September 19th, 2016

Dr. Haron Din seorang guru yang teliti, Berdakwah hingga akhir hayat

Berdakwah hingga akhir hayat


“SESUNGGUHNYA Allahyarham merupakan tokoh yang mempunyai pendirian yang jelas dalam ilmu, tegas, cintakan Islam serta mendalam ilmunya. Mempunyai kefahaman yang tinggi ketika mana ramai orang kabur dan keliru dalam tindakan. Cintakan perpaduan dan mempunyai impian untuk melihat Islam dijunjung tinggi di tanah air.”

Itulah ulasan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berikutan kembalinya Mursyidul Am Pas, Datuk Dr.Haron Din ke rahmatullah kelmarin. Apa yang dikatakan oleh Zulkifli adalah gambaran tepat keperibadian, ketokohan dan perjuangan Allahyarham Haron - seorang ulama yang dihormati oleh kawan dan lawan.

Meneliti satu demi satu catatan perjalanan kehidupan Allahyarham sejak kecil, tidak keterlaluan kalau dikatakan Allahyarham adalah insan yang dilahirkan untuk menjadi pejuang Islam. Namun perjuangan yang dirintis dengan matlamat syariat Islam dilakukan secara berhemah. Biarpun tegas dan istiqamah dalam perjuangan berkenaan namun beliau sentiasa menjaga adab dan akhlak yang digariskan oleh Islam. Allahyarham tidak pernah menjatuh hukum kepada sesiapa apatah mencela dan memaki hamun orang lain.

Walaupun dianggap ulama hebat, namun Allahyarham amat merendah diri dan sentiasa bersedia menerima pandangan atau menyokong apa juga tindakan dalam satu-satu perkara waima oleh kerajaan sekalipun asalkan ia tidak bertentangan dengan syariat Islam. Berada dalam barisan kepemimpinan utama Pas tidak pernah dijadikan tiket untuk Allahyarham memusuhi mana-mana kelompok Islam atau orang Melayu yang tidak sehaluan dengan parti itu.

Sebaliknya Allahyarham sentiasa berlapang dada dan berusaha mencari pendekatan terbaik agar misi dakwah yang dibawa khususnya dalam menegakkan perjuangan Islam Pas berjaya.

Berikutan sikap itulah Allahyarham tidak bersekongkol atau berkongsi sentimen dengan mana-mana pihak termasuklah dalam parti itu untuk melihat UMNO sebagai ‘musuh nyata’.

Bagi Allahyarham selagi ada ruang dan kesempatan bak kata orang biar sebesar zarah asalkan Allahyarham boleh berdakwah, Allahyarham bersedia merebut peluang tersebut. Atas sebab itulah Allahyarham tidak tergugat atau berasa resah dengan pandangan politik sempit sesetengah pihak termasuk dalam Pas sendiri yang mempertikaikan keputusan Allahyarham menerima jemputan kerajaan untuk menjadi Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI) pada Februari lalu.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika mempertahankan kesediaan Allahyarham menganggotai MPI menegaskan, “Apabila ada orang yang mahu dan komited untuk berdakwah seperti Haron Din, misalnya menunjukkan komitmen beliau terhadap kerja dakwah, walaupun beliau ahli Pas, kita tidak sepatutnya menjadikan pelantikan beliau sebagai satu kesilapan atau kesalahan kepada parti.”

Sememangnya berdakwah sudah menjadi darah daging Allahyarham. Dalam apa juga situasi Allahyarham meletakkan perjuangan menegakkan syariat Islam sebagai matlamat utama. Allahyarham sentiasa tegas untuk mempertahankan syariat Islam dan bersedia memberi pandangan berlandaskan kepada prinsip mencari keredaan Allah.

Anak ketiga daripada 10 adik beradik ini, bersedia ke hadapan untuk menyatakan pendirian berhubung sesuatu isu yang menyentuh mengenai hal ehwal Islam. Berikutan ketika isu kalimah Allah hangat diperkatakan, Allahyarham muncul dalam rakaman video khas memberi penjelasan kenapa orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah suci itu. Begitu juga dalam isu ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’, Allahyarham secara terbuka menggesa penganjur yang beragama Islam bertaubat.
“Jika dilihat dari sudut akidah, perbuatan menganjurkan perkara haram secara terbuka ini seolah-olah satu percubaan mencabar hukum Allah dan fatwa serta ada sifat-sifat kebanggaan mereka yang berbuat demikian,” tegas Allahyarham.

Dalam mempertahankan kesucian dan menegakkan perjuangan Islam, Allahyarham sama sekali tidak akan berkompromi dengan sesiapa jua. Mungkin kerana ketegasan inilah apabila Allahyarham meninggal dunia ada kelompok termasuk segelintir pemimpin parti pembangkang bagaikan ‘meraikannya’.

Tindakan biadab itu dilakukan kerana mereka memahami umat Islam kehilangan seorang lagi ulama yang selama ini menjadi benteng mempertahankan kesucian Islam dan tidak pernah berputus asa memperjuangkan agama suci itu. Bagaimanapun ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sepanjang berjuang bersama Pas, Allahyarham paling lantang menentang bekas sekutu parti itu, DAP yang dilihat sering sahaja memperkotak-katik maruah Pas.

Allahyarham tidak meletakkan kepentingan atau keuntungan politik sebagai keutamaan sebaliknya menegaskan, “Pas lebih bimbangkan kemurkaan Allah daripada bimbang tidak mendapat sokongan manusia.” Dalam soal politik juga, Allahyarham sentiasa bersangka baik dengan sesiapa juga asalkan ia membuka peluang untuk mendapat keredaan Allah.

