July 28th, 2016

Dilema anak ibu bapa enggan solat

INTAN sering termenung memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk mengajak ibu dan ayahnya solat. Terngiang-ngiang pada telinganya apabila ustazah di sekolahnya memberitahu, perkara pertama yang bakal disoal di hadapan Allah kelak ialah solat. Kata ustazah, kalau urusan solat seseorang selesai, maka mudahlah perhitungan amal seterusnya.

Tapi kalau urusan solat pun tak selesai, mana mungkin amalan-amalan lain dapat membantu. Lantas seboleh mungkin Intan mahu melihat perubahan yang berlaku kepada kedua-dua ibu dan ayahnya. Dia tak sanggup jika nanti ibu dan ayahnya dicampakkan ke neraka hanya kerana tidak solat.

Cara menegur memerlukan nilai kesabaran tinggi

SEBAGAI Muslim yang mengaku beriman kepada Allah, perintah solat sama sekali tidak boleh diabaikan, ia bermula sejak mula baligh hinggalah ke akhir hayat. - GAMBAR HIASAN
.

Mereka sebenarnya baik, banyak tolong orang. Bahkan tidak pernah lokek untuk membantu mana-mana orang susah. Cuma satu, solat yang menjadi kewajipan umat Islam sering kali diabaikan. Bukan Intan tak pernah mengajak ibu dan ayahnya untuk solat. Tapi pelbagai alasan juga diberikan. Uzur adalah alasan utama ibunya, manakala ayahnya berkata, dia jahil sebab dari kecil tidak pernah diajar untuk solat oleh kedua-dua orang tuanya.

Intan menawarkan diri untuk mengajar. Tapi sering kali ditolak dengan kata-kata, “Aku ni dah terlambat. Umur pun dah lanjut. Kalau aku solat sekarang pun, mana mungkin Allah mengampunkan aku. Lagipun aku malu. Belajar solat ni hanya pada usia kanak-kanak dan bukannya dah tua bangka baru nak bertanya tentang solat,” kata ayahnya dengan ego yang tinggi.

Intan terus memujuk. Adakala Intan mengajak ayahnya untuk menjadi imam kepadanya dan ibunya. Dan seperti biasa, ayahnya akan menolak.

Kepada ibunya, duit belanja sekolah yang dikumpulkan, dibelikan sepasang telekung baharu. Mudah-mudahan hati ibunya akan terbuka untuk solat. Tapi sama seperti ayahnya, ibunya terus mengelak. Telekung yang diberikan Intan masih tersimpan rapi dalam almari baju, masih tidak berbuka balutan plastiknya!

Intan takut, kalau diberitahu banyak kali, nanti akan mendatangkan kemarahan mereka berdua. Tapi kalau tak diingatkan, mereka akan terus lalai. Intan tahu sebagai anak tunggal dalam keluarga, tiada siapa yang dapat mengubah sikap kedua-dua ibu dan ayahnya.

Dia perlu kuat. Intan mahu ayah dan ibunya tahu bahawa dia tidak sanggup melihat kedua-duanya diseksa di akhirat kelak. Adakalanya Intan merasa putus asa. Memanglah kubur masing-masing dan setiap orang akan bertanggungjawab terhadap amalan masing-masing. Tapi sanggupkah seorang anak membiarkan ibu dan ayahnya dilemparkan ke neraka hanya kerana tidak solat walhal mereka orang yang baik.

Pandangan kaunselor

Sebagai Muslim yang mengaku beriman kepada Allah, perintah solat sama sekali tidak boleh diabaikan. Kewajipan bermula sejak mula baligh hinggalah ke akhir hayat itu, akan menjadi penentu di mana letaknya diri kita di sisi Allah.

Hari ini, ramai orang tahu bahawa solat itu wajib tapi ramai juga yang tidak melakukannya. Kalau ada pun hanya dua kali setahun iaitu, solat Aidilfitri dan Aidiladha. Tidak kurang juga yang hanya solat pada hari Jumaat. Manusia hilang rasa malunya kepada Allah yang mencipta mereka dan memberikan limpahan rezeki tapi ramai yang tidak mahu sujud kepada-Nya.

Islam secara jelas menyebut, andai pada usia 10 tahun, anak-anak yang tidak solat boleh dirotan oleh ibu bapanya sebagai satu bentuk pengajaran, apatah lagi bagi yang berusia lebih daripada itu.

Apa pun, rotan dalam Islam bukan untuk menghukum. Sebaliknya bertujuan mendidik dalam usaha membentuk sahsiah diri terpuji. Yang pasti, kekuatan melakukan ibadah solat sudah tentu bermula daripada hasil didikan, bimbingan dan suruhan ibu bapa kepada anak-anak.

-

Membudaya solat jemaah demi ummah

MASALAH perpecahan umat Islam di Malaysia bukan perkara baharu sebaliknya telah sedia maklum oleh semua pihak.

Secara umumnya terdapat dua faktor penyebab keadaan itu iaitu perbezaan politik serta fahaman mazhab. Kedua-dua faktor ini menyebabkan umat Islam terus berbalah sesama sendiri, paling ketara faktor politik.

