June 18th, 2016

Persediaan kesihatan, perubatan jemaah haji Bakal haji mesti sihat tubuh badan

PANGGILAN untuk menjadi tetamu Allah merupakan peluang dan kesempatan yang dinantikan oleh semua umat Islam. Persiapan rapi perlu dilakukan oleh bakal haji terutama dari segi ibadah dan kesihatan.

Ibadah haji bukan hanya memerlukan persediaan berkaitan ibadah sahaja, tetapi persiapan dari segi kesihatan seperti fizikal dan kekuatan mental amat diperlukan bagi menjamin kesempurnaan ibadah seterusnya mendapat haji yang mabrur.


PERSEDIAAN KESIHATAN DI TANAH AIR

Pemeriksaan Kesihatan – mematuhi peraturan Kerajaan Arab Saudi.


  • Semua bakal haji wajib menjalani dan lulus pemeriksaan kesihatan

  • Ia penting untuk pengesanan awal penyakit supaya rawatan sewajarnya dapat diberikan serta penyakit distabilkan sebelum bertolak ke Tanah Suci.

  • Dapatkan suntikan vaksin wajib Meningococcal Quadrivalent Vaccine ACYW-135 setelah lulus pemeriksaan kesihatan.

  • Rekod status kesihatan dan rawatan bakal haji akan menjadi rujukan petugas perubatan di Tanah Suci.

Memahami keadaan di tanah suci.


  • Terutama dari segi cuaca, bentuk muka bumi dan proses pergerakan, bakal haji akan lebih mengambil berat persediaan kesihatan mental dan fizikal.

Persediaan fizikal.


  • Haji merupakan ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal kerana jemaah perlu banyak berjalan kaki untuk ke tempat ibadah terutama semasa di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

  • Mulakan senaman ringan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum bertolak seperti berjalan kaki selama 30 minit setiap hari. Senaman menguatkan otot kaki juga amat digalakkan.

  • Bagi Jemaah yang mempunyai masalah fizikal untuk bersenam, dapatkan nasihat daripada fisioterapi untuk pergerakan yang sesuai.

Persediaan Mental


  • Rehat secukupnya terutama ketika hampir dengan jadual berlepas.

  • Kawal tekanan perasaan dengan membaca al-Quran dan berzikir.

  • Amalkan teknik latihan pernafasan iaitu tarik nafas melalui hidung sedalam mungkin dan hembus nafas melalui mulut secara perlahan. Ulang sehingga rasa selesa dan tenang.

Penahan haid


  • Ubat ini tidak digalakkan dan jika terpaksa atas faktor kesihatan, dapatkan nasihat doktor sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum ke Tanah Suci.

Persediaan peribadi


  • Kasut/Selipar - pilih yang bersesuaian untuk mengelak daripada melecet atau luka. Elakkan membawa kasut baharu yang belum digunakan dan selipar bertapak licin.

  • Cermin mata - jika mampu, sediakan cermin mata gantian. Penggunaan kanta lekap tidak digalakkan kerana keadaan cuaca yang berdebu dan berpasir.

  • Krim pelindung matahari - persediaan untuk cuaca panas, jangan guna krim yang mempunyai wangian bagi mengelak rasa was-was.

  • Pemakanan - amalkan diet sihat dan seimbang, rujuk pakar untuk diet bersesuaian berdasarkan umur, fizikal, status kesihatan dan lain-lain.

  • Berat badan - cuba dapatkan berat badan ideal.

  • Berhenti merokok - ia bukan sahaja membahayakan kesihatan malah dilarang oleh kerajaan Arab Saudi semasa berada di Tanah Suci.

  • Rekod kesihatan dan ubatan - pastikan ubatan-ubatan sentiasa dibawa untuk rujukan ketika mendapatkan rawatan di Tanah Suci. Bagi pesakit kronik, bawa bekalan ubat secukupnya dan dapatkan nasihat doktor untuk cara penyimpanannya.

NASIHAT KESIHATAN DI TANAH SUCI


  • Minum air secukupnya (3-4 liter sehari) kecuali pesakit yang dihadkan pengambilan air oleh doktor.

  • Jaga kebersihan seperti kerap basuh tangan, sentiasa bawa tisu, tutup mulut jika batuk atau bersin, jangan berkongsi tuala, pinggan dan kerap mandi.

  • Jika tiada keperluan, jauhi tempat yang sesak dan jika terpaksa, gunakan topeng muka serta berhati-hati ketika menaiki tangga bergerak.

  • Elakkan makan makanan yang lama (lebih dua jam), dan makanan dari penjaja di tepi jalan untuk mengurangkan risiko keracunan makanan.

  • Bagi pesakit kronik, makan ubat mengikut waktu ditetapkan.

