September 12th, 2016

Khutbah Iduladha “Ibadah Korban dan Haji; Pemangkin Kemerdekaan Hakiki”.

Khutbah Iduladha 12 September 2016. JAIS

“Ibadah Korban dan Haji; Pemangkin Kemerdekaan Hakiki”

االله أكبر، االله أكبر، االله أكبر، والله الحمد.

jais.jpgAllah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim AS supaya menyeru seluruh manusia untuk mengerjakan haji di Baitillah al-Haram. Dengan seruan tersebut maka datanglah para jemaah dari seluruh pelusuk dunia untuk mengerjakan ibadah haji pada setiap tahun, supaya mereka dapat menyaksikan berbagai manfaat dan pelajaran yang mengandungi banyak hikmah di sebalik pensyariatannya bagi manusia.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 27-28; “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang kerumah-Mu (Baitullah) dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus (kerana lamanya perjalanan),yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh. Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah pada hari-hari tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternakan (untuk dijadikan korban). Dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah yang fakir miskin”.

Ibadah qurban dan haji mengajar kita supaya memerdeka dan membebaskan diri dari sebarang unsur syirik dengan mengikhlaskan pengabdian sepenuhnya kepada Allah Pencipta sekalian alam.

Ketahuilah bahawa hanya ibadah korban yang dilakukan dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan yang sebenar sahaja yang akan dapat menggapai keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37; “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketakwaan atau keikhlasan dari kamulah yang dapat mencapainya”

Dalam ibadah haji pun demikian juga, sesiapa yang mengerjakannya dengan penuh keikhlasan, bukan untuk menunjuk-nunjuk dan mendapat sanjungan kawan taulan, dia akan lahir sebagai seorang manusia yang bebas merdeka dari sebarang dosa.

Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda “Siapa yang mengerjakan haji kerana Allah lalu tidak berkata-kata keji dan tidak berbuat kefasikan kembalilah ia tampa dosa sebagaimana ketika ia dilahirkan oleh ibunya.”

Bagi mengisi kemerdekaan diri kita, yang telah berikrar mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT semata-mata, maka segala amalan dan tindakan kita dalam kehidupan ini mestilah menepati dengan syariat Islam, yang merupakan satu-satunya perlembagaan hidup yang disediakan oleh Allah SWT untuk hamba-Nya yang merdeka.

Sebab itulah, dalam penyembelihan korban, Allah SWT telah menetapkan cara atau peraturan yang mesti dipatuhi. Jika panduan dan peraturan tersebut tidak dipatuhi dan perlaksanaannya dilakukan sesuka hati, maka sembelihan tersebut tidak menjadi ibadah korban yang diterima oleh Allah SWT. Al Barra’ bin ‘Azib RAnhuma meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda “Siapa yang solat seperti solat kami dan menyembelih korban seperti korban kami, maka ia telah mendapatkan pahala korban. Sesiapa yang menyembelih korban sebelum salat Idul Adha, maka ia hanyalah seperti sembelihan yang ada sebelum solat dan ia tidak dikira sebagai korban”. (Riwayat al-Bukhari).

Begitu juga dalam ibadah haji, Allah SWT memerintah kita supaya mengambil kaedah amalan haji seperti yang diajar oleh Rasul SAW. Hadis daripada Jabir Bin Abdullah RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda “Ambillah dariku amalan-amalan haji kamu sekalian, kerana sesungguhnya aku tidak mengetahui, mungkin inilah haji terakhirku”. (Riwayat Muslim).

االله أكبر، االله أكبر، االله أكبر، والله الحمد.

Sudah menjadi sunnatullah, mana-mana kemerdekaan yang dicapai, sama ada kemerdekaan negara dari penjajah atau kemerdekaan diri dari penjajahan nafsu dan duniawi, sudah pasti ianya menuntut pengorbanan harta, tenaga dan jiwa raga. Dalam ibadah qurban dan haji, kita diperintahkan supaya mengorbankan harta, wang ringgit yang kita sayangi, tenaga dan jiwa raga, demi membuktikan kemerdekaan kita yang sebenar dari belenggu duniawi kepada pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah SWT dan supaya dapat mengecapi kebahagian yang hakiki.

Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 111; “Sesungguhnya Allah Telah membeli daripada orang yang beriman, jiwa dan harta benda mereka dengan memberikan syurga kepada mereka”.

Sesungguhnya Idul Adha yang kita rayakan pada hari ini dan ibadah haji dan korban yang umat Islam laksanakan saban tahun, mengimbau kembali sejarah pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan keluarganya.

Nabi Ibrahim AS telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengorbankan anak kesayangannya Nabi Ismail Alaihima Salam yang akhirnya digantikan dengan seekor Kibash.

Sebelum itu, Nabi Ibrahim AS diperintahkan oleh Allah supaya tinggalkan Isteri dan anaknya Ismail Alaihima Salam di Mekah, negeri yang kering kontang agar kembali ke Palestin meneruskan perjuangan memerdekakan manusia dari belenggu syirik kepada tauhid dan pengabdian diri kepada Allah SWT semata-mata.

Demi menjunjung perintah Allah SWT, Nabi Ibrahim dan keluarganya AS akur dengan perintah tersebut dan berjaya mengharunginya dengan cekal hati dan kesabaran yang tinggi.

االله أكبر، االله أكبر، االله أكبر، والله الحمد.


Inilah pengajaran yang paling besar yang perlu diteladani dan dihayati oleh umat Islam hari ini, supaya mereka lahir sebagai seorang manusia yang bebas merdeka mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Sesungguhnya, wahai muslimin dan muslimat sekalian, kemerdekaan inilah merupakan intipati perjuangan dan ajaran para rasul terdahulu dan disambung oleh nabi kita Muhammad SAW dan para pejuang Islam sepanjang zaman.

Benarlah ungkapan sahabat Nabi, Rub’ei bin ‘Amir RA kepada Rostum panglima tentera Parsi, ungkapan tegasnya yang bermaksud:“Sesungguhnya Allah SWT telah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa yang ia kehendaki dari memperhambakan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata, dan dari kazaliman agama-agama dan sistem-sistem kehidupan kepada keadilan Islam, dan dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat”.

“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya), supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurnian-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepada-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat”. (al-Hajj:34)

Hikmah di sebalik Aidiladha, Hikmah ibadah haji

Hikmah ibadah haji

HARI ini (10 Zulhijah) jemaah haji sedang memasuki fasa akhir melaksanakan ibadah tersebut. Selepas berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijah, mereka kini akan melakukan ibadah melontar di jamrah.

Sesungguhnya sama ada berwukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina kesemuanya mempunyai signifikan tersendiri dalam istilah kemuncak pengorbanan jemaah haji.

Dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia, Pengarah Operasi Bimbingan Lembaga Tabung Haji, TENGKU AZIZ RAJA ABDULLAH memperincikan apa maksud pengorbanan melalui semua aktiviti tersebut.

Semuanya mempunyai pengajaran tertinggi
SUASANA di Mina yang dipenuhi dengan khemah-khemah bagi jemaah haji berkumpul melaksanakan ibadah melontar di Jamrah.

Wukuf pengorbanan paling besar


  • Cuaca adalah cabaran paling utama, kadang-kadang terlalu panas dan terlalu sejuk semasa musim sejuk. Ertinya di situlah kemuncak pengorbanan kita untuk mengabdikan diri kepada Allah.

  • Di Arafah, Allah mahu lihat apakah kita menggunakan waktu untuk berdoa kepada-Nya atau adakah sekadar mencukupkan syarat sahaja seperti dihabiskan dengan makan minum dan tidur.

  • Hari Arafah sewajarnya  dipenuhi dengan solat, doa dan zikir serta penyerahan diri kepada Allah melalui doa taubat dan pengharapan supaya Allah SWT mengampunkan dosa.

  • Semua itu adalah pengorbanan dan satu mujahadah memperjuangkan jiwa sama ada akan tunduk atau tidak kepada Allah SWT.

  • Kadang kala kalau tidak tunduk kita akan hilang sabar, makan pun tidak berselera, kalau macam itu bagaimana kita mahu menghadapi rintangan lebih besar?

Hikmah hidupkan malam


  • Selepas wukuf di Arafah, jemaah haji bergerak ke Muzdalifah untuk berada di situ dari waktu malam hingga subuh.

