June 21st, 2016

Ramadan pencetus kesatuan ummah dan Kuasa Ilmu

Ramadan dan Kuasa Ilmu

RAMADAN telah pun memasuki fasa kedua. Sudah pasti masyarakat Muslim akan lebih melipatgandakan usaha bagi meningkatkan amalan masing-masing. Perbanyakkan ibadat agar untung dapat dikaut dan rugi dapat dielak.

Umat Islam dianjurkan mela­kukan banyak kebaikan dalam bulan mulia ini. Satu daripadanya ialah memperbanyakkan bacaan al-Quran. Lebih penting ialah cuba memahami, menghayati dan mengamalkan ayat-ayat yang dibaca.


MASYARAKAT Malaysia khususnya Melayu dilihat tidak cenderung untuk menambahkan ilmu apabila tamat sesuatu peringkat pengajian. GAMBAR HIASAN

Dalam konteks ini, bolehlah dikatakan bahawa satu daripada hikmah Ramadan ialah menggalak­kan umat Islam sentiasa memperkukuhkan diri dengan ilmu pengetahuan. Sejajar hasrat kerajaan untuk mencapai wawasan 2020 adalah amat wajar bagi umat Islam terutamanya ibu bapa memastikan usaha mencintai dan mendalami ilmu disubur-kan di jiwa anak-anak dalam bulan ini.

Usaha menuntut ilmu seharusnya dijadikan budaya. Tidak sepatutnya terhenti apabila kita telah menamatkan pengajian di mana-mana peringkat. Setiap hari kita digalakkan menuntut ilmu supaya diri kita hari ini akan menjadi lebih baik daripada semalam dan hari esok akan lebih baik daripada hari ini.

Keadaan semasa menunjukkan masyarakat Malaysia amnya dan Muslim khususnya masih kurang tabiat belajar dan menambah ilmu. Ini dapat dilihat apabila jumlah buku yang dibaca oleh masyarakat dalam setahun masih lagi mendukacitakan.

Satu kajian mendedahkan sekitar 2000 hingga 2005, purata jumlah buku yang dibaca oleh masyarakat hanya dua hingga tiga judul setahun. Kajian terbaru sekitar 2006-2010 pula mendapati sekitar enam hingga tujuh buku dibaca dalam setahun. Walaupun menyaksikan peningkatan, namun masih rendah berbanding dengan masyarakat negara-negara maju.

Keadaan ini berpunca daripada pelbagai sebab. Salah satunya ialah trend dan tujuan membaca itu sendiri. Berdasarkan pemerhatian penulis, masyarakat tidak cenderung untuk menambahkan ilmu apabila tamat dalam sesuatu peringkat pengajian.

Orang yang tamat belajar di sekolah, tiada usaha untuk belajar sendiri selepas itu. Orang yang tamat belajar peringkat ijazah pertama menamatkan pendidikan hanya setakat di universiti. Begitu juga dengan mereka yang mempunyai sarjana atau doktor falsafah. Destinasi pembelajaran hanya tamat di universiti. Tabiat belajar sendiri masih kurang dalam kalangan masyarakat kita.

Jika ini berlaku, ilmu yang diperoleh tidak akan berkembang dan diri sendiri akan jauh ketinggalan berbanding orang lain. Sebagai contoh, seorang graduan peringkat ijazah pertama biasa-nya berumur 22 tahun. Jika usaha menuntut ilmu berakhir apabila tamat pengajian di pe­ringkat universiti tanpa ada usaha untuk belajar sendiri selepas itu, maka dibimbangkan tahap pengetahuan yang dimiliki hanyalah pada usia 22 tahun.

Di sini menunjukkan betapa pentingnya masyarakat mempunyai tabiat belajar sendiri yang tinggi. Ini bagi memastikan pada setiap masa kita akan mempunyai ilmu baru. Jika kita tidak berusaha menuntut ilmu baru, kita akan ketinggalan. Apabila diri sendiri ketinggalan, masyarakat juga akan turut ketinggalan dan ini akan memberi kesan buruk kepada keseluruhan pembangunan dan kemajuan negara.

Bagi orang yang kurang berada, menuntut ilmu adalah cara untuk membebaskan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan. Demi kelangsungan hidup, ilmu membolehkan kita mendapat pekerjaan lebih baik, yang pasti­nya menjanjikan kualiti kehidupan yang juga lebih baik.

