July 30th, 2016

Jangan pandang remeh dosa kecil

“CUMA berkasar sedikit sahaja, sekadar menyinggung perasaan, cuma buang sampah merata-rata sahaja, tak apalah, hanya dosa kecil,” Begitulah mentaliti kebanyakan umat Islam untuk dijadikan alasan apabila terus menerus melakukan kesalahan kecil.

Beranggapan hanya dosa kecil yang mudah terampun, membuatkan ramai mengambil sikap pandang remeh terhadap sesuatu kesalahan kerana dianggap akan terhapus dengan melakukan amal ibadat dan beristighfar atau bertaubat.


Bilal Assad

Mengulas lanjut, penulis dan pendakwah antarabangsa, Bilal Assad bagaimanapun berkata, inilah yang menjadi punca mengapa ramai dalam kalangan umat Islam dimasukkan ke dalam neraka sehingga diazab oleh Allah SWT dengan balasan dahsyat.

“Kita tahu perbuatan itu salah, tetapi kita masih lakukan juga kerana menganggapnya sebagai dosa kecil. Kita terus memandang remeh dan tidak mempedulikan kesalahan itu sehingga menjadi kebiasaan yang akhirnya sebati dalam diri atau tiada lagi rasa bersalah melakukan kesalahan itu.

“Inilah yang kita takutkan. Ketika kita terus menerus melakukan kesalahan dalam kehidupan seharian, lama kelamaan dosa yang pada mulanya dianggap kecil menjadi dosa besar yang menjerumuskan kita ke dalam neraka,” katanya dalam satu ceramah terbuka.

Dilahirkan di Williamstown, Melbourne, Australia, Assad mendapat didikan Islam sejak dari bangku sekolah sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Syariah di Lebanon. Selain menerbitkan buku-buku bergenre Islam, beliau turut aktif berkhidmat kepada masyarakat bersama pertubuhan Islamic Society of Victoria.

Assad berkata, umat Islam perlu sentiasa berhati-hati daripada melakukan dosa kecil kerana mungkin dianggap kecil, namun sebaliknya di sisi Allah SWT.

“Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. bermaksud: “Sesungguhnya seorang Mukmin (ketika) dia melihat dosa-dosanya, adalah seperti (ketika) ia duduk di lereng sebuah gunung, dan ia sangat khuatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (orang yang selalu berbuat dosa), ketika dia melihat dosa-dosanya adalah seperti ia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian ia mengusirnya seperti ini lalu terbang (ia menganggap remeh dosa),” - Riwayat Bukhari

“Hadis ini perlu dijadikan iktibar. Jangan sampai kita dikategorikan dalam golongan orang fajir,” jelasnya.

Sikap tidak mengambil berat terhadap kesalahan dan dosa kecil, tambah Assad, lama kelamaan boleh menghapuskan akhlak umat Islam yang hanya memudaratkan individu itu sendiri apabila berada di akhirat kelak.

“Memandang remeh dosa adalah seperti meremehkan azab Allah SWT iaitu neraka. Kita perlu sedar bahawa tempat tinggal paling buruk adalah di neraka. Panas apinya adalah 70 kali lebih dahsyat berbanding panas api di dunia.

“Ingatlah, di neraka kita tidak akan merasakan selesa walau sekelip mata. Oleh itu, jangan sesekali menganggap remeh dosa walaupun kecil kerana dosa yang dirasakan remeh itu secara tidak disedari akan menggelincirkan kita ke lembah kesengsaraan, kepedihan dan penderitaan yang teramat sangat.

“Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Api yang kamu nyalakan di dunia adalah sebahagian daripada 70 bahagian dibandingkan dengan panas api neraka...- Riwayat Bukhari dan Muslim,” jelasnya.

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam agar tidak memandang remeh kesalahan kecil dan melakukannya dengan sengaja.

“Selagi diberi peluang hidup, dipanjangkan umur oleh Allah SWT, kita harus menginsafi segala dosa yang telah dilakukan. Telah menjadi fitrah kelahiran manusia tidak lari daripada melakukan dosa dan Allah SWT itu maha pengampun lagi menerima taubat hamba-Nya,” ujarnya.

Tarekat rohani di alam Melayu

TAREKAT yang bermaksud jalan adalah keadaan yang tidak dapat dipisahkan dengan manusia kerana ia menjadi landasan untuk menjalani kehidupan sehingga sampai waktu tertentu bagi kita bertemu dengan Allah SWT di negeri abadi.

