June 8th, 2016

Melayu boleh perindahkan imej Islam

KECENDERUNGAN untuk menegaskan golongan berpegang kepada agama sekarang ini sudah tidak relevan lagi dengan cita-cita mewujudkan masyarakat manusia yang aman dan sejahtera, mendorong satu aliran baharu, terutama di Barat, untuk menjalankan satu propaganda keburukan manusia yang mengakui berpegang kepada agama.

Manusia yang beragama dilabel orang yang sering merosakkan kesejahteraan dunia dan peradaban alam, penganut agamalah yang sering menyebabkan pertelagahan, keganasan, pertumpahan darah, perebutan kuasa membabitkan penyeksaan yang banyak kepada manusia, dan pembunuhan di sana sini pada masa kini.

Penulisan di ruangan 'news review' akhbar The Sunday Telegraph 30 September tahun lalu memaparkan sendaan terhadap orang berpegang kepada agama dengan mendedahkan skandal dalam kalangan ketua agama Katolik, ketika seorang koresponden BBC, David Willey, menulis tajuk 'The sins of Vatican" (Dosa Vatican).

Ia antara lain melaporkan 'The sex and corruption scandals are growing at the heart of the Catholic Church' ...'It was claimed that Roman priests had used prostitutes' (Skandal seks dan rasuah semakin meningkat di tengah-tengah pusat gereja Katholik. Ada dakwaan mengatakan paderi Roman menggunakan pelacur).

Kekacauan di Ireland Utara dalam kalangan penganut Katolik oleh Tentera Republikan Ireland (IRA) yang menentang penganut Kristian lain berlarutan sejak lama dahulu, puluhan tahun tanpa selesai dan mengorbankan banyak nyawa.

Kekejaman melampau

Yahudi sendiri, termasuk ketuanya, menunjukkan kekejaman melampau terhadap orang yang tidak berdosa di Palestin dengan merampas rumah dan harta benda rakyat Arab dan seterusnya melakukan kekejaman melampau ke atas rakyat yang mereka jajahi itu.

Kita mungkin tidak dapat menjawab bagi pihak agama lain dalam arus perdebatan dan krisis pemikiran yang ditimbulkan ini. Namun, untuk menjawab bagi pihak Islam, kita sendiri mungkin terperangkap dengan situasi dan peristiwa dalam dunia Islam akhir-akhir ini, ketika keganasan melampau semakin melanda masyarakat Islam di Asia Barat dan Afrika Utara, Mesir, Syria, Iraq, Afghanistan, Pakistan, Turki, Somalia, Nigeria dan Libya.

Kita mungkin boleh cuba beri sedikit justifikasi mengenai kebangkitan golongan radikal yang didakwa oleh orang Barat, seperti penentangan rakyat Palestin terhadap rejim Yahudi dan kuasa besar Amerika Syarikat (AS), iaitu dasar Yahudi dan kerajaan Zionis menindas rakyat Palestin.

Maka, rakyat yang ditindas dan dizalimi tentulah akan bangun menentang musuh dengan keganasan kerana dunia antarabangsa sendiri menafikan hak mereka sebagai manusia dan tuan punya tanah air serta harta benda mereka yang dirampas dengan segala kekejaman oleh rejim Yahudi.

Tetapi pergolakan politik yang tidak demokratik dan tidak bertamadun seperti di Mesir tidak lama dahulu, dan kini di Syria amat serius sekali, apakah kita dapat pertahankannya?

Malah pertumpahan darah berlarutan di Iraq dan Yaman antara dua golongan mazhab, Syiah dan Sunah, akan mampukah beri ruang kepada kita untuk menjustifikasikannya?

Dalam keadaan ini, saya berasakan bahawa kita sebagai umat Islam di bahagian dunia kita ini harus cari alternatif memperbaiki imej dan prestasi umat Islam yang amat teruk pada masa kini.

Kita sudah lama dicemarkan oleh krisis di dunia Arab dan bukan Arab di Asia Barat dan Afrika Utara, kerana kedatangan Islam dan perkembangan serta pembangunannya dilihat berpusat di sana.

