June 30th, 2016

Puasa itu sihat, banyak manfaat

IBADAH puasa memberikan banyak keistimewaan kepada kehidupan yang lebih sihat. Antaranya dapat merehatkan organ penghadaman dan pernafasan. Kesemua organ dalaman ini bekerja dengan gigih sepanjang 11 bulan dan semasa Ramadan memberikan peluang kepada ‘jentera’ tubuh itu untuk memulihkan kembali fungsi dan memastikannya mampu bekerja lebih baik.


Hebatnya perintah Allah kepada hamba-Nya


KURMA merupakan juadah berbuka sunnah yang digalakkan oleh Rasulullah SAW kerana mempunyai pelbagai khasiat. - GAMBAR HIASAN

Perut manusia bukan hanya sekadar tempat menyimpan makanan, bahkan merupakan pusat menyeimbangkan makanan.
Keseimbangan ini akan mudah rosak jika makan secara berlebihan. Justeru, Rasulullah SAW menyarankan supaya bersederhana dalam mengambil makanan dan minuman iaitu satu pertiga makanan, satu pertiga air dan satu pertiga udara. Sabda baginda SAW daripada Miqdad bin M’adikarib mafhumnya:

“Tidaklah memenuhkan anak Adam itu sebuah bekas yang lebih jahat (hina) melainkan bagi memenuhi perutnya, sekiranya dia makan memadai dengan suapan kecil yang mampu menguatkan tulang sulbinya. Sekiranya dia dikuasai oleh nafsunya, maka hendaklah diisi perutnya dengan sepertiga makanan, sepertiga minuman dan sepertiga nafasnya.” - Riwayat Ahmad, Tirmizi, Nasa’ie dan Ibnu Majah.

Puasa mendidik dan membantu sistem penghadaman menerima makanan serta minuman pada waktu yang ditetapkan sahaja. Sedangkan pada kebiasaannya, seseorang itu sentiasa menikmati hidangan makanan tanpa mengira waktu dan menu. Ini menjadikan perut bekerja memproses makanan tanpa rehat. Para penyelidik dan pakar ilmu perubatan menyatakan bahawa puasa mampu mengurangkan kadar toksin dalam badan dan secara tidak langsung meningkatkan imunisasi melawan penyakit.

Rasulullah SAW bersabda:“Berpuasalah nescaya kamu menjadi sihat,”- Riwayat Tabrani.

Puasa dapat menghindarkan penyakit yang datang daripada makanan yang dimakan. Sabda Rasulullah SAW: “Perut itu adalah rumah penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit,”- Riwayat Muslim.



Sunat melewatkan bersahur kerana menepati waktu sarapan pagi yang merupakan pengambilan makanan terpenting.- GAMBAR HIASAN -

HEBATNYA 
PERINTAH ALLAH

Ajaib sekali perintah Allah SWT ini yang menjadikan kita kembali sihat. Menurut pandangan ahli biologi, ketika perut dan usus melakukan proses pencernaan, otak tidak berfungsi dengan baik. Ini kerana tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada kerja-kerja penghadaman makanan. Sebab itulah apabila seseorang itu makan sehingga terlalu kenyang, otak menjadi lemah untuk berfikir dan tubuh terasa mengantuk serta malas.

Ketika berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental serta fizikal yang berkesan.

Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur merupakan amalan sunat yang digalakkan. Setiap perkataan dan perbuatan sunnah Nabi SAW mempunyai hikmah dan ganjarannya. Kelebihan bagi mereka yang bersahur antaranya Rasulullah SAW bersabda:

“Makan sahur adalah barakah, maka janganlah kalian meninggalkannya meskipun seorang antara kalian hanya minum seteguk air,”- Riwayat Ahmad.

“Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur,”- Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sunnah Nabi SAW agar sahur dilewatkan amat signifikan kerana ia menepati waktu bersarapan pagi. Kajian menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam ialah sarapan pagi. Menurut laporan BBC News pada 7 Mac 2003, bersarapan pagi penting untuk memelihara kesihatan berbanding mengambil makanan pada waktu lain.

Kajian oleh Dr. Mark Pereira, pakar perubatan Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis. Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi.

