September 30th, 2016

Khutbah Jumaat: “Hijrah Dalam Kehidupan Muslim ”

Khutbah Jumaat 30 Septermber 2016: JAIS

“Hijrah Dalam Kehidupan Muslim ”

Saban tahun, kita umat Islam menyambut kehadiran Maal Hijrah. Tetapi yang menjadi persoalan bagi kita ialah sejauh manakah penghayatan kita terhadap sambutan ini supaya ia menjadi lebih bermakna? Adakah kita berusaha sedaya upaya untuk memahami dan menghayati pengajaranpengajaran yang terkandung dalam peristiwa hijrah ini?.

jais.jpgHijrah ialah sebagaimana yang diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dalam sebuah hadis daripada Abdullah Bin Amru RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda; “Sebenarnya orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan segala larangan Allah”

Daripada Hadis ini dapat difahami bahawa hijrah ialah meninggalkan segala bentuk perbuatan maksiat dan mungkar yang dilarang oleh Allah SWT. Justeru berubah dari tabiat atau cara hidup yang buruk kepada yang baik dan dari yang baik kepada yang lebih baik adalah hijrah. Begitu juga berubah dari kehidupan yang susah kepada kehidupan yang senang adalah hijrah, berubah dari berpakaian yang tidak sopan kepada berpakaian yang menutup aurat adalah hijrah, berubah daripada akhlak yang tidak baik kepada berakhlak mulia adalah hijrah, berubah daripada kehidupan yang buruk kepada yang lebih baik adalah hijrah, berubah daripada kehidupan yang lalai kepada mendekatkan diri kepada Allah adalah hijrah. Perubahan seperti ini hanya mampu dilakukan dengan semangat jihad dan niat yang suci serta ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

Ingatlah wahai jamaah sekelian, Islam menggalakkan ummatnya berusaha untuk mencapai kehidupan yang lebih baik dan maju serta berada dalam lingkungan rahmat dan keredhaan Robbul Jalil. Bahkan Islam tidak menyuruh ummatnya berdiam diri dan berserah kepada takdir Allah SWT semata-mata tanpa berusaha bersungguh-sungguh.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 11;  “...Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri...”

Justeru, iman adalah teras atau asas penghijrahan diri, kerana iman merupakan penggerak utama dan pembimbing diri manusia untuk melakukan kebaikan dan mengawal diri daripada melakukan keburukan.

Iman adalah keyakinan di hati, ikrar dengan lidah dan dijelmakan dengan amalan. Ini bertepatan dengan ayat yang dibacakan pada ayat pembukaan tadi yang bermaksud; “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan Masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”.

Kita sebagai orang Islam yang beriman dengan alam akhirat hendaklah sentiasa bersedia untuk memperbanyakkan amalan soleh sama ada yang wajib atau yang sunat sebagai bekalan untuk dibawa ke alam akhirat kerana dengan amalan-amalan soleh sahaja yang akan mengikuti kita dan dapat menyelamatkan kita dari azab Allah SWT apabila roh kita sudah terpisah daripada jasad.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim daripada Anas bin Malik RAnhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Ada tiga perkara yang akan turut menghantar mayat ke perkuburan. Dua daripadanya akan kembali dan satu lagi tetap tinggal bersamanya. Keluarganya, hartanya dan amalannya akan menghantar ke perkuburan. Keluarga dan harta akan kembali, sedangkan amalannya akan tetap setia bersamanya”.

Oleh yang demikian, seseorang yang telah meninggal dunia akan terputuslah peluang untuk menambah pahala amalannya, kecuali mereka yang telah melakukan tiga amalan baik semasa hidupnya seperti berikut:

Pertama: Sedekah jariah, iaitu harta yang disumbangkan untuk kepentingan agama, seperti membina masjid, surau, sekolah dan sebagainya, selama mana harta itu dimanfaatkan selama itu lah ia mendapat pahala.

Kedua: Ilmu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain dan menambahkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Selama mana ilmu itu dikembangkan dan diajarkan, selama itulah orang yang mengajarkannya akan mendapat pahala yang berterusan.

Ketiga: Anak yang soleh yang mendoakan keampunan bagi kedua ibubapanya. Setiap kali anaknya mendoakannya, maka ibubapanya mendapat rahmat dari Allah SWT.

Sebagai mengakhiri khutbah kali ini, marilah kita jadikan tahun baru hijrah 1438 ini sebagai titik permulaan kita untuk melakukan perubahan dalam hidup dan kehidupan kita kearah yang lebih baik. Disamping itu marilah kita menghayati perkara-perkara berikut;

1. Setiap individu muslim perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk berhijrah daripada cara hidup yang tidak baik kepada kehidupan yang lebih baik.

2. Sambutan Maal Hijrah adalah masa yang terbaik untuk kita muhasabah diri dengan mengukur dan menilai sajauh mana kesungguhan kita melakukan perubahan dan penambahbaikan dalam hidup.

3. Umat Islam hendaklah berhijrah dengan berpaksikan jihad dan iman, kerana ia adalah merupakan kunci bagi manusia untuk meraih darjat yang tinggi di Sisi Allah SWT.

4. Umat Islam hendaklah bersungguh-sungguh untuk berubah dalam mentaati perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangannya kerana itu merupakan hijrah yang dituntut dan Islam sebelum berhijrah ke alam barzakh.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari Akhirat). dan (sekali lagi diingatkan);bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan. (al-Hasyr; 18).

Khutbah Jumaat:“Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah"

Petikan Khutbah Jumaat (30 September 2016 / 28 Zulhijjah 1437)JAKIM

“Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah"


Setiap tahun menjelang sambutan Maal Hijrah, kita sering mendengar tema khusus yang jika dibaca dan diteliti, tersirat satu mesej besar iaitu kepentingan masyarakat di negara ini agar hidup bersatu-padu, saling menghormati serta saling membantu antara satu sama lain.

jakim.jpgSememangnya, kita tidak dapat menafikan bahawa akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam, mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kesejahteraan negara.

