May 5th, 2016

Urus wakaf 
secara profesional, MAINS cemerlang martabatkan Islam

MAINS cemerlang martabatkan Islam

SEJAK ditubuhkan kira-kira 68 tahun lalu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) melalui pelbagai transformasi dalam perjalanannya memelihara kesucian agama, merancang dan menjana pembangunan ekonomi serta sosial ummah berlandaskan syariah di negeri penuh adat itu.

Seiring dengan cabaran semasa, fungsi MAINS semakin meluas berbanding semasa awal penubuhannya. Tanggungjawabnya bukan sahaja dalam hal ehwal berkaitan agama Islam dan adat, tetapi turut mencakupi segala aspek kehidupan orang Islam di Negeri Sembilan.

Peroleh Sijil Bersih kewangan sembilan tahun berturut-turut

YANG Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir (duduk, tengah) berkenan bergambar bersama Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz (duduk,empat dari kiri), Tunku Besar Tampin, Datuk-Datuk Undang, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (duduk, lima dari kanan) dan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan sesi 2015/2018 selepas berangkat ke Majlis Penyampaian Tauliah kepada Ahli MAINS, Ahli Jawatankuasa Fatwa negeri, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rendah Syariah, Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah, Ketua Pendakwa Syarie negeri, Ketua Pendaftar, Pendaftar dan Timbalan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Bagi mencapai sasaran tersebut, MAINS merupakan tunjang dalam memperkasakan agensi pelaksana dasar Islam seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Baitulmal dan Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan serta lain-lain lagi.

Di bawah pentadbiran kerajaan negeri ketika ini, agensi dan anak syarikat MAINS berjaya memainkan peranan masing-masing dengan cekap hingga berjaya mencatat prestasi membanggakan.

Kuncinya adalah pengurusan berlandaskan sifat amanah dan profesional. Ini dapat dilihat melalui laporan prestasi kewangan MAINS 
pada tahun lalu yang mencatat pendapatan keseluruhan berjumlah RM124,429,827.

MAINS turut memberi tumpuan dalam bidang hartanah untuk pembangunan umat Islam. Ini melibatkan projek perumahan seperti di Taman Seri Rahang, Taman Senawang Indah, Taman Desa Ixora dan Warisan Puteri yang dijalankan dengan kerjasama Tabung Haji.

Selain itu, sejumlah besar peruntukan turut disalurkan bagi pembinaan serta pembelian premis perniagaan di seluruh negeri. Antaranya, lot-lot perniagaan di Terminal One, Terminal Two, Wisma Arab Malaysian, Arab Malaysian Business Center, Seremban, Senawang, Port Dickson, Tampin dan Jelebu.



YANG DIPERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima replika cek zakat perniagaan Tabung Haji bernilai RM1,962,416.20 dari Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Pengerusi MAINS yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri sekali) dan Pengarah Tabung Haji negeri, Khairi Dasemin (kanan sekali).

Di samping itu, MAINS turut membina lot perniagaan di Jalan Yam Tuan, Seremban; Bazaar MAINS di Jalan Dato’ Abdul Rahman, Seremban dan lot kedai serta pejabat di Bahau.

BIDANG PERTANIAN

Bidang pertanian dan perladangan juga tidak dilupakan. Pada masa ini jumlah keluasan ladang yang telah dibangunkan ialah kira-kira 2,428 hektar di seluruh negeri.

1 Ladang kelapa sawit seluas 281 hektar di Mukim Serting Hilir, Jempol

2 Seluas 1,214 hektar ladang kelapa sawit di Mukim Gemencheh, Tampin dan di Mukim Jelai, Jempol

3 Seluas 526 hektar di Mukim Air Kuning, Tampin

4 Projek pertanian bercampur seluas 404 hektar di Mukim Kenaboi, Jelebu.

Dalam pada itu, MAINS juga memiliki antara kuari agregat terbesar dengan keluasan 40 hektar di Mukim Labu, Seremban selain 40 hektar lagi kuari granit di Air Kuning, Tampin.

Projek-projek ini bukan sekadar untuk menjana pendapatan, malah yang lebih penting adalah untuk memperkukuhkan ekonomi umat Islam melalui pemilikan tanah dan premis perniagaan.

Bidang pembangunan kesihatan juga merupakan satu lagi cabang yang baharu diterokai MAINS melalui projek Klinik dan Pusat Dialisis An-Nur MAINS usahasama dengan Kumpulan Perubatan Johor.

