September 4th, 2016

Mencari keseimbangan dunia, akhirat

KITA selalu berhadapan masalah ketidakseimbangan dalam menangani kehidupan kita antara dunia dan akhirat.

Biasanya, kita akan terkejar-kejar dan berusaha keras bagi menentukan semua urusan dunia dengan sesama manusia berjalan lancar seperti dirancang.

Ada kala semasa proses itu menyebabkan kita lalai perintah Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: "Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Hingga kamu masuk kubur." (Surah al-Takathur, 1-2 )

Hairannya, kita tidak berasa tertekan atau bersalah jika urusan dengan Allah SWT untuk kehidupan di akhirat tidak diurus secara baik dan berjalan lancar. Bahkan kita sering melambat-lambatkan melaksana perintah-Nya atau melakukan tidak sepenuh jiwa tetapi sambil lewa.

BERDOA sepenuh hati mampu melepaskan tekanan dalam hidup. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Ingatlah, jika asyik menjunjung dunia, kelak dunia itu yang akan menghempap kita.

Banyak kejadian bencana seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, banjir besar, tanah runtuh dan seumpamanya yang berlaku adalah sebab Allah SWT menunjukkan kemurkaan-Nya.

Kelemahan manusia ialah ketika memiliki wang yang banyak akan berbelanja lebih dan diberi kesihatan serta kebahagiaan, lupa kepada Allah SWT.

Apabila Allah SWT sentap kebahagiaan hidup dengan malapetaka, barulah kita sedar tiada kuasa boleh menghalang kehendak-Nya.

Elak tekanan

Hendak tahu sama ada hidup kita seimbang atau tidak, caranya ialah lihat dan nilai diri (muhasabah).

Jika kita sibuk melihat dan mencari kelemahan diri, kita tidak akan ada masa untuk melihat kekurangan orang lain. Tinggalkan tabiat suka melihat kelemahan orang baik yang kecil apa lagi yang besar.

Kedua, nilai diri adakah kita sering mengalami tekanan? Jika sentiasa berdepan tekanan dan sering sakit, ia menunjukkan sudah berlaku ketidakseimbangan dalam kehidupan.

Tekanan adalah petunjuk hati tidak tenang kerana banyak membuat kesilapan kepada orang atau berdosa dengan Allah SWT.

Justeru, jika sentiasa mengalami tekanan, mohonlah maaf kepada orang yang pernah kita lukai hatinya, banyakkan bertaubat serta tingkatkan keimanan dan ketakwaan.

Tekanan boleh diatasi dengan memperbaiki akhlak, sentiasa ikhlas dan berbaik sangka terhadap Allah SWT.

Tekanan yang tidak terkawal dan berpanjangan akan memberi gangguan kepada mental serta menyebabkan penyakit seperti, gastrik, sakit kepala, pening, migrain, selesema dan sinus.

Jika dibiarkan berterusan, penyakit itu boleh melarat menjadi lebih kronik seperti sakit pinggang, darah tinggi dan jantung.

Badan sihat hasil daripada fikiran yang sihat dan positif. Badan dan fikiran yang sihat akan menghasilkan emosi positif yang menjadikan setiap tindakan dalam kehidupan juga positif.

Sentiasa positif

Setiap hari niatkan diri untuk menjadi lebih baik daripada semalam.Insya-Allah bermula dengan niat baik dan positif, sepanjang hayat akan baik serta positif.

Walau di mana berada, jadilah diri sendiri dan jangan mudah dipengaruhi oleh orang lain serta persekitaran. Orang yang dapat keseimbangan hidup mempunyai pendirian serta tidak mudah dipengaruhi.

Jadilah seperti ikan di laut, tidak masin dagingnya dek masinnya air laut. Janganlah menjadi ikan di darat, masin dagingnya dek direndam air bergaram.

Berjaya mengawal perjalanan hidup dengan mengutamakan yang penting dan lebih penting.

Mampu melaksanakan tanggungjawab untuk kehidupan duniawi dengan sesama manusia dan tanggungjawab kehidupan akhirat dengan Ilahi.

Akhirat dijunjung, dunia dikelek. Ketidakseimbangan sering berlaku kerana manusia mempunyai pelbagai ragam.

Ada yang mudah terikut-ikut, ada mengetahui keunikan diri, memiliki tujuan hidup, disiplin kuat, berpengalaman serta mampu mengawal diri luar dan dalam.

Bagi mencapai tahap makrifatullah yang menjadikan Allah SWT sebagai tujuan hidupnya, maka jangan mengharap kepada sesiapa kecuali Allah SWT kerana kuasa-Nya yang Maha Besar. Dia yang mengatur segala kejadian alam.

Betulkan hati

Kita tidak boleh mengubah sikap orang kerana manusia berubah daripada hati dan emosinya. Hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa menggenggam hati manusia.

Oleh itu, pentingnya kita membersihkan dan membetulkan hati serta meningkatkan ketakwaan. Orang paling malang ialah yang saling mengharapkan manusia.

Hentikan mengharap dipuji, dikasihi dan diberi sebaliknya, tanamkan dalam hati supaya suka memuji, mengasihi dan memberi. Jadikan diri seorang yang sentiasa mengharap dikasihi, dirahmati dan dilindungi oleh Allah SWT.

