August 9th, 2016

Melahirkan profesional huffaz

SEJARAH penubuhan Da­rul Quran Jakim pada 1966 berlaku apa­bila Perdana Menteri per­tama, Tunku Abdul Rah­man melahirkan hasrat mewujudkan sebuah institusi pengajian al-Quran di Malaysia. Hasrat itu dinyatakan sewaktu perasmian Masjid Negara. Ini lahir ekoran Musabaqah al-Quran yang diadakan sejak 1960 serta lawatan Rektor Universiti Al-Azhar, Sheikh Mahmud Syaltut di perasmian Masjid Negara tersebut.

Sebagai permulaan, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat ditubuhkan sebagai salah satu unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri. De­ngan penubuhan itu bermulalah pengajian bidang tahfiz al-Quran di Masjid Negara pada 1 Mac 1966 dengan lapan orang pelajar sebagai perintis yang dihantar oleh negeri-negeri di Malaysia.


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersalaman dengan para hafiz selepas Majlis Konvokesyen Darul Quran Jakim kali ke-25 di Kompleks Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, kelmarin. UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA

Dari 1966 hingga 1978 penga­jian ini diletakkan di bawah kelolaan Jawatankuasa Tadbir Masjid Negara dan Urusetia Maj­lis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam. Pada 1972, ia diberi nama Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat. Awal 1979, Maahad Tahfiz diletakkan pula di bawah kelolaan Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri sehingga 1980. Selepas itu dipindahkan ke Jalan Cen­derasari, Kuala Lumpur dan dipindahkan lagi di bawah kelolaan Institut Dakwah dan Latihan Islam.

Pada 1997, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat dinaikkan taraf sebagai salah satu bahagian di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan diberi nama Darul Quran (DQ). Akhirnya, 1 November 1998, DQ ditempatkan ke kampus tetap di Kompleks Darul Quran di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

DQ Jakim ditubuhkan untuk me­lahirkan golongan profesional yang hafiz, mahir lagi ber­ketrampilan selaras dengan ke­perluan ummah dan negara. Visi dan misi DQ adalah melahirkan generasi al-Quran bertakwa, berilmu dan bermanfaat kepada pembangunan negara dan ummah di samping melatih mereka dalam bidang tahfiz al-Quran dan qiraat. Dalam tempoh 50 tahun sejak penubuhannya, DQ banyak meneroka lapangan baru dalam mengembangkan tradisi tahfizul al-Quran di Malaysia dan juga di negara minoriti Muslim seperti di Kemboja, Thailand dan Vietnam. DQ juga memperkenalkan program untuk orang kurang upaya dan menjadikan teknologi Braille sebagai alat mempelajari al-Quran sehingga menjadikan mereka huffaz.

Dalam konvokesyen yang berlangsung bukan sahaja pelajar lepasan diploma dan persijilan diraikan tetapi Maahad Tahfiz di seluruh negara yang bekerjasama dengan DQ diiktiraf sama. Sebahagian pelajar ini melanjutkan pelajar ke luar negara seperti di Mesir dan Jordan. DQ mengorak langkah mewujudkan kerjasama dengan universiti tempatan untuk me­latih pelajar-pelajar terpi­lih dalam program persijilan dan ijazah sarjana muda meraikan golongan yang berpotensi sebagai profesional huffaz. Program persijilan ini bermula pada tahun 2000 dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diikuti dengan Universiti Tenaga Nasional, berkembang di Cyberjaya Kolej Universiti Perubatan (CUCMS) dan terkini dengan Universiti Teknikal Melaka (Utem). Sementara itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan program Sarjana Muda al-Quran dan Sunnah.

Program persijilan DQ-UIAM berjalan dengan baik dan menghasilkan 1,326 huffaz yang menekuni selepas itu dalam bidang profesional seperti kedoktoran, ahli farmasi dan pergigian, sains dan kejuruteraan, seni bina dan disiplin ilmu kemanusiaan lain. Mereka mulanya datang daripada pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan sekolah agama lain menjalani pengajian hafazan selama 18 bulan dan kemudian melanjutkan program ijazah muda dalam pelbagai bidang.

Pada 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meng­umumkan penubuhan Kolej Universiti Al-Quran Malaysia (KUAM). Pengumuman ini adalah sesuatu yang amat ditunggu-tunggu golongan huffaz.