Oleh yang demikian, persaudaraan atas tali Islam adalah elemen yang sangat penting dalam menyatukan ummah bagi memastikan keharmonian, kemerdekaan dan kedaulatan negara terus kekal.


Persoalannya, bagaimanakah kita dapat mengukuhkan ikatan persaudaraan ini?. Ya, agama Islam telah meletakkan dasar-dasar praktis dan cara yang positif dalam usaha memperkukuhkan ikatan kasih sayang dan memperdalamkan roh ukhuwah ini.

Jika umat Islam berpegang teguh, nescaya persaudaraan itu akan semakin mengukuh umpama dalam satu binaan yang saling menguatkan antara satu sama lain secara harmoni dan mesra, walaupun dirintangi pelbagai cabaran yang cuba menggagalkan usaha kemajuan serta membangkitkan isu-isu perpecahan di antara masyarakat Islam. Hal ini telah dirakamkan melalui firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 10:


Maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

Sekalipun semua prinsip dan nilai Islam kekal dan jelas malah dipercayai cukup sempurna, tetapi kita mestilah meyedari bahawa kita tidak boleh mengembalikan kedudukan dan kekuatan untuk membina dan membangunkan tamadun agama, bangsa dan negara seandainya perpecahan dan fitnah masih lagi berleluasa. Allah SWT telah mengingatkan kita di dalam ayat 46 Surah al-Anfal:

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar”.

        Sesungguhnya perkara yang paling penting untuk ditumpukan ialah mengamalkan manhaj atau pendekatan yang seimbang (wasatiyah) kerana agama Islam adalah agama yang berasaskan keseimbangan dan toleransi. Maka reformasi tidak boleh dicapai jika ada kebencian, hasad dengki dan permusuhan. Ada pun sifat kasih sayang, akhlak yang baik, bertoleransi dan bersangka baik itu adalah jaminan selepas keimanan kepada Allah SWT dalam melahirkan umat yang baik dan masyarakat yang stabil serta negara yang aman makmur.
       
Ketahuilah, bahawa perselisihan antara umat manusia itu merupakan sunnatullah. Namun, uslub perbincangan yang dilakukan secara hikmah, lembut, bersangka baik dan mesra adalah amat dituntut bagi mendapatkan kata sepakat dan keberkatan. Setiap umat Islam wajib mengetahui bahawa mengukuhkan tali persaudaraan itu adalah jihad yang membawa penyatuan, bukannya perpecahan. Dengan itu, dapatlah kita mengalahkan segala musuh terutamanya musuh yang ada dalam diri kita iaitu nafsu dan godaan syaitan. Selain itu, kita juga hendaklah menjauhkan diri dari jalan-jalan yang boleh membawa kepada ekstremis, taksub, berpecah-belah, tidak berakhlak dan seumpamanya. Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW iaitu:

Mafhumnya: “Daripada Ibnu ‘Abbas RHMA bahawa Nabi SAW bersabda pada hari pembukaan Kota Mekah: ‘Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi (yang tinggal hanyalah) jihad dan niat. Oleh itu, jika kamu diminta keluar berjihad, maka keluarlah!”. (HR al-Bukhari)

Tuntasnya, hijrah banyak mengajar kita makna perpaduan. Lihat sahaja bagaimana kejayaan Rasulullah SAW dalam menyatukan Aus dan Khazraj yang saling bermusuhan atas nama persaudaraan dan demi kasih sayang kepada Allah SWT. Oleh itu, Islam melarang keras sebarang bentuk penindasan, kezaliman, kekejaman atau permusuhan dilakukan kerana Islam adalah agama yang membawa rahmat ke seluruh alam.

Jika dilihat dari sudut era globalisasi, hijrah itu merangkumi perubahan dan penghijrahan dari pelbagai aspek iaitu dari sudut fizikal, minda, sikap, hati, selain persekitaran dan sebagainya. Perubahan ini mampu mengubah keadaan hidup sama ada dari segi ekonomi, sosial, pendidikan dan taraf hidup. Kini, negara kita telah mengalami banyak perubahan dan pencapaian dari satu peringkat kepada peringkat yang lain yang lebih baik dan cemerlang. Yang pasti, ia memberikan lebih banyak keberkatan dan kesejahteraan serta dapat pula dimanfaatkan bagi kepentingan hidup di dunia ini dan bekalan di akhirat nanti.

Disedari atau pun tidak, umat Islam yang terdiri daripada dua golongan yang saling kuat-menguatkan antara satu sama lain ibarat golongan Ansar (penolong) dan Muhajirin (yang dibantu), tumbuh menjadi sebuah masyarakat Islam yang dinamakan ummah Islamiah yang semakin kukuh dan mampu mempertahankan diri sekiranya mereka dapat menamatkan sebarang permusuhan melalui agenda persaudaraan atas semangat Ukhuwah Islamiah.

Oleh itu, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian, marilah kita kembali kepada ajaran Islam yang sebenar agar kesatuan kita semakin rapat dan kuat sehingga musuh tidak lagi berani memperkotak-katikkan kita sesuka hati. Hijrah berjaya menukarkan insan yang tertindas kepada yang bebas, insan yang dihina kepada yang mulia, dan insan yang lemah bertukar menjadi kuat.

