June 29th, 2016

Teras konsep ibadah puasa lonjak kerjaya mendidik

BANYAK kelebihan dan rahmat boleh kita peroleh dengan berpuasa Ramadan. Selain mengajar bersabar, berdisiplin dan menepati waktu, ada lagi pengajaran boleh diambil melalui ibadah puasa, khususnya pemimpin pendidikan, terutama pengetua dan guru besar.

Puasa membuktikan bahawa kita boleh melakukan sesuatu di luar kebiasaan. Tidak makan dan minum selama 13 jam (ada negara lebih 18 jam), memang luar biasa.



GURU perlu tanamkan niat dalam diri dan bersungguh-sungguh mendidik untuk mencapai matlamat luar biasa.



Cuba ajak orang yang tidak pernah berpuasa berlapar dan dahaga sepanjang tempoh itu. Tentu perit.

Tapi umat Islam mampu melakukannya.

Dalam memimpin sekolah, pengetua dan guru besar perlu percaya bahawa guru dan pelajar mereka mampu melakukan sesuatu yang luar biasa.

Lonjak GPS

Sekolah yang biasa-biasa saja pencapaian akademiknya, perlu percaya mereka boleh melonjakkan gred purata sekolah (GPS).

Letak sasaran yang tinggi. Jangan takut. Percaya. Selepas itu usahakan sehingga berjaya.

Tidak perlu khuatir jika anda meletakkan sasaran tinggi, tapi gagal mencapainya. Yang perlu dirisaukan adalah meletakkan sasaran rendah, lalu mencapainya. Ambillah sedikit risiko.

Puasa juga mengajar kita betapa pentingnya niat.

Dalam satu hadis sahih, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, "Sesungguhnya setiap amalan mesti bermula dengan niat." Niat adalah kehendak yang bertempat di dalam hati. Kehendak inilah yang menjadi pemangkin kepada usaha, masa, tenaga dan wang ringgit yang dilaburkan untuk mencapai matlamat dan sasaran luar biasa itu.

Tulis sasaran

Niat dan kehendak itu mesti diulang selalu, seperti mana juga kita berniat puasa setiap malam. Semakin ia mantap di dalam hati dan fikiran, semakin terarah usaha dan tindakan.

Pengetua dan guru besar perlu selalu mengulang-ulang GPS disasarkan, kepada murid dan lebih-lebih lagi kepada guru. Sebut dalam setiap perhimpunan dan mesyuarat.

Tulis sasaran di merata sudut sekolah. Apabila sudah tertanam di dalam sanubari, insya-Allah usaha yang setimpal akan menyusul. Jika dihayati, puasa juga mengajar kita untuk menjadi lebih fokus.

Para salafussoleh memahami hakikat ini. Dalam Ramadan mereka memfokuskan ibadah mereka kepada puasa, qiamullail, membaca al-Quran dan bersedekah.

Imam Malik RA menangguhkan kelas pengajiannya di Masjid Nabawi sepanjang Ramadan.

Peka takwim persekolahan

Pengetua dan guru besar perlu peka terhadap takwim persekolahan. September hingga November adalah musim peperiksaan.

Beri tumpuan kepada aktiviti akademik yang menjurus kepada meningkatkan kemahiran murid menjawab soalan peperiksaan.

Aktiviti yang tidak menjurus kepada akademik, laksanakan sebelum daripada waktu berkenaan. Menangguhkan kegembiraan selepas penat berusaha juga adalah antara pengajaran yang boleh diperoleh daripada berpuasa.

Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.

Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Delayed gratification. Itu istilah yang digunakan sekarang. Maka pengetua dan guru besar perlu menanamkan prinsip ini dalam diri setiap guru dan pelajar.

Perlu kerja keras. Perlu berkorban. Ingin berehat? Ingin santai? Ingin lepak-lepak? Guru-guru mahu buat rombongan ke Langkawi? Boleh. Tapi bukan sekarang. Selepas mendapat keputusan cemerlang, maka silakan.

Bersihkan jiwa kotor ketika syaitan dibelenggu

RAMADAN kini memasuki fasa terakhir. Begitu pantas masa berlalu. Tidak sampai 10 hari, Ramadan akan pergi me­ninggalkan kita. Semoga dalam hari-hari yang berbaki ini, kuantiti ibadah kita semakin baik dan berkualiti. Teruskan jihad Ramadan ini. Jihad sudah sinonim dengan bulan Ramadan. Memetik inti pati khutbah Jumaat yang di­sampaikan oleh Dr. Farid Ravi di Masjid Bandar Seri Putra (MBSP) minggu lalu, beliau menjelaskan mengenai jihad ini iaitu jihad mengekang nafsu yang sentiasa mengajak manusia melakukan kejahatan dan jihad meme­rangi musuh. Berkaitan jihad mengekang nafsu melakukan kejahatan, beliau menarik perhatian tentang syaitan. Setiap kali Ramadan kita sering diperingatkan tentang bagaimana syaitan diikat atau dibelenggu sepanjang bulan ini.