Ini bermaksud mereka yang selalu bersarapan pagi, risikonya rendah menghidap kencing manis. Kajian terkini menunjukkan paras glukosa dalam darah yang rendah selepas bangun tidur akan berterusan jika tidak bersarapan pagi yang memberi kesan kepada kanak-kanak terutama dalam memberi tumpuan kepada pelajaran.

Inilah realitinya beberapa kajian yang menyatakan pentingnya bersarapan pagi dan kurangnya risiko mendapat penyakit bagi mereka yang selalu bersarapan pagi dan sebaliknya boleh dikiaskan dalam sunnah bersahur bagi Muslim yang berpuasa.

Inilah wasatiyyahnya seorang Muslim yang berpuasa menjadikan Ramadan titik permulaan gaya hidup yang sihat dan seimbang sekali gus menjadi individu yang lebih baik dan produktif.

-

Zakat dan persepsi buruk masyarakat, Zakatkan fitrahmu

Zakatkan fitrahmu


Bolehkah ustaz terangkan dengan lebih jelas perihal zakat fitrah. Mungkin masih ramai yang tidak memahami mengenainya.

jawapan

ALLAH SWT mensyariat zakat fitrah pada bulan Syaaban, tahun kedua hijrah. Ia ditunaikan bagi melengkapi ibadah puasa Ramadan. Hikmah terbesar, agar mereka yang tidak bernasib baik dapat turut bergembira pada Aidilfitri.

Indahnya lagi kerana zakat fitrah itu seiring dengan Aidilfitri. Kedua-duanya berkaitan dengan fitrah, iaitu asal diri manusia yang suci tanpa dosa. Seperti bayi baharu lahir. Zakat fitrah melengkapi Aidilfitri, sekali gus menjadi penutup Ramadan yang sangat bererti.

Pelengkap Ramadan, beri peluang raikan Aidilfitri


ZAKAT fitrah ditunaikan bagi melengkapi ibadah puasa Ramadan sekali gus memberi peluang kepada yang tidak bernasib baik menyambut Aidilfitri. - GAMBAR HIASAN

Daripada Ibnu Abbas r.a: “Bahawa Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah sebagai pembersih (penyucian) bagi orang yang berpuasa daripada perkataan yang tidak berguna dan kotor dan sebagai makanan bagi orang-orang miskin. Maka sesiapa yang mengeluarkannya sebelum solat (Aidilfitri), ia menjadi zakat yang diterima dan sesiapa mengeluarkannya setelah solat, ia menjadi sedekah biasa,” - Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah, hadis sahih menurut Hakim.

PERMASALAHAN DAN PENYELESAIANNYA

1. Menjadi kelaziman di Malaysia, ayah akan menunaikan kewajipan zakat fitrah bagi diri, isteri dan anak-anaknya termasuk anak gadis yang belum bersuami.


  • Para fuqaha berpandangan seorang bapa hakikatnya tidak lagi wajib mengeluarkan zakat fitrah bagi anak-anaknya yang sudah baligh dan mampu berdikari. Mereka patut menunaikannya sendiri.

2. Jika mempunyai ibu ayah yang tidak mampu, si anak wajib menanggung zakat fitrah mereka.

3. Tidak menjadi kesalahan bagi seorang anak gadis jika mahu menunaikan zakat fitrah bagi ibu bapanya yang kaya. Dia hanya perlu memohon izin dan ia adalah perbuatan terpuji, kerana membuktikan kasih sayang kepada ibu bapanya.

4. Apabila suami meninggal dunia dan anak-anak dipelihara oleh ibu, maka ibu yang perlu menunaikan zakat fitrah mereka.


  • Jika ibu tidak mampu, kewajipan itu berpindah kepada datuk atau bapa saudaranya.

  • Jika berlaku perceraian, maka selagi masih dalam tempoh idah, suami masih wajib menunaikan zakat fitrah bagi pihak isterinya.

5. Mempunyai anak-anak yang bukan daripada nasabnya sendiri, anak tiri atau angkat.


  • Perlu meminta izin daripada bapa kandung mereka atau datuknya atau wali mereka yang sah di sisi syarak untuk menunaikan zakat fitrah mereka.

