September 17th, 2016

Pilih untuk jadi ‘orang asing’

“APABILA kalian mengikuti jejak mereka, maka tiada keraguan terhadap apa yang mereka fahami. Tiada keraguan berhubung amalan mereka. Tiada keraguan terhadap apa yang mereka saksikan. Tiada keraguan berhubung komitmen mereka,” kata Khalid Yasin dalam satu kuliah Maghrib yang dimuat naik dalam media sosial.

Penceramah tersohor dari Amerika Syarikat itu kemudiannya bertanya kepada hadirin, siapakah golongan itu? Jawapannya adalah ‘orang asing’.

Merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: “Islam pada mulanya asing, dan akan kembali asing seperti semula. Maka berbahagialah kiranya yang terasing.”

Beliau yang bermula sebagai seorang penganut Kristian, kemudian memeluk Islam sebelum menjadi seorang penceramah bebas yang bergiat aktif di United Kingdom itu berkata, semua orang mengetahui bahawa tiada individu yang paling dihormati dalam Bani Quraisy sebelum kedatangan Islam, mereka ialah Rasulullah SAW dan Abu Bakar As-Siddiq.

Namun apa yang berlaku selepas kedua-duanya membawa Islam sebagai cara hidup? Mereka berdua yang paling dihormati dalam kalangan Bani Quraisy itu kemudiannya menjadi ‘orang asing’ ekoran membawa dan menyebarkan dakwah Islam.

Begitu juga dengan Sayidina Umar Al-Khattab r.a., daripada seorang jaguh atau perwira dalam kalangan orang Quraisy, akhirnya dipandang sepi oleh kaumnya sendiri ekoran memilih Islam sebagai agama yang dianuti.

Umar adalah individu yang ingin membunuh Rasulullah SAW, namun pada hari beliau berniat untuk membunuh baginda, Allah SWT memberikan petunjuk, sekali gus pada saat itu juga, dia turut tergolong dalam kelompok ‘orang asing’.

“Kita perlu menjejaki langkah ‘orang asing’ tersebut. Kita..., Muslim adalah orang asing pada masa ini. Maka haruslah kita ‘berhubung’ dengan kumpulan orang asing pada masa lalu, iaitu golongan sahabat.

“Selain itu, kita juga mesti menghubungkan anak-anak kita kepada orang asing tersebut. Ini kerana orang asing itulah yang telah menyokong dan membangunkan agama Allah. Merekalah yang telah merintis agama ini. Mereka telah banyak berkorban demi agama,” katanya yang kini menetap di Manchester, England.

Jelas Khalid, biarpun tidak diterima oleh masyarakat kerana memilih jalan yang benar, namun perkara itu adalah sesuatu yang terbaik buatnya, meskipun terpaksa menjadi orang asing.

Tidak diterima rakan, hilang punca pendapatan atau dibuang daripada keluarga, semua itu merupakan ujian terhebat buat mereka yang bersedia untuk menjadi orang asing di dunia ini.

Malah ketika dilabelkan sebagai seorang yang ekstrem oleh golongan jumud tentang Islam, perkara itu bukannya satu kerugian tetapi satu anugerah terbaik daripada Ilahi.

“Bersyukurlah dan ucapkan Alhamdulillah. Berdoalah agar mereka juga akan memperoleh orang asing dalam kehidupan. Ini kerana orang asing adalah milik orang asing.

“Wahai seluruh umat Islam, kita seharusnya menginginkan untuk menjadi orang asing. Sudah semestinya kita ingin menjadi sebahagian daripadanya dan kembali kepada situasi keterasingan itu,” katanya.

Tambahnya, umat Islam juga harus sedar dan tidak mempedulikan apa yang dilakukan oleh orang kafir. Tidak peduli dengan apa yang mereka mahu lakukan dan upaya mereka untuk memadamkan cahaya Allah SWT.

Jelasnya, tidak mempedulikan apa yang keluar dari mulut mereka (orang kafir) termasuk melalui televisyen, filem, akhbar, buku dan radio.

“Apa pun yang mereka lakukan adalah untuk melawan Islam dengan pembohongan, penyimpangan dan fitnah. Ini kerana setiap yang dilakukan untuk menekan Islam, mereka tidak akan pernah berhasil melakukannya kerana Allah menyempurnakan cahaya-Nya, meskipun orang kafir tidak menyukainya.

“Allah SWT akan menyempurnakannya melalui kumpulan orang asing. Tugas kita hanyalah memohon kepada Allah agar kita semua dijadikan orang asing, selain berdoa agar puteri-puteri kita mencintai orang asing.

“Berdoa agar generasi kita yang mana lalai dan tersasar jauh untuk kembali kepada Allah serta bertaubat, seterusnya menjadi golongan orang asing. Bersolat bersama kumpulan orang asing. Semoga kemuliaan kembali kepada kita semua dan sehingga Islam akan kembali kepada kejayaan,” katanya. - Hisyamuddin Ayub Utusan Malaysia Rencana 17 September 2016 12:13 AM

Pengajaran Nabi Yusof jadikan iktibar

SIAPA tidak suka gambar atau status dimuat naik dalam laman sosial mendapat ribuan like, di samping komen pujian bertalu-talu daripada rakan yang terdapat dalam saluran tersebut.

