May 30th, 2016

Mengapa tiada Qunut di Mekah

Mengapa solat Subuh di Masjid Nabawi dan Masjidilharam tiada doa qunut dan selepas solat tiada doa? - Raza, Perak.

UKE: Membaca qunut ketika sembahyang Subuh disyariatkan menurut mazhab Syafie dan ia termasuk dalam perkara sunat ab‘adh. Jika qunut itu ditinggalkan, sama ada terlupa atau sengaja, maka sunat ditampung dengan sujud sahwi.

Persoalan tentang qunut ini menjadi perkara khilafiah. Pelbagai pendapat berkenaan bacaan qunut di di dalam solat subuh tetapi kita yang berpegang dengan mazhab Syafie berpegang dengan sunat dibaca qunut.

Imam Syafie tidak mewajibkan qunut maka sebenarnya tiadalah masalah besar jika kita berimamkan imam yang tidak membaca qunut malah sah solat kedua-duanya. Yang membaca ada dalilnya, begitu juga bagi yang tidak mmbacanya.

Kita sebagai orang awam memadailah beramal dengan mazhab masing-masing kerana setiap mazhab empat itu sandarannya adalah Nabi Muhammad SAW. Bab berdoa itu mudah sahaja. Kalau tok imam itu tak berdoa maka kita sendirilah berdoa. Kalau tok imam berdoa kita aminkanlah, mudah-mudahan mustajab.

Pembasmian rasuah sudah ada dalam Islam

BARU-BARU ini terdapat berita bahawa Malaysia akan menjadikan pencegahan rasuah dan inte­griti sebagai mata pelajaran di sekolah mulai tahun depan. Mata pelajaran itu akan diperkenalkan di sekolah rendah, menengah dan peringkat pengajian tinggi bagi mewujudkan kesedaran generasi muda tentang bahaya rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dalam menyelaraskan model pendidikan tempatan dan antarabangsa untuk menjamin kejayaannya.

Masyarakat hari ini sering menilai kejayaan seseorang individu berdasarkan apa yang dimiliki. Rumah besar, kereta besar, anak ramai, pangkat tinggi, gaji besar, kecerdikan yang hebat, mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, menjadi usahawan yang kaya-raya dan lain-lain.

Jelas penilaian kejayaan seseorang itu adalah dari segi kebendaan semata-mata. Apa yang dimiliki hari ini menjadi kebanggaan seseorang. Walaupun berjaya di mata manusia, sejauh mana menepati kehendak Allah dalam kehidupan ini?

Nilai yang kita ambil sepatutnya adalah nilai Islam, rujukan kita adalah rujukan Islam. Apabila kejayaan tidak seiring dengan apa yang dikehendaki Allah, ia tertolak. Kejayaan di sisi Allah adalah berbeza dengan konsep kejayaan yang sering dilaung-laungkan.

Dalam Surah Al-Mukminun ayat 1-9 bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, orang yang menjauhkan diri daripada (perbuatan dan percakapan) yang tidak berguna, orang yang menunaikan zakat dan orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela, tetapi barang siapa mencari di sebalik itu (zina dan sebagainya), maka mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang yang memelihara amanah dan janji serta orang yang memelihara solatnya.”

Banyak lagi ayat lain tentang orang yang berjaya. Semuanya menunjukkan bahawa kejayaan di sisi Allah adalah berdasarkan perbuatan manusia yang beramal soleh dan bukan apa yang dimiliki.

Kita lihat terdapat enam sifat orang berjaya yang di­sebutkan iaitu, orang yang khusyuk dalam solat, orang yang menjauhkan diri daripada percakapan yang tidak berguna(mengumpat/mengutuk/mengeji), orang yang menunaikan zakat, orang yang memelihara kemaluan daripada zina, orang yang memelihara amanah dan orang yang memelihara solat.

Justeru selagi kita meninggalkan ciri-ciri orang yang berjaya maka kita belum lagi boleh dikategorikan sebagai orang yang berjaya. Kereta besar, rumah besar, gaji besar, telefon bimbit terkini belum mampu untuk kita dikategorikan sebagai orang yang berjaya. Jika kita memiliki semua itu hanyalah kejayaan di mata manusia dan bukan kejayaan yang sebenar yang telah diterangkan dalam al-Quran.