  • Jauhi risiko keletihan panas (heat exhaustion) dan komplikasi kejutan panas (heat stroke)

  • Minum air secukupnya kerana kurang air dan garam mineral dalam badan merupakan penyebab komplikasi heat stroke.

  • Elak terdedah secara terus kepada cahaya matahari

  • Kurangkan pergerakan yang menggunakan banyak tenaga semasa cuaca panas

  • Pakai pakaian yang longgar dan tidak tebal.

  • Sediakan tuala basah

  • Dapatkan rawatan perubatan segera sekiranya tanda dan gejala keletihan/kejutan panas iaitu :

        1. Tidak berpeluh walau cuaca panas

        2. Suhu badan meningkat melebihi >40°C

        3. Pening dan sakit kepala atau keliru

        4. Kulit panas, kering dan kemerahan

        5. Loya dan muntah

        6. Kekejangan otot, pitam atau sawan

Risiko Jangkitan Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (Mers-CoV)


  • Golongan berisiko - bakal haji berumur 60 tahun ke atas, wanita hamil, obesiti, individu menghidap penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, asma, masalah jantung dan buah pinggang.

  • Masih belum ada vaksin untuk melawan jangkitan MERS-CoV dan tiada rawatan khusus.

  • Tanda dan gejala utama - demam, sukar bernafas dan cirit birit

  • Langkah pencegahan, elak:

     1. Menjamah makanan mentah/tidak dimasak

     2. Menjamah buah-buahan/ sayur yang tidak dibasuh

     3. Meminum minuman daripada bekalan air tidak dirawat

     4. Melawat ladang haiwan dan menyentuh haiwan (khususnya unta)

     5. Mendekati/menyentuh orang sakit

Dengan melakukan persediaan awal di samping mengikut nasihat-nasihat yang telah diberikan, diharap semua bakal haji dapat menjalani ibadah dengan sempurna dan memperoleh haji mabrur.

-

Masjid Pusat Ekonomi Ummah

SEPANJANG bulan Ramadan kita melihat terdapat banyak kawasan masjid yang dija-
dikan sebagai tempat ba-
zar jualan pelbagai jenis makanan. Malah ini juga menjadi punca pendapatan kepada masjid-masjid yang menawarkan tapak untuk disewa kepada peniaga-peniaga setempat.



MENGANGKAT martabat masjid, bukan sekadar tempat ibadat wajib, tetapi juga ibadah-ibadah lainnya termasuk mendorong pembangunan ekonomi yang berterusan dan membantu mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan. GAMBAR HIASAN

Sekali imbas, kita dapat melihat bazar Ramadan juga menjadi tempat untuk pembangunan ekonomi semasa yang melahirkan peniaga dan usahawan segera dengan mendapat pulangan pendapatan yang besar dan menguntungkan. Adanya tapak-tapak perniagaan seperti ini juga dapat membantu membangunkan semangat berniaga dan keusahawanan dalam kalangan masyarakat apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang agak suram dan peluang pekerjaan yang makin sukar.

Sekali gus menunjukkan juga bahawa orang Islam mampu untuk memajukan diri dalam perniagaan jika diberi peluang dengan sewajarnya. Pihak-pihak yang terlibat dalam pengurusan pentadbiran pelbagai institusi Islam perlu melihat peluang ini dengan serius dan mencari jalan untuk memanfaatkannya sebaik mungkin.

Malangnya, usaha ini seringkali berakhir apabila tamatnya Ramadan. Sesetengahnya menganggap kesukaran untuk menguruskan tapak-tapak perniagaan seperti ini menjadi alasan kenapa usaha se­perti ini sukar untuk dilestarikan.

Sedangkan masjid adalah institusi pertama dibangunkan ketika hijrah Rasulullah SAW. Masjid sewajarnya menjadi institusi pembangunan ekonomi yang kental dan dibangunkan potensi yang ada dengan sebaik mungkin.

Apatah lagi di negara ini, masjid menjadi satu-satunya institusi yang wujud hampir di setiap daerah di seluruh negara. Masjid sepatutnya menjadi institusi yang menyatukan umat Islam dan berupaya membangunkan jaringannya sendiri secara teratur dan profesional, memanfaatkan teknologi komunikasi maklumat dan menggunakan setiap ruang sekitarnya untuk membangunkan ekonomi ummah secara menyeluruh.

Bayangkan apabila masjid-masjid kita diurus secara profesional dengan pangkalan data yang lengkap untuk menyimpan pelbagai maklumat dalam membangunkan masyarakat. Masjid-masjid kita mempunyai pelbagai maklumat tentang penduduk di kariahnya, dengan profil yang lengkap tentang masyarakat sekitar, bilangan kepakaran yang ada serta pelbagai maklumat lain yang boleh digunakan serta dimanfaatkan termasuk kumpulan peniaga dan usahawan yang ada.