  • Allah SWT mahu memberi pengajaran bahawa waktu malam sangat berharga, bukan sahaja di Muzdalifah tetapi setiap malam di mana pun kita berada. Waktu dua pertiga daripada malam adalah masa untuk bermunajat.

  • Allah SWT mahu menyatakan kepada kita, kalau mahu dekat dengan-Nya, kita mesti hidupkan malam dengan zikir munajat.

  • Kenapa kita pergi Muzdalifah pada waktu tengah malam? Ia kerana kita mahu mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Ganjaran di sebalik pengorbanan


  • Setiap  pengorbanan yang dilakukan, Allah akan balas dengan pahala. Kita hendak pergi melontar setiap langkah dan titik peluh diberi beribu-ribu ganjaran pahala. Batu yang dilontarkan itu akan menjadi saksi di akhirat dan berdoa agar kita boleh masuk syurga.

Sabar hadapi dugaan


  • Di sebalik pengorbanan yang dilakukan, ada ganjaran besar diberikan Allah SWT.

  • Jika berjaya melaluinya, apabila pulang nanti akan ada perubahan dalam kehidupan atau sebaliknya.

  • Kehidupan selama tiga hingga empat hari (wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina) merangkumi kehidupan kita seperti rintangan syaitan dan perlu bersabar menghadapi dugaan.

  • Semasa melaksanakan semua ibadah itu Allah uji dengan makanan tidak bersesuaian dengan selera. Diuji adakah semasa berhimpun beramai-ramai boleh atau tidak kita beribadah kepada-Nya.

  • Semasa berhimpun, apa yang kita cakap, apakah berkaitan soal agama atau hal dunia. Oleh itu jemaah haji perlu faham apakah hikmah di sebalik pengorbanan yang mereka lakukan melalui perintah menunaikan ibadah haji.

Mina - Buang sifat syaitan dalam diri


  • Jemaah haji berada di sini selama empat hari mulai 10 hingga 13 Zulhijah bagi melaksanakan wajib haji iaitu melontar jamrah.

  • Ia simbolik melontar sifat-sifat syaitan dan mazmumah yang ada dalam diri. Sebagaimana kesediaan Nabi Ibrahim a.s. untuk menyembelih Nabi Ismail a.s. biarpun bukanlah mudah melakukannya terhadap anak yang disayangi, tetapi disebabkan patuh kepada perintah Allah SWT,  baginda tetap mahu melaksanakannya.

  • Begitu juga dengan kita. Musuh kita ialah syaitan yang akan merosakkan, syaitan tidak pernah putus asa menggoda manusia. Sekurang-kurangnya ada tiga lapisan godaan syaitan sebab itulah kita melontar di tiga jamrah. Jika tewas dalam lapisan pertama, kita pergi ke lapisan kedua, Insya-Allah kita akan berjaya tetapi kalau tewas di situ maknanya tewaslah kita.

  • Lapisan ketiga itu bererti sudah sampai ke tahap pengorbanan, di situlah barulah syaitan tidak  akan ganggu kita.


  • Berada selama tiga hari, tiga malam dan melaksanakan aktiviti serta dalam keadaan jemaah yang ramai, semua itu adalah cabaran paling utama sekali adakah kita boleh melaksanakan perintah Alllah SWT dalam masa yang lama. Persoalan taat kepada Allah itu bukan untuk tempoh sehari dua tetapi sepanjang umur.


Hikmah di sebalik Aidiladha

HARI ini tanggal 10 Zulhijah merupakan hari yang cukup bermakna bagi umat Islam di seluruh dunia kerana sekali lagi berpeluang meraikan sambutan Aidiladha atau Hari Raya Korban. Aidiladha antara hari kebesaran Islam yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya setelah berjaya menunaikan perjuangan ibadah yang cukup besar yakni ibadah haji.

Hari Raya Korban adalah hari perayaan yang membawa bersama mesej dan pengajaran penting yang berkait rapat dengan kesatuan umat. Walaupun umat Islam di seluruh dunia terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit, budaya dan negara, namun mereka ialah umat yang satu dan menyembah Tuhan yang satu yakni Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 103 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu berpegang teguh dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai.”