Disebabkan berbeza ideologi politik, ada umat Islam yang terlalu taksub dengan parti mereka sanggup memutuskan hubungan saudara sesama Islam termasuk sesama keluarga dan kaum kerabat.


DR. MOHD. ARSHAD TAIB sedang memberi pandangannya berhubung masalah perpecahan umat Islam di negara ini ketika berlangsungnya Perhimpunan Agamawan Kebangsaan di Bandar Baru Bangi dekat Kuala Lumpur, baru-baru ini. UTUSAN/ AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Situasi yang berlaku itu amat membimbangkan kerana perpecahan boleh menyebabkan kita menjadi lemah sekali gus membuka peluang kepada musuh-musuh Islam mengambil kesempatan menguasai pelbagai bidang termasuk politik. Jika itu yang berlaku akhirnya umat Islam yang merana.

Sehubungan itu menjadi tanggungjawab setiap ulama, ilmuwan dan cendekiawan Islam terutama dalam parti Melayu se­perti UMNO, Pas, PKR dan terbaru PAN memainkan peranan menyatukan umat. Secara jujur, golongan ini lebih arif tentang hukum-hakam berhubung hak-hak persaudaraan sesama Islam.

Bahkan menjadi tanggungjawab mereka juga untuk menasihatkan pemimpin-pemimpin utama parti-parti Melayu berkenaan sama ada kerajaan atau pembangkang sekiranya terdapat antara pemimpin terbabit enggan terlibat dengan usaha-usaha ke arah perpaduan.

Jangan sesekali kita lupa, apa jua pendirian politik masing-ma­sing, semua umat Islam negara ini berpegang kepada akidah, kitab dan menghadap kiblat yang sama seperti mana syariat dibawa oleh junjungan Rasulullah SAW lebih 1,400 tahun lalu.

Alangkah ruginya jika ilmu itu tidak dimanfaatkan bagi me­nyatukan umat Islam seluruhnya tanpa mengira latar belakang politik tetapi lebih digunakan untuk menjaga kelangsungan politik serta habuan dunia semata-mata.

Dalam hal tersebut Rasulullah SAW dalam satu hadis pernah bersabda: “Janganlah sesekali ke­gerunan seseorang kepada manusia menegahnya untuk me­nyatakan kebenaran apabila dia mengetahui.” - Riwayat Tirmizi.

Jelas, setiap individu yang tergolong dalam kumpulan ulama dan barisan agamawan bertanggungjawab memberitahu barisan kepimpinan parti mereka tentang kewajipan bersatu-padu. Hal ini kerana mereka amat arif tentang hukumnya di sisi syarak.

Seperkara lagi mereka yang enggan menjalinkan silaturahim hukumannya adalah amat keras iaitu tidak akan masuk ke ­syurga Allah SWT. Adakah ini yang kita mahukan semata-mata terlalu taksub kepada habuan dunia yang bersifat sementara.

Namun begitu penulis tetap bersyukur kepada Allah SWT berikutan timbul kesedaran beberapa pihak khususnya para agamawan dan cendekiawan ilmuwan Islam termasuk beberapa pemimpin parti politik terutama UMNO dan Pas tentang keperluan menggerakkan beberapa strategi untuk menyatukan umat Islam memandangkan masalah perpe­­cahan yang semakin parah.

Atas kesedaran tersebut, Maj­lis Dakwah Malaysia (MDN) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) telah menggerakkan satu usaha besar-besaran bagi tujuan menyatukan umat Islam di negara ini melangkaui sentimen politik dan perbezaan mazhab.

Gerakan pertama melalui peng­anjuran Multaqa Perpaduan Ummah pada 18 Mei lalu yang membabitkan pelbagai pihak termasuk ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Hasil respon positif perhimpunan tersebut, MDN dan Yadim sekali menggunakan platform yang sama menghimpunkan pula golongan agamawan pada 20 Julai lalu di Bandar Baru Bangi bagi mencari jalan terbaik dalam usaha memulihkan segera penyakit pecah-belah masyarakat Islam di negara ini.

Para agamawan cukup sedar tentang keperluan itu kerana tanpa kesepaduan umat yang jitu dikhuatiri masyarakat Islam akan lemah dan akhirnya mengemis di negara sendiri.

Pelbagai idea dan buah fikiran dilontarkan dan antara paling menarik membudayakan segera solat jemaah di semua masjid dan surau seluruh negara.

Mengulas syor tersebut bekas seorang pensyarah universiti tempatan, Dr. Mohd. Arshad Taib ketika memberi pandangannya berkata, pendekatan solat jemaah adalah terbaik bagi menyatupadukan umat Islam kerana itu adalah kaedah yang dianjurkan oleh al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Beliau yang kini bertugas sebagai imam di sebuah masjid di Perlis berpandangan sebaik-sebaiknya semua pihak termasuk kerajaan mengambil perhatian tentang cadangan tersebut dan langkah pertama ke arah itu perlu dimulakan.

