June 3rd, 2016

Khutbah Jumaat : “Ahlan Ya Ramadhan”

Petikan Khutbah Jumaat 03 Jun 2016: JAIS

“Ahlan Ya Ramadhan”

Bulan Ramadhan yang bakal menjengah kita merupakan tetamu yang sangat istimewa. Tetamu ini hanya datang sekali dalam setahun. Kehadirannya membawa seribu satu kebaikan dan keberkatan.

Bersama dengan kehadirannya juga hadiah dan pemberian daripada ar-Rahman, pahala dan ganjaran yang digandakan, dan segala perbuatan dan amalan yang boleh meningkatkan keimanan.

Oleh itu, kedatangan bulan Ramadhan ini merupakan berita gembira untuk kita semua supaya menjadi galakan kepada kita untuk melakukan kebajikan.

Ia adalah berita gembira buat seseorang mukmin kerana pintupintu syurga dibuka pada bulan ini. Dan juga berita gembira buat pendosa dan pelaku maksiat kerana pintu-pintu taubat dibuka luas dan pintu-pintu neraka ditutup.

Bahkan berita gembira kepada seluruh umat manusia kerana syaitan dibelenggu pada bulan ini.

Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: إِذَا جاءَ رمضانُ فُتحت أَبواب الْجنة وغُلِّقَت أَبواب النارِ وصفِّدت الشياطين “Apabila datang bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan”. (Riwayat Muslim).

Ahlan ya Ramadhan. Bulan yang dinamakan juga sebagai bulan ibadah puasa. Ia mula difardhukan pada bulan Syaaban tahun kedua hijrah.maka bermulalah saat itu, seluruh umat Islam wajib berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Ibadah ini bakal mendekatkan diri kita kepada Allah SWT ditambah dengan amalan-amalan lain yang sangat digalakkan untuk dilakukan. Bagi orang-orang soleh bulan ini adalah bulan pesta ibadah, agar termasuk dalam golongan yang dibebaskan oleh Allah SWT daripada azab api neraka.

Hadis daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap malam akan ada suara yang menyeru; wahai pencari kebaikan! Terimalah!. Wahai pelaku kejahatan! Cukuplah!. Dan bagi Allah terdapat orang-orang yang dibebaskan daripada api neraka, demikian itu (berlaku) setiap malam. (Riwayat at-Tirmizi).

Kita hendaklah membuat persediaan dan persiapan yang sewajarnya bagi menyambut kedatangan Ramadhan sebagai tetamu istimewa kita. Di antara persediaan dan persiapan tersebut ialah:

Pertama: Bersihkan hati dan perbaharui niat.

Sebelum kedatangan bulan Ramadhan yang mulia, alangkah eloknya jika kita dapat beristighfar dan bertaubat memohon keampunan Allah SWT bagi membersihkan hati dan jiwa kita, agar mudah melakukan ketaatan dan kebajikan.

Kita juga hendaklah memperbaharui niat dan azam untuk tidak mensia-siakan Ramadhan pada tahun ini. Sesungguhnya niat dan keazaman yang tinggi mampu menjadi daya kekuatan dan istiqamah dalam merebut segala ganjaran yang telah disediakan oleh Allah SWT dalam bulan ini khususnya menerusi ibadah fardhu dan sunat.

Contohilah ibadah nabi SAW yang sangat mengambil berat dalam melaksanakan ibadah di dalam bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh malam yang terakhir, sehingga ahli keluarganya juga diajak bersama.

Hadis daripada Aisyah RA memberitahu bahawa yang bermaksud: “Adalah nabi SAW apabila memasuki sepuluh (hari terakhir Ramadhan) akan menghidupkan malam, mengejutkan ahli keluarga, bersungguhsungguh dan tidak menggauli isterinya”. (Riwayat Muslim)

Kedua: Ilmu berkaitan puasa.

Persiapan seterusnya yang perlu dilakukan sebelum ketibaan bulan Ramadhan ialah persiapan ilmu fiqh berkaitan dengan ibadah puasa. Ini kerana menjadi satu kewajipan ke atas kita mempelajari sesuatu perkara sebelum kita melakukannya bagi menjamin ketepatan pelaksanaannya menurut syarak.

Dua rukun puasa iaitu niat dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar sehingga terbenam matahari, perlu diteliti dan difahami perbahasannya yang berkaitan dengan kedua-duanya dengan baik, seperti kemestian niat pada waktu malam, penggunaan jarum suntikan, derma darah, penggunaan alat penyembur oksigen bagi pesakit lelah dan sebagainya hendaklah merujuk kepada doktor dan guru-guru yang lebih arif.

Terdapat beberapa perbuatan yang hanya dilarang pada waktu puasa di siang hari sahaja tetapi diharuskan pada malam-malam Ramadhan, iaitu makan, minum dan bersama pasangan suami isteri.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)”.

Sesungguhnya kegagalan dalam menguasai ilmu yang berkaitan dengan puasa bakal mendedahkan seseorang kepada banyak kemusykilan sehingga menjadikan dirinya tidak yakin dengan puasanya. Perasaannya menjadi resah dan gelisah kerana tidak mengetahui hukumnya. Mungkin puasanya sah tetapi disangka telah batal, dan mungkin puasanya batal tetapi masih disangka sah. Oleh itu, kita perlu membuat persediaan ilmu sebelum tibanya Ramadhan.

Ketiga: Membaca dan mentadabbur al-Qur’an.

Ramadhan demi Ramadhan telah berlalu namun ramai di kalangan kita yang buta dan jahil untuk membaca al-Quran dengan baik. Hari ini kita berpeluang mempelajari dan meningkatkan pembacaan al-Quran berpandukan kaedah dan peralatan moden yang boleh dimanfaatkan.

Sesungguhnya, al-Quran dan Ramadhan tidak boleh dipisahkan. Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut bahawa Allah SWT memuji bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain kerana telah dipilih untuk diturunkan al-Qur’an di dalamnya sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”

Beruntunglah mereka yang membaca al-Quran khususnya dalam bulan Ramadhan. Ganjaran pahala yang diberikan kepada pembaca al-Qur’an juga banyak. Nabi SAW memberitahu kita sebagaimana dalam riwayat al-Tirmizi bahawa setiap satu huruf daripada ayat al-Qur’an merupakan satu kebajikan yang bernilai sepuluh kali ganda. Apatah lagi jika dilakukan pula tadabbur ayat-ayat al-Qur’an yang telah dibaca, maka kita akan memperoleh pahala tambahan pula kerana kefahaman dan ilmu-ilmu yang dipelajari.