Daripada ayat di atas, jelas kepada kita bahawa pengajaran yang dapat kita jadikan iktibar di sebalik Aidiladha adalah betapa pentingnya menjaga kesatuan dan perpaduan ummah dalam masyarakat, selain memahami bahawa manusia itu adalah sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan mereka adalah sifat takwa yang dimilikinya. Justeru, bagi mencapai matlamat perpaduan ini, maka perlu ada pengorbanan yang sangat besar dan kerjasama yang berterusan daripada semua pihak.

Sambutan Aidiladha juga adalah hari bagi seluruh umat Islam mengagungkan asma Allah dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih serta menegakkan syiar Islam dengan melaksanakan ibadah korban bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Antara hikmah disyariatkan ibadah korban adalah bagi meneladani perjuangan, pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS serta keluarganya terhadap perintah Allah SWT. Kehadiran Aidiladha sentiasa mengingatkan kita tentang peristiwa Nabi Ibrahim yang diuji oleh Allah SWT dengan perintah menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail AS sebagaimana yang terakam dalam surah as-Saffat, ayat 102 yang bermaksud: “Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan kehendak Allah, engkau akan mendapatiku termasuk dari kalangan orang yang sabar.”

Ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah Allah jelas menunjukkan betapa teguhnya keimanan mereka terhadap Allah. Peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memberi makna yang amat besar kepada seluruh umat Islam dan ini memperlihatkan secara jelas sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah yang sanggup melakukan apa sahaja demi menegakkan syiar Islam.

Kesanggupan Nabi Ibrahim ‘menyembelih’ anak kesayangannya Nabi Ismail bukan semata-mata didorong oleh perasaan taat setia secara membuta tuli, sebaliknya didorong oleh keyakinan bahawa perintah Allah itu suatu yang harus dipatuhi dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

Penyembelihan binatang korban adalah ibadah sunat yang sangat dituntut di dalam Islam dan harus dilaksanakan oleh mereka yang mampu sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Kautsar, ayat 1-2 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) nikmat yang banyak (antaranya sungai al-Kautsar di syurga), maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah binatang korban (kerana mensyukuri nikmat-nikmat-Nya).”

Pelaksanaan ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya. Selain itu, ibadah korban juga dapat melatih umat Islam agar dapat mengikis sifat tamak dan bakhil dalam mengeluarkan harta serta melahirkan sifat murah hati untuk membelanjakan harta ke jalan Allah SWT demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti golongan fakir dan miskin.

Semangat berkorban ini harus disuburkan dalam diri kita dan seluruh anggota masyarakat, yakni semangat untuk memberi dan bukan menerima yang seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya hidup kita. Semangat tangan di atas lebih mulia daripada tangan di bawah inilah yang sewajarnya diterapkan dan menjadi sifat utama orang yang bertakwa yang sentiasa berinfaq baik dalam keadaan lapang mahupun sempit.

Aidiladha masa yang tepat untuk kita mendalami makna di sebalik ibadah haji yang melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat. Hikmah ibadah haji adalah cukup indah, yakni proses pentarbiahan kita tentang solidariti sosial, ukhuwah Islamiyah, perdamaian, kesucian, kebersihan, serta kepedulian terhadap umat Islam yang lain melalui pengagihan sembelihan korban.

Syariat berkorban menegaskan bahawa umat Islam memiliki empati dan simpati antara sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan dengan Allah serta mengeratkan hubungan sesama manusia yang secara jelas memperlihatkan penegasan bahawa kebersamaan adalah nilai keutuhan umat.

