July 3rd, 2016

Ramadan di Mekah, Suhu tinggi bukan halangan berpuasa

Suhu tinggi bukan halangan berpuasa

Menyambut Ramadan di Kota Madinah agak berbeza di Mekah kerana kemeriahannya dapat dilihat apabila umat Islam memenuhi setiap kawasan bukan sahaja di dalam Masjid Nabawi malah kawasan sekitarnya.

Peluang tiga hari penulis bersama kumpulan wartawan Malaysia yang mengikuti rombongan Tabung Haji dalam meninjau persiapan musim haji tahun ini di Madinah begitu bermakna.



BEBERAPA sukarelawan mengagihkan makanan kepada jemaah di Masjid Nabawi sebelum berbuka puasa.

Sebaik sahaja tiba di Madinah pada sebelah pagi, kumpulan wartawan dibawa menziarahi makam Rasulullah SAW dan makam sahabat baginda, selain dibawa ke tanah perkuburan al-Baqi yang menempatkan makam sahabat, isteri dan anak-anak baginda.

Sebaik sahaja memasuki waktu Zohor, hati tersentuh melihat keindahan seni bina Masjid Nabawi selain payung gergasi yang menutupi dataran masjid pada waktu siang.

Kota Madinah seperti Mekah tidak pernah sunyi daripada terus diziarahi umat Islam.

Kebanyakan kedai yang terletak di bawah hotel menjual pelbagai jenis barangan sama ada jubah, kurma, peralatan keperluan harian, sejadah dan barangan lain.


PAYUNG gergasi menutupi dataran Masjid Nabawi pada waktu siang bagi membolehkan umat Islam menjalani ibadah dengan selesa.

Saat manis yang sukar dilupakan apabila pertama kali berpeluang berbuka puasa di masjid tersebut.

Sumbangan orang perseorangan, syarikat korporat dan pengurusan masjid menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa.

Malah kita boleh memilih tempat untuk berbuka puasa bergantung kepada jenis juadah yang disediakan. Ada juga yang memanggil penulis supaya duduk di tempat mereka bagi membolehkan juadah tersebut dapat dinikmati bersama.

Sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang, para jemaah menikmati hidangan sebelum menunaikan solat.

Pada waktu Isyak dan solat sunat tarawih, setiap ruang di Masjid Nabawi dipenuhi umat Islam bagi menyempurnakan solat tersebut.



RATUSAN ribuan jemaah berkumpul di dataran Masjid Nabawi menanti waktu berbuka puasa.

Walaupun berhadapan suhu sekitar 43 darjah celcius, ia tidak melemahkan umat Islam malah menguji keimanan supaya terus menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT.

Kumpulan wartawan juga dibawa menziarahi tempat bersejarah sekitar Madinah seperti Masjid Quba’, Bukit Uhud, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh dan pasar tamar.

Ketika dibawa melawat ke Bukit Uhud, hati kami tersentuh melihat makam sahabat Rasulullah yang gugur syahid ketika berperang dengan kaum kafir Quraisy.

Lebih menyentuh hati apabila suhu di kawasan itu cukup panas sehinggakan kumpulan wartawan tidak dapat membayangkan kepayahan Rasulullah bersama tenteranya ketika berperang.

Sebelum bertolak ke Kota Mekah, kumpulan kami dibawa ke pasar kurma yang menjual pelbagai jenis buah tersebut pada harga berpatutan.

Rambang mata jadinya apabila kurma yang dijual itu nampak segar. Bagi rakyat Malaysia, anda tidak perlu risau untuk berkomunikasi kerana peniaga di situ akan memanggil anda untuk membeli barangan mereka dalam bahasa Melayu.

Walaupun berada tiga hari di Kota Madinah tetapi kesannya tetapi di hati kerana memperingati perjuangan Rasulullah dalam menyebarkan dakwah Islam di tanah 
suci itu.

Sungguhpun cuaca amat panas, namun umat Islam tetap tabah menjalani ibadah dengan khusyuk demi mencari keredaan Allah.


Ramadan di Mekah

Labbaika la syarika laka labbaika.