  • Jika sudah tidak diketahui di mana walinya atau mungkin sudah mati, maka boleh sahaja mengambil harta si anak untuk dikeluarkan zakat fitrahnya.

  • Jika anak sudah boleh berfikir (mumaiyiz), bolehlah meminta izinnya untuk mengeluarkan zakat fitrah bagi dirinya.

6. Ingin tunai zakat fitrah bagi pembantu rumah atau yang tiada pertalian nasab dengannya.


  • Sebenarnya boleh sahaja menunaikan zakat fitrah bagi yang tidak termasuk dalam tanggungan nafkah wajib.

  • Syaratnya wajib mendapat izin daripada mereka, jika diizinkan baharu menjadi sah.

7. Dalam keadaan tertentu, jika anak-anak mempunyai hartanya sendiri, mereka boleh menunaikan zakat fitrah mereka sendiri. Ia adalah sah.

Jika mahu mengeluarkan zakat fitrah berasaskan gred beras yang lebih mahal, ia dibolehkan. Namun tidak boleh menurunkan harganya lagi, kerana nilai RM7 itu dianggap harga yang setara dan mampu bagi semua orang. Namun jika ada pihak yang berkeras mahu menunaikan fitrah dengan beras, ia masih lagi diterima dan sah.

Zakat fitrah boleh ditunaikan di tempat kita tinggal. Namun fuqaha berpandangan, ia menjadi lebih afdal ditunaikan di tempat kita mendirikan solat Aidilfitri. Ini berdasarkan hadis sahih Imam Bukhari, iaitu para sahabat diperintahkan oleh Nabi SAW untuk menunaikan zakat fitrah sebelum mereka keluar menunaikan solat Aidilfitri. Sebab itulah, waktu itu juga menjadi paling afdal.


Zakat dan persepsi buruk masyarakat

ANTARA isu yang sering menjadi perhatian masyarakat terutamanya dalam bulan Ramadan adalah mengenai zakat. Isu ini timbul setiap kali ada laporan atau pendedahan oleh media berkenaan fakir miskin yang terdapat dalam negara. Penangan media sosial juga menyebabkan isu tidak menerima bantuan ini seringkali menjadi panas.

Sepanjang dua atau tiga minggu lepas, penulis acap kali ditanya oleh rakan-rakan berkenaan orang miskin dan zakat ini. Apabila be­rita-berita kemiskinan dijadikan viral sama ada dalam Facebook, WhatsApp dan saluran media sosial lain, maka banyaklah persoalan timbul dalam kalangan masyarakat. Penulis pula dijadikan tempat se­perti kaunter pertanyaan.

Melihat kepada respons masyarakat dalam media sosial, wujud bermacam-macam komen. Ada yang pedas dan ada yang lembut. Ada yang kata bahawa isu ini sudah lama dan wajar dicari penyelesaian segera. Ada juga yang mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan masalah ini.

Penulis memerhatikan bahawa trend masyarakat apabila timbul isu seperti ini boleh dikategorikan kepada tiga keadaan, iaitu positif, negatif dan tidak ambil peduli. Bagi golongan positif, mereka tidak mempercayai bulat-bulat berita yang dibaca. Biasa­nya, mereka akan mengambil inisiatif sendiri untuk berkunjung ke rumah fakir miskin tersebut. Ini bagi memastikan maklumat yang disampaikan melalui media sosial adalah boleh dipercayai.

Dalam hal ini, laporan Utusan Malaysia baru-baru ini mengenai Aishah Omar atau Mak Esah yang mengambil inisiatif sendiri bagi membantu golongan kurang berkemampuan adalah antara contoh individu yang proaktif. Dalam laporan tersebut didedahkan mengenai usaha beliau dan keluarga menyediakan bungkusan-bungkusan barangan keperluan harian untuk disumbangkan kepada keluarga miskin terpilih di beberapa buah kampung di sekitar kawasan tempat tinggalnya. Usaha ini wajar dicontohi oleh semua masyarakat.

Bagi yang negatif pula, mereka seringkali meluahkan rasa marah dan geram kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab memberikan bantuan kepada fakir miskin. Antara institusi yang kerap dihentam adalah institusi zakat dan agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid dan lain-lain lagi.

