August 18th, 2016

Zahir rasa syukur melalui solat

SYUKUR adalah tanda beriman kepada Allah SWT dan pelbagai cara untuk kita menzahirkan rasa syukur. Malangnya, apabila tidak mendapat yang diingini, kita sering kali mengeluh dan lupa segala nikmat pemberian Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." (Surah Ibrahim, ayat 7)
Meneruskan perkongsian, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah di IKIMfm, berkata Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah SWT untuk kembali ke Makkah setelah meninggalkan Hajar dan anaknya.

Nabi Ibrahim bersyukur kepada Allah SWT kerana Makkah bukan sahaja telah menyelamatkan isteri dan anaknya, malah telah menjadi negeri yang aman.

Sebagai tanda syukur, Baginda berdoa semoga dirinya terus dapat menunaikan solat. Kayu ukur orang yang bersyukur ialah sentiasa melaksanakan solat kerana syukur dan solat tidak dapat dipisahkan.

Orang yang bersyukur akan menzahirkan rasa syukurnya melalui solat. Allah SWT menggambarkan erti syukur yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dalam firman yang bermaksud: "Segala puji tertentu bagi Allah yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenankan doa permohonan." (Surah Ibrahim, ayat 38)

Didik jadi insan bersyukur

Barang siapa mengkaji surah Ibrahim, ia seperti silibus yang mengajar mengenai erti syukur. Keseluruhan ayat surah Ibrahim mendidik untuk menjadi hamba Allah SWT yang sentiasa bersyukur.

Tidak dinafikan ibadah haji mengaitkan kita dengan perjalanan hidup Nabi Ibrahim, tetapi bukan sekadar itu, ingatan kepada Baginda turut tersemat setiap kali kita menunaikan solat dengan melafazkan selawat kepada Baginda serta ahli keluarganya.

Surah Ibrahim turut menceritakan kisah Nabi Musa yang menerangkan kepada kaumnya mengenai erti syukur setelah mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.

Mereka yang susah untuk bersyukur kepada Allah SWT berada dalam kegelapan, sentiasa mengeluh dan berdukacita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat Kami sambil Kami berfirman: Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu daripada gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur." (Surah Ibrahim, ayat 5)

Di permulaan surah Ibrahim, Allah SWT mengajarkan Nabi Muhammad SAW bahawa al-Quran turun untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan dan antara sifat manusia yang berada dalam kegelapan adalah mereka susah untuk bersyukur.

Semoga Allah SWT sentiasa menjadikan kita orang yang positif dalam apa juga keadaan dan sentiasa bersyukur tanpa sedikit pun rasa keluh-kesah.

Akta 355 dan Ahli Parlimen Islam

PADA 26 Mei lalu, Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah membentangkan rang undang-undang persendirian bertujuan memperluaskan lagi bidang kuasa Mahkamah Syariah melalui pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 juga dikenali dengan Akta 355.

Langkah tersebut kemudian mendapat sokongan padu daripada seluruh umat Islam negara ini memandangkan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Syariah terlalu terhad iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak lebih enam kali sejak sekian lama.

Justeru, sudah tiba masanya Mahkamah Syariah diperkasakan dengan meningkatkan lagi jumlah hukuman yang dikenakan terhadap pelaku jenayah syariah berdasarkan enakmen kesalahan jenayah syariah negeri masing-masing.

Inilah realiti yang berlaku. Sememangnya bidang kuasa Mahkamah Syariah memerlukan satu transformasi besar-besaran supaya undang-undang Islam di negara ini tidak dipandang lekeh oleh sesetengah pihak atau dilabel sebagai mahkamah kelas kedua berbanding mahkamah sivil.

Kali terakhir akta itu dipinda adalah pada tahun 1984 dengan menyaksikan peningkatan kadar penjara enam bulan kepada tiga tahun dan denda RM1,000 kepada maksimum RM5,000. Ini juga bermakna Akta 355 yang ada sekarang sudah berusia 32 tahun.

Oleh itu bukan satu perkara yang luar biasa jika ada tanggapan bahawa hukuman yang ada sekarang sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah. Usaha untuk memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah itu juga selaras dengan kedudukan istimewa Islam sebagai Agama Persekutuan negara ini.

Cuma apa yang penulis benar-benar pelik dan hairan adalah tentang reaksi sesetengah pihak daripada golongan bukan Islam yang mempertikaikan usaha berkenaan dan terbaharu melibatkan Persekutuan Persatuan Hokkien Malaysia.

Pertubuhan tersebut menentang keras langkah itu sedangkan kita semua tahu bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak ada kena mengena dengan orang bukan Islam. Mereka yang bukan Islam tertakluk kepada sistem perundangan sivil.

Sistem perundangan syariah hanya melibatkan orang Islam sahaja dan ketetapan itu terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan. Persoalannya sekarang mengapa mereka takut sangat sehingga mendorong pertubuhan yang mendapat sokongan MCA itu melancarkan kempen mengumpulkan sejuta tandatangan orang bukan Islam untuk menolak pindaan akta berkenaan. DAP sejak awal-awal lagi turut mempertikaikan langkah tersebut.

