September 14th, 2016

Perpaduan dalam kepelbagaian

Tarikh 16 September 1963 cukup bersejarah dengan penubuhan Persekutuan Malaysia, penyertaan bersama Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak membentuk Malaysia.

Suruhanjaya Cobbold telah meninjau pandangan penduduk dan lebih 80 peratus bersetuju dengan pembentukannya.



MASA depan negara ditentukan oleh perpaduan rakyat berbilang kaum, bukannya oleh kuasa asing. GAMBAR HIASAN

Pengisytiharan penubuhannya dilakukan di Stadium Merdeka di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Manakala di Jesselton (Kota Kinabalu), Kuching dan Singapura dihadiri pemimpin masing-masing iaitu Tun Mohammad Fuad Stephens, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Lee Kuan Yew.

Namun pada tahun 1965, ekoran beberapa permasalahan, Singapura dikeluarkan dari Malaysia.

Islam iktiraf kepelbagaian

Kepelbagaian adalah suatu realiti yang diakui Islam, yang menganjurkan menerima perbezaan agama dan etnik sebagai satu yang lumrah seperti Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 13, mengelakkan cemuhan budaya, etnik dan agama, bersopan santun serta berbudi seperti Surah al-Nahl, ayat 125, Surah Toha ayat 44 dan Surah al-Hujurat ayat 11.

Terdapat beberapa aspek persamaan antara penggubalan Piagam Madinah dan Perlembagaan Persekutuan. Kedua-duanya merupakan platform membangunkan negara melalui perpaduan. Kedudukan semua kaum terbela dan tiada mana-mana pihak dipinggirkan.

Komposisi penduduk terdiri daripada kepelbagaian bangsa dan budaya. Anggaran penduduk Tanah Melayu ketika pembentukan Malaysia, 50 peratus merangkumi bumiputera, 36.9 peratus etnik Cina, selebihnya kaum India dan lain-lain.

Apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil kira, bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar. Majoriti rakyat Sarawak dan Sabah bersetuju menyertai Malaysia, menerimapakai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957, menerima Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi.

Perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas membentuk Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan beberapa pindaan digubal bagi memastikan kepentingan khas negeri-negeri Borneo terjamin dan dimasukkan ke dalam Perjanjian Malaysia.

Perlembagaan Persekutuan berperanan membentuk negara persekutuan dengan kerajaan pusat yang kuat, mengekalkan hak dan kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah berperlembagaan, memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta hak kaum lain sekali gus mewujudkan pemerintahan yang adil, mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat serta menjamin kestabilan negara.

-