Tambahan pula terdapat jaminan syafa’at pada hari akhirat nanti bagi pembaca al-Qur’an pada bulan Ramadhan. Abdullah bin ‘Amru RA meriwayatkan bahawa nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa dan al-Qur’an memberi syafa’at bagi seseorang hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: Ya Allah, aku telah mencegahnya daripada makan dan syahwat pada waktu siang maka berilah syafa’at kepadaku untuknya. Al-Qur’an pula berkata: aku telah mencegahnya daripada tidur pada waktu malam maka berilah syafa’at kepadaku untuknya. Allah SWT berfirman: kedua-duanya (diizinkan) memberi syafa’at. (Riwayat Ahmad).

Keempat: Melipatgandakan amalan Infak dalam bulan Ramadhan.

Persediaan yang seterusnya ialah persedian harta yang secukupnya berdasarkan kemampuan masing-masing. Tujuannya adalah bagi diinfaqkan sepanjang bulan Ramadhan yang bakal tiba nanti. Ini kerana pahala bersedekah pada bulan Ramadhan akan dilipatgandakan oleh Allah SWT berbanding bulan-bulan lain. Nabi SAW sendiri yang merupakan manusia yang paling pemurah pun menginfaqkan hartanya dengan lebih banyak sepanjang bulan Ramadhan yang digambarkan seperti ‘angin yang bertiup’ sebagaimana dicatatkan dalam hadith.

Salah satu daripada cara untuk melipatgandakan amalan-amalan infak adalah dengan menjamu orang lain ketika berbuka puasa pada bulan Ramadhan.

Bagi yang melakukan perkara ini bakal mendapat pahala puasa orang yang berbuka tersebut tanpa berkurang walau sedikit pun. Inilah yang disebutkan oleh nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani RA bahawa Rasullah SAW bersabda:“Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu, sedangkan ia tidak mengurangi sedikitpun pahala bagi orang yang berpuasa itu”. (Riwayat al-Tirmizi)

Selamat datang Ramadhan. Kesemua persiapan dan persediaan yang disebutkan adalah bagi memastikan agar peluang ganjaran dan fadhilat yang Allah SWT kurniakan tidak dilepaskan begitu sahaja.

Tambahan pula, sebagaimana yang disebut oleh imam al-Qarafi dalam kitabnya al-Furuq, bahawa ibadah puasa yang difardhukan dalam bulan Ramadhan ini nanti bukan seumpama ibadah lain yang biasa kita lakukan. Ibadah ini adalah milik Allah SWT dan hanya Allah SWT sahaja yang akan memberi ganjarannya. Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda melalui sebuah hadis Qudsi: “Allah SWT berfirman: Segala amalan anak Adam (manusia) adalah baginya kecuali puasa, sesungguhnya ia (puasa) adalah untukKu dan Aku yang akan memberikan ganjaran dengannya”.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin berpesan kepada muslimin dan hadirin yang dirahmati Allah SWT sekali agar menghayati perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah memahami bahawa Islam adalah agama yang menggabungkan Aqidah, syariat dan akhlak.

2. Umat Islam hendaklah menyambut kedatangan bulan Ramadhan dengan hati yang bersih dan penuh rasa ketaqwaan.

3. Umat Islam hendaklah membuat persiapan dan persediaan yang sewajarnya sebelum keadatangan Ramadhan sama ada ilmu atau harta.

4. Umat Islam hendaklah berazam untuk meningkatkan amalan sepanjang bulan Ramadhan nanti, dan ia bermula dari sekarang dengan segala amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT.

“Wahai orang-orang yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Surah al-Baqarah: 183).

Wallahuallam.

Khutbah Jumaat ~ Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong: Payung Kedaulatan Islam dan Negara

Petikan khutbah Jumaat 3 Jun 2016 / 27 Sya’ban 1437 JAKIM

SERI PADUKA BAGINDA YANG DIPERTUAN AGONG: PAYUNG KEDAULATAN ISLAM DAN NEGARA”

Sejarah alam Melayu telah membuktikan betapa hubungan antara Raja-Raja Melayu dan Islam telah lama terpaut secara fizikal dan spiritual sejak sekian lamanya. Ini sekaligus menyebabkan Islam dapat berkembang luas dan menjadi satu cara hidup yang mewarnai kehidupan masyarakat yang bertamadun, makmur dan gemilang. Paling penting, Raja adalah sumber kestabilan dan kemakmuran negara.


Dalam konteks Negara Malaysia pada hari ini, kita sedia maklum bahawa Kesetiaan kepada Raja dan Negara merupakan prinsip kedua daripada lima prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara yang menjadi ideologi nasional yang perlu kita ikuti.

Prinsip ini menekankan kepada rakyat betapa pentingnya kesetiaan terhadap Raja atau pemimpin dan negara. Malah ini menepati salah satu prinsip di dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jama’ah iaitu mentaati dan menghormati pemimpin di bawah kepimpinannya.

Firman Allah SWT dalam Surah an-Nisa’ ayat 59, Maksudnya:Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (AlQuran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Jelasnya, kepimpinan beraja berperanan memberi kepimpinan, menjadi contoh tauladan, pedoman, harapan dan naungan rakyat jelata. Sememangya, Raja perlu dihormati atas kelebihan dari segi akal bicara, kebijaksanaan, hikmah, kegagahan, pengetahuan, sahsiah, keberanian, dan keupayaannya mengatasi cabaran.

Sebagai warganegara, kita bertanggungjawab menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, seiring dengan amalan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan di dalam Perlembagaan Malaysia yang telah meletakkan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Negara. Secara tidak langsung, ini akan memartabatkan lagi institusi diraja yang merupakan sebuah institusi yang amat penting dan telah berevolusi mengikut peredaran zaman di Malaysia.

