June 25th, 2016

Muslim semakin ketinggalan , Negara Maslahah mengikut Al-Ghazali

Muslim semakin ketinggalan

“DAHULU umat Islam mampu mencipta pelbagai kemajuan, mereka menggubal undang-undang, membentuk ketamadunan manusia, mencipta sistem kalendar dan sistem pengurusan harta sehingga menjadi perintis di seluruh dunia,” kata Dr. Yusuf al-Qaradawi.

Sehinggakan, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia itu berkata, segala inovasi dan kreativiti pemikiran umat Islam yang mencecah ribuan tahun itu terus relevan untuk diguna pakai, malah semakin berkembang sehingga hari ini.

Namun malangnya, tokoh yang mendapat gelaran ulama Mujtahid Era Moden itu meluahkan, ternyata segala kehebatan yang dimiliki umat Islam terdahulu telah terhenti, malah jauh berbeza jika dibandingkan dengan umat Islam masa kini.

“Kita (umat Islam) bangga mempunyai kereta api dan kapal terbang sendiri, tetapi hakikatnya itu semua bukan hasil rekaan kita. Sebaliknya mereka (orang Barat) yang mencipta dan mengeksport kepada kita.

“Benar, kita mampu untuk membeli segalanya, termasuk barangan yang paling mahal dan canggih untuk kegunaan negara kita atau kepunyaan sendiri seperti kereta dan barangan mewah, tetapi kita masih belum dapat menandingi mereka,” katanya ketika menyampaikan ceramah ekonomi Islam di Qatar.


Dr. Yusuf al-Qaradawi

Yusuf berkata, jika dibuat perbandingan pendapatan seluruh negara Arab di dunia ini masih belum mencukupi dengan kekayaan diperoleh negara besar di Eropah.

“Mengapa ini berlaku, sedangkan negara Arab merupakan negara pembekal dan pengeluar minyak dunia? Ini kerana kita tidak bekerja bersungguh-sungguh.

“Jika kita bekerja, kita tidak bekerja sebagai seorang yang bersikap profesional.

“Satu kajian pernah dilakukan mengenai waktu bekerja bagi kakitangan awam di beberapa negara Arab. Hasil bancian yang dijalankan itu mendapati secara purata hanya 27 minit sahaja masa digunakan sepenuhnya bagi setiap pekerja setiap hari.

“Masa selebihnya adalah digunakan untuk keluar minum, membaca surat khabar atau pergi ke hulu dan ke hilir. Malah, dalam kajian sama mendapati terlalu kecil dapatan menunjukkan pekerja yang bekerja cukup pada waktunya,” jelasnya.

REALITI DI BARAT

Berkongsi pengalaman ketika menghadiri satu persidangan antarabangsa di Jerman, Yusuf berkata, rutin harian masyarakat di negara majoriti bukan beragama Islam itu dilihat lebih efektif dan profesional.

“Rombongan kami tiba di lapangan terbang pada waktu pagi. Sepanjang perjalanan ke lokasi persidangan, saya lihat lalu lintas agak lengang. Saya bertanya dengan pemandu kereta yang kami naiki itu, mengapa jalan raya di sini tidak ramai orang, tidak sibuk seperti di negara kami?

“Lelaki itu menjawab: “mereka semua sedang bekerja”. Dan apabila hendak pulang daripada persidangan ke hotel kira-kira pukul 7 malam, saya melihat, jalan juga masih lengang. Saya bertanya lagi kepada pemandu itu: “ke mana mereka pergi?”

“Lelaki itu menjawab: “mereka telah pulang dari tempat kerja dan kini sedang berehat di rumah. Mereka semua makan malam, menonton berita dan mereka hendak tidur kerana perlu bangun awal pada esok pagi untuk kembali bekerja,” ujarnya.

Yusuf berkata, melihat contoh tersebut, sukar bagi umat Islam untuk menandingi kemajuan dan kekayaan yang diperoleh sebagaimana negara di Barat jika terus bersikap seperti kini.

“Bagaimana golongan Yahudi boleh unggul dan maju daripada kita walaupun bilangan mereka sangat sedikit? Ini kerana mereka sangat cemerlang dalam menuntut ilmu, mengkaji teknologi dan menerusi kekuatan yang ada, mereka melakukan bersungguh-sungguh dalam bekerja.