Contohnya hadis yang berbunyi: “Apabila masuk bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahanam, serta dibelenggu syaitan-syaitan”. Begitu juga dengan hadis berikut: “Jika datang bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu,” (HR. Bukhari dan Muslim).

Persoalannya, kenapa masih ada manusia yang sanggup me­lakukan kejahatan? Adakah ini bermakna syaitan masih bebas bergerak menghasut dan menggoda manusia melakukan maksiat dan kemungkaran sehingga terjerumus ke lembah dosa pada bulan yang mulia ini? Manusia juga memainkan peranannya. Jika mereka tahu syaitan itu kufur maka tidak perlu mereka mengikut te­lunjuk syaitan. Memang syaitan itu dibelenggu pada bulan Ramadan tetapi disebabkan jiwa dan nafsu yang kotor, manusia tetap me­lakukan kemungkaran. Tidak pasti sama ada pelaku kejahatan ini adalah orang Islam yang turut berpuasa. Jika ya, jadikanlah ibadah puasa pada bulan Ramadan ini sebagai alat untuk membersihkan jiwa dan nafsu mereka yang jahat serta kotor.

Selak ingin menarik perhatian mengenai manusia yang terus dipengaruhi unsur-unsur jahat dan maksiat pada bulan Ramadan ini. Contohnya, kes kecurian di kawasan masjid termasuk ketika orang sedang bersolat. Banyak video, gambar yang sering menjadi viral memaparkan kes kecurian ini seolah-olah satu perkara biasa. Mencuri beg duit jemaah, tabung masjid adalah antara kes yang dilaporkan. Kereta yang diletakkan di kawasan masjid juga menjadi mangsa penjenayah mencuri barang berharga. Mungkin jika berlaku di luar bulan Ramadan, itu satu perkara biasa tetapi apabila melibatkan pada bulan yang mulia ini, ia sesuatu yang amat mendukacitakan. Adakah mereka ini tergolong dalam golongan sejahat-jahat syaitan?

Bagaimana pada bulan Ramadan ini mereka boleh ‘terlepas’ melakukan kejahatan lebih-lebih lagi di kawasan masjid? Adakah mereka tidak ada duit sehingga tergamak mencuri ketika orang sedang beribadah? Apakah masalah sebenar mereka ini? Adakah mereka ini tergolong dalam kalangan orang yang benar-benar miskin? Mungkin ya dan mungkin tidak. Jika ya, golongan ini tentunya mendapat pembelaan sewajarnya daripada masyarakat lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini umat Islam digalakkan bersedekah.

Orang yang bersedekah pada bulan Ramadan akan ditambah pahalanya 10 hingga 700 kali ganda. Maka ramai yang berlumba-lumba untuk bersedekah. Biasa­nya fakir miskin juga mendapat bantuan secara langsung daripada pusat zakat, agensi berkaitan kebajikan dan sebagainya. Jika ada yang tidak dibantu, mungkin akibat terlepas pandang dan kegagalan pihak-pihak berkenaan menyantuni mereka. Pusat zakat atau pihak-pihak yang berkaitan perlu mencari kaedah untuk mengesan golongan ini tanpa ada yang tercicir sama ada disebabkan tidak mendapat maklumat atau angkara kerenah birokrasi. Hentikan polemik yang berkaitan zakat ini, isu yang tidak pernah berakhir.

Kembali kepada kes kecurian di masjid, siapakah mereka yang tergamak mencuri ketika orang sedang beribadah atau melakukan amal kebaikan? Adakah penagih dadah yang sudah hilang pedoman hidup sehingga ada kes menunjukkan mereka ini sanggup membunuh anggota keluarga untuk mendapatkan wang bagi memperoleh dadah atau melakukan perbuatan ini ketika dipengaruhi dadah? Adakah mereka ini juga penganggur yang sebenarnya malas bekerja ketika berjuta orang pendatang asing memasuki negara ini merebut peluang kerja?

Untuk meminta secara baik mereka mungkin malu dan akhirnya terpedaya dengan godaan syaitan supaya mencuri di mana sahaja ada kesempatan sekalipun di ‘rumah Allah’ . Mereka mungkin terdesak dan datang ke masjid bukan untuk beribadah tetapi mahu mencuri jika berkesempatan, maksudnya mungkin peluang itu datang apabila berlaku kecuaian jemaah yang meletak barang mereka dengan satu kepercayaan ‘tidak ada yang akan mencuri di rumah Allah’. Malahan jika tercicir di masjid, tidak akan hilang dan dikembalikan. Hakikatnya Islam tidak mengajar umatnya mencuri walaupun dalam keadaan terdesak. Mencuri juga bukan jalan keluar daripada kesusahan atau kemiskinan.

Bagi Dr. Farid Ravi, jika mereka ini datang ke masjid untuk mencuri akibat desakan hidup, beliau yang juga Nazir MBSP menyarankan supaya mereka menemui jawatankuasa masjid untuk berkongsi rezeki yang ada. Apa yang penting jangan mendedahkan diri dengan kegiatan mencuri. Jangan sesekali mencuri harta awam di masjid atau barang-barang yang diwakafkan. Kalau tersarung kasut orang ketika tidak sabar untuk pulang selepas solat, mungkin itu boleh dimaafkan tetapi jika sengaja meninggalkan kasut sendiri yang lusuh dan diambil kasut baharu hak orang lain, ini boleh dianggap mencuri.

