August 21st, 2016

Allah sengaja tangguh azab

REALITI yang berlaku kini, perbuatan maksiat tidak lagi dapat lari daripada berlaku di depan mata. Bukan sahaja di negara bukan Islam, malah majoriti penduduk umat Islam juga dilihat melakukan pelbagai amalan menyalahi perintah agama secara terbuka, langsung tanpa rasa bersalah, seakan-akan telah sebati dalam diri.

Pensyarah Madrasah Darul Uloom Zakariyya, Afrika Selatan, Sulaiman Moola berkata, Allah SWT boleh memberi balasan secara terus atau menurunkan azab kepada pelaku maksiat pada bila-bila masa sahaja, namun sengaja menangguhkannya.


Setiap hari manusia melakukan maksiat tetapi Allah masih memberikan mereka rezeki, kesihatan dan pelbagai nikmat lain. GAMBAR HIASAN

Ini tambahnya, kerana sifat Halim yang ditunjukkan oleh Allah iaitu bermaksud Maha Penyantun atau Lemah Lembut kepada seluruh manusia dan makhluk lain tidak berdosa di muka bumi.

“Manusia menyekutukan Allah, tanpa rasa bersalah dan takut melakukan maksiat seakan-akan mencabar Allah. Bukan baharu, tetapi sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi, orang kafir sentiasa mencabar baginda untuk menunjukkan azab Allah sebagai bukti kenabian.

“Diceritakan, Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang kafir: “Jika benar engkau seorang nabi, tuhan kamu (Allah) sudah tentu akan mengazab kami kerana sering menghina kamu. Sebaliknya, tetapi tiada apa yang berlaku atau bencana menimpa kami? Jika tuhan kamu tidak suka dengan apa yang kami lakukan, sudah tentu Dia akan mencegah kami, kenapa tidak?

“Lalu Rasulullah SAW menjawab, “kamu semua telah melakukan dosa, tetapi Allah juga mempunyai ‘tetamu’, kerana itu Allah tidak menghancurkan kamu,” katanya dalam satu ceramah terbuka.

Dilahirkan pada 1975, Sulaiman mendapat didikan agama sejak kecil. Pada usia 14 tahun, beliau telah menghafal seluruh al-Quran sebelum melanjutkan pelajaran dalam pengajian Islam termasuk ilmu Tafsir, Hadis, Akidah, Fikah dan Bahasa Arab.

Mendapat tajaan daripada organisasi Muslim World and the West, Sulaiman turut aktif menyebarkan dakwah ke seluruh dunia termasuk di Asia Barat, Afrika, Asia Tenggara dan negara-negara Barat.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, ulama mentafsirkan ‘tetamu’ Allah dimaksudkan adalah bayi masih menyusu, anak-anak kecil dan segala makhluk lain yang terdapat di bumi termasuk haiwan dan tumbuh-tumbuhan di laut.

“Allah mampu menurunkan azab, menghukum dan menghancurkan pada bila-bila sahaja kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, tetapi Allah menahan diri-Nya dan sengaja membiarkan. Ini bagi menyantuni makhluk lain yang tidak berdosa.

“Seorang ulama pernah berkata, “ketika gempa bumi terjadi, sesungguhnya ia adalah ketentuan Allah, bukan kerana bumi terlepas daripada kendalian-Nya. Jangankan manusia, jumlah semut yang akan mati dalam gempa bumi itu pun sudah ditentukan dan ditetapkan oleh Allah,” jelasnya.

Beliau berkata, bencana banjir besar atau tsunami melanda Banda Aceh yang mengorbankan nyawa dan harta benda sehingga menjadi padang jarak padang tekukur perlu dijadikan iktibar tentang dahsyatnya kekuasaan Allah.

“Ketika itu, saya berada di Kanada sebelum berangkat ke Amsterdam pada esoknya. Saya membaca akhbar dan mendapati kejadian bencana itu menjadi fokus utama hampir kesemua agensi berita seluruh dunia.