Proses Islamisasi sering dihubungkan dengan dunia Arab dan negara Islam di kepulauan India Pakistan serta Afrika Utara, sedangkan dunia itulah pada masa kini yang lahir sebagai kawasan bergelora dengan krisis kemanusiaan, sosial, agama dan budaya.

Oleh itu, di samping menghargai segala kecemerlangan terhadap Islam yang disumbangkan oleh masyarakat di Asia Barat dan Afrika Utara, maka tiba masanya kita memperkembang prestasi dan sumbangan umat kita, Melayu, dalam membina tamadun dan pemikiran unggul berdasarkan Islam itu sendiri.

Islam di Dunia Melayu, pada tangan bangsa Melayu, menempa sejarah, bahasa dan budaya tinggi dengan pengaruh ajaran Islam sampai ke Timur Jauh dan pengislaman Raja Melayu mencorakkan pemerintahan bumi Melayu berasaskan hikmah dan ilmu Islam itu.

Hingga kini, Melayu kuat berpegang kepada nilai universal Islam dalam pemerintahan dan pembangunan bangsa dan negara.

Golongan ilmuwan dan sarjana Melayu amat terpengaruh dengan pengajaran mereka terima di Makkah dan Al-Azhar yang berpengaruh itu.

Kemerdekaan negara

Golongan ulama agama, ahli Sufi dan ilmuwannya menyumbang kepada kemerdekaan negara, malah memberi banyak panduan terhadap pengurusan sosial dan tata negara bagi negara kita yang berbilang kaum ini.

Saya ingin sarankan supaya pusat pengajian tinggi negara dapat kaji semula sistem dan program akademik pengajian Melayu masing-masing dalam memberi penekanan kepada pemikiran dan tamadun Melayu itu sendiri yang dipengaruhi ajaran Islam.

Kerajaan Malaysia seharusnya mengkaji untuk eksport bidang pengajian pemikiran dan tamadun Melayu ke universiti berprestij seperti Oxford dan Cambridge di UK dan universiti ternama di Eropah, juga di AS. Mata dunia Barat dan antarabangsa lainnya hendaklah dibuka untuk melihat bahawa pemikiran, sejarah dan tamadun Melayu dapat beri sumbangan besar kepada dunia, melalui 'worldview' Islamnya yang betul dan penghayatan Islam positif, serta imej Islam yang masih tinggi dalam negara dan masyarakat Melayu Islam ini.

Islam sebenarnya bukanlah hanya kepunyaan dunia Arab dan Afrika Utara, tetapi juga kepunyaan umat Melayu, yang juga satu pertiga daripada keseluruhan jumlah penduduk Islam di dunia.
Datuk Dr Ismail Ibrahim Berita Harian Kolumnis Rabu, 8 Jun 2016 @ 6:05 AM

Kaedah sahur yang betul, Bersahur dengan tujuh biji kurma, teh o

Kaedah sahur yang betul

SAUDARA PENGARANG,

JIKA anda beranggapan dengan cara makan dan minum dalam kuantiti banyak ketika bersahur dapat membantu mereka menjalani ibadah puasa dengan baik, maka itu tidak benar sama sekali.




BERSAHUR dengan kurma dan air juga memadai. GAMBAR HIASAN/NOTAHIDUPSIHAT.BLOGSPOT.COM

“Sebaik-baik sahurnya seorang mukmin adalah kurma”.

Demikianlah sabda Nabi Muhammad SAW. Di sini jelas me­nunjukkan kepada kita bahawa cara bersahur yang betul tidak bergantung kepada kuantiti makanan yang dimakan, sebalik­nya apa yang kita makan ketika bersahur iaitu makanan berzat yang cukup membekalkan tenaga ketika berpuasa.

Jika makan pelbagai jenis makanan tetapi kandungan zatnya kurang dikhuatiri akan mengganggu kelancaran ibadah puasa.

Lebih baik bersederhana makan tetapi seimbang kerana ini penting untuk kekal sihat menjalani ibadah puasa dengan baik.


