June 2nd, 2016

Marhaban, Marhaban Ya Ramadan

RAMADAN bertandang lagi iaitu bulan yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh umat Islam.

Rasulullah SAW memberi galakan kepada para sahabat untuk menanti dan mengharapkan kehadiran Ramadan.

Sabda Baginda: “Di dalam syurga mempunyai sebuah pintu yang digelar al-Rayyan. Orang yang berpuasa memasuki syurga melaluinya pada hari kiamat. Tidak akan masuk seorang pun melainkan mereka sahaja. Dipanggil: Siapakah orang yang berpuasa? Lalu mereka yang berpuasa bangun. Tidak ada yang memasuki syurga melaluinya selain daripada mereka. Apabila mereka telah masuk, ia ditutup. Maka tidak ada lagi yang akan masuk melaluinya walaupun seorang,” - Riwayat Bukhari.

Hakikatnya, Allah SWT memberi isyarat jelas bahawa ibadah puasa menimbulkan ketakwaan seseorang.

Gandaan pahala mengerjakan ibadat amat hebat

Berdoa secara bertawassul sebegini sudah dikerjakan oleh umat Islam sejak zaman permulaan Islam lagi. - Gambar hiasan

Ibadah puasa yang ditunaikan mampu menguatkan hati dan melahirkan sifat terpuji. Ia menerbitkan semangat jihad melawan hawa nafsu yang sedia wujud dalam diri.

Ibadah puasa memberi kesempatan kepada manusia membersihkan nafsu melalui ibadah dan zikir kepada Allah SWT. Firman-Nya: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah dia daripada hasutan nafsu itu,” (Surah Yusof: 53).

BULAN BONUS

Ramadan bulan bonus dan dividen kerana beribadat pada bulan mulia itu dikurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Gandaan pahala mengerjakan ibadat ketika berpuasa amat hebat.

Ia berdasarkan hadis daripada Salman r.a. yang berkata: “Rasulullah SAW berkhutbah pada hari terakhir bulan Syaaban mafhumnya: Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadan) iaitu bulan yang ada padanya satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, bulan yang Allah jadikan berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiyamullail (beribadat pada malamnya) sebagai amalan sunat.

“Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat), maka ia mendapat pahala seperti melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan amalan yang wajib pada bulan Ramadan, maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan 70 amalan fardu.” - Riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Majah.

Malangnya apa yang menyedihkan hari ini, masyarakat lebih memeriahkan Ramadan dengan festival bazar Ramadan dan promosi bufet Ramadan yang mula diuar-uarkan sebelum ketibaan Ramadan lagi.

Diriwayatkan oleh Talhah bin Ubaidullah, dia berkata : Dua orang lelaki dari Baaliyyu menemui Rasulullah SAW dan memeluk Islam.

“Seorang daripada kedua-dua mereka lebih semangat berjihad daripada yang kedua, kemudian dia (orang pertama) pergi berperang dan menemui syahid, lelaki yang kedua hidup hingga setahun selepasnya, sebelum meninggal dunia.

“Kemudian aku bermimpi seakan-akan aku berada di pintu syurga. Tiba-tiba aku berada di sisi kedua-dua lelaki tersebut, setelah itu malaikat keluar dari syurga.

“Malaikat kemudiannya mengizinkan lelaki yang meninggal dunia terkemudian daripada yang pertama untuk memasukinya, kemudian malaikat tersebut keluar lagi dan mempersila lelaki yang mati syahid. Lalu malaikat itu kembali kepadaku dan berkata: Kembalilah kamu, sebab belum saatnya kamu memperoleh hal ini.

“Keesokan harinya aku menceritakannya kepada orang ramai, mereka pun hairan, lalu diajukan kepada Rasulullah SAW dan menceritakan perkara tersebut. Maka Baginda bersabda: Perkara mana yang membuat kalian hairan? Mereka menjawab:

“Wahai Rasulullah, lelaki (yang pertama meninggal) merupakan yang paling bersemangat dalam berjihad daripada yang kedua, lalu dia mati syahid, tetapi mengapa yang kedua (lelaki yang meninggal terkemudian) masuk syurga terlebih dahulu? Rasulullah SAW menjawab:

“Bukankah orang ini (lelaki yang meninggal terkemudian) hidup setahun setelahnya? Mereka menjawab: Ya. Baginda bersabda lagi: Bukankah dia mendapat bulan Ramadan dan berpuasa? Dia juga mengerjakan solat ini dan itu dengan beberapa sujud dalam setahun? Mereka menjawab:

“Ya. Rasulullah SAW kembali bersabda: Sungguh, sangat jauh perbezaan antara kedua-duanya (dalam kebajikan) bagaikan antara langit dan bumi.” - Riwayat Ibnu Majah.

Beginilah kesungguhan seorang Muslim yang mengerjakan ibadah puasa dan menunaikan sunat tarawih di samping merasai keseronokan mengerjakan kebaikan serta menjauhi larangan-Nya sebagaimana sabda Rasulullah SAW mafhumnya :

“Sesiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan terhadap ganjaran daripada Allah semata-mata, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” - Riwayat Bukhari.

