August 5th, 2016

Khutbah Jumaat : “Istiqamah Dengan Islam Dalam Menghadapi Ujian ”

Khutbah Jumaat 05 Ogos 2016: JAIS

“Istiqamah Dengan Islam Dalam Menghadapi Ujian ”

Firman Allah SWT dalam surah al-ankabut ayat 3;“Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta”.

jais.jpgSenario masa kini jelas menunjukkan bahawa banyak Negara umat Islam berhadapan dengan pelbagai krisis kehidupan. Sama ada krisis ekonomi, politik, sosial dan perang saudara yang tidak berkesudahan. Perkara ini diburukkan lagi dengan paparan media massa daripada luar dan dalam negara yang menggambarkan seolah-olah segala krisis ini hanya berlaku di Negara-negara umat Islam sahaja. Ditambah lagi dengan melabelkan umat Islam sebagai umat yang tiada tamadun, agresif dan ganas bahkan seringkali juga umat Islam dikaitkan dengan aktiviti keganasan. -

Oleh yang demikian itu adalah wajar untuk kita semua menyatakan Islam itu adalah benar tetapi yang berlaku sebenarnya adalah kita umat Islam sedang diuji dengan ujian yang amat dahsyat.

Adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk memahami apa itu ujian?. Malah tidak salah untuk kita menyatakan bahawa kehidupan ini penuh dengan ujian. Makin kuat ujian yang mendatang maka sebenarnya makin terujilah iman seseorang itu di sisi Allah SWT. Maka orang yang paling hebat kedudukan imannya disisi Allah sudah tentulah di kalangan para Nabi dan Rasul yang banyak menerima ujian dalam misi dakwah mereka. Maka tidak hairanlah jika kita meniti sejarah maka orang yang paling layak dikedudukan yang paling tinggi di sisi Allah ialah Nabi kita Muhammad SAW. Sebab itulah Nabi Muhamad SAW bergelar sebagai Kekasih Allah iaitu kedudukan yang paling tinggi diberi oleh Allah kepada sekalian makhluknya. Maka seiring dengan kedudukan itulah disebabkan ujian yang ditanggung oleh Baginda Rasulullah SAW sangat berat, maka Baginda Rasulullah SAW digelar sebagai Ulul Azmi.

Saad Bin Abi Waqqas pernah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW tentang manusia yang paling dahsyat ujiannya. Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud; “Para nabi kemudian yang seumpama dengan mereka, kemudian yang seumpama dengan mereka. Sekiranya seseorang itu kuat dalam agamanya maka ujiannya pun semakin kuat, dan apabila seseorang itu lemah dalam agamanya maka dia (Allah) akan mengujinya sesuai kadar agamanya”.

Oleh yang demikian betapa perlunya kita fikirkan bahawa semua perkara yang mendatang itu sebagai ujian. Ujian untuk menguji iman kita dan ujian ini bukan alasan untuk kita berpaling tadah dari keimanan yang sebenar. Biarlah apa pun tohmahan yang dilemparkan musuh-musuh Islam kepada umat Islam. Jangan kita merasa rendah diri dan merasa lemah hidup sebagai umat Islam. Ingatlah janji Allah hanya untuk orang-orang yang sabar menghadapi ujian yang datang dengan jiwa yang tenang sahaja akan mendapat balasan syurga Allah yang kekal abadi.

Firman Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 139;  “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman”.

Kita adalah umat yang sentiasa istiqamah berjuang untuk mencari kebenaran berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Perjuangan dalam menempuh ujian tanpa mengenal erti putus asa adalah asas kejayaan umat Islam. Sejarah telah membuktikan bahawa kesan daripada ajaran Islam yang meresap dalam jiwa-jiwa umat Islam menjadikan kita dihormati. Malah dengan semangat iman yang berkobar-kobar inilah kesinambungannya telah berjaya mencetuskan tamadun manusia dengan wujudnya khalifah Islam dan berjaya mengemudi dunia hingga sampai ke puncaknya. Semangat inilah perlu kita ambil untuk dijadikan pedoman agar segala ujian yang mendatang tidak melemahkan semangat kita.