Ini terbukti apabila Allahyarham menyambut secara positif usaha mewujudkan kerjasama Pas dengan UMNO. Antara lain beliau berkata, “Kedua-kedua (parti) sememangnya mungkin bekerjasama atau mungkin tidak bekerjasama, bergantunglah kepada sejauh mana kebajikan atau kebaikan yang boleh diterima demi mencapai ketakwaan kepada Allah.”

Hakikatnya, negara kehilangan seorang tokoh yang sepanjang hayat mengabdikan diri untuk berdakwah bukan kerana mahu mencari kuasa politik tetapi demi membimbing ummah ke arah mendapat keredaan Allah.


Dr. Haron Din seorang guru yang teliti - KP Jakim

PUTRAJAYA 17 Sept. - Allahyarham Datuk Dr. Haron Din adalah seorang guru yang teliti dalam mendidik anak-anak muridnya, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha.

Katanya, beliau masih ingat kata-kata Dr Haron, dekan di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ketika beliau (Othman) mengikuti pengajian dalam bidang syariah di universiti itu.

"Katanya jika kita membicarakan soal aqidah, tidak boleh dalam nada tinggi atau gelak ketawa. Nada perlu serius, rendah serta tidak boleh gopoh dan sentiasa tenang," katanya kepada pemberita selepas menyertai solat jenazah ghaib Dr Haron di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), di sini hari ini.

Kira-kira 500 jemaah menunaikan solat itu yang diimamkan oleh Timbalan Imam Besar MTMZA Ustaz Ehsan Mohd Hosni, selepas Solat Zohor.

Othman berkata, negara kehilangan seorang tokoh agama yang banyak berjasa terutamanya dalam membantu Bank Negara Malaysia membangunkan bidang perbankan Islam.

"Allahyarham juga mengetuai kluster dakwah dalam Majlis Perundingan Islam (MPI) yang menentukan hala tuju program untuk memastikan gerakan dakwah dapat dilaksanakan dengan sempurna dan menyatu-padukan umat Islam," katanya.

Beliau berkata, Mursyidul Am PAS itu juga mempunyai ilmu yang tinggi dalam pelbagai bidang seperti feqah, tauhid dan kemasyarakatan.

Allahyarham Dr Haron, 76, meninggal dunia pada 10.10 pagi semalam (waktu Malaysia) di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars, 1761 Laughlin Rd, Livermore, California, Amerika Syarikat pada 8.57 pagi tadi (waktu Malaysia).

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Khatijah Salleh serta dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.-BERNAMA Utusan Malaysia Rencana 17 September 2016 3:48 PM

Berikan Kebaikan Dapat Kebaikan

SYARAT utama untuk berjaya: Tinggalkan fikiran negatif dan berfikirlah secara positif. Orang yang berjaya langsung tidak membenarkan perkara yang negatif menguasai fikirannya. Dia hanya menggunakan mindanya untuk berfikir perkara yang positif sahaja. Bagaimanakah hendak berfikiran positif? Fikiran negatif atau positif itu datang dalam dua keadaan.

Pertama, fikiran yang terbentuk secara tiba-tiba yang dipengaruhi oleh faktor persekitaran (apa-apa yang dilihat di luar). Biasanya dalam situasi ini kita tidak dapat mengawal perasaan kita kalau hati kita goyah, mudah terpesona dengan perkara yang menyeronokkan, hingga kita lupa kepada sasaran kehidupan yang kita perlu gapai. Sedangkan orang yang hebat dia akan dapat mengawal mindanya. Apa yang berlaku di luar tidak penting tetapi yang penting apa yang berlaku di dalam. Apabila sakit, jaga hubungan dengan Allah walaupun sakit teruskan. Kita tidak boleh ubah apa yang tidak boleh ubah, jadi ubah cara kita melihat kejadian – “betulkan fikiran maka betullah kehidupan”.

Kedua, fikiran yang datang daripada pilihan kita. Iaitu kita pilih atau tapis perkara apa yang perlu dan patut kita fikirkan. Situasi ini membuatkan kita lebih berfokus dan tahu sasaran matlamat kita. Sebab itulah kualiti kehidupan kita bergantung kepada persepsi kita, dan kehidupan kita bergantung kepada makna yang kita beri kepada kehidupan.

Jom lakukan perubahan diri untuk mendapatkan empat hasil kehidupan yang positif. Pertama, untuk mendapatkan ketenangan, tingkatkan ketakwaan – “Orang tenang sentiasa menang”. Kebahagiaan mesti bermula daripada rumah tangga yang tenang. Kalau hendak tahu kejayaan di sebalik seorang lelaki yang bergelar suami, lihat siapa isterinya. Demikian jugalah bagi seorang wanita yang bergelar isteri, di sebalik kejayaannya ada sokongan suami di sisinya. Suaminya positif isterinya pun positif. Isteri yang bahagia dan ceria, suaminya bahagia dan ceria. Suami yang garang dan serius, isterinya murung dan pendiam. Suami yang takwa, isteri dan anak-anaknya hidup dalam tenang.

Kedua, untuk mendapatkan kebahagiaan, jaga silaturahim – “Bahagia dan membahagiakan”. Orang yang menyukakan orang akan disukai orang walau di mana pun dia berada. Orang yang menghargai akan dihargai. Orang yang menyayangi akan disayangi. Orang yang mengasihi akan dikasihi. Orang yang mencintai akan dicintai. Jom ubah diri kita daripada ingin “di” (disukai/disayangi/dikasihi/dicintai/dipuji/dihargai) kepada “me” (menyukakan/menyayangi/mengasihi/mencintai dan menghargai) dan berikan kasih sayang kepada semua makhluk.

