August 6th, 2016

Guru sebagai pengasuh, pendidik

Pendidikan dan perguruan adalah tugas mulia dan dihormati oleh masyarakat. Para guru dan pendidik se­ring dianggap sebagai orang yang memiliki ilmu, mempunyai tingkah laku baik, memiliki jiwa bersih dan suci, serta penuh kasih sayang dan bertanggungjawab.

Perkara ini disebutkan oleh Allah dalam Surah 58 (al-Mujaadilah):11 yang bermaksud: “Allah akan me­ninggikan darjat orang yang beriman di antara mu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”


Peranan serta tugas guru dalam Islam amat besar. Mereka bertindak sebagai mudarris, mualim , muaddib , murabbi dan mursyid. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Tugas guru dalam Islam ialah sebagai mudarris (mengajar atau pengajaran), mualim (mengajar atau menyampaikan ilmu), muaddib (membentuk akhlak pelajar), murabbi (memperbaiki dan me­mimpin), dan mursyid (menunjuk jalan yang benar).

Mudaris berasal dari perkataan Arab yang bermaksud mengajar ataupun pengajaran. Pendidik atau guru perlu bertanggungjawab me­nyampaikan ilmu yang dimilikinya kepada pelajar supaya mereka mampu membina pemikiran, rohani, jasmani, emosi dan juga sosial. Guru sepatutnya memahami me­nyampaikan ilmu yang dimilikinya kepada pelajar adalah sebahagian daripada amal soleh. Cuai atau enggan menyampaikan ilmu secara sempurna kepada pelajar adalah satu kesalahan dalam Islam.

Muallim ialah pendidik yang mengajar atau menyampaikan ilmu kepada pelajar dan masyarakat dan berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan. Ciri-ciri mualim itu mengikut Imam al-Ghazali memiliki kecerdasan dan kesempurnaan akal, mempunyai kekuatan fizikal dan akhlak. Dengan kesempurnaan akal beliau dapat memiliki pelbagai ilmu pengetahuan secara mendalam.

Akhlaknya yang baik itu akan menjadi contoh dan teladan kepada pelajar. Mualim juga perlu mengamalkan setiap ilmu yang disampaikan kepada pelajarnya supaya beliau dihormati. Allah memperingati perkara ini dalam Surah 61 (al-Shaff): 2-3 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tiada kamu kerjakan.”

Murabbi ertinya memperbaiki, memimpin dan mentadbir pelajar secara kasih sayang bukan dengan bengis dan kasar. Jiwa guru disulami dengan perasaan ingin mendidik, menasihati dan membimbing pelajar dalam pembentukan akhlak dan peribadi. Guru juga menjadi kaunselor dan penyebar nilai budaya yang indah selain menjadi model kepada pelajar bukan dengan menggerun­kan mereka.

Pendidikan dan penyebaran ilmu memerlukan sikap lembut dan hikmah sepertimana Allah menyeru Nabi Musa dan Harun berdakwah kepada Firaun secara lemah-lembut. Perkara ini dijelaskan dalam Surah 20 (Thaha): 43-44 yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melewati batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut mudah-mudah­an dia akan dapat pengajaran atau takut (kepada Tuhan).”

Dalam aspek pendidikan dan penyebaran ilmu guru perlu memahami psikologi dan kematangan pelajar. Dalam Islam, peringkat umur seseorang itu dijadikan ukuran kematangan dengan istilah baligh atau tidak baligh. Bagi lelaki umur balighnya bermula dari 15 tahun. Umur baligh bagi perempuan pula dari umur sembilan tahun ke atas atau ketika mula datang haid. Kanak-kanak yang belum mencapai umur kematangan atau baligh tidak boleh dididik secara keras sehingga mencederakan tubuh badan dan seumpamanya.

Rasulullah SAW amat prihatin terhadap status kematangan seseorang individu. Dikisahkan seorang budak lelaki yang belum cukup umur ingin menyertai baginda dalam peperangan Uhud tetapi disuruh pulang oleh Rasulullah dan hanya dibenarkan menyertai peperangan Khandak setelah dia mencapai umur baligh 15 tahun.

