September 3rd, 2016

Istimewanya air zam-zam

DARIPADA Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik air di permukaan bumi ialah air zam-zam, padanya terdapat makanan yang menyegarkan dan padanya terdapat penawar bagi penyakit.”

Kehadiran air zam-zam adalah lambang kekuasaan Allah SWT melalui peristiwa Nabi Ismail a.s dan ibunya Siti Hajar.

Justeru, tidak hairanlah umat Islam diseru untuk meminum sebanyak mungkin air tersebut apabila berada di Tanah Suci. Mereka juga disunatkan membawa pulang ke tanah air masing-masing.


TELAGA asal air zam-zam yang kini ditempatkan di Muzium Mekah.

Rasulullah SAW merupakan orang pertama membawa air itu keluar dari kota Mekah, iaitu untuk ke Madinah. Bagi memastikan keaslian dan memudahkan umat Islam mendapat air tersebut, kerajaan Arab Saudi melaksanakan Projek Air Zam-Zam Raja Abdullah Ibn Abdul Aziz.

Projek yang dilaksanakan di daerah Kudai, Mekah itu melibatkan peruntukan sebanyak SR700 juta (RM850 juta) yang ditaja sepenuhnya oleh baginda.

Loji pemprosesan dan pembotolan air yang terletak kira-kira empat kilometer dari Masjidilharam mampu membotolkan sebanyak 200,000 botol air zam-zam berkapasiti 10 liter.

Keistimewaan air zam-zam

Melalui sabda Rasulullah SAW dan penjelasan ulama, air zam-zam memiliki keberkatannya, antara dalil-dalil berhubung perkara itu ialah:


GAMBAR lama menunjukkan suasana sekitar Masjidilharam di kawasan telaga zam-zam ditemukan.

“Daripada Jabir dan Ibnu ‘Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda,” Air zam-zam tergantung niat orang yang meminumnya.”

Ibnu Taimiyyah berkata, “Seseorang disunatkan untuk meminum air zam-zam sampai benar-benar kenyang, dan berdoa ketika meminumnya dengan doa-doa yang dikehendakinya. Tidak disunatkan mandi dengannya (menggunakan air zam-zam)

Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. Rasulullah SAW bersabda : “Air zam-zam sesuai dengan niat ketika meminumnya. Bila engkau meminumnya untuk ubat, semoga Allah menyembuhkanmu. Bila engkau meminumnya untuk menghilangkan dahaga, semoga Allah menghilangkannya. Air zam-zam adalah galian Jibril a.s. dan curahan minuman daripada Allah kepada Ismail a.s.”

TANDA bulatan menunjukkan kedudukan asal telaga zam-zam yang terletak berhampiran Kaabah

Ibnu Abbas r.a berkata : “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Kami menyebut air zam-zam dengan syuba’ah (yang mengenyangkan). Dan kami juga mendapatkan, air zam-zam adalah sebaik-baik pertolongan (keperluan atas kemiskinan).”

Manfaat kepada manusia seluruh dunia

Sejak projek itu dibuka, sebanyak 125 juta padu gelen air zam-zam telah dibotolkan bagi kegunaan umat Islam seluruh dunia. Air suci umat Islam yang tiada tarikh luput penggunaannya itu dibawa ke kilang melalui saluran paip sepanjang 4,000 meter dari telaga asalnya di Masjidilharam.

Kemudian air zam-zam itu melalui tiga kali tapisan sebelum dibotolkan dan dihantar ke Madinah setiap hari dengan 10 buah treler.

Ketika musim haji, jemaah akan diberikan lima liter air zamzam oleh kerajaan Arab Saudi untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Zam-zam merupakan punca mata air yang terletak di kawasan Masjidilharam, iaitu di sebelah tenggara Kaabah yang dikatakan berkedalaman 42 meter.

Menurut riwayat, mata air tersebut ditemukan pertama kali oleh Siti Hajar setelah berlari antara Bukit Safa dengan Bukit Marwah apabila Ismail a.s, putera Siti Hajar mengalami kehausan di tengah padang pasir kira-kira 4,000 tahun lalu.

Bagi umat Islam yang menunaikan haji mahupun umrah, mereka sama sekali tidak akan melepaskan peluang untuk meneguk air zam-zam. Malah pelbagai gelagat dapat melihat. Ada antara mereka menggunakan air zam-zam untuk berwuduk selain membasahkan kain ihram.