Sebagai orang Islam inilah yang perlu kita sedari. Apakah tuntutan Islam pada diri kita? Segala pandangan dan neraca hidup kita perlu diselarikan dengan Islam. Tetapi ramai yang terlalai daripada perkara ini dan tidak peka akan tuntutan agama.

Oleh kerana kebendaan begitu dipentingkan, maka yang tidak berkemampuan juga akan cuba untuk tidak ketinggalan mendapatkannya. Akibatnya, gejala rasuah berleluasa hatta dalam kalangan orang Islam sendiri.

Rasuah adalah cara yang paling singkat untuk mendapatkan apa yang diingini tanpa mengambil masa yang lama. Namun orang Islam sepatutnya sudah mempunyai senjata ampuh untuk menangkis godaan keduniaan. Dengan penghayatan agama maka masyarakat sudah sepatutnya mengetahui bahawa kebendaan semata-mata bukanlah matlamat hidup untuk dikejar.

Mereka menyedari matlamat hidup orang Islam lebih daripada itu, kerana bekalan di akhirat yang lebih utama. Jika matlamat itu sudah jelas dan masyarakat sudah tidak lagi memandang kebendaan sebagai ukuran kejayaan seseorang, maka pada ketika itu tidak perlu lagi diwujudkan mata pelajaran pencegahan rasuah dan integriti di sekolah dan peringkat pengajian tinggi.

Manusia tidak lagi akan mengambil rasuah kerana merasakan tiada keperluan untuk menunjuk-nunjuk. Sebaliknya iman yang didambakan dan mereka akan berlumba-lumba untuk menambahkan amal serta mempertingkatkan takwa. Tiada lagi suara-suara sumbang dan umpat keji tentang mereka yang tidak begitu mewah dan hidup sederhana.

Kehadiran Ramadan tidak lama lagi adalah masa yang sesuai untuk kita membuat perubahan. Masyarakat harus selalu diingat-ingatkan akan perkara ini secara berterusan.

Mereka harus selalu disedarkan bahawa kejayaan berbentuk kebendaan hanyalah tipu daya dan perhiasan dunia untuk sementara. Bagi umat Islam, apa yang lebih penting dan lebih utama adalah meningkatkan takwa kepada Allah SWT dan hasilnya adalah kemanisan iman yang membawa kejayaan hakiki.

- Mastura Mohd Zain Utusan Malaysia Rencana 30 Mei 2016 6:05 PM

Inovasi mahkamah syariah negara, Pindaan memperkasa mahkamah syariah

Pindaan memperkasa mahkamah syariah

BAGAIKAN sudah diduga, pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian iaitu cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 mencetuskan pelbagai polemik dalam kalangan masyarakat.

Pembangkang khususnya DAP dan PAN tampak agresif menolak dan mencetuskan pelbagai andai­an tidak berasas tatkala usul dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Khamis lalu.

Malah ada parti komponen BN dalam kalangan bukan Islam turut melatah. Seolah-olah negara sedang dilanda krisis Perlembagaan hebat kerana membincangkan RUU yang kononnya akan memberi ruang kepada negeri tertentu melaksanakan Hukum Hudud yang didakwa bertentang­an de­ngan struktur asas perundangan negara. Jika diperhatikan polemik yang tercetus lahir akibat kegagalan memahami secara tuntas hasrat pindaan Akta 355 khususnya melibatkan Bidang Kuasa Mahkamah Syariah yang ingin dibentangkan.

Sebelum mengulas lanjut polemik ini, penting untuk di­fahami maksud Bidang Kuasa Jenayah Mahkamah Syariah yang ter­maktub di bawah Seksyen 2 Akta 355.

Yang jelas kuasa mahkamah syariah ini hanya terpakai kepada penganut agama Islam dan terikat kepada bidang kuasa yang termaktub di bawah Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesem­bilan kepada Perlembagaan Persekutuan berkenaan kesalahan terhadap rukun agama Islam.

Kadangkala terfikir juga di benak pemikiran penulis, apa sebenarnya punca penolakan dan tentangan kalangan bukan Islam terhadap RUU ini? Bukankah sudah jelas bahawa undang-undang ini hanya terpakai kepada umat Islam? Apakah mereka tidak tahu atau buat-buat tidak tahu bahawa orang bukan Islam tiada kaitan dengan aturan dan perjalanan mahkamah syariah?

