September 25th, 2016

Jadikan sekolah sebagai ladang pahala

Islam mendidik kita menjaga akidah, ibadah dan akhlak. Lazimnya, jika ibadah khusus kita baik, akhlak juga akan baik. Untuk menilai tahap tawaduk dan ketakwaan seseorang dalam ibadah, contohnya solat, lihat perangai kita selepas solat. Jika di luar solat kita tidak dapat menunjukkan akhlak yang baik, bermakna hati kita masih kotor.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan hatinya, dan kecewalah orang yang mengotorkannya." (Surah al-Syams, ayat 10)

Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa Allah Taala tidak memandang kepada rupa paras dan harta benda kamu, tetapi Dia memandang kepada hati dan amal usaha kamu."

Peranan guru penting untuk melahirkan pelajar yang memanfaatkan ilmu untuk dunia dan akhirat. - Foto hiasan


Hal ini menunjukkan pentingnya menjaga kesucian hati kerana hati menggambarkan akhlak seseorang yang saling berkait. Jika baik akhlaknya, bermakna baiklah hatinya dan begitulah sebaliknya.

Oleh itu jagalah hati kerana apabila hati terjaga, mulut pun terjaga. Jika mulut terjaga, emosi pun terjaga. Apabila emosi terjaga, tindakan pun terjaga. Maka tidaklah kita melakukan tindakan yang tidak berperikemanusiaan, khususnya mereka yang bergelar atau berjawatan profesional.

Panah syaitan

Dalam media sosial, banyak didedahkan mengenai tingkah laku buruk guru terhadap murid atau pelajarnya. Terbaru, kisah pelajar di sekolah tahfiz dikatakan cedera di belakang tubuh dan kepala akibat dibelasah guru dengan getah paip.

Kes itu bukanlah kejadian pertama kerana dikatakan sebelum itu di sekolah sama, seorang pelajar cedera hingga patah bahunya kerana dibelasah dengan kayu oleh guru tahfiznya.

Apa pun kesalahan pelajar, adakah wajar mereka menerima hukuman sezalim itu? Apatah lagi hukuman dilakukan oleh seorang guru tahfiz yang menghafal 30 juzuk al-Quran, yang sepatutnya tinggi nilai kesabarannya serta mampu mengawal kemarahannya.

Ciri-ciri orang yang tinggi ego ialah suka marah, baran dan tidak boleh kawal perasaan marahnya. Kata Imam Syafie, "Marah adalah antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya."

Sifat pemarah itu datangnya daripada perasaan sombong dan ego. Lagi tinggi kesombongan dan keegoan kita, akan tinggilah tahap kemarahan. Jadikan kasih sayang sebagai tonggak kebahagiaan rumah tangga, keluarga dan masyarakat serta jauhi kebencian.

Guru diamanah mendidik

Bayangkan kasih sayang ini sebagai satu wangian atau air bersih yang mengalir dalam kehidupan yang menyamankan suasana. Apabila ada kebencian, bermakna sudah ada air keladak yang mencemari kehidupan kita.

Guru ialah orang yang memberikan atau menyampaikan ilmu, secara formal di sekolah. Jika terdidik guru akan terdidiklah negara kerana anak kita banyak masanya berada dalam pengawasan guru, terutama bagi anak bersekolah asrama.

Ibu bapa mengamanahkan guru mendidik dan mengajar anak mereka.

Hakikatnya, semua guru berjaya melaksanakan tugas mengajar, tetapi tidak semua guru berjaya mendidik pelajarnya. Mengajar hanya setakat membabitkan akal, tetapi mendidik membabitkan sahsiah, emosi rohani, cara guru bercakap dan berinteraksi dengan pelajar.

Yang kuat dalam diri manusia itu ialah rohaninya. Keintelektualan mengajar mereka untuk faham sahaja, bukan menanamkan pada roh dan jiwa mereka suka kepada ilmu yang dipelajari.

Sebab itu guru perlu melahirkan pelajar yang mampu memanfaatkan ilmu untuk dunia serta akhirat.

Ikhlas mengajar

Sayangilah pelajar dan pandang mereka dengan kasih sayang, macam anak sendiri. Guru juga bermula dari tidak pandai dan nakal suatu masa dahulu.

Apabila kita menjadi guru, bayangkan ketika kita bersekolah dahulu, macam mana kita hendak cikgu melayan kita.

Begitulah kita perlu melayan pelajar, mesti ada perasaan empati iaitu letakkan perasaan kita dalam perasaan orang, barulah kita boleh bekerja dengan jiwa.

