May 15th, 2016

‘Dahi hitam’ petanda riyak?

TERDAPAT riwayat hadis bahawa seseorang yang hitam dahinya adalah ahli riyak. Benarkah begitu?

Jawapan Memang ada tersebar riwayat hadis sebegitu yang bermaksud setompok tanda hitam di dahi adalah ciri khawarij dan orang yang riyak. Penghakiman terhadap hadis adalah sesuatu yang sukar kerana ia memerlukan pelbagai jenis ilmu seperti Rijal, bahasa Arab dan sebagainya. Hadis sebegini biasanya terdapat pertikaian dalam kalangan para ulama.

Jangan terlalu mudah menghukum

Namun begitu, masyarakat biasanya mudah terpedaya dengan orang yang hitam dahinya. Ada yang menganggap mereka adalah wali Allah, orang soleh dan mempunyai keramat iaitu berdasarkan kepada penilaian zahir dengan hanya melihat tanda hitam di dahi sahaja.

Sebaliknya terdapat juga kelompok masyarakat yang begitu mudah berpegang dengan riwayat hadis ini dan menghukum mereka sebagai individu yang riyak. Kedua-dua sikap ini adalah melampau, iaitu jangan mudah terpedaya dengan setompok kehitaman dahi dan elakkan dengan sewenang-wenangnya menuduh dengan hanya melihat kesan pada dahinya sahaja.

Ceramah, dakwah terapi mujarab penyakit

Batu Pahat: Penceramah bebas, Datuk Mohammad Kazim Elias, buat julung kali berkongsi pentas dengan abangnya, Datuk Mohd Najmuddin, selepas berehat panjang akibat penyakit jantung, malam kelmarin.

Bertempat di padang Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di sini, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim dan abangnya berjaya 'mengikat' kira-kira 10,000 penduduk selama dua jam untuk mengikuti ceramah mereka pada 'Program Bicara Ilmu Dua Tokoh Bersaudara'.

Dengan mengekalkan ceramah secara santai dan diselang seli jenaka dan nyanyian yang menjadi 'trade mark' beliau, orang ramai setia menghayati ceramahnya yang juga julung kali bersama abangnya di negeri ini.


Datuk Mohammad Kazim Elias (kanan), berkongsi pentas dengan abangnya, Datuk Mohd Najmuddin di Padang MRSM Batu Pahat, Parit Sulong, malam kelmarin. - Foto Syarafiq Abd Samad/BH


Walaupun nampak sedikit kepenatan, Ustaz Kazim tetap kelihatan bersemangat menyampaikan ceramah.

Sementara itu, Ustaz Kazim berkata, penyakit yang dihidapinya tidak menghalangnya untuk meneruskan ceramah ke seluruh negara.

Malah, beliau menyifatkan ceramah dan dakwah adalah sebahagian terapi mujarab untuk penyakit jantung dan kencing manis yang dihadapinya.

Sokongan moral dan bantuan abangnya juga menjadi perangsang untuk beliau terus aktif dalam bidang dakwah meskipun pergerakan kini lebih terbatas.

"Saya kembali berceramah sejak dua minggu lalu selepas berehat panjang kerana menjalani rawatan jantung.

"Sebenarnya, saya masih dalam proses rawatan. Bagaimanapun, saya tidak boleh duduk diam atau berehat lama kerana saya kena berceramah juga," katanya.

Mengehadkan jemputan

Ustaz Kazim berkata, penyakit kencing manis yang dihadapinya sudah menyerang saraf penglihatan, buah pinggang dan kaki hingga mengehadkan pergerakannya untuk berceramah.

"Doktor nasihat supaya berehat kerana penyakit diabetes sudah menyerang mata kiri dan buah pinggang. Empat jari kaki kiri berdepan masalah gangren jika tidak dijaga... berisiko untuk dipotong," katanya.
Sebahagian daripada orang ramai yang hadir pada Program Bicara Ilmu bersama Ustaz Kazim dan Ustaz Najmuddin di Padang MRSM Batu Pahat, Parit Sulong, malam kelmarin. - Foto Syarafiq Abd Samad/BH


Berikutan masalah kesihatan, Ustaz Kazim terpaksa mengehadkan jemputan berceramah dengan lebih bertumpu kepada program skala besar atau di televisyen kerana lebih ramai khalayak mendapat manfaat.