Namun, masyarakat harus memikirkan lebih daripada itu. Azam dan semangat menuntut ilmu sepatutnya bersandarkan kepada cita-cita bagi melengkapkan diri sendiri dengan ilmu pengetahuan yang luas. Oleh sebab itu, usaha menuntut ilmu tidak hanya berhenti apabila kita menggenggam segulung ijazah.

Di negara maju seperti Amerika Syarikat, ada pelajar universiti yang berumur lebih 60 tahun. Keadaan tersebut tidak janggal di sana tetapi di negara kita amat janggal jika ada mahasiswa berumur sedemikian di universiti awam mahupun swasta. Jika adapun pasti beliau akan diperli, buat apa lagi mahu susah payah belajar? Mungkin ada pula yang berkata, umur sudah sampai masa untuk pencen, berehat sahajalah di rumah. Ini sewajarnya diubah.

Sempena bulan mulia ini, penulis menyeru seluruh masyarakat agar memastikan bahawa selepas meninggalkan sekolah atau universiti, teruskanlah membaca bagi menambah ilmu. Usah ditunggu ada keperluan kerja atau untuk kenaikan pangkat dan gaji, barulah paksa diri untuk belajar. Yakinlah bahawa dengan menambah ilmu penge-tahuan, barulah kita boleh menjadi pe­mimpin yang cemerlang, mempunyai kuasa rujukan, kuasa pakar dan kuasa kedudukan.

Ingatlah bahawa kuasa yang paling dihormati ialah kuasa ilmu pengetahuan. Orang yang boleh memanfaatkan pengetahuan akan mencapai kejayaan dunia dan akhirat.


Ramadan pencetus kesatuan ummah

RAMADAN menjengah lagi. Berpuasa pada bulan ini adalah satu ibadat wajib ke atas orang Islam yang akil baligh. Mereka wajib berpuasa dengan menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar sehingga gelincir matahari dan mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat sunat Aidilfitri. Pada masa sama, mereka digalakkan melakukan pelbagai ibadah sunat seperti solat tarawih dan witir pada malam harinya.

Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan aktiviti ibadat dalam pelbagai bentuk sama ada wajib atau pun sunat. Ibadat di bulan Ramadan adalah satu fenomena yang sama berlaku dalam kalangan umat Islam seluruh dunia. Dalam masa sehari di bulan Ramadan, ada kalangan umat Islam contohnya sedang berbuka, ada yang sedang berpuasa, melakukan qiamullail, membaca al-Quran mengikut lokasi masa dan geografi masing-masing di seluruh pelosok dunia.

Ini menunjukkan kesatuan umat Islam dalam kepelbagaian dengan kedatangan bulan Ramadan. Mereka bersatu menyambut Ramadan walau di mana sahaja berada, walaupun mereka terdiri daripada pelbagai bangsa, kaum, kulit sama ada hitam atau pun putih.

Sesungguhnya, umat Islam bersatu dalam perkara asas agama. Semua umat Islam menerima puasa di bulan Ramadan sebagai satu ibadat wajib, dan tiada siapa dalam kalangan mereka yang menolak bahawa di dalam bulan Ramadan ada satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan iaitu malam Lailatulqadar.

Walaupun umat Islam berbeza pandangan dalam isu-isu ranting atau bukan asas agama seperti cara menentukan bermulanya 1 Ramadan sama ada menggunakan hisab falak atau pun melihat anak bulan, mengerjakan solat tarawih 8 atau 20 rakaat, semua perbezaan seumpama ini tidak menjejaskan perpaduan dan kesatuan umat Islam.

Ini kerana Islam sebagai agama fitrah membuka ruang-ruang perbezaan dalam isu-isu ranting untuk kebaikan umat Islam itu sendiri demi meraikan kepelbagaian yang ada dalam kalangan mereka. Apabila kita melihat dalam konteks umat Islam di Malaysia, penghayatan kepada ibadat puasa di bulan Ramadan boleh menjadikan mereka akur betapa konsep kesatuan dan perpaduan yang wujud dapat diaplikasikan dalam kehidupan semasa dalam kalangan mereka.

Dengan kedatangan bulan Ramadan, perbalahan dan perselisihan yang membawa kepada perpecahan dapat dihindari. Konsep kesatuan umat Islam di seluruh dunia dalam menyambut dan menerima kefarduan bulan Ramadan perlu dijadikan iktibar dan teladan baik.

