August 31st, 2016

Sambutan kemerdekaan menyatukan umat, Membudayakan usrah dalam masyarakat

Membudayakan usrah dalam masyarakat

PENDEKATAN secara usrah bukanlah suatu yang asing di Malaysia. Usrah yang berasal daripada perkataan Arab bererti keluarga adalah hasil usaha gerakan dakwah bagi meningkatkan lagi kefahaman Islam khususnya dalam kalangan masyarakat Islam negara ini.

Sejarah menunjukkan kaedah usrah ini telah dimulakan oleh Rasulullah SAW dalam menjayakan misi dakwah baginda kepada umat ketika itu.

Hari ini kita dapat lihat bagaimana suburnya usrah ini dihidupkan di pelbagai peringkat. Contohnya di sekolah-sekolah terutamanya sekolah agama dan juga di institusi pengajian tinggi. Malah di era kini usrah juga diadakan dalam media sosial.

Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) turut mempelopori kaedah usrah dalam memberikan kefahaman tentang Islam melalui segmennya Usrah Nurani yang diadakan setiap petang Jumaat. - Muhamad Ammar Abdul Mutalib Utusan Malaysia Rencana Agama 30 Ogos 2016 6:27 PM


Sambutan kemerdekaan menyatukan umat

KITA menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun setelah British secara rasminya menyerahkan tampuk pemerintahan Tanah Melayu kepada rakyat tempatan pada 31 Ogos 1957. Sebagai masyarakat pasca merdeka dan bebas daripada penjajahan kuasa asing, kita menyambut hari berkenaan dengan tujuan mengenang kembali jasa tokoh-tokoh yang telah berjuang untuk memerdekakan tanah air.

Tokoh-tokoh ini seperti negarawan ulung Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, seorang tokoh yang berjaya mendapatkan kemerdekaan negara melalui meja rundingan tanpa penumpahan darah, Mat Kilau, seorang pahlawan Melayu terkenal daripada Jerantut Pahang yang disegani kerana perjuangannya menentang British, Tok Janggut iaitu seorang tokoh agama dan pejuang dari Kelantan yang disegani khalayak ramai dan lain-lain tokoh lagi.

Tanpa menafikan pengorbanan bangsa lain dalam menentang pencerobohan dan penjajahan asing Siam, Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan komunis ke atas Tanah Melayu, sejarah menyaksikan bahawa mereka yang gugur dan berjuang melawan penjajah kebanyakannya orang Melayu. Tokoh-tokoh ini sanggup menggadai nyawa demi sebuah kemerdekaan. Perjuangan mereka menempuhi liku-liku kesusahan, perit dan penuh dengan pengorbanan.

Sebagai masyarakat pasca merdeka, kita menikmati hasil perjuangan tokoh-tokoh kemerdekaan ini. Kita akhirnya hidup tanpa dijajah dalam sebuah negara berdaulat lagi merdeka.

Walaupun begitu, da­lam kemajuan dunia mo­den tanpa sempadan, ma­syarakat harus ingat bahawa erti penjajahan tidak lagi terhad kepada penjajahan berbentuk geografi semata-mata. Bahkan kini wujud penjajahan dalam pelbagai bentuk. Penjajahan mo­den termasuk dalam aspek pemikiran, ekonomi, politik dan juga sosial yang membawa kepada perpecahan umat. Pihak berkepentingan sentiasa mencari peluang untuk melihat kehancuran umat dan masyarakat. Mereka akan melakukan apa sahaja dalam misi dan visi penjajahan berbentuk moden ini. Salah satunya adalah melalui perpecahan umat Islam.

Perpecahan dan pergeseran sesama umat adalah antara faktor utama membawa kepada kelemahan dan kemunduran mereka. Faktor perpecahan ini boleh menyebabkan umat menjadi terjajah semula secara langsung atau pun tidak. Ini kerana dengan faktor ketidakmuafakatan sesama umat, maka mereka akan menjadi lemah dan tidak ada kuasa dominan dalam masyarakat. Pihak berkepentingan lain akan mudah mengambil kesempatan untuk menguasai dan mengambil peluang. Kepimpinan masyarakat akhirnya boleh tergadai di tangan pihak lain.

Kejadian yang berlaku di luar negara khasnya di tanah Arab patut menjadi teladan yang besar kepada masyarakat kita. Sebagai contoh, Iraq menjadi huru-hara akibat perselisihan di antara golongan Syiah dan Sunni serta pelbagai puak lagi. Faktor ini mendorong campur tangan kuasa asing atas alasan tertentu. Begitu juga di Syria, pergolakan masih berlaku sesama umat Islam di sana. Ini disebabkan perbezaan ideologi dan demi menjaga kepentingan puak masing-masing. Umat Islam di Palestin turut berpecah kepada kalangan penyokong Hamas dan Fatah.

