June 19th, 2016

Fikir secara positif elak simpan dalam hati

Berfikir adalah satu fitrah selagi kita hidup dan bernafas, maka berfikirlah dengan bijak dalam membuat pilihan kehidupan. Jaga minda kita, jangan izinkan walau sedetik pun fikiran negatif berada dalam fikiran kita. Jika fikiran negatif itu datang walau sekilas cuma, cepat-cepat cantas dan balaskan dengan fikiran positif. Fokus hanya perkara yang positif dan padamkan sama sekali semua gambaran, perasaan dan fikiran negatif sama ada dalam minda atau dalam hati.

Seterusnya berhati-hati dengan jangkaan fikiran kita. Jangkakan perkara yang baik-baik sahaja dalam fikiran kita. Setiap hari masuklah ke bilik minda kita, pejamkan mata dan jadilah pemerhati diri kita, sebelum kita tidur renung dan lihat akhlak kita dari mula kita mencelikkan mata pada pagi hari hinggalah malam menjelang sebelum kita tidur. Nilai diri kita sendiri sebelum kita lelapkan mata, apakah sistem akidah kita? Adakah sempurna akidah dan ibadah kita? Adakah lembut akhlak kita? Adakah kita sibuk untuk menarik perhatian untuk dipuji atau bukan sibuk hendak memberi perhatian? Jom audit diri kita setiap hari.

Allah menjadikan manusia melebihi makhluk lain dengan mengurniakan akal untuk berfikir. Bagi orang yang suka berfikir dan melihat suruhan Allah secara saintifik, kita akan dapat melihat kebesaran Allah SWT tiada tandingannya dengan kehebatan manusia. Contohnya tentang makanan dan proses pemakanan yang mesti kita lakukan setiap hari kecuali berpuasa. Setiap makanan yang kita ambil dipecahkan menjadi molekul glukos/gula, dan makanan itu dipecahkan oleh sistem pencernaan kita. Kita mendapat tenaga daripada proses pemakanan itu yang akan pergi ke seluruh sel dan menjana tenaga, yang memboleh organ kita melaksanakan tugasnya. Iaitu mata untuk melihat, jantung untuk mengepam dan kaki untuk bergerak dan sebagainya. Semuanya itu membuktikan kebesaran dan kehebatan Allah SWT.

Maka, dengan fikiran itu, jadilah kita orang yang sangat berinformasi, dan faham akan setiap apa yang kita lakukan. Khususnya dalam ibadah, maka kita akan bertambah khusyuk dan tawaduk, kerana kita melakukannya dengan fikiran dan pengetahuan. Umpamanya pergerakan dalam solat, menurut kajian saintifik sangat bagus terhadap koposisi jantung, gelombang otak dan lutut. Solat merupakan satu proses fisioterapi dan terapi diri manusia.

Dengan pengetahuan itu, kita sedar setiap hari kita perlu melakukan lima perkara lazim yang mampu memberi kesan baik kepada kesihatan badan, selain atas tujuan utama untuk mendapat pahala kerana mengerjakan perintah Allah SWT. Pertama, kena kerap bersolat. Solat wajib jangan tinggal dan solat sunat diperbanyakkan. Lakukan solat tersebut dengan penuh tertib dan khusyuk. Kedua, fahami apa yang dibaca dalam rukun solat. Ketiga, bersolat berjemaah. Keempat, kerjakan rukuk 90 darjah, dan jangan lakukan rukuk dalam bentuk nombor tujuh (rukuk yang tidak lengkap dan tidak sempurna). Kelima, dibengkokkan ibu cari kaki ketika duduk antara dua sujud dan semasa sujud.

Melakukan sujud yang betul dari segi fisioterapi dan terapi menunjukkan, pada waktu itulah lemak-lemak di bawah kaki kita dapat dikurangkan. Solat membantu proses menguruskan badan, kerana hasil kajian setiap hari 15 rakaat solat yang kita lakukan dengan khusyuk dan tawaduk kerana Allah, umpama senaman/regangan 30 minit. Denyutan jantung akan sangat tinggi ketika kita berdiri, apabila rukuk denyutan jatung rendah, dan ketika sujud denyutan jantung sangat rendah. Maka itu kita digalak untuk lebih lama bersujud. Memahami maksud bacaan dalam solat menjadikan kita bersolat dengan hati, kekhusyukan semakin bertambah, hati/emosi akan lebih tenang dan suci. Hasil daripada kesempurnaan solat selain ganjaran pahala daripada Allah SWT, tindak-tanduk kita dalam kehidupan seharian dengan sesama manusia juga akan positif.