Perpecahan dan tiada kesatuan bukan sahaja melemahkan mereka tetapi disifatkan dalam Islam sebagai satu azab. Dalam satu sabda nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh imam Ahmad, maksudnya: “Jamaah itu membawa rahmat, dan perpecahan itu membawa azab”.

Usaha-usaha menggunakan keberkatan bulan Ramadan untuk mencetus perpaduan dan kesatuan umat perlu diambil peluang. Majlis-majlis iftar yang melibatkan pelbagai pihak yang berlainan perlu diadakan dari semasa ke semasa sepanjang bulan. Ini boleh diadakan seperti di taman-taman perumahan di bandar, di kampung-kampung sehingga pelbagai pihak yang bertelagah boleh duduk bersama-sama menikmati juadah berbuka. Ini secara tidak langsung membawa kepada kemesraan sesama mereka.

Umat Islam juga perlu ingat musuh Islam sentiasa mencari jalan untuk melemahkan mereka. Salah satu cara adalah dengan memecahbelahkan kesatuan dalam kalangan umat. Bahkan ada dalam kalangan umat Islam yang terpesong dengan agenda pihak lawan lalu terus bercakaran sesama sendiri dan menjadi ejen kepada perpecahan umat.

Dengan menghayati ibadah dalam bulan Ramadan dan melihat kesatuan umat Islam di seluruh dunia dalam menyambut bulan mulia ini, umat Islam khasnya di negara kita patut menjadikannya sebagai satu madrasah pencetus untuk mereka menjadi lebih bersatu yang akhirnya memberi kekuatan kepada ummah. - Mohamad A'sim Ismail Utusan Malaysia Rencana Pandangan IKIM 20 Jun 2016 6:15 PM

Bulan berlapar, ‘kenyang’ pahala, Puasa membentuk jiwa suci

Puasa membentuk jiwa suci

PUASA adalah tradisi masyarakat beragama terutamanya penganut agama samawi .Sebelum Nabi Muhammad SAW umat nabi yang lain juga berpuasa. Terdapat sumber sejarah menyatakan Nabi Nuh ialah nabi pertama yang memperkenalkan ibadah puasa. Ibadah ini diamalkan dari satu generasi ke generasi sebagai ibadah yang diperintahkan oleh Allah. Mengikut penjelasan Ibnu Kathir sejak Nabi Nuh sehingga Nabi Isa puasa wajib dilakukan tiga hari setiap bulan.

Amalan puasa salah satu ibadah penting yang dilakukan oleh individu-individu yang bertakwa kepada Allah sepertimana para nabi, rasul dan wali Allah termasuklah Maryam ibu kepada Nabi Isa. Nabi Daud mengamalkan puasa satu hari berpuasa dan satu hari berbuka. Nabi Muhammad sebelum dilantik menjadi Rasulullah mengamalkan puasa tiga hari setiap bulan. Baginda juga mengamalkan puasa Asyura pada hari ke-10 Muharam. Puasa Asyura ini juga merupakan amalan masyarakat Quraisy dan Yahudi di Madinah.

Apabila Nabi Muhammad dilantik menjadi rasul maka Allah memerintahkan umat Islam supaya melakukan puasa seperti mana firman-Nya dalam Surah 2 (al-Baqarah): 183-184 yang bermaksud; “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa, (iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka jika di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan, (lalu ia berbuka), maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu, pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah, (iaitu) memberi makan seorang miskin. Barang siapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebaikan, maka itu lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu, jika kamu mengetahui.”

Ibadah puasa salah satu amalan untuk memelihara kesihatan tubuh badan dan juga membentuk jiwa suci. Dalam aspek kesihatan tubuh badan ramai doktor menyatakan bahwa puasa boleh membantu proses menurunkan kadar gula, kolesterol,mengendalikan tekanan darah, membersih-kan usus-usus, memelihara fungsi dan kesihatan otak, dan ia merupakan detoksifikasi yang paling baik. Amalan puasa boleh membatasi kalori yang masuk ke dalam tubuh badan dan menghasilkan enzim antioksidan yang dapat membersihkan zat-zat yang bersifat racun dari dalam tubuh.

Puasa mempunyai pelbagai fungsi dalam kehidupan manusia. Antara fungsinya ialah tahzib, ta’dib dan tadrib. Tahzib membentuk sifat atau karakteristik jiwa seseorang. Ta’dib, pendidikan atau latihan secara sederhana atau medium untuk menjadi manusia sempurna. Tadrib, latihan secara komprehensif dan serius untuk mencapai tahap ketakwaan supaya mematuhi semua perintah Allah dan dan meninggalkan larangan-Nya.