Antara kaedah terbaik untuk tenaga kekal optimum, jangan sesekali meninggalkan sahur kerana itu amalan sunnah.

Untuk makluman, sahur juga dapat mengawal gula dalam darah di samping memberikan tenaga kepada badan setiap hari serta memastikan sistem pencernaan berfungsi dengan lebih baik.


Selain buah kurma, pengambilan karbohidrat yang kompleks seperti oat dan nasi perang yang mengandungi serat adalah amat baik untuk bersahur.

Ramai tidak menyedari pengambilan air berlebihan ketika bersahur juga tidak baik kerana semakin banyak air diminum, semakin cepat juga air dalam badan kita dibuang. Justeru cadangan kuantiti air yang perlu diminum adalah dua atau tiga gelas semasa bersahur.


Dengan cara bersahur yang betul, kita dapat memastikan kesihatan dipelihara di samping kekal bertenaga sepanjang hari di bulan Ramadan. Kesihatan juga amat penting dalam memastikan kesempurnaan setiap ibadah kita kepada Allah SWT lebih-lebih lagi di bulan yang penuh dengan barakah ini.

Bersahur dengan tujuh biji kurma, teh o

TIADA apa yang lebih menggembirakan buat seorang ibu tunggal yang cacat penglihatan, selain kehadiran anak-anaknya untuk bersama-sama beliau menjalani ibadah puasa pada tahun ini.‎

Azizah Awang Kechik, 62, yang baru sahaja kehilangan suami, meluahkan perasaan itu apabila tiga orang anaknya meninggalkan beliau setelah  masing-masing berumah tangga.

"Makcik makan tujuh biji kurma dengan teh 'O' sahaja untuk sahur, cukuplah ala kadar. Makcik tak ada sesiapa dah," luah warga emas ini dengan sayu, ketika ditanya persiapan beliau sempena kedatangan Ramadan esok.

Bagi menghilangkan rasa kesunyian, Azizah tegar meneruskan hidup dan mencari pendapatan tambahan dengan menjual tisu muka di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

"Makcik tinggal seorang. Anak-anak ada tapi dah kahwin, masing-masing buat hal sendiri, tak pelah," katanya ketika menceritakan kepada penulis kisah sedih yang menyelubungi nasibnya ketika ditemui dalam tinjauan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Warga emas ini yang cacat penglihatan sejak dilahirkan, hanya berharap agar anak-anaknya tidak melupakan beliau yang sentiasa mendahulukan anaknya dalam setiap perkara.

Rokiah Ahmad, 63, dari Jalan Datuk Keramat berkata baginya saban tahun persiapan beliau menyambut bulan Ramadan yang penuh keberkatan itu, dilakukan secara kecil-kecilan sahaja.

"Keluarga makcik kecil, suami dan anak lelaki sahaja. Jadi, juadah sahur ringkas, asalkan dapat mengisi perut cukup," katanya.

Beliau, yang juga cacat penglihatan akibat kemalangan berkata setiap tahun mereka hanya membuat persiapan ringkas bagi menyambut Ramadan dan Syawal kerana kekangan kewangan.

Bagi pelajar universiti awam, Mastura Mat Khori, 22, Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah tempat persinggahan wajib baginya untuk membeli-belah juadah berbuka dan barangan keperluan musim perayaan setiap kali bulan Ramadan.

"Harga barang-barang sini berpatutan, senang dapat.

"Saya tidak kisah berbelanja sakan setahun sekali, janji seronok masa Hari Raya nanti," katanya yang menggemari ayam percik sebagai juadah berbuka puasa.

Esok, hari pertama umat Islam berpuasa dan Jalan Tuanku Abdul Rahman sekali lagi menjadi tumpuan warga kota, meriah dengan kehadiran peniaga dan penjaja  menawarkan beraneka kuih-muih, pakaian dan alat-alat kelengkapan raya. - Bernama

Palestin bukan milik Yahudi

SIAPA kata Palestin milik kaum Yahudi? Siapa kata tanah yang diberkati ini penduduk asalnya Bani Israel?