Mengambil contoh solat subuh secara berjemaah, beliau menarik perhatian para agamawan yang lain tentang kekurangan jumlah saf yang begitu ketara.

Sehubungan itu satu usaha lebih agresif perlu dilakukan bagi menggalakkan umat Islam negara ini khususnya lelaki menunaikan solat lima waktu secara berjemaah.

Perkara yang sama turut di­sentuh oleh pakar motivasi ter­kenal, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah dan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Saupi Man berhubung keperluan me­nyempurnakan kewajipan bersolat serta kepentingan solat berjemaah dalam usaha menyelesaikan masalah perpecahan umat di negara kita.

Pandangan tiga individu ini cukup berasas memandangkan kewajipan bersolat khususnya solat jemaah adalah perkara yang sering diabaikan oleh umat Islam di Malaysia dan akhirnya membuatkan manusia semakin jauh daripada rahmat Allah.

-

Nikmat lepasi ujian Padang Mahsyar

UKURAN kejayaan hidup manusia tidak dinilai di dunia tetapi Allah SWT jadikan ukuran nilai sama ada berjaya atau tidak ketika berada di Padang Mahsyar nanti.

Diceritakan oleh al-Muhasibi dalam kitabnya Al-Tawahum wal Ahwal, Allah SWT akan mengumpulkan seluruh manusia dan jin di Padang Mahsyar dalam keadaan hina dan tidak ada seorang pun yang bangun berpakaian.

Mereka yang dahulunya mempunyai kedudukan, darjat dan pangkat juga akan menjadi rendah serta hina kerana ia bukan lagi menjadi keutamaan pada ketika itu.

Orang jahat datang dengan keadaan tunduk kepalanya dan penuh ketakutan, malah syaitan juga dibawa dalam keadaan sama di Padang Mahsyar nanti.

Bintang di langit jatuh bertaburan, cahaya matahari dan bulan menjadi pudar seketika, suasana menjadi mendung serta gelap.



Langit berputar-putar di atas kepala selama 500 tahun menyebabkan manusia berada dalam kebingungan.

Kemudian langit akan terbelah dan bunyinya didengari semua makhluk di Padang Mahsyar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Pada hari langit menjadi seperti tembaga cair dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan)." (Surah al-Maarij, ayat 8-9)

Hamba soleh diasingkan

Abu Hamid dalam kitab Kasyful Ulum al-Akhirah menceritakan, jika semua makhluk itu sudah dikumpulkan di Padang Mahsyar, Allah SWT mula memerintahkan malaikat di langit dunia (langit pertama) untuk memindahkan hamba-Nya yang soleh ke bumi lain.

Kemudian dipindahkan manusia dan jin yang soleh, termasuklah binatang serta burung ke bumi kedua, tanahnya berwarna putih daripada perak bercahaya.

Selepas itu malaikat berjumlah 10 kali ganda daripada jumlah keseluruhan makhluk membuat barisan di sempadan antara bumi pertama dan kedua.

Seterusnya, Allah SWT memerintahkan malaikat di langit kedua hingga ketujuh turun ke bumi, membuat barisan mengepung seluruh makhluk yang ada dan tidak seorang pun mampu lari menembusi kepungan malaikat itu.

Bumi menjadi sangat padat dan makhluk bersesakan, himpit-menghimpit antara satu sama lain selain berpeluh kepanasan dalam keadaan yang merimaskan.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm menyambung perkongsian, pada ketika itu masing-masing dicengkam perasaan takut dan penuh debaran kerana matahari berada sangat dekat di atas kepala sehingga boleh disentuh hanya dengan mengangkat tangan mereka.

Mereka akan berasa sangat haus, tetapi hamba Allah SWT yang soleh akan mendapat minuman diberikan oleh anak syurga yang soleh.

Di Padang Mahsyar nanti akan kelihatan awan bergerak di atas kepala, menaungi mereka yang sentiasa bersedekah ketika di dunia dahulu selama 1000 tahun.

Kemudian kedengaran tiupan sangkakala yang memberi isyarat turunnya Arash Allah SWT yang dibawa oleh lapan malaikat, diiringi ribuan malaikat menyebabkan seluruh makhluk menggigil ketakutan.

Minta bantuan Nabi


Di Padang Mahsyar manusia berada dalam kebingungan dan pada ketika itu mereka mula mencari Nabi Adam tetapi Baginda tidak berani melakukan apa-apa dan meminta berjumpa Nabi Nuh, namun Baginda juga tidak dapat membantu.

Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan nabi lain. Sehinggalah akhirnya umat manusia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW.

Baginda sujud sambil menangis dan berkata: "Semua nabi sudah menggunakan doa mustajab mereka ketika di dunia dahulu, kecuali diriku."

Walaupun sudah mengetahui hasrat Rasulullah SAW, Allah SWT menghantar malaikat untuk bertanya kepada kekasih-Nya kenapa Baginda menangis.

Rasulullah SAW memohon supaya umat manusia diadili kerana mereka sudah terlalu lama menunggu di Padang Mahsyar.

Selepas itu barulah Allah SWT menggerakkan Arasy dan umat manusia mula diadili.