“Apa yang menarik perhatian saya adalah artikel mengenai seorang wanita yang berkata, “Tuhan, kami tidak berbuat salah kepada-Mu, mengapa Kau menurunkan bencana ini kepada kami? Dalam kejadian itu, bukan sahaja manusia, tetapi semua makhluk di sana musnah dan terkorban.

“Setiap hari manusia melakukan maksiat tetapi Allah masih memberikan mereka rezeki, kesihatan dan menganugerahkan pelbagai nikmat lain. Ini bagi memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat dan insaf daripada dosa yang dilakukan,” ujarnya.

Sulaiman berkata, ia sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Jika Allah menghukum manusia kerana kezaliman, nescaya tidak akan ditinggalkan satu pun kehidupan di bumi, tetapi Allah menangguhkan sehingga sampai waktu yang ditentukan,” (an-Nahlu :61)

-

Kesedaran dan makna dalam kehidupan

Kehidupan seseorang itu bermula apabila kita dilahirkan pada tarikh tertentu oleh seorang ibu, hasil daripada perkongsian hidup sepasang suami isteri, yang merupakan ibu dan ayah kita. Lalu diberikan nyawa dan kesihatan untuk hidup oleh Allah SWT. Alangkah baiknya jika kita fikir mengapa Allah menjadikan kita, dan renungkan apa erti hidup ini?

Manusia akan melalui lima peringkat kehidupan. Pertama, alam roh. Sebelum kita dilahirkan roh sudah ditetapkan, akan dimasukkan ke dalam jasad. Dalam alam roh kita berjanji dengan Allah kita akan taat. Kedua, kita berada dalam peringkat alam rahim. Roh kita dimasukkan ke dalam janin yang berada dalam rahim ibu kita. Ketiga, apabila kita dilahirkan kita akan berada di alam fana atau alam nyata ini. Keempat, kita akan berada di alam barzakh apabila sampai waktunya kita mati. Kelima, apabila hari kiamat tiba itulah destinasi hidup kita yang sebenar, dan disoal apakah tingkah laku dan amalan kita semasa hidup di dunia.

Jom audit diri dan renunglah diri kita sendiri, kita sedang berada dalam peringkat kehidupan yang mana kini? Kalau kita masih berada di peringkat kehidupan ketiga, iaitu berada di dunia sementara ini, lihatlah cara kehidupan yang kita telah lalui. Adakah kita asyik terpesona dengan dunia yang akan kita tinggalkan ini, dengan sibuk mengumpul harta kekayaan, mengejar pangkat atau kedudukan, sibuk dengan urusan duniawi hingga melupakan persediaan membawa bekalan amal untuk kehidupan akhirat kekal abadi.

Apakah makna dalam kehidupan? Cuba kita ingat semasa kecil dahulu, semua orang akan bertanya kepada kita, “Apakah cita-cita awak?” Di sekolah pun kita akan ditanya tentang cita-cita. Tidak ada orang yang akan bertanya, “Apakah makna dalam hidup?” Perkara ini berlaku kerana, semasa kecil dahulu hingga usia kita 40 tahun, biasanya kesedaran hidup lebih kepada duniawi.

Manfaat

Pada waktu itu yang manusia lihat, adalah pencapaian luaran atau fizikal yang dinilai dengan mata fizikal kita sahaja. Contohnya kalau kita sebagai anak mendapat banyak A dalam mata pelajaran ibu ayah akan berbangga, berpuas hati dan memuji kita. Kalau kita sudah mula timbul kesedaran bahawa hidup ini hanya sementara, segala yang kita rebutkan, yang kita usahakan dan yang kita banggakan itu semuanya akan ditinggalkan, ertinya hati kita sudah ada kesedaran akan makna dalam kehidupan. Cita-cita kehidupan, nilainya lebih untuk pandangan manusia melalui pandangan mata fizikal dengan niat dan tujuan untuk kepuasan diri sendiri. Tetapi, makna kehidupan, lebih untuk pandangan Allah, datang dari mata hati, dengan niat memberi manfaat kepada orang lain.

