June 9th, 2016

Tarik minat generasi muda ke masjid. Kuasai Inggeris di masjid

Kuasai Inggeris di masjid

MENYEDARI kedudukan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi global, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sejak 2014 telah memperkenal program English@Masjid khusus bagi meningkatkan penguasaan bahasa ini dalam kalangan masyarakat Islam.

Fungsi masjid tidak tertumpu kepada ibadah khusus

Sebahagian pelajar bersama tenaga pengajar di Majlis Penutup English@Masjid peringkat Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian di ruang legar masjid itu di Kota Bharu, baru-baru ini.

Program yang bermula dengan dua buah masjid pada peringkat awal dan kini dikembangkan sehingga 12 buah masjid bandar dan jajahan telah memberi manfaat kepada lebih 1,200 pelajar sekolah menengah dan rendah yang dipilih khas daripada golongan asnaf.

Inisiatif ini merupakan sebahagian gagasan Tengku Mahkota Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK, Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang amat memberi perhatian kepada program pembudayaan ilmu sebagai pemacu utama transformasi rakyat negeri itu untuk mencapai taraf sosioekonomi yang lebih baik.

Menurut Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr. Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Yayasan Islam Kelantan (YIK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang telah memberi buah fikiran seterusnya menyediakan modul pengajaran dan tenaga pengajar sukarela.

Beliau berkata, sesi pembelajaran berlangsung selama 12 minggu pada setiap pagi Jumaat dari pukul 8.30 pagi hingga 11 pagi dengan bilangan pelajar ditetapkan kepada 25 orang setiap kelas tahap rendah dan menengah.

“Misi kami adalah untuk mempertingkat pencapaian penguasaan bahasa Inggeris pelajar dan masyarakat Islam golongan asnaf di samping memperkasa institusi masjid sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan yang penting.

“Kita tidak menolak kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa Arab sebagai bahasa agama Islam tetapi bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu yang juga berperanan sebagai medium dakwah.

“Justeru bukan tujuan kita mahu mengagungkan bahasa Inggeris tetapi kita akan berasa amat bangga jika anak-anak kita boleh menguasai banyak bahasa,” katanya selepas menyempurnakan majlis penutup English@Masjid peringkat Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian di ruang legar masjid itu di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Tambah Nik Mohd. Azlan , Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian dipilih sebagai pusat latihan utama bagi guru-guru yang mengajar di masjid-masjid terlibat selain menjadi masjid pertama yang memulakan sesi pembelajaran English@Masjid tahun ini bermula Mac lalu.

Beliau berkata, kemudahan moden termasuk kelas dan projektor yang ada di setiap masjid terlibat membolehkan program itu berjalan dengan sempurna.

Sementara itu, Imam Tua Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian, Sabri Abdullah berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan program berkenaan dan memberitahu seramai 100 pelajar anak kariah masjid menyertainya tahun ini.

Katanya, mengikut sejarah, ulama silam tersohor negeri ini iaitu Tok Kenali dikatakan adalah orang yang bertanggungjawab mencadangkan agar subjek bahasa Inggeris diperkenal di Jame’ Merbau ketika itu (Ma’ahad Muhammadi Kota Bharu).

“Maknanya pada zaman ketika itu lagi ulama sudah melihat kepentingan penguasaan bahasa Inggeris hatta di sekolah aliran Arab.

“Saya berharap golongan muda yang mampu menguasai bahasa Inggeris akan menjadi ‘suara’ menyampaikan kepada orang bukan Islam termasuk masyarakat asing tentang keindahan, kedamaian serta kasih sayang yang ada dalam agama Islam,” katanya.


Tarik minat generasi muda ke masjid

Pengisian manfaat dunia dan akhirat

MASJID al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian dipilih sebagai pusat latihan utama bagi guru-guru yang mengajar di masjid terlibat. - GAMBAR HIASAN
PELAKSANAAN program English@Masjid sangat dihargai oleh golongan ibu bapa kepada pelajar yang terlibat kerana bukan sahaja membuka peluang kepada anak-anak mereka mendalami bahasa Inggeris tetapi juga mendekatkan generasi muda kepada institusi masjid.

Ibu kepada salah seorang pelajar, Ramlah Sulaiman, 44, dari Kubang Kerian berkata, anaknya, Muhammad Rafiq Danial Mohd. Isa, 10, sangat teruja setiap kali tiba hari Jumaat kerana tidak sabar mahu mengikuti kelas yang diadakan di Masjid Al-Sultan Ismail Petra Kubang Kerian itu.

“Kelas berlangsung pada waktu pagi, anak saya bukan sahaja dapat belajar bahasa Inggeris malah pihak masjid menyediakan sarapan percuma.

“Para guru juga membimbing pelajar menunaikan solat sunat dhuha sebelum kelas bermula jadi ini adalah satu tarbiah yang amat baik untuk anak saya,” katanya.