Sehingga sekarang, kehidupan umat Islam di negara-negara ini masih terjajah dalam pelbagai bentuk. Segala-galanya disekat termasuklah amalan agama dan rutin kehidupan harian. Aktiviti ekonomi, pertanian dan sosial menjadi terhad.

Perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada kebanyakan kes berpunca daripada pergese­ran dalam kalangan mereka sendiri. Ini disebabkan pelbagai faktor khasnya dalam isu cabang dan ranting. Disebabkan isu-isu yang kecil ini, umat Islam hidup sesama mereka bagai kucing dengan anjing yang bergaduh dari semasa ke semasa.

Perbuatan negatif ini perlu dielakkan dalam kalangan umat di tanah air. Perbalahan dan perselisihan yang berlaku dalam kalangan kita tidak kira dalam politik, agama dan lain-lain jika dibiarkan berlarutan akan memberi kesan buruk kepada maslahah umat dan ­generasi masa depan khasnya, serta masyarakat keseluruhan amnya. Ahli Majlis Fatwa Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman Saloomi dalam ucapannya bertajuk “ Kepimpinan Sesebuah Negara Melalui Kekuatan Bangsanya” di Putrajaya baru-baru ini turut berkata sikap terlalu fanatik terhadap parti tertentu yang mewujudkan perpecahan dan permusuhan, sekali gus menyebabkan umat Melayu dan Islam yang dominan di negara ini menjadi lemah.

Jalan terbaik adalah umat Islam perlu mencari titik perpaduan dan kesatuan dalam kalangan mereka. Perpaduan dan kesatuan membawa erti menjadi satu, kukuh dan utuh bermuafakat dan berunding dengan bersungguh-sungguh. Apabila mereka berada di landasan yang sama maka keseluruhan masyarakat juga turut berada di landasan yang baik dan dapat hidup sejahtera.

Kesatuan umat dapat dibentuk apabila mereka kembali berpegang kepada ajaran Islam yang mementin­gkan kesatuan dan jemaah. Dalam konteks ini Saidina Omar al-Khattab r.a. pernah berkata: “Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, bila kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka kita akan dihina oleh Allah”.

Kita perlu menghayati perjuangan tokoh kemerdekaan dahulu yang tidak lari daripada prinsip hidup beragama. Jati diri hidup mereka terbina ber­asaskan nilai Islam. Kekuatan rohani ini akhirnya dapat membawa kesatuan yang memerdekakan mereka daripada segala bentuk penjajahan.

- Mohamad A’si M Ismail Utusan Malaysia Rencana 29 Ogos 2016 6:30 AM

Islam amat memuliakan wanita

ORANG yang membaca sejarah Islam dan meneliti kedudukan wanita dalam syarak akan sedar betapa mulia­nya kaum hawa ini di sisi Islam. Namun para orientalis Barat dan juga mereka yang tidak faham mengenai Islam mendakwa bahawa Islam adalah agama yang kolot yang memenjarakan serta mengikat kebebasan wanita dan tempat wanita hanya di rumah. Mereka tidak dibenarkan keluar melainkan menziarahi kubur. Dakwaan ini sama sekali tidak berasas dan hanya bertunjangkan kepada akal mereka yang lemah dan dipenuhi najis kejahilan.


SEORANG jemaah menangis ketika menunaikan Solat Istisqa (solat Minta Hujan) di perkarangan Kampus Yayasan Hospital Islam Pontianak, Kalimantan Barat, Rabu lalu. - ANTARA

Gambaran asas akan kedudukan wanita digariskan oleh al-Quran iaitu menjadikan lelaki dan wanita sebagai dua gandingan bersepakat dalam memikul tanggungjawab yang besar dalam kehidupan Islam iaitu urusan dalam menunaikan ­konsep ‘amar makruf nahi mungkar‘ (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran). Ini dapat dilihat melalui maksud ayat 71 surah at-Taubah: “Dan mereka yang beriman lelaki dan perempuan sebahagian mereka (adalah) menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah daripada yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”

Dalam merealisasikan asas yang disebut dalam ayat tersebut maka tercatat dalam sejarah Islam di mana ada seorang wanita telah mengkritik pendapat Saidina Umar al-Khattab dalam masjid ketika beliau berucap atas mimbar. Kritikan wanita itu menyebabkan beliau menarik pendapatnya mengenai penetapan kadar mas kahwin dan menerima kenyataan yang dikeluarkan oleh wanita tadi. Beliau selepas itu menyatakan kepada orang ramai : “Telah benar wanita ini dan telah salah Umar!”.