Dalam aspek pendidikan terutama di peringkat sekolah rendah, guru sepatutnya menunjukkan sikap mesra agar murid-murid merasai guru sebagai ibu bapa kedua mereka. Wajah guru yang sentiasa se­nyum lebih dihormati oleh pelajar daripada guru yang menunjukkan sikap bengis.

Rasulullah SAW sentiasa me­nyampaikan ilmu pengetahuan dan wahyu Allah secara lunak dan menyenangkan.

Abu Darda’ menjelaskan kelunakan baginda dengan katanya: “Tidak pernah saya melihat atau mendengar Rasulullah SAW mengatakan sesuatu perkataan kecuali sambil tersenyum”. Jabir pula menjelaskan: “Rasulullah SAW tidak pernah terpisah daripada ku sejak aku masuk Islam, dan beliau tidak pernah melihat ku kecuali sambil tersenyum.”

Muaddib bermaksud mendidik ke arah memperelokkan akhlak pelajar. Pendidik yang muaddib adalah individu yang bertanggungjawab dan melaksanakan pendidikan dalam hal ehwal keperibadian pelajar se­perti menghargai ilmu yang dimiliki oleh rakan-rakan, kasih sayang sesama sendiri dan sebagainya. Muaddib seorang yang memberi ilmu dan mendidik mereka dalam akhlak dan adab yang baik.

Rasulullah SAW menyeru umat Islam mendidik umat secara lemah-lembut sepertimana sabda baginda: “Hendaknya kamu bersikap lemah-lembut, kasih sayang, dan hindarilah sikap keras serta keji.’’

Pendidik yang mursyid bermaksud memberi pedoman dan panduan kepada pelajar dan masyarakat jalan hidup yang benar sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi. Beliau mempunyai akhlak terpuji seperti zuhud, tidak fanatik dan mempunyai kewibawaan sebagai pemimpin sepertimana akhlak Rasulullah SAW.

Berdasarkan kepada penjelasan tersebut maka pendidik sama ada di peringkat rendah atau tinggi perlulah memahami dan mengikuti konsep dan peranan sebagai guru sepertimana dituntut oleh Islam.

Memahami erti jihad, syahid dan syurga

MUNGKIN satu keganjilan yang berlaku di dalam negara-negara Islam kini adalah tentang agama Islam dan ajarannya yang nampaknya agak asing di negara-negara Islam itu sendiri. Situasi ini sebenarnya bukan hanya satu keganjilan, malah amat mencemaskan umat Islam pada hari ini. Hal ini juga adalah satu cabaran besar bagi umat Islam untuk memprojekkan imej Islam yang baik, positif dan bertamadun

Ketika umat Islam seluruhnya menerima ajaran Allah SWT bahawa Nabi Muhammad SAW adalah nabi yang terakhir dan semua ajarannya telah lengkap, sebagai satu sistem hidup yang sempurna, namun apabila seorang yang bernama Abu Bakar Al-Baghdadi pada tahun 2014 mengisytiharkan bahawa dia adalah keturunan Nabi Ibrahim dan telah diama­nahkan untuk membentuk empayar Islam sebagai satu sistem pemerintahan Khilafah yang dinamakan ISIS atau Daesh maka hal ini mendapat sambutan yang agak luar biasa daripada umat Islam khususnya generasi muda kini, sehingga berlakulah proses pembangunan dan pengisian empayar tersebut, termasuk dengan cara kekerasan dan keganasan, pembunuhan dan peperangan.


ALLAH SWT melarang sekeras-kerasnya manusia melakukan pembunuhan dan bunuh diri apatah lagi bertujuan meragut nyawa orang lain seperti yang dilakukan oleh pengebom bunuh diri. GAMBAR HIASAN/AP

Hal ini amat mengelirukan, kerana Islam tidak membenarkan pembunuhan kecuali di dalam kes-kes tertentu yang amat kecil perangkaannya. Malah di antara kesalahan pertama yang diharam­kan oleh Islam adalah perbuatan manusia zaman jahiliah yang membunuh anak-anak mereka yang baru dilahirkan.