Sempena dengan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1438 Hijrah pada 2 Oktober 2016 di Taman Ekspo Agropertanian Malaysia Serdang (MAEPS), mimbar ingin mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita terus memperkasakan tali persaudaraan sesama kita mendokongi usaha kerajaan dalam mengekalkan perpaduan, hidup rukun dan harmoni serta penuh mahabbah yang menjadi transformasi kepada kemakmuran negara sebagai bukti solidariti ummah di negara ini dalam mempromosi keamanan tanpa mengira fahaman politik.

Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekelian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:


Pertama: Hijrah adalah simbolik tersemainya semangat persaudaraan Islam (ukhuwah Islamiah) yang ditanam dalam diri umat Islam sehingga dapat menyelesaikan sebarang perbalahan sesama sendiri.
Kedua: Hijrah menyuntik kejayaan hidup bersatu padu dengan membentuk suatu pegangan yang kuat sehingga dapat menyelesaikan segala masalah berpaksikan akidah Islamiah.
Ketiga: Memperkasakan Islam melalui lapangan jihad ilmu, ekonomi dan pembangunan umat adalah contoh yang sangat praktikal bagi melunaskan semangat hijrah dalam makna yang lebih meluas.

Maksudnya: “Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah)  Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nisa’: 100)

Friday Sermon Text Building A Strategy For Change

Friday Sermon 30 September 2016AD / 28 Zulhijjah 1437H JAWI

Text Building A Strategy For Change

The Hijrah calendar of the year fourteen thirty seven (1437) will soon come to an end. Certainly, there were many things, bitter or sweet, that we have been through this year. Therefore, let us reflect on whether the quality of our worship and faith in Allah SWT has increased or otherwise. When the months and years change, that means we age and grow older. With the increase in our age, it also jawi_logo.jpgindicates that we are nearer to death, an event which separates the mortal world from the eternal hereafter.

Remember the message of Sayyidina Ali R.A: "When you feel tired due to good acts, surely the exhaustion will disappear, while the good deed performed will remain. If you enjoy the pleasures of sin, then surely the pleasure will disappear, while the sin committed will stay."

As the new Hijri year of fourteen thirty eight (1438) approaches, it allows Muslims to appreciate and reflect upon the best strategies of Prophet Muhammad SAW, in setting up a successful and strong Islamic government (or Daulah Islamiyah) in Madinah Munawwarah.

The migration, or Hijrah, was not a coincidence, but was actually a true, unyielding and heroic struggle. In fact, the migration became the dividing line between truth and falsehood. The migration initially looked as if it would produce weak people, but ultimately, it produced people who would later successfully establish a mighty government.

The Hijrah also enabled the complete implementation of Islamic law, starting from the individual, moving to the family, the community, and later the country. The migration of Rasulullah SAW to Madinah was not easy. Migration and change usually requires careful and detailed planning to meet the challenges of the future. Allah SWT has commanded us to be fully prepared to face any type of enemy, regardless of their strengths.

As stated by Allah SWT in Surah al Anfal verse 60:Which means: “Against them make ready your strength to the utmost of your power, including steeds of war, to strike terror into (the hearts of) the enemies, of Allah and your enemies, and others besides, whom you may not know, but whom Allah does know. Whatever you shall spend in the cause of Allah, shall be repaid unto you, and you shall not be treated unjustly.”

The verse above commands Muslims to make long-term defence planning, to take into account the changes and developments that is happening and will happen in military and weapons technology. This is most appropriate in the current context, where we find Muslims facing threats not only in the military field, but also through other forms of threats such as culture, education and economy.

Among the important things displayed by Rasulullah SAW that saw the success of the migration include:

First: A detailed and rigorous planning Rasulullah SAW did not sleep in his room that night. Instead, the Prophet SAW ordered Sayyidina Ali ibn Abi Talib RA to lay in his bed, with the intention of misleading the enemy. He did not travel straight to Madinah, which was located to the North of Makkah. Instead, after departing Makkah, he headed south and stopped at Thur Cave for three days. Only when the Quraysh search party began to disband did he continue his journey to Madinah.

Second: Always obtain the latest information on enemy movement Abdullah bin Abu Bakar was commissioned to collect information in Makkah during the day, and to report to Rasulullah SAW by the evening at Thur Cave. Latest information is considered very valuable, to the point that it can be bought and sold at very high prices. Today, we witness increasingly sophisticated intelligence-gathering systems used to obtain information.

Third: Secrecy is part of planning Look at how no one, including his best friend Abu Bakr RA, knew of the plans to migrate right up to the time of implementation. Maintaining confidentiality in matters of importance and risk is needed in a well thought-out plan. Any leakage of important information to the enemy will result in the destruction of the entire plan.

Fourth: Fully utilize expertise An interesting point in the migration mission of the Prophet SAW was the employment of a pagan known as Abdullah bin Uraiqit as guide and navigator. This decision was made after Rasulullah SAW was fully satisfied that the non-Muslim would not be betray him.

From events that have occurred, it is clear that the migration of the Prophet SAW was not a mere series of events that occurred by chance. The migratory journey, with all the twists and obstacles, clearly contains wisdom in relation to the culture of planning. Any goal or ambition will not be achieved through prayers and fate alone, but must be done through careful planning.

Beware, O, Muslims! In this time full of challenges, we cannot be lazy and idle anymore. Use our wisdom and discretion in organizing our work. Indeed, the brilliance and excellence can only be achieved through a culture of diligent planning of work and thoughtful consideration.

To conclude the sermon today, here are the lessons that can be drawn from it:

First: The migration, or Hijrah, was not a coincidence. It has revealed many secrets of a true, unyielding and heroic struggle.

Second: Brilliance and excellence can only be achieved through a work culture that is diligent and considered thoughtfully.

Third: Distance ourselves from laziness and idleness. Take advantage of all the expertise and excel through healthy competition.

