July 18th, 2016

Islam meraikan muzik

ANTARA pandangan Islam yang sering dipersoalkan oleh Barat kerana dianggap tidak relevan, tidak logik dan bertentangan dengan pemikiran moden adalah bidang muzik.

Pendakwah dan pengasas Islamic Online University, Dr. Abu Ameenah Bilal Philip menyifatkan pertikaian itu berlaku kerana wujudnya salah faham dalam kalangan mereka yang terlibat.

“Secara hakikatnya, kita memahami bahawa Tuhan mencipta manusia dengan fitrah untuk mencintai muzik tetapi yang menjadi larangannya adalah kesan buruk yang datang daripada bidang kesukaan manusia itu,” katanya yang dipetik dalam rancangan Dakwah Channel melalui saluran YouTube, baru-baru ini.

Bilal Philip menjelaskan, muzik diterima dalam kerangka yang memberi manfaat kepada manusia tetapi jika ia berada di luar kerangka tersebut, Islam melarangnya dengan tegas.

Melarang aspek negatif daripadanya

PERCAMPURAN lelaki dan wanita tanpa batas akan mengundang pelbagai kesan buruk kepada umat Islam. GAMBAR HIASAN.

Sebagai contoh, Rasulullah SAW melarang penggunaan alat muzik tiupan dan petikan (gitar). Ini sebagaimana dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Bukhari, bermaksud:

“Akan ada suatu kaum daripada umatku yang akan menghalalkan zina, sutera (untuk lelaki), arak dan alat muzik,” dan satu lagi hadis baginda, bermaksud: “Pasti akan ada kelompok manusia daripada umatku yang meminum arak yang dinamakan dengan nama lain. Mereka senang (khayal) memainkan alat-alat muzik dan dinyanyikan perempuan dewasa.”

Abu Ameenah Bilal Philip

Tegas Bilal Philip, Islam menerima muzik secara terbuka tetapi ia perlu berada dalam batasan tertentu agar tidak menjadi suatu yang melibatkan ketagihan melampau.

Ini kerana alat-alat muzik sebenarnya memiliki kecenderungan tinggi untuk menawan dan memikat hati mereka yang mendengar atau menghayati alunan irama serta liriknya.

“Mereka menjadi cukup ketagih untuk mendengar muzik apabila berada dalam keadaan muram atau ingin menaikkan semula semangat, sedangkan Islam mengajar umatnya untuk menghadap Allah SWT apabila berada dalam keadaan sedemikian,” katanya.

Lebih penting, Bilal Philip menyatakan bahawa jika muzik tersebut benar-benar bermanfaat, sudah tentulah para pemuzik atau penyanyi akan menunjukkan manfaat tersebut dalam kehidupan masing-masing.

“Namun, apa yang terjadi hari ini, kita melihat hanya kerosakan sahaja. Sesetengah kerosakan tersebut berlegar dalam kalangan pemuzik atau penyanyi itu sendiri.

“Penggunaan dadah, menyeleweng, bunuh diri, angkuh, lupa daratan dan semua itu berpusat kepada pemuzik. Kenapa itu berlaku ? Jika apa yang mereka hasilkan itu sangat baik, kenapa mereka tidak dapat manfaat daripadanya?,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menambah, muzik turut berpotensi membawa elemen jahat dan gelap yang menjadi punca kepada pelbagai jenis kerosakan.

“Jika anda mendengarnya, ada antara lagu yang mempromosikan perkara buruk seperti seks bebas, zina, maksiat dan lain-lain. Semuanya terkandung dalam muzik itu dan sayangnya, tanpa kita sedari, ia adalah unsur-unsur yang paling merosakkan dalam masyarakat,” katanya.


-

Pengajaran wasiat Muhammad al-Fateh

KISAH Panglima Muhammad al-Fateh (Sultan Mehmed II) sentiasa segar walaupun sentiasa dibincang dan diperkatakan.

Mengulang-ulang kisah hidupnya dalam lipatan sejarah kegemilangan peribadi, kepemimpinan dan pemerintahannya tidak pernah menjemukan.

Kehidupan, keperibadian dan kepemimpinan Muhammad al-Fateh dapat memberikan gambaran secara jelas dan terperinci mengenai ketakwaan, keyakinan dan kepatuhannya kepada agama dan Allah SWT menjadikan beliau sultan yang adil, amanah, berwawasan serta penyayang terhadap rakyatnya.



MERIAM yang dicipta untuk menakluk Constantinople oleh Sultan Muhammad al-Fateh.
Ini seperti digambarkan melalui sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya Constantinople akan ditakluki. Maka sebaik-baiknya pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya dan yang akan menakluknya."

Tempoh menjadi sultan selama 31 tahun (855-888 Hijrah atau 1451-1481 Masihi) adalah satu tempoh yang lama.