Innal hamda wanni’mata 
laka walmulka.

laa syarika laka.


RIBUAN umat Islam melakukan tawaf selepas menunaikan solat subuh.

Menunaikan umrah dan haji ke Mekah dan Madinah merupakan impian bagi setiap umat Islam di seluruh dunia bagi menyucikan rohani serta jasmani serta mendekati diri dengan Allah.

Penulis berpeluang menunaikan umrah pada 14 Jun bersamaan 9 Ramadan lalu semasa mengikuti rombongan Tabung Haji bagi meninjau persiapan musim haji tahun ini.

Rombongan yang disertai 13 wartawan dan jurukamera tempatan itu merupakan panggilan yang tidak disangka, apatah lagi pertama kali menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan Madinah dalam bulan Ramadan.

Menunaikan umrah pada bulan Ramadan juga menjadi impian umat Islam kerana ganjaran yang diterima sama seperti mereka yang menunaikan fardu haji.

Cabaran mengerjakan umrah pada bulan Ramadan berbanding bulan lain adalah berbeza kerana pada bulan tersebut, umat Islam diwajibkan berpuasa.


Pemandangan Masjidilharam dan Menara Jam Kota Mekah dari arah aras bumbung Hotel al-Janadiriah.

Bagi kerajaan Arab Saudi, pelbagai langkah keselamatan diambil bagi memastikan umat Islam menjalani ibadah dengan lancar sepanjang Ramadan ini.

Laporan portal Saudi Gazette menyatakan pihak keselamatan Arab Saudi memasang sebanyak 14 kamera rakaman litar tertutup (CCTV) baharu di Mekah dan kawasan sekitar Masjidilharam bagi menjamin keselamatan serta penduduk setempat.

Ketua Hal Ehwal Keselamatan yang juga Penyelia Pusat Pengurusan Bencana dan Krisis Mekah, Saud Jelwi berkata, pusat itu juga dilengkapi sepenuhnya teknologi serta sumber manusia.

“Kakitangan pusat ini adalah terlatih dan kami menggunakan kelengkapan canggih serta setanding dengan standard antarabangsa,” katanya.

Menurut Saudi Gazette yang memetik laporan Saudi Pres Agency, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi melaporkan lebih enam juta jemaah dari seluruh dunia dijangka menunaikan umrah menjelang penghujung Ramadan ini bagi merebut 10 malam terakhir.

“Pihak keselamatan dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan telah membuat persiapan rapi bagi mengelak berlakunya kesesakan luar biasa kali ini, sekali gus membolehkan jemaah menunaikan umrah dengan lebih selesa,” jelas pusat maklumat itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Menyambut Ramadan di Kota Mekah dan Madinah berbeza dengan cara ibadah umat Islam di Malaysia.



Jemaah tidak perlu berebut untuk minum air zam zam kerana terdapat beberapa kawasan disediakan tempat minuman air tersebut.

Umat Islam dari pelbagai negara dan bangsa duduk bersama ketika berbuka puasa.

Hanya sekadar menjamah dua hingga tiga biji kurma berserta air zam-zam sudah cukup memberi kelegaan sebelum menunaikan solat Maghrib.

Walaupun makanan yang dihidangkan tidak mewah tetapi mereka sentiasa mahu berada di saf hadapan supaya pemandangan tidak putus daripada Kaabah.

Menariknya, menyambut Ramadan di Masjidilharam ini adalah sumbangan pihak tertentu sama ada syarikat swasta atau individu menyediakan makanan serta minuman kepada jemaah.

Sikap ditunjukkan mereka adalah sebahagian menunaikan tuntutan agama menggalakkan bersedekah dengan memberi makanan kepada yang berpuasa dan secara tidak langsung, mendapat ganjaran pahala di bulan penuh keberkatan ini.


Jika mahu solat di hadapan Kaabah perlu awal datang ke Masjidilharam kira-kira satu jam setengah sebelum waktu solat.

Di luar Masjidilharam pula, beberapa individu memegang beberapa plastik besar berisi makanan untuk disumbangkan kepada umat Islam. Tidak sampai beberapa minit, bungkusan dalam plastik besar tersebut habis .