Kata-kata ini tidak benar, malah hanyalah dakwaan bersifat penyelewengan fakta semata-mata oleh pihak berkepentingan untuk menguasai wilayah yang telah didiami lebih awal oleh sebuah kaum atau masyarakat bernama Kanaan. Tidak hairanlah Palestin dahulunya pernah dikenali sebagai Tanah Kanaan.

Hakikatnya telah didiami kaum Kanaan hampir 3000 tahun lalu
AL-AQSA tidak ada kena mengena dengan Yahudi kerana mereka tidak pernah beriman kepada Allah SWT sejak Zaman Nabi Musa a.s.


Siapakah kaum Kanaan ini? Ahli-ahli sarjana Islam percaya kaum Kanaan datang ke Palestin sejak sebelum kedatangan Nabi Ibrahim a.s. lagi iaitu sekitar 2000 hingga 3000 tahun sebelum Masihi.

Ada juga dalam kalangan sarjana Islam yang menyebut kaum Kanaan berasal daripada Ham, putera Nabi Nuh a.s. Mereka berhijrah ke Palestin untuk mencari kehidupan lebih baik.


Kaum ini mahir dalam industri logam dan tekstil, kesenian, perdagangan dan ketenteraan. Kaum ini mempunyai susur galur dari leluhur Phonesia yang hidup pada Zaman Gangsa.

Mereka merupakan arkitek bagi Kapal Perang Bireme, Kapal Dua Pendayung yang serba luar biasa.


Di Palestin, kaum Kanaan mendiami kawasan berbukit dan pergunungan menjadi penggembala kambing, sementara sebahagiannya tinggal di kawasan lembah menjadi petani sementara yang tinggal di lembah-lembah pesisir Jordan menjadi pedagang laut.


BANDAR Tel Aviv asalnya adalah Kota Kanaan.

Mereka mendirikan kota-kota kecil Kanaan dan mengadakan hubungan dengan kerajaan kuno sekitarnya.

Kerana kaum ini juga, Palestin menjadi penting dan penghubung kepada pelbagai benua dunia pada waktu itu.


KAUM YANG GAGAH

Kanaan dikenali juga sebagai kaum yang gagah perkasa. Kisah Nabi Musa a.s. dan kaumnya Bani Israel ada mencatatkan kisah kegagahan kaum ini.

Mereka menjawab: “Wahai Musa, bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)”. ( al-Maidah: 22)




ANTARA panorama indah Palestin.

Malangnya, agama dan kepercayaan mereka tidak bersumberkan tauhid kepada Allah SWT. Sebaliknya, mereka menyembah berhala dan dewa sebagaimana penemuan banyak kuil lama mereka di bawah runtuhan Kota Kuno Jericho (Ariha) di Palestin.

Kaum Bani Israel diusir dari Palestin ketika zaman Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf a.s ke Mesir juga kerana kezaliman sendiri. Mereka dijanjikan oleh Allah SWT tanah Palestin lantaran penderitaan yang dialami kerana kekejaman Firaun.

Pun begitu mereka enggan memasukinya semasa diarahkan berbuat demikian pada zaman Nabi Musa a.s., sebaliknya memasuki Palestin ketika dipimpin oleh Nabi Yushak a.s. setelah berjaya mengalahkan kaum Kanaan dengan bantuan Allah SWT.

Dalam peristiwa kemenangan ini, Allah SWT memberhentikan peredaran matahari seketika sekaligus menundakan kehadiran malam bagi membolehkan kemenangan diperoleh Nabi Yushak a.s. dan kaumnya Bani Israel.

Setelah berhasil menakluk seluruh bumi Kanaan, Nabi Yushak a.s. membahagi tanah ini kepada 12 bahagian (The twelve tribes of Israel). Setiap bahagian diberikan kepada suku-suku Bani Israil yang terdiri daripada 12 suku.

MULA RUNTUH

Sesetengah pengkaji sejarah kuat mengatakan bahawa proses asimilasi antara kaum Kanaan dengan Bani Israel membuktikan bahawa kepercayaan dan agama keduanya saling berkait.