Oleh itu, ibadah korban adalah bentuk pengorbanan yang bertitik-tolak daripada kesedaran tentang nilai-nilai luhur terutamanya dalam hal-hal yang berkait rapat dengan perjuangan menghindari sifat ego dalam diri sendiri. Setiap daripada kita perlu menyedari bahawa semua umat Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah. Justeru, hanya generasi yang bertakwa sahaja mampu memimpin umat untuk bersatu hati menjiwai semangat kesatuan. Firman Allah dalam surah al-Hujjurat, ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” - Rosmidzaltul Azila Mat Yamin Utusan Malaysia Rencana Pandangan IKIM 12 September 2016 6:00 PM

Menanti panggilan haji juga satu pengorbanan

KITA mendoakan yang terbaik untuk jemaah haji dari seluruh dunia supaya mereka dapat melakukan ibadah haji dengan sempurna. Selepas wukuf di Padang Arafah, perjalanan diteruskan ke Muzdalifah untuk mabit seketika sebelum ke Mina bagi melontar tiga jamrah bermula hari ini. Setakat ini dianggarkan 1.5 juta umat Islam berada di kota suci itu untuk menunaikan haji. Angka rasmi mungkin lebih besar. Menurut laporan, khemah yang disediakan di Mina mampu menampung sehingga 2.5 juta jemaah. Bagi yang tidak berpeluang menunaikan ibadah haji, mereka juga meraikannya sejak semalam dengan berpuasa sunat, bertakbir dan hari ini menunaikan solat sunat Aidiladha diikuti melakukan sembelihan korban sebagai tanda menyambut Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban. Syukur Alhamdulillah, lebih 22,000 jemaah Malaysia selamat melakukan wukuf. Diharapkan dengan taklimat serta pemantauan yang dilakukan oleh pihak Tabung Haji, jemaah kita dapat melakukan ibadah dengan selesa bagi melengkapkan semua rukun dan wajib haji.

Paling mencabar sudah tentulah ketika melontar tiga jamrah. Menyelak kembali peristiwa tahun lalu, ratusan orang maut dalam insiden rempuhan di Mina. Kejadian berlaku ketika kebanyakan jemaah dari Iran dalam perjalanan untuk me­lontar jamrah. Kerajaan Arab Saudi juga telah mengambil langkah meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelak insiden bersesak-sesak tahun lalu berulang di Mina. Kali ini, beribu-ribu jemaah Iran tidak melakukan ibadah itu berikutan perselisihan dengan Arab Saudi. Setiap tahun, ramai yang menaruh harapan untuk menunaikan ibadah haji. Bagaimanapun ada ketikanya berlaku pengurang­an kuota disebabkan kerja-kerja ubah suai dan menaik taraf kemudahan infrastruktur sekitar Masjidilharam. Jumlah yang menunggu terus meningkat dari setahun ke setahun.

Diharapkan, jemaah yang berpeluang ke sana akan meningkat selepas projek pembesaran siap sepenuhnya. Begitu jugalah harap­an rakyat Malaysia agar kuota dapat ditingkatkan. Setiap tahun ramai yang tertunggu-tunggu surat panggilan daripada Tabung Haji. Ada juga yang mengemukakan rayuan dan mendapat jemputan pada saat-saat akhir. Biar bila pun masanya ‘dipanggil’, asal ada ‘jemputan’ jarang bakal jemaah mahu menolaknya, kecuali mereka yang sudah pernah me­lakukannya beberapa kali. Bagi mereka yang terpilih, bersyukur­lah. Kepada yang tidak kesampai­an hajat mereka, bersabarlah. Ini juga satu pengorbanan dan meng­uji kesabaran. Hindarkan sebarang sikap kecewa, berputus asa, marah atau cemburu melihat rakan atau sesiapa sahaja yang menerima ‘jemputan’. Perasaan itu mungkin wujud ketika melihat rakan, jiran atau sesiapa sahaja terpilih. Orang tua terkilan melihat orang muda terpilih. Ada juga si suami mendapat jemputan bagi menemani ibu tetapi si isteri pula tidak berpeluang.

Memang sulit untuk memenu­hi kehendak semua orang. Tidak banyak yang boleh dilakukan kerana kuota berada di tangan kerajaan Arab Saudi. Kerajaan Malaysia tentunya berusaha untuk mendapatkan tambahan kuota. Bersabarlah. Mungkin belum tiba masanya untuk bergelar jemaah haji, bak kata orang, belum sampai seru. Kursus haji dah berulang kali tetapi nama ‘belum naik’. Bagi rakyat Malaysia, kos bukan lagi masalah besar. Dulu kos menjadi halangan sehingga ada yang ‘bergolok bergadai’ me­ngumpul wang. Modal utama hari ini ialah ‘jemputan rasmi dari Tabung Haji’. Itu sahaja.