Al-Quran di dalam surah Al-An’am, ayat 151 menerangkan dengan jelas di antara perkara-perkara yang diharamkan adalah perbuatan membunuh anak-anak. Maka Allah menerangkan bahawa sekiranya pembunuhan bayi itu dilakukan kerana takut tidak dapat diberikan makanan kepada mereka, maka Allah SWT yang memberikan rezeki kepada anak-anak itu, malah Allah jugalah yang memberikan rezeki kepada mereka yang membunuh anak-anaknya itu.

Dengan ini ternyata bahawa jiwa dan nyawa manusia itu adalah sesuatu yang suci dan perlu dipelihara, sebab itulah Allah melarang manusia dengan sekeras-kerasnya supaya jangan membunuh orang dan jangan pula membunuh diri sendiri.

Al-Quran juga menegaskan bahawa sesiapa yang membunuh satu jiwa yang tidak berhak di bunuh, maka seolah-olah dia membunuh seluruh jiwa manusia, demikian juga sesiapa yang menghidupkannya, maka seolah-olah dia menghidupkan seluruh umat manusia ini (Surah Al-Maidah, ayat 32)

Malah ajaran agama menuntut manusia memelihara nyawanya, sehinggakan sekiranya seseorang itu akan mati jika dia tidak memakan makanan yang haram se­perti bangkai, maka dia hendaklah memakannya untuk memelihara kelangsungan nyawanya.

Jadi apakah nyawa manusia yang begini suci dan sewajibnya di pelihara akan begitu mudah pula dihapuskan seperti yang berlaku di dalam masyarakat manusia pada hari ini, termasuk oleh orang Islam sesama Islam sendiri, yang secara sewenang-sewenangnya membunuh dan mengambil nyawa orang lain begitu mudah sekali, malah membunuh diri sendiri untuk membunuh orang lain seperti yang dilakukan oleh pembunuh berani mati sekarang ini.

Oleh itu, golongan belia dan angkatan muda Islam haruslah mempelajari dan memahami dengan semasak-masaknya isu ini dari perspektif Islam sebelum terpengaruh dengan pengajaran yang hanya akan memerangkap mereka dalam dosa atas gambaran syahid dan syurga, sedang­kan perbuatan yang dilakukan adalah berlawanan dengan konsep syahid, jihad, dan janji syurga yang sebenarnya, seperti yang dijanjikan oleh kumpulan ekstremis seperti Daesh secara yang tidak berilmu dan tidak berhikmah.

Penulis merasakan bahawa kita di Malaysia masih menghormati nilai-nilai tamadun dan peradaban Islam dan memahaminya dengan baik, oleh itu golongan generasi baru Islam haruslah memahami konsep dan falsafah perjuangan Islam yang dinamakan jihad untuk mati syahid dan menerima balasan syurga itu.

Bagaimanapun, amat malang sekali apabila kita membaca berita terkini bahawa terdapat umat Islam dari negara kita, walaupun hanya segelintir yang turut berjuang di Asia Barat dengan kumpulan yang tertentu dan terlibat dengan gerakan keganasan, sedangkan hakikat sebenar perbuat­an mereka itu tidak mereka fahami dengan sebaik-baik­nya dari ajaran syariah Islamiah sendiri.

Sekali lagi ingin penulis menekankan di sini supaya pihak kerajaan, penguasa agama dan masyarakat Islam di negara kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang kedudukan hukum dan fatwa yang sebenarnya bagi pertumpahan darah dan pembunuhan yang berlaku di negara-negara Islam sekarang ini supaya masyarakat Islam di negara kita tidak terjebak dengan perangkap dosa ini.

-

Menghadapi realiti Padang Mahsyar

PADA Hari Kiamat manusia dihimpunkan di Padang Mahsyar bagi memberi pembalasan terhadap segala amalan di dunia. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Ranidalam slot Mau'izati di IKIMfm menceritakan keadaan 10 kumpulan manusia ketika di Padang Mahsyar dengan pelbagai ragam.

Sahl bin Saad menceritakan Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Akan dikumpulkan manusia di Padang Mahsyar pada Hari Kiamat nanti di atas bumi yang putih, seperti kamu berada di atas kepingan roti yang dalam keadaan kosong, masing-masing tidak mengenali di antara satu sama lain."

