September 9th, 2016

Khutbah Jumaat: “Ibadah Korban; Syiar Allah Yang Penuh Pengajaran ”

Petikan Khutbah Jumaat 09 Septermber 2016: JAIS

“Ibadah Korban; Syiar Allah Yang Penuh Pengajaran ”

Tanggal 10 Zulhijjah akan menjelma lagi. Hanya tinggal beberapa hari lagi kita akan menyambut Idul Adha yang penuh dengan keberkatan.

jais.jpgPada hari tersebut ummat Islam diperintahkan supaya mengagungkan syiar Allah SWT. Bagi ummat Islam yang berada di Mekah al-Mukarramah mereka akan sibuk menyempurnakan Ibadah Haji, rukun Islam yang kelima. Manakala ummat Islam yang lainnya, mereka disyariatkan supaya menunaikan solat Idul Adha dan melaksanakan Ibadah Korban.

Korban adalah satu ibadah yang dilaksanakan pada Idul Adha. Idul Adha itu juga bermaksud menyembelih binatang ternakan seperti kambing, lembu, unta, atau seumpamanya dengan syarat-syarat tertentu yang bertujuan untuk bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Menyembelih qurban merupakan satu amalan yang sangat dicintai oleh Allah SWT untuk dilaksanakan pada hari raya Idul Adha dan hari-hari tasyriq.

Imam at-Tirmizi meriwayatkan daripada Saidatina 'Aisyah RAnha bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud; “Tidak ada suatu amalan pun yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban, lebih dicintai oleh Allah selain dari menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu kelak di hari Kiamat akan datang beserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya, dan sesungguhnya sebelum darah korban itu jatuh ke tanah, pahala korbannya telah diterima di sisi Allah, maka beruntunglah kamu semua dengan pahala korban itu”.

Oleh kerana itu, sesiapa yang berkemampuan hendaklah ia melaksanakan ibadah korban, sekurang-kurangnya satu bahagian korban bagi setiap keluarga. Hukum perlaksanaannya adalah sunat muakkad, iaitu suatu sunnah yang sangat dituntut oleh Islam.

Nabi SAW juga telah memberi peringatan kepada orang-orang yang berkemampuan supaya melakukan ibadah tersebut. Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RAnhu bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berqurban, tapi ia tidak mahu berkorban, maka janganlah ia mendekati musalla (tempat solat) kami”.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian, Bagi sesiapa yang telah berniat untuk melakukan ibadah korban pada tahun ini, mereka disunatkan supaya tidak memotong rambut dan kuku mulai 1 Zulhijjah sehingga selesai sembelihan qurban dilaksanakan dan mereka juga disarankan supaya menyembelihnya sendiri atau menyaksikan penyembelihannya.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada Ummu Salamah RAnha bahawa Nabi SAW bersabda, “Jika kamu telah menyaksikan anak bulan Zulhijjah dan kamu ingin berkorban, maka hendaklah orang yang ingin berkorban itu tidak memotong rambut dan kukunya”.

Ibadah korban juga mengajar kita bahawa sesuatu amalan yang diterima oleh Allah SWT ialah amalan yang menepati ajaran Nabi Muhammad SAW. Dalam penyembelihan korban ada cara atau ketentuan yang mesti dipenuhi.

Binatang yang hendak dikorban mestilah sihat, tidak cacat, cukup umur. Waktu penyembelihannya juga hendaklah dilakukan setelah solat Idul Adha selesai. Imam al-Baihaqi meriwayatkan hadis daripada Al Barra’ bin ‘Azib RAnhu bahawa Nabi SAW bersabda,
“Sesiapa yang solat seperti solat kami dan menyembelih korban seperti korban kami, maka ia telah mendapatkan pahala korban. Sesiapa yang menyembelih korban sebelum solat Idul Adha, maka itu hanyalah seperti sembelihan yang ada sebelum solat dan ia tidak dikira sebagai korban”.

Begitu juga pengagihan daging qurban, ia hendaklah diagihkan secara percuma dari daging yang belum dimasak. Bahkan kulitnya tidak boleh dijual atau diberi sebagai upah kepada pekerja sembelihan.

Jika ketentuan di atas dilanggar maka sembelihan tersebut tidak menjadi ibadah qurban seperti yang disyariatkan. Setelah sembelihan korban selesai, 1/3 bahagian bolehlah diambil oleh orang yang berkorban kecuali korban nazar. 1/3 bahagian lagi kepada golongan fakir miskin dan baki 1/3 lagi bolehlah diagih-agihkan kepada jiran tetangga sebagai sedekah atau hadiah supaya sama-sama dapat merasai dan mensyukuri sebahagian dari nikmat kurniaan Allah SWT.