Sepatutnya golongan bukan Islam menghormati setiap institusi berkaitan dengan umat Islam negara ini. Seingat penulis umat Islam di negara kita tidak pernah mempersoalkan atau mempertikaikan hak amalan agama serta kepercayaan lain yang menjadi anutan sesetengah rakyat Malaysia khususnya bukan Melayu.

Terpulanglah kepada mereka untuk amalkan apa yang dikehendaki oleh kepercayaan masing-masing asalkan tidak melanggar Perlembagaan dan undang-undang negara, Dalam pada itu penulis amat mengharapkan pada sesi Dewan Rakyat yang bermula pada 17 Oktober sehingga 24 November akan datang semua Ahli Parlimen beragama Islam daripada semua parti sama ada Barisan Nasional (BN), Pas mahupun parti pembangkang yang lain berjumlah 136 orang bersatu hati menyokong pindaan tersebut selepas dibentang dan dibahaskan.

Pindaan itu hanya memerlukan majoriti mudah iaitu 112 undi bagi membolehkannya diluluskan. Kini tanggungjawab tersebut terletak sepenuhnya di atas bahu mereka. Setiap Ahli Parlimen beragama Islam harus sedar bahawa tanggungjawab agama lebih tinggi kedudukannya daripada politik.

Jangan disebabkan perbezaan ideologi politik mereka mengambil keputusan yang akhirnya merugikan Islam dan umat Islam. Jika itu yang berlaku, percayalah mereka tidak akan terlepas daripada menanggung beban kesalahan itu hingga bila-bila. - Saifulizam Mohamad Utusan Malaysia Rencana 18 Ogos 2016 6:15 PM

Toleransi resam rumah tangga

SETIAP pasangan berkahwin pasti inginkan kemanisan yang berpanjangan dalam rumah tangga yang dibina serta harus bersikap terbuka dan menerima segala perubahan, kelebihan serta kelemahan dengan positif.

Persefahaman dan sikap toleransi suami isteri penting dalam memastikan kerukunan rumah tangga. Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm membincangkan liku hidup berumah tangga dalam topik 'Ramuan kebahagiaan rumah tangga.'


Penciptaan manusia bermula daripada Nabi Adam dan Siti Hawa, membawa kepada sebuah keturunan yang mempunyai jantina lelaki serta perempuan untuk berganding hidup menerusi perhubungan yang halal.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa) dan juga yang membiakkan daripada keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah SWT yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu." (Surah an-Nisa, ayat 1)

Jadikan al-Quran panduan berumahtangga

Garis panduan al-Quran dan sunah disediakan untuk diamalkan oleh pasangan yang menjanjikan kebahagiaan serta kenikmatan lebih besar iaitu syurga yang kekal abadi.

Oleh itu, asas mengukuhkan rumah tangga harus dibina atas dasar iman kerana ia berkaitan niat dan tujuan perkahwinan.

Keimanan yang ada dalam diri adalah sebuah penyatuan antara dua hati pasangan suami isteri. Punca daripada keimanan itu akan melahirkan sifat kesabaran, reda dan kasih sayang.

Pahrol menegaskan, pasangan yang beriman kepada Allah SWT mampu beroleh hubungan yang intim penuh dengan kasih sayang.

Sebelum memulakan kehidupan perkahwinan, permulaan perjalanan hidup perlu dilalui dengan tujuan terlebih dahulu iaitu menjadi hamba Allah SWT serta khalifah di muka bumi.

Asas utama untuk menjadi khalifah ialah melaksanakansuruhan dan meninggalkan larangan Allah SWT serta membuat segala kebaikan.

Oleh itu, tujuan berumah tangga adalah untuk membantu mencapai tujuan hidup pasangan yang dikahwini menjadi hamba Allah SWT yang baik.

Walaupun berlaku beberapa masalah seperti konflik dan ego dalam rumah tangga, suami isteri tidak akan terkesan kepada perkara negatif jika antara mereka mempunyai keimanan yang sentiasa akan merujuk kepada Allah SWT.


Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Syariat adalah peraturan dan hukum dari Allah SWT terbahagi kepada lima bahagian iaitu halal, wajib, haram, sunat dan makruh.

Syariat disediakan oleh Allah SWT akan menjadi penyelesaian terhadap masalah rumah tangga seperti perselisihan faham, konflik dan sebagainya.

Ikut hukum syarak

Rujukan kepada syariat penting buat pasangan suami isteri apabila dihayati, difahami serta diamalkan bagi menyatukan hubungan perkahwinan yang kekal selamanya melalui kesepakatan pendapat berlandaskan hukum syarak.

Pemikiran dan pendapat berlainan antara satu sama lain serta pelaksanaan amalan bertentangan ajaran Islam akan mengundang kepada kejahilan dan kedegilan.

Oleh itu, setiap pasangan haruslah mengutamakan sikap teguran yang baik dan membuat perbincangan untuk menguruskan keserasian jika berlaku masalah.

Keberkatan suami isteri yang menjaga syariat adalah satu penjagaan dari Allah SWT terhadap rumah tangga dan perasaan kasih sayang serta pemikiran akan terus berpandu kepada rasa hati yang tenang serta memperoleh emosi stabil.