PEMUDA yang sering beribadah dan mentadabbur al-Quran antara golongan mendapat perlindungan di Padang Mahsyar. - Foto hiasan/NSTP/Abdullah Yusof


Abu Bakar Ahmad bin Ali bin Khatir daripada Abdullah bin Masud menceritakan bahawa Rasulullah bersabda; "Manusia dikumpulkan pada Hari Kiamat dalam keadaan lapar yang tidak pernah dialami sepanjang hidupnya dahulu, berasa haus yang tidak pernah dirasainya ketika hidupnya, dalam keadaan telanjang yang tidak pernah dilalui sebelum berada di Padang Mahsyar.

Dalam keadaan keletihan yang belum pernah dirasai sebelum ini dan pada saat itu manusia benar-benar berada di dalam keadaan pelbagai ragam

." Rasulullah berpesan kepada mereka yang pernah memberi makan kepada orang lain ketika hidupnya dahulu dan hanya mengharapkan keredaan Allah, maka Allah SWT akan memberinya makan pada waktu itu. Begitu juga kepada mereka yang memberi minum kepada orang lain hanya kerana Allah, dia akan diberi minum oleh Allah di Padang Mahsyar nanti.

Mereka yang pernah memberi pakaian kepada orang lain dengan mengharapkan hanya keredaan Allah tanpa mengharapkan penghargaan daripada manusia, maka Allah akan memberikannya pakaian pada ketika itu. Segala amal kebaikan yang dilakukan ketika di dunia juga hanya kerana Allah, mereka akan menerima bantuan daripada Allah dan mereka yang membantu agama Allah, mereka akan dikurniakan ketenteraman dan ketenangan ketika menghadapi saat kacau-bilaunya keadaan manusia di Padang Mahsyar nanti.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau'izati yang ke udara setiap Khamis, jam 5.15 petang di IKIMfm, berkata manusia yang mencorakkan hidupnya sejak di dunia lagi supaya berada di dalam keadaan yang selamat ketika menghadapi pelbagai ragam di Padang Mahsyar kelak adalah mereka yang tergolong mendapat kebaikan.

10 kumpulan di Padang Mahsyar

Rasulullah juga pernah menyebut kepada Ibnu Mas'ud, diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal, sabdanya: "Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, apa yang dimaksudkan Allah pada hari ditiup sangkakala manusia itu datang di dalam keadaan berbondong-bondong."

Baginda menjawab, "Wahai Muaz bin Jabal, apabila kamu bertanya soalan ini, aku rasa besarnya nilai soalan ini."

Kemudian Rasulullah SAW mengalirkan air mata dan berkata, "Umatku dikumpulkan di Padang Mahsyar nanti di dalam keadaan 10 kumpulan.

Allah akan membezakan kumpulan orang Islam dan menggantikan wajah mereka berwarna putih, cantik dan indah. Ada juga dalam kalangan manusia yang berubah wajahnya seperti kera dan babi. Ada yang kakinya di atas dan berjalan dengan mukanya di bawah, ada yang menjadi buta dan berjalan tanpa arah dan tujuan. Ada yang menjadi tuli dan bisu dan seolah-olah hilang akal, manakala ada juga dalam kalangan mereka yang menggigit lidahnya sendiri yang panjang menjulur sehingga ke paras dadanya sehingga mengalir sesuatu yang busuk daripada mulut mereka hingga menjadikan penduduk di Padang Mahsyar pada ketika itu jijik melihatnya.

"Ada juga manusia yang memotong tangan dan kaki mereka, ada yang dipalangkan diri mereka di tengah-tengah neraka. Selain itu ada juga kalangan manusia yang berbau lebih busuk daripada bangkai bagaikan memakai pakaian yang diperbuat daripada api."

Manusia yang ditukarkan Allah menjadi wajah kera, kerana ketika mereka hidup di dunia dahulu sering menyebarkan fitnah dan memecah-belahkan manusia, manakala manusia ditukarkan menjadi babi adalah mereka yang bakhil dan memakan harta haram.

Manusia yang berjalan dengan kakinya di atas dan muka ke bawah adalah orang yang dahulunya memakan riba, manakala mereka yang buta ketika di Padang Mahsyar kerana ketika hidupnya di dunia sesuka hati mempermainkan hukum-hakam agama. Mereka yang ditukar menjadi buta kerana ketika hidup dahulu tidak menghiraukan soal halal dan haram dan mereka yang menjadi tuli dan bisu disebabkan oleh rasa kagum kepada dirinya sendiri atau ujub.