Allah SWT stated in Surah al-Anfal, verse 30:  Which means: “Remember (O, Muhammad), how the Unbelievers plotted against you, to keep you in bonds, or slay you, or get you out (of your home). They plot and plan, and Allah too plans; but the best of planners is Allah.” ،

Wanita Syurga Permata Dunia

SETIAP manusia beriman mengimpikan syurga sebagai kediaman abadi mereka. Namun, masih ramai yang tidak tahu mengenai jalan menuju ke syurga bahkan ada yang tidak menyedari bahawa mereka telah tersilap jalan.

Sebenarnya, bukan mudah untuk masuk ke syurga. Kita kena bermujahadah atau berjuang melawan nafsu untuk melakukan kebaikan.

Menurut Ustazah Norhafizah Musa, ada beberapa tip bagaimana ingin dekat dengan syurga.

"Dekatlah dengan pemilik syurga, Insya-Allah kita mampu memiliki syurga,” katanya pada Konvensyen Wanita Syurga (KWAIS 2016) yang diadakan di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, 4 September lalu.

Merupakan salah seorang ahli panel dalam KWAIS 2016, Ustazah Norhafizah berkongsi tip yang seterusnya.

“Berakhlaklah dengan akhlak karimah iaitu akhlak yang mulia.

“Hadis menyebut, janganlah sekali-kali engkau meremehkan suatu kebaikan, walaupun hanya sekadar menyambut kedatangan temanmu dengan wajah yang manis iaitu senyuman.

“Sejahat-jahat manusia adalah yang ditakuti kehadirannya dan orang senang dengan ketiadaannya,” ujar beliau dengan menambah ciri yang ketiga adalah mempertingkatkan ketakwaan kepada ALLAH.

KWAIS 2016 adalah program anjuran bersama antara Sahabat Muslimah Saidatina Aisyah (SMS Aisyah), Masjid Wilayah Persekutuan dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (Jam'iyyah). Ia diadakan selama sehari dengan variasi topik menarik serta penampilan ikon-ikon dakwah wanita yang dikenali dan selebriti Muslimah, Nur Salima Habibi (penyanyi, DJ ikim.fm) membuat persembahan.

Selain Ustazah Norhafizah, enam panel lain yang turut menyampaikan ceramah mereka adalah Ustazah Qurrotul Aien Fatah Yasin (Ketua Biro Wanita Jam'iyyah); Ustazah Ros Izanuri Jamaludin (pendakwah, penulis, kolumnis majalah); Dr Nadzirah Mohd (pensyarah UIAM, pendakwah); Dr Yasmin Hanani Mohd Sofian (pensyarah Usim, personaliti program); Dr Raudlotul Firdaus Fatah Yasin (pensyarah UIAM, pendakwah) dan Ustazah Noraini Mat Din (senior eksekutif KUISCELL, personaliti).

Konvensyen bertujuan mendedahkan kepada para wanita yang mendambakan syurga abadi, mengenai jalan yang sewajarnya mereka lalui berdasarkan wahyu Ilahi dan petunjuk nabawi agar syurga bukan lagi sekadar angan-angan, malah menjadi sebuah cita-cita untuk direalisasikan.

Perlu ada perancangan dan strategi yang jelas

KWAIS 2016 menampilkan enam ahli panel yang pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing. Setiap daripada mereka diberi slot untuk berbicara mengenai tajuk yang dipilih.

Ustazah Qurrotul Aien Fatah Yasin menyampaikan ceramah bertajuk 'Mencapai syurga dengan ilmu' manakala talk show 'Wanita calon syurga dan Wanita yang jauh dari syurga' disampaikan Ustazah Norhafizah Musa dan Dr Yasmin Hanani Mohd Sofian.

Diskusi terbuka 'Untukmu Wanita' pula disampaikan Dr Raudlotul Firdaus Fatah Yasin dan forum 'Mudahnya wanita ke syurga' dikendalikan oleh moderator Ustazah Noraini Mat Din dan dua ahli panelnya iaitu Dr Nadzirah Mohd dan Ustazah Ros Izanuri Jamaludin.

Rehal membawakan pembaca Sinar Harian serba sedikit kupasan daripada dua panel jemputan iaitu Dr Yasmin Hanani (Wanita yang jauh dari syurga) dan Ustazah Qurrotul Aien (Mencapai syurga dengan ilmu).

Wanita yang jauh dari syurga

“Aku rasa elok kau mandi bunga, umur dah dekat 40, liat sangat jodoh kau ni. Mudah-mudahan cepatlah nanti orang datang meminang. Aku rasa Aida tu pakai susuklah, lain macam cantik dia, jauh beza dari dulu dengan sekarang. Ida, kalau engkau nak anak kau cantik ada daya penarik, kau pakaikan tangkal ini sejak bayi lagi”

Syurga adalah impian para Muslimah. Tetapi ada kalanya tanpa sedar, perlakuan dan tingkah laku seharian kita tidak membawa ke syurga yang dijanjikan Tuhan. Dialog di atas adalah contoh tingkah laku Muslimah yang boleh menjerumuskan kita ke jurang neraka. Wanita harus peka dengan amalan-amalan negatif yang membawa kepada dosa yang tidak diampunkan Tuhan.

Ciri pertama yang menyebabkan wanita jauh dari syurga adalah kerana tidak mempunyai akidah yang mantap. Ini termasuklah mengamalkan kepercayaan khurafat yang boleh menggelincirkan akidah seseorang seperti amalan khurafat ketika dalam pantang, mengikatkan bayi dengan tangkal dan memakai susuk atas apa jua tujuan.

Ada juga wanita hari ini yang sanggup mendatangi bomoh dan pawang untuk menyihir wanita lain semata-mata kerana cemburu dan dendam. Muslimah haruslah beriman dengan akidah yang mantap dan mendinding diri daripada kepercayaan karut.