Sejak bila pula umat Islam di negara ini seolah-olah perlu menyembah dan meminta perkenan orang bukan Islam apabila hendak melaksanakan ibadah atau sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka?

Perlu difahami bahawa cadang­an pindaan Akta 355 ini hanyalah untuk memperkasa bidang perundangan Syariah de­ngan memperluaskan kuasa hukuman mahkamah syariah yang sekian lama tidak dipinda.

Ketika ini kuasa mahkamah syariah dilihat amat terbatas, tidak dinamik dan terkebelakang berbanding mahkamah sivil yang sentiasa berubah mengikut keper­luan zaman. Sebagai contoh dalam aspek hukuman umpa­manya, kuasa mahkamah syariah hanya terhad kepada denda tidak melebihi RM5000 atau penjara tiga tahun atau enam kali sebatan atau gabungan hukuman tersebut.

Sudah tentulah hukuman ini tidak selari dengan perkembangan sistem penghakim­an sivil yang lebih terkehadapan dan seringkali bergerak seiring dengan peredaran dan keperluan masyarakat yang berubah-ubah.

Justeru menjenamakan RUU itu dengan pelaksanaan hudud dan menakut-nakutkan masyarakat bukan Islam dengan mencetuskan pelbagai andaian palsu adalah berniat jahat dan boleh memporakporandakan kestabilan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Hakikatnya, RUU yang dicadangkan juga tidak terkait de­ngan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan yang pernah dibentangkan dan diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebelum ini. Ini kerana bagi membolehkan Enakmen Negeri Kelantan dilaksanakan khususnya berkaitan hudud yang meli­batkan kesalahan jenayah awam di bawah Kanun Keseksaan, dan dalam bidang kuasa Persekutuan seperti mencuri dan merompak, tidak cukup sekadar meluluskan pindaan Akta 355.

Untuk melaksanakan Hukum Hudud secara keseluruhannya, Kerajaan Negeri Kelantan perlu terlebih dahulu memohon kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A (1) untuk membuat undang-undang yang terkait dengan jenayah awam iaitu bidang kuasa Persekutuan. Ini hanya boleh dilakukan dengan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi meletakkan kesalahan hudud yang melibatkan jenayah awam seperti terkandung dalam Kanun Keseksaan mi­salnya mencuri dan merompak di bawah Se­narai Negeri Perlembagaan.

Malah untuk membolehkan hukuman ini hanya terpakai kepada orang Islam, Perkara 8 dalam Perlembagaan juga perlu dipinda bagi mengelakkan perlanggaran prinsip diskriminasi perundangan atas alasan agama.

Harus diingat bahawa pindaan terhadap sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan hanya boleh dilakukan jika sekurang-kurangnya dua pertiga iaitu 148 daripada 222 ahli Parlimen menyokong pindaan tersebut.

Realiti politik masa kini tidak sesekali memungkinkan sebarang pindaan kepada mana-mana bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan kerana BN sendiri tidak memiliki bilangan kerusi Parlimen dengan majoriti dua pertiga. Malah diandaikan ahli Parlimen UMNO dan Pas menyokong pindaan sekalipun tidak cukup untuk mendapat majoriti mudah apatah lagi meminda Perlembagaan bagi maksud melaksanakan hudud.

Justeru tidak perlulah dibuat sebarang andaian mahupun mencetuskan reaksi keterlaluan terhadap pindaan Akta 355 yang melibatkan peluasan bidang kuasa mahkamah syariah. Malah mengaitkannya dengan pelaksana­an hudud yang lebih rumit adalah bersifat simplistik seolah-olah ada udang di sebalik batu.

Mereka yang membuat andai­an dan spekulasi seperti ini sebenarnya berhujah tanpa berasaskan fakta mahupun berpijak di bumi nyata. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pihak terba­bit terlalu terdesak hingga sanggup memainkan sentimen kebencian atas andaian yang tidak benar.

Mudah-mudahan pimpinan parti komponen BN dalam kalang­an bukan Islam mulai sedar dan tidak berterusan menari mengikut paluan gendang DAP. Bertindaklah mengikut rasional akal dan suluhan ilmu yang benar. Fahami dan hayatilah kerangka Perlembagaan dan struktur perundangan negara secara holistik sebelum melakukan sebarang tindakan.