Bagi golongan ini, dakwaan yang dibuat mereka ada kala benar tetapi kebanyakannya tidak berasas. Ini dapat dilihat melalui hujah-hujah mereka yang disokong dengan pengalaman dan laporan-laporan yang mereka ada. Namun, kebanyakan komen mereka ada juga yang tidak berasas, terlalu emosional dan terlalu menyalahkan pihak lain tanpa usul periksa.


KETUA komuniti kaum Rohingya, Ali Mohamed (kiri) membantu Mak Esah (kanan) untuk menghantar sumbangan makanan asas kepada golongan memerlukan di sekitar pinggir Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. UTUSAN/FARIK SALLEH

Golongan ketiga pula adalah yang tidak mempunyai perasaan dan ambil tahu. Bagi mereka, selagi tiada kena mengena dengan diri atau keluarga atau jiran mereka, maka ia bukan masalah mereka. Ramai juga masyarakat kita yang berada dalam golongan ini.

Tapi apa yang menariknya, isu zakat kali ini bukan hanya menarik perhatian masyarakat Muslim sahaja. Ada juga individu beragama lain memperlekeh dan ada pula yang mempertahankan institusi zakat.

Berita mengenai seorang individu berbangsa Cina yang membawa sebuah keluarga miskin makan di restoran yang menjadi viral baru-baru ini menunjukkan bangsa lain juga sangat prihatin kepada masyarakat yang kurang kemampuan. Ada juga komen dari rakan kaum India yang mempertahankan institusi zakat. Beliau mendakwa melihat sendiri banyak bantuan dan usaha yang telah dilaksanakan oleh institusi zakat dalam membantu golongan asnaf.

Keprihatinan kelompok masyarakat dan usaha yang dilakukan oleh jabatan-jabatan seperti institusi zakat adalah sangat baik. Banyak sudah jasa mereka kepada masyarakat. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini ada semacam satu gerakan ke atas ins­titusi zakat. Tempat pengurusan dan pentadbiran hal ehwal zakat ini diberi imej negatif.

Institusi ini digambarkan sebagai tidak efektif, tidak cekap dan gagal membantu masyarakat. Lebih teruk lagi mereka disalahkan setiap kali ada isu kemiskin­an dipaparkan dalam media massa dan media sosial. Ada juga pihak yang cuba mengaitkan mereka dengan penyelewengan wang zakat. Kata mereka kutipan mencecah bilion ringgit, namun masih banyak masyarakat yang tidak mendapat duit zakat.

Dalam keadaan sekarang, sukar untuk mempercayai institusi zakat telah gagal memainkan peranannya. Memang benar kutipan zakat mencecah berbilion ringgit dan kutipan ini meningkat dari setahun ke setahun. Adakah pe­ningkatan kutipan ini masih tidak melambangkan kecekapan dan keberkesanan institusi?

Selain peningkatan kutipan, berlaku juga perubahan ketara dalam pengagihan zakat. Setiap tahun jumlah bantuan kepada asnaf semakin meningkat. Bilangan asnaf yang dibantu turut meningkat. Pelbagai bentuk program agihan juga telah diper­kenalkan. Malah, penulis sendiri melihat berpuluh-puluh kaedah agihan zakat telah dilaksanakan oleh hampir semua institusi zakat yang ada dalam negara.

Staf-staf institusi juga zakat tidak hanya berpeluk tubuh di dalam pejabat. Mereka ini sangat kreatif dan bersungguh-sungguh dalam menjejaki asnaf. Mereka mewujudkan skuad jejak asnaf, bekerjasama dengan penduduk setempat, keluar masuk kampung tidak kira siang ataupun malam. Kadang-kadang mereka ini terpaksa menjelajah berpuluh-puluh kilometer dalam sehari bagi mencari asnaf untuk dibantu.

Mengenai dakwaan ada sebilangan kecil masyarakat tidak mendapat bantuan zakat, penulis percaya institusi zakat telah berusaha kuat untuk menjejaki mereka. Namun, apakan daya dengan kekangan tertentu, ada yang terlepas daripada radar mereka. Di sinilah peranan masyarakat sebenarnya. Bantulah menghulurkan maklumat asnaf terus kepada ins­titusi zakat.

