September 7th, 2016

Mereka tidak pernah tinggalkan kita ...

SAYA sering mendengar luahan dan keluhan daripada kawan-kawan mengenai sikap adik-beradik mereka yang seperti tolak-menolak antara satu dengan lain dalam hal menjaga orang tua sendiri. Apatah lagi apabila ibu atau bapa mereka sedang mengalami masalah kesihatan yang memerlukan penjagaan sepenuhnya.

Ada yang kata, adik-beradik tidak mahu ikut giliran menjaga. Ada yang beri alasan sibuk dengan kerja. Ada juga yang mengadu susah hendak jaga kerana mempunyai anak-anak yang masih kecil yang perlu juga diberikan perhatian. Macam-macam alasan diberikan yang sebenarnya lebih kepada untuk mengelak menjaga mereka.

Sedangkan, jika diamati, orang tua kita tidak pernah mengelak dalam apa jua keadaan yang dilalui oleh anak-anak. Malah dalam beberapa fasa kehidupan yang kita lalui, merekalah orangnya yang sentiasa ada dan ­menyokong kita ketika orang lain mengelak untuk berbuat demikian.

Berdasarkan pengalaman saya menjaga orang tua yang ­sakit, lebih-lebih lagi berpenyakit kronik, ia memang amat memerlukan kesabaran. Apabila sakit, emosi mereka turut terganggu, lebih-lebih lagi mereka telah berusia. Hati mudah tersentuh, merajuk, cepat melenting dan adakalanya menunjukkan kedegilan yang luar biasa.

Tetapi saya mengandaikan bahawa itulah jua sikap dan perangai yang mereka hadapi dengan tenang dan sabar ketika saya masih kecil dan remaja dulu. Apabila sakit atau berdepan dengan macam-macam kerenah dan kedegilan saya ketika itu, tidak pula saya sampai tinggal separuh nyawa dibelasah atau dicekik mereka dan tidak juga mereka meninggalkan saya sendirian di rumah atau hospital.

Bila saya sakit, salah seorang tidak pergi kerja. Mereka tidak tolak-menolak siapa yang patut jaga atau tidak pula saya dengar masing-masing mengadu banyak kerja dan tidak boleh ambil cuti. Malam-malam mereka `tidur-tidur ayam’. Sesekejap menjenguk saya. Tidak pernah pun mereka tinggalkan saya dalam apa jua kesakitan dan kepayahan yang saya hadapi. Dan saya percaya, sikap yang sama ditunjukkan oleh semua ibu bapa.

Tetapi kini, kisah orang tua ditinggalkan anak-anak di tepi jalan dan di hospital sudah biasa kita dengar. Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya memberitahu, kes pesakit `terdampar’ di negara ini semakin membimbangkan apabila sekurang-kurangnya dua kes pesakit yang di­tinggalkan setiap bulan di hospital kerajaan di seluruh negara.

Sebahagian pesakit `terdampar’ ini dihantar sendiri oleh anak mereka ke hospital untuk rawatan, namun selepas sembuh, mereka tidak datang mengambilnya. Malah, waris pesakit ada yang memberikan alamat dan nombor telefon palsu kerana tidak mahu tahu apa yang berlaku kepada orang tua mereka selepas itu.

Kes ini sangat membimbangkan selepas mencatatkan penambahan sehingga melebihi 500 kes tahun lalu. Keadaan ini menunjukkan seolah-olah masyarakat kini sudah hilang nilai kemanusiaan dan sanggup membiarkan ibu bapa mereka dihantar ke rumah jagaan orang tua selepas mereka gagal dikesan.

Anak jenis apakah ini? Lepas tangan dan tidak mahu ambil kisah. Tidak adakah sedikit rasa belas kasihan melihat orang tua terkontang-kanting sendiri, tercari-cari dan menunggu-nunggu kelibat anak untuk membawa mereka pulang? Tenang dan senangkah hidup dengan membuang orang tua sendiri? Kesusahan dan keperitan hidup tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak menjaga ibu bapa sendiri. Sedangkan, mereka dulu sanggup bersusah payah dan berbuat apa sahaja untuk membesarkan dan memenuhi kehendak anak-anak.