“Sedangkan kita terus berasa selesa dalam lingkaran sekeliling tanpa ingin berusaha. Islam juga mengajar kita untuk bekerja bersungguh-sungguh dan bersikap profesional dalam tugas kerana bekerja juga merupakan ibadah.

“Di India juga, mereka telah berjaya mencipta kereta, malah kapal terbang sendiri, berbanding kita yang terus berbangga mengimport produk dari luar dan hanya berperanan sebagai pusat pemasangan untuk diberi jenama sendiri,” katanya.


Negara Maslahah mengikut Al-Ghazali

PADA 22 Jun lalu, berlangsung majlis wacana pemikiran politik Islam di Dewan Tun Hussen Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Program itu mengupas buku bertajuk, Negara Maslahah: Pemikiran Al-Ghazali dalam Konteks Politik Malaysia karya Tan Sri Dr. Alies Anor Abdul dan diulas oleh Prof Madya Dr. Abdul Salam Shukri, pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pakar perlembagaan universiti sama, Prof Madya Dr. Shamrahayu Abd. Aziz.


Dr. Alies Anor Abdul (tengah) melihat buku, Negara Maslahah: Pemikiran Al-Ghazali dalam Konteks Politik Malaysia, hasil tulisan beliau bersama-sama Dr. Shamrahayu Abd. Aziz (kiri) dan Dr. Abdul Salam Muhammad Shukri (kanan) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada 22 Jun lalu. utusan/Farid Janudin

Buku yang berasal dari tesis ijazah kedoktoran dalam bidang pengajian hukum dari Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kuala, Riau, Sumatera, Indonesia ini adalah suatu percubaan mengharmonikan ketatanegaraan Malaysia, yang prosesnya telah dimulakan apabila kerangka perlembagaan yang digubal sebelum merdeka telah memetakan Islam sebagai agama persekutuan dengan tidak melarang agama dan kepercayaan lain diamalkan dalam kalangan penduduk yang bersifat majmuk.

Perbincangan menjurus kepada pemikiran politik berasaskan warisan falsafah sunni yang wajar dijadikan acuan sistem peme­rintahan dan dasar berkerajaan negara-negara yang majoriti penduduknya Islam.

Malaysia yang meletakkan Islam sebagai titik besar asas keyakinan penduduk wajar mengharmonikan induk perundangannya walaupun masih mengekalkan sistem hukum warisan barat, terutamanya apabila undang-undang itu dilihat semakin tidak mampu mengekang persoalan adab dan adat istiadat.

Menurut pensyarah Kuliyah Undang-undang UIAM, Dr. Shamrahayu, metodologi kajian Dr. Alies untuk “membanding dan mengharmonikan” sistem politik Malaysia dengan warisan pemikiran Al-Ghazali adalah satu usaha yang bukan sahaja wajar disokong, malah perlu dikembangkan kepada satu kerangka bernegara yang selari dengan kehendak Islam.

Sebagai bukti keharmonian dalam keanekaan budaya dan kepercayaan, Malaysia mampu mempertahankan model politik “kesa­tuan dalam kepelbagaian” sehingga muncul sebagai negara kecil yang paling berjaya selepas mengalami proses penjajahan yang panjang. Sebelumnya, telah muncul sistem berkerajaan yang mengamalkan proses undang-undang Islam, se­perti Undang-Undang Laut Melaka, yang kemudiannya dirombak secara drastik oleh kolonialisme, terutamanya British.

Sejak empayar Melayu Melaka ditakluki Portugis (1511), diikuti Belanda dan seterusnya Bri­tish (1824), kolonialisme berjaya membentuk dualisme undang-undang di mana peraturan Islam hanya terpakai dalam hal ehwal masyarakat Islam, terutamanya dalam persoalan kekeluargaan dan kahwin-cerai. Persoalan yang lain harus memasuki dalam persekitaran undang-undang sivil yang diadaptasi daripada Wesminister dan amalan guaman tanah jajahan dari India.

Dr. Shamrahayu yang mengajar dalam bidang undang-undang selama 24 tahun di UIAM sebelum dipinjamkan ke Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) amat bersetuju dengan metodologi yang cuba digunakan oleh Dr. Alies untuk melihat kerelevanan sistem politik Malaysia berdasarkan kerangka pemikiran politik Islam yang diperbaharui oleh Al-Ghazali setelah melihat berlakunya perpecahan dan kekacauan falsafah masyarakat Islam abad pertengahan akibat pengaruh politik syiah dan Greek.