Masjid boleh menjadi sumber kekuatan luar biasa dengan membantu mereka yang menjalankan perniagaan dengan menghubungkannya dengan masyarakat sekeliling, menawarkan perniagaan secara atas talian, membangun peruncit dan petani dalam memasarkan produk, mengadakan penghantaran ke rumah dan sebagainya sekali gus menyatukan komuniti yang berada dalam kariah berkenaan.

Gerai-gerai jualan dibangunkan secara bersesuaian atau kerap membuka tapak untuk memberi peluang kepada mereka yang ingin menceburi perniagaan kecil-kecilan. Malah juga menjadi medan untuk penawaran pelbagai perkhidmatan yang meng-hubungkan dengan pelbagai kumpulan pelanggan.

Begitu juga dengan masjid menyediakan pelbagai kumpulan sokongan untuk memajukan ekonomi mahu pun sosial. Misal-nya, pakar-pakar dalam bidang ekonomi, pengurusan dan pendidikan boleh bergabung tenaga untuk sesekali membantu mewujudkan peluang latihan dengan berpusatkan masjid malah menjadi tempat rujukan dengan menyediakan kumpulan sokongan dalam bidang kaunseling dan khidmat sokongan lain termasuk dalam menangani penyakit mental dalam kalangan masyarakat.

Jika masjid-masjid kita dihubungkan di seluruh negara dengan teknologi komunikasi dan maklumat, melalui Internet dan juga pelbagai media sosial, banyak lagi yang boleh dikongsi bersama-sama seluruh umat Islam yang ada. Jarak dan tempat bukan lagi menjadi masalah dan halangan. Bukan sahaja peringkat negara malah boleh juga diterokai pada peringkat global dengan menghubungkannya dengan masjid-masjid lain di seluruh dunia.

Semua usaha ini juga mampu untuk mengangkat martabat masjid, bukan sekadar tempat ibadat wajib, tetapi juga ibadah-ibadah lainnya termasuk mendorong pembangunan ekonomi yang berterusan dan membantu mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan. Bukan sahaja diimarahkan oleh ceramah dan pendidikan agama untuk mendekatkan diri dengan Tuhan tetapi juga sebagai pusat pembangunan masyarakat yang menyeluruh dan bersepadu.

Ini juga mampu menjadikan masjid-masjid kita sebagai institusi contoh yang berupaya untuk berdikari dan membangunkan persepsi Islam yang hebat serta membuktikan kesyumulan Islam sebagai cara hidup yang syumul. Transformasi peranan masjid ini mampu mengubah seluruh persepsi terhadap Islam dan umatnya.

Oleh itu, masjid sebagai medan perniagaan seperti bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini seharusnya dikembangkan lagi dalam pelbagai aspek lain agar benar-benar mencerminkan institusi utama seperti yang dikehendaki agama. Sekali gus akan lebih banyak menarik masyarakat kepada masjid termasuk dalam kalangan bukan Islam sebagai satu medan dakwah. Tidak ada yang mustahil jika kita serius dan benar-benar berusaha untuk merealisasikannya

Pahala Ramadan atasi mati syahid

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan dengan penuh ke­imanan dan mengharap pahala dari Allah, akan diampunkan dosanya yang lalu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini memang popular apabila tiba bulan Ramadan. Ia sebagai galakan untuk orang mukmin beribadat kerana ganjarannya amat besar iaitu jaminan pengampunan dosa. Apabila bebas dosa, maka syurgalah tempat orang itu.

Yang dimaksudkan berpuasa atas dasar iman iaitu berpuasa kerana menyakini akan kewajipan puasa. Sedangkan yang dimaksudkan ihtisab adalah mengharap pahala dari Allah SWT. (Lihat Fathul Bari, 4: 115).

Ramadan selain daripada bulan mulia juga menjanji­kan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Buat perkara sunat diberi pahala fardu. Buat yang fardu diberi ganjaran sehingga 70 kali ganda.

Selain itu, amalan bulan Ramadan juga menjadikan seseorang itu lebih dahulu masuk syurga berbanding orang yang mati syahid. Inilah satu kelebihan yang disebut di dalam sebuah hadis Nabi SAW. Semuanya kerana gandaan pahala dan rahmat dalam Ramadan.

Diriwayatkan dalam hadis baginda SAW kisah dua saudara lelaki yang sama-sama memeluk Islam. Kedua-dua mati dalam husnul khatimah tetapi berbeza darjat disebabkan umur berbeza dan kerana Ramadan.

Dari Talhah bin ‘Ubaidillah bahawa dua lelaki dari Baliy datang kepada Rasulullah SAW dan keduanya masuk Islam bersama-sama. Salah seorang dari keduanya lebih giat daripada yang lain.

