September 10th, 2016

Pengurusan sembelihan korban

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Kauthar: 1-2 bermaksud: “ Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).”

Hari Raya Aidiladha atau dikenali Hari Raya Haji memang amat ditunggu-tunggu oleh fakir miskin. Bagi mereka jika hendak makan daging segar inilah masanya kerana ramai orang Islam berkemampuan akan me­lakukan ibadah korban setahun sekali ini. Ketika inilah betapa enaknya daging itu dirasai fakir miskin. Amalan ibadah menyembelih binatang korban ini sama ada lembu,kerbau, kambing atau unta amat dituntut oleh Islam sejajar dengan roh pengorbanan Nabi Ibrahim yang akhirnya menyembelih seekor kibas.


Bagi fakir miskin jika hendak makan daging segar inilah masanya kerana ramai orang Islam berkemampuan akan melakukan ibadah korban setahun sekali ini. GAMBAR HIASAN/ FAUZI BAHARUDIN

Manfaat sembelihan korban ini bukan hanya kepada fakir miskin bahkan kepada penternak, penjual atau peraih juga. Justeru dinasihatkan golongan ini juga melakukan pengorbanan tanpa memikirkan keuntungan. Setiap tahun mesti harganya meningkat. Ada setengah masjid isytihar perang harga korban. Apatah lagi bekalan haiwan tidak mencukupi. Senario di Malaysia setiap kali Hari Raya Haji, sumber haiwan ini tidak mencukupi dan kadang-kadang terpaksa diimport.

Penulis ingin menyentuh kaedah penyembelihan yang diamalkan di Malaysia. Penulis pernah ditanya oleh industri sembelihan di Australia ketika membuat audit sembelihan di sana. “Adakah sembelihan di Malaysia menjaga kebajikan haiwan (animal welfare)?” Soalan ini ada kaitannya dengan kaedah sembelihan korban yang diamalkan di Malaysia. Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia memberi keselesaan kepada binatang sembelihannya.”(Hadis Riwayat Muslim)

Adakah ihsan ini diambil kira dalam sembelihan korban? Contohnya, lembu ditambat tanpa diberi minum di tengah panas dan hujan sehari semalam, diikat kaki dengan sekuatnya dan diheret di atas tanah serta duduk atas haiwan tersebut ketika sembelih, mengasah pisau di hadapan haiwan, tidak diuraikan tali ikatan selepas sembelih, mencabut bulu-bulu di leher haiwan sebelum sembelih, melapah sebelum sempurna mati, sembelih di hadapan haiwan lain. Pandangan ulama semuanya ini adalah makruh dan tiada ihsan ke atas haiwan korban. Adalah malang sunat korban itu dicampurkan dengan perbuatan makruh ketika proses sembelihan korban.

Antara perkara sunat dalam sembelihan korban adalah membaca Bismillah dan selawat, lelaki yang baligh dan berakal, pisau yang tajam, membaringkan binatang di atas rusuk kiri dengan kepala diangkat sedikit, memutuskan semua urat leher yang tertentu supaya cepat mati tanpa seksa, mengadap kiblat (­penyembelih dan haiwan). Bagi sembelihan korban, disunatkan takbir tiga kali sebelum dan selepas membaca Bismillah, tidak mengasah pisau di depan binatang yang hendak disembelih, tidak menyembelih di depan binatang lain, memberi minum binatang sembelihan itu sebelum disembelih. Etika penyembelih juga perlu diambil kira seperti penyembelih fasiq.

Penyembelih juga mesti ­betulkan niat kerana terdapat ­penyembelih menyembelih ke­rana sesuatu seperti nak ekor, kepala, hati atau sebagainya. Ini semua memberi kesan keberkatan dan kualiti daging

Antara perkara sunat ketika berkorban adalah menambat ternakan korban menjelang Hari Nahar, memastikan haiwan korban tidak makan makanan yang syubhah (makan rumput di kawasan yang bukan milik tuan haiwan korban), melakukan penyembelihan korban dengan sendiri, memilih ternakan paling baik dan menunggu ternakan yang disembelih itu sehingga sejuk atau benar-benar mati barulah dilapah. Orang yang melakukan korban disunatkan tidak bercukur dan tidak memotong kukunya setelah tiba bulan Zulhijjah sehingga dia selesai berkorban.