Nabi juga telah memberi amaran barang siapa yang mempercayai ahli nujum dan ahli sihir maka dia dianggap tidak beriman dengan apa yang dibawa oleh Nabi SAW.

Selain itu, wanita yang jauh dari syurga adalah kerana enggan mempelajari ilmu agama terutama ilmu fardu ain. Wanita yang jahil tentang ilmu agama tidak mampu menjadi isteri solehah apatah lagi membimbing anak-anaknya untuk menjadi Muslim dan Muslimah yang sebenar.

Wanita Muslimah haruslah mencontohi wanita Ansar pada zaman Rasulullah yang tidak malu bertanya tentang perkara agama. Saidatina Aishah memuji kaum wanita Ansar yang tidak malu untuk mempelajari selok-belok agama Islam.

Dalam sebuah hadis lain riwayat Bukhari dan Muslim menceritakan bagaimana Asma telah bertanya kepada Nabi SAW tentang perihal mandi haid. Namun situasi berbeza pada hari ini, ramai anak gadis, isteri dan ibu yang tidak arif perihal mandi wajib, hukum ketika edah dan hukum asas berkenaan aurat.

Biarpun kini ramai wanita yang telah menutup aurat dengan sempurna, tetapi ada dalam kalangan mereka yang tidak menutup diri dengan sifat malu. Masih jelas insiden remaja Muslimah yang bertudung dipeluk oleh artis Korea di sebuah konsert satu ketika dahulu, dan berapa banyak kes tangkapan khalwat yang melibatkan wanita bertudung.

Selain itu, Nabi juga memperingatkan bahawa sifat wanita yang sering mengungkit dan tidak bersyukur adalah antara faktor menjerumuskan wanita ke neraka. Sebagai contoh, apa yang diberi suami diungkit, dibanding beza dengan jiran sebelah dan ipar duai.

Pokoknya, wanita harus belajar bersyukur dengan segala apa yang dikurniakan Tuhan. Jangan membandingkan bilangan anak, jenis kereta yang dimiliki, makanan dan minuman yang disediakan oleh suami.

Bersyukur akan menjadikan wanita itu hidup dalam ketenangan sekalipun ia miskin harta duniawi. Sifat tamak dan sering berkira akan menjadikan wanita itu tamak haloba dan tidak akan puas dengan harta dunia.

Kesimpulannya, wanita solehah adalah seumpama permata berharga di sebalik butiran pasir di pantai. Wanita harus berusaha sedaya upaya menjauhi tipu daya syaitan yang boleh menjerumuskan wanita ke lembah kehinaan.

Akidah yang sahih, bersifat pemalu, bersyukur dan bersabar antara kunci untuk menjadi Muslimah mukminah solehah. Muslimah adalah tiang masyarakat, runtuhnya akhlak Muslimah, maka runtuhlah masyarakat tersebut.

Menggapai syurga dengan ilmu

Ilmu menjadi prasyarat bagi seseorang melakukan perkara baik yang diredai ALLAH. Baik di sisi ALLAH tidak sama dengan baik di sisi manusia. Tanpa ilmu, manusia sering menyangka bahawa dia sedang melakukan kebaikan padahal sebenarnya dia sedang melakukan kerosakan sebagaimana disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 11-12.

Untuk masuk syurga, tidak cukup dengan hanya berkata: “Aku nak masuk syurga, maka aku kena jadi baik.” Ia tidak sebegitu simple, bahkan ia perlu kepada ilmu kerana kadangkala sesuatu yang dianggap baik di sisi manusia itu rupanya tidak baik di sisi ALLAH dan begitulah sebaliknya. Dalam usaha mengenali perkara baik di sisi ALLAH ini, kita perlu kepada ilmu sebagai pemandu.

Fizikal yang cantik boleh menjebakkan wanita dalam dosa-dosa peribadinya sekali gus menjebakkan orang lain ke dalam dosa yang ditampilkannya. Sebagai contoh, dengan sebab kejahilan, maka kita dapat melihat bagaimana wanita hari ini keluar dari rumahnya dengan mendedahkan aurat dan berhias mempamerkan keindahan tubuh badannya.

Tatkala ini, wanita itu sedang mencipta dosa buat dirinya sekali gus menyumbangkan dosa kepada mata-mata yang melihatnya dengan penuh takjub dan ghairah.

Jiwa yang halus sering membuatkan hati wanita mudah tersentuh dengan kata-kata kesat, mudah terluka dengan perbuatan kasar dan mudah berprasangka pada apa yang berlaku di hadapannya. Tanpa ilmu, wanita terlalu mudah terjebak dalam dosa mengumpat, dosa mencaci, memfitnah, hasad dengki dan berprasangka buruk.

Sistem tubuh yang kompleks menjadikan wanita sebagai makhluk cukup istimewa sehingga dari sistem tubuh itulah lahirnya generasi manusia sampai ke hari ini. Sudah tentu rahim yang mampu membesarkan janin selama sembilan bulan itu mempunyai rahsia besar dengan sistem yang sangat kompleks.

Wanita memerlukan ilmu dalam mengendalikan dirinya sama ada untuk mengenali haid dan hukum-hakamnya, darah wiladah, nifas dan mengenali kitaran hormon yang sering berubah-ubah dalam tubuhnya.

Penciptaan diri wanita yang sangat kompleks menjadikan wanita begitu perlu menuntut ilmu dengan lebih mendalam. Wanita tercipta dari rusuk Adam dengan kejadian fizikal yang sangat indah, jiwa yang cukup halus dan sistem tubuh yang begitu kompleks.

Semua ini menuntut wanita agar mempunyai ilmu yang jitu bagi mengendalikan dirinya dengan baik dan menyelamatkan manusia sekelilingnya dari terjebak dalam dosa yang di undang oleh wanita kerana kejahilannya.

