August 2nd, 2016

Patuhi arahan petugas haji , Peliharalah nama baik Malaysia

Peliharalah nama baik Malaysia

“MALAYSIA BAGUS”, “Malaysia boleh”, “Assalamualaikum Malaysia”. Itulah antara kata-kata yang dilafazkan oleh warga asing di Madinah apabila terserempak dengan rombongan wartawan Malaysia.

Dari satu segi mungkin ramai antara kita menganggap ia perkara biasa apatah lagi di Mekah dan Madinah yang sudah tidak asing bagi umat Islam menunaikan ibadah haji dan umrah. Pada musim haji, kedatangan jemaah Malaysia amat dinanti-nantikan bukan sahaja oleh peniaga-peniaga tetapi pengurusan haji Arab Saudi sendiri.


SEBAHAGIAN petugas haji yang tiba di Madinah semalam bagi mengendalikan jemaah haji Malaysia yang dijangka tiba pada Khamis ini. UTUSAN

Walaupun rakyat kita cukup popular dengan aktiviti membeli-belah namun apa yang ­penting adalah disiplin jemaah haji Malaysia berbanding jemaah haji sesetengah negara. Selain dianggap berdisiplin, jemaah kita juga dilihat cukup tertib dan berilmu dalam melaksanakan ibadah haji.

Segalanya disebabkan langkah pengurusan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang berusaha me­lakukan persiapan sebaik mungkin kepada jemaah haji sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.

Kini reputasi imej Malaysia di Arab Saudi pada musim haji bergantung kepada 22,320 orang jemaah haji yang akan mula tiba di Madinah pada 4 Ogos ini. Ada antara mereka adalah petani, ada antara mereka memegang jawatan tinggi kerajaan dan sudah pasti ada antara mereka usahawan berjaya serta ada juga yang masih di peringkat umur remaja, namun di bahu merekalah terletak tanggungjawab untuk memelihara nama baik Malaysia.

Tidak dapat dinafikan dalam 22,320 orang jemaah itu masing-masing ada perangai, pendirian, fahaman dan pemikiran sendiri tetapi semua itu harus dilupakan apabila mereka melangkah kaki meninggalkan tanah air untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Dalam hati mereka perlu hanya tertanam hanya satu niat sahaja iaitu beribadah sepenuhnya kepada Allah.

Jangan dibawa sebarang sentimen atau perangai tidak elok ke tanah suci. Jangan membuang masa untuk memperkatakan soal keduniaan khususnya isu-isu di tanah air.

Tinggalkan sahaja semua itu, tiada faedah pun mahu membazirkan masa keemasan untuk beribadah kepada Allah untuk bercakap apatah lagi berbalah soal yang akan memungkinkan pahala kita di tanah suci ‘tercicir’.

Kota suci Mekah dan Madinah bukanlah pusat pertemuan jemaah haji untuk berbincang isu-isu melibatkan negara kita, tetapi ia adalah medan untuk umat Islam memperkukuhkan ketakwaan kepada Allah dan mengeratkan persaudaraan sesama Islam.

Mungkin rakan sebilik kita bertentangan fahaman politik dan berbeza pemikiran tetapi jangan menjadikan ia satu halangan serta pencetus masalah. Mahu tidak mahu, suka atau tidak, terimalah hakikat bahawa apabila menjejak kaki ke tanah suci, seluruh jemaah haji Malaysia hanya mempunyai satu sahaja ikatan iaitu persaudaraan sesama Islam. Kukuhkanlah perpaduan melalui keseragaman kain ihram yang dipakai.

Justeru jangan cemari imej Malaysia dengan melakukan perbuatan tidak sewajarnya. Kalaulah jemaah-jemaah haji kita sebelum ini boleh mempertahankan nama baik Malaysia sudah pasti jemaah haji tahun ini juga boleh melakukan perkara yang sama. Apa yang penting mereka membersihkan hati dan meninggalkan kekotoran dalam diri serta menanam tekad untuk mendapat haji mabrur.

Dalam soal bagaimana mahu melaksanakan setiap aktiviti rukun haji segala pasti akan diuruskan oleh Tabung Haji.

Mengkaji satu persatu persiapan yang dilakukan oleh agensi itu adalah jelas seperti tahun-tahun sebelumnya Tabung Haji sudah bersedia sepenuhnya bagi memastikan bukan sahaja nama baik Malaysia terpelihara tetapi juga jemaah haji Malaysia dapat beribadah dengan sempurna.

