June 26th, 2016

Kaya, miskin bukan pengukur iman

NIKMAT kekayaan sebenarnya adalah ujian sejauh mana kita bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan atau kekayaan itu menjadikan kita lalai.

Kemiskinan bukan bermakna kita terlepas daripada ujian Allah SWT kerana ia juga ujian terhadap kesabaran atau menyebabkan kita mengeluh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan demikianlah Kami uji sebahagian daripada mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang yang kaya itu berkata (kepada orang fakir miskin yang beriman): Inikah orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? (Allah berfirman): Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang yang bersyukur?" (Surah al-Ankabut, ayat 53)


MELAYAN anak yatim berbuka puasa adalah usaha murni kerana berkongsi kekayaan dengan orang miskin adalah satu cara kita bersyukur dengan nikmat Allah SWT. - Foto NSTP


Kekayaan atau kemiskinan bukanlah ukuran keimanan kepada Allah SWT tetapi keimanan diukur melalui sikap terhadap Allah SWT, sama ada bersyukur dengan nikmat dikurniakan dan bersabar dengan ujian kemiskinan dihadapi.

Setiap ujian diberikan pasti ada hikmah yang tidak kita ketahui. Allah SWT menjadikan adanya golongan kaya dan miskin untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Setiap manusia di dunia ini memiliki kelebihan serta kekurangan masing-masing dan tiada manusia yang sempurna di sisi Allah SWT.

Kepada mereka yang memiliki kekayaan, janganlah leka dengan segala nikmat diberikan itu sehingga lupa untuk melakukan amal dengannya.

Rebutlah peluang yang Allah SWT kurniakan untuk membantu orang miskin.

Berkongsi kekayaan dengan orang miskin adalah satu cara kita bersyukur dengan nikmat Allah SWT. Ingatlah, janganlah merasa rugi membantu orang miskin, kerana janji Allah SWT itu pasti.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Mereka bertanya kepadamu mengenai apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 215)

Amal soleh jadi penentu

Ujian Allah SWT kepada manusia berlaku dalam pelbagai bentuk dan setiap ujian adalah untuk melihat bagaimana seseorang itu menghadapinya.

Oleh itu, sebaiknya hadapi ujian dengan berlapang dada serta berusaha mencari jalan mengatasinya. Mereka yang diuji dengan kemiskinan, janganlah mengeluh kerana itu tandanya Allah SWT ingin melihat sejauh mana kesabaran kita berdepan dugaan.

Ingatlah, setiap orang yang berusaha pasti mendapat kejayaan. Janganlah kita menyalahkan takdir Allah SWT, sebaliknya salahkan diri yang malas berusaha dan hanya suka mengharapkan bantuan orang lain.

Ketahuilah kaya bukan bermaksud mulia dan miskin pula perlu dihina. Keimanan seseorang tidak diukur dari sudut banyak atau sikit harta dimiliki, sebaliknya berdasarkan keimanan serta amal soleh yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Muhasabah diri

Bagaimana kita berdepan ujian membolehkan kita menilai diri seterusnya bermuhasabah supaya langkah yang diambil seterusnya adalah usaha menghadapi keadaan itu sebaiknya atau memperbaiki diri ke arah lebih baik.

Kekayaan dan kemiskinan adalah hak Allah SWT dan sesungguhnya Allah Maha Adil lagi Maha Bijaksana dalam perancangan-Nya kepada umat manusia.

Firman-Nya yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta." (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Berterawih sambil telaah pelajaran

SEPERTIMANA kita ketahui belajar adalah tuntutan agama. ALLAH SWT berfi rman: "ALLAH meninggikan darjat orang yang beriman dalam kalangan kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu beberapa darjat." (Surah Al-Mujadalah: 11)

Konsep ilmu dalam Islam pula merujuk kepada hakikat ALLAH sebagai pemilik mutlak ilmu.

Manusia hanya diberikan sedikit sahaja ilmu. Namun begitu ilmu yang sedikit bermakna di sisi ALLAH jika digunakan sebaik mungkin sehingga membawa kepada keimanan yang kukuh terhadap ALLAH serta mengikut perintah dan menjauhi larangan-Nya.

Ilmu mesti dipelajari dan dikembangkan berdasarkan asas tauhid dan disertakan integrasi iman, kemanfaatan ilmu, amalan yang soleh dan akhlak yang mulia.

Tarawih pula adalah bahagian dari solat nafi lah (tathawwu'). Mengerjakannya disunnahkan secara berjemaah pada Ramadan, dan sunnah muakkad.

Disebut tarawih, kerana setiap selesai dari empat rakaat, jemaah duduk untuk istirahat.

Berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA: "Barang siapa melakukan qiam (lail) pada bulan Ramadan, kerana iman dan mencari pahala, maka diampuni untuknya apa yang telah lalu dari dosanya."