Mudah-mudahan setiap wanita yang mendambakan syurga akan memulakan langkah pertama dalam strategi menuju syurga dengan cara menggali sebanyak mungkin ilmu, Berkata Khalifah ‘Umar ‘Abdul ‘Aziz: “Dan barang siapa yang beramal tanpa ilmu, sesungguhnya kerosakan yang dibawanya adalah lebih banyak dari kebaikan.”

Hijrah membina negara

MENYINGKAP sejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah. Baginda SAW berhijrah meninggalkan negara dan keluarga tersayang. ALLAH SWT berfirman merakamkan hal ini mafhumnya:

"Iaitu mereka yang diusir dari kampung dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, mereka diusir semata-mata kerana mereka berkata: Tuhan kami ialah ALLAH." (Surah al-Hajj  : 40).

Penghijrahan Rasulullah SAW bukan setakat berpindah tempat tetapi menghijrahkan keadaan umat yang lemah kepada kuat, tertindas kepada bergerak cergas, melarat kepada berdaulat dan dakwah dalam lingkungan terbatas kepada seluruh masyarakat.

Titik permulaan hijrah dan pembinaan negara menjadi tanda aras kebangkitan Islam yang seterusnya tersebar ke seluruh pelosok dunia. Hijrah dan pembinaan negara merupakan dua perkara yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Hijrah bukan setakat mengangkat prestasi individu tetapi turut merangkumi hal ehwal kemasyarakatan dan negara.

Memerdekakan umat Islam


Peristiwa hijrah merakamkan pembinaan sebuah negara.

Peristiwa hijrah merakamkan pembinaan sebuah negara. Pembinaan negara Madinah bukan secara kekerasan dan penaklukan. Baginda SAW mendirikan masyarakat baharu dalam negara yang aman.

Baginda SAW melakukan penjenamaan terhadap negeri yang menjadi asas pembentukan negara iaitu Yathrib kepada al-Madinah al-Munawwarah. Nama yang menunjukkan kedaulatan yang diiktiraf semua pihak.

Rasulullah SAW memerdekakan umat Islam dengan terbentuknya negara Madinah yang menjadi milik semua kaum tanpa memilih apakah bangsa dan agama mereka. Muhajrin, Aus dan Khazraj serta Arab Wathani diiktiraf sebagai warga negara.

Semua pihak dilindungi undang-undang di bawah kedaulatan negara Madinah. Setelah itu, kedudukan politik Madinah diperkuat melalui persefahaman semua pemimpin kaum dengan menyetujui butir-butir perjanjian Piagam Madinah.

Pembinaan negara Madinah bukan bermakna menumpang hidup dan menyusahkan orang lain, Rasulullah SAW dan para sahabat RA memainkan peranan membentuk masyarakat baharu, membina kematangan politik dan menyampaikan dakwah Islam ke pelosok dunia. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:

"Aku diperintahkan untuk berhijrah ke sebuah kota yang akan mengalahkan kota-kota lain. Kota itu disebut Yathrib. Itulah Madinah. Kota itulah yang akan membersihkan manusia (daripada segala keburukan dan kemusyrikan) sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran besi." (Riwayat Bukhari).

Transformasi ummah

Menurut Muhammad Hamidullah dalam bukunya The First Written Constitution in the World (3rd.ed), ketika Rasulullah SAW sampai di Madinah, daripada 10,000 penduduk Madinah, bilangan umat Islam kombinasi Ansar bersama Muhajirin Makkah hanya sekitar ratusan orang. Hampir 50% penduduk Madinah ketika itu terdiri daripada keturunan Yahudi yang terbahagi kepada 10 puak, sementara penduduk keturunan Arab kepada 12 kabilah.

Keadaan penduduk Arab di Madinah tidak sehebat Quraisy Makkah yang memiliki kekayaan, menguasai perdagangan dan mempunyai struktur politik yang tersusun. Muhammad Ahsan dalam tulisannya Globalization and The Underdeveloped Muslim World : A Case Study Of  Pakistan dalam Islam Encountering Globalization, (Ed. Ali Mohammad) antara tindakan awal yang dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah adalah mengadakan bancian penduduk.

Bancian yang dilaksanakan tidak terbatas untuk bilangan penduduk dari segi pecahan jantina, kaum dan usia, bahkan merangkumi guna tenaga kerja, penguasaan ilmu pengetahuan, tahap literasi dan pegangan agama.

Maklumat yang tepat mengenai profil penduduk merupakan komponen penting dalam merangka formula pemerintahan dan memastikan program yang diformulasikan menepati keperluan serta bersesuaian dengan budaya, komposisi serta taburan penduduk setempat dan semasa. Data-data yang dikumpulkan dijadikan asas dalam perancangan dan pembangunan sistem dan corak pemerintahan negara.

Diriwayatkan Rasulullah SAW menggali telaga-telaga baharu di sekitar Madinah sehingga air bersih cukup dibekalkan kepada seluruh penduduk Madinah. Baginda membawa gaya hidup baharu sehingga Madinah diriwayatkan menjadi bandar selamat.

Baginda menghidupkan budaya al-Muaakhah iaitu persaudaraan Muhajirin dan Ansar, menggalakkan pinjaman tanpa faedah (qardhul hasan) dan infaq fi sabilillah yang mendasari sosioekonomi Madinah untuk mengukuhkan kestabilan hidup bermasyarakat.

Pembentukan masyarakat memberi atau giving society ini merubah dasar kependudukan Madinah. Realiti baharu ini dikunci mati melalui pengharaman riba yang di antara punca utama eksploitasi dalam masyarakat.