KAUM Kanaan mendiami kawasan Pantai Laut Mati sebagai nelayan dan pedagang.

Para ilmuan sejarah juga berhasil membuktikan bahawa leluhur bangsa Israel mempunyai kesamaan dalam hal kepercayaan dan beragama bangsa Kanaan.

Sejarah penduduk terawal Kanaan di Palestin secara perlahan-lahan akhirnya lenyap dan digolongkan dalam kategori Al Arab Al Baidah (Bangsa Arab yang telah musnah). Ia berlaku semasa zaman Nabi Sulaiman a.s.

Seperti mana kaum Kanaan di Palestin, kaum Bani Israel juga akhirnya lemah. Mereka dijajah dan diusir sebagai orang buangan oleh banyak empayar besar seperti Babylon, Parsi dan Rom sekitar penghujung sebelum Masihi dan awal Masihi. Pada zaman moden pula dilanyak oleh pihak Nazi, Jerman.

Akibatnya mereka bertebaran di seluruh dunia khususnya di Eropah Timur. Kaum ini pernah dikategorikan sebagai 10 kaum yang hilang di dunia.

Apa yang terjadi kepada Bani Israel sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dan tidak diduga, malah semuanya telah dinyatakan dalam al-Quran antaranya surah al-Baqarah, al-Maidah dan al-Araf.



MAKAM Nabi Musa a.s., nabi yang dikecewakan Bani Israel kerana enggan memasuki Palestin

Walaupun asalnya mereka adalah kaum pilihan Allah SWT dan dijanjikan tanah untuk mereka di Palestin, sejarah merakamkan bagaimana kaum ini akhirnya dilaknat dan pernah dibinasakan oleh Allah SWT lantaran kesombongan dan kekufuran mereka.

Apa yang sedang terjadi di Palestin hari ini merupakan sebahagian daripada kerosakan yang pernah mereka lakukan dahulu seperti mana dinyatakan oleh Allah SWT maksudnya: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. (al Isra’: 4)

YAHUDI BUKAN 
BANI ISRAEL

Sarjana Islam sependapat bahawa Bani Israel telah hilang status keistimewaan yang pernah diberikan Allah SWT kepada mereka pada awalnya, begitu juga dengan tanah Palestin bukanlah lagi milik mereka lantaran segala kerosakan yang mereka lakukan, selain kufur kepada Allah SWT.

MAKAM Nabi Musa a.s., nabi yang dikecewakan Bani Israel kerana enggan memasuki Palestin.

Kisah kaum Kanaan dan sejarah awal Palestin akan dipaparkan dalam episod ke 2 - bertajuk ‘Palestin Milik Kanaan?’.

Penggambaran telah dilakukan di Palestin dan Jordan khasnya di kawasan yang mempunyai kaitan dengan sejarah kaum ini termasuk di Laut Mati, sempadan kedua-dua negara, Makam Nabi Musa, Nabi Harun dan Makam Nabi Yushak a.s. yang merupakan nabi paling banyak berkait dengan kaum Bani Israel.

Antara sarjana Islam yang telah ditemubual dan berkongsi kajian mereka antaranya pengkaji Sejarah dari Palestin, Profesor Mustafa Abu Sway dari Universiti Al Quds, Palestin, Profesor Asem Shehadeh Saleh Ali dan Dr. Mutasem Am Ali, dan Profesor Ibrahim Mohamed Zain dari Sudan.


Episod ini penting dalam memberikan maklumat kepada umat Islam mengenai sejarah asal usul Palestin Bani Israel di Tanah Anbia yang diberkati Palestin.

Jangan ketinggalan menyaksikan Dokumentari Ayat Riwayat setiap hari jam 5.30 petang di TV AlHIjrah, bertemakan - Palestin : Bumi Kemenangan.

-

Amalkan konsep bersederhana, Pesta makan atau pesta ibadah?

Pesta makan atau pesta ibadah?

SEMALAM saya kurang sihat. Mungkin kerana tersentak dengan makan sahur, agak meragam sistem badan saya. Makan pula bukannya banyak, sikit sahaja. Banyak makan sup dengan nasi. Mungkin usia sudah meningkat agaknya?