Inilah wasatiyyahnya seorang Muslim yang menjalani ibadah puasa. Selamat menjalani ibadah puasa. Marhaban, Marhaban Ya Ramadan.

Wesak dan Muslim Tionghoa

WESAK adalah hari kebesaran penganut Buddha yang tahun ini jatuh pada Sabtu 21 Mei lepas.

Bagi penganut agama Buddha, Wesak sangat besar pengertiannya kerana ia mengingatkan tentang seorang insan bernama Siddharta Gautama yang mengajar bagaimana dunia dan segala isi kandungan sesuatu yang tidak kekal tetapi yang tidak kekal itulah yang mendatangkan ketenangan hidup serta aman sejahtera kepada jiwa manusia.

Segala yang ada tidak kekal dan disebut sebagai anicca. Kerana semua yang ada tidak kekal, maka yang empunya diri juga tidak kekal dan disebut sebagai anatta.

Kerana jiwa pun tidak kekal, maka apa yang dimiliki dan dinikmati juga tidak kekal dan mendatangkan rasa kehilangan dan ketidakpuasan yang bernama dukkha.

Bagi sesetengah manusia, dunia adalah sesuatu yang penuh dengan kenikmatan hidup. Kenikmatan hidup pula dikaitkan dengan kenikmatan kebendaan sehingga hidup tertumpu kepada mengumpul harta kekayaan sehingga lupa bahawa dia akan mati satu hari nanti.

Bila terfikir tentang mati, dia akan berasa cemas, sedih dan runsing sehingga kedukaan menyelubungi jiwanya kerana dia akan hilang segala-galanya yang diraih selama ini.

Pandangan hidup sebegini terjadi disebabkan oleh avidya iaitu cara melihat kehidupan yang tidak betul.

Cara yang betul ialah dengan melihat dunia sebagai tempat untuk menjalani kehidupan tetapi kehidupan yang tidak menyebabkan nafsunya terikat kepada dunia sehingga dia menjadi hamba kepadanya yang akhirnya boleh membawa kepada jenis peribadi yang mementingkan diri dan meminggir yang lain serta diikuti oleh perangai dan tindak-tanduk yang tidak mencerminkan nilai kemanusiaan seperti membohong, menipu, mencuri, mengamal rasuah dan pecah amanah semata-mata kerana ingin memiliki sebanyak kemewahan yang mungkin, tetapi berkesudahan dengan samsara atau kesengsaraan dan bukannya kebahagiaan.

Sebaliknya, kebahagiaan hidup itu ialah bila mana seseorang itu mengetahui bahawa apa yang dimilikinya hanyalah sementara dan kerana itu dia bersedia untuk berkongsi dengan yang lain terutama mereka yang kurang mampu ataupun yang tidak dapat menikmati walaupun sesuap nasi untuk diri.

Faham hidup sebegini memancarkan jiwa karuna dalam diri seseorang iaitu jiwa yang terpancar dengan rasa prihatin, simpati dan kasih sayang terhadap yang selain dari diri, sama ada manusia, haiwan, atau tumbuhan.

Keadaan jiwa sebegini disebut sebagai nirvana kerana mengetahui bahawa yang tidak kekal itu membawa kebahagiaan hidup sebenar.

Islam juga mengajar bahawa segala yang ada tidak kekal tetapi di sebalik yang tidak kekal itu adanya yang kekal.

Manusia, haiwan, dan tumbuhan semua datang dan pergi tetapi yang kekal adalah pencipta mereka iaitu Yang Maha Esa.

Walaupun yang pergi tidak lagi kembali dan diganti dengan yang baharu, ini hanya boleh terjadi seandainya ada yang kekal yang boleh membawa yang baharu untuk mengganti yang telah tiada.

Yang kekal adalah Tuhan dan Tuhan mengajar bahawasanya walaupun kehidupan dunia yang sedia ada tidak kekal, namun amalan kehidupan di dunia boleh membawa kepada kehidupan yang berkekalan yang lebih baik dan lebih nikmat kehidupannya. Ini adalah kehidupan akhirat yang abadi dan untuk selamanya.

Kekayaan yang kita peroleh, umpamanya, boleh membawa kepada kebahagiaan di akhirat seandainya kita menjadikannya kebahagiaan di dunia.

Ini boleh terjadi dengan kita berkongsi apa yang kita ada, terutama dengan mereka yang kurang mampu supaya dapat sama-sama menikmati apa yang kita sendiri nikmati.

Zakat, umpamanya, adalah satu kewajipan yang bertujuan untuk mengasuh jiwa supaya kita menjadi murah hati dan seterusnya menjadi insan rahmatan lil alamin yang akan menjadikan bersedekah sebagai amalan sepanjang hayat kita.

Justeru, seorang Tionghoa yang memilih untuk mengamal kehidupan Islam akan mendapati ajaran yang dianuti sebelum ini boleh menyumbang kepada kehidupannya yang kini kerana falsafah kemanusiaan ajaran Buddha boleh menjadi perantara yang berguna untuk memahami Islam dengan lebih telus dan jelas serta membantunya untuk mengamal Islam dengan lebih khusyuk dan yakin. Dr Yamin Cheng Sinar Harian Rehal 1 Jun 2016