Penulis sendiri telah membuat kajian mengenai metodologi Qurani dalam pengajaran dan pem­belajaran supaya wujud sinergi dan memberi makna kepada ilmu dan pembangunan tasawur dan fikrah Islami tidak saja sifatnya rohiyyah tetapi dimanifestasikan dalam amal. Penulis dapati pro­ses integrasi masih longgar. Hasrat melahirkan umara berjiwa ulama dan ulama menyantuni umara menuntut empat proses. Pertama, tradisi hafazan mesti berlaku. Kedua, pendekatan kefahaman harus terjadi. Ketiga, penjanaan ilmu hasil daripada tradisi berfikir. Keempat, proses internalisasi antara fikir-zikir te­rus berkembang. Ini bakal melahirkan profesional huffaz yang mampu menjadi mujtahid untuk respon kepada cabaran baru umat Islam dan umat manusia.

Justeru peranan yang dimainkan oleh institusi huffaz seperti Darul Quran dan sambutan 50 tahun atau Jubli Emas Darul Quran Jakim memberi erti besar mengenai proses membina budaya dan generasi al-Quran di Malaysia.

-

Istighfar permudahkan urusan

Nilai toleransi, bertimbang rasa, kasih sayang, hormat menghormati dan kejujuran sewajarnya menunjangi kehidupan bagi melahirkan keluarga bahagia.

Sukar dipercayai jika seseorang itu menyatakan dia tidak mengimpikan keluarga yang bahagia dan harmoni.

Oleh itu, kita harus membebaskan mereka daripada belenggu kejahilan dan kegelapan kerana tanpa keluarga tidak mungkin kita menjadi insan berjaya dalam kehidupan.

Menerusi rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin berkata, selain bersyukur, bertawakal serta menyambung silaturahim, satu lagi amalan yang dituntut dalam membantu dan menguatkan lagi institusi kekeluargaan ialah dengan memperbanyakkan istighfar.




Apabila dilihat makna di sebalik ungkapan istighfar iaitu aku memohon keampunan daripada Allah SWT, ia adalah lafaz bertaubat daripada dosa dan kesalahan yang dilakukan seorang hamba kepada Tuhannya.

Jelas sekali lafaz yang sangat pendek itu amat besar nilainya di sisi Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: "Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat." (Surah an-Nasr, ayat 3)

Tidak dapat disangkal lagi bahawa Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Amalan istighfar jika diamalkan secara berterusan mampu memudahkan segala urusan dan membawa seseorang itu keluar daripada segala permasalahan dihadapi.

Dapat rezeki

Daripada Ibni Abbas, Baginda Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan daripada setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Malah, dengan beristighfar juga mengundang takdir yang baik untuk kita. Kisah Nabi Yunus boleh disifatkan sebagai contoh terbaik manusia yang segera mendapat bantuan Allah SWT kerana Baginda sentiasa mengingati Allah SWT ketika senang. Nabi Yunus adalah pelarian yang melarikan diri daripada kaumnya sebelum datang perintah Allah SWT untuk meninggalkan kaumnya.

Maka, Nabi Yunus akhirnya terjun ke laut bergelombang dan kemudian ditelan oleh seekor ikan yang besar. Namun atas izin Allah SWT, Nabi Yunus tidak mati dalam perut ikan selepas berdoa kepada Allah dan memohon ampun atas kesalahannya.

Ada beranggapan rahsia bantuan Allah SWT kepadanya berpunca hanya daripada doa ini: "Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolonglah daku)! Sesungguhnya aku adalah daripada orang yang menganiaya diri sendiri. Maka Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia daripada kesusahan yang menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami)." (Surah al-Anbiya', ayat 87-88)

Hayati, amal istighfar

Dengan pertolongan Allah AWT, ikan yang besar itu terdampar ke laut dan akhirnya Nabi Yunus berjaya keluar daripada perut ikan dengan selamat.

Betapa banyaknya amanah yang telah kita ingkari, maka marilah kembali menghayati dan mengamalkan istighfar. Semoga Allah SWT memberikan jalan keluar yang terbaik buat kita semua dalam menjalankan amanah yang telah Allah SWT perintahkan.

Menurut Muhamad lagi, doa juga memainkan peranan penting dalam pembentukan keluarga sebagai tanda pengharapan, permohonan dan pergantungan kita hanya kepada Allah SWT.

Keturunan mulia?

ADA yang beruntung membuka mata dalam limpahan nikmat harta dan keturunan mulia. Lebih beruntung ada yang ditakdirkan oleh Allah lahir dalam keluarga mulia keturunan kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW. Itulah hakikat hidup di dunia ini yang menjadi pentas ujian bagi manusia. Jika berjaya menempuh ujian itu maka bahagialah di alam sana. Firman Allah:

“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani,” (al-An’am [6:165]).


