May 12th, 2016

Rejab tingkat iman hadapi Ramadan

Rejab akan mengingatkan umat Islam hampirnya kedatangan Ramadan yang dinanti-nantikan sekalian yang beriman kepada Allah SWT, kerana keberkatan dan kelebihan Ramadan memberi peluang umat Islam merebut ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Justeru, umat Islam dianjurkan berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan usia panjang, kesihatan yang baik dan kesempatan seluas-luasnya untuk bertemu serta beribadah di bulan mulia ini.

Sabda Rasulullah SAW: "Ya Allah, berkatilah kami di Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke Ramadan."



Rejab akan mengingatkan umat Islam hampirnya kedatangan Ramadan yang dinanti-nantikan. - Gambar hiasan
Pada masa sama, kita juga dituntut membuat persediaan dan persiapan menjelang Ramadan dengan berusaha meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dan selalu menanam pengharapan kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala (reda Allah SWT), maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu."

Menerusi program Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menggalakkan umat Islam melalui Rejab dengan bijaksana sebagai persediaan spiritual serta fizikal menjelang tibanya bulan puasa tidak lama lagi.

Perbaiki kekurangan diri

Katanya, setiap kali menjelang tarikh 27 Rejab yang mengingatkan kita kepada peristiwa Israk Mikraj, umat Islam hendaklah memahami inti pati peristiwa itu serta mengambil sebanyak mungkin ibrah untuk memperbaiki kekurangan diri.

"Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj mengandungi seribu satu pengajaran bagi umat Islam mengambil iktibar supaya dapat membina kualiti diri dan menjadi seorang Mukmin yang mendapat keredaan Allah SWT di dunia serta akhirat," katanya.

Secara sepintas lalu, peristiwa Israk Mikraj adalah perjalanan spiritual Nabi Muhamad SAW yang kemudian diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran serta pemandangan alam penuh rahsia yang semuanya mengandungi hikmah.

Setiap yang dilakukan di dunia ini menentukan kedudukan seseorang itu di akhirnya nanti.

Oleh itu, selain memperlihatkan kekuasaan Allah SWT, peristiwa Israk Mikraj menjelaskan kepada manusia bahawa setiap perbuatan baik dan jahat pasti ada pembalasannya.

Pahrol berkata, umat Islam hari ini perlu mencontohi alim ulama terdahulu yang tawaduk dan warak dalam beribadah.

Orang soleh akan membuat persiapan meningkatkan ketakwaan enam bulan sebelum Ramadan sebagai terjemahan ketaatan serta keimanan tinggi kepada Allah SWT.

Beliau turut menekankan kepentingan ilmu kerana setiap sesuatu yang ingin dilakukan termasuk membuat persediaan menghadapi bulan puasa hendaklah berpandukan kepada ilmu yang menjadi pelita menyuluh kehidupan manusia.

Memiliki ilmu juga akan meningkatkan darjat manusia ke tahap lebih tinggi bukan saja pada pandangan manusia juga kedudukannya di sisi Allah SWT.

Ilmu pengetahuan membantu manusia melaksanakan tuntutan agama secara lebih berkesan.

Bagi Ramadan yang bakal menjelang ini, banyak amalan digalakkan kepada umat Islam untuk dilakukan demi mencari keredaan Allah SWT serta meraih ganjaran berlipat ganda antaranya, digalakkan melakukan amalan baik, meningkatkan ibadah serta memperbanyakkan sedekah.

