July 5th, 2016

Mencari keberkatan bulan Ramadan, Akal dan puasa

Akal dan puasa

SELANG sehari lagi, sebahagian besar umat Islam seluruh dunia bakal meninggalkan Ramadan dan me­nyambut kedatangan Syawal. Malangnya, di sebalik keria­ngan orang Islam di Malaysia menjalani ibadah puasa selama sebulan semakin kerap kedengaran isu pembaziran dan penghasilan sisa makanan yang semakin meningkat dalam bulan Ramadan dan dipercayai berlanjutan pula hingga ke bulan Syawal, berbanding bulan-bulan lain.

Pembaziran sedemikian sesungguhnya menyalahi semangat berpuasa wajib di bulan Ramadan. Puasa dalam bahasa Arab dinamakan sawm atau siyam. Maksud dasar kedua-dua kata itu adalah kaff atau imsak yang bermakna menahan dan mengawal diri daripada perkara-perkara yang dilarang. Sememangnya kita maklum bahawa tiga perkara pokok yang dilarang sepanjang berpuasa pada siang hari itu adalah makan, minum dan mengadakan hubu­ngan kelamin.

Namun, ramai juga yang sedar bahawa pengawalan diri yang dimaksudkan ketika berpuasa itu tidak sekadar terhad pada pengawalan diri daripada melakukan tiga perkara itu saja tetapi turut merangkum tingkat-tingkat pengawalan diri yang lebih tinggi, pengawalan diri yang melibatkan tingkah laku akhlakiah dan tum­puan fikiran.

Pada tingkat yang lebih atas itu, pengawalan diri yang dimaksudkan bukan lagi bersifat jas­mani semata-mata tetapi lebih bersifat rohani dan akli. Malah, tidak ramai dalam kalangan kaum Muslimin yang sedar bahawa dari segi erti dasar, puasa dan akal berkongsikan makna yang sama, iaitu pengawalan diri sekukuhnya.

Sesungguhnya dalam banyak kitab utama yang menjelaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah, seperti Sharh al-Aqa’id al-Nasafiyyah oleh Imam Saad al-Din al-Taftazani telah di­terangkan bahawa diri sebenar insan itu ialah hakikat rohaniahnya yang turut dirujuk sebagai akalnya. Akal itu sebenarnya penzahiran roh insan yang berbeza daripada jasadnya.

Sekiranya diamati, pada tahap yang paling asas, puasa adalah pengawalan diri daripada melakukan tiga perkara itu atau keperluan pokok jasad insan.

Tiga perkara tersebut malah adalah aktiviti asas bagi menjamin kesinambungan fizikal insan sebagai individu dan spesies. Tanpa ketiga-tiga perkara berkenaan, tidak mungkin insan dapat tumbuh membesar dan berkembang-biak di atas bumi.

Namun, insan juga perlu sedar bahawa ia bukan semata-mata kejadian jasadi. Kehidupan duniawi ini juga bukan satu-satunya kehidupannya dan bukan juga matlamatnya. Puasa justeru berperanan memperingatkan insan perihal hakikat kerohaniannya melalui pemutusan secara berkala daripada ikatan-ikatan material yang zahir pada tiga kegiatan asasi duniawi itu tadi.

Sesungguhnya, dengan ilmu yang benarlah maka seseorang itu dikawal oleh akalnya daripada pelanggaran batas dan terjerumus dalam kesesatan sepanjang perjalanan hidupnya di dunia ini. Ilmu yang benar ini bertunjangkan petunjuk Ilahi melalui risalah nabi terakhir-Nya dan merangkum keyakinan yang terhasil berkenaan dengan akibat-akibat daripada perbuatan insan, khasnya pada hari pembalasan, sehinggakan seorang insan itu tetap mengawal dirinya daripada nikmat dan keseronokan sementara demi ganjaran sebenar dalam kehidupan berpanjangan di akhirat kelak.

Justeru, pada tahap tertinggi, kalimah akal menurut Imam Abu Hamid al-Ghazzali, memaksudkan keadaan diri insan yang ditadbir oleh akalnya. Pada tahap sedemikian, seseorang insan itu senantiasa dalam keadaan berpuasa.

Justeru, ibadat puasa yang kita jalani sepanjang Ramadan saban tahun dan ibadat puasa yang kita lakukan pada hari-hari lain yang dibenarkan dalam setahun, sepatutnya menyediakan kita untuk mencapai kawalan aqliah pada tahap yang lebih maju itu.