Kepada pihak yang menganjurkan korban juga perlu memahami kaedah-kaedah tertentu. Antara perkara yang perlu diberi perhatian semasa aktiviti penyembelihan adalah tempat sembelih dan lapah yang khusus dengan ambil kira ­aspek keselamatan dan kebersihan serta kesesuaian, Kawasan tambatan ternakan korban hendaklah lapang, teduh dan selamat, menyediakan air minuman yang bersih dan makanan yang mencukupi bagi haiwan itu, darah penyembelihan tidak boleh dialirkan ke saliran awam seperti longkang, tali air, parit dan sebagainya, Daging yang dilapah hendaklah digantung pada tiang yang tidak berkarat dan ketinggian tiang yang bersesuaian agar daging yang dipotong tidak mencecah lantai.

Sebenarnya, semua kaedah dan permasalahan ini telah dibukukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban Bilangan 2 Tahun 2013. Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) juga telah jelaskan dalam modul tauliah sembelihan. Begitu juga Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengeluarkan Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban. Lantaran itu, dicadangkan setiap masjid, surau dan organisasi mengadakan kursus sembelihan kepada ahli kariah dan masyarakat supaya memahami konsep dan teknik sembelihan korban serta ihsan.

Islam mengajar umatnya supaya berihsan dengan haiwan termasuk adab dan kaedah sembelihan. Kaedah sembelihan yang betul memberikan gambaran jelas kepada orang bukan Islam bahawa Islam itu sempurna dan lengkap. Alangkah indahnya amalan sunat korban itu disuburkan dengan semua amalan sunat lain dalam sembelihan korban. Ini juga memberi gambaran ibadah korban dapat menjaga adab-adab dan ihsan supaya dapat melahirkan rasa ­syukur dan taat kepada Allah.

-

Kesatuan pemimpin teras kesucian Islam

KESUCIAN Islam yang menjadi agama rasmi di negara ini telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 3 (1) bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Bangsa Melayu adalah tonggak yang mempertahankan Islam. Kekuatan ummah dalam kala­ngan orang Islam adalah keperluan utama, sejagat dan kunci kepada pembentukan jati diri dan kestabilan masyarakat yang berteraskan kesucian Islam. Jangan benarkan pihak-pihak ter­tentu memperlekeh Islam dan ini perlu dijadikan agenda utama dalam menyemarakkan sema­ngat keharmonian dalam kalangan ummah dan negara.


Golongan agamawan sebagai kumpulan masyarakat yang mempunyai ilmu agama kukuh perlu terlibat secara aktif memberi kefahaman dan mempertahankan Islam. GAMBAR HIASAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH

Tetapi malangnya, umat Islam dan Melayu di negara ini terlalu membuka banyak ruang sehingga pihak lain semakin berani mempersoalkan kesucian Islam de­ngan harapan nilai utama Islam itu diteliti semula mengikut logik akal mereka dan dibahaskan secara terbuka. Kita lihat, daripada rungutan terbuka terhadap lau­ngan azan, terdengar pula kritikan terhadap isi kandungan khutbah Jumaat dan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu, ada yang menganggap amalan bersedekah duit raya itu berunsur rasuah. Sampai bilakah pihak-pihak ini terus dibiarkan dan ‘menjentik’ sensitiviti kaum dan penganut agama Islam?

Mengapa mereka perlu pertikai isi kandungan khutbah Jumaat? Segala yang disampaikan khatib adalah untuk kepentingan umat Islam. Mengajak umat bertakwa, bersatu dan memajukan diri dan ummah dan bukan untuk menafikan hak orang lain. Begitu juga mereka yang me­nuduh amalan bersedekah duit raya itu berunsur rasuah. Dalam Islam bersedekah itu tanda bersyukur dengan nikmat kurniaan Allah SWT. Ini juga sebagai ikatan mesra di antara sesama ahli keluarga, masyarakat sekitar dan sesama seagama.

Senario yang berlaku sebenarnya telah memberi isyarat jelas bahawa umat Islam di negara ini tiada pilihan, melainkan bersatu untuk membina kekuatan. Pihak berkuasa agama yang menjaga yang menguruskan agama Islam di negara ini tidak boleh terus berdiam diri dan golongan agamawan hendaklah terlibat ak­tif mempertahankan kesucian Islam.

Pemimpin-pemimpin politik Melayu pula tidak boleh lagi berkompromi semata-mata untuk kelangsungan politik mereka. Pun begitu, perjuangan untuk mengukuhkan kekuatan Islam bukan bermakna untuk memusuhi sesiapa. Jauh sekali untuk bangkit bertelagah dengan mana-mana pihak. Kekuatan ummah adalah untuk menggerunkan pihak-pihak yang berterusan memperlekeh dan menghina Islam.