Kita sebenarnya tidak perlu akan kempen-kempen kesedaran untuk menjaga orang tua sendiri. Itu sememangnya sudah menjadi tanggungjawab anak. Dan perkara yang perlu kita tahu, dalam dunia ini banyak yang boleh dicari sebagai ganti, tetapi apabila ibu atau ayah sudah tiada di dunia ini, sesiapa pun tidak dapat menggantikan tempat mereka. - Fauziah Arod Utusan Malaysia Rencana 07 September 2016 6:00 PM

Culas bayar zakat

Selama kira-kira 30 tahun saya tidak pernah membayar zakat, sama ada zakat pendapatan mahupun mana-mana zakat harta. Hanya zakat fitrah sahaja yang ditunaikan.

Saya hanya memberikan terus sedekah dan zakat kepada golongan asnaf, kerana merasakan lebih memberi kepuasan. Justeru, saya berzakat secara terus dengan kiraan saya sendiri dan tidaklah tetap.

Saya yakin apa yang saya keluarkan masih belum setimpal dengan apa yang diperoleh. Saya pernah menerima ‘teguran’ Allah, namun masih leka dengan kemewahan yang dinikmati. Sehinggalah kini, perniagaan yang dibina sejak tahun 2000 mula merudum.

Tidak jatuh miskin kerana berzakat

JANGAN biarkan bisikan syaitan menguasai diri hingga lupa tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah.- GAMBAR HIASAN

Saya cuba menginsafi dan memperbaiki diri, namun keadaan masih sukar dan terkadang hampir putus asa kerana puas mencari mana silapnya. Saya hanya akur bahawa ini mungkin hukuman atas kealpaan selama ini.

Sehinggalah saya mendengar sebuah kuliah zakat, lalu saya sedar dan insaf kerana tidak menunaikan zakat pendapatan seperti yang diperintahkan-Nya.

Kini keadaan kewangan syarikat berada dalam dilema. Justeru, bagaimana harus saya mula membayar zakat tersebut. Bagaimana caranya untuk qada zakat tertunggak.

Jawapan: Alhamdulillah jika sudah ada cetusan perasaan dan kesedaran dalam kewajipan zakat. Hakikatnya, bisikan ini datangnya daripada Allah SWT. Maka pesan saya, kuatkan tekad dan azam, kemudian teruskan niat untuk melunaskan zakat yang terabai itu.

Semasa ini saya yakin pada diri saudara telah datangnya pelbagai bisikan dari segenap penjuru, agar saudara menimbangkan kembali niat mahu melangsaikan hutang-piutang itu dengan Allah SWT.

Ini kerana, Allah sudah menjelaskan bahawa inilah bisikan daripada iblis dan konco-konconya, firman Allah: “Syaitan (itu sentiasa) menjanjikan (menakutkan) kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan (kikir atau kedekut); sedang Allah menjanjikan untukmu ampunan daripada-Nya dan kurnia. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” (al-Baqarah: 268)

Kini, apa yang paling utama, semoga ada jalan penyelesaian terhadap dilema yang sedang membelenggu. Dalam hal ini, suka saya sebutkan, memang dari aspek hukum, wujud khilaf dalam kalangan fuqaha mengenai harta zakat yang binasa dek kerana kelalaian seseorang. Ada yang menyatakan, orang itu masih wajib berzakat dan ada yang menyatakan, sudah terlepas zakatnya kerana hartanya sudah binasa.

Namun saya sendiri menyetujui pandangan bahawa adalah wajib orang berkenaan menggantikannya apabila sudah memiliki kembali hartanya. Inilah yang tepat dan sudah pasti ia dinamakan qada. Bahkan jumhur ulama menyatakan, berdosa besar bagi sesiapa yang sudah cukup syaratnya namun melengahkan zakat.

Bahkan, pihak pemerintah Islam sebenarnya berhak mengenakan tindakan takzir kepada pengingkar zakat, termasuklah mereka yang melengahkannya.