Sudah tiba masanya kita umat Islam untuk menyusun langkah dengan membulatkan tekad untuk bangkit dari segala fitnah mereka yang memusuhi Islam. Ujian yang datang marilah kita hadapinya dengan mengikut jejak Rasul dan para sahabatnya agar kita sentiasa pada landasan iman yang benar. Hanya jalan yang ditunjukkan oleh Allah dan Rasul serta para sahabatnya sahaja akan menghindarkan kita daripada melakukan kekufuran apabila berhadapan ujian dan dugaan. Kehadiran ujian itu sebenarnya adalah jalan untuk Allah menguji kita agar dikurniakan balasan syurga yang abadi. Pandanglah ujian hidup itu dengan sangkaan yang baik kerana itu adalah hikmah di sisi Allah. Umat Islam juga sewajarnya kembali menghayati Al-Quran dan As-Sunnah dengan panduan para Ulama sebagai sumber rujukan.

Sewajarnya kita memahami bahawa setiap yang berlaku mesti diambil iktibar dan jalan penyelesaiannya. Carilah titik pertemuan dalam menyelesaikan sebarang masalah yang melanda ummah bukan mencari titik perbezaan yang mengundang fitnah lalu punah dan musnah. Kekuatan kita hanya pada Iman yang dibina melalui Islam. Kita menyedari bahawa cabaran masakini yang berkaitan idealogi dan kepimpinan yang dihadapi oleh umat Islam menyebabkan perpecahannya telah diambil kesempatan. Berpadulah dan beriringanlah untuk menjadi Khaira Ummah untuk menuju ke jalan Allah tanpa mengira ujian yang datang dan pergi silih berganti umpama malam dan siang

Mengakhiri khutbah ini umat Islam disarankan agar dapat mengambil langkah-langkah berikut;

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa semua ujian itu datang daripada Allah untuk menguji kekuatan iman seseorang.
2. Umat Islam hendaklah sentiasa tabah dan redha ketika menempuh ujian yang menimpa.
3. Umat Islam hendaklah sentiasa berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT untuk mendapatkan yang terbaik untuk menjadi Khairu Ummah.
4. Umat Islam hendaklah mengambil iktibar dan pengajaran melalui ujian-ujian yang ditempuhi.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)”. (Ali- Imran ; 200).

jais.jpg

Khutbah Jumaat: “Hargai diri dengan menghargai alam"

Petikan Khutbah Jumaat:   (5 Ogos 2016 / 2 Zulkaedah 1437) JAKIM

“Hargai diri dengan menghargai alam"


Sikap menghargai setiap nikmat yang dikecapi adalah salah satu perbuatan yang dicintai oleh Allah S.W.T serta jakim.jpgbermanfaat bagi diri orang yang beriman. Nilai murni ini akan menatijahkan perbuatan terpuji dan menjauhkan perbuatan yang tercela sebagai tanda Di samping itu, al-Quran dan as-Sunnah juga telah memberi satu penekanan yang serius mengenai perkara ini apabila menyeru setiap manusia untuk mengekalkan pemeliharaannya sebagai satu nikmat Allah S.W.T yang agung. Ini adalah kerana isu alam sekitar juga bersangkut-paut dengan ajaran tauhid yang menggabungkan manusia, alam dan tuhan yang ditunjangi oleh akhlak yang mulia.
kesyukuran seseorang kepada Allah S.W.T.

Oleh yang demikian, sebarang isu berbangkit mengenai masalah atau pencemaran alam sekitar boleh dikatakan berpunca daripada ketidaksempurnaan akhlak manusia terhadap dirinya, alam dan tuhan. Memandangkan konsep manusia sebagai khalifah itu sangat berat, maka manusia wajib melaksanakan misi dan amanah tersebut sebaik mungkin.

Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Baqarah, ayat 22:
Maksudnya: “Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya; dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah sebarang sekutu, pada hal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa).”