Abdullah bin Abas berkata: "Rasulullah SAW adalah manusia yang paling dermawan. Sifat itu menjadi lebih hebat apabila tibanya bulan Ramadan. Ketika itu juga Baginda dikunjungi malaikat Jibril. Jibril menemui Rasulullah pada setiap malam Ramadan dan mereka membaca al-Quran bersama-sama secara bergilir-gilir. Ketika itu Rasulullah lebih kerap menderma, bahkan lebih kerap daripada tiupan angin." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tidak abai asnaf di Selangor , Selangor kongsi hasil zakat

Selangor kongsi hasil zakat

SEBUT sahaja Shah Alam dan Klang, pastinya terbayang dalam fikiran tentang negeri Selangor. Jangan terkejut jika ia beralamat di Kelantan. Ini kerana kedua-dua pusat bandar yang melambangkan negeri Selangor itu juga kini boleh dilihat di penempatan Desa Alam Shah, Kampung Gong Jenerah, Pasir Puteh, Kelantan.

Walaupun tidak sebesar dan maju seperti bandar sebenar, namun penempatan berkonsep agro-ekonomi yang menyediakan kemudahan asas termasuk surau, pusat sumber, dewan serbaguna dan kedai runcit itu cukup bermakna bagi asnaf fakir dan miskin yang ditempatkan di kawasan tersebut.

Santuni asnaf di Kelantan menerusi inisiatif penempatan Desa Alam Shah


SURAU yang dilengkapi sistem pembesar suara turut disediakan untuk kemudahan penghuni

Ini kerana, usaha pintar menerusi kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (Zakat Selangor, MAIS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) itu bukan sahaja dapat meringankan kesempitan hidup asnaf tetapi turut merangsang mereka untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Menerusi bantuan modal berupa sebuah rumah berserta tanah seluas 0.46 hektar bagi setiap penerima untuk projek penanaman cili, bantuan itu diakui memberi peluang masa depan yang cerah kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

PELUANG KELUAR DARIPADA KEPOMPONG KEMISKINAN





SHAH ALAM dan Klang diambil sebagai nama jalan di penempatan Desa Alam Shah, Pasir Puteh, Kelantan.

Perkara itu diakui oleh seorang penerima manfaat, Tuan Hussain Tuan Mahmood ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia, pada majlis perasmian dan pengurniaan kunci rumah kepada penghuni Desa Alam Shah, Pasir Puteh, Kelantan yang disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sambil disaksikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, jika mengharapkan pendapatannya sebagai buruh kampung yang tidak menentu, kehidupannya sebelum ini disifatkan seperti perumpamaan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Saya tiada pekerjaan tetap, hanya mengambil upah membuat kerja-kerja kampung menanam padi, berkebun dan juga tolong-tolong jiran berniaga sebelum ini. Apa yang dapat, itulah yang sayak makan, berikan kepada anak-anak dan isteri,” katanya yang tinggal di Jalan Shah Alam.

Yang turut hadir pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra; Tengku Temenggung Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz, Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail; Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd. Ali, dan Timbalan Yang diPertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abd. Hadi.

Berkesempatan menyaksikan sendiri keadaan rumah pusaka didiami Tuan Hussain sejak lahir dengan keadaan bertampal-tampal dan separuh roboh cukup jelas membuktikan kesempitan hidup dialaminya yang amat memerlukan bantuan.

“Saya sangat bersyukur kerana terpilih menerima bantuan ini. Mula diberikan peluang mengusahakan ladang cili sendiri pada tahun 2014, saya dibantu oleh isteri berjaya memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM14,000 pada musim kedua, tahun 2015.

“Dalam masa sama, saya juga turut mengambil upah melakukan sebarang pekerjaan selain pada waktu bercucuk tanam cili untuk menambah pendapatan yang ada,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Wan Ismazani Wan Jusoh, 46, bantuan itu merupakan landasan baginya untuk keluar daripada kepompong asnaf yang dilaluinya sekeluarga sejak puluhan tahun lalu.

Dia yang bercita-cita untuk menjadi petani berjaya berkata, bantuan tanah dan projek penanaman cili itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengumpul pengalaman serta selok belok pertanian juga menjalankan perniagaan.

“Saya mempunyai lima orang anak dan empat daripada mereka masih bersekolah, apa sahaja pekerjaan dilakukan untuk menampung keluarga termasuk mengambil upah melakukan kerja-kerja kampung dan buruh binaan.