Sekiranya kawalan ini terhasil, maka akan ketara berkura­ngan pembaziran yang akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi! - Dr. Mohd. Zaidi Ismail Utusan Malaysia Rencana 04 Julai 2016 6:03 PM



Mencari keberkatan bulan Ramadan

BARU-BARU ini penulis ditanya oleh seorang rakan bukan Muslim tentang persoalan berkat. Beliau ialah seorang pegawai yang bekerja di sebuah syarikat yang mana majoriti pekerjanya adalah Muslim.

Walaupun beliau bukan Islam, tetapi beliau menyukai dan melanggani produk-produk Islam. Beliau memilih perbankan Islam berbanding perbankan konvensional. Perlindungan juga menggunakan takaful dan bukan insurans.

Tanya beliau kepada penulis, apa itu berkat? Sepanjang bulan Ramadan lalu, rakan-rakan Muslim selalu menyebut perkataan berkat. Asyik-asyik disebut berkat. Datang kerja awal dan pulang lewat bagi mencari berkat. Tidak culas kerja juga berkat. Bayar zakat supaya pendapatan dan harta menjadi berkat. Mematuhi semua peraturan di pejabat juga berkat. Jadi, sebenarnya apa itu berkat?

Persoalan yang ditanya agak mudah, namun jawapannya tidaklah semudah yang disebut. Ia membuatkan penulis berfikir sejenak. Selama ini, tidak pernah terlintas dalam fikiran yang soalan ini akan ditanya oleh seorang rakan bukan Islam.

Penulis juga percaya bahawa kita juga acapkali mendengar perkataan ini. Namun, mungkin bagi kita sudah biasa dan jarang benar untuk cuba kita memahami maksud sebenar perkataan ini.

Teringat ceramah seorang ustaz baru-baru ini sempena 10 malam akhir Ramadan. Beliau memetik ayat al-Quran tentang malam lailatulqadar dari surah Ad-Dukhan ayat 3 yang bermaksud “sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran itu pada suatu malam yang diberkati (lailatulqadar)”.

Bagi penulis, berkat adalah penambahan dan pengurangan. Ia boleh jadi dalam bentuk material atau bukan material. Ia juga boleh berupa manfaat kewangan atau bukan kewangan.

Pendapatan bulanan seseorang dikatakan berkat apabila manfaat pendapatan itu bertambah. Dalam masa yang sama, pendapatan tersebut kurang bebannya.

Sebagai contoh, dalam hal pembayaran zakat pendapatan gaji, cuba tanya diri kita apa yang kita rasa dan alami sebelum dan selepas kita membayar zakat? Seorang peniaga boleh bertanya apa yang telah dialami masa sebelum dan selepas membayar zakat perniagaan?

Logik akalnya, sebelum membayar zakat pendapatan, kita berfikir bahawa pendapatan akan berkurangan de­ngan membayar zakat. Zakat perniagaan yang dibayar akan mengurangkan hasil keuntungan sesebuah perniagaan. Sedekah atau wakaf yang kita keluarkan akan me­ngurangkan hasil kita. Benarkah begitu?

Dalam konteks pertambahan, berkat memberikan kita lebih daripada apa yang kita dapat. Ia menambah nilai ke atas sesuatu Seseorang yang mendapat pendapatan RM1,000 sebulan, jika ada berkatnya, adalah lebih bernilai daripada mereka yang berpendapatan RM20,000.

Sudah pasti nilai RM1,000 adalah jauh lebih sedikit berbanding RM20,000. Tetapi jika dengan nilai RM1,000 itu cukup untuk menampung keperluan anak-anak dan keluarga dan banyak manfaat daripada pendapatan tersebut yang ada peroleh, di situlah ada berkatnya.

Membayar zakat pendapatan gaji yang hanya 2.5% daripada gaji bersih menjadikan pendapatan kita berkat. Pendapatan yang berkat akan menambah nilai ke atas pendapatan tersebut dan mengurangkan beban daripada pendapatan itu.

Sebelum membayar zakat mungkin kenderaan kita kerap mengalami kerosakan. Dengan membayar zakat, masalah tersebut berkurangan. Sebelum membayar zakat, seringkali kita dibebani perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak disangka-sangka. Selepas berzakat, adakah belanja tak disangka-sangka ini berkurangan?

Sebelum berzakat kerapkali jatuh sakit. Belanja perubatan meningkat kerana selalu ke klinik. Selepas membayar zakat dan dengan pendapatan yang berkat kebanyakan kita tidak lagi jatuh sakit.