Sabda Nabi SAW : “Menuntut ilmu itu fardu ke atas setiap Muslim”. (Riwayat Ibnu Majah) - Para ulama bersepakat bahawa maksud sebenar hadis ini menjelaskan terminologi ‘Muslim’ adalah turut merangkumi kaum wanita sehingga wanita juga diwajibkan membetulkan akidah, cara beri­badat memperelokkan akhlak dengan adab Islam pada pemakaian, perhiasan dan sebagainya agar tidak terkeluar daripada garisan Islam. Kewajipan menuntut ilmu ini juga bertujuan memastikan wanita sentiasa berada dalam garisan Islam pada perkara halal dan haram, tanggungjawab dan kewajipan sehingga Islam membenarkan kaum itu belajar sampai ke tahap mampu berijtihad.

Dalam fiqh ada disebut tidak boleh seorang suami melarang isterinya daripada menuntut ilmu yang wajib sekiranya dia sendiri tidak mampu untuk mengajar isterinya. Suami juga tidak boleh mengabaikan kewajipan menuntut ilmu terhadap isterinya. Sementara itu, isu solat berjemaah tidak diwajibkan kepada kaum wanita walaupun ia diwajibkan kepada lelaki juga adalah satu lambang kemuliaan kepada wanita, ini kerana solat wanita di rumah lebih afdal bersesuaian dengan keadaan mereka untuk elak daripada fitnah tetapi Islam juga menggariskan kaum lelaki tidak boleh melarang kaum wanita daripada datang solat berjemaah di masjid. Ini diambil daripada sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Ibnu Umar yang bermaksud :“Jangan kamu menegah orang menuju Allah ke masjid-masjid Allah.”

Dakwaan Islam mengurung wanita di dalam rumah juga tidak tepat kerana wanita juga diharuskan keluar daripada rumahnya untuk menunaikan hajatnya sendiri atau pun hajat suami dan anaknya seperti keluar ke kebun, sawah dan juga pasar. Ini dapat diambil daripada kata-kata Asma Abu Bakar : “Aku telah menjunjung tamar atas kepalaku dari tanah az-Zubair(suaminya) dan ia dari Madinah kira-kira satu pertiga farsakh ( kiraan lama )”.

Bahkan dalam urusan paling besar bagi sebuah negara Islam iaitu jihad, wanita diharuskan keluar bersama-sama tentera dalam peperangan bagi menjalankan tugas merawat dan membantu mereka cedera dan juga tugas yang seumpamanya yang sesuai dengan fitrah dan kemampuan mereka. Imam Ahmad dan Bukhari telah meriwayatkan daripada ar-Rubai Mu’awwiz al-Ansariah telah berkata : “Adalah kami berperang bersama Rasulullah SAW dalam memberi minum kepada kaum dan memberi khidmat serta membawa pulang mangsa yang terbunuh dan cedera ke Madinah“.

Diriwayatkan daripada imam Ahmad dan Muslim daripada Ummu ‘Atiyyah telah berkata : “Aku telah berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak tujuh ­peperangan. Aku berada di belakang mereka dalam perjalanan, aku menyediakan bagi mereka makanan, aku merawat orang cedera dan aku mengerjakan masa diperlukan”.

Ini adalah kerja-kerja yang sesuai dan bertepatan dengan fitrah wanita dan tugas mereka manakala kerja mengangkat senjata dan berperang itu bukanlah daripada tugas kaum wanita melainkan jika tenaga mereka begitu diperlukan dalam keadaan tertentu. Ketika ini barulah mereka dibenarkan untuk bersama dengan lelaki dalam berperang menentang musuh setakat yang mampu. Ini pernah berlaku dalam sejarah Islam yang mana pada suatu hari Ummu Salim telah mengambil pisau besar dalam peperangan Hunain. Apabila suaminya Abu Talhah bertanya kepadanya maka dia menjawab : “Aku mengambilnya adalah bertujuan jika ada sesiapa daripada musyrikin yang mara ke arahku nescaya aku akan tikam perutnya”.

Ummu Amarah al-Ansariah pula telah ditimpa percubaan yang baik pada peperangan Uhud sehingga Rasulullah SAW memujinya. Dalam peperangan ­memerangi kaum yang murtad pada zaman Saidina Abu Bakar pula, dia menyaksikan serta menyertai peperangan itu sehingga matinya Musailamah al-Kazzab. Dia pulang dan ditubuhnya mempunyai sepuluh kesan luka akibat daripada peperangan itu.

Berkesinambungan daripada semua kisah ini dapatlah kita fahami bagaimana Islam tidak pernah menafikan hak wanita bekerja, menuntut ilmu dan keluar dari rumah disebabkan menjalankan tugas yang sesuai dengan mereka. Islam tidak pernah memenjarakan wanita di ceruk dapur dan menjadikan mereka sebagai perhiasan. Ini kerana Islam melihat betapa pentingnya kebebasan selagi mana tidak bertentangan dengan syarak dan juga peranan wanita yang begitu penting dalam masyarakat terutama dalam membina generasi mendatang.