July 12th, 2016

Muhasabah selepas Ramadan

IA hanya alat dan bukannya matlamat. Itulah gambaran terbaik mengenai makanan dan minuman yang saban hari menjalankan tugasnya meneguhkan jasad manusia. Dalam mengecap kedua-duanya, lidah kadangkala mahu sedikit rasa manis, masam, masin dan tawar. Walaupun ia sekadar rasa yang dikhayalkan oleh otak hasil maklumat dihantar lidah, manusia sanggup berhabis hanya untuk sedikit rasa itu.

Apa yang pasti, sedap hanya pada lidah. Apabila melepasi kerongkong ia bakal menjadi vitamin peneguh jasad atau penyakit perosak badan. Orang beriman makannya berpada. Bahkan bulan Ramadan menjadi satu hadiah fizikal daripada Allah yang sangat istimewa kerana kita dilatih secara paksa untuk memahami bahawa perut adalah punca sakit dan sihat. Ia juga punca dosa dan pahala. Sekolah Ramadan seakan mendidik kita menghayati saranan Rasulullah SAW:

Bersedap biar berpada kerana perut punca sakit, sihat

ISLAM tidak menghalang keinginan untuk mencuba makanan lazat tetapi ia mesti berpada-pada dan tidak melampaui batas. - GAMBAR HIASAN


“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya memberikan kekuatan kepadanya. Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan,” - Sunan Tirmizi.

Ketika meneliti surah al-Ahqaf utuk tadabbur tarawih malam ke-26 Ramadan, jiwa saya sebak sebaik sahaja membaca kisah para sahabat Rasulullah SAW yang mengekang nafsu mereka daripada terlebih bersedap dengan kehidupan duniawi. Firman Allah:

“Dan (ingatlah), semasa orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): “kamu telah habiskan nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu dan kamu telah bersenang menikmatinya, maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik,” (al-Zukhruf [46:20]).

Imam al-Baghawi dalam tafsirnya menceritakan kisah jutawan sahabat Abdul Rahman bin Auf r.a. yang sangat menyentuh perasaan:

“Pada suatu hari, Abdul Rahman bin Auf yang sedang berpuasa dihidangkan makanan. Beliau yang terkenang para sahabat Rasulullah yang sudah wafat, lalu berkata: Mus’ab bin ‘Umayr telah gugur syahid (dalam perang Uhud) sedang dia itu jauh lebih baik daripadaku. Beliau dikafankan dengan sehelai kain (yang singkat) yang mana jika ditutup kepalanya akan terdedah bahagian kakinya. Jika ditutup bahagian kaki akan terdedah pula kepalanya. …. Begitu juga Hamzah gugur (dalam perang Uhud) sedang dia juga jauh lebih baik daripadaku. Tiada apa yang dapat digunakan untuk mengkafankan beliau melainkan sehelai kain sahaja. Kemudian (Allah) melapangkan dunia untuk kami, sedang kami risau kebaikan kami disegerakan kepada kami. Abdul Rahman kemudiannya menangis sehingga beliau meninggalkan makanannya,” (Tafsir al-Baghawi).

Sikap yang sama dapat dilihat pada Sayidina Umar ibn al-Khattab r.a.

“Jika aku mahu, aku boleh memakan makanan yang terbaik (berbanding kamu semua), memakai pakaian paling lembut. Akan tetapi aku risau kebaikan (dan kesedapan) mendahuluiku (di dunia berbanding akhirat). Kemudian diceritakan kepada kami bahawa Umar ketika baru tiba dari Syam, dihidangkan untuknya makanan yang (mewah) belum pernah dilihat sebelum itu. Umar lalu berkata: Ini (hidangan) untuk kami, apa pula (habuan) untuk orang Islam yang fakir dan gugur syahid. Mereka juga tidak sempat pun kenyang memakan walau sekadar roti gandum. Khalid bin al-Walid menjawab: Bagi mereka syurga. Mata Umar pun berlinangan dengan air mata,” (Tafsir al-Tabari).

Salah nikmati makanan lazat?

Maha Suci Allah! Alangkah halus dan waraknya hati para sahabat r.a. Lalu timbul soalan, adakah salah menikmati sesuatu yang enak dan sedap? Ia tak salah asal sahaja ia hanya dianggap sebagai alat dan bukannya matlamat. Allah tidak melarang keinginan untuk memenuhi rasa tersebut:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-Nya, dan demikian juga benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?” Katakanlah: “Semuanya itu ialah (nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat”. Demikianlah Kami jelaskan ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang yang (mahu) mengetahui,” (al-A’raf [7:32]).

Pun begitu, lebih tepat ayat surah al-Ahqaf di atas sebenarnya ditujukan kepada orang kafir yang mewah bersedap di dunia sehingga melanggar segala arahan Allah. Mencari yang sedap dan enak tidak salah di sisi agama, cuma ia perlu dikawal agar tidak berlebihan. Ini kerana orang yang terbiasa mencari kesedapan sukar mengawal nafsu, lantas desakan mencari kesedapan boleh mendorongnya melanggar batasan agama lalu ia menjadi sebab jauhnya dia daripada Allah (Tafsir al-Razi).