Hidayah

Ingatlah bahawa, cara kita berfikir menentukan tindakan kita. Sekarang kita berada dalam bulan Ramadan, kita diwajibkan melaksanakan ibadah puasa. Apakah yang kita fikirkan tentang puasa? Kalau kita fikirkan puasa itu suatu bebanan, maka tindakan kita juga tidak akan menjurus kepada kebaikan. Sebaliknya kalau kita fikirkan Ramadan ini bulan mulia, bulan beramal dan bulan keampunan kita akan menyambut ketibaan Ramadan dengan kegembiraan dan melepasnya Ramadan berlalu dengan kesedihan. Orang yang mendapat hidayah Allah akan ternanti-nanti ketibaan Ramadan untuk melaksanakan ibadah puasa kerana Allah dan berlumba mengerjakan kebaikan untuk mendapat pahala.

Sesungguhnya setiap amal ibadah yang kita lakukan jangan dilakukan secara fizikal sahaja tetapi lakukanlah dengan hati. Orang yang melakukan ibadah dengan hati tidak akan berasa terbeban dengan setiap perintah Allah. Maka mohonlah kepada Allah agar Allah menambahkan ketakwaan hati kita dan meringankan tubuh fizikal kita untuk beribadah kepada-Nya. Apabila kita hendak menuju kebaikan, Allah akan datangkan kita dengan orang yang boleh membawa kita ke arah kebaikan, seperti teman atau sahabat-handai. Imam al-Syafiie berpesan, “Jika engkau punya teman yang selalu membantumu dalam rangka ketaatan kepada Allah; maka peganglah dia erat-erat dan jangan sesekali kau lepaskannya. Kerana mencari teman baik itu susah. Tetapi melepaskannya sangat mudah sekali.”

Namun begitu, dalam mendapatkan kekhusyukan beribadah ini kita jangan fokus kepada amalan sahaja tetapi fokus kepada akidah. Contohnya dalam ibadah puasa, kita bukan fokus kepada puasa sahaja tetapi fokus kenapa kita kena berpuasa? Begitu juga kepada anak-anak, sering berlaku kepada ibu bapa asyik menyuruh anak berpuasa, tetapi tidak pula ibu bapa tentukan anak-anak mesti bersolat sejak mereka kecil. Kita mesti tanamkan dalam minda anak-anak, mengapa kita sebagai orang Islam wajib bersolat dan berpuasa, bukan untuk mendapat habuan dunia (tidak dapat duit raya kalau tidak berpuasa), tetapi untuk mendapat pahala.

Pahala itu daripada Allah SWT yang menjadikan kita dan mengusai seluruh alam ini, maka barulah berlaku proses menanam akidah dalam minda anak-anak. Sebutlah dosa pahala dahulu kepada anak-anak, iaitu “kenapa kita kena lakukan” bukan “apa yang kita kena lakukan”. Maka barulah terjentik hati anak-anak bahawa dalam hidup ini ada tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah untuk melakukan suruhan Allah sebagai tanda ketakwaan kita kepada-Nya. Bayangkan anak-anak yang telah disemaikan keimanan sejak dari akarnya akan tumbuh membesar dengan sempurna – kerana subur pokoknya kerana akarnya. Demikianlah betapa pentingnya kita berfikir dan menilai dengan hati atas setiap kejadian Allah dan atas setiap perintah-Nya. - Dr Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 19 Jun 2016 6:00 PM

Rakyat Malaysia beruntung, Ramadan, Nuzul al-Quran dan Piala Eropah

Ramadan, Nuzul al-Quran dan Piala Eropah

Tahun ini, Ramadan yang sedang kita hayati akan banyak dugaan dan godaan. Godaan yang tidak kalah hebatnya selain cuaca panas, boleh saja berlaku kepada diri kita dengan adanya Piala Eropah yang sekarang berlangsung di Perancis. Sebenarnya, bukan bermaksud kita mahu menyalahkan dunia bola sepak yang amat disukai ini akan tetapi kita risau, kita tewas kepada pesona Piala Eropah sehingga kita terkial-kial menjalankan semua ibadah dalam bulan penuh pengampunan itu.