Dalam kes saudara ini, saya dapat membayangkan sedikit-sebanyak kekangan yang ada. Namun, insaflah gesaan Allah SWT: “Dan apabila engkau telah mempunyai ketetapan hati (keazaman) maka berserah dirilah kepada Allah (akan natijahnya),” (Ali Imran: 159)

Ingatlah, harta dan diri kita ini milik Allah SWT. Apabila kita cuba mendekatkan diri kepada-Nya, sudah pasti Allah membukakan pintu-pintu keberkatan ke atas kita. Ingatlah pesan Allah: “Jika seluruh penduduk sebuah negeri itu beriman dan bertakwa, nescaya kami akan melimpahkan kepada mereka berkat dari langit dan bumi.” (Al-A’raf: 96)

Nabi SAW turut berpesan: “Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.” - Riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad

Akhirnya, mari kita lihat janji Allah ini: “Sesungguhnya penolong kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman, yang mendirikan solat dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasul-Nya serta orang-orang yang beriman itu (sebagai) penolongnya, (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah (golongan) yang tetap menang (beroleh kejayaan).” (al-Maidah: 55 dan 56)

Kesimpulannya, tunaikan qada zakat itu walaupun dengan jumlah RM50 sebulan, Insya-Allah, jika saudara ikhlas dengan benar-benar mengharapkan keampunan dan keberkatan daripada Allah, maka Dia berhak memberikannya tanpa sesiapa pun lagi dapat menahannya. Semoga dengan berzakat, perniagaan saudara kembali pulih dan mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda.

Apa yang perlu dilakukan oleh mereka yang tersedar atas kesilapan tidak berzakat:

Menghitung kembali segala kekayaan cukup syaratnya yang lalu dan menunaikan zakatnya hari ini juga

Jika dia mampu, maka diqadakan secara tunai, jika tidak mampu, qadalah secara berdikit-dikit

Dalam masa yang sama, wajib baginya memohon ampun (bertaubat) atas kealpaannya

Menjaga agar tidak lagi alpa membayar zakat

Ingat juga, jika kita berasa bimbang menjadi fakir kerana berzakat, maka Allah boleh menambahkan kebimbangan dalam hati, menambahkan beban atas diri sehingga kita merasa sempit kanan dan kiri, firman Allah SWT: “Jangan engkau jadikan tangan engkau terbelenggu ke leher engkau dan jangan pula engkau lepaskan selepas-lepasnya (jangan bakhil dan jangan pemboros, nanti kamu akan duduk tercela dan menyesal.” (al-Isra’: 29)

Memahami Aidiladha

KETIKA ini jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci Mekah. Syukur kepada Allah SWT untuk mereka yang berpeluang menunaikan ibadah haji, menjadi tetamu Allah dan semoga dikurniakan kesihatan serta dipermudahkan segala urusan seterusnya memperoleh haji mabrur.

Bagi yang masih belum tertunai hajat tersebut, bersabarlah. Teruskan komitmen dan niat mengerjakan ibadah haji di samping menjaga kesihatan, bersabar serta berdoa kepada Allah SWT. Insya-Allah. Bagi individu yang tidak menunaikan ibadah haji, masih berpeluang mendapat kelebihan bulan Zulhijah terutama disunatkan berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijah). Nabi SAW bersabda mafhumnya :

“Ketika puasa pada hari Arafah, aku berharap Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa setahun yang lepas dan dosa-dosa setahun yang akan datang,” - Riwayat Muslim.

Manfaatkannya untuk peroleh ganjaran Allah

SEBAIK-BAIK doa adalah pada hari Arafah. - GAMBAR HIASAN

Dianjurkan untuk berzikir dan berdoa pada hari tersebut. Sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah, sebaik-baik ucapan yang diucapkan olehku dan nabi-nabi sebelumku adalah: Tiada Tuhan melainkan Allah yang Maha Esa dan tiada sebarang syirik (sekutu) bagi-Nya, bagi-Nya segala penguasaan dan pujian, Dialah yang berkuasa bagi setiap sesuatu,”- Riwayat Tirmizi.

Aidiladha perayaan istimewa selain Aidilfitri, disambut pada 10,11,12 dan 13 Zulhijah. Bermula dengan takbir pada malam 10 Zulhijah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha pada pagi 10 Zulhijah dan dilangsungkan ibadah korban pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijah. Sambutan Aidiladha dalam kalangan masyarakat Arab di Timur Tengah lebih meriah berbanding sambutan Aidilfitri.