Berlebihan dalam mengisi tembolok perut bukan sahaja mengundang penyakit tetapi bukan sifat orang beriman sebagaimana kisah hadis ini:

“Nafi’ menceritakan bahawa Abdullah ibn ‘Umar RA tidak akan makan melainkan jika ada seorang miskin yang boleh menjadi temannya makan. Pada suatu hari aku (Nafi’) menjemput seorang lelaki (miskin) masuk makan bersamanya (Abdullah bin Umar) lalu lelaki tersebut makan dengan banyak sekali. Melihat (buruknya sifat) lelaki tersebut, Abdullah berkata: Wahai Nafi’ janganlah dijemput dia ini makan bersamaku lagi (pada kali yang lain) kerana aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Orang beriman makan dalam satu hidangan, manakala orang kafir pula makan dalam tujuh hidangan,” - Sahih Bukhari dan Muslim.

Ya Allah! Kurniakan kami rasa zuhud (rasa berpada dan cukup) pada dunia sebagaimana zuhudnya para sahabat Rasulullah SAW. Sempurnakanlah nikmat kami di akhirat kelak.

Mohonlah kemaafan, kita bukan sempurna

MANUSIA yang budiman akan mudah meminta maaf dan memaafkan orang lain. Sebagai makhluk Allah yang bernama manusia, kita bukanlah sempurna melainkan Nabi Muhammad SAW yang digelar sebagai Habibullah atau kekasih Allah.

Selain junjungan besar tiada manusia lain yang boleh disebut sebagai insan kamil di dunia ini. Sebagai manusia kita sebenarnya tidak lepas daripada melakukan kesalahan walaupun sekelumit.

Maka buanglah sikap ego dalam kehidupan seharian kita sebagai makhluk yang diberi akal untuk berfikir dengan normal. Jika kita merasakan diri kita sempurna maka tidaklah perlu diwujudkan undang-undang mahupun peraturan di dalam sesuatu organisasi mahupun dalam masyarakat itu sendiri.


Apa akan jadi jika semua manusia sesuka hati menjalani kehidupan mengikut hawa nafsu mereka. Maka masyarakat akan jadi kucar-kacir dan ramai yang turut menuntut untuk melakukan perkara terlarang dengan bebas tanpa kekangan. Setiap masyarakat perlu ada sistem nilai bertunjangkan akal dan budi.

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini harus diingatkan kita mempunyai garis panduan dalam kehidupan maka bertindaklah mengikut budaya masyarakat ketimuran iaitu pantas meminta maaf jika kita me­lakukan kesalahan. Misalnya terlanggar orang semasa berjalan mahupun kesalahan besar seperti pernah mencuri durian di kebun jiran kita.

Dalam masyarakat kita budaya meminta maaf hanya semarak pada hari raya semata-mata. Hinggakan menjadi trend dalam kalangan pembuatan iklan di media massa bahawa kemaafan ha­nya perlu dilakukan pada bulan Syawal semata-mata. Sedangkan sikap meminta maaf bila melakukan kesalahan perlu diamalkan setiap masa.

Sebagai contoh pakar motivasi iaitu Datuk Dr. Fadzilah Kamsah ada memberi petua untuk menjalani kehidupan rumah tangga yang aman sentosa, kita perlu mempunyai sikap pemaaf yang konsisten dengan pasangan kita. Sebelum tidur digalakkan suami dan isteri bermaaf-maafan jika ada berlaku perselisihan faham agar rumah tangga yang dilayari lebih rukun dan damai.



Umat Islam di Australia bersalaman sambil bermaaf-maafan selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Lakemba di Sydney, Australia, baru-baru ini. AGENSI

Pada musim raya, pergaduhan antara suami isteri cukup mudah terjadi berpunca daripada sebab yang kecil hingga perkara yang besar. Bayangkan terlambat ba­ngun sahur suami boleh sahaja marah kepada isteri dan paling besar pergaduhan untuk memilih destinasi balik kampung pada 1 Syawal. Bagaimana hebat pun kita bergaduh jangan lupa bermaaf-maafan sebelum tidur.

Sesungguhnya kita bukanlah makhluk yang terlepas daripada melakukan kesalahan yang tidak boleh dimaafkan melainkan jenayah yang perlu diadili di mahkamah perundangan. Apa yang perlu disemat di fikiran, kita bukanlah insan yang sempurna sehingga enggan mengakui kesalahan dan meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan.

Mohonlah kemaafan kepada insan yang tersayang seperti ibu bapa jika kita menderhaka mereka akibat perbezaan pendapat. Hanya neraka tempat anak yang derhaka dan dibalas tunai di dunia lagi maka ringankan tangan untuk memohon keampunan daripada tangan tua.

Di Hari Raya Aidilfitri ini ambillah kesempatan bermaafan dengan orang tua, adik-beradik, saudara-mara dan rakan taulan dengan semangat untuk menjalani persaudaraan hingga ke jannah. Kita bukanlah sempurna, itu yang harus kita ingat dan sematkan di fikiran. Mohonlah kemaafan kepada ibu bapa yang kita abaikan, bekas tunang dan kekasih yang kita persiakan kerana mengejar dunia yang tiada sempadan ini. Jangan segan dan malu meminta maaf mahupun memberi maaf kerana bukan menjatuhkan martabat kita malahan melonjakkannya di mata orang yang menerima maaf kita.

Percayalah kita bukan manusia sempurna, tetapi sikap merendah diri meminta maaf bila berasa diri membuat salah seolah-olah melengkapkan kita menjadi manusia sempurna. Bukankah Nabi Muhammad SAW mengampunkan umat baginda yang berbuat kejam kepada baginda tanpa syarat. Siapa kita berbanding Nabi Muhammad SAW tapi tidak salah untuk mengikut sunnah baginda.

-