Maksud qiam Ramadan secara khusus, menurut Imam Nawawi adalah solat tarawih. Hadis ini memberitahu solat tarawih itu boleh mendatangkan maghfi rah dan boleh menggugurkan semua dosa, tetapi dengan syarat bermotifkan iman, membenarkan pahala dijanjikan ALLAH dan mencari pahala tersebut dari ALLAH. Bukan kerana riyak atau sekadar adat kebiasaan.

Terawih penghalang belajar?

Ramadan ini, mahasiswa universiti bertungkus-lumus menghadapi peperiksaan akhir. Mahasiswa beranggapan apabila menunaikan solat tarawih menjadikan tidak cukup masa untuk belajar.

Betulkah situasi ini? Secara peribadi, penulis beranggapan situasi ini tidak benar sama sekali kerana ia tidak boleh dijadikan alasan. Sebelum ini mereka tidak belajarkah? Alasan itu hanya digunakan mereka yang belajar pada saat-saat akhir sahaja, tidak kepada mereka yang bersedia dari awal lagi.

Dalam bulan Ramadan terdapat padanya kerahmatan dan kemuliaan, ia adalah satu peluang untuk kita memberikan tumpuan hanya kepada ibadah dan pelajaran. Pada bulan ini, kita tidak disibukkan dengan persiapan untuk makan dan minum seharian melainkan hanya waktu berbuka sahaja.

Peruntukan masa untuk bertarawih selama dua jam berbanding seharian belajar sepatutnya tidak dijadikan alasan untuk mengatakan tarawih menghalang waktu untuk belajar.

Berdasarkan pengalaman ramai penuntut, biasanya penuntut yang berjaga lewat malam belajar sampai jam 2 atau 3 pagi jarang menjadi pelajar terbaik, yang gagal mungkin ramai.

Kebiasaannya yang jadi pelajar terbaik adalah yang bangun dan tidur awal.

Sama ada anda pelajar atau bukan pelajar, jam 4 hingga 6 pagi adalah waktu terbaik untuk beribadah, munajat kepada ALLAH, berdoa dan mengerjakan solat sunat.

Waktu itu terbaik untuk membaca al-Quran dan belajar ilmu ALLAH. Pokok pangkalnya, ia bergantung kepada pengurusan masa pelajar itu sendiri untuk mengurus waktu antara ibadah dan pelajaran.

Mahasiswa perlu bijak mengambil peluang dan keberkatan dalam bulan yang mulia ini untuk menghidupkan Ramadan di samping menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Kampus Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai, Negeri Sembilan dihidupkan roh Ramadan dan diimarahkan padanya dengan pelbagai aktiviti dan program kerohanian.

Antaranya solat tarawih berjemaah di setiap kolej kediaman. Imam, bilal dalam kalangan penuntut juga.

Bahkan ada penuntut yang menjadi imam di surau dan masjid sekitar Nilai.

Mereka bertarawih tetapi masih cemerlang dalam peperiksaan.

Puasakan hati dan lisanmu!

"KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan merana!" Inilah pesan orang tua-tua kita dahulu. Benar sekali.

Ada orang disukai kerana mulutnya, dan ada yang dibenci juga kerana mulutnya.

Maksudnya, percakapan seseorang itu sangat disenangi oleh orang lain dan ada percakapan sebahagian orang yang membuatkan orang lain sakit hati dengannya.

Maka, perkataan yang terbit dari mulut kita kadangkala boleh membawa kita ke syurga, dan kadangkala ia juga boleh membawa kita ke neraka. Sebab itu, Rasulullah berpesan: "Siapa yang boleh memberi jaminan kepadaku apa yang ada di antara dua bibirnya (lidah), dan apa yang di antara dua pahanya (kemaluan), maka aku berikan kepadanya jaminan syurga." (Riwayat Bukhari)

Ertinya, sesiapa yang boleh memelihara lidahnya dan kemaluannya dari terbabit melakukan perkaraperkara yang dilarang dan dibenci oleh syariat, maka ganjaran yang dijanjikan untuknya ialah syurga.

Peliharalah lisan, awasilah percakapan kita kerana setiap yang terbit dari mulut pasti akan dicatat dan dinilai kedudukannya nanti. ALLAH SWT mengingatkan perkara ini dalam fi rman- Nya: "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Surah Qaf: 18)

Setiap lafaz perlu dijaga, kerana setiap kalimah pasti akan dikira. Ramadan adalah medan terbaik untuk kita melatih lisan dan menjaga percakapan.

Puasa tidak akan berkesan jika kita hanya sekadar menahan perut dari lapar dan dahaga sematamata.

Lisan juga perlu dilatih supaya ia berpuasa dari terjerumus dalam perkara-perkara yang mengundang dosa dan menghalang pahala.

Berpuasakah lisan jika ia selalu mengutuk orang lain? Berpuasakah lisan jika ia asyik dengan berkata dusta?

Berpuasakah lisan jika ia digunakan untuk menabur fi tnah dan mengumpat?

Berapa ramai mereka yang berpuasa tetapi tidak sedar yang puasanya telah rosak di saat lisannya dicemari dengan kata-kata nista, mengejek, menabur fitnah, berkata lucah dan sebagainya.