Aidiladha hari istimewa memperingati perjuangan Nabi Ibrahim a.s., isterinya Siti Hajar dan putera mereka, Nabi Ismail a.s. menghadapi ujian besar dalam mematuhi perintah Allah SWT. Ia turut merujuk kepada kemuncak ibadah haji iaitu wukuf di Padang Arafah. Wukuf di padang Arafah ini dilakukan kerana diyakini tempat pertemuan semula Nabi Adam a.s. dan isterinya, Hawa setelah diturunkan dari syurga. Setelah memohon keampunan dan bertaubat, akhirnya Allah SWT menerima taubat dan dosa mereka diampunkan di Padang Arafah.

Di Arafah peluang terbaik menumpukan sepenuh perhatian beribadah kepada Allah SWT. Jemaah haji semestinya tidak melepaskan peluang membaca al-Quran, berwirid, berzikir, solat sunat dan berdoa. Memohon keampunan Allah dan berharap mendapat haji mabrur. Hari wukuf dianggap hari paling mencabar menguji daya ketahanan jemaah sama ada dari mental, fizikal atau spiritual. Suasana panas terik membayangkan perhimpunan yang lebih besar, lebih panas dan lebih padat di Padang Mahsyar. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya :

“Allah berfirman kepada para malaikat : Lihatlah hamba-hamba Ku! Mereka datang kepada-Ku dengan rambut kusut dan berdebu, mengharapkan rahmat-Ku. Aku bersaksi kepadamu bahawa Aku mengampunkan mereka,”- Riwayat Ahmad dan Tabrani.

PELENGKAP 
RUKUN ISLAM

Ibadat haji pelengkap rukun Islam selepas syahadat, solat fardu lima waktu, puasa Ramadan dan menunaikan zakat. Haji wajib sekali seumur hidup bagi mereka yang mampu melaksanakannya. Ibadah haji bukan sekadar ibadah pelancongan ke Baitullah. Ia merupakan ibadah mencapai keredaan Allah SWT.

Ibadah haji menuntut keikhlasan dan pengorbanan jiwa raga mahupun harta benda, menuntut kesatuan umat dan saling berinteraksi dalam kesatuan Muslimin yang teguh.

Nikmat ukhuwah ini hanya boleh dirasai oleh mereka yang ikhlas mengerjakan ibadah haji dan faham dengan jelas ibadah dalam Islam. Mereka yang ingin menyempurnakan agama dengan menunaikan ibadah haji, wajib berusaha mencari harta membiayai perjalanan ke Tanah Suci.

Usaha paling minimum ialah sehingga mempunyai lebihan wang untuk keperluan diri dan tanggungan setelah ditunaikan ibadah haji. Ibadah haji mendorong umat Islam berusaha bagi menjamin kebahagiaan hidup dan keselesaan menjalani ibadah dengan sempurna.

Hukum melaksanakan ibadah korban adalah sunat muakkad bagi individu yang berkemampuan sebagai mensyukuri nikmat dan mengharapkan keampunan Allah SWT. Ia membolehkan mereka yang berkemampuan berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan.

Paling afdal bersedekah semuanya kecuali beberapa ketul atau suapan yang berpatutan dimakan oleh orang yang berkorban untuk mengambil berkat seperti sebahagian hati kerana ia sunat dimakan. Amalan ini pernah dilakukan oleh Nabi SAW ketika baginda melakukan korban.

Mengutamakan pembahagian daging korban kepada fakir miskin, anak yatim dan jiran tetangga agar dapat disemai ikatan kasih sayang dan ukhuwah antara mereka yang kekurangan di samping meningkatkan rasa keprihatinan dan persahabatan terhadap kebajikan sesama insan.

Meraikan Aidiladha, umat Islam yang tidak mengerjakan haji disunatkan menghidupkan malam 10 Zulhijah dengan :


  • Membaca al-Quran,

  • Qiyamullail dan bertahajjud

  • Bertaubat memohon keampunan

  • Berzikir mengagungkan Allah SWT yang memberikan nikmat dalam kehidupan.

  • Pada pagi 10 Zulhijah, disunatkan :

  • Mandi sunat Aidiladha.

  • Memakai pakaian baharu, bersih, wangian

  • Menjamah jamuan selepas selesai solat sunat Aidiladha.

  • Menggunakan jalan berbeza pergi dan pulang dari masjid, lebih afdal berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.

  • Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijah hingga terbenam matahari 13 Zulhijah.