Ingatlah, dengan makhluk kita ingin memberi, dengan Allah SWT kita mahu mendapat. Sebab hanya Allah SWT Maha Pemberi, Pemurah dan Penyayang.

Semakin banyak kita meminta kepada-Nya semakin disukainya, maka serulah dengan penuh ketakwaan nama-nama Allah SWT itu.

Ibadah korban tiada sempadan, Raya Korban, 
lembu korban

Pada 12 September depan umat Islam akan menyambut Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Bagi menghayati erti sebenar Hari Raya Aidiladha ini juga, umat Islam, akan melaksanakan amalan korban haiwan tertentu pada tanggal 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Setahun sekali umat Islam tidak melepaskan peluang untuk melakukan ibadah korban ini. Ibadah ini juga sempena mengingati peristiwa agung antara Nabi Ibrahim as dan anaknya Nabi Ismail as.

Amalan ini yang dilakukan setiap tahun oleh umat Islam yang tidak dapat menunaikan haji. Kita mengerjakan amalan menyembelih haiwan ini sama ada di Malaysia atau mana-mana negara yang difikirkan sesuai.

Biasanya pada Hari Raya Korban ini kebanyakan orang Islam memilih lembu untuk dikorbankan. Sebab itu tiap-tiap tahun berpuluh ekor lembu jantan disembelih di kawasan masjid atau surau.


Harga lembu untuk ibadah korban dahulu RM 2,000 seekor kini meningkat dua kali ganda. – Gambar hiasan

Menunaikan amalan berkorban ini satu hal, trend kenaikan harga lembu pun satu hal yang tidak boleh diserah sebagai takdir. Sebenarnya dalam hal ini kita mampu mengubahnya. Ibadah korban tidak patut berkurangan akibat kos yang mahal.

Semua ini bermula kerana bekalan lembu tempatan kurang dan tidak mencukupi, jadi banyak bekalan lembu diimport dari Thailand dan Australia.

Kalau tahun 2014, harga lembu import dari Thailand ialah RM2,500 seekor, dan tahun 2015 naik RM4,000 seekor, berapa harga untuk tahun 2016?

Sama dengan tahun lalu, harga lembu import meningkat antara RM4,000 hingga RM4,500 seekor bergantung kepada saiz berbanding RM2,000 hingga RM3,000 seekor pada tahun-tahun sebelumnya.

Jadi jangan terkejut jikalau beberapa tahun lagi harga lembu korban di Malaysia akan mencecah RM5,000 atau RM6,000 seekor.

Kalau pada harga RM4,000 sekarang satu bahagian lembu berharga RM600, maka kos untuk menunaikan korban akan terus meningkat. Apa tindakan kerajaan atau kementerian berkenaan dalam hal ini. Biarkan sahaja kuasa pasaran menentukan harga atau mencari jalan untuk menangani kenaikan itu? Atau berusaha mencari harga lebih murah daripada sekarang.

Oleh itu, kita merayu kepada kerajaan untuk mencari jalan bagi menangani masalah ini terutama mengelakkan daripada kebergantungan kepada lembu import. Kerajaan juga perlu mengembalikan kestabilan nilai ringgit yang menjadi antara faktor harga lembu import mahal.

Hakikatnya, kerajaan terpaksa mengimport lebih 700,000 ekor lembu setiap tahun membabitkan peruntukan lebih RM1.4 bilion. Tanganilah juga masalah monopoli dalam industri pengimportan lembu ini yang menjadi punca kenaikan harga haiwan ternakan berkenaan.

Hasrat umat Islam Ma­laysia untuk menjalankan ibadah korban terutama lembu tidak patut disekat atas faktor harga.

Pada saya kerajaan ti­dak boleh lepas tangan mem­biarkan trend kenaikan harga lembu pada musim kor­ban ini berlarutan. Agak menghairankan ke­­napa harga lembu kor­­ban di Indonesia, Bang­la­desh, Kemboja dan se­­bagainya jauh lebih murah berbanding negara kita. Sebagai contoh per­bandingan antara harga satu bahagian lembu di Malaysia (RM600/ baha­gian) dengan harga di Kemboja (RM350/baha­gian).

Jika trend harga lembu ini berterusan, ki­ta boleh jangkakan pa­da masa akan datang bi­langan umat Islam di Malaysia hendak me­nunaikan ibadah kor­ban berkurangan. Sekarang pun kita boleh mendengar keluhan orang ramai yang mengeluh kerana tidak mampu untuk menampung kos satu bahagian lembu.

Harga lembu korban setiap tahun naik. Saya masih ingat untuk beberapa lama harga satu bahagian (1/7) lembu dahulu baru berharga RM250. Tetapi hanya beberapa tahun lalu harganya naik RM350, kemudian RM450, dan naik lagi RM550.

Untuk tahun 2016, kebanyakan tempat saya dapati sudah mencecah RM600 untuk satu bahagian. Maknanya untuk seekor lembu korban akan berharga: RM600 x 7 bahagian = RM4,200.

Ada yang tak kisah berapa kena bayar, yang penting ikhlas dalam mengerjakan ibadah korban. Walau bagaimanapun, harga satu bahagian lembu di sesetengah kawasan berbeza-beza disebabkan tiga faktor iaitu kos pengurusan, timbangan berat setiap ekor lembu dan logistik.