Realitinya, umat manusia saling memerlukan dan bergantung kepada sumber alam untuk kelangsungan hidup di dunia ini. Lantaran itu, pengurusan kualiti dan penjagaan kesihatan sumber alam sekitar pada abad ini sering ditranformasi dengan pelbagai inovasi dan ketamadunan malah berkembang maju seiring dengan kecanggihan teknologi. Lebih-lebih lagi, kebelakangan ini kita kerap berhadapan dengan isu-isu global seperti peningkatan suhu kepanasan dunia, pencemaran udara dan alam sekitar, pembangunan yang tidak terkawal, banjir kilat, tanah runtuh dan seumpamanya yang menjejaskan kualiti kehidupan, alam sekitar dan kesihatan awam.

Persoalannya, sejauh manakah kesedaran kita terhadap pengurusan kualiti dan penjagaan kesihatan alam sekitar ini?.

Mimbar ingin menarik perhatian para jemaah sekalian melalui sabda Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim iaitu:
Mafhumnya: “Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Iman itu mempunyai 70 atau 60 cabang. Yang paling utama ialah ucapan La ilaha illallah (Tidak ada Tuhan melainkan Allah), dan yang paling rendah ialah membuang gangguan di jalan, dan malu adalah salah satu cabang dari iman.

Jelasnya, ‘membuang gangguan di jalan’ itu memberi satu isyarat bahawa Islam sangat menitiberatkan soal kebersihan dan keselamatan dalam semua aspek kehidupan sebagai seorang Muslim dan Mukmin. Dalam konteks penjagaan alam sekitar pula, Islam mendidik umatnya bagaimana untuk mengurus sisa pepejal yang umumnya di sebut sebagai sampah serta apa-apa bahan yang tidak dikehendaki untuk dibuang atau dilupuskan seperti sisa makanan, plastik, getah, sisa taman, kertas, besi buruk, tekstil, kaca dan sebagainya.

Menyedari kepentingan isu ini, maka kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil inisiatif menubuhkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam pada 1 Jun 2008 iaitu Solid Waste Corporation (SWCorp) bagi menjayakan dasar pengurusan sisa pepejal negara. Secara amnya, dasar ini bertujuan mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang menyeluruh, bersepadu, kos yang efektif dan lestari bagi memenuhi tuntutan masyarakat yang memerlukan dan mementingkan pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan awam.

Selain daripada memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih efisen dan memberikan kepuasan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna, pihak perbadanan atau SWCorp juga berperanan menjalankan program kitar semula sebagai aktiviti terasnya. Pada masa sama, masyarakat juga dituntut supaya mengisi kefahaman dan kesedaran dalam aspek pengurusan sampah atau sisa pepejal dan amalan kitar semula di tahap yang sepatutnya.
Kita sedia maklum akibat perbuatan membuang sampah ke dalam longkang, sungai atau yang dilonggokkan di tepi-tepi jalan, tidak mengasingkan bahan-bahan tercemar atau barang-barang yang boleh dikitar semula, melakukan pembakaran terbuka atau seumpamanya; memberi impak negatif kepada kualiti kesihatan individu, keluarga dan masyarakat serta menjejaskan eko-sistem alam sekitar.

Sikap buruk ini juga akan mencemarkan kawasan persekitaran rumah dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, menularnya wabak penyakit berjangkit seperti demam Denggi, Zika, Malaria, Taun, penyakit bawaan tikus, lalat atau haiwan kotor dan sebagainya. Lebih malang, kecuaian dan kegagalan kita mengurus sisa pepejal menyebabkan beban kewangan kita meningkat untuk membayar bil rawatan yang tinggi. Manakala negara pula terpaksa memperuntukkan kos jutaan ringgit untuk memulihara eko-sistem alam sekitar, menampung kos perubatan rakyat, memantau kemungkinan berlaku musibah banjir kilat, tanah runtuh serta berbagai masalah mendatang yang perlu difikirkan dan diselesaikan.

Kesihatan tubuh badan adalah salah satu nikmat Allah S.W.T yang sangat besar yang wajib kita syukuri dan pelihara. Dengan nikmat ini, dapatlah kita menunaikan amanah dan tanggungjawab kita sebagai hamba dan khalifah Allah dengan sempurna dan selesa di samping menjamin kelangsungan hidup yang sihat serta memastikan kesejahteraan umat.