Apa yang menarik kerajaan Arab Saudi menyediakan banyak tempat di sekitar Masjidilharam bagi memudahkan umat Islam mendapatkan air tersebut.

Gandakan amalan 10 awal Zulhijjah, Menanti detik penting jemaah haji

Menanti detik penting jemaah haji

TIDAK sampai seminggu sahaja lagi, jemaah haji dari seluruh ­dunia akan bergerak bagi ­melaksanakan wukuf di ­padang Arafah. Mengikut jadual mereka akan mula memasuki kawasan tersebut pada 8 Zulhijjah bersamaan 9 September. Wukuf di Arafah adalah kemuncak haji dan rukun haji yang kedua tetapi paling utama berbanding rukun haji lain.

Rasulullah SAW bersabda: “Haji itu adalah hari Arafah, sesiapa yang sempat berwukuf pada malam Arafah sehinggalah terbitnya fajar maka dia telah menunaikan ibadah haji.”

Dalam sebuah lagi hadis Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang tidak sempat berwukuf di Arafah maka perlulah dia mengulangi hajinya pada tahun berikutnya dan haji itu (tanpa berwukuf di Arafah) hanya dinilai sebagai umrah.”

Atas sebab itulah dalam menanti hari wukuf jemaah haji ­sering diingatkan supaya terus menjaga kesihatan dan berdoa kepada Allah untuk dijemput ke padang Arafah. Dalam tempoh tidak sampai seminggu, jemaah haji sepatutnya melakukan persiapan mental dan fizikal kerana di Arafah kesabaran dan ketahanan mereka akan diuji.

Mengulas perkara ini, Pe­ngarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah berkata, semua jemaah perlu menganggap berwukuf di Arafah adalah perjuangan pertama dalam me­laksanakan ibadah haji.

“Sebab itulah kita galakkan jemaah haji supaya mereka berdoa kepada Allah dengan membersihkan segala-gala dosa kita supaya senang ke Arafah,” katanya dalam pertemuan dengan penulis.

Mungkin bagi sesetengah ­jemaah haji, mereka menganggap apabila sudah sampai ke tanah suci, sudah pasti mereka akan dapat melaksanakan perkara wajib haji termasuklah berwukuf di Padang Arafah, namun mereka tidak harus melupakan bahawa segala-galanya Allah yang menentukannya.

Justeru seperti mana nasihat Tengku Aziz apabila tiba di tanah suci, jemaah haji perlu mem­punyai satu perasaan takut iaitu tidak dijemput oleh Allah untuk ke Arafah.

“Kita tidak mahu nama kita ‘tercicir’ ke Arafah seperti sakit sebelum wukuf tetapi sihat selepas wukuf berakhir, justeru mereka perlu banyak berdoa kepada Allah,” katanya.

Sememangnya bukan sahaja jemaah haji malah seluruh umat Islam menanti hari Arafah. Ini memandangkan mereka berpeluang mendapat kelebihan pada 10 hari awal Zulhijjah.

Selain ibadah korban yang dilaksanakan pada 10 Zulhijjah dan hari-hari tasyrik, umat Islam disunatkan berpuasa pada 9 Zulhijjah.

Rasulullah SAW bersabda: “Ketika puasa pada hari Arafah, aku berharap Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa setahun yang lepas dan dosa-dosa setahun yang akan datang. (Hadis riwayat Muslim). Jemaah haji yang berada di Arafah pada 9 Zulhijjah disunatkan memper­banyakkan zikir, tahlil, tasbih, takbir dan berdoa kepada Allah SWT memohon kesejahteraan hidup di dunia dan akhir.

Sesungguhnya berada di Arafah ketika hari wukuf adalah detik amat penting kepada jemaah-jemaah haji. Justeru mereka harus bersedia untuk berada di kawasan yang dianggap gambaran Padang Masyar.

Hanya tinggal tujuh hari sahaja lagi untuk mereka memastikan kehadiran ke tanah suci tidak menjadi sia-sia kerana tidak dijemput oleh Allah berwukuf di Arafah. Ingatlah di Arafah inilah Rasulullah SAW menyampaikan khutbah baginda yang terkenal dengan nama khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Ini memandangkan tidak lama kemudian setelah menyampaikan khutbah itu baginda wafat.