Manusia yang menggigit lidahnya yang menjulur di Padang Mahsyar pula adalah ulama yang jahat dan tidak mengamalkan apa yang diajarnya ketika hidup di dunia dahulu serta hanya mementingkan dirinya sendiri.

Seterusnya kalangan manusia yang memotong tangan dan kakinya sendiri kerana melakukan kejahatan kepada jiran tetangganya, mereka yang dipalangkan di tengah-tengah api neraka terdiri daripada manusia ketika hidupnya di dunia sering memfitnah dan mengkhianati orang lain dan mereka berbau busuk di Padang Mahsyar nanti kerana ketika dahulu sering mengikut hawa nafsu tanpa mempedulikan soal halal dan haram.

Pakaian daripada api

Kalangan manusia yang memakai pakaian daripada api adalah mereka yang sombong, sentiasa berbangga diri dan angkuh dengan ilmu, harta dan kecantikan diri ketika hidupnya. Ketika di Padang Mahsyar nanti ada dalam kalangan manusia yang berada di bawah lindungan Allah SWT yang terdiri daripada pemimpin adil yang berpegang kepada al-Quran dan hadis, pemuda yang hidup sering beribadah kepada Allah, seseorang yang hatinya sentiasa terikat kepada masjid, seseorang yang menjalinkan silaturahim kerana Allah, pemuda yang digoda wanita untuk melakukan maksiat, tetapi menolaknya dengan sebaliknya berkata bahawa sesungguhnya dia takut kepada Allah.

Seterusnya mereka yang mendapat perlindungan Allah ialah mereka yang berinfaq dengan ikhlas dan seorang yang bersendirian sambil menyebut nama Allah sehingga mengalir air matanya.

Wasatiyyah dalam Perlembagaan Persekutuan

UMUM tahu Perlembagaan Persekutuan adalah hasil penerimaan semua pihak, kontrak sosial dipersetujui tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang membentuk Parti Perikatan.

Peranan Raja-Raja Melayu juga tidak kurang pentingnya. Suruhanjaya Reid yang menderaf perlembagaan bertulis bagi Tanah Melayu yang merdeka mengadakan 118 persidangan dan menerima 131 memorandum semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu.

Pada kaca mata kasar, Perlembagaan ini nampak bersifat berat sebelah, terutama membabitkan hak tertentu seperti kedudukan agama Islam (Perkara 3), hak keistimewaan orang Melayu dan pribumi (Perkara 153), Bahasa Melayu (Perkara 152) dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Pendekatan wasatiyyah Perlembagaan Persekutuan dapat dilihat dalam perkara berikut: Perkara 3 (1) berbunyi: "Islam adalah agama persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan" dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan mengambil pandangan UMNO dengan cadangan oleh hakim Abdul Hamid, salah seorang ahli Suruhanjaya Reid.

Pada asalnya, ia dapat tentangan Raja-Raja Melayu yang bimbang kuasa ada pada baginda semua akan diambil oleh Kerajaan Persekutuan. Namun, setelah dapat kepastian ia sedikit pun tidak ambil kuasa Raja-raja Melayu, peruntukan amat penting ini dapat diterima oleh Raja-Raja Melayu.

Orang bukan Islam juga dapat terima peruntukan ini kerana diberi hak kerakyatan secara jus soli.

Meskipun kebebasan agama diberi kepada orang bukan Islam untuk anuti dan amal agama tetapi ia tertakluk kepada halangan seperti dalam Perkara 11(4) mengenai mengembang agamanya.

Kerana itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh kawal atau sekat pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam melalui undang-udang yang diperkenalkan.

Perkara 153: Keistimewaan Bumiputera Melayu dan Pribumi Sabah dan Sarawak, bersifat wasatiyyah bagi mengimbangi pencapaian ekonomi Bumiputera Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak berbanding dengan bangsa dan etnik lain yang lebih maju.