Kita amat risau akan lebih tergoda ‘berqiyamullail’ di de­pan TV berbanding qiyamullail dan menyambut ke­da­tangan lailatulqadar yang amat dinanti-nantikan pada bu­lan Ramadan ini. Hakikatnya semua orang Is­lam mengetahui malam itu disebut dengan lailatulqadar, suatu malam yang dinilai oleh al-Quran malam yang pe­­­­nuh barakah dan malam yang lebih baik daripada seribu bu­lan. Lailatulqadar sangat dimuliakan oleh umat Islam ke­ra­na pada malam tersebut turun rahmat dan kebaikan dari Allah SWT kepada umat-Nya. Maknanya sudah tentu kualiti ibadat kita dalam mengejar lailatulqadar akan terganggu apabila kita berkongsi perhatian dengan aktiviti peristiwa lain.

Tidak lama lagi, umat Islam juga akan berada dalam sua­sana memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran). Peringatan ini bagi kita kaum Muslimin amat penting kerana kita memperingati peristiwa besar yang terjadi pada sekitar 14 abad yang lalu.

Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita ber­ke­yakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah satu-satunya rahmat yang se­be­sar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam. Kalau kita sekarang ini sedang berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah SWT secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran.

Penghormatan ini ber­lang­sung satu malam sun­tuk dengan tenang dan aman damai sehingga ter­bit­nya fajar pagi. Sengaja digam­barkan oleh Allah SWT dengan kata 'salam’ akan ketenangan malam yang semalaman itu se­ba­gai kiasan daripada me­sej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu per­da­mai­an.

Inilah satu penghor­ma­tan yang begitu besar yang pernah terjadi da­lam coretan seluruh seja­rah kemanusiaan. Jus­teru Lailatulqadar sen­tiasa segar dan hi­dup setiap tahun se­pan­jang perjalanan seja­rah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah SWT.

Hakikatnya dalam kita merai­kan demam Piala Eropah mampu menyihir manu­sia untuk tenggelam dalam gegap gempita di benua biru itu, kita jangan lupa untuk menghayati peristiwa turunnya al-Quran. Ramai yang mempersiapkan sukan terbesar di dunia itu sebagai ritual empat tahun sekali. Perkara ini wajar kerana sifat tabii manusia yang suka hiburan dan rekreasi untuk melepas lelah bekerja dan tekanan menjadikan Piala Eropah begitu dinanti-nantikan kehadirannya.

Solat malam

Demam Piala Eropah boleh dirai dan dipestakan. Akan tetapi pada masa sama, ia perlu diseimbangkan dengan keperluan untuk memenuhi dimensi ukhrawi. Tengok bola boleh, namun solat malam dan zikir dilaksanakan. Kedua-duanya iaitu unsur duniawi dan ukhrawi perlu berjalan seiring.

Pada kebiasaannya, terjaga di waktu malam hari adalah waktu yang paling sukar bagi kita untuk bangun, apatah lagi untuk melaksanakan solat tahajud.

Demikianlah tabiat jiwa itu cenderung mengikut hawa nafsu, bersifat malas dan suka mencari alasan. Lantaran itu, bagi memperoleh keperluan dan mendapatkan keberkatan duniawi dan ukhrawi, alangkah baiknya sekiranya peminat bola menyusun satu pendekatan yang boleh merangkumi kedua dimensi itu.

Niat pertama terjaga malam hari adalah diniatkan untuk melakukan ibadah pada malam hari seperti melaksanakan solat tahajud. Kemudian baru menonton perlawanan bola.

Hakikatnya, kita sebenarnya sudah biasa terjaga pada waktu malam hari. Akan tetapi malangnya kita terjaga semata-mata untuk menyiapkan kerja pejabat, menonton filem, berborak atau menyaksikan perlawanan bola sepak.

