September 11th, 2016

Haji menyatukan umat

Hari ini jutaan umat Islam seluruh dunia yang menunaikan ibadat haji memenuhi setiap inci dan ruang di padang Arafah. Selain sebagai memenuhi rukun haji, perhimpunan di Arafah juga adalah manifestasi kepada usaha taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah, Pencipta Yang Maha Agung.

Kebanjiran kira-kira 3.7 juta umat Islam dalam konvensyen terbesar dunia itu yang mengenakan pakaian ihram yang sama warna iaitu putih turut menzahirkan kesatuan sebagai saudara seagama biarpun dibatasi oleh bahasa dan warna kulit yang berlainan. Hal keduniaan seperti pangkat, kedudukan dan jawatan tinggi tidak lagi ‘berguna’.

Sebaliknya, semua umat Islam merendah diri dan mengikhlaskan hati masing-masing dengan niat yang satu iaitu mendapatkan pengampunan Allah Rabbul Jalil. Lebih daripada itu, perhimpunan setahun sekali ini adalah persis bagaimana manusia dibangkitkan semula dan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihitung amalan semasa hayat kita.


IBADAH haji adalah lambang perpaduan umat Islam dan membersihkan umat Islam daripada sifat mazmumah (keji).

Kefarduan menunaikan haji adalah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: ...Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk. (ali-Imran: 97)

Barangkali, itulah hikmah mengapa kefarduan haji diletakkan pada kedudukan kelima rukun Islam. Maknanya, haji ini adalah pelengkap kepada kemuncak ibadat seorang Muslim. Dengan kata lain, orang yang menunaikan haji sepatutnya telah lengkap melaksanakan empat lagi rukun Islam iaitu mengucap syahadat, solat fardu lima waktu sehari semalam, berpuasa Ramadan dan menunaikan zakat.

Selain mendekatkan diri kepada Allah dengan melakukan ibadat wajib dan sunat, kesempatan menunaikan haji hendaklah dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menyebar luas silaturahim sesama Muslim. Ingatlah orang mukmin itu adalah bersaudara.

Inilah antara rahsia dan hikmah dalam ibadat haji. Saudi Press Agency baru-baru ini melaporkan, daripada jumlah 3.7 juta jemaah haji, yang paling ramai adalah dari Indonesia iaitu 168,000 diikuti Pakistan (143,368); India (136,020); Bangladesh (101.158) dan Nigeria (76,000). Jemaah haji Malaysia tahun ini ialah 22,320 orang.

Sesungguhnya ijtimak atau perhimpunan tahunan ini jika dimanfaatkan sepenuhnya terutama dari segi mewujudkan rangkaian hubungan baik dalam bidang ekonomi dan pertahanan pasti memberi natijah yang amat besar. Kekuatan dan kesatuan umat dalam ibadat haji jika diterjemahkan dalam kehidupan seharian dapat menggerunkan musuh-musuh Islam.

Ibadat haji juga melatih umat Islam bersatu dan meninggikan syiar Islam dan berganding bahu menegakkan agama Allah. Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai manusia sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan puak supaya kamu berkenalan di antara satu sama lain...(al-Hujurat: 13)

Persaudaraan

Ibadah haji juga adalah lambang perpaduan umat Islam. Ia supaya umat Nabi Muhammad SAW ini sentiasa berada dalam ikatan yang kukuh menghadapi cabaran dunia yang pelbagai ragam dan cuba hendak menodai dan menjatuhkan maruah umat Islam serta kesucian agamanya.

Di padang Arafah, misalnya, semangat perpaduan dan persaudaraan umat Islam amat erat. Tidak kira pangkat apa pun mereka, baik raja, rakyat biasa, miskin atau kaya semuanya berpakaian seragam berwarna putih bersama-sama mengabdikan diri kepada Allah SWT yang Maha Esa dan Agung.

Semasa wukuf juga syaitan amat berasa dukacita dan terhina melihatkan banyaknya rahmat dan pengampunan Allah kepada hamba-hamba-Nya. Ini dijelaskan daripada Talhah bin Ubaidillah bin Quraisy di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya: “Selain Perang Badar, tidak ada hari lain yang mana syaitan dilihat amat hina, dukacita dan marah iaitu pada Hari Arafah kerana melihatkan melimpah ruahnya rahmat yang turun hari itu dan rahmat Allah yang mengampunkan dosa para hamba-Nya.”