  • Mendirikan solat sunat Aidiladha dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan.

Melakukan ibadah korban menyembelih haiwan ternakan seperti unta, lembu, kerbau, biri-biri atau kambing bermula 10 Zulhijah dan hari Tasyrik (11 - 13 Zulhijah). Nabi Muhammad SAW bersabda mafhumnya :

“Tiada sesuatu amalan anak Adam di Hari Nahar (Hari Raya Aidiladha) yang lebih disukai Allah selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada Hari Kiamat (sebagai saksi) dengan cukup segala tubuh anggota, cukup bulunya, tanduknya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak pada suatu tempat di sisi Allah SWT sebelum mengalir ke tanah, kerana itu berbahagialah dirimu dengannya,”- Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim.


  • Menurut pandangan 
ulama mazhab Shafie pembahagian daging korban dilakukan :

  • 1/3 dimakan oleh pihak yang berkorban dan ahli keluarga.

  • 1/3 disedekahkan kepada fakir dan miskin.

  • 1/3 dihadiahkan kepada sahabat handai termasuk orang kaya atau jiran-jiran.

Belajar reda dengan apa dimiliki

TERLALU banyak perkara yang menyeronokkan dalam hidup ini, tanpa kita sedari ia juga boleh membawa kerosakan.

Tanya penagih dadah, mereka tahu dadah itu merosakkan, tetapi kerana tarikan sedap dan seronok yang ada pada dadah, mereka abaikan larangan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu." (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Hidup sentiasa menjanjikan sesuatu di luar jangkaan dan pastinya berdepan pelbagai ujian dan cabaran bukan sedikit. Cabaran itulah ada kalanya membuat kita lemah dan tersungkur.

Menerusi rancangan Pesona D' Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menekankan kepentingan percaya kepada qada dan qadar.

Katanya, Islam menitikberatkan sifat sabar apabila berhadapan ujian, musibah atau malapetaka. Hamba Allah SWT akan berjaya mengekalkan kesabarannya jika sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran mengenai hakikat atau hikmah musibah.

Hanya mereka yang bersangka baik kepada Allah SWT memiliki kesabaran dan iman yang teguh, iaitu mereka yang jodoh dan pertemuan di tangan Allah SWT walaupun ada kala kita menyangkakan ia terjadi dengan sendiri tanpa disedari.

Tetapi, jangan sesekali kita sesal dengan jodoh dikurniakan Allah SWT.

Usah cepat menyerah

Kata-kata jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Allah SWT wajar dijadikan renungan kerana ia mampu mendidik manusia dengan sifat qana'ah (bersyukur dengan apa yang ada), tetapi wujud pula manusia terlalu cepat menyerah kepada takdir tanpa sebarang usaha.

Allah SWT tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuan hambanya seperti firman-Nya yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Ayat itu mengingatkan kita Allah SWT tahu kita ada kekuatan yang tersembunyi dalam diri untuk menghadapi ujian, maka hendaklah berusaha mencari kekuatan itu.

Terkadang kita jarang kaitkan ayat berkenaan dengan anugerah, rezeki, jawatan atau situasi yang kita harap dapat kita miliki.

Contohnya, suami isteri yang mengharapkan dikurniakan cahaya mata, namun sehingga kini masih tidak mendapat seperti diharapkan.

Mengaitkan dengan ayat itu, Allah SWT tidak akan membebankan hamba-Nya melebihi kemampuan seseorang itu, maka ia memberitahu kemungkinan kita belum bersedia menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Apa sahaja yang dilalui oleh manusia adalah ujian yang diturunkan oleh-Nya. Allah SWT menguji seseorang bukan kerana benci, tetapi kerana Dia sangat kasih kepada kita.

Oleh itu, perbaikilah diri supaya sentiasa menjadi umat yang tenang menerima takdir dan ujian daripada Ilahi.

Dalam memperkuatkan lagi kepercayaan mengenai qada dan qadar, berpegang teguhlah kepada Allah SWT apabila dilimpahi kesenangan.

Elakkan daripada memiliki sifat riak dan takbur dan jangan biarkan sifat itu bermaharajalela di jiwa, sebaik-baiknya berusaha muhasabah diri. Ahmad Nazri Mohd Yusof Berita Harian Kolumnis Selasa, 6 September 2016 @ 7:11 AM