Seorang suri rumah, Anisah Wan Yusof, 30, dari Cherang pula berkata, anak keduanya Norhumairah Zainuddin, 10, dari empat beradik tidak pernah berpeluang menyertai kelas tuisyen luar sekolah sebelum ini.

“Suami saya buta dan bekerja sebagai guru tahfiz pondok, kami tidak mampu hantar anak ke kelas tuisyen walaupun dia berminat dengan bahasa Inggeris.

“Saya dapat lihat ada perubahan pada dirinya kerana dia teruja berkongsi apa yang dipelajari bersama adik beradiknya yang lain,” katanya.


Seorang lagi yang ditemui yang juga ibu tunggal, Wan Hasyaiti Azlin Wan Hassan, 37, berharap program itu akan diteruskan pada masa hadapan kerana manfaat yang besar kepada golongan asnaf.

Wan Hasyaiti Azlin dari Kampung Chicha bekerja sebagai kerani bagi menanggung kehidupannya dan tiga orang anak-anaknya.

“Saya sudah tentu mahu memberi peluang pendidikan terbaik kepada anak-anak saya, setakat ini anak sulung saya Syaza Tasnim Syamsul Adli, 10, dapat menyertai kelas ini dan saya harap adik-adiknya pada masa hadapan juga diberi peluang serupa,” katanya.

Modul Ramadan bina ketakwaan

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Puasa berkesan adalah puasa yang membuahkan takwa. Kehadiran Ramadan adalah kem latihan dan madrasah tarbiah selama sebulan yang lengkap dengan modul disediakan Allah SWT.

Adaptasi daripada modul itu boleh dikategorikan melalui beberapa perkara iaitu iman, puasa dan takwa. Begitulah kupasan Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam program Islam Itu Indah di IKIMfm mengenai ibadah puasa berkesan dalam membentuk keperibadian mulia serta menghayati pengertian puasa untuk membina ketakwaan kepada Allah SWT.

Berpuasa adalah dasar iman yang akan menjadi benih kebaikan dalam diri.

Melalui ibadah puasa, pengharapan terhadap keredaan Allah SWT menjadi keutamaan dalam menjalani ibadah puasa serta mengharapkan balasan syurga yang abadi.

Jika iman tidak dijadikan pegangan, hati tidak terdorong untuk melaksanakan fadilat dan kelebihan yang ada dalam bulan Ramadan.

Keyakinan itu membawa umat Islam menyatakan Allah SWT itu ada dan percaya ganjaran pahala yang diberikan-Nya.

Proses ibadah puasa bermula daripada niat yang membawa kepada tanggapan yang betul. Berpuasa ialah menahan nafsu supaya tidak terjerumus dengan amalan yang dimurkai Allah SWT dan digunakan ke arah kebaikan.

Bukan ibadah bermusim

Selain ganjaran pahala berlipat ganda, puasa juga bermanfaat terhadap tubuh badan supaya menjadi sihat. Pemakanan mengikut masa yang betul serta pengambilan makanan sunah menjadi keutamaan sepanjang bulan Ramadan.

Puasa tidak sewajarnya ditafsirkan sebagai adat atau ibadah bermusim di mana ada sebahagian umat Islam masih menganggap puasa lebih penting daripada solat.

Pendidikan fardu puasa perlu diterapkan kepada setiap umat Islam sejak kecil.

Puasa boleh menjadi benteng daripada melakukan amalan tidak disukai Allah SWT seperti mengawal nafsu serta mendidik hati supaya iman menjadi teguh.

Mendidik nafsu boleh dilakukan dengan qiamullail, membaca al-Quran dan bersedekah. Kawalan dan didikan ini juga baik kepada akal dan hati kerana tidak lagi membenarkan mata sebagai jendela untuk melihat perkara nafsu.

Elemen itu menjadi latihan yang akan memenatkan hawa nafsu supaya terus beribadah, elak melakukan maksiat.

Bimbing manusia asas ibadah sempurna

Segala bebanan diberikan terhadap nafsu ini penting dalam memandu diri kepada zon selamat daripada kejahatan.

Umat Islam juga perlu diingatkan untuk terus menjadi hamba Allah SWT dan melakukan segala suruhannya.

Iman dan puasa ini merangkumi satu proses tarbiah yang membimbing manusia kepada asas ibadah sempurna serta menjadikan perjalanan sepanjang Ramadan sebagai institusi pendidikan untuk melahirkan Muslim bertakwa.

Konsep takwa akan terus menjadi ilmu dan cahaya kebenaran buat umat Islam ke arah meraih pahala dan balasan syurga yang Allah SWT janjikan.

Istiqamah dalam memburu ganjaran kebaikan daripada ibadah puasa pada bulan Ramadan al-Mubarak ini membolehkan umat Islam melaksanakan puasa yang berkesan. Syafiq Salleh Berita Harian Rencana Khamis, 9 Jun 2016 @ 7:29 AM