Ketiga, untuk mendapatkan kesihatan, pilih pemakanan. – “Makan makanan sihat, bukan makan makanan sedap”. Kesihatan adalah menyeluruh. Apabila minda positif dan emosi juga positif badan kita akan sihat. Untuk sihat kena sentiasa melihat kebaikan. Keajaiban kesihatan akan membuatkan kita ringan beribadah kepada Allah SWT.

Keempat, untuk mendapatkan kekayaan, gigih dalam pekerjaan – “Duit alat meningkatkan ketakwaan”. Simpan duit untuk pergi haji, sejak dari awal kita bekerja dengan membuat potongan gaji. Hakikatnya dari segi tasawufnya pergi haji ini atas jemputan Allah SWT sebagai tetamu Allah. Sebab itulah banyak orang berhalangan untuk mendapat peluang menunaikan ibadah haji. Bentuk halangan itu pertama, ada orang ada duit tetapi tidak ada masa atau kesihatan tidak mengizinkan untuk menunaikan fardu haji. Kedua, ada orang dia sihat ada banyak masa tetapi, tidak ada duit pula untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci. Ketiga, ada orang banyak masa tetapi, dia tidak ada duit atau kesihatannya tidak mengizinkan untuk mengerjakan haji.

Dalam kehidupan kita, biasa kita jumpa orang yang tidak mampu dari segi kewangan, tetapi tidak dia mendapat peluang menunaikan fardu haji di Tanah Suci Mekah, sebab kita pergi menunaikan haji dengan jemputan Allah. Yang penting niat, siapa yang berniat akan sesuatu kerana Allah dan bersungguh-sungguh berdoa, maka Allah akan tunaikan niat dan permintaannya.

Barakah

Banyak orang pergi menunaikan haji ketika usia sudah tua dan sudah tidak larat, sebab masa mudanya digunakan wang untuk kehidupan dan keperluan pengajian anak-anaknya. Jadi anak-anak apabila telah berjaya dan mempunyai pekerjaan yang baik, niatkan duit gaji kita simpan untuk ibu bapa pergi menunaikan haji. Tujuan untuk membahagiakan ibu bapa yang bersusah payah menyara pengajian kita, hingga kita berjaya menjawat jawatan yang tinggi dalam pekerjaan. Sebelum anak-anak pergi haji, biarlah ibu bapa kita dahulu yang pergi menunaikan fardu haji. Maka gunakanlah segala wang yang kita ada untuk terlebih dahulu membiayai ibu bapa menunaikan fardu haji (mula bekerja simpan duit untuk haji emak dan ayah mungkin RM200 dan untuk sendiri cukuplah RM50 sebulan).

Insya-Allah akan Allah gantikan untuk kita dengan rezeki yang lain, jika kita menggunakan wang kita untuk kebajikan dan kebahagiaan ibu bapa kita. Barakah, tiada orang yang berbakti kepada ibu bapa yang tidak bahagia. Penting bagi kita berbuat baik kepada ibu bapa yang Allah angkat darjat kita.

Bayangkan untuk berikan kebaikan dan dapat kebaikan. Jika kita tidak dapat seperti kita hendak, ubahlah cara kita melihat sesuatu: kalau dapat sesuatu perkara yang baik kita bersyukur. Jika kita dapat perkara yang kita tidak berkenan atau sangat tidak kita ingini atau layanan buruk daripada orang yang kita berbuat baik kepadanya, kita belajar daripada kesalahan orang itu. Belajar memahami erti kehidupan, serta bersyukur kerana kita tidak berperangai seburuk itu. Belajar daripada kesalahan orang dan bersyukur Allah tidak pilih kita membuat perangai buruk itu.

Tiga perkara yang perlu kita lakukan jika berlaku orang berbuat perkara yang buruk kepada kita. Pertama, bersyukur sebab kita tidak terpilih dan diizinkan Allah berbuat perkara yang buruk. Kedua, bersabar menangani kekasaran orang itu. Ketiga, mendoakan orang itu, “Ya Allah macam mana engkau memberi hidayah kepada aku supaya berbuat baik, maka Engkau berilah hidayah kepadanya supaya dia berbuat perkara yang baik”. Sentiasa mendoakan orang lain tanpa orang itu tahu kita mendoakannya.

Kita hendaklah menahan sabar, tidak mahu marah dan menghukum orang, sentiasa menghormati dan menghargai orang bukan dihormati dan dihargai orang, suka mendoakan orang sedangkan orang itu tidak tahu pun kita mendoakannya, malaikat akan mengaminkan dan segala doa kita untuk orang lain itu akan dapat balik kepada kita.

Jom buang semua penyakit hati dan sifat negatif serta gantikan dengan cinta kepada Allah untuk bahagia dunia dan akhirat. Semoga segala amalan kita mencari bekalan untuk kembali kepada Allah. Kalau kita tidak bahagia bermakna kita belum cukup tolong orang. Semakin banyak kebaikan yang kita boleh berikan, bermakna semakin banyak kebaikan yang akan dapat balik kepada kita. -Dr. Muhaya Muhamad Utusan Malaysia Rencana 18 September 2016 6:00 PM

10 kultus paling bahaya

KEBANYAKAN kultus mempunyai ideologi, agenda atau kepercayaan yang bertentangan dengan norma agama dan kehidupan sehingga menjadikan mereka sangat bahaya.

Ini dapat dilihat menerusi tindakan mereka seperti melakukan keganasan, penculikan, vandalisme, ugutan, pembunuhan, eksploitasi dan bunuh diri beramai-ramai.

Sebahagian besar kultus adalah serpihan daripada agama dan menubuhkan ajaran sendiri kerana mempunyai ideologi yang berbeza. Malah, banyak pemimpin kultus mengaku sebagai Tuhan dan nabi.