Sikap kesetiaan merupakan suatu nilai yang baik dan boleh menjadi kebanggaan kepada negara serta dapat dijadikan ikatan bagi memupuk kecintaan rakyat kepada negara. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Raja dan negara juga adalah kunci yang menyatukan rakyat Malaysia yang pelbagai kaum.

Sebaliknya, sebarang sikap negatif yang boleh mengalihkan kesetiaan tersebut adalah merupakan elemen yang bertentangan sama sekali dengan prinsip Rukun Negara. Bahkan sudah kerap kedengaran laungan golongan anti-Raja yang sering mencemar kedaulatan Seri Paduka Baginda, melemahkan urus tadbir negara dan membawa angin kebencian terhadap perpaduan.

Namun demikian, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana memelihara Seri Paduka Baginda dan negara ini daripada sebarang ancaman. Situasi ini tidak lain dan tidak bukan adalah disumbangkan oleh nilai sifat hikmah, tegas, bijaksana, adil, saksama dan berkeupayaan tinggi Seri Paduka Baginda dalam mengharungi cabaran dengan berkesan. Bukan itu sahaja, sokongan padu barisan pembesar dan penasihat negara yang mengurus tadbir dengan cemerlang, meneguhkan lagi kedudukan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


Ibnu Khaldun pernah menyatakan bahawa, ”Sesebuah masyarakat tidak dapat dipisahkan daripada wujudnya seorang pemimpin. Kewujudan pemimpin masyarakat Islam sama ada Imam, Khalifah, Raja atau sebagainya adalah sesuatu keperluan yang wajib dipenuhi”.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah an-Nuur ayat 55,
Maksudnya:Allah menjanjikan orang yang beriman dan beramal salih dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia menjadikan orang yang sebelum mereka: khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang yang derhaka.”

Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian, bahawa kedaulatan Islam dan kemajuan negara adalah berpayung kepada kekuatan kepimpinannya. Sayugia itu, Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong sebagai ketua negara samada dari segi keperibadiannya atau dalam  menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negara dan kesucian agama Islam, dikagumi oleh pelbagai lapisan rakyat jelata. Rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah atas keperihatinan Seri Paduka Baginda dalam memartabatkan agama Islam, memajukan negara dan membantu kehidupan rakyat agar dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa.
 

Mimbar menyeru sidang jemaah sekalian untuk sama-sama mendoakan kesejahteraan berpanjangan kepada Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni al-Marhum Sultan Badlishah sempena sambutan hari Ulangtahun Keputeraan Yang di Pertuan Agong pada 4 Jun 2016.

Marilah sama-sama kita memberi sepenuh ketaatan dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Seri Paduka Baginda sepanjang bersemayam di takhta pemerintahan. Mimbar turut merakamkan sembah tahniah, buat Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong dan mendoakan semoga Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Puteri-Puteri dan Kerabat-Kerabat DiRaja sekalian sentiasa di bawah payung rahmat ilahi, diteguhkan keimanan, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan berterusan. Dengan itu, agama Islam terus dimartabatkan dan institusi Raja terus didaulatkan.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar ingin menyimpulkan bahawa:

Pertama: Prinsip kesetiaan kepada Raja dan negara menepati salah satu prinsip di dalam iktikad Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang mewajibkan umat Islam mentaati dan menghormati pemimpin.
Kedua: Sikap tidak setia serta menghina pemerintah dan negara dengan apa cara sekalipun akan menghancurkan kedaulatan bangsa dan negara serta tanda hilangnya iman seseorang.
Ketiga: Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong adalah ketua negara yang mempunyai keperibadian tinggi dalam menjalankan bidang kuasa menjaga negara dan kesucian agama Islam.

Maksudnya:Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah Al-Hajj:41)






Celebrating the holiest month

RAMADAN is the holiest month in the Hijrah calendar,

Muslims will be fasting irrespective of gender,

It is not necessary to feel sombre,

All the good deeds will be counted for in the hereafter.


Fasting is from morning till dusk,

That’s not too much for Allah to ask,

We are capable to perform the task,

During Ramadan we shouldn’t wear a mask.

Religious duties are done at the extra mile,

They perform the prayers with a smile,

Earthly activities are put aside for a while,

When azan is called we always remember muezzin Bilal.

During Ramadan, love knows no boundary,

Food for the poor and the needy are plenty,

Many are more generous with money,

It can be construed as the month of honey.

Aidilfitri is celebrated when Ramadan is over,

Any weaknesses will be improved the next year,

In life only Allah we fear,

To Him everything we need to surrender.

Apabila bibir kurang zikir

SEBUAH kereta tersangkut dalam kesesakan jalan raya yang teruk. Langsung tidak boleh bergerak. Pemandunya pula penat, niat di hati mahu cepat sampai rumah. Namun, jiwanya ingin mengejar ganjaran pahala, lantas bibirnya perlahan-lahan mengalunkan zikir. Kesannya, walau berada di tengah kesesakan lalu-lintas yang teruk, jiwanya berasa sungguh damai. Indahnya alunan zikir.

Apa itu zikir? Zikir adalah satu amalan yang disyariatkan dalam Islam dan banyak disebut dalam ayat-ayat al-Quran, antaranya ALLAH SWT berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan menyebut nama ALLAH dengan sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah pada waktu pagi dan petang." (Surah Al-Ahzab: 41 hingga 42)

Nabi Muhammad SAW juga menyebut mengenai pensyariatannya dalam hadis yang diriwayatkan Ahmad dan Tirmizi.

MUDAH TAPI JAGA ADAB

Menurut pendakwah, Ustaz MK Azman Daud, zikir adalah amalan yang mesti diperbanyakkan tanpa syarat-syarat tertentu sebagaimana ibadah lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Hamba yang berhadas besar seperti haid dan berjunub, boleh berzikir tanpa perlu bersuci. Walaupun begitu adabnya hendaklah dijaga seperti makruh berzikir semasa berada di dalam tandas, sedang mandi dan berjimak.

"Zikir dari segi bahasa adalah sebut dan ingat. Menurut istilah tasawuf pula, zikir bermaksud terlepas daripada kelalaian dan kelupaan hati dengan sentiasa berasa hadir hati berserta ALLAH (ingatan dan kehadiran hati yang kuat lagi berterusan terhadap makna-makna ketuhanan ALLAH sehingga terbuang kelalaian daripada hati tersebut dengan tujuan mendekatkan diri kepada ALLAH). Bertasbih, tahmid, takbir, tahlil dan membaca al-Quran adalah termasuk dalam zikir.