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekelian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:


Pertama: Islam adalah agama yang mementingkan soal kebersihan dan penjagaan kesihatan yang bukan hanya terbatas dengan pengambilan makanan yang bersih dan berkhasiat sahaja, tetapi juga menitikberatkan soal penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar.
Kedua: Kesedaran masyarakat dalam penjagaan alam sekitar perlu sentiasa dipupuk dan dipertingkatkan supaya kualiti kehidupan generasi hari ini dan akan datang terus terpelihara.
Ketiga: Usaha pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam adalah menepati tuntutan syarak dan memenuhi roh Maqasid as-Syariah dalam konteks pemeliharaan nyawa, tubuh badan dan harta.

Mari kita sama-sama renungkan firman Allah S.W.T dalam Surah ar-Rum, ayat 41 yang berbunyi:

Maksudnya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala’  bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Surah ar-Rum : 41)

Pesanan untuk tetamu Allah , Selamat Berangkat Tetamu Allah

Selamat Berangkat Tetamu Allah

Hari ini seramai 939 jemaah haji Malaysia berlepas ke Madinah. Mereka adalah terdiri daripada kum­pulan pertama seramai 450 orang dan kumpulan kedua seramai 489 orang.

Keberangkatan mereka diang­gap pembuka tirai kepada penghantaran 22,320 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan ibadah itu tahun ini.

Apabila kesemua mereka me­langkah masuk ke dalam perut pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Saudi Airlines maka bermula satu perjalanan suci untuk menjadi tetamu Allah.


Pengurus Besar Kanan (Haji) Tabung Haji , Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman (kiri) memeluk dan bersalaman dengan petugas haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Selangor pada 28 Julai lalu. - GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Biarpun lambaian pilu ahli keluarga dan sanak saudara sudah pasti akan bermain-main di fikiran, namun jemaah haji tersebut tidak harus hilang fokus. Perlu difahami pemergian mereka bukanlah untuk melancong ke kota suci Mekah dan Madinah, tetapi sebagai tetamu Allah yang mengidamkan haji mabrur.

Tiada apa lagi yang patut difikirkan selain merebut sepenuh­nya ruang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT untuk beribadah kepada-Nya. Lupakan dulu urusan keduniaan, biarlah ia difikirkan kemudian apabila kembali ke tanah air nanti jika panjang umur. Tumpukan kepada usaha bagaimana mahu memastikan peluang menjadi tetamu Allah tidak sia-sia ketika berjuta-juta umat Islam di Malaysia mengimpikan ‘jemputan’ menunaikan rukun ­Islam kelima tersebut.

Kesemua 989 jemaah haji itu akan bergabung dengan lebih 2 juta lagi umat Islam untuk bersama-sama melaksanakan ibadah haji. Ketika melaksanakan rukun-rukun wajib haji tidak ada pengecualian sama ada jemaah haji itu seorang petani, tokoh korporat, ahli politik atau orang kampung. Mereka akan melaksanakan bersama-sama dengan pakaian ihram yang menjadi lambang persamaan antara mereka.

Dalam melaksanakan ibadah haji dan bagi mencapai haji mabrur, ia bukan berdasarkan siapa individu tersebut, sebaliknya sejauh manakah mereka melak­sanakan rukun haji dengan sebaik-baiknya serta bagaimana ibadah itu boleh mengubah mereka menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Firman Allah SWT dalam surah Al Hujurat ayat 13 bermaksud; “Hai manusia sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi mengenali.

Para jemaah haji perlu ber­lapang dada dan memahami bahawa mereka kini memburu keredaan dan keampunan Allah, tidak ada perkara lain yang perlu diutamakan apabila mereka menerima lambaian Baitullah.

Jemaah haji Malaysia perlu bersyukur kerana segala urusan bermula dengan menyimpan wang hinggalah berwukuf di Arafah segala-galanya diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Sepanjang berada di Madinah sejak seminggu lalu bagi membuat liputan ibadah haji, penulis tertarik dengan persiapan rapi yang dilakukan oleh Tabung Haji dalam memastikan jemaah haji Malaysia akan dapat menunaikan ibadah itu dengan sempurna.

Penulis melihat sendiri bagaimana petugas-petugas Tabung Haji bertungkus lumus membuat persediaan dari segenap aspek untuk melayan ke­tibaan jemaah haji negara kita.