Hadirin yang berbahagia sekalian, Sesungguhnya terdapat banyak faedah dan pelajaran yang dapat diambil dan dihayati oleh ummat Islam di sebalik pensyariatan ibadah korban ini.

Antaranya, ibadah korban mengajar kita tentang pentingnya ikhlas dalam amalan. Dengan keikhlasan dan ketakwaan yang sebenar, maka keredhaan Allah SWT dapat dicapai.

Penyembelihan korban dan pengagihan dagingnya semata-mata bukanlah menjadi matlamat utama, sebaliknya keikhlasan yang tulus ketika berkorban itulah yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37;“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu...”.

Muslimin yang dirahmati Allah sekalian, Pengajaran yang lain yang dapat dihayati dari ibadah korban ialah penyemaian sifat berkorban dan berinfaq harta kesayangan semata-mata kerana Allah SWT.

Dalam ibadah korban kita diperintahkan supaya mengorbankan binatang ternakan yang terbaik dan disayangi. Manakala dagingnya pula tidak boleh dijual, tetapi hendaklah diagihkan secara percuma sebagai infaq pada jalan Allah SWT.

Hal ini amat menguji keimanan kita, kerana naluri seorang manusia itu adalah sangat cintakan pada harta. Ingatlah, harta yang diinfaqkan pada jalan kebaikan dan ketaatan, semakin banyak ia dikeluarkan akan semakin bertambah keberkatannya. Sebab itu kita dapati tiada seorangpun yang berkorban hartanya untuk ibadah korban, hidupnya menjadi papa dan miskin. Ingatlah janji-janji Allah SWT melalui firman-Nya dalam surah Saba’ ayat 39, …dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantinya; dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki”.

Bagi mengakhiri khutbah pada hari ini marilah kita memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut:

1. Umat Islam hendaklah menghayati dan meyakini bahawa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail AS adalah sebagai salah satu contoh pengorbanan yang ikhlas dalam mentauhidkan Allah SWT.

2. Umat Islam diseru supaya sama-sama berkorban demi memartabatkan syiar dan syariat Islam dalam kehidupan harian.

3. Umat Islam hendaklah sentiasa ikhlas dalam melaksanakan segala perintah Allah SWT untuk mendapat ganjaran dan keredhaan Allah SWT.

4. Umat Islam yang berkemampuan amat dituntut untuk melakukan ibadah korban sebagai tanda kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

“Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). (al-Kautsar ; 1-3).

Khutbah Jumaat “Menjadi Tetamu Allah"

Petikan Khutbah Jumaat  (9 September 2016 / 7 Zulhijjah 1437) JAKIM

“Menjadi Tetamu Allah"

Ibadah yang kita sempurnakan adalah untuk mencerminkan hubungan kita dengan Allah SWT. Dalam konteks kehidupan kita sebagai muslim, sebenarnya terdapat ibadah yang merupakan tuntutan harian seperti solat lima waktu, terdapat secara mingguan seperti solat Jumaat, terdapat secara tahunan iaitu ibadah puasa di bulan jakim.jpgramadan dan terdapat yang dituntut seumur hidup sekali iaitu ibadah Haji. Ringkasnya, sebagai hamba kita sentiasa berhubung dengan pencipta melalui tahap-tahap ibadah yang merupakan syiar Islam. Pengorbanan demi pengorbanan diuji untuk memantapkan ketakwaan kita kepada Allah SWT.

Pengorbanan mempunyai maksud yang sangat luas, malah ia sangat dituntut dalam pelbagai aspek kehidupan orang yang beriman. Tanpa pengorbanan, syiar-syiar Islam sukar ditegakkan. Justeru, semangat pengorbanan yang didasari oleh iman yang jitu, perlulah disuburi dalam kehidupan umat Islam. Inilah salah satu intipati daripada ibadah Haji yang dilaksanakan oleh umat Islam pada masa ini yang sedang berkumpul di tanah suci Mekah sebagai tetamu Allah di Baitillah al-Haram.

Maksud firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 96 dan 97 yang dibacakan di awal khutbah tadi:

"Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Mekah, yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Maqam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajiban ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.”

Hakikatnya, dalam menunaikan ibadah haji, seseorang terpaksa meninggalkan kesibukannya, pekerjaannya, keluarganya, kedudukannya, tempat tinggalnya dan kebiasaan kesenangannya hanya semata-mata untuk mendapatkan keredhaan dan pengampunan Allah SWT. Kekuatan ini lahir kerana kewajiban haji adalah sekali seumur hidup dan ia seolah-olah gambaran sebuah perjalanan atau rehlah terakhir menuju kepada Allah di dunia ini sebelum perjalanan sebenar di akhirat nanti.