“Hendak berubah, tetapi ke mana saya hendak pergi dan apa yang boleh buat di kampung ini? Oleh itu, apabila diberikan peluang ini, ia merupakan kesempatan terbaik mengubah hidup sekeluarga,” katanya.

Tambah Wan Ismazani, selepas memulakan projek penanaman cili tersebut, ternyata keadaan kehidupan keluarganya berubah menjadi semakin baik berbanding dahulu.

“Tidak lagi perlu melakukan kerja-kerja berat, pak cik di bantu oleh isteri hanya menumpukan sepenuh masa mengusahakan tanaman cili ini. Alhamdulillah, kehidupan kami banyak berubah.

“Banyak masa juga kini boleh diluangkan bersama keluarga. Kebiasaannya pak cik akan mula ke ladang pukul 7.30 pagi hingga 10.30 pagi pada sebelah pagi dan diteruskan pada pukul 5 hingga 7 malam setiap hari,” ujarnya.

FOKUS KEROHANIAN

Bukan bersifat bantuan semata-mata, sumbangan yang disalurkan juga memberi peluang kepada Zakat Selangor, MAIS dan Maik untuk memperkasakan aspek kerohanian asnaf dalam masa sama mengecapi kejayaan dunia.

Mengulas lanjut, Syed Anwar berkata, bantuan menerusi projek Selangor Prihatin itu turut mengutamakan aspek pembangunan modal insan kepada penerima.

“Selain menyediakan bantuan kepada asnaf untuk berubah, pelbagai program dan aktiviti berbentuk kerohanian turut dirancang antara Zakat Selangor dan Maik dengan berlandaskan tiga teras utama iaitu pendidikan agama dan akademik, sosial serta ekonomi kepada penerima,” katanya.

Syed Anwar berkata, projek pembangunan ekonomi asnaf di luar Selangor ini merupakan cetusan idea Sultan Selangor yang berhasrat agar manfaat daripada dana zakat di Selangor dapat disalurkan kepada negeri yang kurang sumber zakatnya.

“Rentetan daripada kejayaan projek Taman Desa Asnaf di Perlis yang dirasmikan pada 2013, Zakat Selangor telah menyempurnakan titah Sultan Selangor untuk menyalurkan dana zakat kepada pembangunan Desa Alam Shah ini pula.

“Justeru, Zakat Selangor akan terus memantau perjalanan projek ini untuk tempoh dua tahun bagi memastikannya mampu menyantuni asnaf terpilih di penempatan ini,” jelasnya.


Tidak abai asnaf di Selangor

“MENGAPA perlu bantu orang luar, sedangkan masih terdapat ramai asnaf dan golongan memerlukan di Selangor?” Pastinya itulah persoalan pertama yang akan diutarakan terutamanya pembayar zakat di Selangor apabila mendapat tahu hasil kutipan zakat negeri itu disalurkan ke negeri lain.

Ditambah dengan statistik jumlah asnaf di negeri yang memperoleh antara kutipan zakat terbesar di Malaysia itu menunjukkan peningkatan saban tahun membuatkan isu tersebut semakin hangat daripada menjadi pertikaian ramai.


Keperluan, kebajikan terus diberi perhatian


SETIAP penerima diberikan sebuah rumah berserta 0.46 hektar tanah untuk projek penanaman cili.

Perkara itu sedikit sebanyak mempengaruhi jumlah kutipan zakat apabila kepercayaan pembayar semakin berkurangan terhadap organisasi yang bertanggungjawab mengendali kutipan dan agihan zakat.

Akhirnya, kecewa dengan situasi yang berlaku, orang ramai tanpa usul periksa mengambil keputusan untuk mengagihkan sendiri zakat kepada asnaf dikenal pasti kerana dianggap lebih telus dan memberi manfaat terus kepada penerima.

