August 17th, 2016

Tiada alasan gugur zakat

Bilakah seorang itu wajib mengeluarkan zakat, adakah perlu berstatus kaya terlebih dahulu? Kekayaan atau harta bagaimanakah yang wajib dizakatkan?

Jawapan


Tidak dinafikan, ramai dalam kalangan umat Islam berfikiran sedemikian dengan andaian yang bukan-bukan, contohnya pendapatan mereka kecil lalu mengambil keputusan untuk tidak menaksirkan zakat.

Sepatutnya mereka perlu terlebih dahulu menilai kedudukan diri dan harta sebelum membuat sesuatu keputusan. Allah SWT mengingatkan: “Maka bertanyalah kamu kepada ahlinya (orang yang alim atau berpengetahuan dalam sesuatu bidang) andai kamu tidak mengetahui (akan keadaan sesuatu perkara itu).” (al-Anbiya: 7 dan an-Nahl: 43)

Perlu membuat tafsiran harta, gaji untuk buat keputusan

PARAS minimum harta yang wajib dizakatkan adalah disandarkan kepada nilai 85 gram emas pada harga semasa. GAMBAR HIASAN -

Perkara tersebut adalah enam syarat asas wajib zakat iaitu apabila ada pada diri seseorang itu maka dia wajib mengeluarkan zakat tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita, masih kecil atau sudah tua, gila atau berakal.

Kedua, harta bagaimanakah yang wajib dizakatkan? Seorang yang mempunyai harta secara sempurna milik perlu berhati-hati. Ini berkemungkinan dia sudah cukup syarat wajib untuk menunaikan zakat.

Ini kerana, definisi kekayaan dalam Islam adalah apabila harta dimiliki sempurna milik dan berada di atas paras nisab. Nisab bermakna, paras minimum harta wajib zakat yang disandarkan kepada nilai 85 gram emas pada harga semasa. Nisab zakat boleh turun dan naik, bergantung kepada harga emas dalam pasaran.

Nilai 85 gram emas itu bukanlah terlalu tinggi, julat buat masa ini (tahun 2016) iaitu antara RM13,000 hingga RM16,000 sahaja. Jika kita mempunyai pendapatan tahunan melebihi RM13,000, kita mungkin sudah wajib mengeluarkan zakat pendapatan.

Maka, jalan terbaik ialah dengan meminta pihak amil zakat menaksirkan zakat pendapatan kita. Ini kerana, dalam taksiran zakat sudah ada kaedah pengiraan yang mungkin kita sendiri kurang mahir.

Jika ditakdirkan selepas ditolak penggunaan dan harta kita masih di atas paras nisab, maka jelaslah bahawa kita wajib mengeluarkan zakat, walaupun hanya RM1 atau 50 sen.


HARTA YANG WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT

Wajar juga kita ketahui bahawa Islam menggariskan hanya harta tertentu wajib dikeluarkan zakat dan harta-harta yang tidak termasuk dalam senarai harta zakat, tidak wajib dizakatkan. Namun begitu, jika ia diniatkan dengan niat tertentu, maka harta yang asalnya tidak wajib zakat akan menjadi wajib zakat.

Satu contoh mudah. Apabila dikatakan zakat ternakan, maka hanya haiwan ternakan yang disebut sebagai ‘al-An’am’ sahaja yang diwajibkan zakat.

Maka, lembu, kambing, kerbau, biri-biri, kibas atau unta, adalah dikira sebagai haiwan al-An’am. Selain daripadanya tidak dikira haiwan ternakan seperti rusa, kijang, seladang dan begitu juga ayam, itik, angsa, arnab dan sebagainya.

Bagaimana halnya jika ada yang bertanya, bukankah burung unta juga mendatangkan hasil lumayan, begitu juga rusa dan sebagainya? Kenapakah ia tidak dikenakan zakat seperti unta?

Hakikatnya, rusa dan burung unta itu bukanlah haiwan ternak al-An’am. Memang ia mahal, tetapi kakinya dua dan tidak diternak secara jinak sejak zaman dahulu. Maka, biar pun ia diternak ribuan ekor tetapi tidak dikenakan zakat ternakan. Namun, adakah sudah terlepas kewajipan zakat itu?

Di sini kita perlu melihat keadaannya, sekiranya rusa atau burung unta itu diternak secara komersial, maka ia wajib dizakatkan atas nama zakat perniagaan kerana pemiliknya meniatkan untuk menjualnya sebagai ‘barangan’ atau komoditi.

Jika diternak suka-suka dan wujud permintaan misalnya disewa untuk tujuan pameran, persembahan atau dijual kepada orang yang berminat, maka ia masih wajib dikenakan zakat pendapatan kepada pemiliknya.