Soalnya bagaimana peluang untuk mendapat jemputan rasmi itu? Selak pernah menyelak isu berkaitan peluang penyimpan di Tabung Haji menunaikan haji ini. Ketika itu seorang sahabat yang sudah menghampiri usia emas memberitahu, sebaik sahaja membuka akaun di Tabung Haji semasa remaja, beliau bertekad untuk menunaikan haji ketika masih sihat. Ketika itu tidak terlintas soal dividen atau bonus hasil simpanannya. Setiap bulan, beliau tidak pernah lupa menambah simpanan termasuk melalui potongan gaji. Malangnya beliau ambil mudah soal pendaftaran. Beliau melakukan kesilapan besar kerana tidak mendaftar. Akhirnya setelah terlanjur, baharulah beliau sedar. Giliran yang menantinya ialah pada tahun 2045, ketika usianya mencecah 84 tahun.

Baru-baru ini, ketika berada di sebuah pejabat Tabung Haji, Selak melihat reaksi seorang wanita di sebelah remaja perempuan mendaftar diri. Wanita itu tersenyum apabila diberitahu, giliran remaja berkenaan ialah pada tahun 2061. Petugas kaunter itu pula mengingatkan, ini bukan 2016 tetapi 2061! Maknanya 55 tahun lagi. Ketika itu usianya menjangkau 69 tahun. Semoga remaja itu tetap sihat bagi memenuhi impiannya. Diharapkan beliau masih kuat untuk tawaf mengelilingi Baitullah, berulang alik antara Safa dan Marwah ketika sai, berhimpun di Arafah, bermalam di Mina dan gagah mengatur langkah untuk melontar jamrah. Berhubung perkara ini, Selak tertarik dengan kiriman SMS yang disiarkan di Utusan Malaysia baru-baru ini. SMS itu (lihat keratan) me­nyatakan simpati kepada mereka yang masih menunggu giliran panggilan haji. Tidak pasti sama ada kaedah sekarang dapat memberi perhatian terhadap penyimpan yang sudah lama mempunyai akaun di Tabung Haji.

Baru-baru ini seorang sahabat berusia 40an yang mendapat jemputan menunaikan haji memberitahu, beliau mendaftar sejak di bangku sekolah. Itu bagi yang ‘sedar’ mengenai pendaftaran. Se­perti mendaftar sebagai peng­undi, ada yang tidak peduli tanggungjawab untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Apakah harapan yang dapat diberikan kepada mereka yang sudah lama menyimpan sedikit demi sedikit tetapi lewat mendaftar? Mampukah golongan ini bersaing dengan penyimpan baharu yang semakin meningkat? Pernah sebelum ini, ada cadangan mahu mengurangkan jumlah kakita­ngan Tabung Haji ke Mekah bagi menambah bilangan kuota. Rak­yat Malaysia yang bermastautin di Mekah akan dilantik menguruskan jemaah kita. Khabarnya jika itu dapat dilakukan dapat menambah 600 jemaah lagi. Tidak pasti sama ada langkah ini sebagai salah satu jalan keluar terbaik. Apa yang penting, biar apa juga langkah, jangan sampai perkhidmatan kepada jemaah terjejas.

Mungkin Tabung Haji boleh memberi pertimbangan istimewa kepada pendeposit setia, yang menyimpan sedikit demi sedikit sejak muda sehingga wangnya mencukupi ketika menjangkau usia emas. Berilah keutamaan kepada golongan seperti ini yang masih mempunyai tahap kesihatan yang boleh dianggap baik. Sesiapa pun warga emas yang masih sihat amat mengharapkan untuk ke tanah suci. Hadis daripada Ibn ‘Abbas RA mungkin sesuai untuk direnungi. Rasulullah SAW ber­sabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa muda sebelum datang masa tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin), masa la­pang sebelum tiba masa sibuk, masa hidup sebelum tiba masa mati,’’ (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)

Semoga lebih ramai lagi yang berpeluang menjadi tetamu Allah untuk menunaikan haji. Selamat Hari Raya Aidiladha. - Hassan Mohd Noor Utusan Malaysia Rencana 12 September 2016 6:00 PM