Jasa institusi ini kepada masyarakat khususnya orang Islam sangat besar. Golongan fakir miskin sentiasa dibantu dan ini pasti dapat meringankan beban mereka. Anak-anak fakir miskin terus diberi bantuan pendidikan agar mereka dapat membantu keluarga pada masa hadapan. Di Kedah sahaja, lebih RM5 juta ­telah diagihkan kepada 4,243 orang pelajar universiti awam dan swasta dalam tempoh Januari hingga Jun 2016. Tidakkah semua ini menggunakan wang zakat yang diberikan oleh kita semua?

Kepada ‘pahlawan’ media sosial, rajin-rajinlah mencari maklumat yang sahih. Usah cepat menuding jari menyalahkan pihak berkuasa zakat jika ada isu kemiskinan menjadi viral. Jadilah masyarakat yang rasional dan sentiasa mencari kebenaran.

Daripada ummah kepada ummah

BERMULA dengan pengangkutan laut, seterusnya menggunakan kapal terbang transit dari luar negara hinggalah negara mampu mengendalikan penerbangan sendiri, sektor pengangkutan haji tanah air telah mengalami pelbagai perubahan sehingga kini.

Segala perubahan ke arah kebaikan itu bertujuan memudahkan umat Islam khususnya di negara ini menyempurnakan rukun Islam ke lima itu ke Tanah Suci dengan lebih teratur dan selesa.

Wakaf penerbangan bersifat idealistik


KAPAL laut merupakan pengangkutan utama jemaah ke Tanah Suci pada era 70-an. - GAMBAR HIASAN

Terbaru, usaha bagi menggalakkan umat Islam terutama bagi golongan kurang berkemampuan bagi menunaikan ibadah umrah ke Mekah dan Madinah menerusi sistem wakaf dilihat satu lagi transformasi bersifat idealistik.

Mengakui perkara itu, bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines, Tan Sri Abd. Aziz Abdul Rahman berkata, konsep wakaf penerbangan ke Tanah Suci dilihat mempunyai harapan cerah dalam industri penerbangan di samping membantu semua umat Islam menunaikan ibadah umrah.

Malah beliau berkata, menerusi pemerkasaan sistem wakaf juga diyakini mampu mengukuhkan ekonomi umat Islam untuk dikongsi bersama Muslim seluruh dunia.

“Agama memperkenal wakaf kerana ia mempunyai banyak manfaat, terutama bagi membantu ekonomi umat Islam iaitu daripada ummah yang kaya kepada ummah miskin untuk sama-sama berkongsi dan memperoleh faedah.



Abd Aziz Abdul Rahman

“Wakaf penerbangan merupakan permulaan yang sangat bagus kepada usaha ini. Melihat kepada aspek global, jika sistem wakaf penerbangan ini mendapat kepercayaan dunia, ramai jutawan Muslim ingin menyumbang.

“Kerana mereka tahu, ganjaran memberi makan kepada orang miskin pun sudah besar, ini kan pula membawa orang ke Mekah dan Madinah bukan kecil,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau berkata, dalam usaha menarik kepercayaan Muslim dunia, kita selaku rakyat Malaysia perlu membuktikan kemampuan dalam mengendalikan penerbangan berkonsep wakaf tersebut.



PASTINYA setiap umat Islam menyimpan azam untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci. - GAMBAR HIASAN

“Kita (rakyat Malaysia) dahulu yang perlu menyokong usaha ini supaya ia dapat dilaksanakan di samping menunjukkan kepada dunia apa yang dikatakan wakaf penerbangan itu.

“Saya mencadangkan, jika kerajaan boleh mewakafkan dua kapal terbang bagi usaha ini sudah cukup, banyak manfaat boleh kita gunakan bagi membantu umat Islam lain yang memerlukan.

“Dalam masa sama, usaha ini juga dapat menyatupadukan seluruh umat Islam di dunia. Apabila wakaf penerbangan ini sudah benar-benar stabil nanti, ia juga boleh dimanfaatkan kepada negara lain bagi membolehkan seluruh Muslim boleh pergi ke Tanah Suci,” jelasnya.