Mengulas kekeliruan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) Hussin Mohd. Ali berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat dan berusaha menjalankan tanggungjawab membantu golongan asnaf di Selangor.

Ini menerusi pelbagai skim bantuan dan kemudahan yang ditawarkan termasuk untuk proses pembayaran dan permohonan di negeri itu dari semasa ke semasa.

“Dana diperuntukkan ini merupakan inisiatif Zakat Selangor menerusi Projek Selangor Prihatin bagi berkongsi kutipan zakat yang diperoleh di Selangor kepada negeri kurang sumber zakatnya.

“Mempunyai tujuan sama iaitu membantu golongan asnaf terutamanya fakir dan miskin, dana yang disalurkan ke luar negeri ini bukan bermakna kita mengabaikan asnaf di Selangor, tetapi untuk berkongsi hasil zakat agar dapat dirasai bersama.

“Selain pembinaan penempatan berkonsep sama di Perlis pada 2013 dan projek ini di Kelantan, kita juga telah merancang untuk memperluas bantuan seperti ini ke negeri-negeri lain termasuk di Selangor. Buat masa ini kita memberi fokus projek di Kelantan ini dahulu,” katanya.



SEBANYAK RM8.3 juta diperuntukkan daripada dana kutipan Zakat Selangor untuk membangunkan penempatan Desa Alam Shah yang berkeluasan 17.02 hektar di Kelantan.

FOKUS GENERASI KEDUA

Bersifat bantuan jangka masa panjang, sumbangan yang diberi bukan sahaja memfokuskan kepada penerima, tetapi latihan pembangunan modal insan yang disediakan sepanjang berada di penempatan tersebut turut menyasarkan generasi kedua penerima.

Hussin berkata, ini bagi mengelakkan anak-anak asnaf penerima daripada terus hidup dalam kemiskinan dengan mewarisi keluarga sebagai asnaf.

Desa Alam Shah dibina bagi berkongsi kutipan zakat Selangor ke negeri Kelantan.

“Apa yang kita harapkan adalah tempoh lima tahun yang diberikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap penerima agar berupaya merubah nasib keluar daripada asnaf. Tidak terhenti kepada penerima, bantuan juga menyasarkan generasi kedua penerima iaitu anak-anak asnaf untuk berubah.

“Kejayaan ini terbukti apabila pemerhatian yang kita lakukan di Taman Desa Ansaf, Perlis mendapati lebih 70 peratus penghuni di penempatan itu solat berjemaah pada solat Subuh berbanding hanya segelintir pada peringkat awal,” ujarnya.

Memilih penanaman cili sebagai sumber pendapatan utama, Hussin menjelaskan, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peluang pendapatan, jenis tanah dan kesesuaian projek pertanian di kawasan tersebut.

“Seperti yang kita tahu, Pasir Puteh terkenal dengan projek penanaman cili yang menghasilkan kualiti antara terbaik di negara ini, malah bertepatan dengan standard ditetapkan Nestle selaku pembeli utama untuk menghasilkan sos,” katanya.

-

Dilema mencari suami

DILAHIRKAN sebagai wanita pada abad ke-21, ternyata berhadapan dengan pelbagai cabaran. Bukan sahaja bertanggungjawab terhadap keluarga dan kerjaya, tetapi terhadap ibu bapa, anak-anak dan masyarakat umum juga perlu diberikan perhatian.

Sesungguhnya seorang wanita dilahirkan dengan keistimewaan. Sering dikaitkan sebagai tunjang keluarga, wanita perlu berkorban lebih jika ingin berjaya dalam kerjaya dalam masa sama tidak mengabaikan tanggungjawab keluarga.


Cabaran wanita alaf baharu

WANITA bekerjaya sering berhadapan cabaran membahagikan tanggungjawab kepada keluarga dan kerjaya. GAMBAR HIASAN

Namun ramai wanita berjaya dalam kerjaya hari ini sering berhadapan dengan konflik apabila berkahwin atau ingin berkahwin.