Kita ambil contoh, sesebuah institusi keluarga yang rukun berpadu akan disegani oleh masyarakat sekitarnya. Orang luar tidak akan berani mengganggu mana-mana ahli dari keluarga yang disegani iaitu keluarga yang mempunyai kekuatan kerana bersatu, memiliki kedudukan ekonomi yang stabil dan memelihara martabat dan peradaban. Begitu juga dalam konteks sebuah negara, jika umat Islam di negara ini bersatu dan kuat, pihak-pihak lain tidak berani mempersoal, meremeh atau mencampuri hal ehwal kesucian Islam.

Kita perlu mengambil pengajaran bahawa ketika pembukaan Palestin oleh Saidina Umar al-Khattab, beliau pernah berikrar untuk memelihara keselamatan rahib, pendeta serta gereja. Dalam masa sama, beliau sesekali tidak pernah tawar menawar dalam perkara yang melibatkan akidah umat Islam. Justeru, kewibawaan serta ketegasan beliau dalam menegakkan syariat Allah yang adalah rahmat kepada sekalian alam telah menaikkan rasa hormat penganut agama lain terhadap agama Islam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh orang lain dari mereka yang kamu tidak menge­tahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya”. - surah an-Anfal, ayat 60). Kekuatan yang perlu dibina bukan sekadar bersatu padu secara lisan, tetapi mencakupi kekuatan dari segi ekonomi, politik serta nilai-nilai sosial yang luhur.

Semua pemimpin Islam dan pihak yang bertanggungjawab termasuk pemimpin-pemimpin politik Melayu perlu tegas mempertahankan kesucian Islam daripada terus diterjah oleh pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dan mempersendakan agama Islam. Mereka perlu pertahankan agama Islam adalah agama rasmi negara ini dan statusnya dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pemimpin negara ini yang di­terajui oleh orang Melayu tidak perlu untuk tawar menawar dengan orang bukan Islam dalam perkara berkaitan kedaulatan serta memelihara kesucian agama Islam. Mereka perlu tunjukkan ketegasan dalam memelihara syariat Allah serta kekuatan perpaduan sesama umat Islam yang akan membuatkan agama Islam dihormati di negara ini.

Golongan agamawan sebagai kumpulan masyarakat yang mempunyai ilmu agama yang kukuh perlu terlibat aktif memberi kefahaman dan mempertahankan agama Islam. Mereka perlu menekankan konsep tugas-tugas kemasyarakatan atau muamalah seperti menjalin kerjasama dengan semua komuniti tanpa mengira kaum dan agama, mengukuhkan persatuan dan perpaduan sesama Islam dan pelbagai aspek sosial yang lain. Ia sama pentingnya dengan ibadah lain.

Apabila kedudukan Islam dan syariatnya diasak dan dikritik secara terbuka oleh bukan Islam, golongan agamawan perlu bangkit bersuara memberi penjelasan. Mereka tidak boleh lagi berdiam diri kerana ini seolah-olah menggambarkan apa sahaja tindakan dan kenyataan bukan Islam itu betul dan umat Islam berada di pihak yang salah. Justeru, dalam suasana tekanan yang berterusan kepada umat Islam kini, sudah sampai masanya golongan agamawan berani bersuara bagi menimbulkan kegerunan dan memberi pemahaman kepada bukan Islam.

Negara kita kini sudah berjaya melahirkan ramai golongan profesional dan usahawan, namun sumbangan mereka untuk memperkukuh dan pertahankan Islam wajar ditingkatkan. Kematangan dan kecemerlangan kita dalam bidang profesional dan usahawan belum dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Kita mungkin melahirkan ramai daripada kumpulan ini, namun umat Melayu dan Islam masih mengharapkan kebijaksanaan mereka untuk mengukuhkan ummah. Ini adalah amanah yang perlu dilaksanakan demi kesucian Islam di Malaysia.

-

Penghayatan ibadah korban generasi Y

KORBAN adalah proses penyembelihan binatang ternakan seperti lembu, kambing, kerbau dan unta yang dilakukan pada Hari Raya Aidiladha dan hari-hari Tasyriq iaitu 11,12 dan 12 Zulhijjah sebagai ibadah kepada Allah SWT.

Ibadah ini juga dilakukan sebagai menghidupkan syariat Nabi Ibrahim A.S. Masa korban bermula apabila terbit matahari pada Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah). Namun paling baik dilakukan lewat sedikit iaitu sebaik-baiknya selepas solat sunat Aidiladha.

Hukum ibadah korban adalah sunat muakkad dan makruh jika tidak melakukannya bagi yang berkemampuan. Ibadah ini menjadi wajib jika dinazarkan.

Bagi sebuah keluarga, ibadah korban adalah sunat kifayah iaitu digalakkan seorang ahli keluarga melakukan ibadah korban bagi pihak keluarga yang lain. Selain itu, adalah diharuskan melakukan korban untuk orang yang sudah meninggal dunia atau meniatkan pahala korban untuk si mati.

Sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut, krew .com baru-baru ini menemubual beberapa pelajar Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) di Rembau, Negeri Sembilan mengenai penghayatan korban dan peluang menjadi tukang sembelih haiwan korban pada usia muda.

Program Korban Perdana yang dilakukan oleh Yayasan Sofa sejak lapan tahun lalu itu dilihat sebagai satu daripada inisiatif penting bagi melahirkan lebih ramai generasi yang mempunyai kemahiran dalam melakukan ibadah korban.



PELAJAR Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau berpeluang menjadi tukang sembelih haiwan pada usia muda.

Jika dilihat, kebiasaannnya tukang sembelih terdiri daripada golongan warga emas dan situasi ini perlu diubah dengan penglibatan golongan muda bagi memastikan ibadah ini terus dapat dihayati dalam konteks yang sebenar. – ADLINA/FAUZI BAHARUDIN

Bawa amanah umat Islam

MEMPELAJARI ilmu penyembelihan adalah penting untuk memahami konsep ibadah korban yang disyariatkan oleh Islam. Selain itu, kemahiran tersebut juga perlu difahami dengan jelas supaya amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilunaskan dengan sempurna.

“Jika penyembelihan tidak dilakukan dengan betul iaitu dua urat binatang korban tidak putus sempurna, maka tidak sahlah ibadah korban itu dan binatang tersebut disifatkan sebagai bangkai serta dagingnya tidak boleh dimakan.

“Tanggungjawab penyembelih ini adalah berat, oleh itu perlu dilakukan dengan berhati-hati dan teliti. Ia umpama membawa amanah seluruh umat Islam dalam ibadah korban.

“Penyembelihan binatang korban bukan perkara main-main dan jika dilakukan secara sambil lewa, besar kesannya terhadap banyak pihak.

Sehubungan itu, adalah amat penting untuk menguasai ilmu dan kemahiran menyembelih binatang agar tidak melakukan kesilapan. - ANDI MUHAMMAD LUQMAN 
ANDI TAKDIR ALAMSHAH, 22, Pelajar Maahad Turath As-Sofa



Golongan muda perlu diberi pendedahan mengenai ilmu dan kemahiran menyembelih bagi memastikan ibadah korban dapat dilakukan dengan sempurna.

Praktikal penyembelihan beri keyakinan

KURSUS dan praktikal mengenai penyembelihan yang dilakukan oleh Yayasan Sofa dilihat sebagai satu daripada kaedah untuk membina keyakinan yang tinggi dalam kalangan pelajar yang bernaung di bawah Sofa Education Group (SEG). Bahkan, program yang dijalankan setiap tahun itu memberi peluang kepada mereka untuk mendalami ibadah korban dan fadilatnya.

Bagi Pengurus Perhubungan Korporat Yayasan Sofa, Ustaz Mohd. Hanif Hamid, 36, aktiviti pelajar di STIAS bukan hanya melibatkan akademik semata-mata. Penglibatan dalam kegiatan praktikal amat penting untuk mendedahkan mereka dengan masyarakat, sekali gus membentuk akhlak yang baik.

Menurutnya, institusi pendidikan di bawah seliaan SEG yang terletak di Rembau itu terdiri daripada tiga institusi pengajian iaitu Sekolah Tinggi Islam As-Sofa yang mempelajari bidang akademik, Maahad Turath As-Sofa yang mempelajari dan mengkaji kitab-kitab agama (Turath) serta Maahad Tahfiz As-Sofa yang mempelajari bidang al-Quran. Tambahnya, ketiga-tiga bahagian itu bukan hanya tertumpu pada pelajaran semata-mata, sebaliknya sentiasa mendedahkan pelajar dengan aktiviti luar supaya lebih dekat dengan masyarakat.

“Setiap tahun, kami akan menjalankan kursus korban yang akan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kemahiran menyembelih binatang korban dan ilmu ibadah tersebut.

“Dianggarkan empat hingga lima pelajar diberi peluang melakukan korban jika memenuhi syarat yang ditetapkan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua Maahad Turath As-Sofa, Ustaz Norbadrul Zaman Nordin, 35, berkata, program berkenaan mendidik pelajar mengenai kaedah dan adab penyembelihan yang betul.



Binatang korban perlu dipastikan berada dalam keadaan sihat dan tidak cacat sebelum disembelih

“Jika ada pihak beranggapan ibadah korban merupakan satu kekejaman, mungkin mereka perlu lihat dan kaji apakah kaedah terbaik untuk menjadikan binatang ternakan sebagai makanan,” katanya.