ABD. AZIZ ABDUL RAHMAN (tengah) bercakap sesuatu bersama Ahli Lembaga Pengarah, AIR Riths Travel & Tour Sdn. Bhd.

Tidur di kaki lima pejabat

Berkongsi pengalaman menguruskan penerbangan dari Malaysia ke Jeddah, Abd. Aziz berkata, melihat keadaan ribuan umat Islam terkandas di lapangan terbang akibat pembatalan penerbangan saat akhir mendorongnya untuk mengendalikan sendiri penerbangan jemaah ke Tanah Suci.

“Pada awal tahun 70-an dahulu, umat Islam di negara ini pergi ke Mekah menaiki kapal laut yang mengambil masa berbulan-bulan lamanya. Rata-rata yang pergi tidak terfikir untuk pulang. Lepas daripada itu, kita menggunakan khidmat penerbangan transit, tetapi malangnya berlaku banyak masalah seperti tergendala, batal, penipuan dan sebagainya.

“Saya terfikir, mengapa perlu menggunakan perkhidmatan yang membawa banyak masalah. Sejak dari itu saya usahakan untuk mewujudkan penerbangan sendiri. Sering berulang alik ke Jeddah untuk menguruskan penerbangan terus dari Malaysia ke Jeddah.

“Boleh dikatakan hampir semua pegawai dan kementerian bahagian haji serta umrah saya telah berjumpa dan berbincang mengenai perkara ini sehingga terpaksa tidur di kaki lima pejabat untuk berjumpa pegawai,” katanya.

Usaha itu kata Abd. Aziz ternyata tidak sia-sia apabila kerajaan Arab Saudi memberi kebenaran penerbangan terus dari Malaysia ke Jeddah walaupun mengenakan royalti kepada setiap jemaah.

“Ini juga membuatkan hubungan saya dengan Saudi rapat termasuk bersama pegawai Jabatan Penerbangan Awam Saudi,” ujarnya.

Penanda aras baharu negara

BERCAKAP mengenai Tanah Suci Mekah, pastinya terdetik dalam hati kecil kita untuk merasai beribadah di lokasi tumpuan Muslim seluruh dunia itu sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Namun, realitinya, masih ramai umat Islam yang telah lanjut usia, tetapi belum berpeluang menjejakkan kaki ke rumah Allah SWT itu, tidak terkecuali dalam kalangan ahli jawatankuasa surau dan masjid berstatus nazir atau imam.

Air Riths Waqf Airlines perintis kapal terbang berkonsep wakaf pertama di dunia


TAMBANG penerbangan ke Tanah Suci dapat dikurangkan menerusi konsep wakaf penerbangan. - GAMBAR HIASAN

Ia berikutan, kos tinggi yang menjadi kekangan utama kebanyakan umat Islam untuk menyempurnakan kewajipan Rukun Islam kelima tersebut iaitu menunaikan ibadah haji dan umrah di Mekah.

Dengan pendapatan tidak seberapa, di samping kos hidup yang semakin meningkat, dilihat sukar terutama bagi golongan berpendapatan rendah membuat tabungan khas untuk ke Tanah Suci. Akhirnya, ibadah yang disaran dilaksanakan ketika muda kerana memerlukan pengorbanan tenaga fizikal itu terus tertunda sehingga ada yang meninggal dunia.

Menyedari kekangan yang berlaku, Eco Riths Travel & Tour Sdn. Bhd. dengan kerjasama Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) menubuhkan Air Riths Sdn. Bhd. bagi menjayakan projek Waqf Airlines.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Rithsman Mohamed berkata, menyasarkan golongan kurang berkemampuan terutama dalam kalangan fakir dan miskin ke Tanah Suci, Air Riths Waqf Airlines menawarkan perkhidmatan pakej penerbangan dengan harga lebih rendah dan juga secara percuma.



PESAWAT Boeing 777-200ER akan digunakan Waqf Airlines membawa jemaah ke Tanah Suci.

Ia tambahnya, menerusi usaha memaksimumkan amalan wakaf dalam kalangan umat Islam yang telah terbukti berhasil di seluruh dunia sejak zaman Rasulullah SAW lagi.