Oleh itu, dalam konteks dunia moden hari ini perkembangan harta dan kekayaan sebenarnya terlalu pantas, justeru kita wajib menyesuaikan diri dengan pelbagai kekayaan baharu itu, biar pun zahirnya dilihat seakan-akan tidak dikenakan zakat.

-

Ulama penentang Inggeris

ABDUL RAHMAN ABDUL HAMID merupakan seorang tokoh agama yang berjuang menentang pihak British di Terengganu. Namanya sering dikaitkan dengan kebangkitan para petani di Hulu Terengganu. Beliau yang lebih dikenali sebagai Abdul Rahman Limbong atau Tok Limbong dilahirkan pada tahun 1868. Ibunya berasal dari Johor, manakala bapanya dari Patani, selatan Thailand.

Tempat kelahirannya tidak dapat ditentukan tetapi yang pastinya beliau ialah anak watan Terengganu. Semasa kanak-kanak, beliau telah mengikut bapa saudaranya, Tun Mohammad Zaib, (Tun Mamat) menetap di Mekah.



Abdul Rahman Limbong

Setelah bertahun-tahun di Mekah, beliau kembali ke Terengganu. Beliau menuntut pengajian agama dengan Haji Yaakub Paya Bunga, kemudian dengan Wan Musa Paya Bunga dan seterusnya dengan Tokku Paloh, seorang guru agama yang terkenal pada ketika itu.

Beliau meninggal dunia di Mekah pada 6 November 1929. Sultan Terengganu, Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) amat rapat dengan Tokku Paloh, guru kepada Abdul Rahman Limbong. Putera-puteri baginda pernah berguru dengan Abdul Rahman.

Abdul Rahman mempunyai sikap berhemah tinggi dan suka memencilkan diri tetapi peka dengan keadaan sekelilingnya. Beliau juga bersifat penyayang terhadap kanak-kanak terutama anak–anak yatim.

Selain berbudi pekerti, Abdul Rahman kuat beribadat. Sebahagian besar waktu malamnya dihabiskan dengan beribadat.

Pada hari raya pula, beliau biasanya mengurungkan diri untuk beribadat sebagai tanda tidak mahu menyulitkan orang ramai yang mengikut tradisi ketika itu, membawa makanan untuk guru-guru agama dan orang alim sepertinya.

Semasa pihak British menjadi penasihat dalam pemerintahan raja-raja Melayu di Terengganu, peraturan baharu berkenaan tanah dan pertanian diperkenal. Rakyat dipaksa meminta surat kebenaran untuk menjalankan aktiviti pertanian dan aktiviti ekonomi lain di tanah sedia ada.

Tindakan itu menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan petani.

Pada 19 dan 20 April 1928, Abdul Rahman Limbung didapati menyebarkan idea menentang peraturan baharu di Dungun.

Pada 4 Mei 1928 pemimpin-pemimpin kampung dari Hulu Terengganu datang menemui Abdul Rahman. Dalam pertemuan tersebut, Abdul Rahman menegaskan agar mereka tidak mengambil surat kebenaran untuk mengusahakan kegiatan pertanian.

Pihak British mendakwa kebangkitan para petani itu dirancang oleh Abdul Rahman. Beliau dihadapkan kepada sultan dan dikenakan tuduhan cuba menderhaka kepada sultan.

Dalam perbicaraan, Abdul Rahman membela diri sendiri dan berhujah dengan hakim. Abdul Rahman menyangkal dakwaan beliau menghasut para petani dan cuba menderhaka kepada sultan.

Walaupun tiada bukti jelas yang membabitkannya, beliau akhirnya didapati bersalah dan dihukum buang negeri ke 
Mekah.

Tindakan berkenaan melumpuhkan semangat para petani yang ketika itu bangkit menentang struktur pentadbiran baharu diperkenal oleh penjajah.

Antara ciri yang membezakan Abdul Rahman dengan ulama-ulama lain ialah pembabitannya dalam sektor ekonomi seperti pertanian, perniagaan, perkilangan dan perikanan.

Beliau menceburi kegiatan ekonomi atas prinsip bahawa bumi adalah hak Allah dan sesiapa sahaja boleh mencari rezeki asalkan tidak bertentangan dengan hukum-hukum syarak.

Beliau menjalankan kegiatan membuat terompah dan menenun kain untuk dibuat baju. Beliau juga mempunyai beberapa buah perahu bermotor untuk menjalankan kegiatan perniagaan dan perikanan.

Selain itu, beliau mengusahakan tanaman kelapa, padi, pisang dan kopi serta membuat bata dan kapur tohor.

Pihak British juga menuduh Abdul Rahman menderhaka terhadap Sultan Terengganu ketika itu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Abdul Rahman menafikan segala tuduhan terhadapnya dan dibicarakan dalam kawasan Istana Maziah sebelum didapati bersalah.