Ibadat melontar pula adalah lambang kesucian rohani dan jasmani dengan kesabaran menjalankan perintah Allah sebagai tauladan di atas pengorbanan Nabi Ibrahim A.S semasa hendak menyembelih anaknya, Nabi Ismail A.S sebagai korban.Di samping itu, syaitan cuba menggoda dengan harapan dapat memperdayakan Nabi Ibrahim. Namun begitu, Nabi Ibrahim A.S berjaya menangkis godaan syaitan. Sebab itu, kita diperintahkan melakukan ibadah haji sebagai lambang ketaatan yang tidak berbelah bahagi.

Begitu juga saie, peristiwa Siti Hajar iaitu isteri Nabi Ibrahim a.s yang berulang-alik berlari dari Safa ke Marwah. Ia bagi mencari air di tengah-tengah padang pasir yang kering-kontang untuk minuman anaknya, Nabi Ismail A.S yang baru lahir sehingga terpancar mata air atau air zamzam dari bumi yang diberkati. Peristiwa ini dapat menanam semangat perjuangan ke dalam jiwa setiap Muslim supaya terus berusaha tanpa jemu menghadapi cabaran hidup.

Paling penting, ibadat haji sepatutnya mampu mendidik dan membersihkan umat Islam daripada sifat-sifat mazmumah (keji) dan digantikan dengan sifat-sifat mahmudah (terpuji). Seterusnya berusaha memperoleh haji marbur.

Kepada semua jemaah haji, didoakan mereka dapat melaksanakan ibadat dengan sempurna dan tenang. Bulatkan tekad dan ikhlaskan niat. Ibadat ini semata-mata kerana Allah bukan mengejar gelaran ‘haji atau hajah’.

-

‘Korban’ dan berkorban seikhlas hati , kemuncak pengorbanan demi Allah

Kemuncak pengorbanan demi Allah

“HAMBA-MU datang, menyahut panggilan-Mu. Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagimu.”

Talbiah ini bergema di seluruh pelosok Kota Suci Mekah ketika jutaan umat Islam berkumpul di Arafah untuk berwukuf sebelum bertolak bagi bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

Apabila sudah melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji tersebut maka sempurnalah pengorbanan seorang hamba Allah yang dijemput menjadi tetamu-Nya bagi menunaikan ibadah haji.

Hari ini dianggap kemuncak pengorbanan seorang insan yang dijadikan Allah SWT daripada setitis air mani dan segumpal darah untuk bertakwa kepada Allah.

Ibadah haji melengkapkan Rukun Islam kelima dan merupakan rukun terakhir yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebelum baginda wafat.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah, ayat 3 bermaksud, “... Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, oleh sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Ku sempurnakan kepadamu nikmat-Ku dan Ku restui Islam itu menjadi agama bagimu.”

Semoga mendapat ganjaran Haji Mabrur
JUTAAN umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Padang Arafah untuk berwukuf.

Pelaksanaan ibadah haji bukanlah dilakukan suka-suka atau hanya disebabkan ditaja oleh mana-mana pihak, sebaliknya menuntut pengorbanan yang cukup besar daripada hamba Allah.

Ini memandangkan selain pelaksanaan rukun dan wajib haji, umat Islam juga perlu berkorban bagi membolehkan menjejakkan kaki ke tanah suci sekali gus menjadi dhuyufurrahman (tetamu Allah).

Ibadah haji bukan berkaitan soal mengemaskan beg dan terus berangkat apabila menerima surat tawaran tetapi lebih daripada itu yang memerlukan pemahaman tinggi sebelum melaksanakannya.

Kita sering dipaparkan bagaimana ada dalam kalangan jemaah haji yang mengumpul wang berpuluh-puluh tahun dan menanti bertahun-tahun untuk menunaikan ibadah tersebut.