Pelaksanaan haji memberi banyak kesan perubahan yang positif kepada pelakunya jika benar-benar dihayati. Ia boleh mengubah seseorang menjadi insan yang taat kepada Allah dan membentuk peribadi mukmin sejati. Semakin banyak masa, harta dan tenaga dikorbankan, maka semakin tinggi kesan yang diperoleh. Lebih-lebih lagi pengampunan dosa-dosa di sisi Allah SWT.

Imam Al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis:
Mafhumnya: Sayyar Abu Al-Hakam berkata aku mendengar Aba Hazim berkata, Aku mendengar Abu Hurairah berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menunaikan Haji kerana Allah, dan dia tidak merosakkannya dengan perbuatan dan percakapan kotor serta tidak membuat maksiat, maka dia kembali seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”

Oleh itu, kita disarankan agar mengambil iktibar daripada peristiwa dan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim A.S, isteri serta anaknya Nabi Ismail A.S.  Sesungguhnya pengorbanan mereka sekeluarga menjadi isyarat penting ke arah meninggikan syiar Islam sekaligus membawa kemakmuran kepada bumi Mekah.

Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 37
: Maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

Selain itu, jemaah haji juga dapat mengikat satu jalinan hubungan kemasyarakatan peringkat antarabangsa semasa musim haji. Mereka dapat berkongsi maklumat, budaya, ilmu serta ekonomi yang memberi kekuatan kepada umat Islam.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hajj ayat 27-28:
Maksudnya: "Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. "Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”

Ketahuilah, walaupun kita tidak bersama-sama mereka di tanah suci Mekah, namun kita boleh mengambil semangat bersama para jemaah haji untuk melakukan beberapa perkara yang dianjurkan dalam Islam. Antaranya ialah mendoakan kesihatan dan kesejahteraan mereka agar ibadah yang dikerjakan berjalan dengan baik serta dikurniakan haji yang Mabrur. Kita amat bersyukur kerana disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh jemaah haji Malaysia sehingga hari ini telah memudahkan pihak berkuasa Arab Saudi mengatur perjalanan ibadah yang lebih sempurna dan dapat diteladani oleh pihak lain.

Selain itu, kita juga digalakkan agar melaksanakan puasa sunat pada hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah sebagaimana pesanan Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Imam Muslim: Mafhumnya: “Sabda Rasulullah SAW: Puasa pada hari Arafah, aku mengharapkan Allah mengampunkan dosa setahun sebelum dan setahun berikutnya.”

Manakala pada malam hari raya Idul Adha pula, marilah sama-sama kita menghidupkannya dengan amal ibadah. Disamping itu, kita juga disunatkan untuk melakukan ibadah korban dengan menyembelih binatang ternakan dengan niat mendekatkan diri kepada Allah bermula 10 Zulhijjah hinggalah ketiga hari Tasyrik selain memperbanyakkan takbir. Daging sembelihannya pula diagih-agihkan kepada fakir miskin dan umat Islam untuk mengeratkan lagi hubungan sesama kita dan mengembirakan golongan yang memerlukan dengan amalan ziarah bertujuan merapatkan tali persaudaraan.

Sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-83 pada 16 September 2016 ini, mimbar mengucapkan tahniah kepada seluruh warga angkatan tentera dan mendoakan semoga Allah SWT memelihara mereka sepanjang masa. Di samping itu, mimbar juga mengajak sidang jemaah sekalian menyertai kempen program ‘World Hashtaq# Quran Hour Perdana’ yang diadakan pada 9 Zulhijjah sempena Hari Wuquf di Arafah dengan membaca dan menghayati al-Quran selama 1 jam yang  dilakukan secara serentak di seluruh dunia. Mudah-mudahan usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekelian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:

Pertama: Umat Islam dituntut sentiasa menjana kekuatan iman serta semangat berkorban demi agama, bangsa dan negara.
Kedua: Kita juga perlu menghayati secara keseluruhan falsafah daripada ibadah dan seruan yang terdapat di dalam bulan Zulhijjah untuk menterjemahkannya dalam kehidupan harian.
Ketiga: Pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka yang terdahulu seharusnya disanjungi dan dikenang.

Maksudnya: "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. Kamu beroleh berbagai-bagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu hingga ke suatu masa yang tertentu (bagi menyembelihnya); kemudian waktu menyembelihnya ketika sampai di tanah haram Baitullah yang tua sejarahnya itu". (Surah al-Hajj: 32-33)