Pada 2 Jun 1928, satu perintah buang negeri dikeluarkan oleh Jabatan Setiausaha Kerajaan Terengganu. Beliau dibuang negeri ke Mekah dan meninggal dunia di sana.

-

Keagungan Allah di Gua Hira

MENDENGAR laungan azan subuh dari seluruh pelosok Mekah di atas Jabal Nur sudah cukup menginsafkan kita mengenai kebesaran Allah SWT.

Bukit tersebut bukan sebarang bukit, di situlah terselitnya Gua Hira tempat junjungan besar Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama daripada Allah SWT.

Dalam surah Saba’ ayat 28 Allah SWT berfirman: “Tiadalah Kami utus engkau (Muhammad) melainkan untuk seluruh umat manusia, membawa khabar gembira dan memberi peringatan, namun kebanyakan manusia tidak mengerti.”

"Terbitnya" pembawa kebenaran, Rasulullah SAW

LALUAN ke Gua Hira tanpa anak tangga.

Rasulullah SAW menerima wahyu pertama baginda ketika bersendirian di Gua Hira. Malaikat Jibril a.s. datang dan mengajar baginda untuk membaca lima ayat pertama dalam surah al-Alaq yang bermaksud:

“Bacalah dengan menyebut nama Tuhan yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah. Yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahui.”

Pada 11 Ogos lalu, penulis bersama rombongan wartawan Malaysia yang membuat liputan ibadah haji menjejak kaki di Gua Hira. Namun untuk sampai ke puncak Jabal Nur setinggi lebih 600 meter bagi membolehkan kita berada di dalam Gua Hira bukanlah satu tugas yang mudah.

Percayalah tanpa kekuatan mental dan fizikal anda tidak mungkin sampai ke puncak gunung yang turut dikenali sebagai Bukit Cahaya tersebut.



SUASANA dalam Gua Hira lokasi Rasulullah SAW menerima wahyu pertama.

Kepenatan yang membelenggu diri apabila berhenti berehat selepas beberapa langkah diatur menginsafkan kita untuk bertanya bagaimana Rasulullah SAW boleh sampai ke puncak tersebut dengan menunggang unta baginda dan bagaimana pula kudrat isteri baginda, Siti Khadijah yang saban hari menghantar makanan kepada Rasulullah SAW ketika baginda bersendirian di bukit.

Untuk ke puncaknya sudah ada anak tangga dibina tetapi fikirkan bagaimana sukarnya Rasulullah SAW mendaki dahulu dengan menunggang unta, tiada anak tangga, tiada jalan pintas. Apa yang ada ialah satu pendakian bukit yang cukup menyeksakan.

Mungkin atas sebab itulah ada antara pengunjung tidak menggunakan anak tangga sebaliknya berusaha mendaki melalui laluan biasa untuk sampai ke Gua Hira. Niat mereka mahu merasai kesusahan Rasulullah SAW.

Pendakian penulis bersama rombongan wartawan lain bermula pada pukul 3 pagi (pukul 8 pagi waktu Malaysia) , sasaran kami ialah untuk sampai di gua tersebut sebelum azan subuh berkumandang pada pukul 4.37 pagi waktu tempatan (pukul 9.37 waktu Malaysia)

Dalam suasana cahaya samar-samar satu demi satu langkah diatur dan setiap kali berhenti berehat, ‘tirai keindahan’ kota Mekah sedikit demi sedikit terungkap.

Selepas 33 minit mendaki, penulis sampai ke puncak Jabal Nur. Untuk sampai ke Gua Hira, kita mempunyai dua pilihan, kedua-duanya bagi penulis cukup menggentarkan. Laluan pertama perlu melalui celah-celah bukit yang cukup sempit manakala laluan kedua perlu mendaki tebing curam.

Di tepi Gua Hira terdapat tertera perkataan ‘Ghor Khira’ berwarna merah yang bermaksud Gua Hira. Di atas tulisan itu juga dituliskan dua ayat awal surat al- Alaq dengan cat warna hijau. Surah yang sama turut tertulis di atas salah satu laluan ke Gua Hira.

Ruang di dalam gua hanya selesa untuk dua orang dan ramai pengunjung mengambil kesempatan melakukan solat sunat di situ sebelum solat subuh. Apa yang menakjubkan dari ruang yang dikatakan menjadi tempat solat Rasulullah SAW, kita akan dapat melihat secara jelas Baitullah dari celah-celah batu.

Tepat pukul 4.37 pagi, azan subuh berkumandang, percayalah ketika itu anda akan mendengar satu gegaran suara yang amat menakjubkan.

Kini Gua Hira terus dikunjungi namun bagi sebahagian besar pengunjung ia bukan semata-mata mahu melawat tetapi bermuhasabah untuk memikirkan betapa hebatnya Allah mencipta gua tersebut bagi melahirkan seorang pembawa kebenaran iaitu Rasulullah SAW.