Apakah ertinya puasa jika ada saudara Muslim yang lain berasa sakit dengan kata-kata kita?

Apakah ertinya puasa jika ada orang lain dizalimi dek kerana kata-kata kita?

Apakah ertinya puasa jika ada orang lain yang sengsara dengan kata-kata kita?

Puasa hati

Mari kita renungi pesanan Rasulullah SAW ini: "Muslim itu ialah seorang yang orang Muslim lain berasa selamat dan aman dari lisannya dan tangannya." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Maka, puasa bukan sekadar tidak makan dan tidak minum sahaja sedangkan lisan bebas berkata apa sahaja. Lisan juga perlu dipuasakan dari kata-kata yang mengundang dosa.

Apabila ini kita lakukan maka barulah matlamat berpuasa untuk melahirkan manusia yang bertakwa akan terlaksana.

Al-Qalb iaitu jantung atau istilah yang biasa digunakan ialah hati adalah asas bagi segala percakapan dan perbuatan.

Jika baik hati kita, maka baiklah amal perbuatan kita. Jika buruk hati kita, maka buruklah amal perbuatan kita. Benarlah kata Rasulullah SAW: "Ketahuilah, sesungguhnya dalam tubuh badan itu ada seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh badan, dan jika ia rosak, maka rosaklah seluruh badan. Ketahuilah daging itu ialah jantung hati." (Riwayat Bukhari)

Laman hati ini perlu dipelihara agar ia sentiasa hidup ceria dengan sinar hidayah dan keimanan.

Jika perkara ini tidak diberikan perhatian, takut-takut ia akan kering kehausan dari sinar keimanan dan terus mati dari cahaya ketakwaan. Sebab itulah, ALLAH gambarkan orang yang lalai dan jauh dari petunjuk-Nya, hati mereka berpenyakit.

Kata ALLAH: "Dalam jantung hati mereka itu ada penyakit, maka ALLAH tambahkan lagi penyakit tersebut." (Surah Al-Baqarah: 10)

Antara doa yang selalu diamalkan oleh Rasulullah SAW ialah: "Wahai Tuhan  yang membolak-balikkan jantungjantung hati, tetapkan jantung hatiku ini di atas agama-Mu."

Oleh itu, bulan Ramadan adalah satu peluang yang sangat baik untuk kita menyiram taman hati dengan siraman iman dan takwa agar ia terus subur dan sihat sentiasa. Kita berpuasa, bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi hati kita juga mesti turut berpuasa.

Nikmati hati individu beriman

Puasakan hati dari segala unsurunsur yang merosakkan seperti kesyirikan, kepercayaan yang karut marut, syak wasangka yang membinasakan dan niat serta tujuan yang jahat.

Hati orang beriman akan sentiasa hidup subur dengan perasaan kasih dan cintakan Penciptanya.

Ingin sentiasa lebih dekat dengan Pemiliknya. Tidak akan mengizinkan anasir-anasir buruk yang boleh merenggangkan hubungannya dengan ALLAH.

Hati orang beriman akan berpuasa dari sifat takbur dan membangga diri kerana ia akan merosakkan tuan empunya diri.

Takbur itu tempat terbitnya ialah dari dalam hati. Apabila hati telah dipenuhi dengan perasaan takbur, maka pada saat itulah pemiliknya akan dihinggapi penyakit yang membinasakan.

Hati orang beriman akan berpuasa dari sifat ujub, iaitu berasa diri lebih bagus dari orang lain. Menyangka pada dirinya sahaja ada kebaikan yang tidak ada pada orang lain. Perasaan seperti ini sebenarnya akan membinasakan diri sendiri. Jika kita terkena dengan

penyakit ini, maka rawatlah ia dengan merenung kepada kelemahan dan

keaiban diri sendiri.

Kadang-kadang kelemahan dan keaiban itu tidak nampak di mata orang lain. Hanya kita dan Tuhan Yang Mengetahui yang mengerti hakikat dan kekurangan diri sendiri.

Hati orang beriman akan berpuasa dari sifat hasad dengki. Hasad dengki

akan merosakkan amal soleh kita.

Hasad dengki akan memadamkan cahaya hidayah yang bersinar di dalam hati. ALLAH mengingatkan kita: "Atau patutkah mereka berasa dengki kepada manusia disebabkan nikmat yang telah diberikan oleh ALLAH kepada mereka dari limpah kurnia-Nya? (Surah Al-Nisa': 54)

Ramadan ini peluang untuk mendidik hati. Bersihkan ia dari segala perasaan dan sifat yang membinasakan diri. Harapannya agar kita tidak hanya berpuasa dari segi zahir, menahan diri dari lapar dan dahaga semata-mata.

Tetapi, batin kita juga mesti dilatih supaya berpuasa.

Justeru, puasa bukan sekadar menahan diri dari menyuap makanan di siang hari, tetapi jauh dari itu, ia mampu mendidik lisan dan juga hati. Semoga kesan didikannya berkekalan dalam diri. Ustaz Abd Razak Muthalib, Jurulatih Kanan di Akademi Magnet Sukses