Semuanya itu adalah pengorbanan yang mereka lakukan bagi menyahut panggilan Allah SWT seperti firman-Nya dalam surah al-Hajj, ayat 27 bermaksud: “Dan berserulah kepada manusia 
untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.”

Pengorbanan mereka bukan berkisar soal wang sahaja, sebaliknya ibadah itu sendiri memerlukan pengorbanan.

Bayangkanlah jumlah umat Islam berkumpul bukanlah sedikit malah boleh mencecah sehingga 4 juta pada satu-satu masa. Sudah pastilah dalam keadaan ini kesabaran amat penting kerana kita bertemu dengan pelbagai jenis manusia.

Begitulah juga apabila berkumpul di Arafah, Muzdalifah dan Mina, semua memerlukan pengorbanan, namun harus dilakukan secara ikhlas dan kehadiran mereka menunaikan haji dengan harta yang halal.


JUTAAN umat Islam dari seluruh dunia berhimpun di Padang Arafah untuk berwukuf. -

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang jemaah haji berangkat dengan harta haram dan menjejakkan kaki di kenderaannya kemudian dia membaca Labbaik allahumma labbaik, maka ada suara (jawapan) dari langit: “Tidak ada labbaik dan tidak ada sa’daik (kebahagiaan) bagimu kerana bekalmu haram, kenderaanmu haram, hajimu penuh dosa, tidak diterima (tertolak),” - Riwayat Thabrani.

Hari ini adalah kemuncak pengorbanan seorang hamba dalam usaha meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Semoga semua jemaah haji beroleh Haji Mabrur kerana tiada balasan lain untuk haji tersebut melainkan syurga.


Berkorban seikhlas hati sertai kelab Nabi Ibrahim


JAUH dari tanah air, keluarga, hilang segala harta dan terpinggir. Demi agama Allah, baginda diusir keluar dari negeri dan hilang segala nikmat dunia. Besar sungguh ujian Allah kepada Nabi Ibrahim a.s.

Hunuskan ‘pisau takwa’ korbankan nafsu jahat
UMAT Islam melontar di Mina sebagai manifestasi melawan hawa nafsu dan memperingati perjalanan Nabi Ibrahim semasa menunaikan perintah Allah. - GAMBAR HIASAN

Jika gunung yang ditimpa ujian sehebat ini, pun boleh runtuh berderai. Setelah lama kesepian dan terbuang, doa baginda agar dikurniakan anak dimakbulkan Allah. Firman Allah:
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung daripada orang yang soleh!” Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa 
dia akan beroleh seorang anak yang penyabar,” (al-Safffat [37:99-101]).

Penungguan kelahiran Nabi Ismail a.s. pula bukan sekejap tetapi sangat lama. Sehingga mencecah usia tua. Ia difahamkan daripada lafaz syukur Nabi Ibrahim a.s. yang difirmankan Allah ini:“Segala puji tertentu bagi Allah Yang telah mengurniakan kepadaku semasa aku tua: Ismail dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan,” (Ibrahim[14:39]).

Kita boleh bayangkan betapa gembiranya hati Nabi Ibrahim a.s. yang jauh dalam buangan dengan kelahiran Ismail a.s. Walaupun hilang keluarga yang bergelumang dengan karat syirik, kini Allah menggantikannya dengan anak yang soleh seperti Ismail. Sudah pasti anak ini menjadi permata hati yang sangat berharga, tambahan pula lahirnya ketika Nabi Ibrahim berada pada usia 
tua.

PENGORBANAN TERHEBAT

Kita boleh lihat dalam masyarakat, datuk yang sudah berusia biasanya sangat cintakan cucu. Si ayah seakan hilang kuasa ke atas anak apabila datuk melangkah masuk. Apa sahaja kehendak cucu dipenuhi tanpa tangguh. Inilah darjat “rasa cinta” Nabi Ibrahim kepada Ismail.

Di tengah kegembiraan ini, Allah sekali lagi menguji baginda dan ujian kali ini mampu menggugurkan jantung. Anak kesayangan mesti dikorbankan:

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku bermimpi menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang yang sabar”. Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”.

“Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; Dan Kami kekalkan baginya 
(nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian: “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!” Demikianlah Kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu daripada hamba Kami yang beriman,” (al-Safffat [37:102-111]).