Di wajah mereka sentiasa terpancar senyuman kerana memahami apa yang dilakukan bukan semata-mata kerana tuntutan kerja tetapi peluang merebut pahala sebanyak mungkin dengan memberi layanan terbaik kepada tetamu Allah.

Jemaah haji tidak perlu risau apa-apa sebaik sahaja menjejak kaki ke Madinah mahupun Mekah. Sejarah sudah mencatatkan bahawa jemaah haji Malaysia setiap tahun menjadi jemaah terbaik dan jemaah contoh hasil komitmen Tabung Haji.

Salah satu sikap yang perlu ada jika imej itu mahu dipertahankan adalah sabar dan tabah kerana ketika melaksanakan ibadah tersebut mereka akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia.

Atas sebab itulah penting setiap jemaah haji mematuhi dan mengikuti semua arahan yang dikeluarkan oleh Tabung Haji kerana petugas-petugas agensi itu amat cukup memahami situasi tersebut.

Apapun kepada kumpulan pertama dan kumpulan kedua jemaah haji Malaysia yang berlepas hari ini serta jemaah lain, mereka pasti akan diraikan dengan ucapan; “Selamat Berangkat, Wahai Tetamu Allah.”


Pesanan untuk tetamu Allah

“WAHAI Allah kami datang memenuhi panggilan-Mu, tiada sekutu untuk Mu segala puji dan kuasa untuk Mu.’’

Demi memastikan kesempurnaan ibadah haji

Hari ini talbiah itu sudah pasti akan bergetaran dalam sanubari rombongan pertama jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan Rukun Islam Kelima. Di sebalik iringan doa dan air mata sanak-saudara yang menghantar pemergian mereka, pada hati tetamu agung Allah ini terungkap kesyukuran yang tidak terhingga kerana diberi kesempatan menunaikan fardu haji.

Namun sementara perasaan syukur dilafazkan, pada masa sama para jemaah haji juga perlu memahami bahawa keberangkatan mereka untuk menjejak kaki di Tanah Suci Mekah mahupun Madinah bukanlah ‘satu percutian’ jangka panjang.

Sebaliknya ia kesempatan terbaik untuk mereka ‘dilahirkan semula’ sebagai hamba-Nya yang bertakwa. Jika selama ini ada antara mereka hanya mendengar kisah mengenai kehebatan kota Mekah dan Madinah, merenung gambar-gambar yang memaparkan suasana di Baitullah dan orang bertawaf mengelilingi Kaabah, kini Allah menjemput mereka sebagai tetamu-Nya untuk menikmati sendiri semua itu melalui pelaksanaan ibadah haji.

Oleh itu adalah perlu mereka menghayati dengan sebenar-benarnya hikmah di sebalik ibadah tersebut. Mereka tidak harus melupakan bahawa ibadah haji merupakan rukun terakhir dalam Islam yang disempurnakan oleh Rasulullah SAW.

Peristiwa kehidupan Nabi Muhammad SAW mencatatkan ketika berwukuf, Saidina Abu Bakar r.a. menangis apabila baginda membaca surat al-Maidah ayat 3 yang bermaksud: “.... Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat Aku dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagimu ...’’

Sahabat Nabi itu berasa sedih kerana memahami bahawa risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah selesai dan hampir tiba saat perpisahan dengan baginda yang akan menghadap Allah. Atas sebab itulah orang yang mengerjakan ibadah haji akan memperoleh pelbagai kelebihan dan ganjaran daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Satu umrah sampai umrah yang lain adalah sebagai penghapus dosa antara kedua-duanya dan tidak ada balasan bagi haji mabrur kecuali jannah.’’

Allah berfirman dalam surat al-Hajj ayat 27 bermaksud: “Dan serulah manusia berhaji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus dari segenap penjuru yang jauh.’’

Ayat inilah yang memungkinkan satu ketika dahulu jemaah haji Malaysia menaiki kapal laut untuk ke Mekah manakala di luar negara, kita mendengar cerita bagaimana ada yang berjalan kaki bertahun-tahun lamanya untuk sampai ke Tanah Suci semata-mata mahu melaksanakan ibadah haji.