"Namun yang menjadi inti pati dari semua jenis-jenis zikir ini ialah ingat kepada ALLAH (zikrullah). Oleh itu dapat dikatakan zikir merangkumi dua perkara iaitu sebutan (zikir lisan) dan ingatan (zikir hati) terhadap ALLAH dan perkara yang berkaitan dengannya," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, secara asas apabila disebut berzikir, hati hendaklah ingat pada ALLAH. Jangan pula bibir sahaja mengungkap kalimah zikir tapi hati kosong tanpa ingat ALLAH. Zikir sebegitu tidak membuahkan hasil iaitu ketenangan dalam jiwa.

ALLAH berfirman: "Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang." (Surah Ar-Ra'du: 28)

TUNTUTAN BERZIKIR

Kita adalah hamba yang lemah. Tiada daya upaya melainkan pengharapan kepada-Nya. Ada kalanya jiwa kita kuat, ada kala jiwa kita lemah, gundah gulana, tidak tenteram dan kacau bilau. Kerana itu, kita dituntut supaya sentiasa berzikir kepada ALLAH.

Antara lain adalah kerana:

1) Manusia bersifat lupa dan lalai. Hanya dengan berzikir membantu manusia agar sentiasa mengingati ALLAH dalam apa jua keadaan sekalipun.

2) Zikir membantu membersihkan hati manusia daripada kekaratan dosa dan sifat mazmumah. Menerusi zikir, ia membantu membersihkan dan melembutkan hati daripada bisikan jahat nafsu dan syaitan.

3) Membantu manusia menghadapi segala macam cabaran dan dugaan hidup yang boleh menggugat ketenangan hati.  Sesungguhnya ketenangan datang dari hati yang sentiasa ingat dan yakin dengan ALLAH dan menghayati sifat-Nya.

4) Mampu menjadi pendinding diri daripada kejahatan manusia, syaitan dan jin. Zikir juga boleh menjadi pendinding kepada ilmu sihir.

5) Zikir menjadi sebab ALLAH memelihara seseorang hamba-Nya daripada perkara yang memudaratkannya. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah ayat 152.

Ustaz MK Azman menjelaskan, Nabi SAW adalah insan agung yang paling banyak berzikir dan mengingati ALLAH. Baginda SAW memperkenalkan kepada kita pelbagai untaian zikir untuk diamalkan pada waktu pagi dan petang, pelbagai zikir dan doa sebelum memulakan sesuatu pekerjaan dan segala macam doa untuk memohon rahmat dan keampunan ALLAH.

"Bayangkan betapa banyaknya zikir-zikir yang disarankan oleh Rasulullah SAW bermula dari saat bangun tidur sehinggalah hendak tidur semula sampaikan kita tidak mampu untuk ingat dan mengamalkannya secara konsisten.

"Antara zikir yang Nabi SAW tidak pernah tinggalkan ialah istighfar. Walaupun Nabi SAW seorang yang maksum yakni terpelihara dari melakukan dosa, namun Baginda SAW tetap beristighfar pada ALLAH dan bertaubat kepada-Nya lebih 70 kali sehari. Agak-agak, kita manusia yang tak terlepas dari melakukan dosa ni, berapa kali kita beristighfar dan bertaubat kepada ALLAH dalam sehari?," tanyanya kepada pembaca.

Beliau berkata lagi, kita sebenarnya ada banyak masa untuk berzikir. Tak susah pun untuk berzikir. Hanya dengan menggerakkan bibir dan ingat dalam hati. Susah sangat ke nak gerakkan bibir sebut kalimah zikir? Di bibir kita bukan ada batu sehingga sukar untuk kita menggerakkannya.

Sebab itu Nabi SAW bersabda: "Dua kalimah yang ringan di bibir, tapi berat pada timbangan, malah disukai oleh Arrahman adalah Subahanallahi Wabihamdihi Subhanallah Al-Adzhim."

RINGANKAN BIBIR, LATIH HATI

Nabi SAW mengesahkan, menggerakkan bibir untuk berzikir tidaklah berat, ia ringan sahaja. Yang berat ialah hati. Jika hati tidak dilatih untuk berzikir, berilah masa lebih 24 jam atau hidup selama 100 tahun sekalipun, dia tidak akan berzikir. Tetapi bagi orang yang hati dan jiwanya untuk berzikir pada waktu pagi dan petang, sama ada dia duduk atau berdiri, orang seperti ini akan memanfaatkan umurnya untuk mengingati ALLAH. Sambil memandu, boleh berzikir, sambil menonton televisyen, boleh berzikir, sambil menunggu makanan di restoran, boleh saja berzikir. Apa sahaja ruang masa yang ada, berzikirlah.

"Kalaulah kita ni betul-betul malas nak berzikir, kita patut rasa malu pada katak. Kenapa perlu malu dengan katak? Sebab dengan merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh An-Nasai: "Suara katak itu tasbih, memuji ALLAH." Juga hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar: "Janganlah kamu membunuh katak kerana bunyi katak menguak itu adalah tasbih." Orang yang malas berzikir juga perlu malu pada semut. Semut yang kecil itu, mereka juga sentiasa berzikir kepada ALLAH. Patut malu juga pada ulat, burung, gunung-ganang dan seluruh alam semesta kerana semua makhluk itu sentiasa berzikir.

"Apa buktinya? Ini buktinya berdasarkan hadis Nabi yang diriwayatkan Abu Hurairah: "Daripada Rasulullah SAW: "Sesungguhnya seekor semut menggigit salah seorang nabi lalu nabi tersebut menyuruh membakar sarang semut tersebut, tetapi ALLAH menurunkan wahyu kepadanya: "Apakah gara-gara seekor semut menggigitmu lantas kamu akan binasakan satu umat yang selalu membaca tasbih." Terangnya lagi.

Menurutnya, jika makhluk lain semua berzikir dan bertasbih kepada ALLAH, kenapa kita yang diciptakan dengan sebaik-baik kejadian malas untuk berzikir?