Apa yang sangat penting ialah lembu itu mengikut syarat-syarat haiwan yang boleh dijadikan korban haji. Syarat sah korban hendaklah binatang yang diqurbankan itu tidak mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkan kekurangan kuantiti dagingnya ataupun menyebabkan kemudaratan terhadap kesihatan.

Sebenarnya tak kisahlah berapa pun harga bagi satu bahagian lembu tersebut. Yang penting niat kita hendak melakukan ibadah korban dan akikah diterima oleh Allah SWT. Kalau kita mampu, kita sertailah mana-mana aktiviti korban dan akikah yang terdapat di kawasan kita.

Kalau rasa tak mampu nak bayar mahal, tetapi ada keazaman nak laksanakan ibadah korban dan akikah, boleh cuba cari yang murah. Sekarang nak cari yang murah tak susah, sebab kita boleh lakukan korban di negara orang yang lebih memerlukan.

Ibadah korban tiada sempadan

TIDAK hanya di Malaysia, Hari Raya Aidiladha pastinya dinantikan umat Islam seluruh dunia. Lebih-lebih lagi keseronokan bersama-sama menjalankan ibadah korban hanya dapat dilakukan setahun sekali.

Bagaimanapun, apa yang menyedihkan kenikmatan yang dirasai umat Islam di sini tidak sama dengan mana-mana umat Islam yang tergolong dalam kelompok fakir miskin, khususnya di luar negara.

Ini kerana majoriti umat Islam di negara berkenaan tidak sesenang umat Islam di sini.

Optimis menjalankan ibadah korban di luar negara, badan bukan kerajaan (NGO), Al Khalif World memasuki tahun ketiga melakukan ibadah tersebut di Kemboja.

Pengurus badan kebajikannya, Nor Afif Rahimi berkata, pihaknya menyasarkan penduduk Islam di bumi Kemboja kerana mereka antara kelompok yang memerlukan nikmat korban ini.

“Tetapi apa yang menyedihkan saya apabila tiada sebarang peruntukan yang disalurkan bagi membantu masyarakat Islam di sana. Mereka juga sebenarnya hanya mengharapkan bantuan daripada pihak luar bagi membantu dalam urusan dakwah, pendidikan dan sebagainya.

Jika dibandingkan dengan negara kita, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan bagi membanteras golongan miskin tegar ini, kerana itu pihak kami terpanggil bagi menjayakan beberapa program khususnya ibadah korban di sana,” katanya.

Jelasnya, memilih Kemboja sebagai destinasi pertama pelaksanaan program adalah disebabkan faktor keperluan berbanding kita di bumi bertuah Malaysia ini.

"Secara jujurnya saya tidak menafikan bahawa masih ramai lagi golongan fakir miskin di Malaysia. Tetapi kerajaan Malaysia sendiri tidak mengabaikan mereka dengan menubuhkan pelbagai agensi dan NGO sokongan bagi membantu dan membanteras golongan miskin tegar di Malaysia.

“Berbanding dengan saudara kita di bumi Kemboja yang masih jauh ketinggalan dan ditinggalkan. Mereka lebih susah dan fakir daripada apa yang saya dapat perhatikan. Islam tidak mengajarkan kita untuk meletakkan sempadan dan hanya memilih untuk golongan yang tertentu sahaja. Dengan pendapatan purata 100 USD bagi seisi keluarga (setahun) di kemboja, mereka pastinya lebih memerlukan.

“Kemboja masih terikat dengan penggunaan wang asing yakni USD dan mereka amat terbeban dengan kos-kos sara hidup di sana yang mana masih mengamalkan sistem sara diri bagi meneruskan kehidupan mereka,” katanya.

Al Khalif World turun padang ke Pedalaman di wilayah Tebum Kemom, di mana sebenarnya di wilayah majoriti penduduknya beragama Islam.

“Bagi tujuan korban tahun ini kami melaksanakannya di Kampung Bom Prol dan kampung ini akan dijadikan sebagai pusat penyembelihan dan pengedaran ke kampung-kampung yang lain di dalam Wilayah Tebum Kemom.

“Program ini akan dilaksanakan secara gotong-royong dengan masyarakat setempat sepertimana program-program sebelum ini. Ia serba sedikit dapat membantu mereka dalam penyumbangan daging hasil daripada ibadah korban yang dijalankan.

“Kami menyasarkan agar setiap rumah mampu memiliki 1.5 kilogram daging pada tahun ini dengan jumlah minimum korban sebanyak 120 ekor lembu bagi menjayakan hasrat ini,” katanya.

Patuhi syarak

Meskipun program ibadah korban ini dilakukan di luar Malaysia, namun daripada aspek syarat-syarat penyembelihan bagi tujuan korban dilakukan mengikut syariah Islam.

Nor Afif memberitahu, proses penyembelihan dan pengagihan dipantau sendiri oleh pihaknya dan dibantu secara gotong-royong oleh penduduk kampung berkenaan.

“Memandangkan ia bukan kali pertama menjalankan program ini, kami sudah mempunyai pengalaman dalam menyempurnakan proses pengagihan. Sepertimana yang anda sedia maklum bahawa kami akan mewujudkan pusat penyembelihan dan agihan dengan kerja sama wakil imam wilayah di sana.