"Alhamdulillah, saya juga ada beberapa segmen rancangan televisyen seperti 30 minit bersama UKE di TV Al-Hijrah, Kopi Bersama Ustaz Kazim (TV9) dan rancangan realiti TV, Dai (TV3).

Beri sokongan moral

"Saya juga terpaksa menghentikan seketika aktiviti ceramah pada Ramadan ini kerana ingin menumpukan kepada sekolah dan juga rawatan kesihatan.

Ramadan juga adalah bulan terbaik untuk saya mengawal tahap diabetes.

Insya-Allah, saya akan kembali berceramah selepas itu," katanya. Sementara itu, Mohd Najmuddin berkata, beliau akan terus memberi sokongan moral kepada adiknya dalam meneruskan tugas dakwah selepas ini.


"Kehadiran saya bersama Ustaz Kazim diharapkan dapat membantu dan meringankan tugasnya dalam menyampaikan dakwah yang menjadi darah dagingnya," katanya. Beliau berterima kasih kepada kerajaan Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) kerana memberikan tauliah kepada mereka berdua berceramah di Johor.

"Alhamdulillah, tauliah khas ini kami anggap sebagai satu penghargaan dan penghormatan untuk terus aktif dalam usaha dakwah dan menyebar ilmu agama kepada masyarakat," katanya.

Datuk Mohammad Kazim Elias

Usia: 44 tahun
Pendidikan: Sekolah Kebangsaan Tok Sajak, Batu Kurau, Perak
Sekolah Menengah Agama Shubbaniah, Batu Kurau, Perak Maahad Tahfiz Darul Quran Perak
Anak: Lima orang (dua lelaki dan tiga perempuan)
Kerjaya: Penceramah bebas dan guru agama.

Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias

Usia: 52 tahun
Pendidikan: Sekolah Kebangsaan Tok Sajak
Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Kamaruddin, Batu Kurau
Sekolah Menengah Agama Shubbaniah, Batu Kurau, Perak
Diploma Tahfiz Darul Quran
Ijazah Sarjana Pengajian Islam, Open Universiti Malaysia Anak:
Enam orang (dua lelaki dan empat perempuan)
Kerjaya: Bekas Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia Penceramah bebas.

Tanggungjawab sosial korporat dari sudut Islam

Tarikan terhadap tanggungjawab sosial korporat atau lebih dikenali dengan Corporate Social Responsibility (CSR) dalam dunia perniagaan, bermula di Barat sejak 1950-an.

Bagaimanapun, sejak berlaku krisis kewangan pada 2007, teori CSR ini mula mendapat perhatian semula dalam dunia perniagaan.

CSR merujuk kepada tanggungjawab korporat untuk memberi khidmat kepada masyarakat.

Dalam hal krisis kewangan, pakar ekonomi bersetuju bahawa ideologi kapitalisme adalah antara penyebab utama manusia menjadi tamak dan tidak bermoral.

Lantaran itu, pakar ekonomi menyatakan sistem kapitalisme perlu didokong dengan nilai moral untuk memastikan keadaan ekonomi kembali kukuh.

Tumpu nilai moral

Walaupun industri perbankan dan kewangan Islam tidak terjejas teruk ketika krisis kewangan itu, isu moral juga diberi perhatian oleh pakar ekonomi Islam.

Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia)
Berhad (NSTP), Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid (tengah) bersama Pengarah dan Pengurus Besar Wacoal Malaysia, Vincent Leong (kanan) dan Takashi sebelum melepaskan peserta pada pelancaran Kempen Riben Merah Jambu 2015 Wacoal bersama The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Balai Berita. - Foto Salhani Ibrahim/NSTP


Berbeza dengan pendapat pakar ekonomi Barat, nilai moral dan tanggungjawab sosial sememangnya antara elemen penting dalam transaksi ekonomi Islam.

Oleh yang demikian, CSR menurut pandangan Islam mempunyai aspek kerohanian yang menjadikannya unik berbanding teori Barat.