‘Korban’ tentera juga perlu perhatian

Esok umat Islam akan menyambut Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidiladha, selalu juga disebut Hari Raya Haji. Banyak haiwan seperti lembu dan kambing akan dikorbankan.

Sebelum proses korban itu dijalankan, banyak individu mengeluarkan belanja sendiri untuk pergi menunaikan ibadat haji di Mekah. Yang tinggal di Malaysia pun ada yang mengeluarkan wang untuk berkongsi satu daripada tujuh bahagian dalam membeli lembu untuk dikorbankan.

Sejak beberapa tahun lalu, ada pula trend lembu korban ditaja oleh individu atau syarikat, termasuk bukan Islam. Barangkali hukum sumbangan lembu korban itu biarlah Allah menentukan balasannya.

Hakikatnya, wang bukan isu dalam menyertai ibadah korban, sebab itu walaupun harga lembu korban semakin meningkat hingga satu bahagian berharga RM600, umat Islam masih menyambutnya. Orang Melayu dan Islam di negara ini tidak kedekut. Kita berkorban wang untuk ibadah. Hasrat utama melaksanakan ibadah dan ingin berkongsi daging korban dengan orang Islam lain.

Jika ditoleh ke belakang, sehingga hari ini umat Islam di Malay­sia dapat melaksanakan ibadah korban dengan selesa kerana negara kita aman, tidak ada peperangan. Tidak seper­ti saudara seagama kita di Syria, Iraq dan Palestin yang nega­ranya terus bergolak. Mereka sambut Raya Korban pun ala kadar. Tidak ada lembu atau kambing yang berbaris untuk dikor­bankan. Lihatlah di beberapa masjid di Malaysia, ada majlis gotong-royong melapah dan memotong daging korban.

Itulah nikmat keamanan yang kita kecapi di Malaysia. Namun, dalam kita menikmati kemakmuran dan kese­jahteraan hidup sekarang, kita pandanglah juga segala kepayahan, cabaran dan penderitaan yang dihadapi oleh anggota tentera kita terutama yang cacat dan hilang upaya bagi menempuh kehidupan mereka.

Sebagai insan yang punya hati dan perasaan, kita tentu bera­sa terharu mengenangkan para balu anggota tentera yang kehilangan suami, anak-anak yang kehilangan bapanya, dan ibu bapa yang kehilangan anak-anak. Begitu juga dengan anggota yang tercedera.

Ramai yang tercedera masih menanggung penderitaan sehing­ga ke hari ini akibat peluru atau kecacatan yang mereka alami semasa bertugas. Itulah harga sebuah pengorbanan yang mereka tanggung.

Tambah sedih bila kita membaca laporan akhbar bahawa tidak banyak syarikat swasta, apatah lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi sum­bangan kepada Tabung Pahlawan. Kita mungkin sudah lupa bahawa nikmat keamanan yang dikecapi sekarang adalah hasil daripada pengorbanan bekas anggota keselamatan dan ramai dalam kalangan mereka berada dalam keadaan daif, malah ada yang mengalami kecacatan serta memerlukan bantuan.

Bukan sahaja pimpinan Persatuan Veteran Angkatan Ten­tera Malaysia (PV ATM) kecewa sambutan terhadap Tabung Pahlawan daripada syarikat korporat terutama GLC masih kurang memberangsangkan biarpun sudah ditegur Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, baru-baru ini, masyarakat pun begitu.

PV ATM menyasarkan untuk mengutip RM5 juta dalam Tabung Pahlawan sehingga akhir tahun ini dan sehingga 5 September lalu, pihaknya baru mengumpul hampir RM1.7 juta.

Dalam hubungan ini, orang ramai diharap tampil mem­bantu dalam menjayakan usaha murni ini kerana sumbangan ikhlas yang dihulurkan adalah satu penghormatan kepada bekas tentera sebagai menghargai jasa dan pengorbanan veteran dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Seluruh rakyat Malaysia wajar bersama-sama membantu dalam memberi sumbangan kepada yang memerlukan. Kita senang hati apabila melihat anak-anak kita ke sekolah tanpa terganggu dengan bunyi bedilan peluru dan bom di sana sini. Ingatlah bahawa di sebalik baju putih anak-anak kita ke sekolah itu, ada banyak darah merah yang mengalir untuk memastikan keputihan baju itu tetap putih buat selamanya!