Sebagaimana umat Islam sejak merdeka begitu toleransi, menghormati prinsip kebebasan beragama dan hak rakyat bukan Islam melaksanakan pelbagai tuntutan agama masing-ma­sing, maka hormatilah juga hak masyarakat Islam.

Apatah lagi kedudukan istimewa Islam dalam struktur Perlembagaan sebagai Agama Persekutuan jelas mengisyaratkan bahawa pemerintah bertanggungjawab mempertahan dan memperkasakan institusi Islam yang ada dalam negara ini.

Atas asas ini jugalah maka sudah tiba masanya mahkamah syariah sebagai salah satu institusi terpenting dalam mendaulatkan agama Islam di negara ini diperkasa dan dimartabatkan seiring de­ngan sistem perundangan sivil. - Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki Utusan Malaysia Rencana 30 Mei 2016 6:00 PM


Inovasi mahkamah syariah negara

SEKALUNG tahniah kepada Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) atas kejayaan menyelesaikan sejumlah 1,446 kes daripada keseluruhan 3,468 kes tertunggak sejak tiga tahun lalu. Ini hasil pelaksanaan program Sifar Kes Tertunggak (Siket) yang diperkenalkan sejak 1 Mac 2016.

Sememangnya perkembangan ini sesuatu yang telah lama dinanti-nantikan. Menyelesaikan kes-kes perceraian dan yang berkaitan bab hadhanah (hak penjagaan anak), nafkah idah, nafkah anak dan sebagainya.

Inisiatif ini bukan sahaja mengangkat martabat mahkamah syariah kerana lebih efisien tetapi juga meningkatkan lagi keyakinan umat Islam tentang keadilan. Ini menepati hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya.” (Riwayat Baihaqi)

Difahamkan sasaran utama program Siket adalah menyelesaikan 100 peratus kes tertunggak MSWP dalam tempoh tiga tahun selain kes yang baharu didaftarkan dalam tempoh 10 bulan.

Hasilnya cukup memberangsangkan apabila dalam tempoh dua bulan sahaja, 42 peratus daripada kes tertunggak berjaya diselesaikan.

Ini menunjukkan jika semua pihak terlibat melakukan kerja secara kolektif dan bersungguh-sungguh, insya-Allah banyak kes dapat diselesaikan dalam tempoh yang lebih singkat. Secara tidak langsung mampu mengurangkan kes-kes isteri yang ‘digantung tak bertali’.

Mendahului inovasi ini adalah Jabatan Kehakiman Syariah Selangor yang memperkenalkan proses cerai fast track secara percubaan pada Januari 2015 dan rasmi sejak Julai 2015. Sejak itu, 861 kes perceraian diselesaikan sehingga Disember 2015, sekali gus mengurangkan lambakan kes tertunggak sehingga lebih 40 peratus.

Pada 19 April 2016, Jabatan Kehakiman Syariah Perak juga memperkenalkan aplikasi permohonan perceraian secara dalam talian, MySolve bagi memudahkan urusan pasangan yang mencapai persetujuan berpisah.

Bukan kita mahu menggalakkan perceraian. Namun, jika pasangan suami isteri itu sudah tidak lagi ada persefahaman, rumah yang sepatutnya menjadi syurga bertukar jadi neraka, bergaduh sentiasa dan isteri menjadi mangsa keganasan rumah tangga maka agama membenarkannya.

Pendek kata, inisiatif negeri-negeri berkenaan dapat memudahkan urusan perceraian ini ibarat seribu rahmat kepada para isteri yang menjadi mangsa penganiayaan suami. Ini juga mampu mengelak anak-anak daripada turut terlibat dan terjejas rohani dan jasmani mereka akibat pergaduhan ibu bapa.

Sepatutnya, apabila sudah berakhir jodoh, pasangan suami isteri terlibat merungkai perkahwinan dengan baik persis mereka memeterai ikatan cinta dan kasih yang disimpulkan dengan pernikahan. Bukannya dengan sepak terajang yang ditegah oleh Islam.