Gementar bukan penghalang

PENGALAMAN menyembelih haiwan korban buat pertama kali dua tahun lalu tidak dapat dilupakan, malah akan dijadikan kenangan paling manis dan bermakna untuk diingati.

“Perasaan gementar yang dihadapi ketika menyembelih lembu korban masih dapat dirasakan sehingga kini dan sukar diungkap dengan kata-kata, namun saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melakukannya.

“Perasaan sedemikian bukanlah penghalang untuk golongan muda mencuba menjadi tukang sembelih binatang korban, sebaliknya kemahiran itu juga boleh digunakan pada bila-bila masa jika ada keperluan.

Sudah tiba masanya golongan muda diberi pendedahan mengenai kemahiran penyembelihan supaya erti pengorbanan itu dapat dihayati dengan lebih jelas dan penuh makna. Kemahiran ini tidak rugi untuk dipelajari.



Penglibatan golongan muda dalam ibadah korban dapat mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat.

“Jika diberi peluang sekali lagi, saya berbesar hati untuk melakukan penyembelihan korban kerana fadilatnya besar, namun tanggungjawabnya juga berat jika gagal dilakukan dengan sempurna.

“Kepada golongan muda di luar sana, jangan lepaskan peluang untuk menyertai kursus penyembelihan korban kerana kita semua adalah penyambung syariat Islam untuk generasi akan datang. - AHMAD BASYA FADZILLAH, 21, Pelajar Maahad Turath As-Sofa

Fahami adab dan syarat korban

IBADAH korban membuktikan bahawa umat Islam hanya dibenarkan memakan benda yang halal dan diharamkan selain benda halal. Setiap umat Islam perlu memahami adab dan syarat dalam ibadah tersebut.

“Antara syarat korban ialah umur binatang yang hendak dikorbankan. Bagi lembu dan kambing, umurnya mesti memasuki dua tahun, manakala unta, umur haiwan itu perlu memasuki enam tahun.

“Selain itu, binatang yang hendak dikorbankan juga perlu sihat, tidak cacat dan berada dalam keadaan sempurna.

Ibadah korban turut menjelaskan bahawa kaedah penyembelihan adalah yang paling baik untuk menamatkan riwayat binatang dengan cara yang cepat dan tidak menyeksakan, selain membezakan umat Islam dengan bukan Islam.

“Adalah penting untuk memastikan dua urat binatang korban iaitu urat halkum dan urat saluran makan terputus ketika disembelih. Penggunaan pisau yang tajam dan sesuai juga perlu dititikberatkan supaya tidak menyeksa binatang. - MOHAMMAD FAHRUR RAZI 
MD SALLEHUDDIN, 25, Pelajar Maahad Turath As-Sofa

-

Meraih keampunan Allah di Arafah

Hari ini penulis menjejak kaki ke Arafah bagi melak­sanakan rukun paling penting dalam ibadah haji iaitu berwukuf. Sebaik sahaja selesai ibadat wukuf akan disusuli dengan dua ibadah wajib haji iaitu bermalam di Muzdalifah dan melontar jamrah di Mina.

Berwukuf di Arafah adalah detik yang paling dinanti-nantikan oleh jemaah haji. Walaupun wukuf dalam rukun haji berada pada kedudukan kedua selepas niat, namun perbuatan itu adalah paling utama dalam ibadah haji.



WALAUPUN wukuf dalam rukun haji berada pada kedudukan kedua selepas niat namun ibadat tersebut adalah paling utama dalam menunaikan rukun Islam kelima itu. GAMBAR HIASAN

Rasulullah SAW bersabda: “Haji itu adalah Arafah. Barang siapa datang pada malam tanggal 10 Zulhijjah, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah.” (Riwayat Ahmad dan Ashabus Sunan).

Arafah dianggap kemuncak penyempurnaan ibadah haji. Di sini jugalah Rasulullah SAW menyampaikan khutbah baginda yang terkenal dengan nama khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Peristiwa itu berlaku pada 10 Hijrah. Nama itu diberikan kerana selepas beberapa bulan khutbah tersebut disampaikan baginda wafat untuk bertemu dengan Allah SWT.

Arafah juga dianggap gambaran Padang Mahsyar ke­rana lebih dua juta umat Islam berkumpul dalam satu masa. Arafah turut mencatatkan sejarah sebagai tempat Adam dan Hawa bertemu semula di Jabal Rahmah selepas beratus tahun terpisah.

Selain itu wukuf di Arafah adalah detik terbaik kepada jemaah haji untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Di Arafah, kesabaran dan tahap pengorbanan seorang hamba Allah akan diuji. Jika sebelum ini apabila jemaah tiba di Madinah atau Mekah, mereka enak berbaring di atas tilam empuk dan mengecap keselesaan di dalam bilik hotel yang berhawa dingin, tetapi di Arafah semua itu tidak akan dinikmati.