Manfaatkan peluang terbaik

Jemaah haji perlu bersyukur dan berusaha untuk memastikan peluang keemasan menjadi tetamu agung Allah tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Mereka perlu ikhlas bagi melaksanakan ibadah tersebut dan bukannya berasa riak, sombong atau bangga kerana terpilih ke Mekah.

Pokok pangkal kepada kejayaan seorang jemaah haji untuk mendapat haji mabrur ialah keikhlasan untuk menunaikan fardu haji kerana Allah SWT, dalam bahasa mudah mereka tidak boleh ada niat lain apatah lagi mengharapkan apabila pulang nanti dipanggil `tuan haji’ atau ‘pak haji’.

Mereka perlu beribadah semata-mata kerana Allah SWT dan menyerahkan segala keyakinan bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Dia.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 26 bermakud: “Dan ingatlah ketika kami menempatkan tempat Baitullah untuk Ibrahim dengan menyatakan; Janganlah engkau menyekutukan Aku dengan apapun dan sucikan rumah-Ku ini bagi orang-orang tawaf, beribadah, rukuk dan sujud,’’

Justeru jemaah haji perlu menghayati sepenuhnya maksud tetamu Allah. Pelajari, fahami dan laksanakan betul-betul setiap rukun haji. Semua itu hanya boleh dilakukan jika mereka membuat persiapan rapi.

Ibadah haji menguji kesabaran kita sebagai hamba Allah. Apa juga dugaan yang ditempuh perlu dihadapi dengan sabar dan reda. Bak lirik lagu kumpulan Raihan, “Pergi haji ertinya menuju Allah Yang Esa, membawa hati dan diri yang hina, memberi hadiah kepada Allah, berhati-berhatilah menghadap-Nya, setiap hamba pergi haji dengan segala yang baik, hati yang baik , akhlak yang baik, harta yang halal, hati yang bersih niat, niat yang suci... amal mulia ...’’

Dengan kehadiran jutaan umat Islam menunaikan ibadah tersebut sudah tentulah pelbagai cabaran terpaksa dihadapi tetapi semua itu perlu dilalui dengan kesabaran dan sentiasa memohon pertolongan kepada Allah SWT supaya dipermudahkan segala urusan.

Ia bertepatan dengan firman-Nya dalam surah Al Baqarah ayat 153 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

Kesimpulannya ketika melaksanakan ibadah haji, niatlah seikhlas-ikhlasnya demi Allah SWT kerana kita tidak mahu tergolong dalam empat golongan yang disebut oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis iaitu orang kaya yang pergi haji kerana makan angin, orang kebanyakan pergi haji kerana riak dan mahu nama, orang miskin pergi haji kerana hendak minta sedekah serta orang biasa pergi haji untuk berniaga.

Tidak kira atas nama apapun mereka terpilih sama ada muassasah, pakej atau jemputan, mereka perlu menjaga adab dan tertib serta menanam tekad menyerahkan diri kepada Allah SWT sepenuhnya. Usah dibazirkan waktu-waktu keemasan berada di Mekah dan Madinah serta wukuf di Arafah dengan aktiviti atau perlakuan yang hanya akan menyebabkan ibadah kita menjadi sia-sia.

Apabila Pope pertahan Islam

Kenyataan pemimpin agama Vatican City, Pope Francis di Rom, Itali pada 1 Ogos lalu bahawa tindakan mengaitkan Islam dengan keganasan adalah satu kesalahan, agak menarik. Terutama kepada golongan bukan Islam yang cepat sangat mengaitkan Islam dengan keganasan, militan dan pelbagai gelaran antagonis lain.

Itulah hakikat yang sukar ditelan oleh segelintir orang bukan Islam yang sentiasa prejudis terhadap umat Nabi Muhammad SAW ini. Ini juga contoh amalan stereotaip media barat dalam melaporkan kes-kes jenayah yang dilakukan oleh orang Islam. Walaupun cuma seorang Muslim terlibat, habis semua orang Islam terpalit dengan gelaran pengganas dan terkini, Daesh.

Namun, Francis berpijak di bumi nyata apabila menjelaskan, hampir setiap agama mempunyai segelintir pengikut yang menganut fahaman pelampau termasuk Katolik memandangkan keganasan turut berlaku di Itali melibatkan pembunuhan oleh penganut agama tersebut.