Ketika melaksanakan ibadah haji, jemaah Malaysia pasti akan berhadapan dengan cabaran dan dugaan tetapi dalam keadaan apa sekali pun jangan mudah melatah apatah lagi semasa berhadapan dengan kerenah umat Islam yang mempunyai pendekatan dan budaya berbeza.

Banyak-banyaklah bersabar kerana itulah faktor utama kejayaan melaksanakan ibadah haji. Justeru berusahalah untuk menunaikan ibadah tersebut dengan sempurna dan mengekalkan jemaah haji Malaysia terbaik di dunia.


‘Patuhi arahan petugas haji

BERSAMA Santuni Dhuyufurrahman’, itulah slogan yang tertera di beg-beg petugas Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Saban tahun hasil kegigihan dan ketekunan petugas-petugas tersebut, jemaah Malaysia sentiasa mendapat pujian dan pengiktirafan kerana dianggap jemaah haji paling berdisiplin, tertib dan bersopan. Mereka juga dianggap kelompok yang paling suka menolong jemaah lain.

Justeru rekod cemerlang jemaah haji Malaysia itu perlu dikekalkan oleh seramai 22,320 jemaah pada tahun ini. Bagi Tabung Haji, dalam usaha memastikan jemaah mampu melaksanakan ibadah dengan sempurna mereka telah mengaturkan pelbagai kursus bagi memberi pemahaman kepada jemaah.

Oleh itu apabila menjejak kaki di Tanah Suci, mereka perlu membuang jauh-jauh sebarang perasaan riak, angkuh atau berbangga dengan apa juga gelaran atau pangkat di tanah air. Kedudukan antara seorang pak cik yang membanting tulang di sawah dengan seorang ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat korporat besar sama sahaja apabila mereka menjadi tetamu Allah SWT.

Akhirnya yang akan menjadi perhitungan bukannya banyak mana harta atau gelaran dimiliki tetapi ketakwaan kita kepada Allah SWT. Atas sebab itu, dengan segala kemudahan yang disediakan oleh Tabung Haji, jemaah Malaysia seharusnya mengambil kesempatan untuk beribadah dengan sebaik mungkin.

Jemaah haji negara ini perlu sentiasa patuh dengan setiap arahan petugas Tabung Haji dan mengikut panduan yang ditetapkan. Janganlah memandai-mandai untuk melaksanakan aktiviti rukun haji sesuka hati kononnya mahu mengikut sunnah atau waktu afdal.

Tabung Haji sudah membuat perancangan rapi bagi memastikan jemaah Malaysia dapat melaksanakan aktiviti tersebut secara tertib dan selamat. Apa yang perlu dilakukan oleh jemaah adalah mengikut arahan diberikan.

Perlu diingat setiap peraturan, arahan dan tindakan yang dilakukan oleh Tabung Haji dalam soal pelaksanaan ibadah haji bukan dilakukan sesuka hati. Ia dilaksanakan secara berhati-hati selepas diadakan muzakarah antara para ulama termasuk mufti-mufti. Untuk rekod pada tahun ini seramai 600 petugas Tabung Haji akan menjaga kebajikan dan keselamatan 22,320 jemaah Malaysia.

Kekalkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang setiap tahun melahirkan jemaah haji yang menjadi contoh kepada negara lain. Ingatlah kehadiran kita adalah sebagai tetamu Allah dan berusaha mendapat haji mabrur.

Janganlah dipesongkan niat kita dengan perkara-perkara tidak berfaedah atau berasa tidak berpuas hati apabila menempuh sesuatu di Tanah Suci. Sesungguhnya ibadah haji perlu dilaksanakan dengan penuh kesabaran. Setiap ujian dan cabaran yang ditempuh adalah dugaan Allah bagi menguji hamba-Nya.

Janganlah menyusahkan petugas-petugas haji dengan kerenah yang tidak sepatutnya. Apa juga yang dilakukan oleh Tabung Haji sepanjang musim haji dilakukan demi kebaikan jemaah Malaysia. Tabung Haji sudah membuat persiapan rapi bagi memberikan perkhidmatan terbaik kerana itu tanggungjawab mereka.