Perkara 153 menuntut Kerajaan Pusat melindungi 'kedudukan istimewa' orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak dengan mengadakan kuota dan rizab dalam kemasukan ke perkhidmatan awam, biasiswa dan kemudahan pendidikan, pasca sekolah menengah, lesen dan permit.

Perkara 153 diterima pakai secara meluas dalam perkhidmatan awam. Peruntukan dalam Perkara 153 tidak izin amalan monopoli yang dilihat memihak kepada Bumiputera.

Yang pasti, Yang di-Pertuan Agong hendaklah pelihara hak undang-undang bagi pihak berkepentingan dari pelbagai etnik.

Takrifan Melayu


Satu perkara amat menarik dalam Perlembagaan Persekutuan ialah takrifan Melayu tidak dinisbahkan dengan sesuatu etnik.

Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan orang Melayu itu Islam, lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu dan berasal dari Tanah Melayu/Singapura atau ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau di Singapura sebelum hari Merdeka; atau pada hari Merdeka itu, ia berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau ia keturunan seseorang tersebut.

Takrifan ini mengharuskan seseorang yang bukan Melayu boleh menjadi Melayu sekiranya memenuhi syarat sebagai seorang Melayu.

Pendekatan wasatiyyah dalam Perlembagaan Persekutuan dapat dilihat dengan jelas dalam satu ikatan dikenali sebagai 'kontrak sosial' antara orang Melayu dan kaum Cina dan India dalam beberapa perkara babitkan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu, tanah rizab Melayu dan adat istiadat Melayu.

Sebagai balasan, minoriti bukan Melayu dapat hak kerakyatan, kebebasan beragama, berkebudayaan, pendidikan dan ekonomi.

Cabaran generasi sekarang


Generasi muda terutamanya kurang memahami Perlembagaan Persekutuan secara menyeluruh, sewenang-wenangnya menafikan kewujudan kontrak sosial. Hujah mereka ialah perkataan 'kontrak sosial' tidak wujud dalam Perlembagaan.

Benar, perkataan ini tidak ada dalam Perlembagaan. Persoalannya, apakah prinsip ini tidak wujud dalam roh Perlembagaan? Adalah salah seandainya seseorang mengatakan Perlembagaan 'membisu' dalam perkara berkenaan, kerana tidak tersurat sesuatu perkataan itu.

Ternyata dalam Perlembagaan itu, ada banyak perkara tersirat, tidak disebut satu persatu dan idea yang tidak tekstual.

Penafian kewujudan kontrak sosial, sebenarnya menafikan kewujudan memorandum dimajukan oleh Perikatan kepada Suruhanjaya Reid.

Ada juga pihak mempertikai kontrak sosial yang dibina pada 1957 tidak sesuai dengan tuntutan masyarakat sekarang dan menuntut Perlembagaan yang wujud dipinda ikut kehendak semasa.

Memang benar, pindaan terhadap Perlembagaan acap kali berlaku demi memenuhi tuntutan itu, namun asas penting dalam Perlembagaan yang menaungi semua pihak hendaklah kekal supaya ia tidak bawa kepada sebarang konflik antara kaum.

Kompromi diamalkan sejak merdeka lagi hendaklah kekal kerana itulah hikmah sebenar yang wujud dalam kontrak sosial. Tuntutan agar dipinda sesetengah peruntukan asas seperti kedudukan agama Islam, hak keistimewaan orang Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu adalah ibarat menjolok galah ke sarang tebuan di mana kesudahannya akan memakan diri sendiri.

Sesungguhnya, Perlembagaan Persekutuan mengimbangi kedudukan kaum majoriti pribumi dan kaum minoriti yang lain. Rahsianya ialah wasatiyyah iaitu 'memberi dan menerima', bebas dari ideologi dan pegangan agama yang ekstrem.

Ia menyaksikan semua kaum dari pelbagai latar belakang agama dan etnik mendapat habuan masing-masing.

Semangat toleransi yang tinggi dan penerimaan kontrak sosial oleh tiga kaum terbesar diikuti oleh etnik kecil lain, sebenarnya lahir dari pendekatan wasatiyyah yang kita sekian lama warisi dalam Perlembagaan Persekutuan
Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed AdilBerita Harian Kolumnis SABTU, 6 OGOS 2016 @ 7:00 AM