Kerapkali juga bagi mereka yang sebelum membayar zakat selalu menghadapi masalah kenderaan. Kereta dan motosikal banyak kali masuk bengkel. Hampir setiap bulan. Selepas membayar zakat masalah tersebut semakin berkurangan. Inilah berkat.

Dalam bentuk bukan material, berkat itu dapat dilihat dalam konteks masa. Kita mempunyai masa yang sedikit untuk menyelesaikan sesuatu tugas yang diberikan oleh bos. Lazimnya, adalah mustahil untuk dilakukan pada waktu sesingkat itu. Namun, bila ada berkat, kita berjaya melakukan tugas tersebut walaupun masa yang diberikan amat sikit.

Sebelum ini, masa berkualiti kita bersama anak-anak dan keluarga adalah sedikit. Tetapi jika sekarang masa berkualiti tersebut telah bertambah, maka itulah berkat.

Sebelum Ramadan, jarang sekali kita ke masjid untuk menunaikan solat. Solat sunat kadang-kadang. Jarang juga kita membaca apatah lagi cuba memahami al-Quran. Hanya sesekali memberikan sedekah atau wakaf tunai kepada yang memerlukan.

Harapnya, dengan berkat Ramadan, solat lima waktu kita kini di masjid. Jika tidak lima waktu, dalam sehari kaki kita melangkah juga ke masjid. Al-Quran juga tidak lagi dibiarkan berhabuk tidak disentuh. Sedekah dan wakaf juga tidak lagi tunggu bila disuruh. Inilah berkat Ramadan.

Justeru, berkat boleh berlaku pada diri sendiri, anak-anak, keluarga, masyarakat, negara, ilmu dan lain-lain lagi. Berkat itu bukan terletak pada banyaknya harta atau rezeki yang diperoleh. Tetapi berkat itu akan dirasai dalam hati dan jiwa akan tenang dan damai bahagia. Mungkinkah pertanyaan rakan bukan Islam penulis tadi juga adalah berkat Ramadan tahun ini? - Prof. Madya Dr. Ram Al Jaffri Saad Utusan Malaysia Rencana 04 Julai 2016 6:01 PM

Puasa asah minda, cegah risiko penyakit

BEBERAPA perubahan fisiologi berlaku kepada tubuh badan sewaktu berpuasa. Antaranya, penggunaan tenaga badan banyak guna karbohidrat dalam badan melalui sumber makanan diambil sewaktu sahur.

Karbohidrat menyediakan sumber tenaga utama yang diserap segera ke dalam sistem tubuh manusia. Karbohidrat menyumbangkan kira-kira 50 peratus daripada pengambilan tenaga yang diperlukan tubuh manusia.

Sekiranya jumlah karbohidrat ini tidak mencukupi, kita akan mula rasa kepenatan, terutama menjelang waktu tengah hari.

Dalam keadaan sebegini, badan juga mampu guna sumber tenaga lain, iaitu lemak. Sumber lemak berada dalam simpanan di hati atau di bahagian otot yang lain.


Penggunaan sumber tenaga ini adalah penting kerana sepanjang tempoh puasa pada siang hari, kita tidak ambil sebarang makanan atau minuman kecuali sewaktu sahur.

Puasa juga memberi kesempatan bagi sistem pencernaan untuk beristirahat.

Secara umumnya, sistem pencernaan manusia ini perlu tujuh hingga lapan jam untuk memproses makanan yang dimakan.

Sebaliknya, dalam keadaan tidak puasa, sistem pencernaan seseorang akan bekerja terus menerus tanpa henti.

Buktinya, kita akan rasa letih sekiranya makanan yang diambil itu lebih daripada hadnya. Untuk pencernaan berlaku tenaga diperlukan.

Lebih banyak makanan atau minuman diambil, lebih lama masa dan lebih tenaga diperlukan supaya pencernaan sempurna dan berlaku serapan nutrien tertentu ke dalam sistem tubuh.

Konsep pencegahan

Puasa sebenarnya dapat menghindarkan beberapa penyakit dan mengurangkan risiko menghidapinya, bertepatan dengan konsep amalan baik untuk semua individu iaitu 'pencegahan lebih baik daripada merawat'.

Penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease) antaranya ialah hipertensi, diabetes, hiperkolesterolemia, penyakit jantung dan lain-lain lagi sangat berkaitan dengan makanan yang diambil.