Yang pertama ialah mencari suami yang sekufu dengannya. Hari ini ramai wanita berpendidikan tinggi dan berjawatan tinggi masih belum berkahwin kerana kesukaran mencari calon suami bersesuaian.

Jika mereka berkahwin semasa belajar atau sebaik sahaja tamat pengajian, mereka bermasalah mencari pekerjaan bersesuaian kerana dilema suami mungkin tidak mengizinkan bekerja atau perlu mencari pekerjaan yang dekat dengan rumah perkahwinan mereka.

Ramai graduan wanita tidak bekerja selepas berkahwin atau selepas mendapat anak kerana perlu meletakkan keutamaan antara keluarga dan kerjaya. Itu yang disebut dalam banyak laporan, graduan wanita “hilang” daripada radar pekerjaan sebaik sahaja berkahwin atau setelah melahirkan anak.

Akhirnya ramai dalam kalangan mereka memilih untuk tidak berkahwin kerana tidak mendapat calon bersesuaian dan kerisauan suami akan meminta mereka melepaskan jawatan apabila berkahwin. Ada juga yang mendapat suami tidak sekufu dengannya dan keluarganya.

KERENAH SUAMI

Ramai juga yang telah bercinta sekian lama sama ada semasa belajar atau selepasnya, berkahwin dan mendapati orang yang dicintai itu (suami) tidak membenarkannya bekerja. Ada juga yang mengawal selia isteri dalam semua aktiviti sehingga isteri merasakan lebih baik dia berhenti.

Apabila berhenti kerja terutama selepas mendapat anak, keluarga isteri akan mula mengungkit dan marah. Ini kerana sebagai anak perempuan yang menjadi harapan keluarga, pemberhentian kerja bermakna keluarga tiada wang bulanan daripada anak perempuannya.

Ibu bapa menghapus hasrat ke Mekah kerana anak perempuan sudah jarang pulang dan memberi wang. Bila dia pulang ke kampung, dia perlu meminta wang gaji suami untuk membeli hadiah atau barangan untuk keluarganya di kampung.

Konflik akan bermula antara ibu bapa dan adik beradik isteri dengan suami. Kesiannya seorang anak perempuan yang terpaksa memilih antara suami dan keluarganya! Adakah ini yang dianjurkan Islam? Ada juga yang tidak berhenti kerja selepas berkahwin kerana suami tidak membelanjakan duitnya untuk keluarga.

Semua makan minum anak-anak, sekolah dan lain-lain semuanya datang daripada gaji isteri. Walaupun isteri sering meminta, namun suami yang mempunyai pendapatan rendah daripada isteri akan memberi alasan “gaji awak lebih banyak daripada saya.”

Ada juga suami yang memilih untuk berhenti kerja kerana gajinya terlalu sedikit dan daripada membazir membayar orang gaji, lebih baik suami mengambil peranan tersebut seperti memasak, menghantar anak sekolah dan mengurus hal ehwal keluarga.

Apa yang suami tidak buat ialah memberi wang untuk membeli makanan atau membayar sewa atau ansuran rumah, bayaran kereta atau motor dan sebagainya. Akhirnya isteri merasa amat letih dan tidak dapat melihat hikmah di sebalik suaminya yang tidak bekerja.

Terdapat isteri merasakan adalah lebih baik dia tidak bersuami. Akhirnya isteri memohon cerai. Bukanlah mudah menjadi wanita perkasa yang boleh mengimbangi antara kerjaya dan rumahtangga.

Mungkinkah wujudnya kesilapan cara ibu bapa membesarkan anak lelaki mereka sehingga menjadikan mereka tidak bertimbang rasa, pemarah, ganas dan tamak sehinggakan dalam semua perkara hanya keluarga dan dirinya sahaja yang menjadi keutamaan?

-