Namun tertarik saya dengan pelbagai nasihat yang diberikan oleh rakan-rakan mengenai apa yang perlu dimakan, bagai­mana hendak makan, minum sekurang-kurang lapan gelas air dari sahur, berbuka, selepas ­solat sehinggalah sebelum tidur. Sungguh menarik maklumat yang diterima.



PRESIDEN Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S. M Mohamad Idris (kanan) menunjukkan pembaziran sisa makanan dari hotel-hotel terkemuka di sekitar Pulau Pinang, beberapa tahun lalu. GAMBAR HIASAN

Antaranya dari Dr. Norhissam Mustafa, CEO Institut Pengurusan Kesihatan Islam (IPKIM), katanya: Ramadan adalah bulan kesihatan, bulan silaturahim, musim perubahan, masa hilang ketagihan, bulan lembut hati, bulan keluasan rezeki, dan bulan membaiki institusi keluarga. Namun Ramadan juga dikaitkan dengan keletihan, kelemahan, mengantuk, kurangnya produktiviti dan kini sebagai pesta makanan.

Kajian yang beliau lakukan adalah kesilapan besar semasa berbuka ialah: Menghimpunkan makan malam dengan berbuka puasa adalah kesilapan. Berbukalah dengan tiga biji kurma (atau makanan yang tinggi potasium seperti makanan bergula perang yang tinggi molasesnya) dan air kosong.

Sebab katanya, buka puasa bukan untuk perut tetapi untuk memberi tenaga kepada hipotalamus (otak dalam otak). Salah satu caranya, elakkan hidang makan malam di depan semasa berbuka.

Hipotalamus yang keletihan berfungsi sepanjang hari akan tidak berfungsi dengan betul sekiranya makanan masuk dengan banyak semasa berbuka. Hal ini menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

Katanya lagi: Jangan window shopping ke bazar Ramadan kerana pada waktu itu fungsi kawalan hipotalamus dalam mengawal nafsu makan amat lemah setelah bekerja seharian daripada mula waktu Subuh untuk mengawal kerja-kerja pembongkaran di hati menyebabkan kita hilang perhitungan untuk terus membeli makanan yang kita tidak perlu.

* Jangan lewatkan solat Maghrib.

Hasil daripada pembongkaran glukogen tepu di hati sejak pagi akan menghasilkan tenaga yang sangat banyak, tenaga ini untuk diagihkan keseluruhan tubuh melalui sel. Satu kilo berat badan mempunyai 10,000 trilion sel.

Tenaga ini perlu ditolak/diagih kepada sel-sel dalam tubuh, hasil daripada pergerakan solat 13 rakaat yang berulang-ulang serta gema tenaga sekitaran pada waktu setelah azan Maghrib itu akan menyebabkan tenaga yang dihasilkan oleh tubuh kesan daripada puasa sepanjang hari akan dapat diserakkan ke dalam nuklues sel dan digunakan dengan sempurna. Oleh itu, solat Maghrib perlu disegerakan.

* Selepas solat Maghrib, sel sudah dapat tenaga. Balik terus makan malam. Secara automatik kita akan makan secara baik dan sedikit serta sudah boleh mengawal nafsu makan.

Menu makan malam jangan lebih lima jenis makanan dalam satu hidangan satu jenis makanan ruji (contoh Nasi), lauk, sayur, buah dan air.

* Selepas makan malam, sangat baik kita mandi dengan air sejuk.

Jangan mandi air panas. Boleh letak air batu tambah sejuk. Jangan risau kaitan mandi malam dengan paru-paru berair. Dongeng. Dalilnya jika kita berhadas besar, fiqh suruh segera mandi tanpa menunggu pagi. Jangan mandi macam burung untuk elak paru-paru berair. Burung mandi dengan cara basahkan rambut tapi badan tidak basah.

* Selepas mandi, sebelum pergi solat Isyak minum setengah cawan susu segar + tiga biji kurma + satu sudu teh madu lebah yang diputar (blender).