Selain itu, terdapat Klinik Pakar dan Pusat Dialisis Universiti Sains Islam Malaysia-MAINS di Nilai. Kedua-dua projek ini dilaksanakan secara konsep wakaf.

Bagi jangka masa panjang, pihak MAINS turut terlibat mengembangkan dana sedia ada melalui pemilikan saham-saham institusi dan pelaburan dalam skim pelaburan berlandaskan syariah di negara ini.

Yang menjadi pilihan adalah saham syarikat-syarikat dan institusi terpilih, saham amanah, saham terbuka di pasaran Bursa Malaysia serta simpanan tetap dan bon di institusi kewangan.

MEMARTABATKAN ILMU

Bidang ilmu tetap menjadi keutamaan apabila usaha giat dilakukan dalam bidang terjemahan, penerbitan bahan bacaan dan rujukan dengan kerjasama Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan serta pihak swasta.

Kerja-kerja terjemahan dilakukan bagi kitab-kitab bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu untuk memudahkan perkongsian dan percambahan ilmu dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Penerbitan buku pula melibatkan buku akidah dan Kelas Agama Petang oleh Sekretariat Mahasiswa Timur Tengah yang pastinya dapat dimanfaatkan oleh umat Islam bagi menambah pengetahuan masing-masing.

Kecekapan MAINS dalam menguruskan kewangan yang membawa impak besar kepada pembangunan umat dan syiar Islam sememangnya diperakui.

Pengiktirafan itu diberikan oleh Ketua Audit Negara apabila penyata Kewangan MAINS telah menerima Sijil Bersih selama sembilan tahun berturut-turut sejak 2005. Ia juga meraih status empat bintang dalam Anugerah Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan oleh Ketua Audit Negara untuk tahun 2008 hingga 2013.

PUNGUTAN ZAKAT

Pendapatan besar itu disumbang antaranya melalui anak syarikat milik penuh MAINS iaitu Pusat Zakat Negeri Sembilan yang berjaya membuat kutipan zakat sebanyak RM95.3 juta berbanding hanya RM5.8 juta pada 1998.

Bukan itu sahaja, kesedaran membayar zakat dalam kalangan rakyat negeri itu juga berjaya ditingkatkan apabila seramai 56,254 orang pada tahun lalu berbanding hanya 8,938 orang pada 2000.

Kesedaran ini dipupuk melalui usaha berterusan pihak Baitulmal yang berperanan sebagai pentadbir harta MAINS dengan mengadakan pelbagai program dan kempen bagi tujuan berkenaan. Kecekapan mengutip zakat turut diimbangi dengan pengagihannya yang efektif kepada golongan yang memerlukan.

Sehingga kini Baitulmal telah menyalurkan zakat kepada lapan asnaf dengan cemerlang dan ini terbukti sejak tahun 2006, lebihan peruntukan yang tidak dibelanjakan berjaya dikurangkan.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak RM100,579,357.39 wang zakat telah disalurkan oleh Baitulmal dengan asnaf daripada golongan miskin menerima agihan berjumlah RM31.3 juta. Diikuti asnaf fisabilillah sebanyak RM26.5 juta dan asnaf riqab (RM19.1 juta) serta asnaf kategori lain.

Selain itu, MAINS juga berjaya menguruskan satu lagi sumber yang tidak kurang pentingnya iaitu Dana Wakaf. Jika selama ini wakaf hanya dikaitkan dengan masjid, surau dan tanah perkuburan, dana tersebut membuka mata umat Islam di negeri ini tentang konsep sebenar wakaf.

Dengan diuruskan oleh Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan yang merupakan anak syarikat MAINS Holdings, ia diharap menjana satu lagi sumber utama kepada MAINS.


Elak tanggapan segelintir urusan wakaf perkara remeh Utusan Malaysia Rencana 05 Mei 2016 4:00PM

SEJAK sekian lama, konsep sebenar wakaf sering disempitkan tafsirannya oleh segelintir umat Islam di negara ini. Lazimnya ia hanya dikaitkan dengan penyerahan hak milik tanah untuk kawasan kubur, surau dan masjid.

Ekoran tafsiran sedemikian, wakaf kerap dilihat sebagai perkara remeh sedangkan di dalam Islam, pahala untuk mereka yang mewakafkan harta amat besar dan berpanjangan.

Bagi menguruskan harta wakaf secara efektif, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menubuhkan Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (PWNS) pada 10 Jun 2005.