Orang yang sangat giat dari keduanya itu ikut berperang lalu mati syahid. Sedangkan yang lainnya hidup setahun setelahnya, lalu meninggal dunia. Thalhah berkata, “Aku bermimpi, ketika aku sedang berada di pintu syurga, aku melihat keduanya. Tiba-tiba ada seseorang keluar dari dalam syurga, lalu mengizinkan orang yang mati terakhir dari keduanya (untuk masuk syurga lebih dahulu, lalu orang itu masuk lagi ke dalam syurga). Lalu dia keluar lagi dari syurga, lalu mengizinkan orang yang mati syahid (untuk masuk syurga). Lalu dia menemuiku kemudian berkata, “Kembalilah, sesungguh­nya belum datang waktu untukmu (boleh masuk syurga)”.

Esoknya, Thalhah menceritakan kepada orang ramai dan mereka kehairanan terhadapnya. Hal itu sampai kepada Rasulullah SAW, mereka menyampaikan cerita itu kepada baginda SAW. Maka Nabi SAW bersabda, “Dari sisi mana kamu hairan?” Mereka menjawab, “Wahai Rasulullah SAW, orang yang satu ini lebih kuat amal dari yang lain, lalu dia juga mati syahid, tetapi orang yang terakhir (mati) itu masuk syurga lebih dahulu?”

Maka Rasulullah SAW bersabda, “Bukankah dia (orang yang terakhir mati itu) masih hidup setahun setelahnya?”

Mereka menjawab, “Ya”. Baginda bersabda lagi, “Dan (bukankah) dia telah menemui Bulan Ramadan lalu ber­puasa Ramadan, dan dia telah melakukan solat sekian banyak sujud di dalam setahun?”

Mereka menjawab, “Ya”. Maka Rasulullah SAW ber-sabda, “Jarak antara keduanya lebih jauh dari jarak antara langit dan bumi”. (Riwayat Ibnu Majah)

Justeru, marilah kita berlumba-lumba beribadat dalam bulan yang mulia ini. Gunakanlah umur kita yang masih tersisa ini untuk istiqamah melakukan ibadat terutama solat fardu berjemaah, membaca dan mentadabbur al-Quran, membanyakkan solat sunat rawatib dan tarawih serta qiamullail.

Semoga kita mendapat pengampunan dan menjadi insan mukmin cemerlang dengan memperoleh syurga Allah SWT kelak. Lagipun, belum tentu kita akan bertemu Ramadan tahun depan. - Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 17 Jun 2016 6:15 PM

Penetapan waktu solat ikut ketinggian tempat

Kuala Lumpur: Penetapan jadual waktu solat bagi kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah mengambil kira faktor ketinggian dua bangunan tertinggi, Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar PETRONAS.

Menara Kuala Lumpur memiliki ketinggian 421 meter, manakala Menara Berkembar setinggi 88 tingkat mencecah ketinggian 452 meter.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kedudukan titik rujuk paling barat di ibu negara yang terletak di Kampung Gedangsa meliputi ketinggian bangunan tinggi di wilayah itu.

Kajian sejak 2013

Katanya, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Ukur dan Pemetaan serta Universiti Malaya melakukan kajian waktu solat bangunan tinggi seawal 2013 di Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas.

Kajian itu membabitkan waktu syuruk (terbit) dan ghurub (terbenam) matahari. "Secara amnya ketinggian bangunan di Malaysia tidak setinggi Burj Khalifa di Dubai, manakala bagi tanah tinggi, Jabatan Mufti negeri sudah menyediakan jadual waktu solat dan waktu imsak serta berbuka puasa secara zon berasingan iaitu zon tanah tinggi atau dinyatakan keperluan menambah kadar minit tertentu dalam jadual waktu solat yang dikeluarkan.

Terdapat perbezaan waktu di antara mereka yang berada di bangunan atau tanah tinggi berbanding tanah rata. - Gambar hiasan


Ada perbezaan waktu

"Pihak berkuasa agama dan institusi pengajian tinggi sentiasa mengambil perhatian dan melakukan kajian falak bagi memastikan umat Islam di negara ini mendapat panduan yang baik dan tepat," katanya kepada BH, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Besar Dubai, Ahmad Al Haddad mengenai perbezaan waktu solat bagi aras tertentu bangunan Burj Khalifa di Dubai yang mempunyai ketinggian 828 meter, 160 tingkat dengan ke dudukan masjid tertinggi di dunia di tingkat 152.

Zulkifli berkata, fatwa Mufti Besar Dubai itu tidak bercanggah dengan kaedah falak, namun realiti di Malaysia tidak terdapat bangunan setinggi itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat banyak bangunan pencakar langit di ibu negara dan kawasan tanah tinggi antaranya di Pahang, Pulau Pinang dan Kedah.

Katanya, secara asas terdapat perbezaan waktu di antara mereka yang berada di bangunan atau tanah tinggi berbanding tanah rata.