Dalam usaha kita untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah, kita digalakkan untuk mengerjakan solat tahajud dan solat malam yang lain (qiyamullail). Kita perlu mempunyai azam yang kuat untuk mengerjakan solat tahajud seperti mana azam kuat yang kita tanam untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.

Bagi memperoleh pahala terjaga malam hari, kita perlu kuatkan dengan niat untuk beribadah dulu.

Untuk mengekalkan momentum peribadatan kita sepanjang Ramadan ini jangan sesekali kita dikalahkan oleh nafsu yang bersifat keduniawian mahupun nafsu syahwat seks. Ini termasuklah dengan ti­dak terlalu melayan secara membuta tuli panggung bola sepak piala Eropah yang sekarang semakin rancak.

Sudah sepatutnya demam bola sepak Piala Eropah dijadikan momentum yang tepat untuk kita memulakan lembaran hidup kita dengan secara istiqamah mendirikan solat tahajud setiap malam. Sesungguhnya graf puasa nabi dan sahabat-sahabat meningkat berterusan sejak puasa pertama hingga hari puasa terakhir. Dan graf itu mengalami peningkatan yang amat ketara pada saat-saat akhir bulan Ramadan.

Tetapi bukan sedikit antara kita yang grafnya terbalik. Semakin menjelang berlabuhnya Ramadan, semakin banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan sama sekali dengan kesucian bulan Ramadan. Kita lebih sibuk dengan baju baru, sibuk memikirkan pulang kampung dan sibuk membeli-belah di pusat-pusat perniagaan yang banyak menawarkan potongan harga. - Utusan Malaysia Rencana 19 Jun 2016 6:00 PM


Rakyat Malaysia beruntung

Pada bulan mulia ini, seperti tahun-tahun dahulu, rakyat Malaysia menjalani ibadat puasa dalam keadaan aman dan serba ada. Umumnya, berbuka dengan mencukupi, kebanyakannya membeli juadah daripada apa yang kini dikenali sebagai Bazar Ramadan. Berbuka bersama keluarga atau di masjid. Ada yang berbuka di tempat kerja.

Selepas berbuka, umumnya umat Islam pergi bersembahyang tarawih di masjid atau surau. Sudah banyak masjid di Malaysia yang selesa dan berhawa dingin. Ada surau yang mengundang imam dari luar negara dan dapat menikmati bacaan al-Quran yang merdu. Masa bersahur pula, umumnya umat Islam dapat menikmati makanan panas dan mencukupi untuk memberi tenaga bagi tubuh yang akan berpuasa.

Dalam menjalani ibadah secara amannya, cuba bandingkan dengan apa yang dilalui oleh umat Islam di sebahagian tempat di rantau apa yang disebut sebagai Timur Tengah. Rantau ini meliputi wilayah geografi yang disebut Asia Barat dan Afrika Utara.

Di rantau inilah terletaknya kota-kota suci Islam iaitu Mekah, Madinah dan Baitulmaqdis. Di sini jugalah terletak kota-kota yang pernah menjadi pusat pemerintahan para khalifah, Madinah, Kufa, Damsyek, Baghdad dan Istanbul.

Tetapi di rantau ini, banyak kalangan umat Islam bukan saja tidak dapat berpuasa dengan aman, tetapi mereka berbuka dan bersahur dengan serba kekurangan. Di Syria, Turki, Jordan, Lebanon dan Iraq, terdapat banyak umat Islam yang tinggal di kem-kem pelarian yang hanya bergantung pada bantuan.

Mereka berada di kem-kem pelarian kerana bandar dan kampung halaman musnah akibat perang lima penjuru melibatkan pihak pemerintah Parti Baathis di Damsyek pimpinan Presiden Bashar Assad, penentangnya dari kalangan Syrian National Coalition atau Pakatan Kebangsaan Syria (SNC), Islamic Front atau Barisan Islam, Jabhat Nusra iaitu sekutu al-Qarda di Syria dan Islamic State atau Daesh.

Tetapi suasana perang yang menghasilkan pelarian bukan saja di Syria tetapi juga Yaman. Peperangan di Yaman pula adalah empat penjuru iaitu pemerintah General People’s Congres atau Kongres Rakyat Umum pimpinan Presiden Abdul Rabbuh Hadi, Jawatankuasa Revolusi yang dikenali sebagai golongan Houthis, sekutu al-Qaeda Semenanjung Arab (AQAP) dan Islamic State atau Daesh.