DIDIK REMAJA

Mendidik remaja supaya meninggalkan lagu lara dan mendekatkan diri dengan zikrullah tidak semudah mendidik anak kecil. Jika anak kecil mudah untuk kita lagukan zikir dengan nasyid, suruh buat itu ini mudah mereka laksanakan. Tapi tidak untuk golongan remaja. Apatah lagi jika lagu cintan-cintun itu sudah sebati dalam diri. Proses memberi kesedaran kepada remaja ini perlu ditangani sepenuhnya oleh ibu bapa mereka.

Kebanyakan proses pembelajaran dan didikan bermula dari rumah.

Pertama: Ibu bapa perlu gantikan jenis lagu hiburan dalam rumah daripada lagu-lagu lara kepada alunan zikir. Pasang setiap hari supaya kalimah zikir yang didengari itu terpasak dalam hati.

Kedua: Ibu bapa perlu adakan majlis taklim di rumah. Sekurang-kurangnya lepas Maghrib. Ajar anak-anak zikir yang diamalkan Nabi SAW dan kelebihannya. Amal bersama-sama contohnya zikir ma'thurat. Ia boleh dibaca pagi dan petang. Jika tak mampu habis zikir ma'thurat kubra, memadailah dengan ma'thurat sughra. Tidak sampai 15 minit.

Ketiga: Ibu bapa perlu tunjukkan contoh amalan zikir kepada anak-anak. Ketika dalam kereta, pasanglah lagu alunan zikir ataupun berzikir beramai-ramai dalam kereta. Insya-ALLAH dengan ketiga-tiga cara ini, ia akan menyedarkan remaja kelebihan berzikir.

ALLAH memuji golongan yang berzikir melalui firman-Nya dalam Surah Al-Ahzab ayat 35. Sebagai contoh ganjaran orang berselawat ke atas Nabi SAW, sekali kita berselawat, ALLAH akan balas 10 kali selawat (diberikan keberkatan dan rahmat) kepada kita.

Begitu juga ganjaran orang yang menyebut zikir Subhanallah wa bi hamdihi berdasarkan riwayat At-Tirmizi, nescaya akan ditanamkan satu pohon kurma baginya dalam syurga.

Jika seseorang itu melafazkan zikir tersebut sebanyak 100 kali, maka dia akan diampunkan segala dosanya walaupun sebanyak buih di lautan. Ini adalah sedikit dari ganjaran ALLAH sediakan bagi orang berzikir.

Kesimpulannya, amalan zikir bukan sekadar ibadah, tetapi amalan yang membersihkan dan menyucikan jiwa manusia, mendekatkan diri kepada penciptanya, membuka hijab rohani dan seterusnya mencapai makrifat terhadap-Nya.

INFO: ZIKIR PALING SENANG, MUDAH RAIH PAHALA

Semua zikir membawa kepada mengingati ALLAH, cumanya saya mahu kongsikan zikir sayyidul istighfar (penghulu segala istighfar). Dari Syaddad bin Aus RA dari Rasulullah SAW bersabda: "Penghulu istighfar ialah "Allahumma anta... (Sesiapa yang membacanya dengan penuh keimanan waktu petang dan mati pada malam itu, maka masuk syurga. Demikian juga siapa yang membacanya waktu pagi dan mati pada hari itu masuk syurga)." (Riwayat Bukhari)

Boros VS berpuasa

BULAN Ramadan adalah bulan kesembilan dalam kalendar Islam malah dianggap antara bulan barakah membawa rahmat kepada seluruh umat manusia. Ramadan adalah bulan yang diwajibkan berpuasa kepada seluruh umat Islam. Sepertimana firman-Nya: "Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Surah Al-Baqarah: 183)

Ibadah puasa juga adalah rukun Islam yang keempat antara lima rukun Islam. Puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum dan perkara-perkara tertentu yang boleh membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari.

Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Islam dibangunkan atas lima perkara (rukun): Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan ALLAH, dan Sesungguhnya Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya, mendirikan ibadah solat lima waktu sehari semalam, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan ibadah haji ke Baitullah." (Riwayat Bukhari & Muslim)

BULAN DIDIK JIWA

Ramadan, sebagai bulan mendidik jiwa manusia daripada menahan hawa nafsu seperti melakukan sifat-sifat mazmumah (tercela) dan melatih jiwa dalam membentuk sifat-sifat mahmudah (terpuji). Persoalan yang timbul, mengapa ramai dalam kalangan kita yang tunduk kepada hawa nafsu seperti perbuatan boros atau membazir dalam berbelanja ketika di bulan Ramadan?

Hakikatnya, hanya sesetengah dalam kalangan kita yang berjaya mengawal hawa nafsu ketika di bulan Ramadan tetapi ramai yang tunduk kepada hawa nafsu. Renungkan sejenak, cuba kita bandingkan perbelanjaan kita selama sebulan sebelum Ramadan dan ketika bulan Ramadan. Apakah perbelanjaan kita rendah sebulan sebelum tibanya bulan Ramadan atau ketika di bulan Ramadan lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya? Jika perbelanjaan kita tinggi di bulan Ramadan berbanding bulan sebelumnya, jelas kita tewas dengan hawa nafsu kita sendiri.

Sedarkah kita bulan Ramadan juga sebenarnya adalah bulan jihad nafsu atau bulan menentang hawa nafsu. Di antara nafsu yang perlu kita lawan ialah mengeluarkan perbelanjaan semasa hendak berbuka puasa. Sememangnya benar kita berjaya untuk menahan diri daripada makan dan minum sehari, tetapi berapa ramai di antara kita yang berjaya mengawal nafsunya ketika hendak berbuka puasa. Kita imbau kembali Ramadan tahun lepas, berapa jenis juadah berbuka terhidang di meja makan, melebihi atau sekadar cukup untuk mengenyangkan perut kita?

BERSEDERHANA USAH BOROS

Islam mengajar umatnya bersederhana dalam berbelanja dan bukannya berlaku boros atau membazir sama ada di bulan Ramadan atau di bulan lainnya. Boros dalam berbelanja sebenarnya lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat kepada kita. Cukuplah kita membeli atau menyediakan juadah untuk berbuka puasa sekadar yang boleh mengenyangkan perut kita agar terhindar daripada perbuatan membazir. Tahukah kita perbuatan boros atau membazir ini adalah salah satu sifat syaitan?