Selak turut mengalami pe­ngalaman kehilangan barang berharga di kawasan masjid pada hari yang sama Dr. Farid Ravi menyentuh perkara ini. Petang itu ketika menghadiri satu program di sebuah masjid di ibu negara, beg sandang yang mengandungi beberapa barang berharga serta dokumen penting lesap ketika di­tinggalkan sementara untuk satu tugasan. Mungkin akibat kecuaian saya yang terlalu yakin tidak ada manusia jahat di masjid terutama pada Ramadan ini. Pengajarannya, kecurian di masjid akan terus berlaku. Ingatlah walaupun berada di kawasan yang dianggap menjadi tumpuan manusia berjiwa bersih dan beriman, masih ada insan berjiwa kotor serta tidak takut dengan undang-undang manusia dan Tuhan. Tidak hairanlah di sesetengah masjid sering diperingatkan supaya para jemaah menjaga barang-barang berharga mereka semasa di masjid.

Manusia yang dipengaruhi syaitan akan sentiasa mengambil ke­sempatan jika berpeluang tanpa mengira tempat. Mereka yang namanya orang Islam tidak peduli tentang tanggapan orang terhadap imej agama itu ketika berada di rumah ibadat. Biar apa pun, jangan fobia ke masjid tetapi berhati-hatilah kerana ragam manusia ini pelbagai. Barangkali pada bulan ketika syaitan dibelenggu, syaitan sedang belajar daripada manusia untuk melakukan kejahatan! - Hassan Mohd Noor Utusan Malaysia Rencana 27 Jun 2016 6:00 PM

Musibah agama hujung Ramadan

"ADUH! Buntu rasanya memilih antara bersengkang mata memecut pacuan ibadat bagi menghidupkan 10 malam terakhir atau berhabis menyiapkan persiapan Aidilfitri. Satunya bernilai 1,000 bulan, manakala satu lagi hanya setahun sekali. Kedua-duanya penting, mana yang harus diutamakan?”

Ganjaran 1,000 bulan tidak nampak pada mata zahir manakala persiapan hari raya terang bersuluh di depan mata. Tambah menggoda apabila banyak sekali tawaran istimewa mengghairahkan agar hari raya ini disambut dengan penuh gemilang. Pada waktu ini, orang beriman yang celik mata hatinya pasti tahu mana yang wajib diutamakan kerana belum tentu Ramadan tahun hadapan menjadi milik kita.

Amat rugi bagi Muslim yang 'tersadung' kaki

LANGSUNG tidak salah membeli-belah membuat persiapan Aidilfitri tetapi ia perlu berpada-pada, jangan sampai mengabaikan peluang merebut ganjaran besar menghidupkan 10 hari terakhir Ramadan. - GAMBAR HIASAN

Itu mungkin dilema sesetengah orang awam apabila Ramadan mulai melabuhkan tirainya. Kelihatan kilauan malam al-Qadar hanya seakan tembaga walaupun ia sebenarnya emas bertatahkan berlian yang dilimpahkan setahun sekali pada 10 malam terakhir Ramadan. Apa pun pilihan kita, jangan sampai kita ditimpa “musibah agama” ketika kemuncak ibadat menjengah pada akhir Ramadan.

MUSIBAH AGAMA?

Musibah terbahagi dua, agama dan dunia. Musibah dunia merujuk kepada kesusahan yang menimpa manusia di dunia seperti sakit, letih, rugi dan sebagainya. Ia mampu menjadi rahmat kepada orang beriman yang reda dengan pemberian Allah sebagaimana disebut Rasulullah SAW;

“Tiada yang menimpa seorang Muslim satu kesusahan, kesakitan, keresahan, kesedihan, kedukaan, bahkan sehingga secucuk duri yang menikamnya melainkan Allah akan menghapus dosanya,” - Sahih Bukhari.

Musibah agama pula merujuk tindakan manusia yang merosakkan iman mereka kepada Allah atau sebarang aktiviti dosa. Musibah ini boleh menjadi penyebab terhumbannya mereka ke neraka. Rasulullah SAW dalam doanya yang masyhur memohon perlindungan daripada musibah agama:

“Dan janganlah Engkau jadikan musibah/keburukan kami pada agama kami. Dan janganlah Engkau jadikan dunia itu sebagai keutamaan cita-cita kami dan kesudahan ilmu kami. Dan janganlah Engkau jadikan pemerintah kami orang yang tidak bersifat belas kasihan kepada kami,” - Sunan Tirmizi.

Contoh terbaik menerangkan perihal musibah agama dan musibah dunia adalah kisah Nabi Yusuf a.s. Ketika berada di persimpangan antara menderhaka Allah atau dipenjarakan, baginda memilih penjara kerana baginda tahu susah dunia dalam penjara bukanlah penghujung kehidupan asal jangan mengundang amarah murka Allah dengan musibah agama seperti zina. Ia terkandung dalam Surah Yusuf [12:32-33]).