Ada juga orang budiman dalam masyarakat Arab memberi derma berupa wang kepada golongan kurang berkemampuan dan miskin di dalam kompleks membeli-belah.

Suasana Masjidilharam tidak pernah sunyi setiap hari berikutan umat Islam sentiasa memenuhi setiap ruang di dalam masjid tersebut untuk menjalani ibadah dan akan sesak ketika waktu solat sunat tarawih.

Jika pertama kali datang ke Mekah, jangan terkejut ada umat Islam menunaikan solat di kaki lima, tepi jalan dan perkarangan kompleks membeli-belah 
kerana ia merupakan satu pemandangan biasa bagi masyarakat Arab.

Bagi pemilik permis pula, setiap kali azan, mereka menutup kedai untuk menunaikan solat secara berjemaah dan kembali beroperasi selepas selesai solat.

Bulan Ramadan menyaksikan umat Islam di Masjidilharam memenuhi aktiviti dengan beriktikaf, membaca al-Quran, berselawat, berzikir dan menunaikan solat sunat memohon keampunan daripada Allah.

Peluang menyambut Ramadan di tanah suci merupakan kenangan terindah kerana di situ, tidak kira pangkat atau darjat, akan duduk dengan jemaah lain daripada pelbagai latar belakang melakukan ibadah dan berbuka puasa bersama-sama.

Setiap sen kutipan zakat secara telus

Perlembagaan Persekutuan menyatakan urusan berkaitan zakat adalah termasuk di dalam hal ehwal agama yang diletakkan di bawah bidang kuasa negeri.

Di Wilayah Persekutuan, zakat diuruskan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Saban tahun, kutipan zakat di Wilayah Persekutuan menunjukkan peningkatan.

MAIWP menubuhkan Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP) untuk menguruskan kutipan zakat harta. Pelbagai inisiatif diambil dan Alhamdulillah, kutipan zakat meningkat.

Terima kasih diucapkan kepada pembayar zakat yang menunaikan kefarduan berzakat kepada MAIWP. Zakat yang dikutip kemudiannya diagihkan MAIWP.


Menyedari amanah pembayar zakat yang mahu melihat zakat dimanfaat dan diagihkan kepada mereka yang layak, maka MAIWP sudah melaksanakan pelbagai bentuk program agihan zakat.

Sebanyak 28 skim bantuan zakat sudah diwujudkan. Mengambil contoh seorang yang dikategorikan sebagai fakir atau miskin, MAIWP akan membantu dengan menyalurkan Bantuan Kewangan Bulanan.

Mereka menerima bantuan zakat ini setiap bulan antara RM250 hingga RM700 dan sehingga kini hampir 28,000 orang menerima bantuan zakat bulanan ini.

Selain itu, anak mereka dibantu persekolahan daripada peringkat sekolah rendah sehingga pengajian tinggi. Bantuan zakat bukan hanya diberikan kepada pelajar dalam bidang agama, bahkan diberikan juga kepada pelajar dalam bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya.

Zakat sewa rumah

MAIWP turut menyalurkan bantuan zakat sewa rumah sekiranya mereka tidak berkemampuan. Jika ada dalam kalangan mereka yang menghidap penyakit dan memerlukan kewangan untuk rawatan, maka MAIWP menyalurkan bantuan zakat perubatan.

MAIWP kini sedang menanggung 409 pesakit buah pinggang menjalani rawatan hemodialisis yang menelan kos antara RM2,500 hingga RM3,500 sebulan.

Mereka hanya perlu datang ke panel rawatan yang dilantik oleh MAIWP dan mendapatkan rawatan secara percuma.

Namun, sering juga viral (di media sosial) mengenai tindakan umat Islam mendapatkan bantuan segera di gereja.

Di MAIWP, ada Bantuan Kecemasan yang memberikan bantuan dengan kadar segera kepada mereka yang ditimpa musibah, putus mata pencarian dan sebagainya.

Begitulah antara 28 skim bantuan yang diwujudkan untuk menyantuni golongan asnaf. Dalam skala yang lebih besar, dana zakat yang diterima dimanfaatkan dalam bentuk program agihan zakat secara tidak langsung.