Walaupun demikian, golongan Muhajirin tidak mengambil kesempatan atas hubungan ini, malahan berusaha membina ekonomi sendiri melalui sektor perniagaan. Inilah kebijaksanaan strategi pembasmian kemiskinan yang amat signifikan dalam menghayati peristiwa hijrah yang seharusnya menjadi inspirasi dalam melakukan transformasi ummah.

Kemaslahatan umum

Hari ini, anggaran penduduk semasa Malaysia 2014-2016, Jabatan Perangkaan Malaysia, etnik Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 68.6% diikuti etnik Cina (23.4%), India (7.0%) dan lain-lain (1.0%). Sepanjang 59 tahun kemerdekaan, negara dibina dengan semangat kesederhanaan dan keseimbangan dalam menyatu kepelbagaian.

Dalam konteks pemerintahan dan pentadbiran, dasar pembangunan yang dirangka dipastikan menjaga kemaslahatan umum. Pembasmian kemiskinan dan penyusunan masyarakat dilaksanakan untuk mencapai sasaran sosioekonomi yang saksama sebagai platform mewujudkan keharmonian dan perpaduan dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik dan agama.

Kesederhanaan dijadikan pendekatan penting dalam pentadbiran. Pendekatan ini menekankan aspek kesederhanaan dengan mengutamakan keadilan sosial untuk semua rakyat tanpa mengira kaum. Ini kerana kerajaan sedar tuntutan keterlaluan atas nama keterbukaan dan liberalisme menjadi ancaman masyarakat.

Dalam amalan politik, kerajaan tidak mengamalkan politik menindas bukan Islam, malahan ramai wakil rakyat daripada pelbagai kaum terlibat dalam pembentukan dasar negara.

Dalam ekonomi negara, semua kaum menikmatinya dan tidak merampas apa yang kaum lain nikmati. Kerajaan komited berpegang kepada prinsip Perlembagaan serta menekankan toleransi, kesederhanaan, sifat kemanusiaan dan timbang rasa sehingga memberi kesan positif terhadap keamanan dan pembangunan negara.

Prinsip kesederhanaan turut diketengahkan di peringkat antarabangsa yang menjadi landasan menghapuskan prasangka dan prejudis Barat terhadap Islam yang dituduh menganjurkan keganasan.

Hijrah Rasululah SAW bukan sekadar pengisahan setiap kali awal Muharam. Adalah penting untuk mengambil pengajaran sebagai panduan dalam menelusuri sirah Nabi SAW membina negara.

Tuntutan hijrah pada hari ini bukan lagi sekadar perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain, tetapi merupakan transformasi atau perubahan minda dan budaya hidup yang berteraskan ajaran Islam. Hijrah yang bersandarkan keimanan dan ketakwaan mampu mengubah landskap pegangan akidah, ibadah, akhlak, sosial dan ketamadunan serta masa depan ummah. ALLAH SWT berfirman mafhumnya:

"Dan sesiapa yang berhijrah di jalan ALLAH, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; sesiapa yang keluar dari rumahnya berhijrah kepada ALLAH dan Rasul-Nya, kemudian ia mati, sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi ALLAH. Dan ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah an-Nisa’: 100)

Hijrah melahirkan ummah kreatif dan berinovasi mendepani cabaran semasa dan perkembangan yang terus berlaku. Hijrah suatu keperluan. Ia berlaku sepanjang zaman. Salam Maal Hijrah 1438 H. Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah.

Kedudukan masjid dalam Islam

SEGALA puji bagi ALLAH yang menjadikan masjid sebagai rumah-Nya dan diizinkan supaya nama-Nya dikumandangkan serta diingati di dalamnya. Nama-Nya disebut dan diingati pada waktu siang dan malam oleh kaum lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual beli.

Islam meletakkan masjid pada kedudukan yang tinggi dengan diberi kehormatan serta hak-hak kewajipan yang perlu dilaksanakan. Masjid ialah rumah ALLAH tempat turunnya rahmat-Nya, berhimpunnya para malaikat dan orang-orang soleh daripada kalangan hamba-Nya.

ALLAH SWT menyandarkan masjid pada nama-Nya sebagai satu penghormatan dan pengagungan dan mengancam mereka yang menghalang hamba-Nya daripada mendatangi rumah-Nya, melakukan kerosakan atau menyebabkan berlakunya kerosakan pada masjid.

Firman ALLAH: “Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid ALLAH untuk menyebut nama ALLAH di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatunya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada ALLAH (bukan secara apa yang mereka lakukan itu). Mereka akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar.” (Surah Al-Baqarah: 114)

MASJID PADA ZAMAN SALAF

Jika dilihat keadaan masjid-masjid pada hari dan dibandingkan dengan keadaan pada zaman awal Islam dahulu, ternyata wujud perbezaan ketara antara keduanya. Pada zaman awal Islam dahulu masjid menjadi tempat ibadah, pusat menuntut ilmu dan tempat berkumpulnya umat Islam bagi urusan-urusan penting mereka.

Ia tidak sunyi daripada pengunjung pada selain waktu solat yang datang beribadah dan beriktikaf serta belajar dan menuntut ilmu. Adapun pada waktu solat, ia akan dipenuhi dengan orang-orang yang solat di mana tidak ada yang tidak hadir kecuali golongan yang berkeuzuran atau orang munafik yang jelas kemunafikannya.

Zaman sekarang keadaan sudah berubah dan masyarakat tidak lagi menggunakan masjid sebagaimana yang sepatutnya. Bahkan terdapat masjid-masjid yang digunakan untuk acara atau program yang tidak sepatutnya yang bertentangan dengan kemuliaan dan kedudukan masjid.