Orang beriman akan melalui jalan yang lurus menuju kepada-Nya seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku (Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan jangan kamu menurut jalan lain kerana jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya, yang demikian itu diperintahkan Allah supaya kamu bertakwa." (Surah al-An'am, ayat 153)

Tarekat rohani antara jalan atau disiplin ilmu tersebar di alam Melayu dihasilkan melalui penulisan ulama alam Melayu seperti Sheikh Abdul Rauf Al-Singkili menerusi manuskrip seperti Bayan Shurut al-Shaykh wa al-Murid yang masih tersimpan kemas sebagai koleksi Perpustakaan Negara Malaysia).

ANTARA yang hadir pada Wacana Siri 1/2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa Manuskrip Ahlillah di Masjid UKM, baru-baru ini.

Kitab itu masih dalam bentuk manuskrip tulisan tangan menggunakan khat nasakh, setebal 41 halaman yang menggabungkan bahasa Arab sebagai teks utama dan bahasa Melayu sebagai terjemahan serta huraiannya.

Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Md Zuraini Mashrom berkata, alam Melayu menerima tarekat rohani sebagai suatu jalan tarbiah selari kemasukan masyarakatnya ke dalam Islam. "Ia berkembang dalam dunia Islam bersanadkan ilmu dan amalan Rasulullah SAW, sahabat, tabiin serta ulama selepasnya.

Malah tarekat rohani sebagai suatu pendekatan penyebaran ilmu berjaya menjadi faktor utama penyebaran Islam di alam Melayu."

Tiga rukun tarekat

Beliau berkongsi maklumat itu dalam huraian Manhaj Tarekat Rohani alam Melayu pada Wacana Siri 1/2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa Manuskrip Ahlillah yang diadakan di Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.

Katanya, disiplin ilmu tarekat rohani terutama menerusi penulisan dan pengajian oleh ulama tersohor menjadi amalan masyarakat alam Melayu.

Bagaimanapun, disiplin itu masih belum tersebar luas mengakibatkan berlaku fitnah sehingga ada mendakwa ia sebagai sesat atau terpesong daripada ajaran Islam.

Selain Sheikh Abdul Rauf Al-Singkili, ulama tarekat rohani yang turut memberikan sumbangan besar melalui khazanah penulisan berharga termasuk Sheikh al- Ashmuni dalam kitabnya al-Khulasah al-Mardhiyah Min al-Durar al-Mudhi'ah FI Macrifat Suluk Tariq al-Sufiyyah dan al- Sheikh Ibn Arabi dalam kitab al-Amr al-Muhkam.

Mengupas lanjut mengenai tarekat rohani, menurut Md Zuraini, ada tiga rukun utama perlu dikuasai iaitu sheikh, salik (pejalan) dan manhaj yang mengandungi disiplin tersendiri merangkumi syarat, adab atau tatacara yang menjadi pengukur terhadap kesahihan amalan tarekat rohani.

Rukun pertama dalam tarekat rohani iaitu sheikh ditakrifkan sebagai seseorang yang mencapai kedudukan sempurna dalam ilmu syariat, tarekat, hakikat, makrifat dan pengetahuan mendalam mengenai penyakit rohani. "Sheikh Abdul Rauf al-Singkili meletakkan peranan sheikh sebagai pewaris nabi yang dipilih Allah SWT bagi menyambung legasi nubuwwah.

Sheikh juga perlu memperoleh pengiktirafan sebagai Sheikh Mursyid untuk memelihara kesucian institusi tarekat rohani," katanya.

Ikut bimbingan sheikh

Rukun kedua ialah murid atau orang yang benar permulaan jalannya dan tergolong dalam kalangan orang yang menetapkan diri pada jalan Allah SWT.

Setiap murid wajib mempunyai sheikh yang dapat membawanya bersama ke jalan rohani. Mereka juga perlu menyerah diri atau dalam erti kata lain, taat kepada sheikh dalam semua perkara yang diperintah serta dilarang kerana kedudukannya diiktiraf selaku pewaris nabi yang dikurnia kelebihan ilmu alat dalam membimbing murid menuju kepada-Nya.

Rukun ketiga dalam tarekat rohani adalah manhaj iaitu sistem atau kurikulum yang menjadi rujukan asas bagi pembelajaran.