Mereka akan diuji dengan tinggal beramai-ramai di dalam khemah dan ditambah lagi dengan cuaca panas mahupun siang dan malam. Seharusnya semua itu tidak menjadi rungutan kerana bukan keselesaan hidup yang mereka buru di Arafah tetapi pengampunan daripada Allah SWT.

Oleh itu, seperti mana disaran oleh para alim ulama, bentangkanlah dosa-dosa yang pernah kita lakukan de­ngan memohon agar Allah SWT mengampunkan kita. Dalam apa juga perkara yang dilakukan berkaitan soal ibadah kepada Allah SWT, jangan sesekali berasa ragu sebaliknya tanamkanlah keyakinan bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Sesungguhnya pada hari tersebut bumi Arafah akan di­limpahi dengan rahmat Allah khusus untuk tetamu-Nya yang hadir semata-mata mahu mendapatkan reda Allah SWT. Kepada umat Islam yang tidak berpeluang atau belum dijemput menjadi tetamu Allah mereka juga mempunyai kesempatan untuk meraih keberkatan hari wukuf di Arafah iaitu dengan melakukan puasa sunat pada 9 Zulhijjah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda; “Ketika puasa pada hari Arafah, aku berharap Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa setahun yang lalu dan dosa-dosa setahun yang akan datang.”

Oleh itu, pengampunan Allah SWT pada hari Arafah bukan sahaja untuk mereka yang berwukuf tetapi juga mereka yang tidak menunaikan ibadah haji. Rebutlah ­peluang ini dalam usaha kita mendapatkan rahmat dan reda Allah SWT dunia dan akhirat.

-

Bukan sekadar sebut, tetapi perlu hayati

KALIMAH ‘laa ilaaha illallah’ atau maknanya, “Tiada tuhan selain Allah SWT” memang kerap kita dengar atau ucapkan.Kalimah tauhid itu adalah ikrar seorang Muslim yang menafikan terhadap segala bentuk penyem-bahan selain daripada Allah SWT.

Ini sejajar dengan firman Allah SWT bermaksud, “Maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.” (Muhammad:19).



ISLAM amat menggalakkan umatnya bercampur gaul dengan masyarakat umum. GAMBAR HIASAN.

Umat Islam menyedari bahawa kalimah tauhid itu adalah perkataan yang paling ingin diucapkan ketika sedang nazak. Tetapi, realiti kehidupan, ramai umat Islam menggambarkan sebaliknya.

Masih ramai yang cenderung meminta kepada selain daripada Allah SWT. Populariti khidmat bomoh, pawang atau tukang tilik tidak pernah pudar walaupun ramai agamawan sering kali menyebut tentang keistimewaan ucapan tauhid itu.

Antara agamawan berkenaan adalah pendakwah terkenal kelahiran British, Shaykh Abdal Hakim Murad. Pengikut aliran sunni berusia 56 tahun itu menegaskan bahawa kalimah tauhid tersebut mampu memberi kekuatan rohani yang hebat jika ia tersemat kukuh dalam jiwa dan hati seseorang Muslim.

Dekan Kolej Islam Cambridge, United Kingdom (UK) itu menyatakan demikian dalam satu kuliah agamanya di UK baru-baru ini dan berikut adalah wawancara bersama beliau:



Shaykh Abdal Hakim Murad

Boleh ulas secara ringkas tentang kepentingan kalimah tauhid itu?

Shaykh Abdal Hakim Murad: Sebenarnya, seseorang Muslim bukan hanya diminta kerap mengucap kalimah tauhid itu dari mulutnya, bahkan kalimah itu perlu terukir kukuh dalam hati masing-masing.

Apakah sebab timbulnya suruhan itu?

Setiap apa yang kita lakukan (dalam kehidupan ini), lebih bermakna secara hakiki kerana pandangan dan pendekatan kita adalah berbeza berbanding orang lain. Bila kita sebut kalimah itu sepenuh hati, maknanya kita percaya kehidupan ini diuruskan-Nya dengan sebaik mungkin.

Boleh ulas lebih lanjut?

Dengan kata lain, anda tidak perlu cepat panik, bimbang 
atau takut kerana percaya 
Allah SWT sudah cukup 
untuk menjadi pelindung kepada kita.

Apabila memiliki karakter sedemikian, anda tidak akan melihat orang lain sebagai satu ancaman atau iri hati dengan kejayaan individu lain. Sebaliknya, anda melihat orang lain yang memerlukan bantuan atau pertolongan.