Perlu disebut bahawa negara mempunyai seramai 376,440 orang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Angka berkenaan cukup besar. Mereka mempunyai keluarga masing-masing. Sekiranya seorang daripada mereka mem­pu­nyai seorang isteri atau seorang suami dan lima orang anak, bilangan mereka hampir dua juta orang.

Dalam kalangan mereka mempunyai pelbagai jenis peker­jaan seperti berniaga sendiri, usahawan pemprosesan, pela­dang, penternak, nelayan, pemandu teksi, kerja di sektor perkilangan, tukang gunting rambut, kontraktor, pekedai kopi, pemandu teksi, tukang kebun dan pengawal keselamatan.

Kita masih mampu untuk memberi sumbangan kepada Tabung Pahlawan. Eloklah jika Kementerian Pertahanan menggerakkan kempen besar-besaran sempena Hari Angka­tan Tentera pada 16 September ini.

Apalah makna nilai wang jika dibandingkan dengan segala kerahan jiwa raga dan keringat para veteran ATM. Bagi para perwira, bukan simpati yang ditagih mahupun pingat kebesaran yang dicari, malahan bukan juga wang, tetapi yang utama ialah mempertahankan keamanan yang sedia ada.

Mendermalah kita kepada Tabung Pahlawan. Sumbangan yang kita hulurkan itu sebagai simbol perasaan mengenang budi terhadap jasa bekas-bekas tentera yang telah berkorban demi mempertahankan kedaulatan tanah air ini.

Jika selama ini pihak kerajaan melaui Kementerian Perta­hanan terus menerus memberi sokongan kepada para veteran ATM, maka tiba masa masyarakat pula menghulurkan sum­bangan sebagai tanda terima kasih kepada para perwira nega­ra.

Sambil kita meraikan Aldiladha dengan seruan meng­agung­kan Allah SWT serta disulami semangat korban, re­nung-renungkan juga pengorbanan para perajurit kita yang menjaga keselamatan negara. - Azman Anuar Utusan Malaysia Rencana 11 September 2016 6:18 PM

Gelombang al-Quran, kini sejarah tercipta

SEDAR atau tidak, seluruh dunia hari ini sedang bergema dengan bacaan al-Quran. Bermula daripada negara matahari terbit iaitu paling timur sehinggalah ke barat, dengan hanya satu jam masa yang diperuntukkan menjadikan mukjizat terbesar umat Islam itu bersahutan tanpa henti selama 24 jam.

Fenomena menerusi penganjuran World#QuranHour ini sekali gus merakam sejarah tersendiri buat umat Islam di seluruh dunia apabila buat kali pertamanya umat Islam saling berkomunikasi menerusi bacaan al-Quran bermula pukul 9 pagi.


Datuk Rosyam Nor membawa al-Quran bersama peserta tiba di pekarangan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada program larian World#Quran Hour baru-baru ini.

Jika di Malaysia, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menjadi lokasi utama penganjuran program itu, lebih 117 buah negara dan ratusan persatuan serta gabungan Muslim daripada pertubuhan bukan kerajaan dan 57 negara anggota Pertu­buhan Kerjasama Islam (OIC) termasuk jemaah haji di Padang Arafah yang memberi maklum balas positif dipercayai turut sama menjayakan kempen Satu Jam Bersama al-Quran tersebut.

Namun, bukan itu yang hendak dibanggakan, apalah gunanya tin berbunyi tetapi isinya kosong. Sebaliknya falsafah kepada penurunan al-Quran itu sendiri perlu dihayati oleh seluruh umat Islam agar kesedaran untuk melaksanakan perintah Allah dapat dipertingkatkan di samping menjadikan syariat Islam diamalkan secara meluas.

Jika masyarakat seluruh dunia sanggup bergelap selama satu jam untuk menjayakan Earth Hour sebagai tanda prihatin terhadap isu pemanasan global, mengapa tidak menjadi sebahagian daripada yang menjayakan World#QuranHour pula bagi menerangi hati seluruh manusia dengan cahaya al-Quran.