KEMULIAAN makhluk di sisi Allah adalah kerana ketakwaan, bukannya kerana keturunan darahnya. - GAMBAR HIASAN

Pernah sekali murid saya yang lahir dalam rumpun keturunan Rasulullah SAW meminta pandangan berkaitan mesej yang diterimanya. Mesej tersebut menyatakan nas berkaitan kemuliaan keturunannya. Antara nas yang berkaitan adalah:

“Dan hendaklah kamu (wahai para isteri Rasulullah) tetap diam di rumah kamu dan janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang Jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai Ahlul bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji),” (al-Ahzab [33:33]).

Terdapat perbincangan panjang tentang siapakah yang Allah maksudkan sebagai Ahli Bait atau keluarga Rasulullah SAW dalam ayat ini.

Banyak riwayat menunjukkan mereka adalah empat individu secara khusus iaitu Ali bin Abi Talib, Fatimah puteri Rasulullah SAW dan dua anak baginda, Hasan serta Husain.

Ada juga riwayat mengatakan mereka adalah empat keluarga yang tidak dibenarkan menerima sedekah selepas kewafatan baginda iaitu keluarga tiga beradik anak Abu Talib iaitu Ali, ‘Uqayl dan Ja’afar serta keluarga ‘Abbas. Manakala jika kita merujuk keseluruhan ayat tersebut (ayat 28 – 34), konteksnya merujuk kepada para isteri baginda. Mudahnya, Ahli Bait baginda secara umumnya merujuk kepada keluarga baginda keseluruhannya (Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Baghawi, Tafsir al-Razi).

Tidak dinafikan ayat itu diturunkan bagi memuliakan keluarga Rasulullah SAW, namun kemuliaan utama mereka tetap berkait rapat dengan kualiti takwa dimiliki berkat asuhan baginda.

TAKWA TIDAK DIWARISI

Ringkasnya, darah keturunan boleh turun kepada generasi anak cucu tetapi takwa bukan begitu sifatnya. Ia wajib dicari dan diusahakan sedaya mampu. Takwa juga mampu dimiliki siapa sahaja tanpa mengira jenis darah yang dimiliki. Asal sahaja mereka mendaki puncak iman bagi mencari permata takwa.

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sini Allah adalah orang yang paling bertakwa (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu),” (al-Hujurat [49:13]).

Kewajipan merebut “piala takwa” disebut oleh Rasulullah SAW dalam khutbah baginda pada hari Tasyriq semasa baginda menunaikan haji. Sabda baginda:

“Wahai sekalian manusia, ketahuilah bahawa Tuhanmu satu, bapa kamu (Adam) juga satu. Tiada kelebihan bagi orang Arab berbanding orang bukan Arab, tidak juga bagi orang bukan Arab terhadap orang Arab. Tiada juga kelebihan bagi orang berkulit merah berbanding si kulit hitam, tidak juga bagi si kulit hitam berbanding si kulit merah melainkan dengan (kualiti) takwa,” - Musnad Ahmad.

Bukti keadilan Allah merentas isu darah keturunan dan fizikal turut ditegaskan dalam ayat lain. Firman Allah:

“Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat antara mereka dan tidak pula sempat mereka bertanya,” (al-Mu’minun [23:101]).

Pernah sekali orang Quraysh cuba mempertahan pencuri wanita dari Bani Makhzum. Mereka meminta agar Usamah bin Zayd r.a. (yang dikenali sebagai buah hati Rasulullah SAW) memujuk baginda supaya melepaskan wanita tersebut

Baginda lantas bangun berucap memberi amaran tegas, sabda baginda SAW:

“Sesungguhnya umat sebelum kamu musnah (kerana sikap pilih kasih). Apabila golongan bangsawan mencuri mereka dilepaskan, manakala apabila golongan bawahan mencuri barulah dilaksanakan hukuman. Demi Allah! Jika Fatimah anak perempuan Muhammad (sendiri yang) mencuri pasti aku akan (tetap) memotong tangannya (melaksanakan hukum Allah tanpa pilih kasih atau kasta),” - Sahih Bukhari.

Menutup bicara nota ini saya analogikan sebuah dialog:

“Sayang sekali! Wajahnya cantik bak bidadari, tapi bau badannya mengalahkan si kambing jeruk!”

Keturunan mulia terhormat seumpama wajah yang cantik, manakala akhlak dan budi seumpama bau badan. Nilai si cantik akan jatuh jika bau badannya menusuk hidung. Oleh itu, lengkapkan anugerah wajah yang cantik dengan wangian yang sepadan. Barulah datuk nenek pemilik genetik wajah yang cantik itu akan tersenyum bangga.