Jika guru berkasar dengan pelajar, macam manalah pelajar hendak berlembut dengan guru. Budaya memberi dan menerima mesti ada, kita baik dengan pelajar di sekolah, mereka juga akan baik dengan kita.

Atas keredaan Allah SWT kerana kita ikhlas mengajar, anak kita di rumah pun selamat, dijaga Allah daripada musibah. Jadikanlah sekolah itu ladang pahala dan pasanglah niat menjadi guru ikhlas untuk memberi manfaat dan mendapat reda Allah SWT.

Sakit bukan alasan abaikan solat

KISAH kematian khalifah Islam kedua iaitu Sayidina Umar al-Khattab r.a. cukup dimaklumi oleh setiap orang Islam. Peristiwa tragis itu dilakukan oleh seorang berketurunan Parsi, Abu Lu’lu’ah ketika Umar mengimamkan solat subuh di Masjid Nabawi.

Tikaman Abu Lu’lu’ah itu menyebabkan Umar mengalami kecederaan teruk pada perut sehingga memaksa khalifah kedua itu terlantar dan setelah beberapa hari dalam keadaan itu, beliau meninggal dunia pada 25 Zulhijah 23 Hijrah/644 Masihi.


HUJUNG NYAWA...solat wajib dilakukan selagi hayat dikandung badan. GAMBAR HIASAN

Namun bagi seorang pendakwah Islam kelahiran Dallas, Amerika Syarikat (AS), Sheikh Abdul Nasir Jangda melihat kisah Umar tersebut mempunyai kaitan yang cukup rapat dengan soal kefarduan bersolat yang ditetapkan oleh Allah SWT.

Kefarduan tersebut bukan hanya ke atas setiap Muslimin yang sudah mukalaf tetapi harus dilakukan sama ada yang mukimin (menetap) mahupun dalam perjalanan.

“Akibat tikaman tersebut, Umar terbaring sepanjang masa dan ada ketikanya, dia tidak sedarkan diri tetapi apabila terdengar azan solat, Umar bangkit dari perbaringannya,” katanya dalam satu siri kuliah yang diterbitkan oleh LoveAllah328 di YouTube, baru-baru ini.

Tindakan Umar tersebut menimbulkan perasaan terkejut dalam kalangan ahli keluarganya sendiri sehingga ada yang bertindak untuk menghalangnya bagi mengelakkan luka tikaman itu bertambah teruk, tetapi Umar bertegas untuk bersolat di masjid.

“Ahli keluarganya mempersoalkan kenapa dia perlu bersolat dalam keadaan luka teruk tetapi Umar menyatakan bahawa dia teringat pesanan Rasulullah SAW bahawa tidak akan ada cahaya bagi mereka yang meninggalkan solat.

“Malah, kata Umar, baginda turut menyatakan bahawa solat diibaratkan kepala pada anggota dan badan seseorang manusia. Atas sebab itulah, dia mesti bersolat,” kata Abdul Nasir yang merupakan antara tenaga pengajar Institut Qalam, Dallas, AS.

Kefahaman Umar terhadap kefarduan itu menggambarkan tentang komitmen mendalam para sahabat bahawa mereka perlu bersolat selagi bernyawa. Ia sejajar dengan firman Allah SWT dalam surah Mariam:31 bermaksud:

“Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan aku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.”

“Firman tersebut merupakan peringatan tegas terhadap pendekatan yang kita pegang berkenaan aspek kefarduan bersolat. Ia bukan hanya cara kita mendekatinya tetapi juga sejauh manakah penerimaan dan pelaksanaan kefarduan itu dalam kehidupan seharian kita.

“Kita seharusnya tanam dalam diri bahawa wajib bersolat sehingga nafas terakhir,” kata pendakwah yang pernah menjadi imam di Masjid Colleyville di Dallas selama tiga tahun.

Ikrar tersebut bukanlah satu teori, kata-kata penyedap perasaan atau sebagai satu slogan agama Islam kerana Rasulullah SAW sendiri ketika hayatnya hampir ke penghujung pernah berbuat demikian.

Pada ketika itu, Rasulullah SAW dalam keadaan tidak sihat sehingga menyukarkan baginda untuk berdiri, apatah lagi berjalan sendirian menuju ke masjid bagi menunaikan solat berjemaah.

“Jadi, bagi membolehkannya menunaikan solat fardu lima waktu, Rasulullah SAW memohon bantuan para sahabat untuk membawa baginda ke masjid setiap kali masuk waktu solat.

“Apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW itu menunjukkan tentang kepentingan untuk bersolat sehingga ke penghujung nyawa kita,” katanya