Solat Isyak berjemaah. Lepas itu sembahyang tarawih, solat dengan perlahan dan santai. Jangan terlalu gopoh-gapah.

* Kalau hendak ambil makanan selepas solat tarawih, pastikan ringan dan sedikit. Makan lepas pukul 10.30 malam adalah kemudaratan yang besar. Masa ini tenaga sudah cukup penuh dalam badan.

Masa itu aktiviti terbaik adalah tadarus minimum. Masa ini tenaga akan bawa input terbaik ke dalam otak dan hati. Kalau masa ini diisi dengan aktiviti atau info yang lalai, maka otak dan hati akan merakam perkara yang kita isi dan boleh menjadi pegangan kita seterusnya.

Selepas itu, sebaiknya tidur sebelum pukul 12 malam untuk kerehatan. Jangan pasang lampu semasa tidur kerana cahaya lampu meningkatkan asidifikasi (asid) tiga kali ganda, salah satu sebab kandungan kolesterol meningkat dalam darah.

* Selepas itu bangun pukul 3 pagi untuk qiamullail. Sunat kejutkan ahli keluarga dengan renjis air sejuk dengan hujung jari. Boleh mandi. Tiada masalah kesihatan.

* Sempurnakan sekurang-kurangnya 10 rakaat solat sunat, Sunat wuduk (2 rakaat), taubat (2 rakaat), tahajud (4 rakaat 2 kali salam), hajat (2 rakaat) dan 3 rakaat witir bagi yang belum witir selepas tarawih tadi.

* Sahur. Sebaik-baik sahur adalah 1/18 dari makan malam dan yang terbaik adalah lebihan makan malam dengan syarat masih elok dan tidak basi. Lewatkan masa masak petang untuk elak cepat basi.

Masak lebih sedikit untuk makan malam, jangan campur garam dan simpan sikit untuk sahur. Bila nak sahur panaskan dengan api perlahan dan setelah panas sedikit baru masukkan garam.

* Jangan tidur selepas Subuh kerana gangguan kepada Tirod. Ini akan menyebabkan masalah terhentinya kerja-kerja pembongkaran (detokfikasi) toksid dalam badan.

* Tidur qailulah ( masa terbaik adalah 1 jam sebelum zohor, cukup hanya sekadar beberapa minit). 1 saat waktu ini ­me­n­yamai tenaga tidur 45 minit waktu biasa.

Norhissam juga berkongsi ­petua memakan kurma: 60 peratus kebaikan berada pada selaput permukaan luar biji kurma.

Masukkan sebiji kurma dan akhir sekali keluarkan biji. Jangan kupas di luar. Antara kurma yang terbaik ada 5 jenis: ajwa, medjool, mabrom, safawi dan mariami

* Puasa adalah detoksifikasi. Ia berlaku apabila fungsi proses makanan dalam perut berehat lebih daripada 8 jam.

Itulah petua beliau untuk kebaikan kita bersama. Allahualam.

Petang semalam saya sempat singgah ke Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam. Masya-Allah begitu ramai orang yang membeli dan menjual. Berjalan sehingga berlaga bahu.

Kerana terlalu ramai manusia yang membeli dan menjual. Saya tak jadi beli apa-apa. Tidak tahu mahu membeli apa.

Naluri wartawan berkata sekadar nak dapatkan feel. Begitu mewah rakyat negara ini. Namun bagi penjual juallah dengan se­ikhlas hati, bukan semata-mata mahu mengejar wang dan keuntungan. Takutlah dengan Allah.

Selamat Beribadah, bukan selamat berpuasa! - Zaini Hassan Utusan Malaysia Rencana 08 Jun 2016 6:25 PM


Amalkan konsep bersederhana

RAMADAN Al–Mubarak di­sambut oleh seluruh umat Islam bukan sahaja di Malaysia malah di serata dunia. Pada bulan ini umat Islam dikehendaki berpuasa atau menahan diri mereka daripada makan dan minum serta melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa seseorang itu dari terbitnya fajar sehingga terbenam matahari. Ibadah berpuasa ini bukan sahaja diamalkan oleh umat Islam pada masa kini malah telah lama di­amalkan oleh umat terdahulu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Wahai orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”. (Surah al–Baqarah: Ayat 183).