Katanya, ada banyak punca lain yang menyebabkan keganasan selain mengaitkan dengan ajaran agama tidak kira Islam atau Katolik. Antaranya, apabila pilihan sudah tiada dan wang dijadikan sebagai tuhan.

Francis mengulas pembunuhan seorang paderi di Perancis pada 26 Julai lalu oleh sekumpulan penyerang yang mendakwa mereka sebagai anggota pengganas Daesh.

Inilah antara salah faham yang perlu diperbetulkan oleh masyarakat dunia. Walhal, Islam adalah agama yang menekankan kesejahteraan dan keamanan. Bukan agama yang menyeru kepada peperangan atau kerosakan. Perang hanya dibenarkan untuk mempertahankan agama dan melindungi kaum Muslimin daripada ditindas. (rujuk al-Baqarah ayat 190-193)

Sayid Qutub berkata: Bahawa berperang kerana Allah dan bukan kerana matlamat yang lain. Berperang sabilillah bukan kerana matlamat kemuliaan, kemegahan dan kedudukan yang tinggi di muka bumi.

Islam adalah agama berteraskan konsep penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah SWT berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Dasar utama diperjuangkan oleh Islam ialah mewujudkan kedamaian dan kesejahteraan kepada semua. Keganasan, permusuhan, pembunuhan dan perpecahan bukanlah ajaran Islam. Pengertian kalimah Islam itu sendiri sudah membawa makna penyerahan, kedamaian dan kesejahteraan abadi untuk sekelian alam.

Untuk itu, jangan mudah terpedaya dengan tafsiran jihad yang dipesongkan oleh sesiapa pun waima orang Islam walaupun janggutnya panjang berjela dan serbannya sebesar bakul. Islam tidak menghalalkan darah umat Islam yang lain. Begitu juga Islam melarang umatnya membuat kerosakan di atas muka bumi dan membunuh orang bukan Islam sesuka hati.

Islam menganjurkan umatnya hidup harmoni dan bertolak-ansur sesama insan atas dasar hubungan sesama manusia. Lebih-lebih lagi dalam negara kita yang masyarakatnya pelbagai kaum dan agama. Masing-masing perlu saling mempelajari dan memahami budaya serta sensitiviti kaum dan agama lain.

Dalam sisi lain, umat Islam perlu menunjukkan contoh yang baik kepada orang bukan Islam. Melalui dakwah bil hal, insya-Allah akan terpancar segala kebaikan Islam sekali gus mampu menarik orang bukan Islam kepada agama suci ini. Sebabnya, hanya Islam agama yang diredai Allah. (‘ali-Imran: 19)

- Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 05 Ogos 2016 12:18 AM

Tabung Haji rahmat untuk umat Islam

SABAN tahun jemaah haji Malaysia terus mendapat pujian bukan sahaja daripada kerajaan Arab Saudi, tetapi juga negara-negara Islam yang lain. Segala-galanya adalah hasil usaha Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang bertanggungjawab menguruskan pemergian umat Islam dari negara ini melaksanakan rukun Islam kelima tersebut.


Terus menerajui perkhidmatan terbaik sejak ditubuhkan
Gambar menunjukkan kapal Bunga Raya yang merupakan antara kapal jemaah haji Malaysia ke Jeddah era 60-an dan 70-an.

Walaupun sekali sekala menerima ‘usikan’ pihak tertentu yang cuba mempolitikkan sesuatu isu melibatkan agensi tersebut namun Tabung Haji tidak pernah tergugat atau terganggu dengan matlamat serta tanggungjawabnya.

Menoleh kembali sejarah Tabung Haji, ia bermula dengan kewujudan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji pada November 1962 dan beroperasi mulai 30 September 1963. Perbadanan ini dilahirkan hasil penerimaan kertas kerja Prof. Diraja Ungku Aziz bertajuk ‘Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji’ pada tahu 1959.

Untuk mempertingkat perkhidmatan dan kemudahan kepada bakal-bakal haji, dalam tahun 1969 perbadanan tersebut dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang dan dengan itu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau ringkasnya Tabung Haji, yang ditubuhkan bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969.