“Pada masa sama, untuk memastikan pengagihan dilakukan dengan adil, wakil dari setiap kampung akan hadir mewakili kampung masing-masing untuk menerima daging korban. Kemudian baru mereka agihkan jumlah daging dengan sama rata kepada penduduk terlibat,” katanya.

Setiap proses korban dijalankan turut dipantau Ustaz Ahmad yang dilantik sebagai wakil pemantauan ibadah korban.

“Ia memastikan setiap proses korban dilakukan mengikuti hukum syarak, tidak bertentangan dan bercanggah daripada hukum fiqah mengenai ibadah korban,” katanya.

Menjalankan ibadah korban juga tidak terhad kepada satu-satu cara sahaja. Terdapat pelbagai inisiatif dilakukan untuk menarik umat Islam di Malaysia bagi merealisasikan program ini.

Menurut Nor Afif, pihaknya menekankan konsep mengurangkan bebanan kepada sesiapa yang berhasrat untuk bersama-sama menunaikan ibadah korban. Misalnya di Malaysia kos bagi setiap bahagian korban mungkin mencecah ke RM500 setiap bahagian. Dengan kenaikan kos sara hidup di Malaysia dan kenaikan harga pakej korban ia juga merupakan antara faktor kurangnya penglibatan dalam ibadah korban.

“Islam tidak membebankan dan syumul, jadi pendekatan ini kami bawa bagi membantu masyarakat Malaysia dalam menyempurnakan hasrat mereka dengan menawarkan pakej korban dengan harga yang lebih rendah bagi setiap bahagian. Dengan Memikirkan konsep kebajikan dalam ibadah, setiap RM30 daripada jumlah tersebut turut disalurkan kepada Muwasolah Bai Na Ulamak Malaysia (pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Al Hamed) dan Darul Muhibbin (Ustaz Ahmad Shadan) bagi tujuan memperkasakan dana dakwah secara ilmiah di Malaysia.

“Usaha sama ini turut bantu kumpulan Al Mawlid yakni kumpulan Qasidah terkenal tanah air yang dibarisi beberapa artis terkenal tanah air seperti Azan Addin (Azan Ruffedge), Amir Munawer dan Saiful Amir (Pot Innuendo) bagi merealisasikan program kebajikan ini.

“Korban ini juga dibuka penyertaannya bukan sahaja di Malaysia malahan di Brunei, Singapura, Australia dan Perancis,” katanya.

Muhasabah dengan kejadian sekeliling

SEGALA puji bagi ALLAH yang Maha Agung lagi Maha Perkasa yang berfirman, “Dialah yang memperlihatkan kilat kepada kamu untuk menakutkan dan memberi harapan (dengan turunnya hujan); Dia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air); Dia lah juga yang guruh serta malaikat bertasbih memuji-Nya kerana takut kepada-Nya; dan Dia juga yang menghantar petir lalu Dia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan ALLAH (dan kekuasaan-Nya) padahal Dia amat keras azab seksa-Nya.” (Surah Ar-Ra’ad; 12-13)

Manusia disuruh supaya sentiasa bermuhasabah terhadap diri sendiri dan terhadap kejadian-kejadian yang berlaku di sekelilingnya kerana ia semua adalah peringatan buat kita daripada ALLAH SWT.

Ternyata kita mendapat pelbagai nikmat daripada ALLAH. Keamanan negara, sihat tubuh badan, pekerjaan untuk menyara hidup serta kecukupan dalam makan minum dan tempat tinggal.

Persoalannya, apakah kewajipan yang telah kita tunaikan sebagai tanda syukur kita kepada ALLAH atas nikmat-nikmat yang telah diberikan itu? Sungguh ALLAH telah menjanjikan limpahan kurnia-Nya bagi siapa yang bersyukur di samping azab pedih bagi mereka yang mengkufuri nikmat-Nya.

Firman ALLAH: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu menitahkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahkan nikmat Ku kepada kamu, dan jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azab Ku amatlah pedih.” (Surah Ibrahim: 7)

ALLAH SWT dari semasa ke semasa menurutkan petunjuk-petunjuk-Nya supaya hamba-Nya mengambil iktibar dan bertaubat. Orang yang bahagia adalah mereka yang sedar dan bertaubat manakala yang sengsara pula adalah mereka yang lalai terus melakukan maksiat dan tidak mengambil pengajaran daripada petunjuk-petunjuk ALLAH SWT.

Peperangan & bencana

Betapa banyaknya kita mendengar tentang kemalangan-kemalangan serta melihat kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita?

Peperangan yang berlaku di negara-negara Islam pada hari telah meragut banyak nyawa, menyebabkan ribuan manusia hilang tempat tinggal, anak-anak menjadi yatim piatu, wanita-wanita menjadi janda, orang-orang kaya bertukar miskin, kehormatan dicabul dan maruah dihina. Api peperangan ini terus disemarakkan sehingga percikan-percikannya dapat dirasai di negara-negara Islam yang lain; di Palestin, Syria, Iraq, Yaman, Libya, Afghanistan, Pakistan dan selainnya.

Selain peperangan, kita melihat berlakunya bencana alam akibat banjir kilat, angin kencang, ribut petir yang meragut nyawa dan merosakkan tanaman serta harta benda.