Firman ALLAH: "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah Al-Israa : 27)

Firman ALLAH lagi: "Dan juga mereka (yang diredai ALLAH itu ialah) mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tidak boros dan tidak kedekut, sebaliknya perbelanjaan mereka adalah sederhana." (Surah Al-Furqan: 67)

Cuba kita renungkan sejenak, pernahkan terfikir, bagaimana saudara seislam kita di bumi Palestin? Adakah kesempitan buat mereka untuk menikmati juadah berbuka puasa yang pelbagai sama seperti kita? Atau mereka hanya berbuka puasa dengan air kosong? Atau mereka tidak memiliki kesempatan langsung untuk berbuka puasa kerana kekurangan sumber makanan. Janganlah kita membazir dalam berbelanja dan ingatlah saudara kita yang tidak bernasib baik.

Sepatutnya kita bersyukur dengan nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita kerana masih diberi kesempatan untuk melaksanakan ibadah puasa dengan suasana yang aman dan berbuka dengan juadah yang pelbagai jenis dan pelbagai warnanya sama seperti warna pelangi di atas meja. Kawallah perbelanjaan di bulan Ramadan dan janganlah tunduk kepada keinginan hawa nafsu yang sentiasa membawa diri kita kepada pembaziran.

LATIH DIRI

Dalam kita menyambut kedatangan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi, rebutlah peluang dan kesempatan yang ada untuk kita melatih diri kita agar berjaya mengawal hawa nafsu yang sentiasa ada dalam diri kita bukan semasa di bulan Ramadan saja, tetapi juga untuk bulan-bulan seterusnya. Semoga kita mendapat keampunan dan dilimpahi rahmat daripada ALLAH di bulan mulia ini.

Nabi SAW bersabda: "Barang siapa berpuasa di bulan Ramadan kerana iman dan mengharap balasan (pahala) dari ALLAH maka akan diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Daripada kita terus melakukan pembaziran dalam berbelanja, seeloknya kita ubah cara pembaziran kita kepada meningkatkan amalan bersedekah di bulan Ramadan agar kehidupan terus dilimpahi barakah-Nya.

Semoga dengan amalan sedekah ini membawa rahmat dan menjadi bekalan sebelum kita menutup mata selamanya untuk bertemu ALLAH SWT. Rasulullah SAW pernah ditanya: "Sedekah apakah yang paling mulia? Baginda SAW menjawab: "Iaitu sedekah di bulan Ramadan." (Riwayat Tirmizi)

ALLAH berfirman: "Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan ALLAH, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya ALLAH menyukai orang-orang yang berbuat baik." (Surah Al-Baqarah: 195)

Menyambut datangnya Ramadan

SEGALA puji bagi ALLAH SWT mengkhususkan musim tertentu bagi hamba-Nya mendekatkan diri mereka kepada-Nya dengan amalan ibadah. Supaya diampunkan dosa dan ditinggikan darjat mereka.

Muslim itu wajib menyembah Tuhannya dan mentaati-Nya sepanjang hidup. Sebahagian ulama salaf mengatakan: "Amalan seorang Muslim itu tiada hadnya sehinggalah ajal datang menjemputnya."

Dalam kesibukan menjalani kehidupan seharian, kedatangan bulan Ramadan adalah kesempatan terbaik untuk memberi perhatian dan fokus yang lebih dalam melakukan amalan dan ketaatan.

Bulan Ramadan adalah musim ibadah di mana ALLAH melipat gandakan pahala lebih banyak daripada waktu yang lain. Ia adalah bulan turunnya al-Quran sebagai petunjuk buat manusia dan penjelasan serta pembeza antara yang hak dan batil.

BULAN YANG MULIA

Sungguh ia adalah musim ibadah yang penting dan agung. Dianjurkan sepanjang bulan Ramadan supaya bersungguh-sungguh melaksanakan amalan-amalan soleh yang berupa fardu dan sunat, dalam bentuk solat mahupun sedekah dan di samping amal kebajikan yang lain. Tidak dinafikan, hal ini menuntut kesabaran dalam melaksanakan ketaatan kepada ALLAH dengan mengimarahkan waktu siang dengan puasa manakala pada sebelah malamnya dengan solat qiamullail, bersungguh-sungguh dalam berdoa dan zikir di samping sedaya upaya menjejaki malam lailatul qadar yang menjadi lebih baik daripada seribu bulan.

Kesempatan ini wajar direbut dan tidak disia-siakan dengan perkara yang melalaikan seperti mana keadaan golongan yang rugi, yang melupakan ALLAH sehingga ALLAH pun melupakan mereka. Golongan ini tidak mendapat apa-apa daripada musim kebaikan ini, mereka tidak menghormatinya mahupun menghargainya.

Wahai orang yang bermaksiat, bertaubatlah kepada Tuhanmu. Muhasabahlah dirimu. Sambutlah kedatangan bulan Ramadan ini dengan keinsafan dan taubat. Sungguh ALLAH Maha Pengampun, Dia mengampunkan segala dosa hamba-Nya. Taubatlah sebanyak-banyaknya dan istiqamahlah dalam baki usiamu. Semoga ALLAH memberi kesudahan yang baik buat kita semua. Siapa tahu, barangkali ALLAH menggolongkan kamu dalam kalangan mereka yang dibebaskan daripada api neraka di bulan Ramadan ini kerana ia adalah bulan di mana pintu syurga dibuka manakala pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu dengan rantai besi.

REALITI SEBAHAGIAN MASYARAKAT

Sebahagian masyarakat tidak kenal bulan Ramadan kecuali sebagai bulan untuk mempelbagaikan makan minum di waktu berbuka. Sikap berlebih-lebihan ketika makan tentu mengundang kemalasan dan rasa 'penat'. Walhal, bulan Ramadan sepatutnya menjadi bulan untuk kita kurangkan makan minum supaya bersemangat untuk beribadah.

Sebahagian mereka 'sibuk' berbuka puasa sampai tidak solat Maghrib berjemaah atau tertinggal solat sama sekali.