Pada ketika itulah turunnya firman Allah SWT dalam surah al-Maa’idah ayat 3 yang bermaksud: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Aku reda Islam itu menjadi agama bagimu...” .

Oleh itu, banyak-banyak berdoa supaya akan diberikan ke­sempatan berwukuf di Arafah. Jangan leka atau terus dibuai dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan matlamat sebenar mereka menjejak kaki ke tanah suci.


Gandakan amalan 10 awal Zulhijjah

Hari ini adalah hari terakhir bulan Zulkaedah. Maknanya, mulai esok kita mula masuk ke bulan Zulhijjah yang juga dikenal sebagai bulan haji. Untuk itu, kita doakan agar semua dhuyufurrahman (tetamu Allah) diberi kesihatan yang baik seterusnya dapat melaksanakan rukun Islam kelima dengan sempurna. Seterusnya beroleh haji mabrur.

Bagi kita yang berada di tanah air, marilah merebut beberapa peluang yang disediakan untuk mendapat keredaan Allah dan pahala amalan dalam 10 hari pertama Zulhijjah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu”. (Riwayat al-Bazzar)

Antara amalan yang amat digalakkan sepanjang 10 awal Zulhijjah adalah berzikir (Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar). Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu. (al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ sebagai 10 hari awal Zulhijjah dan inilah pendapat majoriti ulama. Amalan yang kedua adalah puasa. Umat Islam yang tidak menunaikan fardu haji amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah. Tarikh 9 Zulhijjah iaitu Hari Arafah pula adalah hari terbaik berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah.” (Riwayat Muslim) Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

Ketiga, melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan sebagainya.

Seterusnya, menjauhi maksiat. Peluang berada dalam 10 hari awal Zulhijjah adalah masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih menangguhkannya. Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan me­lampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarlah bahawa hidup ini hanyalah sementara dan seluruh keseronokan itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Kelima adalah takbir: Saidina Ali menunjukkan bahawa takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tasyrik.

Yang terakhir adalah ibadah korban. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah, rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. (al-Hajj: 34)

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilak­sanakan seusai solat Hari Raya Aidiladha sehinggalah akhir hari Tasyriq. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri memotong rambut dan kuku bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai menjalankan ibadat korban.

Ia berdasarkan hadis nabi SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin menyembelih (korban), dan telah masuk 10 awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban itu dilaksanakan.” (Riwayat Muslim)

Justeru, majoriti ulama mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh bagi yang me­langgarnya. Bagaimanapun ia tidaklah termasuk dalam kategori haram. Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan ibadah-ibadah lain yang wajib.

- Al-Bayan Mohd Radzi Mohd Zin Utusan Malaysia Rencana 02 September 2016 6:15 PM

Jangan sesekali 'runtuhkan' tiang agama

TEMPOH masa bagi solat subuh bermula ketika azan dilaungkan sehingga sebelum matahari mula terbit. Dengan kata lain, hanya dalam tempoh kira-kira sejam selepas azan dilaungkan.

Namun disebabkan waktu solat itu berada dalam zon kesibukan manusia mengendalikan urusan dunia dan juga kesukaran untuk bangkit daripada lena tidur, maka solat subuh sering kali diabaikan atau ditinggalkan begitu sahaja.



Solat subuh wajib dilakukan walaupun matahari sudah mula terbit. GAMBAR HIASAN -

Sedangkan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, baginda menunjukkan tingginya nilai solat fardu tersebut dan sabda baginda bermaksud: “Dua rakaat (sebelum) fajar (solat subuh) lebih baik (nilainya) daripada dunia dan seisinya.” - Riwayat Muslim dan Tirmizi.

Seorang pengajar Institut al-Maghrib, Saad Tasleem yang juga graduan Universiti Madinah, Arab Saudi berkata, situasi tersebut disebabkan tidur lewat, keletihan yang melampau atau sesuatu terjadi pada waktu tengah malam.

“Bila sedar dari tidur, kita mendapati matahari sudah terbit walaupun sebelum tidur kita telah tetapkan waktu penggera untuk solat subuh,” kata pendakwah yang dilahirkan di Georgia, Amerika Syarikat (AS).

Jadi, apa yang harus dilakukan sekiranya melalui detik tersebut? Beliau mempunyai jalan penyelesaiannya, iaitu:

Apa perlu dilakukan jika terlepas waktu solat subuh?