Kita juga saban hari melihat kemalangan-kemalangan sama ada di jalan raya, di udara dan di lautan mengakibatkan kematian manusia dalam bilangan yang ramai serentak pada satu masa.

Ibrah pengajaran

Semua ini berlaku kerana ALLAH ingin menakutkan hamba-Nya dan menunjukkan sebahagian daripada kemampuan dan kekuasaan-Nya atas manusia.

Ia juga bertujuan untuk mengingatkan manusia akan kelemahan dan dosa-dosa mereka moga-moga mereka beringat. Adakah kita tergolong dalam kalangan mereka yang beringat dan mengambil pengajaran?

Sejauh manakah kita telah mengubah keadaan kita? Adakah mereka yang lalai malas menunaikan solat dan cuai bangun menunaikan solat Subuh telah sedar dan mengubah keadaan mereka? Adakah mereka yang makan rasuah, mengambil riba dan menipu dalam jual beli telah bertaubat?

Sejauh manakah kita telah memperbaiki keadaan di rumah kita? Membersihkannya daripada gambar-gambar kotor, alat-alat muzik yang melalaikan serta filem-filem lucah yang tak senonoh.

Sesungguhnya keadaan-keadaan ini tidak akan berubah kecuali sejajar mana yang diizinkan oleh ALLAH. Bahkan kejahatan terus bertambah dan kita khuatir balasan hukuman yang akan membinasakan kita. Sungguh tiada upaya serta kuasa melainkan dengan izin ALLAH.

Firman ALLAH SWT: “(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat ALLAH, lalu ALLAH menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya ALLAH Maha Kuat lagi Maha berat seksa-Nya. (Balasan) yang demikian itu ialah kerana sesungguhnya ALLAH tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan (ingatlah) sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar lagi Maha mengetahui.” (Surah Al-Anfaal: 52-53)

Ancaman orang yang lalai

ALLAH telah bersumpah terhadap mereka yang tidak mengambil iktibar atas musibah-musibah yang berlaku di sekeliling mereka serta tidak terkesan dengan bencana-bencana yang berlaku, ALLAH bersumpah untuk menangguhkan mereka untuk mereka terus bergelumang dalam nikmat dunia kemudian ditimpakan atas mereka secara mengejut bala bencana yang membinasakan mereka.

Firman ALLAH: “Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran) dan syaitan pula memperelok pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan).” (Surah Al-An’aam: 43-44)

Realiti Nikmat ALLAH

Daripada Uqbah bin Amir RA, Nabi SAW bersabda: “Sekiranya engkau melihat ALLAH memberikan kepada seorang hamba atas maksiatnya apa yang disukainya, maka ketahuilah bahawa hal tersebut adalah istidraj.” (Riwayat Imam Ahmad)

Istidraj ialah kelebihan dan kenikmatan yang diberikan oleh ALLAH SWT kepada hamba-Nya yang ingkar untuk menarik mereka sedikit demi sedikit ke arah kebinasaan.

Kita wajar takut daripada tergolong dalam kalangan golongan ini. Maksiat-maksiat kita bertambah dan dalam masa yang sama nikmat ALLAH terus bertambah.

Betapa perlunya kita bertakwa kepada ALLAH dan berwaspada terhadap kemurkaan-Nya yang telah menimpa umat-umat manusia yang terdahulu jangan sampai ia menimpa kita.

Kita terus bersenang-lenang dengan kehidupan dunia manakala masjid-masjid rumah ALLAH terus sepi kosong tanpa pengunjung. Kebanyakan manusia khususnya golongan muda menjauhinya.

Mereka yang mengunjunginya pula hanya untuk datang pada waktu-waktu yang tertentu sahaja secara bermusim dan ketika mereka rasa bersemangat sahaja.

Lihat sahaja mereka yang datang untuk solat Jumaat. Tidak kurang mereka yang datang lewat dan ketika khutbah hampir selesai gara-gara malas dan sibuk dengan pekerjaan dunia mereka.

Sekalipun mereka hadir khutbah Jumaat, mereka terus leka dan tidak mengambil manfaat pengajaran daripada isi khutbah yang disampaikan. Betapa perlunya kita sedar daripada lamunan.

Pemimpin, orang agama berjiwa kecil

TIAP-TIAP seorang wajiblah memajukan dirinya naik ke atas mencapai tingkat ketinggiannya dengan usaha dan kebolehannya sendiri, tidak dengan berharap kepada pertolongan orang atau kepada sokongan orang lain walau orang yang di atas daripadanya sekalipun.

Bagi berbuat demikian hendaklah seseorang itu tinggi hemahnya dan mulia cita-citanya; kerana jika seseorang kecil hemahnya dan rendah kemahuan cita-citanya, nescaya ia hanya akan berpuas hati dengan mendapat perkara-perkara yang sesuai dengan kedudukan dirinya yang rendah itu sahaja, tiada lebih lagi.

Oleh itu, maka kita lihat orang yang demikian kecil pada ilmunya, kecil pada ideanya, kecil pada maruahnya, kecil pada kecenderungannya dan semangat kemahuannya, kecil pada tenaganya dan tujuannya, bahkan kecil pada segala-gala hal dan pekerjaannya.