Dalam pada itu, bilangan hakim syarie juga memainkan peranan dalam mengurangkan bilangan kes tertunggak di mahkamah syariah. Kajian perlu dibuat untuk memastikan nisbah hakim yang mencukupi ke arah mencapai hasrat tersebut.

Serentak dengan itu, program Key Focus Activity (KFA) Sulh iaitu satu daripada strategi di bawah Siket bertujuan mempercepatkan prosedur kerja Sulh bermula daripada pendaftaran sehingga perintah bersih dikeluarkan.

Melalui KFA Sulh, tempoh pengeluaran Perintah Perjanjian penyelesaian berjaya dikurangkan daripada 14 hari kepada hanya sejam.

- Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 27 Mei 2016 6:00 PM

Petanda baik penyatuan ummah

KELMARIN mungkin menjadi satu sejarah baharu kepada negara apabila Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 diluluskan oleh Speaker Dewan Rakyat.

Dari segi Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat, Rang Undang-Undang Persendirian hanya akan dibahaskan setelah semua Rang Undang-Undang Kerajaan, selesai. Kelulusan ini bermaksud bahawa Bacaan Pertama Rang Undang-Undang Persendirian ini akan berada dalam senarai teratas untuk dibahaskan dalam sesi Sidang Dewan Rakyat akan datang.

Pindaan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen pembangkang ini bertujuan untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhadap kesalahan jenayah syariah, daripada hukuman sedia ada iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau enam kali sebatan atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) atau lebih dikenali sebagai Akta 355 telah mengehadkan kuasa kerajaan negeri untuk meluluskan undang-undang berkaitan jenayah syariah dan Mahkamah Syariah hanya dibenarkan menghukum dengan hukuman disebutkan sahaja.

Akta 355 adalah undang-undang yang diluluskan Parlimen dan berkuat kuasa di seluruh negara. Apa-apa pindaan Akta 355 perlu mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen. Jika ada Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan undang-undang berlawanan akta itu, maka undang-undang itu akan menjadi ultra-vires (melampaui) dan terbatal setakat mana yang berlawanan. Ini termaktub dalam Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.

Wajar transformasi

Sebagai kerajaan yang prihatin dengan masalah rakyat dan umat Islam, kepemimpinan Perdana Menteri wajar mengadakan transformasi undang-undang jenayah syariah di negara ini, dengan meminda Akta 355 bagi memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadap penjenayah syariah.

Suatu perkembangan yang baik apabila suatu Rang Undang-Undang Persendirian yang diusulkan oleh pihak pembangkang mendapat kerjasama yang baik daripada pihak kerajaan. Perkembangan inilah yang dinanti-nantikan oleh masyarakat apabila wakil rakyat yang dipilih dapat bekerjasama dalam mengutamakan perkara untuk kepentingan masyarakat, khususnya umat Islam di negara ini.

Masyarakat terutama bukan Islam, tidak perlu berasa gusar atau khuatir sekiranya pindaan Akta 355 ini dibahaskan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat kerana ia sama sekali tidak menggugat masyarakat bukan Islam.

Pindaan hanya akan membabitkan Mahkamah Syariah yang akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam sahaja dan dalam hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Tak sentuh peruntukan Kanun Keseksaan

Pindaan juga tidak akan menyentuh perkara atau kesalahan yang berada dalam peruntukan Kanun Keseksaan. Pindaan juga bukan undang-undang hudud sebagaimana yang diuar-uarkan oleh setengah pihak, kerana hanya sebahagian sahaja daripada hukuman hudud yang boleh dilaksanakan iaitu yang tidak membabitkan kematian.

Hukuman potong tangan atau rejam masih tidak boleh dilaksanakan walaupun setelah pindaan diluluskan oleh Dewan Rakyat. Menjadi harapan rakyat keseluruhan agar pindaan yang dicadangkan ini dapat diluluskan dengan jayanya.

Musa Awang Berita Harian Rencana SABTU, 28 MEI 2016 @ 8:45 AM

Kenang selalu saat manis disatukan

PERCERAIAN sesuatu yang dibolehkan tetapi tidak disukai Allah SWT. Penyelesaian kepada masalah ini perlu melihat. puncanya dari segi faktor luaran dan dalaman seperti menjadikan perasaan kasih sayang sebagai penyelesai masalah.