“Sebut sahaja wakaf, persepsi orang ramai pasti akan terbayang tanah untuk dijadikan kawasan perkuburan, membina masjid atau sekolah. Tetapi apa yang kita lakukan ini adalah menggalakkan umat Islam berwakaf untuk saling berkongsi dengan golongan kurang berkemampuan bagi menunaikan haji dan umrah di Mekah.

“Berapa ramai umat Islam yang ingin menunaikan umrah tetapi terhalang kerana masalah kewangan. Menerusi Air Riths Waqf Airlines, lebih ramai orang yang menyumbang (wakaf), lebih banyak faedah boleh diterima golongan memerlukan ini,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Beroperasi sejak 2011 sebagai syarikat pengendali sewaan kapal terbang kepada agensi pelancongan khusus ke Mekah dan Madinah, Eco Riths Travel & Tour Sdn. Bhd. seterusnya menubuhkan Air Riths Sdn. Bhd. sebagai perintis Waqf Airlines pada tahun 2014.

500 KERUSI PERCUMA



WAQF Airlines diteraju individu-individu berpengalaman dan pakar dalam industri penerbangan.

Sebagai permulaan, Rithsman berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 500 tempat duduk disediakan secara percuma kepada golongan kurang berkemampuan bagi menunaikan ibadah umrah.

Tambahnya, pemilihan akan dibuat menerusi kerjasama majlis agama Islam negeri seluruh negara secara berperingkat-peringkat dengan penerbangan pertama dijangka bermula pada Disember ini.

“Kaedah ini berfungsi adalah dana wakaf yang disalurkan kepada Waqf Airlines akan digunakan khas untuk membayar sewaan kapal terbang dan menampung kos pembiayaan umrah individu dipilih majlis agama di setiap negeri.

“Bukan sahaja mereka yang terpilih, jemaah menggunakan perkhidmatan Air Riths turut mendapat manfaat kerana kos yang ditawarkan adalah semakin berkurangan mengikut dana wakaf yang terkumpul,” jelasnya.

Beliau berkata, kos yang perlu ditanggung oleh jemaah dalam pakej mengerjakan umrah adalah termasuk tambang tiket penerbangan dan juga penginapan sepanjang berada di Mekah serta Madinah.



RITHSMAN MOHAMED (tengah) membawa Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Abu Bakar Yang (kiri) ketika melawat pesawat di lapangan terbang.

“Apa yang Air Riths Waqf Airlines lakukan adalah mengurangkan kos tambang penerbangan kerana lebih separuh harga pakej itu untuk membayar penerbangan.

“Kos ini dijangka akan berkurangan dari setahun ke setahun dan lebih banyak kerusi percuma dapat ditawarkan apabila kutipan menggalakkan. Ia sebagaimana konsep yang kita gunakan dalam Air Riths Waqf Airlines ialah daripada ummah kepada ummah,” katanya.

Beliau berkata, usaha yang digerakkan itu juga bagi memperkasa ekonomi dan penyatuan umat Islam sekali gus menaikkan nama negara di mata dunia.

“Telah terbukti sistem wakaf berjaya mengembangkan ekonomi umat Islam sebagaimana di Universiti al-Azhar, Mesir yang menawarkan pengajian secara percuma menggunakan manfaat wakaf.

“Kita percaya, kejayaan Air Riths Waqf Airlines ini mampu menaikkan imej Malaysia di seluruh dunia. Sebut sahaja wakaf penerbangan, orang akan terbayang Malaysia,” katanya.

MENDAPAT KELULUSAN

Rithsman berkata, operasi Air Riths Waqf Airlines telah mencapai lebih 80 peratus kesempurnaan untuk beroperasi termasuk mendapat kelulusan daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Pada 14 Januari lalu, kita menerima Permit Perkhidmatan Udara untuk penerbangan sewa khas. Namun kita sedang berusaha mendapatkan kelulusan Sijil Pengendali Udara untuk memulakan operasi penerbangan secara berjadual,” katanya.

Beliau turut menyasarkan, kejayaan Waqf Airline itu diharap mampu menjana ekonomi umat Islam dan menjadi wakaf induk kepada pelbagai jenis wakaf lain seperti tanah dan pembinaan sekolah atau masjid.