Adapun jika besar perasaan dirinya dan tinggi semangat cita-citanya, nescaya besarlah pula padanya segala apa jua perkara yang didapati kecil dan piut pada orang yang berhati kecil, bersemangat kecil dan bercita-cita kecil itu”. (Za’ba, Asuhan Perangai Menurut Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015)

Za’ba menulis rencana ini yang disiarkan di majalah Qalam, 1952. Namun apa yang dibangkitkan oleh Za’ba dilihat kekal relevan sampai ke hari ini. Masyarakat dan ummah ini tidak akan berubah ke tahap yang lebih baik, jika cara fikirnya tidak diubah terlebih dahulu.

Jika seseorang merasakan cara hidup dan pencapaiannya sekarang sudah memadai, maka bagaimana untuk diharapkan ia menambahkan usahanya bagi mencapai tahap yang lebih baik lagi. Oleh itu, ia perlu dimulakan dengan menanam impian yang tinggi dan besar. Impian yang tinggi dan besar akan mencetuskan tindakan yang tinggi dan besar juga.

Bagaimana untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai nilai tinggi, jika pemimpin masyarakat masih berfikir dengan cara yang rendah? Justeru, dua entiti utama yang menjadi harapan dan rujukan masyarakat, perlu berfikir dan bertindak dengan cara orang yang berjiwa besar dan bernilai tinggi. Mereka itulah golongan ulama dan umarak (pemimpin).

Kita perlukan pemimpin, pendakwah, mufti, imam dan orang berkedudukan dalam masyarakat yang berjiwa besar. Jika mereka ini berjiwa besar, matlamat yang mereka sasarkan juga besar dan orang di bawah mereka juga pasti dipandu dan dibimbing menjadi orang yang berjiwa besar.

Cara fikir orang agama

Seorang pemimpin misalnya, apabila diberikan amanah memegang sesuatu jawatan, perkara pertama yang difikirkan ialah apa yang akan dia jawab tentang amanah jawatannya di hadapan ALLAH Azza wa Jalla di akhirat kelak.

Dia akan sibuk memikirkan apa yang patut dilakukan bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat, membina masyarakat yang tinggi intelektualnya, menghasilkan rakyat yang mempunyai kepakaran yang diiktiraf peringkat antarabangsa, membentuk rakyat yang subur budaya hormat menghormati, menguruskan perbezaan parti, bangsa dan agama secara matang dan sebagainya. Inilah lambang pemimpin berjiwa besar. Apa yang difikirkannya ialah kepentingan rakyat dan negara. Bukan kepentingan dirinya semata-mata.

Bukan sibuk mencari jalan dan lubang bagaimana untuk mengaut kekayaan peribadi, terus ingin memegang jawatan walaupun telah rosak kredibiliti, mencantas sesiapa sahaja yang dirasakan menggugat diri, menyemai kebencian dalam perbezaan bangsa, agama dan parti.

Akhirnya, biar rakyat menderita, asalkan diri sendiri boleh bergembira. Biar rakyat hidup resah, asalkan diri sendiri terus mewah. Biar rakyat terlantar kelaparan, asalkan diri sendiri tersandar kekenyangan. Biar rakyat saling membenci, asalkan diri sendiri mendapat undi. Biar negara hancur, asalkan jawatannya tidak lebur.

Justeru, kita perlukan pemimpin yang berjiwa besar. Jika tidak, kita perlu berusaha sendiri membina peribadi yang tinggi, meningkatkan nilai diri, mematangkan cara fikir dan memiliki jiwa besar.

Jika rakyat sudah berjiwa besar, maka mereka tidak akan mengangkat pemimpin melainkan yang berjiwa besar juga. Jika rakyat berjiwa besar, mereka tidak akan rela jika keadilan dicemari, kemakmuran dijual beli dan amanah dikhianati melainkan mereka akan bersepakat mengangkat suara menasihati dan mencari ganti.

Begitu juga dengan ulama atau orang agama. Orang agama yang dimaksudkan ialah mereka yang bergelar pendakwah dan mempunyai kedudukan berkaitan urusan agama. Mereka yang dilantik memegang amanah berkaitan agama perlu memiliki jiwa yang besar, idea yang segar dan fatwa yang tidak tersasar.

Mufti, imam, kadi, pendakwah dan sesiapa sahaja yang membawa gelaran agama perlu sedar akan kesan pada setiap perkataan dan tindakannya kepada ummah dan agama ini sendiri. Mereka yang berjiwa besar sentiasa memfokuskan agenda mendidik ummah agar hidup di atas paksi agama yang kukuh.

Pendapat yang dilontarkan mampu menzahirkan betapa Islam adalah agama yang teguh pada prinsip dan fleksibel dalam perlaksanaan, sesuai diamalkan oleh sesiapa sahaja, di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Orang agama yang berjiwa besar sentiasa konsisten mendidik ummah supaya membesarkan ALLAH dan Rasul-Nya, dan bukan membesarkan dirinya. Mengutamakan dalil yang sahih, bukan merujuk berpegang kepada yang palsu.

Mendidik masyarakat agar mengamalkan agama seperti yang dibawa oleh Rasulullah dan dihidupkan oleh golongan salafussoleh, bukan berdasarkan warisan adat turun temurun yang tidak pasti dalil dan sumbernya. Suara mereka adalah selari dengan suara al-Quran dan sunnah, bukan demi memenuhi selera orang ramai dan pemerintah.