Baginya, yang cukup terkesan dengan Al-Ghazali sejak ber­umur 10 tahun setelah membaca Ihya Ulumuddin semasa di tahun empat dan bersekolah di Maahad Muhammadiah, Kota Bharu tidak melihat adanya perspektif ilmu yang dianggap sekular, kerana semua ilmu wajib dipelajari untuk memenuhi tuntutan kehidupan kecualilah ilmu-ilmu yang berkaitan dengan sihir dan ilmu hitam.

Atas dasar itulah beliau tetap menyambung pengajian di UIAM walaupun peringkat awalnya dihujani pelbagai prasangka akibat pertembungan konsep ilmiah dan kaedah pendidikan Islam klasik. Al-Ghazali tidak membahagikan kerangka ilmu mengikut perspektif yang digarap oleh semangat kebangkitan Islam selepas Revolusi Islam.

Menurut beliau lagi buku ini langkah yang baik untuk mencungkil warisan pemikiran politik Islam dalam memberikan panduan pemikiran dan amalan bagi pentadbiran sebuah negara. Dalam era ketakteraturan, bahkan kecelaruan pemikiran tentang dasar dan asas serta hala tuju sesebuah negara percambahan minda dengan bentuk siyasah Islam dan pemikiran berasaskan rabbaniy­yah ini sangat dialu-alukan. Bahkan penulisan sebegini hendaklah mempelopori bidang penulisan dalam hal ketatanegaraan.

Menjadikan Madinah sebagai model ulung dalam hal kewarganegaraan, kenegaraan dan ketatanegaraan adalah sebaik-baiknya. Namun kerumitan keadaan dunia semasa seakan memerlukan percambahan lain yang lebih kontemporari untuk dijadikan panduan. Oleh itu, pemikiran Al-Ghazali adalah antara pilihan terbaik.

Secara keseluruhannya Dr. Shamrahayu menjelaskan buku ini menyatakan satu bentuk negara, iaitu Negara Maslahah, iaitu satu negara yang menganuti Islam, mengamalkan politik bermoral dan mempertahankan maqasid syariah. Dalam sistem pentadbiran, Negara Maslahah ini hendaklah mementingkan pengisian, bukan bentuk; memperlihatkan kebaikan dihayati dan keburukan dipadamkan. Negara Maslahah memerlukan ulama yang benar-benar seimbang, tidak mencintai dunia lebih daripada mencintai akhirat; dapat memberi amanat dan menunaikan amanah memberi nasihat kepada pe­mimpin dan segala pembantunya. Kepimpinan pula hendaklah beramanah dalam melaksana tanggungjawab. Tidak menerima dan memberi nasihat tanpa ilmu. Hanya kepimpinan yang baik, kuat, berdaya saing, berakhlak mulia dan berilmu yang boleh mentadbir Negara Maslahah.

Walaupun Al-Ghazali ahli falsafah dan tasawwuf terkenal, pemikiran Hujjatul Islam ini dalam soal siyasah jarang kedengaran. Oleh itu, beliau berpendapat bahawa buku ini satu hasil kerja yang berpotensi memberikan wajah baharu dalam wacana berkaitan sistem politik dan sete­rusnya pentadbiran negara.

Sebelum itu, Dr. Abdul Salam sebagai panel pertama mengakui walaupun beberapa pandangan Al-Ghazali dipertikaikan atas ketiadaan sanad penggunaan hadis dalam kitab Ihya Ulumuddin, keaslian pandangan dan kemam­puannya untuk memperkasakan se­mula pendekatan Islam sunni tidak boleh dicabar oleh sesiapa pun.

Sebagai ilmuwan yang sentiasa mencari “kemanisan ilmu” Al-Ghazali membabitkan diri sepenuhnya dengan dunia pendidikan sama ada semasa bertugas di Universiti Mizamiyah hinggalah kembali ke kampung halamannya di Ghazlah dengan membuka madrasah sendiri.

Lebih menarik apabila Al-Gha­zali menjelaskan, apa pun yang hendak diambil keputusan oleh seseorang, mestilah mengambil kira kebaikan rakyat. Sekiranya pemimpin terkeluar landasan, ulama wajib memainkan peranan sebagai penasihat, bukannya terlepas pandang atau berdiam diri untuk menjaga kedudukan.