Rencam minggu ini memaparkan 9 kultus paling popular dan berbahaya di dunia dengan melihat ideologi serta tindakan mereka.

Children of God

GERAKAN Children of God (COG) ditubuhkan oleh bekas paderi, David Brandt Berg di Huntington Beach, California, AS pada 1968. Dalam kalangan pengikutnya, Berg dikenali sebagai Moses David, Mo, King David, Dad dan Grandpa.

Kultus ini beberapa kali menukar namanya sebanyak dua kali iaitu kepada Family of Love pada 1978 dan "Family" pada 1987. Ideologi kultus ini banyak berkisar tentang seks. Oleh sebab itu, beliau menyeru ahlinya mengamalkan pelbagai bentuk hubungan seks termasuk bertukar pasangan, sumbang mahram, lesbian, onani dan seks dengan kanak-kanak. Malah, pengikut wanita muda dijadikan pelacur untuk menarik lelaki menyertai kultus tersebut.

Antara ideologi berkaitan seks kumpulan itu termasuk:


  • Tuhan sukakan seks sebab seks ialah cinta.

  • Syaitan bencikan seks sebab seks itu indah.

  • Seks dengan ibu kandung dibenarkan kerana itu adalah cara terbaik untuk anak belajar melakukan seks.

  • Boleh melakukan seks dengan kanak-kanak berusia 11 tahun kerana mereka boleh mengandung.

  • Melakukan seks dengan datuk sendiri adalah sesuatu yang hebat.

  • Setiap orang adalah berkahwin dengan setiap orang lain.

  • Gambar ahli kumpulan dalam keadaan bogel adalah penanda buku yang baik untuk Bible.

  • Menentang hubungan sejenis sesama lelaki (gay) tetapi menggalakkan seks sejenis sesama wanita (lesbian).

  • Melakukan onani membayangkan melakukan seks dengan Jesus (Nabi Isa). Apabila lelaki melakukan seks dengan Jesus, dia bukan lagi lelaki tetapi isteri Jesus. Jadi, ia dibenarkan kerana bukan hubungan gay.

Selain tentang seks, Berg percaya Perang Armageddon akan berlaku pada pertengahan 1980-an dan tentera perikatan Israel dan AS akan dikalahkan oleh Kesatuan Soviet, seorang pemimpin akan muncul dari Mesir dan menjadi diktator dunia pada 1986 dan pada 1989, pemimpin itu mendedahkan dirinya sebagai Dajjal dan meminta semua orang menyembahnya. Jesus akan kembali pada 1993 dan akan memerintah dunia selama 1,000 tahun dengan bantuan ahli COG. Namun, kesemua itu tidak berlaku.

Ku Klux Klan

KU Klux Klan (KKK) yang juga disebut sebagai Klan terkenal dengan jubah putih dan hud kepala berbentuk tajam serta pendirian mereka tentang kekuasaan orang kulit putih. Nama Ku Klux diambil daripada perkara Greek "kyklos" yang bermaksud bulatan. Klan pula berasal daripada perkataan Inggeris "clan" yang bermaksud keluarga.

Kumpulan tersebut yang merupakan secta agama dalam kalangan ekstremis Kristian, ditubuhkan selepas Perang Saudara AS di Pulaski, Tennessee pada 1865 oleh veteran Askar Konfederasi sebagai kelab sosial.

Kumpulan tersebut dikenali kerana tindakan kejam dan pembunuhan yang dilakukan ke atas orang kulit hitam, Yahudi, Katolik dan minoriti lain. Mereka sering membakar rumah, menyerang dan membunuh penduduk kaum minoriti serta membiarkan mayat mangsa di atas jalan.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Institu Tuskegee, sebanyak 3,446 orang kulit hitam dibunuh oleh orang kulit putih tanpa perbicaraan antara 1882 hingga 1968.

Unification Church

FAMILY Federation for World Peace and Unification ditubuhkan sebagai Holy Spirit Association for the Unification of World Christianity tetapi lebih dikenali sebagai Unification Church (Penyatuan Gereja) atau Unificationism.

Kumpulan tersebut merupakan gerakan keagamaan baharu yang ditubuhkan di Korea Selatan oleh Sun Myung Moon pada 1954. Gerakan tersebut mempunyai ahli di seluruh dunia dengan kebanyakannya tinggal di Korea, Jepun, Filipina dan negara-negara Asia Timur.

Myun Moon dipanggil sebagai True Father (Bapa Sebenar) manakala pengikut pula dipanggil Moonies. Mereka menganggap Myung Moon sebagai Tuhan. Kultus itu banyak menaja syarikat dan projek termasuk perniagaan, media, pendidikan dan seni, politik serta aktivis sosial. Unification Church diketuai Myung Moon sehingga beliau meninggal dunia pada 3 September 2012.

Meskipun ajaran kumpulan itu berdasarkan Bible tetapi pentafsiran mereka terhadap kitab itu berbeza berbanding Kristian sehingga mereka dituduh menyeleweng dan antisemetik.

Unification Church mencetuskan banyak kontroversi termasuk Myung Soon pernah dipenjara 18 bulan di AS kerana melakukan penipuan dalam cukai pendapatan pada 1982 dan dikritik kerana menawarkan upacara restu bagi majlis perkahwinan kepada pengikut gereja lain.

Scientology

SCIENTOLOGY merupakan aliran kepercayaan baharu yang dicipta oleh L. Ron Hubbard pada 1954. Berbanding kultus agama lain, doktrin dan aktiviti Scientology hanya diketahui selepas didedahkan oleh mereka yang berjaya membebaskan diri daripada kumpulan ajaran itu.