Peranannya adalah untuk menguruskan wakaf dan perkara-perkara berkaitan dengan urusan wakaf secara profesional dan teratur. Sejajar dengan matlamatnya untuk memantapkan institusi pengurusan wakaf, ia beroperasi secara korporat.

Justeru, semua program wakaf yang dijalankan di negeri ini perlu mendapat kelulusan MAINS terlebih dahulu bagi mengelak penyelewengan dan kekeliruan dalam kalangan umat Islam. Mereka yang menjalankan kegiatan wakaf tanpa kebenaran telah melanggar Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini dipetik sebagai berkata, banyak aktiviti pungutan derma yang berselindung di sebalik aktiviti wakaf.

“Ada yang sewenang-wenangnya menggunakan perkataan wakaf termasuk bagi tujuan mengutip derma. Ini dapat kita lihat di masjid apabila ada macam-macam jenis wakaf sedangkan ia tidak mendapat kebenaran.

“Justeru, orang ramai yang ingin mewakafkan harta perlu melihat jika pihak yang menjalankan program itu telah mendapat sijil kelulusan atau tidak,” katanya.

Di bawah pengurusan PWNS, terdapat beberapa jenis wakaf yang dilaksanakan khusus untuk keperluan masyarakat setempat antaranya klinik dan pusat dialisis wakaf An-Nur MAINS.

Klinik ini merupakan program amal yang dilaksanakan oleh Hospital Pakar Seremban (KPJ) dengan kerjasama MAINS. Ditubuhkan pada 6 Oktober 2003, perkhidmatannya merupakan produk wakaf kesihatan yang memberikan khidmat rawatan perubatan setaraf institusi perubatan lain, khusus untuk golongan yang kurang berkemampuan.

Klinik Wakaf An-Nur menyediakan kadar serendah RM5 termasuk kos ubat-ubatan di samping tambahan bayaran bagi rawatan melibatkan ujian air kencing dan suntikan.

Selain itu, PWNS turut menyediakan perkhidmatan wakaf harta melibatkan pengurusan pindah milik tanah dan bangunan kediaman bagi menarik minat masyarakat khususnya yang beragama Islam untuk membudayakan amalan wakaf serta sedekah amal jariah.

Program ini memberi peluang kepada para pewakaf untuk menikmati wakaf melalui harta miliknya yang tidak dimanfaatkan olehnya.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menjalankan aktiviti wakaf di negeri ini adalah Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan (NSWO) dan Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti) di bawah Yang Dipertuanya, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin.

Menerusi projek Wakaf al-Quran sempena Tadarus al-Quran Perdana tahun lalu, program berkenaan mendapat sokongan pelbagai pihak dengan pembabitan lebih 23,000 peserta.

Objektif program tersebut adalah untuk mencetuskan kesedaran terhadap perlunya membaca dan memahami isi kandungan al-Quran dalam jiwa masyarakat.

PWNS turut memperkenalkan bazaar wakaf dan wakaf mart yang menjadikan masjid sebagai pusat sehenti umat Islam. Projek berkenaan merupakan usahasama antara MAINS dengan Jabatan Wakaf, Haji dan Zakat (Jawhar) dan Yayasan Waqaf Malaysia.

Di Negeri Sembilan, sebanyak enam masjid terlibat dengan pembangunan projek ini melibatkan empat daerah iaitu di Seremban, Kuala Pilah, Gemas dan Tampin.

Tujuan mengadakan pusat sehenti ini adalah untuk menggalakkan masyarakat untuk mengimarahkan masjid dengan melakukan segala urusan di rumah ibadah tersebut termasuk urusan berjual beli.

Antara perniagaan yang terdapat di bazar wakaf dan wakaf mart ini adalah perniagaan runcit, koperasi, pakaian haji dan umrah, kedai makan, kedai percetakan dan kedai komputer.

Pasak kehendak, keinginan beribadah

DEMI masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Asr, 1 hingga 3)

Dalam hidup ini kita ada pelbagai kehendak dan keinginan, sementara setiap kehendak dan kemahuan itu hendaklah diiringi dengan tindakan.

Sesuatu keinginan tanpa tindakan tidak akan mendatangkan hasil yang akan memberi faedah kepada kita.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 pagi, Ustaz Mohd Meeftah Anuar menekankan bahawa pentingnya bagi setiap umat Islam untuk menanam azam yang tinggi di dalam diri, supaya dengan adanya keinginan yang tinggi akan menghasilkan perbuatan dan tindakan yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Seseorang Mukmin yang memiliki azam yang tinggi akan lebih bersemangat dalam melaksanakan ibadah dan perbuatan yang akan menjurus kepada hubungan baik dengan Allah SWT.