Kewujudan Tabung Haji adalah rahmat untuk umat Islam di negara ini. Melalui kewujudan agensi tersebut mereka tidak perlu lagi menggunakan cara konvensional atau bak kata orang menyimpan wang di bawah bantal untuk ke Tanah Suci.



Kapal haji kuala lumpur sejurus sebelum bertolak ke pelabuhan Jeddah dari pelabuhan Pulau Pinang.

Sebaliknya melalui Tabung Haji mereka boleh menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardu haji. Kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh umat Islam tidak disia-siakan oleh agensi tersebut, ia termasuklah menyediakan peruntukan subsidi bagi memastikan umat Islam tidak dibebankan dengan kos tinggi.

Contohnya, pada tahun ini Tabung Haji memperuntuk subsidi sebanyak RM160 juta kepada jemaah haji bagi membolehkan kos menunaikan rukun Islam kelima itu dikekalkan pada kadar RM9,980.

Kos sebenar bagi setiap jemaah haji tahun ini adalah RM18,890 namun dengan subsidi Tabung Haji sebanyak RM8,910 seorang, maka kadar lama dapat dikekalkan.

Kadar tersebut juga tidak pernah dinaikkan sejak lapan tahun dulu dan kemampuan memberikan subsidi yang besar kepada jemaah haji membuktikan kekukuhan operasi Tabung Haji sebagai sebuah institusi kewangan Islam.



Album kenangan...Anak kapal Kuala Lumpur sibuk menaikkan tambatan kapal bagi membolehkannya bersiap sedia meninggalkan Pelabuhan Singapura. Kelihatan jemaah haji masih melambai-lambai tangan mereka.

Tabung Haji juga turut membalas kepercayaan diberikan pendeposit-pendepositnya dengan berusaha meningkatkan perkhidmatannya. Saban tahun ada sahaja perubahan dan usaha dilakukan oleh Tabung Haji bagi kemudahan dan keselesaan jemaah haji. Ia termasuklah dari segi kursus haji, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan dan kaunseling.

Berikutan usaha gigih itulah Tabung Haji kini seperti mana kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus menjadi satu kebanggaan bukan sahaja di negara ini malah dalam dunia Islam. Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh Tabung Haji memungkinkan beberapa negara cuba mewujudkan institusi yang mempunyai fungsi yang sama tetapi sehingga kini mereka gagal melakukannya.

Bagaimanapun suatu perkara yang tidak boleh dipinggirkan ialah kemampuan Tabung Haji memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji sehingga mendapat pujian masyarakat dunia setiap kali musim haji adalah hasil kegigihan dan komitmen petugas-petugas haji.



(Gambar fail) Kapal haji Malaysia Raya berlepas dari Pelabuhan Pulau Pinang

Merekalah sebenarnya nadi kepada kejayaan tersebut. Pada tahun ini seramai 600 petugas Tabung Haji akan menjaga kebajikan dan keselamatan 22,320 jemaah.

Atas sebab itulah umat Islam di negara ini perlu bersyukur dan berasa bertuah kerana mempunyai sebuah agensi seperti Tabung Haji. Tanpa Tabung Haji belum tentu mereka akan dapat melaksanakan ibadah haji dalam keadaan selesa dengan pelbagai kemudahan.

Justeru dalam apa juga situasi Tabung Haji perlu dipertahan. Jangan dibiarkannya rosak atau imejnya tercalar akibat mainan politik pihak tertentu yang sengaja menyebarkan perkara tidak benar mengenai agensi tersebut.

Apa yang berlaku baru-baru ini boleh dijadikan contoh apabila ada pendeposit atau penyimpan di Tabung Haji kelam kabut mengeluarkan wang simpanan mereka semata-mata kerana terpedaya dengan agenda politik individu tertentu.

Tabung Haji tidak harus dipolitikkan atau menjadi mangsa politik. Sebaliknya Tabung Haji perlu terus diperkukuh kerana agensi itu telah membuktikan kemampuannya menguruskan tetamu Allah sejak lima dekad lalu. Sesungguhnya Tabung Haji adalah rahmat kepada umat Islam di negara ini, justeru bersyukurlah, jangan dipersia-sia rahmat Allah itu.