Fatwa Pelik

Apabila orang agama berjiwa besar, mereka akan membimbing ummah agar turut berjiwa besar. Seruan mereka ke arah penyatuan dan perpaduan yang merentasi bangsa, bahasa dan sempadan negara.

Perbezaan dalam isu-isu berlainan mazhab, diuruskan secara ilmiah dan matang. Ummah akan diseru agar berfikiran terbuka dan berlapang dada, bukan meniup api kebencian dan melempar segala tuduhan kepada pandangan yang berbeza. Menilai perbezaan hukum agama berteraskan fakta, bukan dengan taksub membabi buta. Menghidangkan kepada ummah dengan ilmu dan fakta, bukan asyik bercerita dan berlawak jenaka.

Tetapi, jika orang agama jiwanya kecil, cara fikirnya juga akan kecil. Tindak tanduknya kadang-kadang memalitkan kekotoran pada wajah agama. Agama dilihat tercemar oleh kekotoran yang dikesat oleh orang agama sendiri. Sedangkan ajaran Islam yang tulen lagi suci berlepas diri dari semua itu.

Kedudukan di kerusi empuk yang disandang, digunakan untuk menghalang dan menyekat perkembangan ilmu dan wacana pemikiran berkaitan agama. Apabila kemampuannya terbatas untuk memahami dan mengulas sesuatu isu agama dengan lebih luas dan tuntas, maka jalan mudah baginya ialah dengan mengisytiharkan pendapat yang berbeza tersebut adalah sesat.

Orang ramai turut diheret menjadi mangsa kejumudan dan kedangkalan pemikirannya dengan dikeluarkan fatwa yang pelik dan melucukan. Sudahlah diri sendiri tidak mahu berusaha untuk meluaskan pembacaan dan pelbagaikan sumber ilmu, masyarakat juga turut digertak dan ditakut-takutkan agar jangan membaca dan menambahkan ilmu.

Contohnya, jika ada orang agama yang keluarkan pendapat bahawa Imam Nawawi adalah sesat, buku-bukunya haram untuk dibaca, pandangan tidak boleh disebarkan. Tidakkah ini “fatwa” yang pelik lagi melucukan?

Dalam keadaan ummah mengiktiraf dan telah mengambil banyak manfaat daripada kesarjanaan Imam Nawawi di peringkat antarabangsa, tiba-tiba muncul dari mulut seorang ahli agama tempatan dengan segala kuasa dan kedudukan yang ada untuk mengharamkannya.

Contoh yang sama juga jika “fatwa” sebegitu dikeluarkan terhadap Syeikhul Islam Ibn Taimiyah. Ia akan menjadi seribu satu persoalan dan kehairanan di dalam dunia ilmu peringkat antarabangsa.

Sekiranya pemimpin dan agamawan berfikir dengan cara fikir yang tinggi, dengan jiwa yang besar, tindak tanduk, percakapan dan pendapat mereka akan lebih tinggi nilainya, lebih luas sudut pandangnya, lebih besar impiannya dan insya-ALLAH lebih banyak juga pahalanya.

Pedoman untuk wanita yang bekerja

Siapa pun kita baik lelaki mahupun perempuan mesti ada pekerjaan yang tetap untuk mendapatkan pendapatan atau wang bagi menyara kehidupan kita. Demi menampung pendapatan keluarga, lazimnya kita keluar pagi bekerja dan petang baru kembali ke rumah, bahkan ada yang menjelang malam baru berada di rumah bertemu keluarga setelah seharian bekerja. Oleh sebab itu perlu sebagai seorang wanita/isteri yang bekerja menjaga maruah diri, maruah ibu bapa, dan maruah suami, semoga kerja kita itu mendapat reda Allah. Jadikan tempat kerja kita itu sebagai ladang pahala: Kerja sebagai ibadah dan bekerja kerana Allah.

Bagi wanita yang bekerja untuk menjadikan kerja itu sebagai ladang pahala kita amalkan beberapa perkara berikut. Pertama, menjaga hubungan dengan Allah. Ingat: kalau kita tidak ada masa dengan Allah, Allah pun tidak ada masa untuk kita, maka kita tidak akan berada dalam pelindungan-Nya dan Rahmat-Nya. Oleh sebab itu yang paling penting, jaga akidah kerana akidah menentukan emosi dan menentukan tindakan. Jadikan Allah tujuan utama hidup kita dan mencari reda Allah adalah hala tuju kita. Jaga akidah, ibadah dan akhlak walau siapa pun kita dan di mana pun kita berada. Tentukan solat tepat pada waktu dan menutup aurat.

Kedua, menjaga maruah dan amanah keluarga. Kalau kita seorang anak jagalah maruah ibu bapa dan kalau kita seorang isteri jagalah maruah suami. Wanita keluar bekerja dengan izin ibu bapa dan suami, jadi sangat penting wanita menjaga batas pergaulan antara lelaki dengan wanita di tempat kerja. Jangan terlalu rapat atau sentiasa berdua-dua dengan pekerja lelaki kalau bukan kerana urusan kerja, bimbang timbul fitnah. Jangan mudah berkongsi kisah peribadi atau keluarga dengan rakan sekerja lelaki kita, kerana akan menimbulkan rasa simpati dan kasihan yang akhirnya mungkin membibitkan rasa kasih sayang di luar batasan.