Bekas pengikut kultus itu mendakwa Scientology melakukan penipuan, mencuci otak, mengeksploitasi dan merosakkan kewangan ahlinya.

Mereka mendakwa ajaran itu untuk merehabilitasi jiwa untuk memperoleh semula keadaan asal iaitu kebebasan total. Pengamal ajaran ini mendakwa ajaran Hubbard yang disebut Tek (teknologi) dalam terminologi Scientology telah menyelamatkan mereka daripada masalah dan membolehkan mereka menyedari potensi tertinggi dalam perniagaan dan kehidupan harian.

Banyak selebriti Hollywood menyertai ajaran ini termasuk Alanna Masterson, Tom Cruise, John Travolta dan Juliette Lewis.

Aum Shinrikyo

AUM Shinrikyo yang berpecah kepada Aleph dan Hikari no Wa pada 2007, merupakan kultus yang diasaskan oleh Shoko Asahara di Jepun pada 1984. Berselindung di sebalik yoga dan meditasi, kultus ini diberikan status agama dan menjadi semakin berbahaya.

Asahara dan para pengikutnya dituduh memaksa orang memberikan derma, menipu dan pembunuhan. Ekoran terdapat banyak aduan terhadap Aum Shinrikyo, polis mula mengambil perhatian serius terhadap Asahara dan dakwaan-dakwaan tersebut. Bagi mengalihkan perhatian polis, Asahara mengarahkan supaya pengikutnya melepaskan gas saring di stesen kereta api bawah tanah Tokyo pada 20 Mac 1995.

Dalam lima serangan terancang, pengikut Aum Shinrikyo melepaskan gas sarin ke dalam beberapa kereta api ketika waktu puncak, menyebabkan 12 orang terbunuh, 50 orang cedera parah dan lebih 5,000 orang mengalami gangguan penglihatan sementara.

Polis kemudian berjaya menangkap Asahara dan menemukan banyak stok senjata, bahan letupan dan tawanan manusia. Antara yang bahan yang ditemukan oleh polis itu mengandungi gas racun yang boleh membunuh empat juta orang, sebuah helikopter, dadah dan senjata kimia seperti anthrax. Asahara dipenjarakan dan kultusnya dibubarkan, namun beberapa ideologinya masih ada dalam kultus lain termasuk di Eropah.

Heaven’s Gate

HEAVEN's Gate atau Pintu Syurga merupakan kultus ajaran keagamaan yang berpangkalan di San Diego, California, Amerika Syarikat (AS). Kultus tersebut ditubuhkan pada 1970-an dan diketuai Marshall Applewhite (1931-1997) dan Bonnie Nettles (1927-1985).

Pengikut ajaran itu percaya planet Bumi akan mengalami proses kitar semula agung iaitu dimusnahkan, diperbaharui, diperbaiki dan diberikan nafas baharu. Bagi mereka, satu-satunya peluang untuk mereka terselamat daripada kitar semula itu ialah dengan lari meninggalkan planet Bumi.

Mereka percaya badan manusia cuma kapal dan sering merujuk badan sebagai kenderaan. Mereka juga percaya untuk layak menjadi ahli Next Level (tahap seterusnya), manusia perlu membuang segala ciri-ciri manusia seperti keluarga, rakan, seks, pekerjaan, wang, sifat perseorangan dan semua pemilikan.

Memandangkan sukar untuk meninggalkan planet Bumi, ketua kultus itu menyeru ahli-ahlinya membunuh diri sebagai jawapan untuk meninggalkan badan dan mencapai makrifat. Applewhite dan Nettles menyediakan dan mengedarkan video tentang cara meninggalkan badan kepada ahli-ahli kultus tersebut.

Pada 1997, Applewhite mengarahkan 38 pengikutnya melakukan upacara bunuh diri beramai-ramai di San Diego supaya dapat menaiki sebuah kapal angkasa yang kononnya terbang bersama Komet Haley yang melintasi Bumi. Beliau mendakwa Komet Haley adalah tanda yang dinanti-nantikan selama ini.

Pada 26 Mac 1997, polis menemukan mayat 39 pengikut Heaven's Gate termasuk Applewhite yang membunuh diri beramai-ramai untuk membolehkan mereka menumpang kapal angkasa yang mengikut Komet Halley.

People’s Temple

PEOPLE'S Temple of the Disciples of Christ atau ringkasnya People's Temple merupakan gerakan agama baharu yang diasaskan pada 1955 oleh Jim Jones di Indianapolis, Indiana, AS. Jones merupakan bekas pengikut ajaran Marxist dan penyokong komunis yang kemudian berubah menjadi paderi Methodist.

Dalam merekrut pengikut, Jones menyebarkan mesej yang menggabungkan elemen Kristian dan politik sosialis dengan memberikan penekanan kepada komsep kesamarataan. Dengan karisma pada dirinya, Jones berjaya menarik ramai orang miskin menyertai kultusnya kerana tindakannya yang lantang mengkritik golongan elit. Pernah satu ketika, kultus itu mempunyai pengikut lebih 20,000 orang dan menjalinkan hubungan dengan pemimpin politik berhaluan kiri.

Jones menyebarkan mesej kepada ahli baharunya bahawa Roh Kudus ada dalam diri mereka. Beliau juga mendakwa kuasa menyembuh yang ada padanya adalah manifestasi "Christ the Revolution." Beliau turut mendakwa AS adalah Antichrist (Dajjal) dan kapitalisme merupakan sistem Dajjal.

Menurut Jones, "nuclear holocaust" akan berlaku dan mereka yang terselamat akan mewujudkan syurga sosialis di Bumi. Pada 1965, Jones meramalkan kejadian itu bakal berlaku pada 15 Julai 1967. Sebagai persiapan, Jones percaya mereka perlu berpindah ke Redwood Valley, California.