Pelbagai manfaat yang boleh diperoleh melalui kedatangan bulan yang mulia ini antaranya manfaat kesihatan di mana ibadah berpuasa dapat membersihkan segala kekotoran yang ter­dapat dalam tubuh badan seseorang serta pada masa sama meningkatkan kadar kesihatan individu terbabit.

Terdapat juga manfaat ekonomi di mana ibadah di bulan puasa ini dapat membendung seseorang itu daripada melakukan pembaziran terutamanya dari aspek pembelian makanan dan minuman. Ibadah puasa juga menawarkan manfaat jalinan persaudaraan sesama Islam serta pada masa sama dapat meningkat keimanan terhadap Allah SWT.

Adalah penting juga untuk diketahui ibadah di bulan Ramadan ini melatih umat Islam untuk melakukan segala amalan dengan sederhana serta tidak melampau. Ini adalah penting bagi melatih umat Islam supaya lebih bersabar, berdisiplin serta memupuk akhlak yang baik.

Tidak dapat dinafikan, pelbagai jenis dugaan akan hadir dalam mengharungi bulan Ramadan terutamanya aspek pembelian juadah makanan dan minuman untuk berbuka puasa (iftar) serta penyediaan sarapan waktu sahur.

Pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual di bazar Ramadan, restoran termasuk juga segala promosi bufet yang ditawarkan oleh pihak hotel bagi menarik perhatian pengguna.

Jika seseorang pengguna Islam tidak dapat mengawal nafsunya sudah pasti pembaziran makanan akan berlaku. Ini sudah pasti akan menjejaskan tujuan berpuasa itu sendiri selain daripada makan dan minum dengan melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seseorang itu.

Islam amat melarang keras umatnya untuk melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah SWT dalam Surah Al–Israa’ Ayat 26–27 yang bermaksud: “...dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau–lampau. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (ingkar) kepada Tuhannya”.

Allah SWT juga telah berfirman dalam Surah Al–A’raf Ayat 31 yang bermaksud “...dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas”. Ayat ini jelas menunjukkan peringatan dan larangan Allah SWT terhadap manusia supaya tidak mengamalkan pembaziran serta melakukan sebarang tindakan secara melampau–lampau.

Isu pembaziran makanan dalam negara kita bukanlah satu isu yang baharu diperkatakan. Mengikut pendedahan yang dibuat oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) baru-baru ini, adalah dianggarkan kira-kira 3,000 tan makanan dibuang dalam sehari di Malaysia. Adalah menjadi kebimbangan jumlah pembaziran makanan ini akan menjadi bertambah serius menjelang kedatangan bulan Ramadan kelak.

Oleh itu, adalah penting bagi umat Islam untuk menghayati tujuan utama kedatangan Ramadan iaitu untuk beribadah serta meningkatkan keimanan terhadap Allah SWT bukannya untuk dijadikan sebagai bulan pesta makanan.

Pelbagai usaha boleh diambil bagi mengatasi masalah pembaziran makanan yang berlaku dalam negara kita.

Pada tahun lalu, pihak kerajaan telah melaksanakan program Save Food Malaysia (MYSaveFood) sebagai usaha untuk mengurangkan masalah pembaziran makanan di negara ini.

Pada tahun sama juga, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menggesa pihak kerajaan supaya mewujudkan sebuah “Akta Pembaziran Makanan” khusus bagi mengekang budaya pembaziran dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang banyak berlaku di bulan Ramadan.

Melalui pengenalan undang-undang ini, pelbagai tindakan boleh dipertimbangkan supaya masyarakat tidak sewenang–wenangnya melakukan pembaziran makanan seperti mengenakan penalti atau denda dan sebagainya. Namun, apa yang penting adalah kesedaran pengguna itu sendiri khususnya umat Islam bagi menjalani ibadah di bulan puasa dengan sempurna dengan memberi fokus kepada amal ibadah dan bukannya pada juadah makanan.