Manhaj perjalanan rohani bersumberkan teks wahyu dengan menggunakan pendekatan sunni dan ijtihadi sesuai realiti zaman dan keadaan murid.

"Kepelbagaian penyakit rohani mereka yang ingin mendalami ilmu tarekat dan perbezaan realiti zaman memerlukan sheikh berijtihad untuk menentukan pendekatan bersesuaian bagi mengubati penyakit berkenaan.

"Syeikh Murshid berkelayakan untuk berijtihad lantaran penguasaan ilmu alat dan ilmu tariq yang dianugerahkan kepadanya. Ini juga menjadi faktor perbezaan dalam peraturan amalan dan zikir antara satu tarekat dengan tarekat lain mengikut sheikh masing-masing," katanya.

INFO: Sejarah tarekat rohani di alam Melayu

Ulama alam Melayu seperti Sheikh Abdul Rauf Al-Singkili banyak menulis mengenai tarekat rohani antaranya menerusi manuskrip bertajuk Bayan Shurut al-Shaykh wa al-Murid

Shaykh Abdul Rauf al-Singkili dilahirkan pada tahun 1602 Masihi di Singkil, Pantai Barat Sumatera dan terkenal pada abad ke-17 Masihi

Kecelaruan pendidikan rohani muncul di alam Melayu terutama di Kerajaan Aceh Darussalam dan kerajaan naungannya akibat konflik ontologi ketuhanan yang dicetus Shaykh Nuruddin al-Raniri Antara yang hadir pada Wacana Siri 1/2016 Manuskrip Alam Melayu Peringkat Antarabangsa Manuskrip Ahlillah di Masjid UKM, baru-baru ini.

Ateis, murtad suatu bentuk penjajahan

TIDAK dapat dinafikan wujudnya aliran liberalisme dan extremisme dalam sejarah manusia terutama pada zaman ini, dalam kalangan semua bangsa dan agama, termasuk umat Islam.

Tidak dapat dinafikan juga umat kelihatan bersikap sinis dan hampa terhadap keahlian/autoriti dalam pelbagai bidang termasuk bidang keilmuan, agama, kepemimpinan, pengurusan, profesional dan kebudayaan serta seni dan hiburan.

Pandangan, saranan dan keputusan mereka yang diletakkan di jawatan dan institusi penting bidang ini tidak diendahkan sebahagian penting umat kita dan oleh orang dan institusi bukan Islam.

Mungkin antara sebab utamanya ialah penjawat dan pemegang amanah penting ini bukan memiliki keahlian hakiki. Satu penyelidikan mengenai Global Index of Religiousity and Aetheism 2012 oleh WIN-Gallup International menggambarkan perkembangan membimbangkan.


Kajian membabitkan 50,000 peserta dari 57 negara mendapati rakyat di beberapa negara Islam yang dianggap konservatif dan kuat beragama sudah ramai dan berani mengakui yakin mereka memang ateis (convinced atheists).

Data-data dalam penyelidikan ini boleh membantu kita mengenali dan menangani satu masalah penting yang berangkai.

Dapatan penyelidikan ini penting kerana memaparkan pengakuan peserta mengenai pegangan agama atau sebaliknya dan bukan pandangan atau rumusan pengkaji terhadap peserta.

Penyelidikan Global di atas melaporkan dua peratus rakyat Pakistan, yakni lebih kurang 3.8 juta; dan lima peratus rakyat Arab Saudi berjumlah 1.5 juta, sementara dua peratus rakyat Turki (1.4 juta) berada dalam kategori ini.

Di Malaysia, Iraq dan Ghana, tiada yang mengaku ateis. Bandingkan dengan Russia enam peratus dan Afrika Selatan lima peratus dan Finland enam peratus. Yang terbanyak mengaku ateis ialah Cina 47 peratus, Jepun 31 peratus, Republik Czech 30 peratus, Perancis 29 peratus, Korea Selatan dan Jerman masing-masing 15 peratus, Belanda 14 peratus, Amerika Syarikat lima peratus dan India tiga peratus.

Tidak berani akui pegangan

Sangat menarik dinyatakan, penyelidikan ini mendapati tidak ada yang mengakui ateis di Malaysia. Besar kemungkinan individu sebegini ada tetapi tidak ramai dan tidak berani mengakui pegangannya kepada pihak penyelidik.