Pada Julai 1965, beliau mengetuai 140 ahli berpindah ke Redwood Valley dan membina sebuah gereja di situ. Pada 1970-an, kultus tersebut semakin berkembang di California dan menubuhkan ibu pejabat di San Francisco.

Pada 18 November 1978, sebanyak 918 orang dibunuh atau membunuh diri secara beramai-ramai di sebuah penempatan terpencil yang dikenali sebagai "Jonestown". Ahli Kongres, Leo Ryan dan anggota delegasinya yang turut dibunuh di kawasan berhampiran Port Kaituma.

Branch Davidians

JUGA dikenali sebagai "The Branch", Branch Davidians merupakan sekta keagamaan yang berasal kumpulan Davidian Seventh-day Adventist (Davidians) yang perpecah dari Gereja Seventh-day Adventist pada 1930.

Kumpulan ini diketuai Benjamin Roden yang mengaku sebagai nabi dan menerima wahyu dari Tuhan. Selepas kematian Benjamin, isterinya, Lois mengambil alih kumpulan ini dan mempunyai hubungan baik dengan Vernon Howell yang menyertai kumpulan itu pada 1981.

Selepas Lois meninggal dunia, anaknya, George menjadi nabi dan ketua kultus itu. Howell pula menukar namanya kepada David Koresh dan mempunyai pengaruh yang cukup kuat dalam kumpulan tersebut dan juga mengaku sebagai nabi.

Perebutan kuasa antara dua pemimpin kumpulan itu berpihak kepada Koresh, menyebabkan George diusir keluar dari pusat Mount Carmel Center berhampiran Waco yang merupakan kawasan penempatan pengikut ajaran tersebut.

Koresh menyatakan sesiapa yang enggan mengikutnya adalah musuh Tuhan. Menggunakan kedudukannya sebagai penyampai wahyu dan nabi, Koresh mengadakan hubungan seks dengan pengikut-pengikut wanita. Selepas terdapat dakwaan berlaku penderaan seks dan pencabulan ke atas kanak-kanak, Biro Alkohol, Tembakau dan Senjata Api (BATF) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mula menyiasat Mount Carmel Center.

Selepas mendapat waran geledah pada 28 Februari 1993, ejen BATF cuba melakukan serbuan ke atas Mount Carmel Center tetapi tidak berjaya selepas berlaku pertempuran senjata yang mengakibatkan empat pengikut The Branch dan enam ejen BATF terbunuh.

FBI kemudian melakukan kepungan ke atas tempat itu selama 51 hari. Selepas pelbagai rundingan yang dilakukan tidak berjaya, FBI melepaskan gas pemedih mata dalam kuantiti yang banyak pada 19 April 1993 tetapi selepas lebih enam jam, pengikut kultus itu tetap tidak keluar dari bangunan. Kereta kebal tentera turut digunakan dalam operasi itu.

Tiba-tiba berlaku kebakaran di Mount Carmel Center menyebabkan Koresh dan 74 orang pengikutnya termasuk 21 kanak-kanak terbunuh. Hanya sembilan pengikut ajaran itu yang sempat keluar dari bangunan untuk menyelamatkan diri.

Order of the Solar Temple

KULTUS ajaran sesat Order of the Solar Temple (OTS) ini mempunyai kepercayaan bahawa Kesatria Templar atau Tentera Miskin Pengikut Nabi Isa dan Kuil Sulaiman masih wujud.

OTS diasaskan oleh Joseph Di Mambro dan Luc Jouret pada 1984 di Geneva, Switzerland dengan nama l'Ordre International Chevaleresque de Tradition Solaire (OICTS) dan kemudian dinamakan sebagai Ordre du Temple Solaire.

Sebahagian ahli sejarah mendakwa OTS berasal dari penulis Perancis, Jacques Breyer yang memperkenalkan Sovereign Order of the Solar Temple pada 1952.

Disebabkan aktiviti OTS begitu dirahsiakan, maka orang luar tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh kultus tersebut. Namun, pada 1994, pengikut kultus itu membunuh seorang bayi dengan kejam kerana mereka percaya bayi itu adalah Dajjal.

Selepas itu, apa yang lebih mengejutkan, ahli kumpulan tersebut melakukan bunuh diri beramai-ramai termasuk seorang masing-masing di Kanada dan Switzerland.

Mereka sama ada ditembak, diracun, dibakar atau dilemaskan, kebanyakannya oleh diri sendiri atau ketua mereka.

Benarkah Nabi Sulaiman tamak kuasa?

ISUNYA, mengapa Nabi Sulaiman a.s. berdoa dengan doa yang sangat eksklusif. Dia mahu ‘hanya dia seorang mahu kerajaan terhebat’ dalam sejarah peradaban manusia.

Terdapat juga cakap-cakap menyatakan bahawa jin Ifrit bolos daripada tangan Rasulullah SAW kerana doa eksklusif Nabi Sulaiman!.

Baginda Rasulullah SAW adalah penghulu semua Rasul, tapi mengapa Ifrit masih boleh terlepas? Tidak lain, ia berikutan mukjizat nabi Sulaiman yang diperuntukkan khusus untuk baginda sahaja. Doa baginda ini dimakbulkan oleh Allah:

“(Sulayman berdoa, katanya: “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tiada taranya dan) yang tidak akan ada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa melimpah kurnia,” (Sad [38:35-38]).