Tanggungjawab jemaah Malaysia pula adalah mematuhi peraturan dan berusaha melaksanakan rukun Islam kelima tersebut dengan sedaya upaya bagi membolehkan segala amal ibadah mereka diterima oleh Allah SWT.

Oleh itu, pastikan sebelum berangkat meninggalkan tanah air dan menyahut panggilan Allah SWT sebagai te­tamu-Nya, para jemaah melakukan persiapan rapi. Selain menjaga kesihatan sepanjang masa, mereka juga perlu meningkatkan persiapan dari segi rohani.

Jejaklah kaki di Madinah dan Mekah dengan perasaan menyerahkan diri kepada Allah SWT sepenuhnya. Ber­syukurlah kerana dalam kalangan lebih 2 juta umat Islam di Malaysia yang menanti giliran untuk menunaikan haji, kita yang dipilih oleh Allah SWT menjadi tetamu-Nya.

Justeru bersungguh-sungguhlah beribadah bagi me­raih keampunan dan keredaan-Nya demi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Hapuskanlah perasaan berasa bangga menjadi jemaah haji atau mahu digelar haji kerana kesudahannya gelaran itu hanya akan terpahat di batu nisan sahaja. - Zul Bakar Utusan Malaysia Rencana 30 Julai 2016 6:15 PM

Tambahan nikmat jika bersyukur

DARIPADA Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: "Barang siapa yang melepaskan seorang Mukmin daripada satu kesusahan daripada kesusahan dunia, nescaya Allah akan melepaskannya daripada satu kesusahan daripada kesusahan kiamat. Barang siapa yang mempermudahkan bagi orang susah, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya di dunia dan akhirat. Barang siapa yang menutup keaiban seorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah SWT sentiasa bersedia menolong hamba-Nya selagi mana dia suka menolong saudaranya."

Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm berkata, ada tiga cara untuk membantu keluarga dengan sikap dan amalan terpuji antaranya memperbanyakkan syukur, sentiasa menyambung silaturahim dan bertawakal.

PEMBERIAN hadiah mampu menggembirakan insan lain. - Foto Wan Nur Amirah Wan Mohamed Redza


Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih." (Surah Ibrahim, ayat 7)

Nikmat umat bersyukur

Setiap detik kita menggunakan nikmat kurniaan Allah SWT tetapi amat sedikit yang menyedarinya, apa lagi untuk mensyukuri kurniaan itu.

Sesungguhnya Allah SWT pemberi nikmat menjanjikan tambahan nikmat kepada mereka yang bersyukur dan azab seksa bagi yang kufur.

Mungkin selama ini kita menjalani kehidupan tanpa ada rasa syukur atau hanya bersyukur sedikit sahaja.

Manusia sering merasakan apa yang dimiliki adalah hasil usaha dan menjadi hak mutlak mereka, kerana itu apabila sesuatu keinginan tidak dapat dicapai atau diperoleh, kita mudah berasa kesal.

Mungkin juga kecewa lalu menyalahkan takdir dan mencari kesalahan orang lain. Itu akibat kurangnya rasa syukur dalam diri.

Menerusi perbincangan bertajuk 'Bantu Keluarga Dengan Sikap,' Muhammad turut menekankan pentingnya menyambung silaturahim dengan cara ziarah-menziarahi dan memberi hadiah.

Amalan sebegitu perlu dilakukan secara berlemah-lembut, berkasih sayang dengan wajah berseri. Silaturahim juga menyebabkan seorang hamba tidak akan putus hubungan dengan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Satu lagi amalan terpuji dalam membantu keluarga ialah memiliki sifat tawakal, penyerahan hati serta seluruh jiwa dan raga kepada Allah SWT terhadap semua yang berlaku.

Tawakal tidak berlaku dengan hanya menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT tanpa sebarang usaha.

Usah megah dengan rezeki

Selepas mengecapi kejayaan, kita dituntut supaya tidak bermegah. Harus diingat kejayaan dan kemewahan hanya sementara. Allah SWT Maha Berkuasa dan mampu menariknya semula bagi insan yang tidak mensyukuri segala pemberian-Nya.

Yakinlah, segala perancangan Allah SWT adalah yang terbaik.

Jika Allah SWT memberikan selain daripada apa yang kita pinta, berlapang dada menerima takdir Allah SWT itu. Ingat, Allah SWT menjanjikan pertolongan kepada hamba-Nya yang bertakwa.