Obesiti juga sering dikaitkan dengan amalan pengambilan makanan tidak seimbang.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporan 2010, lebih 60 peratus rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mempunyai 'Body-Mass-Index' (BMI) melebihi 25. Tahap ini bermaksud lebihan berat badan.

Obesiti dan lebihan berat badan meningkatkan risiko menghidapi penyakit. Penyakit juga berpunca daripada apa yang kita makan.

Nabi SAW bersabda: "Perut itu adalah rumah penyakit dan banyak makan itu punca segala penyakit" (Hadis riwayat Muslim).

Puasa juga beri peluang kepada kita untuk menjaga dan mengamalkan pemakanan yang sihat. Malangnya, apabila tiba bulan Ramadan, kita sering berbelanja lebih dan membeli makanan sesuka hati untuk jamuan berbuka.

Kita seolah-olah terlupa puasa itu mendidik kita untuk kawal hawa nafsu makan dan minum. Makanan dan minuman sepatutnya bersesuaian dan tidak perlu diambil dengan berlebihan.

Ketidakseimbangan pengambilan makanan inilah boleh mengundang penyakit dan kemudaratan.

Benarlah firman Allah bermaksud: "Makan dan minumlah kamu dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan" (Surah al-A'raf:31).

Ramadan juga peluang terbaik kepada perokok untuk mengurangkan atau berhenti terus daripada amalan membazir dan membahayakan kesihatan.

Fakta ilmiah dan bukti sains sudah terlalu banyak dan kempen berhenti merokok dan vape sudah lama dijalankan.

Namun, keberkesanannya tidak optimum. Justeru, objektif puasa dengan menahan lapar, dahaga serta mengelakkan perkara yang membatalkan puasa itu sangat sesuai untuk 'bunuh' nafsu merokok yang saban hari dikaitkan dengan komplikasi kesihatan serius.

Atas penjelasan ilmiah ini, puasa boleh dijadikan satu bentuk intervensi penyakit yang penting. Amalan puasa ini boleh terus dilakukan juga di luar Ramadan.

Puasa mengasah minda

Islam sangat menitikberatkan pembangunan minda dan kecemerlangan intelektual umatnya. Justeru, antara tujuan (Maqasid al-Syariah) disyariatkan puasa di dalam Islam ialah untuk menjadikan orang berpuasa mempunyai sifat takwa.

Sifat takwa ini membawa maksud memelihara diri daripada seksaan Allah dengan mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, dan tidak cukup diertikan dengan takut sahaja.

Semua perintah Allah yang disyariatkan pastinya mempunyai faedah dan manfaat, begitu juga dengan segala larangan-Nya yang pasti ada kemudaratan.

Puasa juga beri impak yang sangat baik daripada aspek pembangunan dan keberkesanan berfikir seseorang individu.

Galakan baca al-Quran pada Ramadan dan memikirkan maksudnya serta aplikasi dalam kehidupan adalah satu bentuk latihan meningkatkan keimanan, kerohanian serta melatih pemikiran ke tahap tinggi.

Seorang Muslim yang sentiasa memikirkan penciptaan Tuhan, akan sering merasa 'izzah' kerana keunikan penciptaan dunia dan seisinya itu melangkaui pemikiran normal manusia.

Al-Quran sebagai hidayah dan mukjizat kepada Nabi, menjadi panduan serta sandaran yang mampu membimbing umatnya ke jalan yang benar.

Umat Islam juga perlu didedahkan dengan pelbagai cerita, pengajaran umat terdahulu, nasihat, motivasi kehidupan dan amaran dalam ayat al-Quran kerana semua ini satu bentuk 'meditasi' minda dan boleh meningkatkan intelektual seseorang.

Beberapa bukti sains mengaitkan puasa boleh beri kesan baik ke atas fungsi otak. Ini termasuk meningkatkan fungsi kognitif, meningkatkan rentan stres and mengurangkan inflamasi.

Fungsi kognitif ini sangat berkait rapat dengan kemampuan belajar ilmu baharu, perkembangan percakapan serta kaedah berfikir.

Banyak penemuan saintifik lain antara puasa dan fungsi otak ini telah diterjemahkan ke jurnal sains, dan juga beberapa laman web dijadikan rujukan seperti 'Fasting Center International' (FCI).

Kita tidak dapat nafikan penjelasan ilmu sains sangat sinonim dengan kebaikan puasa. Selamat berpuasa kepada semua Muslim.

Semoga kita dirahmati, diberkati dan dikurniakan sifat takwa.