BERPESAN tingkat keimanan tuntutan setiap Mukmin.
Sebagai contoh sentiasa menanam azam untuk bangkit melaksanakan solat sunat pada malam hari, berazam melaksanakan solat sunat duha, membaca al-Quran, berpuasa dan sebagainya.

Kehendak dan keinginan dalam ibadah ini hendaklah sentiasa dipasak dalam diri kita agar dapat melahirkan tindakan dan amalan yang akan menjadikan kita insan soleh dan solehah.

Berpesan tingkat takwa

Orang soleh sering berpesan kepada manusia lain dan selalu mengajak kepada kebenaran supaya dapat bersama-sama menjadi insan yang diredai Allah SWT dunia dan akhirat.

Seperti yang dikongsikan melalui Surah Al-Asr, Allah SWT menjelaskan tentang manusia itu akan berada dalam kerugian jika tidak menggunakan kesempatan hidup atau usia yang dimiliki ini untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Bahkan sebagai manusia yang bertakwa kepada-Nya, manusia harus sentiasa saling ingat mengingati antara satu sama lain kerana itu adalah sebahagian daripada nilai keimanan seseorang manusia.

Menurut Meeftah, setiap kebaikan yang dilakukan juga hendaklah berbalas dengan penghargaan seperti ucapan terima kasih yang menjadi sebahagian daripada adab yang perlu diamalkan oleh setiap orang beriman.

Hakikatnya dalam kehidupan ini, sebagai manusia yang menjunjung ajaran agama Allah SWT dan mengikuti teladan yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW, kita disaran untuk saling menasihati dan mengingati antara satu sama lain.

Seperti yang dinukilkan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada umat Islam yang bermaksud: "Jagalah Allah SWT, nescaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah SWT dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah SWT."

Baginda mengajar kepada umatnya agar mengikuti segala perintah Allah SWT kerana orang yang taat kepada perintah Allah SWT pasti sentiasa dalam pemeliharaan-Nya.

Justeru, kita hendaklah sentiasa memelihara amal ibadah kepada Allah SWT agar mendapat keberkatan hidup dan akhirat.

Mereka yang memelihara ketaatan kepada Allah SWT akan mendapat ketenangan dan kelapangan hati selain diberikan kecukupan rezeki dunia dan kemudahan urusan di dunia ini.

Manusia yang sentiasa berusaha membaiki hubungannya dengan Allah SWT, akan mendapat kebaikan dalam hidupnya.

Mereka yang sentiasa dalam 'pandangan' dan rahmat Allah SWT akan dikasihi oleh masyarakat, dikurniakan anak yang soleh dan solehah serta di kelilingi orang yang berkasih sayang.

Sentiasa perbaiki diri

Justeru, kita hendaklah sentiasa membuat pembetulan atau penilaian bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT dari segi solat dan amal ibadah yang lain, serta amalan zikir yang menterjemahkan ketaatan dan kasih sayang dalam menghidupkan sunah Baginda Rasulullah SAW.

Sesungguhnya amat besar kurniaan Allah SWT terhadap hamba yang soleh dan cintakan agama-Nya.

Hamba yang taat kepada Allah SWT dengan memelihara dan menjaga setiap suruhan dan meninggalkan larangan-Nya akan mendapat pemeliharaan Allah SWT di dunia dan mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti.

Justeru, bagi meraih kasih sayang Allah SWT, kita hendaklah sentiasa memperbaiki diri dan hati dengan selalu beristighfar kepada Allah SWT supaya dengan melakukan amalan tersebut akan menyucikan hati dan akan mudah untuk menerima kebaikan.

Akhir sekali, kita semua hendaklah mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan kebaikan walaupun dengan sepotong ayat kerana perkataan atau nasihat yang menyeru kepada kebaikan akan menghasilkan pahala yang berpanjangan.

Setiap keburukan dan kejahatan yang dilakukan sungguhpun dilihat kecil pada pandangan kita sebagai manusia, jika ia dimurkai Allah SWT, pasti akan mendapat sebesar-besar pembalasan yang akan menjauhi kita daripada mendapat ganjaran keredaan-Nya di dunia dan akhirat.