August 20th, 2016

Agamawan beri nasihat untuk capai reda Allah

APABILA golongan agamawan dan ilmuwan lambat komen sesuatu isu yang tersebar dalam masyarakat, ramai mengecam, mengutuk dan melabel mereka lembab, tidak responsif dan gagal memandu masyarakat disebabkan asyik terkebelakang langkahnya.

Sebagai contoh, isu skim cepat kaya suatu ketika dahulu. Tetapi, apabila mereka pantas beri panduan, nasihat dan hukum sesuatu isu baharu yang mula tersebar tidak kira besar atau kecil, ramai juga mengecam serta menyuruh sabar dahulu, tambahkan kajian.


Malah, pihak ini meremehkan hasil panduan serta nasihat diberi, dan lebih teruk lagi menuduh ilmuwan itu sebagai gila publisiti dan populariti. Sebagai contoh, dalam isu pengharaman vape. Apabila agamawan beri panduan dalam isu politik dan kenegaraan, jika pandangan itu selari dengan kerajaan, maka akan dituduh sebagai pembodek, dikecam sebagai pemakan 'dedak'.

Namun, apabila ia bercanggah dengan tindakan kerajaan, mereka dilabel sebagai pembangkang, tidak kenang budi, malah ada juga yang diminta tinggalkan sahaja Malaysia. Sebagai contoh dalam isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Apabila beri panduan isu yang tidak berkait dengan politik dan kenegaraan, mereka turut dikecam dan dikutuk kerana penakut, jaga periuk nasi, kononnya hanya berani ulas isu remeh- temeh dan tidak berani ulas isu bersifat kenegaraan.

Realiti kejahilan masyarakat

Keadaan ini hakikatnya adalah realiti kejahilan dalam masyarakat hari ini, tidak kiralah sama ada ia dalam kalangan orang awam kelas rendah, menengah atau tinggi, malah ahli politik. Hasilnya, wujudlah ilmuwan yang muak dengan keadaan ini, lalu lebih selesa berceramah isu tidak kontroversi seperti kekeluargaan, fiqh ibadat, ceramah motivasi serta mencipta lawak ringan yang dijangka mampu menarik masyarakat awam kepada ceramah dan majlis kuliah. Lalu isi kuliah dan ceramah akhirnya nanti tidak lagi dapat rawat permasalahan semasa. Islam tidak lagi kelihatan mampu menjadi penyelesai masalah semasa.

Bagi mengelak situasi itu terus berlaku, beberapa cadangan, ingatan dan nasihat ingin dikongsikan. Ia terpakai kepada diri penulis dan semua pembaca.

* Ilmuwan dan agamawan perlu terus memandu umat dalam ruang kerja yang mereka mampu dan menurut strategi yang mereka yakini. Pedulikan respon tidak konstruktif, asalkan sahaja ia berniat mencapai reda Allah dan membawa manusia ke arah reda-Nya. Abaikan kecaman benci mereka yang tidak tahu hakikat dan data serta fakta. Tidak semua perkara boleh didedahkan kepada awam. Provokasi jika dilayan tetap kurang membawa faedah kepada kedua-dua pihak.

Bahasa cerminan hati

* Sebahagian mereka layak dapat penjelasan, berikan penjelasan yang termampu. Jika mereka ikhlas, insya-Allah ada kebaikannya. Bagi yang berbahasa kesat dan kotor, tergesa mencipta andaian sendiri yang 'jahat', abaikan, lebih baik dek kerana bahasa cerminan kepada hati juga. Hati yang sudah hitam, memang sukar menafsirkan sesuatu kepada kebaikan.

* Bahasa kesat, hinaan dan kotor di media sosial ini tidak membantu sesiapa pun, kecuali menggemukkan dan membesarkan nafsu diri dan menjalankan tugas iblis syaitan sahaja, iaitu sakit hati, pergaduhan dan kebencian tanpa hak. Nabi bersabda: "Jangan katakan celaka syaitan kerana itu hanya akan membesarkannya sehingga besar seperti rumah." (Riwayat Ahmad: Sanad sahih menurut Al-Arnout) Kalau memaki hamun sang iblis syaitan yang jelas akan kejahatannya itupun dilarang (kecuali dalam bentuk nisbahkannya dengan laknat Allah seperti yang diajari Nabi SAW), maka apatah lagi mencela ilmuwan agama dengan sangkaan jahat rekaan sendiri, ia lebih buruk dan berbahaya. Ia hanya akan membesarkan syaitan dalam diri pencela hakikatnya. Nabi bersabda, ertinya: "Tiadalah orang Mukmin itu pencela dan pelaknat, juga bukan pencarut dan berbahasa kotor." (Riwayat Abu Daud, sahih)

* Semua isu yang dinasihati ilmuwan agama dalam hal kehidupan ini jika ia berlandaskan kepada dalil sahih dan logik yang benar, itu adalah besar dan penting belaka. Sesiapa yang meremehkan sesuatu panduan agama adalah sebenarnya golongan yang terpedaya dengan tipu daya iblis. Buktinya, Nabi sendiri telah ajar kita akan hal besar dan kecil sehingga diajar tatacara tidur dan masuk tandas. Juga Baginda juga melarang meremehkan kebaikan hatta ia sekadar simpulan senyum dan keceriaan wajah apabila bertemu saudara Muslim yang lain. Justeru, tiada istilah aib dalam memandu manusia dalam semua urusan besar dan kecil ke arah hidup berlandas agamanya.

Apabila seseorang ilmuwan tidak memberi pandangan dalam sesuatu isu popular dan 'besar' atau yang disukai orang ramai, bukan bermakna dia tidak akan memberi pandangan selama-lamanya. Ada kalanya ia masih dalam kajian dan data belum cukup bagi memastikan pandangan yang akan diberikan itu benar-benar mampu berlaku keadilan. Mungkin juga ia telah disampaikan namun dalam bentuk yang pelbagai tersirat dan tersurat atau kaedah tidak terdedah kepada pengetahuan awam.

* Tidak semua isu memerlukan ilmuwan agama mengulas. Mereka saling melengkapi, tidak semua perlu jadi hero dalam setiap satu isu dan urusan.

Akhir sekali, artikel ini bukan luahan kesedihan, rengekan atau aduan manja kerana seolah dikecam dan 'dipukul' dari semua sudut oleh orang awam. Namun, mesejnya adalah untuk mendidik masyarakat cara menentukan sikap, berfikir, bertindak dan bercakap dengan betul. Masyarakat kita kelihatan semakin teruk gaya fikirannya, percakapan dan cara bertindaknya. Ini yang perlukan nasihat dan ingatan agar artikel ini mampu jadi bahan berfikir.