Penemuan CSR daripada pandangan Islam atau lebih dikenali dengan Islamic CSR (ICSR) adalah daripada perdebatan pakar ekonomi Islam mengenai saringan nilai moral dan etika dalam operasi institusi perbankan dan kewangan Islam.

Institusi perbankan dan kewangan Islam menegaskan bahawa keunikan dan daya tahan operasinya adalah berasaskan sistem ekonomi Islam yang berlandaskan syariah dan menegakkan keadilan sosioekonomi.

Melihat perkembangan dan kejayaan institusi pada masa ini, pakar ekonomi Islam menyatakan bahawa institusi ini lebih cenderung kepada prinsip form over substance.

Institusi ini dikatakan memenuhi kehendak form iaitu undang-undang syariah, tetapi gagal untuk memenuhi kehendak substance yang merujuk kepada nilai moral dan etika.

Perdebatan ini dianggap sangat penting kerana ia menzahirkan asas sistem ekonomi Islam itu yang sepatutnya menegakkan prinsip substance over form.

Ternyata, menurut pandangan Islam, aspek akhlak memainkan peranan yang sangat penting melebihi daripada kehendak undang-undang.

Bagaimanapun, menurut Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia pada 30 Mac 2006, kedua-dua elemen: subtance dan form adalah sama penting dan seharusnya tidak bercanggah antara satu sama lain.

Sejak itu, kajian ilmiah dalam falsafah ICSR telah berkembang bertepatan dengan kehendak semasa industri perbankan dan kewangan Islam.

ICSR yang dikembangkan daripada bidang ilmu Barat ini dilihat secara menyeluruh di mana konsep falah atau kejayaan merupakan tunjang utama.

Kejayaan yang dimaksudkan adalah kejayaan di dunia dan juga di akhirat, dengan aspek kerohanian digabungkan dengan aspek material.

ICSR adalah artikulasi daripada sistem ekonomi moral Islam atau dikenali dengan Islamic moral economy.

Sistem ini berasal daripada sistem ekonomi moral yang menekankan kepentingan terhadap kepercayaan kepada tuhan dan kepentingan akhlak dan etika dalam amalan ekonomi dan kewangan.

Keadilan sosial dan ekonomi

Ternyata sistem ekonomi ini selari dengan ideologi pakar ekonomi Islam yang mahukan keadilan sosial dan ekonomi untuk pembangunan masyarakat. Tonggak utama dalam sistem ekonomi moral Islam ini ada lima aspek.

Pertama adalah tauhid iaitu akidah Islam yang merujuk kepada keyakinan terhadap kehadiran Allah. Pentingnya elemen ini kerana ia adalah sikap akauntabiliti kerohanian yang membentuk sikap manusia dalam amalan kewangan.

Kedua, 'adl wal ihsan' iaitu aspek keadilan dan sifat bertimbang rasa yang menyumbang ke arah keseimbangan sosial. Elemen ini membentuk sikap kesamarataan dalam kalangan masyarakat di mata Allah.

Ketiga, rububiyyah iaitu komponen tauhid yang meyakini Allah itu Esa di mana ia merupakan sumber nilai yang membentuk kesempurnaan. Ia penting untuk sistem ekonomi yang lestari dan berdaya saing.

Keempat, tazkiyyah pula merujuk kepada pembangunan dan penyucian jiwa. Nilai tazkiyyah ini adalah integrasi di antara nilai moral, kerohanian dan material yang penting untuk menghindarkan daripada sikap negatif seperti tamak, mementing diri sendiri, hasad dengki dan lain-lain.

Akhir sekali adalah ukhuwah atau persaudaraan dan penyatuan ummah. Ia merujuk kepada semangat persaudaraan merentasi agama dan kaum.

Penemuan ilmu ICSR ini ternyata sangat penting dalam perkembangan institusi perbankan dan kewangan Islam kerana ia mengubah pendirian 'homoeconomicus' iaitu manusia yang mementingkan pulangan keuntungan yang tinggi kepada 'homoislamicus' atau manusia yang berteraskan kepada ajaran Islam yang mementingkan pulangan sosial dan ekonomi.

Jelas ICSR ini dapat membentuk keseimbangan sosial dan ekonomi untuk pembangunan masyarakat yang berteraskan Islam.