Jangan sia-siakan malam Al-Qadr

MALAM ini kita akan memasuki fasa 10 akhir Ramadan, insya-Allah. Bagi orang muk­min, peluang be­rada dalam fasa ini adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu.

Sebabnya, di dalamnya terkandung satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu lailatulqadar. (al-Qadr: 2) Seribu bulan itu adalah bersamaan kira-kira 83 tahun.


FASA 10 akhir Ramadan amat ditunggu-tunggu oleh umat Islam untuk beribadat sebab di dalamnya terkandung satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. GAMBAR HIASAN/BERNAMA

Umat Islam yang sudah menjalani ibadat puasa dan mendirikan malam Ramadan dengan solat jemaah maghrib hingga tarawih sepatutnya tidak ada masalah meneruskan momentum ibadat tersebut. Malah, sepatutnya meningkatkan lagi ibadat bagi mendapatkan ganjaran pahala malam al-qadr.

Malangnya, masih ramai saudara seagama kita yang tewas dalam perjuangan dalam 10 malam terakhir ini. Mereka ditewaskan oleh pelbagai godaan iklan dan nafsu. Yang paling utama adalah nafsu untuk berbelanja sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Rasulullah SAW apabila masuk 10 malam terakhir Ramadan akan meningkatkan ibadat. Ini dijelaskan menerusi hadis baginda SAW yang bermaksud: “Apabila masuk 10 terakhir bulan Ramadan, maka Nabi menghidupkan malam, mengejutkan isterinya dan menge­tatkan kainnya (tidak menyetubuhi isterinya kerana amat sibuk dengan ibadat yang khusus).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika dibandingkan ibadat Rasulullah dengan kita, bagai langit dengan bumi. Inilah yang perlu kita perbetulkan agar kesempatan berada dalam Ramadan dan 10 malam terakhir tahun ini tidak sia-sia.

Jangan kita biarkannya berlalu bagai hembusan angin malam. Sebaliknya, hendaklah kita ber­usaha melakukan ibadat agar kita memperoleh ‘bonus’ yang amat lumayan. Bukan ‘bonus’ dua bulan tetapi 83 tahun.

Siapakah yang mahu melepaskan peluang dapat bonus 83 tahun dengan hanya datang beker­ja pada satu malam? Pasti hanya orang gila sahaja yang akan lalai dan sia-siakan peluang itu.

Sesibuk mana pun kita bekerja, berniaga dan sebagainya, usahakanlah sekurang-kurangnya solat maghrib, isyak dan tarawih hingga selesai witir bersama imam. Ini bagi membolehkan kita mendapat ganjaran pahala lailatulqadar.

Imam Malik merekodkan dalam kitab al-Muwatta’ menyebut bahawa Imam Ibn al-Musay­yib berkata: “Sesiapa yang bertemu dengan lailatulqadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperoleh kebaikan malam itu.”

Begitu jua pandangan Imam al-Syafie yang menyebut: “Sesiapa yang mendirikan solat isyak dan subuh pada lailatulqadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya. (Lathoif al-Maarif m/s 159)

Malam al-qadr antara lain adalah hadiah daripada Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW. Ini kerana purata umur kita adalah antara 60 ke 70 tahun berbanding dengan umat-umat terdahulu. Nabi Adam dilaporkan berusia 930 tahun, Nabi Nuh 1,000 tahun dan Nabi Ibrahim 195 tahun.

Tanpa pahala ibadat malam al-qadr mana mungkin kita dapat menyaingi pahala umat-umat terdahulu yang umur mereka jauh lebih panjang daripada kita. Untuk itu, marilah kita mengambil peluang melakukan ibadat de­ngan bijak. Beribadat satu malam tetapi ganjaran pahalanya 1,000 malam.

Rasulullah SAW turut mengajar kita apakah doa yang terbaik diamalkan pada malam tersebut. Da­ripada Aisyah RA katanya: “Saya berkata: Ya Rasulullah, jikalau saya mengetahui bila laila­tulqadar itu, apakah yang harus saya ucapkan pada malam itu?” Baginda menjawab: “Ucapkanlah: Allahumma innaka ‘afuwun tuhibbul ‘afwa fa’ fu ‘anni” (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah aku).” (Riwayat Tirmidzi)

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa melak­sanakan solat pada malam lailatulqadar kerana iman dan mengharap pahala daripada Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari)

-