Dari aspek kerohanian, puasa boleh mengawal nafsu sama ada dalam bentuk makanan atau perkara-perkara yang boleh melibatkan diri dalam kemaksiatan. Ketika berpuasa umat Islam melatih diri secara mengosongkan hati daripada berfikir perkara-perkara yang boleh mendorongkan diri mereka dari melakukan dosa. Hati dan pemikiran mereka diisi dengan ibadah, berzikir dan me-lakukan kebajikan kerana ganjaran pahala melakukan ibadah di dalam bulan puasa adalah berlipat ganda.

Perut yang kosong dari makanan dan minuman boleh menyebabkan hati bercahaya dan lunak secara berzikir dan mematuhi peraturan dan adab berpuasa. Perkara ini bertepatan dengan kalimah terakhir yang pendek dalam Surah al-Baqarah ayat 18 yang bermaksud, “Hai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”. Allah mengakhiri ayat tersebut dengan perkataan, ‘agar kamu semua bertakwa”. Seorang ulama Islam Syekh Mustafa Sodiq al-Rafi’ie menakwilkan perkataan “takwa” dengan maksud memelihara diri dari segala bentuk nafsu kebinatangan yang beranggapan bahwa perut besar sebagai agama, dan menjaga sifat kemanusiaan serta membatasi manusia daripada tingkah laku binatang.

Puasa mengajar umat Islam hidup secara berdisiplin, bersatu, cinta keadilan dan melahirkan perasaan kasih sayang kerana ibadah berpuasa disemarakkan dengan kegiatan sedekah dan memberi makan kepada orang miskin. Sembahyang berjemaah seperti sembahyang tarawih setiap malam di bulan Ramadan boleh mengeratkan perasaan silaturahim dan kenal mengenali sesama umat Islam yang tinggal di dalam kawasan perumahan. Pergaulan dalam kegiatan ibadah di masjid atau surau boleh melembutkan hati orang kaya supaya menjadi orang yang tawaduk dan rendah hati, menghapuskan perasaan angkuh dan bongkak lantaran kekayaan dan pangkat yang dimiliki.

Puasa dapat membentuk muraqabah (rasa selalu berada dalam pengawasan). Orang yang menunaikan puasa sentiasa merasai bahwa beliau mempunyai penjaga yang mengawasi dirinya supaya tidak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariah. Ibnu Qayyim menjelaskan bahwa puasa memiliki pengaruh yang kuat untuk menjaga tubuh yang bersifat lahiriah dan juga kekuatan batin serta melindunginya daripada unsur-unsur pencemaran yang boleh menguasai dan merosakkan dirinya. Oleh itu puasa dapat memelihara kejernihan hati dan kesihatan tubuh badan dan secara spontan akan mengembalikan sesuatu yang telah berhasil dirampas oleh nafsu syahwat. Puasa merupakan pembantu yang paling besar dalam merealisasikan ketakwaan.

Puasa juga perisai yang kuat untuk mengalahkan syaitan yang sentiasa menghasut dan memusnahkan jiwa dan kerohanian umat Islam. Melalui perut yang kosong dan pemakanan dan minuman yang halal syaitan sukar untuk menembusi hati nurani manusia. Syaitan memasuki tubuh manusia melalui pembuluh darah sepertimana dijelaskan oleh Rasulullah SAW. Apabila manusia berpuasa maka tempat masuk syaitan menjadi sempit yang akhir-nya menjadi lemah dan kurang bergerak.

Ibnu Taimiyyah menyatakan, “Tidak diragukan lagi bahawa darah bersumberkan dari makanan dan minuman. Jika seseorang makan atau minum, maka jalan ma-suk bagi syaitan iaitu darah akan menjadi semakin luas, dan jika ia berpuasa, jalan masuk syaitan akan menyempit. Hasilnya jiwa akan memiliki kekuatan melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.”