Tidakkah ini antara suruhan agama Islam?

Ya, ini sejajar dengan suruhan agama Islam yang meminta setiap penganutnya melakukan sesuatu yang 
boleh memberi manfaat, 
bukan hanya kepada diri 
sendiri tetapi juga kepada mereka yang berada di sekeliling kita.

Tetapi jika kita hanya duduk dalam masjid atau menonton tajuk utama di media, dan berkata kufur, kufur, kufur. Dunia tidak akan hormat kita dan hasilnya nanti, tidak akan menyebelahi kita.

Apakah manfaatnya kepada kita?

Manfaat utama adalah masyarakat secara sendirinya akan datang mencari kita kerana mereka juga mahukan sesuatu yang kita ada dalam melayari kehidupan ini.

-

Allah tidak pernah abaikan doa kita

PUAS berdoa, tetapi seakan tidak diterima. Pastinya ramai dalam kalangan kita pernah mengalami situasi tersebut, sehingga kadang kala membuatkan kita putus asa dan mengalah untuk terus berdoa kerana merasakannya sebagai perbuatan sia-sia.

Namun ramai yang tidak menyedari, hakikatnya pengasas pusat pengajian Bahasa Arab dan al-Quran, Institut Bayyinah, Nouman Ali Khan berkata, Allah SWT tidak pernah mengabaikan setiap doa hamba-Nya, sebaliknya sentiasa menunggu permintaan seluruh manusia.

Tambah pendakwah terkemuka antarabangsa itu, sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu (Rasulullah SAW) tentang Aku, maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang-orang yang berdoa kepada-Ku.” (al-Baqarah: 186).


ALLAH tidak pernah jemu sebaliknya menantikan doa daripada hamba-Nya. GAMBAR HIASAN

“Menerusi ayat ini (di atas), Allah menggunakan kalimah Ujibu bukannya Astajibu. Ini kerana Astajibu bermaksud Allah akan memperkenankan doa pada masa yang ditentukan, sebaliknya Ujibu ialah Allah akan memperkenan serta merta ketika doa itu dipanjatkan.

“Ayat ini jelas memberitahu kita bahawa Allah sedang menunggu kita selaku hamba untuk meminta dan berdoa kepada-Nya. Allah juga mengatakan, tidak kira pada bila masa sekalipun, sesungguhnya Allah akan menjawab dan mendengar permohonan kita untuk dimakbulkan,” katanya.

Berasal dari Pakistan, Nouman mendapat pendidikan awal dalam Bahasa Arab di Riyadh, Arab Saudi sebelum melanjutkan pengajian agama Islam di negara kelahirannya. Meneruskan minatnya dalam bahasa Arab, beliau mendalami ilmu tersebut bersama pengasas Qiran College, Faisalabad, Pakistan, Dr. Abdus Samie.

Tambah Nouman, walaupun sentiasa melakukan dosa dan maksiat, Allah tidak pernah memilih untuk menerima doa hamba-Nya tanpa membezakan keturunan ataupun darjat.

“Sama ada dalam al-Quran atau hadis, Allah tidak pernah mengatakan dalam mana-mana firman-Nya bahawa Allah hanya menjawab atau menerima doa orang tertentu seperti orang salih, rajin beribadah, berilmu atau baik-baik sahaja. Malah, Allah tidak pernah memberi syarat apa pun untuk memohon doa kepadanya.

“Sebaliknya, walaupun doa itu kita panjatkan secara tidak sengaja, Allah mengetahui dan tidak pernah mengabaikannya. Sehinggakan kadangkala kita yang tidak menyedari doa itu telah pun diperkenankan Allah.

“Inilah juga peluang yang perlu digunakan bagi pelaku dosa untuk bertaubat, kerana pintu keampunan sentiasa dibuka seluas-luasnya. Tetapi, hanya satu iaitu keikhlasan pemohon itu sahaja diperlukan,” jelasnya.

Bagaimanapun tambah Nouman, umat Islam perlu menyedari hakikat yang tersirat dan bersikap reda dengan ketetapan Allah jika doa tidak termakbul.

“Kadangkala kita merasakan doa seperti tidak diterima Allah. Ketahuilah, sesungguhnya Allah sengaja menangguhkan atau mengubah permintaan itu kepada pemberian lain yang lebih bermakna, kerana sebaik-baik perancangan adalah daripada Allah.

“Allah juga mengenali setiap hamba-Nya, lebih daripada kita mengenali diri sendiri. Oleh itu, jangan sesekali kita merasakan putus asa dengan kurniaan Allah kerana kita tidak tahu apa perancangan Allah. Jika kita yakin, pasti pertolongan Allah akan datang serta merta,” ujarnya.

