June 12th, 2016

Semarakkan Ramadan dengan 
al-Quran , Membaca al-Quran erat silaturahim,

Membaca al-Quran erat silaturahim

MELIHAT kepada suasana di negara kita, sepanjang Ramadan masjid, surau, madrasah dan rumah diisi amalan mengaji al-Quran.

Bertadarus al-Quran menjadi amalan pada bulan puasa sama ada dilakukan secara individu atau berkumpulan bagi mengimarahkan bulan penuh keberkatan.

Meneruskan tradisi sejak tahun 2006, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) menganjurkan program Tadarus al-Quran 2016 secara percuma yang terbuka kepada umat Islam di sekitar Lembah Klang bermula 28 Mei lalu hingga 25 Jun ini, dari jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.


PROGRAM tadarus al-Quran yang diadakan di Muzium Kesenian Islam, Kuala Lumpur.


Pengurus Jabatan Pendidikan MKIM, Rozela Mohamad Dahalan berkata, program yang masuk tahun ke-11 itu bertujuan memberi pengisian kerohanian pada bulan Ramadan selain menggalakkan pemahaman lebih mendalam mengenai isi kandungan al-Quran kepada peserta.

Katanya, selain membaca al-Quran beramai-ramai yang dipimpin oleh lapan imam terkenal di Wilayah Persekutuan dan Selangor, peserta dapat mendengar tazkirah berkaitan fadilat membaca al-Quran serta mendalami kisah di dalam disampaikan Allah SWT melalui firman-Nya itu.

"Kita gembira kerana program tadarus al-Quran yang dianjurkan setiap tahun di MKIM ini terus mendapat sambutan. Setiap hari kita menerima kehadiran 40 hingga 50 peserta dan jumlah bertambah hingga 80 peserta pada hujung minggu," katanya.

Galak bukan Islam dengar bacaan

Sementara itu, Imam Istana Negara, Zulkefli Salleh, yang mengetuai sesi tadarus pada hari itu berkata, setiap ruang yang disediakan untuk membaca serta mendalami al-Quran hendaklah digunakan sebaiknya termasuk majlis tadarus al-Quran anjuran pihak tertentu sebagai aktiviti mengimarahkan Ramadan.

Beliau berkata, selain berpuasa, menunaikan solat Tarawih, umat Islam dituntut untuk menghidupkan Ramadan dengan membaca al-Quran yang menyimpan banyak cerita gembira termasuk kisah nabi untuk memberi inspirasi dalam usaha mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Memetik isi kandungan tazkirah yang disampaikan, beliau mengulas kisah terkandung dalam juzuk ketujuh iaitu surah al-Maidah mengenai golongan Yahudi yang sentiasa memusuhi Nabi Muhammad SAW serta umat Islam.

Zulkefli turut menyarankan MKIM mengajak pengunjung bukan Islam yang datang melawat untuk melihat majlis tadarus al-Quran di Galeri Khas 2 MKIM kerana kehebatan al-Quran perlu diperluaskan kepada semula lapisan masyarakat dengan latar belakang berbeza.

"Ada cerita orang bukan Islam menangis selepas mendengar bacaan al-Quran. Kehebatan al-Quran, ada ayat memberitahu jika bukan Islam datang meminta perlindungan hendaklah kita beri. Semoga Allah SWT memberi ketetapan pada hati mereka," katanya.

Dua juzuk sehari

Semangat bertadarus pada bulan Ramadan terus dikongsi sekumpulan wanita di Sungai Kantan, Kajang, yang sudah menganjurkan aktiviti berkenaan lebih 20 tahun lalu untuk mengimarahkan bulan yang dikenali sebagai bulan al-Quran ini.

Apabila tiba Ramadan, menjadi kewajipan bagi kumpulan wanita berusia 60 tahun hingga 80 tahun yang sudah fasih membaca al-Quran itu untuk membaca dua juzuk sehari bersama-sama bermula jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Setiap tahun majlis tadarus itu diadakan di surau Islahiah Sungai Kantan, tetapi disebabkan surau berkenaan sedang diubah suai, maka majlis tadarus diadakan di rumah salah seorang peserta, Salmiah Acheh, 63.