Menerusi program ini, MAIWP menubuhkan institusi pendidikan. Anak daripada keluarga asnaf ini akan diberikan ilmu pengetahuan dan akhirnya diharap menjadi ejen mengeluarkan keluarga daripada kepompong kemiskinan.

Sebanyak sembilan institusi pendidikan sudah ditubuhkan oleh MAIWP antaranya, Sekolah Menengah Agama MAIWP, Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz, Institut Kemahiran Baitulmal, Institut Profesional Baitulmal dan Kolej Antarabangsa Sains Perubatan PUSRAWI, Pondok Moden Al-'Abaqirah dan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah.

Ramai pelajar dan graduan yang lahir dari sini sudah berjaya dan akhirnya menjadi pembayar zakat pula.

Ketelusan pengurusan zakat

Setiap sen zakat yang ingin dibelanjakan perlu terlebih dahulu mendapatkan kelulusan daripada Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

Ia kemudiannya perlu dipersetujui oleh Mesyuarat MAIWP dan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebelum boleh dibelanjakan.

Perbelanjaan zakat itu seterusnya akan diaudit iaitu secara dalaman oleh Audit Dalaman MAIWP dan seterusnya oleh Jabatan Audit Negara.

Laporan yang sudah diaudit itu kemudiannya dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri dan akhirnya dibentangkan di Parlimen Malaysia.

Alhamdulillah, MAIWP sudah menerima Sijil Audit Bersih sembilan tahun berturut-turut sejak 2006 dan penarafan empat bintang bagi Indeks Akauntabiliti Pengurusan Kewangan daripada Jabatan Audit Negara selama tiga tahun berturut-turut pada 2011 hingga 2013.

Untuk makluman juga, agihan zakat di Malaysia menjadi contoh kepada negara MABIMS (Pertemuan Dwi Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura).

MAIWP pada 2014 dipilih menjadi tuan rumah untuk menganjurkan Bengkel Teknikal Amalan Terbaik Pembasmian Kemiskinan pada 11-13 Ogos 2014 dan MAIWP berkongsi pengalamannya di bengkel itu.

Zakat turut dimanfaatkan menerusi kerjasama Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) melalui Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1 Malaysia MAIWP-Hospital Putrajaya, Pusat Pembedahan Katarak MAIWP-Hospital Selayang dan Kedai Rakyat MAIWP.

Projek Pusat Pembedahan Katarak sudah membolehkan MAIWP dinobatkan Jabatan Paling Inovatif Jabatan Perdana Menteri 2015 atas manfaatnya yang besar kepada masyarakat.

Begitulah MAIWP sebaik mungkin mengagihkan zakat yang dibayar oleh pembayar zakat. Semoga pembayar zakat dibalas oleh Allah SWT dengan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Semoga sedikit perkongsian mengenai aktiviti agihan zakat yang dijalankan ini dapat menjawab persoalan dan kekeliruan pengagihan zakat.

Kita yakin dan percaya agensi mengurus zakat di negeri lain turut proaktif dalam mengagih zakat yang sudah dibayar.

Terima kasih pembayar zakat.

Fahami pengertian sambutan Syawal

Sambutan hari raya Aidilfitri yang diraikan selepas sebulan umat Islam menunaikan ibadah puasa yang diwajibkan kepada mereka hendaklah disambut mengikut lunas syarak dan tidak dicampur aduk dengan perkara yang diharamkan oleh Islam.

Selepas istiqamah selama sebulan meningkatkan ibadah demi mencapai status takwa, pastinya kita mahu momentum itu diteruskan dengan memastikan hari raya menandakan kemenangan umat Islam tetapi mempunyai nilai ibadah.

Tidak dinafikan, terdapat dalam kalangan umat Islam hari ini yang mungkin terlalu ghairah ingin menyambut Aidilfitri terlupa menjaga batas bergembira yang ditetapkan.