Mufti Zimbabwe, Ismail Musa Menk bagaimanapun mengingatkan masyarakat terutama umat Islam supaya berhati-hati memuat naik status atau gambar di media sosial yang boleh menjadi tatapan umum.

Sebaliknya, pendakwah terkemuka antarabangsa itu menasihatkan umat Islam agar menghayati pengajaran kisah Nabi Yusuf a.s. yang ditunjukkan ayahnya, Nabi Yaakub a.s., supaya merahsiakan kelebihan dikurniakan oleh Allah SWT kepada dirinya daripada umum termasuk abangnya sendiri.

“Allah berfirman bermaksud: “Yusuf berkata kepada ayahnya, “Wahai ayahku, sesungguhnya aku telah bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan, ku lihat semuanya sujud kepada ku.” (Yusuf: 4)

“Ketika Nabi Yusuf bertanya kepada bapanya iaitu Nabi Yaakub, baginda telah pun mengetahui bahawa Allah ingin mengangkat darjat anak ini (Nabi Yusuf sebagai tanda kenabian), tetapi Nabi Yaakub tidak memberi tahu perkara sebenar, sebaliknya mengambil pendekatan berbeza iaitu meminta Nabi Yusuf merahsiakan mimpinya itu.

“Dia (Nabi Yaakub) berkata, “Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, mereka akan membuat tipu daya (untuk membinasakanmu). Sungguh, syaitan itu musuh yang jelas bagi manusia.” (Yusuf: 5),” katanya.

Mengaitkan pengajaran tersebut dengan fenomena yang berlaku kini, Mufti Menk berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan manusia daripada mendapat penyakit buruk atau kesan negatif yang wujud daripada pengaruh ain (penyakit akibat pandangan).

“Semua yang berlaku dalam kehidupan harian, kamu ceritakan kepada orang lain dengan memuat naik gambar dan menulis pelbagai perkara termasuk hal peribadi. Sehingga setiap kali selepas makan kita menggantikan profil gambar dan status ‘aku makan di sini, aku berada di hotel itu dan ini.’

“Berhati-hatilah. Telah ramai orang yang menderita dan ditimpa nasib malang akibat penyakit yang dinamakan ain. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud; “Pengaruh ‘ain’ itu benar, sekiranya ada sesuatu yang boleh mendahului takdir, ‘ain’ lah yang dapat melakukannya.” - Riwayat Muslim

“Apa yang dimaksudkan dengan penyakit ‘ain’ ini antaranya adalah hasad dengki. Adakah kamu percaya semua pelayar media yang melihat gambar kamu itu suka dan tidak berasa cemburu dengan kegembiraan yang kamu nikmati? Inilah yang mengundang kepada penyakit ‘ain’,” jelasnya.

Mula menghafal al-Quran pada usia sembilan tahun, Mufti Menk menghabiskan hafalan 30 juzuk al-Quran pada usia 12 tahun. Beliau mempelajari bahasa Arab, Urdu dan mendalami Mazhab Hanafi sejak kecil bersama bapanya, Musa Menk yang menamatkan pengajian di Mazahirul Uloom Shahjahanpur, India.

Setelah mengkaji mazhab, Mufti Menk melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Madinah dalam pengajian Ijazah Syariah mazhab yang empat.

Mufti Menk berkata, al-Quran telah menggariskan panduan kepada manusia untuk dijadikan rujukan agar setiap perbuatan yang dilakukan bertepatan dengan syariat, di samping mengelakkan sebarang kebinasaan berlaku.

“Terdapat dua pengajaran yang boleh diambil menerusi kisah tersebut iaitu pertama, ketika saudara-saudara Nabi Yusuf memasuki istana untuk mendapatkan makanan, Nabi Yaakub berkata, ‘masuklah secara berasingan’. Ulama menjelaskan menerusi kitab tafsir, antara alasan perbuatan itu adalah agar orang ramai tidak melihat kesenangan mereka, sekali gus mengundang perasaan dengki.

“Di sini juga, Nabi Yaakub berkata kepada Nabi Yusuf supaya tidak menceritakan mimpi itu kepada saudara-saudaranya. Mengapa?, supaya mereka tidak merancang sesuatu yang buruk kepada baginda,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tidak salah untuk memuat naik sebarang status atau gambar, tetapi perlulah digunakan dengan perkara yang membawa kebaikan kepada diri sendiri dan orang lain.

“Ini bukan bermakna kita perlu menjauhi atau membuang terus teknologi dalam hidup kita, tetapi apa yang ingin saya sampaikan adalah gunakanlah kemudahan ini dengan sebaik mungkin. Berkongsilah sebarang maklumat yang boleh memberi manfaat.

“Tidak salah juga kadang-kala kita ingin berkongsi kegembiraan bersama orang lain, tetapi cukuplah sekadar mereka yang kamu percayai atau orang terdekat seperti suami kepada isteri, anak kepada ibu bapa dan saudara mara.

“Hayatilah kisah Nabi Yusuf, abangnya sendiri mempunyai hasad dengki terhadapnya. Ini kerana, bukan semua orang baik atau ikhlas terhadap kita.

“Ada orang baik tetapi boleh bertukar menjadi sebaliknya, jika hasutan buruk masuk ke dalam hati mereka, disebabkan perkara tertentu,” katanya. - Mohd Shah Che Ahmad Utusan Malaysia Rencana 17 September 2016 12:15 AM