Menurut Salmiah, aktiviti bertadarus memberi peluang kepada beliau dan rakan terdiri daripada kalangan pesara untuk mengeratkan silaturahim kerana walaupun duduk di kawasan yang sama tetapi mereka jarang berjumpa.

"Justeru, kesempatan bertadarus bersama diambil untuk berkumpul dan mengulang kaji serta memperbetulkan bacaan masing-masing.

Kegembiraan bagi kami dapat membaca al-Quran bersama-sama diikuti perkongsian mengenai inti pati kisah dalam surah yang dibaca," katanya.


Semarakkan Ramadan dengan 
al-Quran

BULAN Ramadan yang sedang kita lalui mempunyai banyak keistimewaan. Antaranya, ia adalah bulan di mana al-Quran diturunkan untuk memberi petunjuk yang membezakan yang benar dan yang salah kepada manusia.

Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 185).

Penurunan al-Quran itu berlaku pada dua peringkat. Yang pertama, dari Luh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah (langit dunia). Kedua, dari langit dunia kepada Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh sejak baginda SAW diangkat menjadi rasul sehingga baginda wafat iaitu selama 23 tahun.

Justeru dapat kita lihat di banyak masjid dan surau dalam negara kita diwujudkan kumpulan tadarus yang biasanya membaca al-Quran selepas tamat solat tarawih atau selepas subuh. Alhamdulillah, usaha membudayakan al-Quran sebegini amat dialu-alukan.

Cuma yang perlu diberi perhatian adalah, aspek pengajaran atau mentadabbur isi kandungan kitab suci itu. Al-Quran bukan hanya untuk dibaca dan dilagukan. Lebih utama adalah memahami dan mempraktikkan isi kandungannya untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Oleh yang demikian, jangan pula wujud ‘perlumbaan’ sesama ahli tadarus. Seolah-olah mahu mencari kumpulan mana khatam dulu. Sehinggakan melanggar dan tidak mempedulikan hukum tajwid di dalamnya.

Sepatutnya, peluang ini mesti bermatlamat serampang dua mata. Selain menggalakkan pembacaan al-Quran ia juga menjadi platform untuk membetulkan dan memperbaiki sebutan atau makhraj huruf, panjang pendek bacaan dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, perlu ada inisiatif bagi menarik golongan remaja untuk sama-sama bertadarus al-Quran dan juga remaja ‘kaki masjid’. Barangkali sedikit imbuhan yang biasanya disampaikan dalam majlis pada malam nuzul al-Quran boleh menarik minat mereka. Wujudkanlah anugerah seperti remaja paling banyak membaca al-Quran; tokoh remaja masjid; remaja contoh dan sebagainya.

Lebih utama, kita harapkan al-Quran akan menjadi pemberi syafaat kepada kita sebagai pembacanya. Ia sebagai mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Bacalah oleh kamu al-Quran, sesungguhnya ia datang pada hari kiamat menjadi syafaat kepada pembacanya. (Riwayat Muslim)

Bagi yang merangkak-rangkak membaca al-Quran janganlah gundah gulana. Pastinya anda akan gembira selepas mengetahui sabda nabi SAW yang bermaksud: ...Orang yang membaca al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap, dia akan mendapat dua pahala. (Riwayat Muslim)

Untuk itu, mari kita berazam sekurang-kurangnya sekali khatam al-Quran dalam Ramadan kali ini. Bagi merealisasikannya, kurangkan masa berinternet melayari laman-laman sosial yang tidak bermanfaat.

Peruntukan masa 10 minit setiap kali selepas solat fardu sekadar membaca dua muka surat. Dengan demikian insya-Allah kita dapat mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya sekali dalam Ramadan.

Inilah sasaran paling minimum yang perlu ada dalam kalangan umat Islam. Bandingkan pula dengan Imam Syafi’erahimahullah yang khatam al-Quran 60 kali pada setiap Ramadan dan 30 kali dalam bulan-bulan lain.
Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 10 Jun 2016 6:15 PM