Suatu masa dahulu, pasangan kita adalah insan yang paling dicintai justeru, bayangkan semua saat bagaimana kita disatukan.

Pada pasangan yang pernah bercinta sebelum disatukan, lihat kembali surat cinta atau hadiah pernah kita dapat daripada pasangan yang menggambarkan betapa dia sangat mencintai dan menghargai kita.


Dari segi saintifiknya, apabila fikiran dan hati memikirkan dan mengenangkan peristiwa serta kenangan manis mengenai suami atau isteri, hormon positif akan keluar ketika kita melakukan membayangkan imej positif itu.

Seterusnya jangan mencari kesilapan pasangan sebaliknya muhasabah diri.

Lihat di mana salah kita dan cuba fikirkan kenapa orang yang kita kenal baik sudah berubah sikap menjadi tidak baik.

Jika pasangan yang bersalah atau sama-sama menjadi punca, penyelesaian ialah mengalah dan mohon maaf.

Lupakan dan beri peluang pasangan melakukan kebaikan untuk membuktikan beliau benar-benar menyayangi kita.

Untuk memperbaiki semua keadaan, lebih baik kita menilai diri dan cari di mana salah atau kekurangan kita.

Perjanjian baiki kesilapan

Sesungguhnya keresahan, kebencian dan kemarahan itu disebabkan oleh dosa kita, sama ada dengan Allah SWT atau sesama manusia.

Bertaubat membersihkan hati yang dipenuhi tompok hitam. Taubat nasuha membersihkan hati dan memungkinkan doa dimakbulkan.

Bagi mengatasi masalah rumah tangga, amalkan solat berjemaah, solat dengan sempurna dan tepat pada waktu. Orang yang taat, Allah SWT akan berikan kemudahan kepada mereka.

Mungkin perlu ada perjanjian antara suami dan isteri untuk membetulkan kesilapan serta tidak mengulangi kesilapan yang sama. Ingatlah, orang yang paling silap ialah orang yang melakukan kesilapan sama kerana itu tanda mereka tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu.

Apabila suami baik dengan isteri, isteri akan baik kepada suami. Jika suami berniat memperbetulkan diri dengan tidak mengulangi kesilapan, isteri juga perlu lakukan perkara sama.

Orang yang bijak tahu kesilapan dan kelemahan sendiri. Apabila niat perkahwinan untuk mendapat keredaan Allah SWT, maka masalah kecil dan remeh yang kita hadapi akan menjadi kecil atau biasa-biasa sahaja.

Oleh itu, untuk menghalang perceraian, niat berkahwin mesti kerana Allah SWT, memenuhi sunah Nabi, bukan kerana cinta semata-mata.

Tetapi seandainya sudah berlaku perceraian, dalam tempoh berpisah itu (tempoh edah) fikir dan renungkan kembali apakah corak kehidupan yang kita akan lalui selepas perceraian? Adakah kita teruskan perpisahan itu atau merujuk kembali pasangan?

Fahami kehendak pasangan

Biasanya jika kita betul-betul cinta dan pernah menikmati kebahagiaan berumah tangga bersama pasangan, apabila terputus ikatan akan timbul dua situasi.

Pertama, timbul rasa rindu dan penyesalan.

Kedua, adanya masa untuk bermuhasabah diri. Sebaiknya berikan peluang kedua untuk merujuk kembali.

Berkasih sayang dan menghormati antara satu sama lain adalah keutamaan untuk jaminan kebahagiaan suami isteri. Jaga emosi dalam hubungan suami isteri.

Fahami pasangan kerana ada orang yang suka dibelai, maka menangi hati pasangan dengan cara itu.

Ada orang suka mendengar dan ada pula suka membaca tulisan, gunakan kaedah itu untuk menawan hati pasangan kita.

Buatlah pasangan berasa dirinya dihargai, bertanggungjawab dan suka menjaga keluarga.

Ingatlah wanita, walau bagaimana besar pangkat, di rumah di sisi suami hendaklah merendah diri kerana suami ialah pemimpin kita ke syurga.

Suami, pujilah isteri di hadapan keluarga. Mentua perlu lebihkan menantu daripada anak. Menantu pula perlu lebihkan mentua daripada anak.

Demikianlah tip untuk memelihara rumah tangga daripada runtuh dan tidak dapat dibangunkan lagi.