Berpuasa juga merupakan satu cara untuk menghapuskan sifat tamak dan rakus dalam kehidupan. Ia merupakan satu latihan berbentuk zuhud bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah dan memiliki jiwa yang tenang dan suci. Oleh itu cintailah puasa supaya umat Islam akan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah. - Prof. Madya Dr. Saodah Abd. Rahmad Utusan Malaysia Rencana 21 Jun 2016 6:30 PM


Bulan berlapar, ‘kenyang’ pahala

PERSEPSI bahawa Ramadan bulan latihan untuk umat Islam istiqamah dalam beribadat perlu dibetulkan sebelum menjadi pegangan yang me-rugikan ummah. Ramadan sebagaimana bulan-bulan lain perlu dijadikan bulan beribadat dengan amalan wajib dan sunat. Jangan ada pilih bulu dalam beribadat.

Ada antara kita umat Islam salah anggap dengan konsep beramal yang patut ditingkatkan hanya dalam bulan Ramadan. Pendidikan dan latihan untuk beramal ibadat perlu menjadi pembelajaran seumur hidup. Ramadan sepatutnya dijadikan bulan praktikal bukan lagi teori atau ikut-ikutan orang lain hingga ibadat yang dilakukan hanya setakat seminggu dua sebelum kedai-kedai mamak kembali dipenuhi oleh anak muda yang asyik menonton bola sepak yang kini dikomersialkan dan dijadikan siaran khas untuk pelanggan.

Kurangnya istiqamah dalam diri kita selepas Ramadan adalah disebabkan kita meremehkan tawaran yang dianugerahkan kepada kita iaitu pahala berganda-ganda atas setiap amal dipandang sebelah mata. Allah SWT telah membuka jalan untuk melipatgandakan pahala kepada umat Islam dengan menjadikan Ramadan bukan sahaja bulan berlapar tetapi ‘kenyang’ dan padat dengan pahala yang tidak terhitung jumlahnya.

Tahun ini di surau berhampiran rumah penulis pada awalnya saf solat tarawih hingga ke pintu namun sehari ke sehari saf semakin susut. Fenomena ini sesuatu yang menyedihkan memandangkan belum tentu kita akan bersua dengan Ramadan lagi dalam keadaan tubuh kita sihat walafiat. Sebaik-baiknya sebelum sakit dan selagi lapang sebelum kesempitan masa kita ambil kesempatan untuk melakukan amalan wajib dengan tertib dan me-lakukan yang sunat dalam kapasiti tinggi.

Solat tarawih jika tidak mampu dilaksanakan 21 rakaat lakukanlah lapan rakaat sahaja. Yang penting pada saat ini adalah beribadah seakan-akan kita tidak punya lagi kesempatan pada masa depan. Tawaran pahala yang digandakan terutama pada malam lailatulqadar pada salah satu malam dalam 10 hari terakhir Ramadan perlulah digapai dengan sehabis daya.

Pahala yang lebih baik daripada 1,000 bulan tersebut adakala dipandang sepi oleh umat Islam dengan majoriti lebih sibuk membuat kuih raya, bermain meriam buluh dan memasang lampu malam 27 likur berbanding membentang sejadah untuk beribadat mahupun beriktikaf di surau dan masjid. Kadangkala sedih mengenangkan masjid tersergam indah namun jemaah suram bak langit mendung.

Jika kita kaji dan teliti telah berlaku suatu fenome-na yang amat menakutkan selain gila menonton bola sepak. Terdapat dalam kalangan kita yang galak dengan aktiviti WhatsApp pada waktu umat Islam sedang beribadah solat tarawih. Lebih menyedihkan ada yang bukan sahaja ‘berperang’ fakta di media sosial malahan mencarut dan memaki hamun tanpa segan silu. Langsung tidak menghormati waktu beribadah yang sepatutnya menjadi amalan yang kita perlu istiqamah.

Pada 20 malam terakhir ini marilah kita mengambil peluang melakukan ibadah yang berterusan bukannya untuk sebulan dua tetapi selama-lamanya. Solat lima waktu yang wajib, diperkasakan manakala ibadah sunat seperti solat sunat, puasa sunat, bersedekah dijadikan amalan berterusan dan bukan setakat latihan di bulan puasa semata-mata. Jangan sampai amalan yang banyak semasa Ramadan tinggal kenangan semata-mata.

Istiqamah dalam melakukan kebaikan dan meninggalkan segala amalan yang mendatangkan dosa dan syub-
hah. Tepuk dada tanya selera mahukan syurga atau terus dibuai oleh dunia maya yang tidak bertepi. - Abdul Razak Idris Utusan Malaysia Rencana 1 Jun 2016 6:15 PM