Ketiga, menjaga hubungan sesama manusia: Walau siapa pun kita dan di mana pun kita berada dan dengan siapa pun kita bekerjasama, kita tetap sama dari segi sikap, tingkah laku, keimanan, dan hati budi. Contohnya, kadang-kadang kita seorang pekerja yang baik di pejabat, tetapi di rumah kita seorang isteri yang kasar dengan suami, garang dengan anak, sombong dengan ibu dan bapa mentua atau kita seorang ibu mentua yang mengongkong. Atau sebaliknya, di rumah bukan main lembut kita sebagai isteri dengan suami, tetapi di tempat kerja garang, sombong dan tunjuk kuasa.

Keempat, jadikan tempat kerja sebagai ladang pahala: Semua pekerjaan dan perbuatan bermula dengan niat. Niatkan bekerja sebagai ibadah tempat kita mencari rezeki dan pahala. Bagi wanita yang sudah berkahwin dan mendapat redha suami untuk bekerja, gunakanlah peluang yang suami berikan kepada kita itu, sebagai laluan untuk memberi manfaat kepada masyarakat dan keluarga. Kalau isteri berjawatan tinggi lebih daripada suami, tinggalkan jawatan itu apabila balik ke rumah. Hormatkan suami dan sentiasa mengasihi dan menghargainya, kerana syurga seorang isteri atas reda suaminya.

Keyakinan diri

Kelima, keyakinan diri: Orang yang tidak yakin kepada dirinya bermakna dia tidak yakin kepada Allah. Sebaliknya orang yang berkeyakinan diri dia percaya bahawa tidak akan berlaku musibah ke atasnya kecuali dengan ketentuan Allah, dan dia hanya berlindung dan bertawakal kepada Allah, dia tidak akan bertuhankan/mengagungkan/mendewa-dewakan manusia. Sebagai pekerja wanita mesti mempunyai keyakinan diri yang tinggi walaupun kita berada dalam kalangan pekerja lelaki yang tentunya dari segi fizikal kelihatan mereka lebih hebat. Amalkan sikap kerjasama dan elakkan persaingan yang boleh menimbulkan perasaan negatif, kecuali persaingan positif yang boleh membangunkan semangat yang positif.

Keenam, jangan berasa diri penting: Sebagai pekerja jauhi sifat keegoan. Kita seorang wanita yang secara fitrahnya mempunyai sifat yang lemah lembut dan sopan apabila berkata-kata. Kalau kita wanita yang berjawatan tinggi, sebagai ketua atau majikan jangan berasa diri kita hebat dan besar, kerana kita berasakan rezeki pekerja bawahan kita terletak dalam kekuasaan kita. Ingat bahawa sebenarnya rezeki seseorang itu dalam genggaman Allah, hanya melalui kita.

Ketujuh, jangan mengharapkan penghargaan orang: Apabila kita melakukan kerja sebagai pekerja jangan mengharapkan balasan, seperti kenaikan pangkat, pujian dan penghargaan. Lakukan kerja dengan ikhlas kerana Allah dan kerja sebagai ibadah.

Kelapan, memudahkan jangan menyusahkan urusan: Bekerjalah dengan kasih sayang dan saling menghormati antara satu sama lain. Kasih sayang membuatkan kita bekerja dengan sepenuh hati. Dan dengan menghormati kedudukan masing-masing, sama ada kita pekerja bawahan atau kita ketua akan mencipta suasana bekerja yang harmoni dan bertolak ansur. Mudahkan urusan yang susah dengan sikap bertolak ansur, dan jadilah kita orang yang senang melihat orang senang dan susah melihat orang susah.

Kesembilan, jangan merungut, mengeluh, dan menyesal: Setiap kali melaksanakan kerja berpeganglah kepada prinsip ‘saya mahu melakukan kerja’ bukan ‘saya kena melakukan kerja’. Sebab jika kita berprinsip ‘kena melakukan’ bermakna kita akan berasa terpaksa dan kita menjadi mangsa. Tetapi, kalau kita berprinsip ‘mahu melakukan’ bermakna kita dengan rela melakukan kerja itu dan kita akan bekerja bersungguh-sungguh, maka kita tidak akan merungut, mengeluh dan menyesal.

Kesepuluh, amalkan konsep bahagia membahagiakan: Kita akan sentiasa berada dalam keadaan bahagia kalau kita sentiasa memberikan kebahagiaan kepada orang yang mendampingi kita. Wujudkan suasana kerja yang ceria bukan stres. Keceriaan menambahkan kreativiti dan inovasi, tetapi ketegangan suasana/stres dalam suasana kerja menjadi punca penyakit-penyakit kronik.

Dengan ‘mata akal’ dan ‘mata hati’, kita bekerja dengan bersungguh-sungguh, sentiasa memberi perkhidmatan lebih daripada biasa, kerana kita bekerja dengan niat kerana Allah dan tempat kerja itu adalah ladang pahala kita. Pada hakikatnya memang kita hanya akan dapat berdasarkan nilai yang kita beri. Iaitu, kita dibayar berdasarkan keperluan yang dibayar, dan bagaimana bagus atau tidak kita melakukan kerja yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Dr.Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 04 September 2016 6:00 PM