Sementara di Iraq, keadaan belum aman lagi. Peperangan masih berlaku. Sekurang-kurangnya empat penjuru juga iaitu kerajaan Baghdad, golongan bekas tentera Saddam Hussein, kumpulan yang berkaitan dengan al-Qaeda dan Islamic State.

Penderitaan

Begitu juga di Libya. Arab Spring menghasilkan peperangan tiga penjuru. Dua pemerintah di Benghazi dan Tripoli. Ketiga ialah kumpulan yang berkaitan dengan Islamic State. Arab Spring yang bermakna Musim Bunga Arab membawa kepada keadaan yang kini disebut sebagai Arab Winter, iaitu Musim Sejuk Arab di mana negara-negara yang mengalami kebangkitan menuntut demokrasi dahulu dilanda dengan ancaman keganasan. Daripada Tunisia hinggalah ke Mesir.

Pada waktu yang sama umat Islam di Palestin mengalami penderitaan bulan Ramadan seperti tahun-tahun dahulu sejak Israel ditubuhkan pada tahun 1948. Mereka tidak bebas beribadat di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis sementara penduduk Gaza menghadapi kesukaran besar apabila pihak Israel menyekat separuh daripada bekalan air ke wilayah itu.

Sementara Turki yang penduduknya sepatut dapat berpuasa secara aman turut terancam dengan serangan bom oleh dua pihak yang saling bertentangan, iaitu daripada pengganas Kurdis dan Islamic State, maka pertembungannya juga adalah juga tiga penjuru.

Peperangan di Asia Barat dan Afrika Utara ini mempunyai susur-galurnya daripada zaman silam. Tetapi bagi memudahkan perhatian, cuba lihat keadaan rantau itu daripada sejak Perang Dunia Kedua dan bandingkan dengan Asia Tenggara.

Dalam Perang Dunia Kedua, kesan kepada Afrika Utara adalah peperangan di Libya dan Maghribi apabila tentera Jerman dan Itali menakluk kedua-dua negara tetapi kemudian dipatahkan oleh Britain. Di Asia Tenggara pula, hampir keseluruhannya dikuasai Jepun.

Di penghujung Perang Dunia Kedua, Palestin, Iraq, Syria dan Lebanon di bawah mandat Britain dan Perancis. Sementara Sudan, Yaman Selatan dan beberapa emiriah di Semenanjung Arab adalah sebahagian daripada Empayar British. Di Asia Tenggara, negeri-negeri umat Islam berada di bawah penjajahan Belanda dan British.

Apabila proses kemerdekaan berlaku, Palestin terbahagi dua dengan sebahagiannya menjadi Israel. Sementara negara-negara Arab yang lain dapat merdeka tetapi diperintah secara autoritarian, sama ada berbentuk monarki atau republik. Ada yang pada mulanya monarki seperti Libya, Mesir, Iraq dan Syria, tetapi kemudiannya menjadi republik. Tetapi tetap autoritarian.

Di Asia Tenggara, Indonesia dan Malaya pada awal kemerdekaannya melaksanakan demokrasi. Walaupun kemudian Indonesia menjadi autoritarian semasa Suharto tetapi akhirnya demokrasinya dipulihkan. Amalan demokrasi mengelak perebutan kuasa secara bersenjata dan berdarah.

Tetapi tidak di Afrika Utara dan Asia Barat. Banyak negara umat Islam diperintah secara autokratik dan akhirnya berlaku pemberontakan dan peperangan yang antaranya tidak dapat dilihat penghujungnya.

Maka rakyat Malaysia beruntung bahawa sistem demokrasinya yang berjalan sejak tahun 1957 telah melahirkan kerajaan yang melaksanakan program pembangunan. Sebaliknya di beberapa negara Asia Barat, kekayaan minyak tidak dapat memberikan demokrasi, perdamaian dan pembangunan. Negara-negara seperti Libya dan Iraq yang kaya minyak tetapi manfaatnya tidak sampai pada rakyatnya secara demokratik.