Ini kerana, sejarah membuktikan al-Quran berjaya melembutkan hati insan paling keras dan lantang menentang ajaran Islam, Sayidina Umar al-Khatab R.A kepada antara individu yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah SAW.

Perkara itu antara yang turut ditekankan oleh pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas merangkap pencetus idea World#QuranHour, Datuk Hussamuddin Yaacub bahawa, hampir 90 peratus krisis global berlaku di dunia seperti peperangan, kebuluran dan jenayah adalah kerana sikap manusia bertentangan dengan akhlak al-Quran.

Tidak faham

Walaupun dilahirkan sebagai Islam, katanya, tetapi realitinya ramai yang tidak faham dan mengamalkan Islam dengan sebenar sehingga berlaku salah faham terhadap agama seperti menyalaherti istilah jihad, malah menggunakan agama untuk kepentingan masing-masing.

Buktinya, kebanyakan negara majoriti penduduk beragama Islam dilihat bergolak, sedangkan Allah menyebut di dalam al-Quran bahawa diciptakan manusia daripada pelbagai kaum adalah untuk saling kenal mengenal.

Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu berpuak-puak supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (al-Hujuraat: 13)

Jika sedikit falsafah al-Quran ini dapat dihayati, pastinya segala krisis buruk sehingga mengakibatkan kesan negatif termasuk kehilangan nyawa ini dapat dielakkan.

Apa yang lebih penting, penganjuran program tanpa mengira latar belakang itu diharap menjadi titik persefahaman bagi umat Islam untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan umat Islam yang dilihat kian terhakis akibat perselisihan fahaman.

Sebagaimana dalam perniagaan, setiap umat Islam, perlu memainkan peranan sebagai ‘promoter’ yang bijak dalam mempromosikan produk iaitu agama Islam. Lebih bijak kita menonjolkan imej Islam kepada dunia, pastinya lebih ramai yang akan tertarik mengikuti Islam sekali gus menghilangkan persepsi negatif terhadap agama.

Tidak perlu menghadiri majlis formal atau berkumpulan untuk membaca al-Quran, tetapi di mana-mana sahaja umat Islam perlu merebut peluang menghayati kitab panduan yang diwariskan Nabi Muhammad SAW kepada kita itu.

Ditambah dengan kemajuan terkini, semudah dan sepantas satu klik, al-Quran dapat diakses menerusi pelbagai peranti elektronik termasuk telefon pintar, justeru tiada alasan sukar untuk membaca al-Quran walaupun seketika.

Rahsia

Selain dijanjikan ganjaran yang besar oleh Allah bagi setiap huruf yang dibaca, al-Quran hakikatnya mengandungi pelbagai rahsia untuk dikaji oleh manusia.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya diberi 10 pahala dan ditambah 10 lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf.” - Riwayat Tirmizi

Bukan sahaja memperoleh ganjaran di akhirat, malah mukjizat terbesar bagi umat Islam itu turut memberi kelebihan dunia dengan menyediakan panduan dalam segala aspek kehidupan harian manusia.

Antaranya, al-Quran telah menyatakan proses pembentukan langit dan bumi sebelum diakui menerusi kajian sains yang dilakukan oleh saintis Barat menerusi teori Big Bang.

Ia sebagaimana firman Allah bermaksud: “Dan apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya. Dan daripada air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup. Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?” (al-Anbiya: 30)

Bukan bersifat one off, tetapi World#QuranHour merupakan permulaan kepada penganjuran lebih meluas dan menyeluruh pada masa akan datang dalam usaha mengembalikan roh al-Quran ke dalam diri umat Islam.

Justeru, gelombang al-Quran yang terbina menerusi kempen anjuran Yayasan Ummah Ikhlas itu diharap mampu disemarakkan di seluruh dunia sekali gus mengembalikan kegemilangan pernah dikecapi pada pemerintahan khalifah Islam terdahulu.

Marilah sama-sama kita menyertai sebahagian daripada mereka yang mencipta sejarah tersendiri buat al-Quran.

-