Kebiasaannya, ramai daripada kita akan melakukan dua perkara setelah menyedari terlepas waktu subuh iaitu pertama, mengalah dan meneruskan tidur dan yang kedua, meneruskan rutin kehidupan biasa tanpa langsung wujud rasa berdosa.

Saya akan ceritakan mengenai tiga perkara yang perlu kita lakukan jika terlepas waktu solat subuh.

Apa tiga perkara itu?

Pertama, anda wajib solat subuh sebaik sahaja tersedar daripada lena tidur walaupun menyedari matahari sudah mula terbit. Islam mengajar bahawa kita seharusnya mendirikan solat subuh sebaik sahaja terjaga dari tidur walaupun agak lewat atau matahari sudah mula terbit.

Bagaimana yang kedua?

Kedua adalah tingkatkan amalan atau solat sunat. Jadikan, solat subuh sebagai perangsang untuk meningkatkan amalan ketaatan yang lain dan antara yang paling penting adalah solat sunat yang dilakukan ketika matahari terbit. Sebagai contoh, solat sunat duha atau ramai yang memanggilkan sebagai solat sunat yang dilakukan ketika matahari mula terbit.

Ketiga pula?

Perkara ketiga bagi saya amat penting. Jangan disebabkan terlepas waktu solat subuh, maka ia dijadikan alasan untuk mengabaikan solat fardu lain.

Kita kena ingat bahawa syaitan yang membisikkan alasan itu dengan menyatakan bahawa tiada gunanya untuk solat subuh, Duha atau lain-lain solat bila terlepas waktu subuh.

Terlepas waktu subuh sepatutnya dijadikan alasan untuk kita berusaha lebih gigih untuk memastikan solat-solat lain pada hari tersebut dilakukan pada waktunya.

-

Kebangkitan Islam di Malaysia tumpu penguasaan ilmu

KEBANGKITAN Islam atau 'Islamic resurgence' yang dalam istilah Arabnya ialah al-sahwah al-islamiah, secara mudahnya dapat difahami sebagai satu semangat kesedaran dan kebangkitan umat untuk kembali kepada ajaran Islam tulen seperti dijelaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah, iaitu sebagai satu sistem hidup yang lengkap.

Hal ini dicetuskan oleh kesedaran masyarakat Islam bahawa umat Islam sudah begitu lama diselewengkan oleh penjajahan Barat sehingga mereka tenggelam dalam pemikiran dan gaya hidup sekular, yang menjadi hamba abdi kepada keruntuhan moral dan akhlak.

Yang dijajahi pemikiran mereka kerana sistem Barat yang memisahkan agama daripada kehidupan, sama ada dalam dunia pendidikan, perekonomian, politik, sosial dan sebagainya.
Semangat ini timbul sekitar 1970-an yang dicetuskan beberapa proses perubahan yang menyedarkan umat Islam mengenai kekuatan mereka dan kemampuan umat ini, yang selama ini tidak mereka sedari.

Revolusi Iran yang menumbangkan Dinasti Shah Iran yang gagah perkasa dan yang sentiasa ditunjangi Amerika Syarikat, kemenangan Arab dalam satu peperangan dengan Israel buat kali pertama pada 1974, kegawatan Barat dengan ugutan Al Malik Faisal untuk mengenakan sekatan minyak kepada Barat dan kesedaran umat Islam untuk menunaikan ibadat, termasuk bilangan jemaah haji yang bertambah dengan amat ketara sehingga berjumlah jutaan orang pada ketika itu.

Semua ini, memberi kesedaran kepada umat Islam bahawa mereka sebenarnya boleh berdiri sendiri sebagai umat yang kuat dan mempunyai kemampuan bersaing dengan umat yang lain sekiranya mereka bersatu dan bersepakat menggunakan sumber kekayaan mereka.

Sistem pendidikan Islam moden

Pada 1977, Kongres Pendidikan Islam Sedunia diadakan di Makkah secara serius dan bermakna yang disertai sarjana Islam dari dunia Islam dan Barat.

Hasil kongres itulah beberapa resolusi penting dikeluarkan untuk membawa sistem pendidikan Islam kepada satu sistem moden yang dinamik dan berkesan bagi mengeluarkan sarjana dan pemikir Islam yang menguasai ilmu dunia dan akhirat secara sepadu.