MASJID ADA KUBUR

Terdapat di sesetengah negara, masjid dijadikan tempat menguburkan jenazah yang kononnya wali dan mempunyai keramat. Ini menyebabkan perkuburan mereka atau apa yang dinamakan sebagai ‘makam’ dijadikan sebagai tempat pujaan dan meminta hajat; hal syirik besar yang jelas menyalahi akidah tauhid yang diseru oleh para nabi termasuk Nabi Muhammad SAW.

Kumpulan pertama dalam Islam yang melakukan penyelewengan ini ialah Syiah Fatimiyyah yang mahu merosakkan Islam dengan menyebarkan ajaran pagan dalam kalangan masyarakat Islam. Tidak menghairankan kerana ajaran Syiah diasaskan oleh seorang Yahudi bernama Abdullah bin Saba’ yang berpura-pura memeluk Islam.

Amalan memuja kubur ini kemudian dicedok dan ditiru oleh kaum pelampau sufi yang membina masjid atas perkuburan. Ini jelas merosakkan institusi masjid yang berubah menjadikan masjid itu tempat syirik memuja selain ALLAH sedangkan sepatutnya masjid menjadi tempat tauhid mengesakan ALLAH dan memuja ALLAH semata-mata.

Nabi SAW melaknat golongan yang membina masjid di atas kubur atau mereka yang mengebumikan jenazah di dalam masjid.

Sabda Nabi: “ALLAH melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani; mereka telah menjadikan kubur para nabi mereka sebagai masjid.” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Adapun hubungan antara masyarakat dengan masjid, ternyata kebanyakan waktu masjid-masjid kelihatan kosong tanpa penghuni manakala pintunya berkunci, tidak dibuka kecuali pada waktu solat. Mereka yang hadir solat di masjid pula, mereka datang lambat jika bukan sesudah solat bermula.

PENGGUNAAN MIKROFON MASJID

Dari sudut pengurusan masjid pula, apa yang perlu diambil perhatian ialah penggunaan mikrofon luar masjid di mana ia harus digunakan untuk mengumandangkan azan sahaja. Ini penting supaya jangan sampai mengganggu penduduk sekeliling masjid.

Adalah tidak wajar sekiranya mikrofon luar masjid digunakan untuk alunan bacaan ayat-ayat al-Quran sebelum azan dan sebelum azan Subuh secara khasnya. Demikian juga ceramah dan pengajian. Sewajarnya hanya mikrofon dalam dewan solat sahaja yang digunakan untuk manfaat para jemaah yang hadir.

Adapun menggunakan mikrofon luar masjid untuk alunan bacaan ayat al-Quran dan ceramah, keadaan ini tentu akan mengganggu penduduk sekeliling yang ‘dipaksa’ untuk mendengar. Walhal keadaan tidak sepatutnya jadi begitu.

Agama tidak bersikap memaksa sebaliknya ia mengutamakan kerelaan dan keinginan. Lazimnya orang yang dipaksa, hatinya tidak akan mendengar dan terima. Bahkan dia boleh jadi benci. Dan ini bahaya bagi semua.

Semangat cinta dan sayang kepada agama sangat bagus dan dituntut tetapi perlu dizahirkan mengikut lunas-lunas agama. Jangan kerana gopoh, masyarakat menjadi tidak senang dengan masjid lalu masjid dilihat mengganggu dan tidak sensitif dengan penduduk sekitar. Kita khuatir akhirnya masyarakat tidak mahu lagi tinggal berhampiran dengan masjid kerana hal-hal seperti ini.

MELAMPAU DALAM MENGHIAS MASJID

Satu perkara penting yang juga perlu diberi perhatian ialah perbuatan menghias-hias masjid secara berlebih-lebihan. Perkara ini sebenarnya ditegah Nabi SAW sebagaimana dalam sabdanya:

“Akan datang buat umatku satu zaman di mana manusia bermegah-megah dengan masjid kemudian mereka tidak mengimarahkannya kecuali sedikit sahaja.” (Sahih. Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Hal ini ditegah kerana ia akan mengakibatkan pembaziran dalam hal-hal yang tidak penting. Adalah lebih baik wang tersebut digunakan untuk membantu masyarakat miskin dan mereka yang hidup susah.

KELAS HAFAZAN AL-QURAN

Sudah tiba masanya masjid dihidupkan semula dengan diadakan kelas-kelas bacaan al-Quran dan tahfiz menghafal al-Quran khususnya untuk anak-anak kecil. Adalah mendukacitakan apabila melihat ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang masih tidak tahu membaca al-Quran sedangkan umur mereka sudah lanjut. Ini satu petanda yang sangat tidak baik. Ia menunjukkan betapa jauhnya masyarakat dari al-Quran secara khasnya dan Agama secara amnya.

Daripada sudut hafalan al-Quran pula, ternyata masyarakat kita masih jauh di belakang. Walaupun usaha untuk melahirkan pelajar-pelajar yang hafal al-Quran sama ada seluruh atau sebahagian al-Quran sedang giat dijalankan, tetapi masih banyak ruang untuk penambahbaikan.

Adalah satu yang memalukan sekiranya imam ratib yang mengimamkan solat fardu di masjid hanya pandai membaca surah-surah lazim sahaja. Jika itu taraf hafalan al-Quran si imam, bagaimanakah pula keadaan penduduk masyarakat?

Apabila bulan Ramadan tiba, ketika itu pihak pengurusan masjid akan gundah-gulana sibuk mencari imam hafiz untuk mengimamkan solat Tarawih. Ini petanda yang tidak sihat yang menunjukkan negara masih ‘miskin’ perlu dibantu dan dipapah oleh imam-imam ‘import’ dari luar negara. Sampai bilakah keadaan akan terus begini? Sudah tiba masanya kita serius dalam menangani hal ini.