ANTARA mukjizat Nabi Sulaiman a.s. selain daripada mampu menguasai jin ialah mampu berbicara dengan haiwan. - GAMBAR HIASAN

Cerita bagaimana jin Ifrit dan Iblis yang cuba mengganggu Rasulullah SAW boleh bolos disebut dalam dua hadis ini, sabda Rasulullah SAW:

“Semalam, jin Ifrit cuba menggangguku untuk memutuskan solatku. Allah membantuku untuk menewaskannya lalu aku berjaya mencekik lehernya. Aku berhasrat untuk mengikatnya pada tiang masjid agar paginya kamu semua dapat melihat (nya), kemudian aku teringat doa saudaraku Sulaiman: (Sad[38:35]), lalu Allah menghalaunya pergi dalam keadaan terhina,” (Sahih Muslim).

Juga hadis lain:
“Sabda Rasulullah SAW: “Si musuh Allah, Iblis datang membawa secebis api untuk dilempar ke mukaku, lalu aku mengucapkan: “Aku mohon perlindungan Allah daripada (kejahatan)mu” sebanyak tiga kali, kemudian tanpa berlengah aku berkata: “Aku melaknatmu dengan kutukan Allah” sebanyak tiga kali, kemudian aku hendak menambatnya. Demi Allah! kalaulah bukan kerana doa saudara kita, Nabi Sulaiman a.s. (dalam surah Sad[38:35] yang pernah memohon agar kelebihan sebegini hanya menjadi miliknya), sudah pasti Iblis akan terikat padanya (tiang masjid) dan menjadi mainan kanak-kanak Madinah,” (Sahih Muslim).

Zahirnya kedua-dua hadis ini menampakkan seolah-olah baginda Rasulullah SAW tidak mampu menangkap jin yang mengganggunya berikutan doa Nabi Sulaiman. Namun begitu, para ulama masih berselisih pandangan tentang kemampuan itu (Syarh Sahih Muslim oleh Imam al-Nawawi).


JAWAPAN KEPADA KEKELIRUAN

Isu utama yang mahu dibincangkan dalam refleksi kali ini ialah “mengapa Nabi Sulaiman begitu tegas mahukan kelebihan itu hanya miliknya?” Sekali pandang kelihatan baginda sangat “tamak.” Umum mengetahui bahawa sifat tamak sangat negatif dan tidak sesuai disabitkan dengan seorang Rasul Utusan Allah yang berada pada kemuncak kemuliaan rohani seorang manusia. Aduh! Pening juga memikirkannya.

Alhamdulillah! Rupanya para ulama sudah lama membincangkan perihal ini lantas memberikan kita semua jawapan padu yang tak mungkin meruntuhkan keyakinan kita tentang integriti iman dan maksum para nabi.

1. Imam al-Zamakhsyari pengarang kitab Tafsir al-Kasysyaf berkata:

“Nabi Sulaiman membesar dalam keluarga yang memiliki pangkat raja dan nabi. Baginda juga mewarisi kedua darjat tersebut. Oleh itu baginda meminta suatu mukjizat luar biasa melebihi semua raja dunia dari Tuhannya agar ia menjadi bukti kenabiannya serta penunduk kepada semua empayar lain.”

2. Imam al-Alusi pula berpendapat permintaan baginda itu bersesuaian dengan maksud “mukjizat” iaitu “kelebihan luar biasa yang menewaskan segala kelebihan zaman seseorang nabi”. Pada zaman itu terdapat ramai raja dan empayar selain empayar Nabi Sulaiman. Oleh itu baginda meminta agar kelebihannya tidak dimiliki oleh mana-mana raja sezaman dengannya atau yang selepasnya. Antara contohnya adalah mukjizat Nabi Musa a.s.yang menewaskan ilmu sihir yang menjadi kelebihan orang Mesir pada waktu itu (Tafsir al-Alusi).

Boleh jadi, baginda meminta agar kuasa sebegitu hebat dibataskan hanya untuk dirinya kerana manusia biasa yang benteng imannya sangat rapuh pasti tidak mampu menanggung godaan kuasa dan harta dalam kapasiti yang besar. Pasti akan berlaku kerosakan luar biasa jika dimiliki oleh semua orang.

Sungguh! Kuasa dan harta adalah dua nikmat beracun yang boleh merosakkan akal dan nafsu manusia sebagaimana yang direkodkan sejarah umat manusia dahulu dan sekarang. Mereka boleh menjadi “Tuhan bumi yang tidak bertauliah.” Benar firman Allah, harta dan kuasa yang tidak dipagar iman dan takwa akan menjadikan manusia sangat jahat dan angkuh:
“Ingatlah! Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas (menjadi jahat, angkuh dan sombong), kerana dia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya (berharta, berpangkat dan berkuasa). (Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu kelak tempat kembali (untuk menerima balasan),” (al-‘Alaq [96:6-8]).

Bicara Allah dalam al-Quran adalah benar dan tepat serta tiada yang salah. Jika akal kita melihat sesuatu kepincangan pada firman Allah, itu tanda kita perlu lebih mengkaji. Yang manisnya, setelah mengkaji rahsia kalam Allah ini kita akan temui jawapan yang sangat manis, mengenyangkan dan berzat untuk iman dan akal. Ayuh! Mengaji lagi

-

Haron Din tokoh penyatuan ummah

RAKYAT Malaysia menangisi kehilangan sebutir permata ummah yang sangat tinggi ilmunya dan sumbangannya kepada seluruh masyarakat Islam. Pemergiannya terlalu mendadak sehinggakan ramai yang sukar menerimanya lantaran keilmuannya masih lagi didambakan oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

Latar belakang akademik dan pengalaman keilmuan yang dimiliki sudah cukup untuk membuktikan bahawa beliau ialah tokoh yang amat disegani oleh kawan dan lawan. Menjadi rujukan utama dalam pelbagai bidang, mengasaskan dan mengembangkan ilmu pengubatan Islam, memangkinkan perjuangan gerakan Islam di Malaysia dan konsisten dalam setiap ucapan dan tindakan menjadi trademark kepada kehebatan peribadi mulia ini. Dalam kelembutan wajah dan manis senyumannya, setiap pendiriannya dituturkan dengan penuh hikmah dan tegas dalam pelaksanaannya.