Apa yang mengejutkan daripada penyelidikan ini ialah Indonesia tidak disenaraikan langsung di dalamnya. Data yang sangat menarik ialah di antara semua agama, penganut Islam dan Hindu yang tertinggi mengakui ateis, iaitu sebanyak tiga peratus, sedangkan penganut agama Yahudi dua peratus, Katolik dan Protestan masing-masing satu peratus sahaja.

Fenomena ini sedang mendapat perhatian ramai pengkaji seperti Ahmed Benchemsi dalam The New Republic pada 24 April 2015, mengenai 'Invisible Atheists: The Spread of Disbelief in the Arab World'; Brian Whitaker, Arabs Without God: Atheism and the Freedom of Belief in the Middle East (2015) dan Simon Cottee The Apostates: When Muslims Leave Islam (2016).

Kajian ini juga mendapati aliran ateisme ini meningkat dalam kalangan berpendidikan dan yang berpendapatan tinggi. Kedua-dua faktor ini menunjukkan kemungkinan besar mereka memiliki peranan penting dalam kehidupan institusi awam dan swasta di negara masing-masing.

Ateisme hanyalah satu jelmaan daripada banyak gejala negatif berat yang menyimpang, menyeleweng dan keluar dari ajaran Islam yang dikenali sebagai de-islamization (Ingkar Islam) termasuklah menukar ke agama lain (murtad), syirik, extremisme, radikalisme, sekularisme, liberalisme dan lain-lain. Ingkar Islam tidak bermakna mereka mengaku ateis atau meninggalkan Islam dan menganut agama lain.

Mereka masih mengaku Muslim tetapi jahil mengenai dasar dan amalan Islam serta tidak mengamalkannya. Malah, sebahagian yang mengingkari Islam ini memiliki peralatan bahasa Arab dan pengetahuan bidang ilmu tradisional Islam tetapi menafsirkan semuanya melalui kerangka pemikiran moden yang sekular, liberal dan nisbi (relative), atau melalui kerangka ilmu-ilmu tradisional agama secara sempit.

Kedua-dua aliran ini menganggap diri mereka lebih memahami Islam daripada majoriti sarjana dan umat Islam sepanjang sejarah.

Sebahagian fenomena ini sudah dikaji dengan baik oleh Dr Khalif Muammar dalam Islam dan Pluralisme Agama (2003). Oleh kerana Islam adalah agama yang berasaskan faham ilmu dan kaedah ilmiah yang tauhidik dan komprehensif seperti yang dihuraikan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Prolegomena to the Metaphysics of Islam (1995), maka ingkar Islam ini berkait rapat dengan sifat ingkar ilmu yang merupakan lawan mutlak budaya ilmu dalam Islam.

Krisis ilmu pengetahuan

Ingkar ilmu bukan sekadar menafikan kemungkinan manusia boleh mencapai ilmu pengetahuan di tahap 'ilm al-yaqin, 'ayn al-yaqin dan aqq al-yaqin tetapi menisbikan ilmu pada pandangan peribadi yang berkepentingan sendiri (subjektivisme), pada perubahan dan kepentingan kedudukan sosial, ekonomi dan politik, jantina (relativisme) dan pada perubahan sejarah (historisisme).

Ingkar ilmu giat menubuhkan institusi pendidikan dan kajian sehingga ke peringkat tertinggi, tetapi tujuan, kandungan, prioriti dan metodologi pendidikan serta penyelidikan tidak lagi didasarkan pada pandangan alam Islam dan faham ilmunya yang kekal tetapi yang berubah-ubah.

Krisis keahlian/autoriti dalam masyarakat Islam, seperti dalam semua masyarakat lain, adalah pada dasarnya krisis ilmu pengetahuan.

Francis Robinson menulis mengenai krisis keahlian/autoriti umat Islam dalam Crisis of Authority: Crisis of Islam? (2008). Beliau meletakkan permulaan krisis ini sekitar 200 tahun lalu apabila penjajahan Barat mula mencengkam dunia Islam dan menjadi lebih parah sejak pertengahan abad ke-20 Masihi apabila pergerakan manusia, pengaliran dana dan teknologi komunikasi menjenterai gelombang globalisasi Barat, yang bagi ramai sarjana dianggap sebagai penjajahan baharu (neo-kolonialisme).