Muhammad al-Fateh terkenal sebagai pemimpin mempunyai visi dan wawasan yang jelas.

Strategi peperangan beliau amat luar biasa dan tenteranya berjaya mencipta meriam, senjata baharu pada ketika itu.

Keperibadian Muhammad al-Fateh sebagai sultan amat disenangi rakyat jelata, mampu membawa panji Islam ke mercu kegemilangan dan sentiasa dikenang.

Satu aspek perlu dihayati bersama khususnya pemimpin pada semua peringkat ialah keutamaan al-Fateh mementingkan urusan agama berbanding yang lain.

Ini dapat dibuktikan melalui wasiat beliau untuk anaknya ketika hendak meninggal dunia.

Wasiat yang mengungkapkan prinsip beliau menjalani kehidupan, nilai serta keyakinan yang dipegang supaya terus disuburkan oleh khalifah berikutnya.

Wasiat dulukan rakyat

Antara lain wasiat itu mencatatkan: "Tidak lama lagi aku akan mati, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana aku telah meninggalkan calon pengganti dan penerus seperti kamu.

Jadilah orang yang adil, soleh dan penyayang. Lindungilah seluruh rakyatmu tanpa membeza-bezakan dan bekerjalah untuk menyebar agama Islam.

Ini adalah kewajipan seluruh raja di atas muka bumi ini, dahulukan perhatianmu kepada urusan agama berbanding urusan yang lain.

Jangan berhenti untuk terus melaksanakannya. Jangan memilih orang yang tidak mengutamakan urusan agama, tidak menjauhi dosa besar dan tenggelam dalam maksiat.

Jauhilah juga bidaah yang merosakkan. Jauhilah orang yang mengajak kamu melakukan bidaah. Perluaskanlah negeri kamu dengan berjihad dan janganlah sampai harta baitulmal itu dibazirkan.

Jangan mengambil harta seorang pun dari rakyat kamu kecuali dengan mengikut aturan Islam. Berikanlah jaminan makanan dan keselamatan bagi orang yang lemah.

Muliakan orang yang berhak dengan sebaik-baiknya.

Ketahuilah bahawa ulama adalah satu kekuatan yang ada dalam tubuh negara kamu, maka muliakanlah kehormatan mereka dan motivasikanlah mereka dengan sumber kekuatan dan kekuasaan yang kamu miliki. Jika engkau mendengar ada ulama di negeri yang jauh, maka jemputlah ia datang dan muliakannya.

Waspada dan berhati-hatilah, jangan sampai engkau terlena dan terpesona dengan harta dan kekuatan yang banyak. Jangan sampai engkau menjauhi ulama syariat dan jangan sampai engkau cenderung melakukan amalan yang menyalahi syariat.

Agama adalah tujuan kita, hidayah adalah jalan hidup kita dan dengan keduanya kita akan menang.

Ambillah pengajaran daripada diriku. Aku datang ke negeri ini seperti semut yang kecil, lalu Allah memberikan aku semua nikmat yang besar ini.

Oleh itu, ikutilah dan jejaklah apa yang aku lakukan. Bekerjalah untuk meneguhkan agama ini dan muliakan pengikutnya.

Jangan menggunakan wang negara untuk kemewahan dan sia-sia atau membelanjakan lebih daripada sepatutnya kerana ia penyebab terbesar kebinasaan."

Suka berahsia

Sultan Muhammad al-Fateh meninggal dunia pada 4 Rabiulawal 886 Hijrah (3 Mei 1481) di Askodra, dalam sebuah khemah di kelilingi anggota tenteranya.

Ketika hampir dengan kematian itu, beliau sedang merancang satu misi besar tetapi masih dirahsiakan dan tidak diketahui tujuan atau masa pelaksanaannya.

Muhammad al-Fateh sentiasa merahsiakan strategi ketenteraan walaupun kepada panglima tentera yang terdekat dengannya.

Dalam menjaga kerahsiaan ini, Muhammad al-Fateh pernah menyatakan: "Jika aku sengaja memberitahu kepada satu helai janggutku, maka pasti aku akan mencabutnya."

Selepas Muhammad al-Fateh meninggal dunia, lima khalifah meneruskan pemerintahan dan kepemimpinan, seorang daripadanya ialah Sultan Sulaiman I yang digelar oleh pihak Barat sebagai 'Solomon the Great'.

Ternyata empayar Uthmaniah terus gemilang selepas ketiadaan Muhammad al-Fateh dan wasiat beliau penting kepada penggantinya.

Semoga wasiat itu dapat diteladani dan diwarisi generasi hari ini bagi membawa Malaysia ke arah kegemilangan, kecemerlangan, mendapat keampunan dan keberkatan Allah SWT.