Oleh itu, memahami erti sebenar Syawal penting supaya dapat dirayakan dengan lebih bermakna. Pensyarah Kanan I'jaz al-Quran Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Sukki Othman, berkata sambutan berbentuk fizikal perlu seiring dengan konsep sambutan secara rohani bagi mendapat kegembiraan sebenar menyambut hari raya.

Amalan ziarah menziarahi sesama keluarga dan sahabat handai perlu dihidupkan pada Syawal sebagaimana disyariatkan oleh Islam. - Gambar hiasan


Beliau menyarankan umat Islam untuk menilai kembali aktiviti yang ingin dilakukan ketika hari raya supaya tidak termasuk perkara boleh mencemarkan kemuliaan serta kesucian Aidilfitri yang simboliknya mengembalikan umat Islam kepada fitrah.

"Sepanjang Ramadan kita berpuasa, menunaikan solat sunat tarawih, bertadarus al-Quran serta melakukan amalan sunat lain seperti bersedekah dan membayar zakat untuk mencari keredaan Allah SWT.

Maka, 1 Syawal, kita kembali kepada fitrah seperti bayi yang baru dilahirkan," katanya.

Kembalikan budaya Islam

Katanya, Syawal juga adalah hari kemenangan bagi umat Islam kerana berjaya menundukkan nafsu sepanjang Ramadan dan membersihkan daripada dosa yang lalu sekali gus menjadi insan bertakwa.

Menurut Mohd Sukki, untuk menghidupkan semula tradisi Syawal sebagaimana disyariatkan oleh Islam, digalakkan amalan ziarah menziarahi antara sesama keluarga, saudara mara, kaum kerabat, jiran dan sahabat handai.

Tambahnya, kanak-kanak juga perlu dididik mengenai amalan ziarah yang tepat iaitu bukan sekadar berkunjung untuk mendapatkan duit raya semata-mata tetapi mengikut syariat Islam yang menekankan pemberian sedekah kepada orang memerlukan seperti fakir miskin.

Selain itu, beliau turut menegaskan sambutan Syawal bukan hanya semata-mata untuk kegembiraan, bahkan lebih utama mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

"Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, perlu diingat jangan sesekali lupa kepada kewajipan terhadap Allah SWT seperti mendirikan solat fardu lima waktu.

Moga kegembiraan dan keseronokan pada hari raya akan juga dapat dikecapi pada hari akhirat kelak," katanya.

Raya di Makkah sederhana

Sementara itu, warga Malaysia yang berpengalaman beraya di Makkah tahun lalu, Rokhaizat Rahmat, 30, berkata banyak perbezaan menyambut Syawal antara masyarakat Arab dan Melayu kerana tumpuan di Tanah Suci lebih menekankan kepada menyempurnakan ibadah.

"Di Makkah, suasana Aidilfitri berbeza dengan di Malaysia kerana kemeriahan lebih terasa pada Ramadan.

Pada malam raya, kami sekeluarga memilih untuk tidur di Masjidil Haram kerana jemaah terlalu padat bagi memastikan dapat tempat untuk solat sunat Aidilfitri.

"Pagi raya pula, masyarakat di sana akan membawa anak mereka yang dipakaikan gaun cantik dan disolek, tetapi kemudian ia ditutup dengan abaya berwarna hitam," katanya.

Beliau berkata, sambutan raya di sana sangat ringkas. Selepas solat sunat hari raya, mereka akan menziarahi keluarga terdekat.

Golongan tua akan memanggil kanak-kanak untuk memberi duit raya yang dimasukkan ke dalam sampul seperti budaya kita.

"Mereka akan saling menziarahi tetapi bagi setiap rumah, mereka hanya duduk antara lima hingga 10 minit sahaja.

"Antara juadah raya pula seperti kuih tradisi, coklat dan qahwah Arabi iaitu kopi Arab yang agak pahit," katanya.

Amalan sunat hari raya

Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Menjamah makanan sebelum keluar.

Memperbanyakkan takbir sama ada di rumah atau masjid.

Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain.

Memakai pakaian terbaik yang ada. Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi).

Berziarah dan merapatkan hubungan baik sesama Muslim.

Bergembira dengan melakukan perkara yang dibenarkan.

Melakukan amalan sedekah.

Melakukan puasa enam.