Ketika banyak negara Asia Barat dilanda peperangan pada Ramadan ini, rakyat di Malaysia bukan saja boleh beribadah secara aman dan serba ada tetapi mampu juga menyertai pesta demokrasi di dua kawasan pilihan raya kecil.

Apa yang dapat mengekalkan keamanan dan melaksanakan pembangunan di negara ini ialah sikap para pemimpin politiknya dan rakyat umumnya. Apabila ada penghormatan pada demokrasi dengan pematuhan terhadap undang-undang, secara mengamalkan kesopanan serta kesusilaan, maka rakyat dapat hidup dengan aman, teratur, sekali gus memudahkan ibadat bulan Ramadan, iaitu melebihi berpuasa.

Apabila sesama kumpulan rakyat negara ini menahan diri daripada bertelagah yang boleh mendatangkan kekacauan dan pertumpahan darah, maka tidak ada sebab kuasa asing perlu campur tangan hingga membawa kepada peperangan lebih besar.

Syria merupakan contoh apabila pemerintahnya bersifat autoritarian hingga membawa kepada kebangkitan Arab Spring, dengan sokongan kuasa asing iaitu Amerika Syarikat, yang melarat kepada pemberontakan. Hingga akhirnya masuk pihak asing lain yang kejam iaitu Islamic State dan kemudian turut mengheret negara lain iaitu Iran, Arab Saudi, Turki, dan Rusia. Bertambahlah kehancuran Syria yang pada asalnya merupakan benteng menghalang kemaraan Israel ke atas dunia Arab. - Utusan Malaysia Rencana 19 Jun 2016 6:00 PM

Mengidam burger Big Mac

ENTAH macam mana dalam lamunan 30 saat, burger Big Mac terbayang dalam minda. Mujur sekadar 30 saat. Kalau mencecah ke saat yang ke-60, mungkin meleleh air liur. Berderai-derai.

Tutup mata sekarang. Padamkan. Sabarlah. Masa waktu berbuka nanti, boleh singgah di pandu lalu McDonald’s.

Pelbagai pendapat berlegar-legar mengenai jenama makanan segera terkemuka di dunia ini. Ada yang suka, ada yang kecam kerana makanannya didakwa menggemukkan. Ini bukan isu besar pun sebab anda bukan makan burger sekerap nasi.

Ramai yang segan dan malu hendak Check-In di dalam Facebook walaupun sudah dua hari berturut-turut makan tengah hari di restoran itu. Cuba periksa Facebook sendiri atau sahabat handai. Ada atau tidak?

Secara peribadinya, bila diingat semula masa bertugas di negara bukan Islam yang tiada makanan halal berdekatan, saya akan singgah di restoran McDonald’s. Bukan sebab ia ada burger halal tetapi sebab ada roti McMuffin dengan telur yang boleh dibeli bersama kopi di bawah harga AS$5 atau RM20.50.

Dan sambil makan, boleh juga siapkan kerja sebab semua restoran McDonald’s menyediakan WiFi percuma. Satu faktor lagi yang orang lupa ialah disebabkan McDonald’s ada di Malaysia, kita secara automatik terasa 'biasa’ dan boleh jangkakan apa yang dihidangkan. Tidak mahu makan daging atau roti Filet-O-Fish, jangan risau. Ambil kentang goreng bersaiz besar dan air Coca-Cola, pun boleh mengenyangkan.

Satu hal yang saya lihat sejak lama dulu ialah konsep layan diri di McDonald’s Amerika Syarikat bermula dari kaunter tempahan sehinggalah pembuangan sampah. Bila mereka selesai makan, meja mereka bersih sebagaimana sebelum ia digunakan.

Malangnya, ini tidak berlaku di Malaysia! Layan diri tamat di kaunter. Habis makan, sampah sarap dibiar atas meja. Kena ada orang lain pula mengemas meja dan membuang sampah. Bolehkah kita mengubah budaya ini?

McDonald’s juga menyediakan perkhidmatan 24 jam dengan siaran televisyen satelit. Perkhidmatan 24 jam ini dimulakan pada Jun 2007, serentak di lebih 70 restorannya.

Saya jarang menonton bola di luar tetapi kenangan manis terpahat di restoran McDonald’s Tabuan Jaya di Kuching semasa menonton kemenangan Liverpool ke atas Manchester United dalam Liga Europa bersama anak-anak saudara yang memuja Louis van Gaal.