Makna kehidupan juga bermaksud apakah yang tersirat di sebalik yang tersurat (apa-apa yang berlaku). Contohnya jika kita mendapat sesuatu yang negatif, cari makna kepada kehidupan kita daripada peristiwa negatif itu. Jangan terus marah, kecewa, sedih dan berputus asa. Tetapi, terus bertanya kepada diri kita, apakah pelajaran yang kita dapat daripada peristiwa negatif itu, dan adakah perkara negatif ini semakin mendekatkan diri kita kepada Allah atau sebaliknya?

Sangat penting untuk kita memahami akan kehidupan ini. Kita kena faham, kita adalah roh yang diletakkan dalam fizikal kita yang sementara, yang akan sentiasa berubah. Wajah kita 10 tahun lalu tidak sama dengan wajah kita kini. Sebab organ fizikal kita sentiasa berubah. Bayangkan sel di tubuh kita ini, tidak ada yang sama jika kita bandingkan dengan tujuh tahun yang dahulu, sebab sel kita sentiasa akan tumbuh yang baharu. Dalam perut kita ini ada satu lapisan sel yang akan berubah setiap lima hari. Sel darah merah kita juga akan bertukar setiap 120 hari. Kalau kita melihat diri kita di cermin, tubuh kita yang kita lihat di cermin itu adalah fizikal kita yang selalu berubah. Diri kita yang sebenar ialah roh kita, yang melihat diri kita dalam cermin.

Cuba renung dalam kehidupan kita ini, adakah kita lebih sibuk hendak mencantikkan diri (fizikal) atau kita lebih sibuk mencantikkan roh, hati dan jiwa? Dalam kehidupan ini ada dua jenis kehidupan. Pertama, seorang yang selalu hidupnya susah hati, sakit hati, bimbang dan risau. Perkataan yang selalu dan suka disebut; kalau, tetapi, susah, payah, serabut, menyampah dan benci. Orang yang begini kehidupannya, tidak sihat, duit pun tidak banyak, isteri/suami memberi masalah, anak-anak pula degil dan tidak berapa berjaya, tidak habis-habis dengan masalah. Kedua, seorang yang hidupnya, sentiasa tenang, bahagia, baik dan ceria suami/isteri, anak-anak berjaya dan apabila kita bercakap dengannya muka sentiasa senyum. Perkataan yang selalu diucapkan alhamdulillah dan syukur. Sangat bahagia dan murah hati.

Kita akan temui dua jenis kehidupan orang yang berbeza, sedangkan kalau dilihat dari segi fizikal, sama sahaja. Biasanya semua orang ada mata, telinga, hidung, tangan dan kaki (semua anggota badan yang lengkap). Kadang-kadang dua jenis manusia ini, duduk di kampung yang sama, mungkin di dalam rumah yang sama atau mungkin di dalam bilik yang sama, tetapi apakah yang membezakan mereka, sehingga kehidupan mereka menjadi berbeza. Ingatlah, yang membezakan mereka adalah pemikiran mereka atau cara mereka berfikir. Sebab sesiapa yang berfikiran sangat positif, emosi mereka juga sangat positif dan sangkaan mereka juga positif.

Maka tindakan mereka positif. Apabila tindakan positif, hasil kehidupan mereka juga sangat positif, mereka akan sihat, tenang, bahagia, kaya ada segala-gala. Sebab itu kalau kita betulkan fikiran kita, maka betullah kehidupan kita. Tetapi mereka yang berfikiran negatif, tindakan negatif, jangkaan dan sangkaan negatif, emosi sentiasa negatif, akhirnya tindakan pun negatif dan hasil kehidupan negatif. Sebab apa yang kita beri itu yang kita dapat.

Jika kita berada dalam jenis kehidupan negatif berubahlah kepada kehidupan positif. Cara untuk mengubahnya, adalah dengan mengubah cara pemikiran kita (“Reset Minda”). Banyak orang suka memakai baju cantik, tetapi tidak banyak orang hendak menggunakan pemikiran yang cantik. Refleksi diri bagaimana fikiran dan emosi kita. Kalau hasil kehidupan tidak seperti yang kita kehendaki, maka kita ubah. Jika kita berubah, orang sekeliling kita juga akan berubah. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”. - Dr. Muhaya Muhammad Utusan Malaysia Rencana 21 Ogos 2016 6:21 PM