se­perti golongan yang perutnya terlalu besar setiap kali ingin berdiri terjatuh dan tidak berupaya berdiri semula.

Nabi SAW diperlihatkan dengan sekelompok manusia yang menggunting lidah dan bibir sendiri berulang-ulang kali sebagai peringatan buat golongan yang suka menabur fitnah, menyampaikan berita-berita palsu dan pesanan buat orang yang mengajak kepada ketaatan tetapi dia sendiri tidak melakukannya.

Malah ada perumpamaan buat golongan yang suka bercakap besar dan sombong ibarat sebuah lubang kecil yang keluar daripadanya lembu yang besar kemudian ingin mema­sukinya semula tetapi berjaya. Ini seperti pepatah Melayu yang menyebutkan terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.

Bersempena memperingati peristiwa agung perjalanan Nabi Muhammad SAW ke langit pada malam Israk dan Mikraj, masyarakat Islam diseru untuk kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah dalam setiap lapangan kehidupan.

Usah terlalu disibukkan dengan perniagaan mahupun tugasan di pejabat sehingga lupa untuk menyi­apkan bekalan di hari kemudian. Lebih memburukkan keadaan apabila terdapat pelaku dosa dan maksiat yang seronok bergelumang de­ngannya seolah-olah tiada apa yang akan berlaku kepada mereka.

Sedarlah betapa kematian pasti akan kunjung tiba, tanpa disangka-sangka. Semua yang diusahakan di dunia akan ditinggalkan buat selama-lamanya. Ketika itu hanya amal­an baik yang dibawa sedangkan golongan yang lalai terpinga-pinga dan berharap supaya dikembalikan semula ke dunia untuk beramal.

-