Sebahagian lain pula melihat bulan Ramadan sebagai bulan untuk tidur dan bermain. Barangkali berjaga di waktu malam lalu tidur di sepanjang waktu siang.

Demikian keadaan sebahagian daripada masyarakat di bulan Ramadan. Mereka lalai menunaikan kewajipan dan mereka terjerumus dalam hal yang haram tanpa rasa gentar takut kepada ALLAH. Apakah nilai bulan Ramadan di sisi mereka dan apakah manfaat yang diperoleh?

Sebahagian yang lain pula melihat bulan Ramadan sebagai bulan untuk berniaga (jual beli). Mereka akan sibukkan diri di pasar raya sehingga tak sempat menginjak kaki di masjid kecuali sebahagian kecil daripada mereka yang akan bergegas pulang dalam keadaan tergesa-gesa setelah selesai solat.

Bagi golongan ini, bulan Ramadan menjadi musim dunia dan tidak lagi bulan akhirat untuk beramal ibadah. Mereka berusaha mendapatkan habuan yang sementara dan meninggalkan ganjaran berkekalan.

CARA NABI SAW SAMBUT RAMADAN

Adalah menjadi kelaziman Rasulullah SAW untuk bersungguh-sungguh di bulan Ramadan, lebih daripada bulan-bulan lain. Baginda SAW sehingga menangguhkan kerja yang lain supaya dapat fokus kepada ibadah.

Generasi salaf as-soleh sebelum ini sangat mementingkan Ramadan. Ramadan adalah bulan untuk mereka dekatkan diri kepada ALLAH dengan amalan soleh. Mereka hidupkan waktu malamnya dengan qiamullail dan mengimarahkan waktu siangnya dengan ketaatan.

Kata Imam Az-Zuhri RH: "Apabila tiba bulan Ramadan, ia adalah bulan membaca al-Quran dan memberi makan (kepada fakir miskin)."

Mereka sedaya upaya berusaha untuk memenuhi masa di masjid sambil berkata: "Ia adalah supaya kami dapat jaga puasa dan tidak mengumpat sesiapa."

Mereka turut menjaga solat tarawih secara berjemaah di masjid dan tidak beredar melainkan setelah imam selesai. Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW: "Barang siapa menunaikan solat (tarawih) pada bulan Ramadan kerana beriman dan mengharapkan pahala akan diampunkan dosanya yang lalu." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Sabdanya lagi: "Sekiranya seseorang itu solat bersama imam sehingga imam selesai, akan dikira untuknya solat sepanjang malam." (Riwayat Abu Daud, hadis sahih)

Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba ALLAH yang bertakwa, yang memelihara bulan Ramadan dengan sebaiknya, berpuasa pada waktu siangnya dan solat tarawih di waktu malamnya, di samping memperbanyakkan amal ibadah yang lain. Semoga kita termasuk dalam kalangan hamba ALLAH yang berjaya.

Muslimin Muslimat yang dirahmati ALLAH, firman ALLAH: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa di bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain. ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka: Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk panduan." (Surah Al-Baqarah: 185-186)

Keluhan Ramadan lalu, nasibnya serupa tahun ini?

BEBERAPA hari lagi Ramadan menjelma. Ingatkah lagi bagaimana kita rai kehadirannya pada tahun lalu? Apa pun yang berlaku pada Ramadan lepas tidak dapat diubah lagi. Pilihan dan peluang terbuka luas di hadapan kita. Apa yang akan kita lakukan terhadap Ramadan tahun ini jika diberi peluang bertemu. Sekiranya Ramadan berbicara, mungkin inilah pesanan yang diingatkan buat kita:

Hadirku ditentukan Tuhan. Aku tidak pasti gembirakah kalian atau sebaliknya. Apa pun, terima kasih diucapkan untuk kalian yang sudi menyambut kehadiranku dan melayanku gembira. Sudah pasti, jika itu semua kalian lakukan dengan ikhlas, berpandukan syariat, tunggulah ganjaran kebaikan dari Tuhan.

Syukurlah kalian diberi peluang dan kesempatan hingga ke saat ini. Izinkan aku mencuri sedikit masa, menyampaikan pesanan, mudah-mudahan menjadi bekalan untuk kalian meneruskan perjalanan.

Ibadah tidak banyak

Masihku ingat ketika diumumkan kedatanganku dulu, kalian tersenyum gembira, melafazkan syukur tidak terhingga, kerana diberikan lagi usia bertemu denganku buat kali seterusnya.

Saat itu, aku juga turut gembira melihat reaksi kalian. Minggu pertama Ramadan, masjid diserbu. Suasana masjid yang sebelum ini suram dan muram, berubah menjadi meriah. Kalian hidupkannya dengan ibadah. Bermula dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai, solat Maghrib dan Isyak berjemaah, diteruskan pula dengan solat tarawih dan witir. Malah ada juga sesetengah masjid yang mengisi waktu senggang dengan tazkirah.

Aku yakin, kalian lakukan semua ini semata-mata untuk meraih ganjaran pahala dijanjikan Tuhan. Jika ada yang melakukannya kerana ingin mendapat pujian manusia atau sokongan rakyat jelata, urusan ini aku serahkan antara kalian dan Tuhan. Seseorang itu akan dibalas mengikut apa diniatkan.

Namun, kegembiraanku tidak berkekalan. Semakin hampir Syawal menjelang, semakin kurang jumlah kalian. Masjid dan surau yang sebelum ini padat dengan jemaah, penuh dengan amal ibadah, bertukar suram dan tidak meriah. Bahkan, keadaannya menjadi parah, bila Syawal menjengah.

Mengapa kalian tidak teruskan saja apa yang dilakukan pada malam awal Ramadan? Apakah kekuatan yang mendorong kalian beribadah pada waktu itu? Mengapa pula ia layu apabila Ramadan berlalu? Jika kalian lakukan demi meraih ganjaran pahala, yakinlah di bulan lain juga tetap disediakan ganjaran pahala. Bahkan, di malam terakhir Ramadan dijanjikan satu malam yang pahalanya lebih baik dari seribu bulan, sepatutnya amal ibadah dilipatgandakan berbanding malam yang lain.