Berikutan hasil kongres ini, maka diputuskan supaya dunia Islam berusaha mendirikan pusat pengajian Islam berdasarkan konsep sepadu dalam ilmu dan pendidikan, mengikut kerangka mengislamisasikan ilmu pengetahuan.

Kerajaan Malaysia mengambil resolusi kongres itu dengan penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sekitar awal 1970-an, iaitu berdasarkan perakuan mengenai konsep ilmu dan pendidikan Islam yang dirumuskan oleh kongres berkenaan.

Hal ini adalah satu keistimewaan negara kita dalam mengisi erti kebangkitan Islam. Ini sekurang-kurangnya sebagai satu model kebangkitan Islam yang moden dan sesuai dengan era globalisasi yang mula mencelarukan pemikiran umat Islam pada ketika itu.

Dalam agenda kebangkitan Islam dan semangat kembali kepada Islam ini, keghairahan untuk kembali kepada Islam sebagai 'satu sistem hidup yang lengkap' menimbulkan beberapa pentafsiran yang samar dan tidak berdasarkan kerangka ilmu pengetahuan Islam sebenarnya.

Konsep 'jihad' umpamanya disalahtafsirkan oleh kalangan tertentu sebagai peperangan bersenjata untuk menghapuskan elemen kekufuran yang menentang Islam dan umatnya.

Malah institusi fatwa disalahgunakan apabila pengeluaran fatwa diambil alih oleh beberapa kumpulan radikal dan institusi pendidikan seperti institusi 'madrasah' yang wujud di negara Islam tertentu.

Hal inilah yang berlaku dan membuka peluang kepada dunia Barat, khususnya Amerika Syarikat, yang muncul sebagai satu-satunya kuasa besar dunia dan mengambil peranan sebagai 'polis dunia' untuk bertindak menduduki dan menyerang 'semangat' kebangkitan Islam yang dianggapnya 'musuh' sejagat.

Teori perangi keganasan

Ia menjatuhkan kerajaan pimpinan orang Islam secara amat tidak bertamadun dan mulalah timbul gagasan teori 'Al-Qaeda' 'Pengganas Islam', 'Mujahidin' dalam bentuk pengganas dan sebagainya.

Atas teori 'memerangi keganasan' inilah pihak penjajahan Barat dalam bentuk baharu itu dapat menguasai dunia Islam, khususnya di Asia Barat yang kaya dengan hasil minyak.

Tetapi di Malaysia, kebangkitan Islam di sini tidak melahirkan pengganas, pertubuhan Islam radikal dan jauh sekali daripada mengeluarkan 'tentera' yang berjuang untuk melaksanakan 'agenda' jihad 'Al-Qaeda' dan sebagainya.

Pertubuhan bukan kerajaan yang lahir adalah institusi yang bergerak secara aman dan damai, diwujudkan di kalangan pelajar pusat pengajian tinggi, pertubuhan belia, dan lain-lain lagi yang bergerak untuk mendidik umat Islam dalam memahami Islam dan merealisasikannya di dalam negara moden ini.

Oleh itu, sebarang kemunculan gerakan berbentuk radikal seperti 'Al-Ma'unah' yang berdasarkan perjuangan bersenjata, atau yang menjurus kepada taksub serta fanatik agama seperti 'Al-Arqam', segera dihapuskan oleh kerajaan supaya bibit-bibit penyelewengan dan kekerasan itu, tidak membiak di negara kita.

Malah, perkembangan terakhir dibawa gerakan IS atau Daesh yang berdasarkan kekerasan dan keganasan haruslah diperangi dengan pelbagai bentuk yang ada pada kita iaitu di dalam bentuk intelektual, kebijaksanaan atau hikmah, keilmuan dan komunikasi berkesan serta model terbaik di antara pemerintah dan rakyat.

Ini supaya Malaysia akan terus kekal sebagai negara Islam yang memperjuangkan agenda dinamik, bertamadun dan harmoni dalam menghayati Islam ini, agar imej Islam yang disalah mengerti dan diberikan gambaran salah oleh media dan masyarakat Barat, haruslah tidak dihubungkan dengan imej Islam di negara kita ini, kerana Islam di Malaysia mempunyai imej yang amat positif dan dinamik.