-

Anggota badan jadi saksi kejahatan

ORANG yang paling selamat ketika berada di Padang Mahsyar ialah mereka yang datang kepada Allah SWT dalam keadaan hatinya penuh ketenangan.

Namun, ada yang datang dalam keadaan takut dengan bebanan tanggungjawab tidak terlaksana dan saat paling menakutkan apabila tiba masanya disoal amalan di dunia.

Manusia akan sentiasa menolak dakwaan yang dihadapi ketika diadili di Padang Mahsyar kerana tidak dapat menerima hakikat mereka melakukan perbuatan itu tanpa ada bukti atau saksi.

Lalu Allah SWT menjadikan saksi untuk orang yang melakukan perbuatan baik atau jahat. Orang yang tenang hatinya kerana jaminan pengadilan Allah SWT lebih baik daripada pengadilan manusia.

Di antara saksi yang akan tampil untuk tujuan pembuktian adalah tubuh badan manusia sendiri seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: "Pada waktu itu Kami kuncikan mulut mereka dan (memberi peluang kepada) tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi apa yang mereka usahakan." (Surah Yasin, ayat 65)

Mulut akan ditutup Ustaz

Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi perkongsiannya dalam slot Mau'izati di IKIMfm menjelaskan, mulut manusia akan sentiasa menipu atau membangkang dan sebab itu mulut ditutup.

Tangan dan kaki akan bercakap sebagai saksi atas segala perbuatan dilakukan ketika hidup di muka bumi.

Begitu juga anggota tubuh lain seperti firman yang bermaksud: "Dan (selepas berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap sesuatu pandai berkata-kata, menjadikan kami dapat berkata-kata; dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan)." (Surah al-Fussilat, ayat 21)

Oleh itu bertakwalah kepada Allah SWT. Rasulullah SAW juga menceritakan menerusi hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa pada Hari Kiamat nanti, seluruh manusia akan datang dalam keadaan bisu.

Di antara kalimah pertama keluar daripada anak Adam adalah daripada peha dan telapak tangannya.

Berhati-hatilah manusia kerana setiap anggota tubuh akan menjadi pendakwa, jika perbuatan dilakukan baik maka perkara baik akan disampaikan ketika diadili di hadapan Allah SWT nanti, begitu juga dengan perbuatan buruk.


Setiap manusia akan hidup berdasarkan acuan yang dibentuk, jika dibentuk menjadi seorang beramal soleh maka baiklah tubuh badannya. Namun jika dibentuk dengan acuan buruk, maka begitulah dirinya.

Ganjaran setiap amalan baik

Melakukan amalan baik ada kalanya meletihkan berbanding melakukan kemungkaran dan kejahatan tetapi harus diingat setiap amalan baik itu ada ganjaran disediakan oleh Allah SWT.

Ulama membincangkan persoalan kenapa manusia datang di hadapan Allah SWT dalam keadaan bisu dan berdasarkan penjelasan Baginda Rasulullah SAW, anggota tubuh dapat berkata-kata untuk memalukan orang melakukan kejahatan di hadapan semua makhluk di akhirat kerana mengingkari larangan Allah SWT.

Selain itu apabila membaca kitab surat amalan masing-masing, ada dalam kalangan manusia yang tidak memahami catatan itu dan tidak mengakui dia melakukan perbuatan buruk ketika hidupnya.

Lalu Allah SWT menutup mulutnya dan digantikan anggota badannya yang lain untuk bercakap dan menjadi saksi. Ketika anggota badan mula berkata-kata, akan terus tergambar pada riak wajahnya reaksi terhadap pengadilan di hadapan Allah SWT itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud:"Orang berdosa dapat dikenal dari tanda-tandanya, lalu dipegang dari atas kepala dan kakinya (serta diseret ke neraka)." (Surah al-Rahman, ayat 41)

Selain itu alam turut menjadi saksi di Padang Mahsyar apabila bumi diberi peluang berkata-kata dan menceritakan segala perbuatan hamba Allah SWT ketika berjalan di atas permukaan.

Ibnu Mubarak daripada Abdullah bin Amru bin Asr menyebut: "Sesiapa yang sujud di suatu tempat, berhampiran pohon atau batu, maka mereka akan menjadi saksi bagi dirinya pada Hari Kiamat nanti."

Selain itu Rasulullah SAW juga mengingatkan sesungguhnya harta bagaikan permata hijau yang cantik dalam keadaan memikat.

Sebaik-baik orang Islam yang memegang harta ini hendaklah dia membahagikan hartanya kepada orang miskin, anak yatim dan menginfaqkannya ke jalan Allah SWT.