Sungguh aku keliru dengan apa yang berlaku. Apakah kalian beribadah kerana aku atau kerana Tuhanmu? Apakah kalian hamba kepada Ramadan atau hamba kepada Tuhan Al-Rahman?  Aku tahu, jawapannya sudah pasti kalian beribadah bukan kerana aku.  Kalian juga bukan hamba Ramadan tetapi tetap hamba Al-Rahman. Aku keliru kerana tindakan kalian tidak mencerminkan sedemikian.

Saudaraku sekalian,

Ingat kembali cara hidup kalian di awal Ramadan lalu. Kalian beramai-ramai ke masjid untuk berjemaah. Teruskanlah amalan tersebut usah berlengah. Jika tidak dihadiri kelima-lima solat fardu berjemaah, pastikan dalam setiap hari, ada solat fardu yang ditunaikan berjemaah. Jika tidak di surau atau masjid, jangan ketinggalan hidupkan solat jemaah di rumah. Tetapi, sudah pasti yang terbaik ialah jika dapat ditunaikan di masjid, kerana ia adalah 'Rumah ALLAH, ganjaran pahalanya bertambah.

Jika kalian dapat lakukan di bulan Ramadan, kenapa tidak di bulan lain? Sekali lagi aku ingin bertanya, adakah kalian hamba Ramadan atau hamba Tuhan Al-Rahman? Tepuklah dada, tanyalah iman.

Ramadan pergi, al-Quran berbunyi

Saudaraku Muslimin sekalian, masih ingatkah Ramadan yang lalu, kalian rajin mengalunkan ayat suci. Ada dalam kalangan kalian berusaha menghabiskan 30 juzuk bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan. Tidak kurang juga menyertai tadarus al-Quran bersama kawan. Di sesetengah tempat, dianjurkan pula majlis khatam al-Quran secara besar-besaran sebagai tanda gembira dapat menghabiskan bacaan selama sebulan. Alhamdulillah, pendek kata, hubungan rapat al-Quran dan umat Islam jelas semasa Ramadan.

Tapi, sedihnya apabila aku melihat ada dalam kalangan kalian yang seolah-olah kenal al-Quran hanya pada bulan Ramadan. Tamatnya Ramadan, tamatlah hubungannya dengan al-Quran. Ditunggu pula sehingga Ramadan akan datang. Jika sebelum ini, ada kesempatan untuk membaca al-Quran, tetapi selepas Ramadan, tiada lagi masa untuk al-Quran. Kenapa ini boleh berlaku?

Ramadan hilang, sedekah berpanjangan

Ramadan berbicara lagi...

Ingatkah kalian suasana Ramadan, banyak tangan ringan menghulurkan sumbangan meringankan beban mereka yang kesempitan, anak yatim yang hilang tempat pergantungan, orang tua yang disisihkan; mereka ini mendapat perhatian semasa Ramadan. Bantuan demi bantuan dihulurkan. Pelbagai jamuan dihidangkan. Kesedihan mereka diceriakan. Kesunyian mereka dimeriahkan.

Untuk apa semua ini dilakukan? Aku yakin, mereka yang ikhlas hasratnya, tidak mengharapkan balasan pujian, melainkan ganjaran pahala dari Tuhan. Alhamdulillah, masih ada insan prihatin dengan nasib mereka yang memerlukan.

Namun, aku melihat suasana ini tidak berpanjangan. Kerancakan bersedekah yang berlaku semasa Ramadan, tidak dirasai di bulan lain. Si miskin kembali menagih simpati. Si anak yatim kembali kesunyian tidak dipedulikan. Orang-orang tua kembali murung memikirkan nasib di penghujung hari.

Perintah Tuhan Yang Satu

Ramadan berbicara…

Sebab apa kalian berpuasa? Adakah suka-suka atau ikut orang lain? Atau kerana terpaksa sebab malu dengan kawan sekerja? Aku yakin, bukan ini sebabnya. Kalian berpuasa semata-mata menurut perintah ALLAH. Demi membuktikan sifat hamba yang semestinya akur dengan arahan tuannya.

Namun, apa yang aku hairan ialah sikap sesetengah kalian. Ada yang boleh berpuasa tetapi solat fardu tidak dijaga. Ada yang boleh berpuasa, aurat tidak dipelihara. Ada yang berpuasa, rasuah disapu sama. Ada yang berpuasa, fitnah ditabur merata. Ada yang berpuasa, mulut berdusta. Ada yang berpuasa, hasad dengkinya bermaharajalela dan pelbagai lagi perkara membuatkan aku hairan.

Kenapa tidaknya? Jika kalian berpuasa dengan sebab patuh arahan Tuhan, bukanlah solat juga arahan-Nya. Begitu juga dengan menutup aurat, berzakat, tidak rasuah, bercakap benar dan sebagainya. Kenapa ada yang berpuasa demi menurut perintah ALLAH, dalam masa sama melanggar perintah-Nya yang lain. Bukankah semua itu datangnya dari Tuhan Yang Satu?

Oleh itu, aku mengajak kalian untuk menjadi hamba yang patuh dan taat tanpa sebarang syarat. Rukun Islam yang lima sentiasa dijaga. Rukun iman dipasak di jiwa. Apa yang digariskan syariat, dijunjung dipatuhi penuh taat. Apa yang dikatakan maksiat, dielak ditepis tidak terlibat. Semoga kehidupan kalian lebih berkat dan dilimpahi rahmat. Bahagia di dunia dan selamat juga di akhirat.

Saudaraku sekalian...

Maafkan aku jika pesanan ini menyinggung hati dan perasaan. Bukan niat untuk melemahkan. Hanya mengingatkan demi kebaikan. Semoga Ramadan kali ini diraikan dengan lebih baik. Pilihan di tangan masing-masing. Pilihlah!

Kehidupan dunia tidak lama, Ibarat persinggahan sebelum menuju akhirat kekal abadi. Biarlah pulang nanti, kalian tidak menyesal. Meminta supaya dipulangkan kembali ke dunia untuk melakukan amal pahala. Masa itu, penyesalan tidak lagi berguna. Rebutlah peluang yang ada!

ALLAH mengingatkan kita keadaan mereka yang menyesal di akhirat nanti dalam Surah As-Sajdah ayat 12.