HARON din (kiri) mewakafkan dirinya demi perjuangan Islam dan menginfaqkan seluruh tenaganya untuk melaksanakan misi dakwah di negara ini. Di sebelah beliau Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dalam majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas kali ke-61 pada Jun 2015 di Kuala Selangor. UTUSAN/SAHARUDDIN ABDULLAH

Nama Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din bukanlah baharu dalam bidang politik dan dakwah di Malaysia. Seawal tahun 80an lagi beliau sudah menyinar dan dilihat sebagai ikon yang bakal memimpin masyarakat Islam di Malaysia. Beliau mewakafkan dirinya demi perjuangan Islam dan menginfaqkan seluruh tenaga kudratnya dalam melaksanakan misi dakwah di negara ini. Dakwahnya merentasi sempadan politik dan perkauman, menumpukan kesatuan Islam bagi masyarakat Melayu serta berusaha mendaulatkan Islam sebagai teras kepada perpaduan dalam negara. Keberanian beliau menerima tanggungjawab sebagai Ketua Kluster Dakwah, Majlis Perundingan Islam (MPI) di bawah kelolaan Kerajaan Persekutuan membuktikan pendirian berhikmah beliau serta menzahirkan politik yang matang dan sejahtera berasaskan prinsip ajaran Islam yang sebenar. Ini mencetuskan paradigma baharu kesatuan dan perpaduan masyarakat Islam khususnya, di samping memangkinkan proses mendaulatkan Islam yang menjadi teras dan tunjang bagi keharmonian dalam negara.

Amat mengagumkan apabila perbezaan fahaman politik dan perkauman terus dihapuskan lantaran pemergian beliau. Ucapan takziah dan kesedihan atas pemergian Allahyarham oleh pemimpin kerajaan serta tokoh-tokoh politik tanah air tanpa mengira fahaman parti memberikan gambaran jelas bahawa beliau ialah tokoh yang luar biasa. Jurang politik sempit berjaya dihapuskan dan politik dakwah beliau membuahkan hasil yang mengagumkan.

Tuan Guru Dr. Haron Din pastinya amat sinonim dengan pengubatan Islam di Malaysia. Kaedah rawatan menggunakan Rukyah Syariah yang telah diasaskan semenjak 1977 berjaya menarik keluar kepercayaan tahyul masyarakat Melayu kepada pengubatan Islam yang tulen.

Beliau seterusnya mengasaskan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa) pada 1988 yang seterusnya merintis kepada perkembangan secara besar-besaran kaedah rawatan Islam yang bukan hanya memfokuskan kepada penyakit rohani, malah sebagai komplimentari kepada rawatan penyakit fizikal dalam perubatan alopati. Sehingga kini, Darussyifa telah berjaya melahirkan lebih 6000 pe­rawat Islam bertauliah, 65 pusat rawatan di seluruh negara serta 13 kelas pengajian pengubatan Islam hampir di setiap negeri di Malaysia. Pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan terhadap Pengubatan Islam adalah cita-cita utama beliau dan menjadi kejayaan paling manis bagi perjuangannya dalam pengubatan Islam.

Saya amat yakin semua anak murid dan kenalan rapat beliau pasti mengakui bahawa ilmu ikhlas adalah ajaran dan anugerah terbesar beliau kepada kita semua untuk dicontohi. Keikhlasan beliau dalam setiap pengucapan dan tindakan memberikan kesan yang sangat mendalam, melebihi kepentingan lain yang selalu merosakkan nilai sesebuah amalan. Buktinya, pemergiannya ditangisi kawan dan lawan, mengundang jutaan takziah dari segenap pelosok dunia, dan legasi perjuangannya didokong utuh oleh anak murid dan para pengikutnya yang istiqamah sehingga kini!

Allahyarham amat sinonim dengan keilmuan dan dakwah. Paling menarik, pasca pemergian beliau juga mencetuskan paradigma ilmu baharu pengurusan jenazah yang menepati Sunnah Nabawiyyah sekali gus menghapuskan dogma kolot yang lama membekas dalam masyarakat Melayu. Kehadirannya mencurahkan lautan ilmu, pemergiannya mencetus paradigma baharu dan pastinya menyuntik semangat perjuangan Islam kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Jasa dan sumbangan beliau dalam menyatukan masyarakat Melayu dalam pelbagai bidang wajar dihargai dan dicontohi. Beliau berjaya menyatukan pemikiran masyarakat Melayu daripada fahaman tahyul kepada kesatuan aqidah yang jitu. Beliau berjaya menghapuskan fahaman politik sempit kepada politik Islam yang membimbing kawan dan seteru. Beliau merintis perubahan kefahaman pemikiran masyarakat Islam kepada mendaulatkan ajaran Islam yang satu. Maka beliau amat layak dinobatkan sebagai Tokoh Penyatuan Ummah di Malaysia, di dunia jasamu menggunung, ganjaran baik di syurga menunggu.

Berehatlah dengan tenang wahai guruku, Murabbi ummah yang sentiasa membimbing umatmu. Nikmatilah kerehatan yang hakiki, setelah perjuanganmu di dunia tidak pernah terhenti, selagi nyawa dikandung badan, budi dan keringat telah engkau curahkan. Doa dari kami anak-anak muridmu sentiasa mengiringimu sehingga akhir hayat kami.

-