McDonald’s Malaysia kerap jadi mangsa tohmahan terutama menerusi media sosial. Paling terbaharu pada 15 Jun lalu, McDonald’s menyiarkan kenyataan permohonan maaf seorang wanita yang mencetuskan tohmahan kononnya ‘Quarter Pounder with Chees’ adalah tidak halal. Zaman ini jangan suka-suka hati hendak viralkan tohmahan. Anda boleh dikesan!

Merrepak hari ini menyenaraikan sembilan perkara yang anda patut tahu mengenai McDonald’s:

Big Mac

Burger ini direka cipta pada 1967, oleh seorang daripada pemilik francais McDonald’s yang kemudiannya diserap ke seluruh restoran makanan segera ini di seluruh dunia sehingga menjadi begitu popular.

McDonald’s asalnya jual hot dog

Pada 1930-an, dua beradik iaitu Dick dan Mac McDonald yang mengusahakan pawagam di California mendapati gerai hot dog berdekatan lebih ramai pengunjung berbanding pawagam mereka. Dengan dana pinjaman AS$5,000 mereka berdua memulakan gerai hot dog Airdrome pada 1937. Fokus niaga daripada hot dog kepada burger hanya dilakukan pada 1948.

Pengedar alat permainan terbesar di dunia

Sebagai syarikat makanan, McDonald’s mengejutkan banyak pihak bila didapati secara tidak langsung ia juga pengedar alat permainan terbesar dunia menerusi 20 peratus penjualan Happy Meals iaitu pek makanan untuk kanak-kanak yang disertakan alat permainan.

Siapa pemilik saham McDonald’s?

McDonald’s adalah syarikat tersenarai awam di Bursa Saham New York sejak tahun 1965, bermakna pemilikan syarikat adalah mengikut pegangan saham. Ia mempunyai lebih daripada 1.8 juta pemegang saham sehingga Mac 2014 dan tiada seorang pun antara mereka ini yang memegang lebih daripada 10 peratus pegangan saham. Ia tidak dimiliki oleh kumpulan khusus.

Konsep perniagaan

Terdapat 36,000 cawangan restorannya di seluruh dunia. Sebanyak 80 peratus daripadanya, dimiliki dan dikendalikan oleh pemilik francais yang terdiri daripada usahawan tempatan di negara-negara berkenaan.

Operasi di Malaysia

Terdapat lebih 260 buah restoran McDonald’s di Malaysia yang menggaji 12,000 kakitangan. Kira-kira 70 buah restoran itu dimiliki dan dikendalikan oleh usahawan tempatan secara francais.

Ia menyasarkan untuk menambah bilangan restorannya kepada 500 buah menjelang 2020, yang bakal mewujudkan peluang kerja sebanyak 13,000 kepada penduduk negara ini.

Selain itu, McDonald’s Malaysia turut berurusan dengan lebih daripada 400 pembekal tempatan. Fakta lebih menarik, pembekal utama McDonald’s di Malaysia iaitu MacFood Malaysia, turut membekalkan hasil keluaran mereka ke 14 buah negara lain di rantau Asia Pasifik dan Asia Barat.

Konsep Francais

Sebanyak 25 peratus restoran McDonald’s di negara ini dimiliki dan dikendali oleh francaisi warga tempatan yang diberi hak mengikut masa tertentu tempoh francais. Francaisi ini bukan pekerja McDonald’s tetapi seorang usahawan tempatan yang mengendalikan perniagaan mengikut sistem francais McDonald’s.

Aktif dalam kebajikan

Persatuan Kebajikan Ronald Mcdonald Malaysia (RMHC) ditubuhkan pada 1990 dan sehingga kini telah menyalurkan lebih RM11 juta bagi membantu 20,000 kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh negara.

Perlis hanya ada restoran McDonald’s pada 2014

Ya. Ini mungkin disebabkan jarak Kangar dekat dengan Alor Setar. Tetapi yang pasti, dengan wujudnya restoran di Kangar tersebut menandakan lengkaplah restoran McDonald’s di seluruh negara! Utusan Malaysia Rencana 19 Jun 2016 6:00 PM